BEN ASHAARI

Monday, July 31, 2017

RESIPI UDANG MASAK LEMAK SAMA NANAS

rsz_uln
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni hari terakhir untuk bulan Julai, esok dah masuk bulan Ogos, bulan kemerdekaan negara kita. Menu hari ini rasanya dah beberapa kali che mat tulis untuk entri blog. Cuma setiap kali tulis, ada tu berbeza sedikit terutama penggunaan bahan2nya. Udang masak lemak sama nanas resipi yang biasa dihidangkan terutama di kalangan masyarakat Melayu dan juga peranakan baba nyonya. Resipi mudah dan udang anda boleh guna mengikut citarasa masing2. Che mat guna udang kaki merah atau ada yang panggil udang pengantin. Beberapa hari lepas, kami ke Benut, Pontian (Johor) dan kebetulan ada nelayan yang baru balik dari laut. Disebabkan udang yang segar dan saiznya agak besar, che mat tak boleh nak kawal napsu, terus rembat 2 kilo!....harga sekilo RM 70, kira berbaloi sangat sebab udang segar dan baru. Jadi atas permintaan bonda, hari ni pakcik kau terus masak menu udang masak lemak sama nanas....Resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 ekor udang saiz besar (xxl)
1/2 biji nanas madu (kalau nanas kecil, guna sebiji)
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
300 ml pati santan
1 liter santan cair
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
6 biji cili padi merah
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, buang bahagian tajam dan juga janggutnya, cuci bersih dan toskan. Nanas dikupas, buang bahagian empulurnya, kemudian hiris sederhana tebal. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama2 serai yang diketuk, asam gelugor dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan nanas dan udang, kacau rata dan masak hingga udang berubah warna dan nanas lembut. Tambah daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau sentiasa hingga mendidih, guna api sederhana.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, jika perlu. Biarkan mendidih dengan api kecil, kacau untuk mengelakkan santan pecah. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, ulam2man dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!.

Thursday, July 27, 2017

RESIPI KAMBING MASAK MERAH

rsz_kmmm
Assalammualaikum, salam semua. Lepas2 raya ni nak masak pun tak rajin sangat, errr..bukan malas yea, tapi kurang rajin. Hari ni nak kongsikan satu resipi yang sesuai dimakan bersama semua jenis nasi atau boleh juga dicicah dengan roti, lempeng dan juga prata/roti canai. Dah beberapa kali che mat masak sebenarnya masa raya tu hari, tapi tak sempat nak masukkan dalam blog. Bagi yang tak makan kambing, boleh gantikan dengan daging lembu. Tak lama lagi kan raya korban, mesti ada yang dapat daging korban, boleh lah cuba masak menu macam ini. Resipi tak susah sangat cuma bahan2 dia agak banyak juga lah. Che mat bikin dalam 1+ kg, daging kambing semata2. Kalau guna daging kambing yang siap bertulang, boleh guna dalam 1.5 kg -2 kg macam tu atau pun ikut lah banyak mana nak masak, samada kurang atau lebih. Nak mencuba?...resipi seperti di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ KG daging kambing tanpa tulang, dipotong kiub besar2*
1 camca besar tepung gandum*
1 biji limau nipis, perah jusnya*(*disatukan, gaul rata dan perap 25 minit)
1 batang serai, diketuk#
3 helai daun limau purut#
1 inci halia, hiris nipis#
5 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu dikupas)#
Air secukupnya#

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit, toskan
8 ulas bawang putih
10 biji bawang merah kecil
2 inci halia

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih
1 biji bawang besar, hiris halus
3 batang serai, diketuk

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
1 camca besar penuh minyak sapi
1 cawan air rebusan daging kambing
150 ml susu cair
150 gram tomato puree
3 camca besar penuh cili sos
2 camca besar penuh tomato sos
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar penuh gula melaka
1 genggam kismis
2 biji tomato merah, didadu kecil
Garam dan gula secukup rasa (gula tu jika perlu)
1 genggam daun pudina
1 pokok daun ketumbar, hiris kasar
Gajus goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci daging kambing yang telah diperap, hingga bersih. Toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama2 bahan yang tanda (#). Rebus hingga daging kambing empuk, tambah air panas jika air rebusan kering tapi daging masih keras. Asingkan daging kambing yang telah empuk berserta 1 cawan air rebusannya. Ketepikan. (jika guna periuk tekanan @ pressure cooker, rebus 15 minit),
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Masukkan minyak sapi dan biarkan cair. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang layu. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masak hingga naik minyak. 
  3. Tambah tomato puree, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap. Masukkan daging kambing rebus dan gaul rata. Tuang air rebusan dan masukkan susu cair. Kacau dan biarkan mendidih.
  4. Tambah tomato yang didadu, kismis, gula melaka dan jus limau kasturi, kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka lebih manis, tambah sedikit gula pasir. Akhir sekali masukkan daun pudina dan daun ketumbar, kacau rata dan biarkan sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. tabur gajus goreng sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

Monday, July 24, 2017

QUICHE AYAM LADA HITAM

rsz_black_pepper_ciken_quiche (1)
Assalammualaikum, salam semua, hari ni 30 Syawal, Syawal terakhir untuk tahun 1438 Hijrah dan tahun masihi 2017. Jika dipanjangkan usia berjumpa lagi di tahun hadapan, in sha Allah. Dan che mat sendiri lebih sebulan bercuti dari menulis resipi di blog. Kesibukkan melanda dan satu masalahnya, bila kau dah lama cuti berblog, mood kurang rajin mula menjadi2. Nak tangkap gambar pun malas, tu belum lagi nak mengadap laptop. Mudah-mudahan lepas ni jadi rajin balik dan bersemangat..yearghh!!

rsz_black_pepper_ciken_quiche2
Hari ni che mat kongsikan resipi quiche ayam lada hitam, tapi yang ni resipi lama dulu, Tu jam ada kat laman web Jalen, takde kat blog tiffinbiru. Jadi hari ni che mat tulis kat blog untuk anda cuba. Resipi ini menggunakan produk Jalen, dah nama pun resipi untuk Jalen, yea dak. Lepas2 raya macam ni, rasanya kalau nak mengadap biskut2 raya macam dah muak. Jadi kita ubah selera dengan hidangan yang sedikit berbeza. Jika suka inti daging, boleh gantikan isi ayan dengan daging lembu kisar, atau boleh guna daging kambing. Tak pun boleh gantikan dengan isi ikan tuna atau ikan sardine yang dalam tin. Terpulang pada selera masing2....Resipi seperti dibawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram tepung gandum, diayak 3 kalu
140 gram mentega tanpa garam (unsalted butter) sejuk, didadu kecil
1/3 camca teh garam halus (kalau guna salted butter, taruk secubit sahaja garam halus)
1 camca teh penuh gua aising
4 - 5 camca besar air ais

BAHAN-BAHAN INTI :-)
150 gram isi ayam bahagian dada, didadu*
1 ulas bawang putih, tumbuk halus*
3 keping hirisan nipis halia, tumbuk halus*
1/2 camc teh lada hitam biji, ditumbuk halus*(*disatukan, gaul rata dan perap 20 minit)
5 kuntum cendawan butang segar (@ yang dalam tin), hiris nipis
2 camca besar sos tiram Jalen
1 camca teh kicap lemak manis Jalen
1 biji bawang holland saiz kecil, didadu
1 ulas bawang putih, dicincang halus
1 pokok daun bawang, hiris halus (asingkan sedikit, untuk hiasan)

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
1 biji telur + 1 kuning telur (guna telur gred A)
50 ml susu segar
2 camca besar parutan keju cheddar
Sos cili Jalen
Mayonnaise secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PASTRI :- Dalam satu bekas, masukkan tepung gandum, garam dan gula aising. Gaul rata, tambah mentega sejuk dan gaul ramas dengan hujung jari hingga mendapat bancuhan seakan2 serbuk roti. Masukkan air ais sedikit demi sedikit sambil digaul hingga adunan menjadi doh yang tidak melelat di mangkuk adunan. Bulat2kan doh, bungkus dengan plastik cling dan simpan dalam peti sejuk selama 30 minit. Sementara itu, kita bikin inti qiuche...
  2. UNTUK INTINYA :- Panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), tumis bawang holland dan bawang putih hingga harum dan layu. Masukkan isi ayam yang telah diperap tadi. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga isi ayam berubah warna. Masukkan cendawan dan goreng sekejap. Tuang sos tiram dan kicap lemak manis, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga inti kering. Akhir sekali masukkan hirisan daun bawang, gaul rata dan matikan api. Biarkan inti sejuk.
  3. UNTUK QUICHE AYAM LADA HITAM :- Panaskan oven pada suhu 200C. Sediakan acuan qiuche @ pie berukuran 7 inci. Keluarkan doh dari peti sejuk dan canai doh setebal 0.3 cm. Alaskan ke dalam acuan qiuche tadi, ratakan bahagian dalam dan kemaskan bahagian tepinya. Potong lebihan pastry tadi. Cucuk2 permukaannya dengan garfu, alaskan dengan aluminium foil dan taruk benda berat (seperti kekacang atau beras). Bakar selama 25 minit, kemudian alihkan aluminium foil dan sambung bakar 15 minit lagi hingga pastry kering. Keluarkan dari oven dan ketepikan.
  4. Sementara itu, satukan telur dan susu segar, kacau rata. Masukkan inti yang telah sejuk ke dalam pastri tadi. Tuang bancuhan telur dan susu. Tabur keju cheddar dan juga baki hirian daun bawang tadi. Bakar kembali selama 20 minit atau hingga masak. Keluarkan dari oven, sejukkan sebentar sebelum dikeluarkan dari acuan. Potong dan hidangkan dengan sos cili Jalen dan mayonnaise...Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.