BEN ASHAARI

Wednesday, June 21, 2017

RESIPI PUFF PISANG BERINTI KEJU DAN KAYA YEO'S

rsz_1ppsk
Assalammualaikum, salam semua. Kemeriahan Syawal makin terasa, aroma biskut-biskut raya mula memenuhi udara, lagu-lagu raya juga semakin rancak berkumandang di corong-corong radio dan tv.  Begitu juga orang ramai mula bersesak-sesak menyediakan persiapan Syawal, di saat-saat akhir. Tapi jangan terlalu ghairah sangat, kita masih berbaki dalam 4 hari lagi untuk berpuasa. Hidangan berbuka dan bersahur untuk keluarga perlu diutamakan. Bila dah hampir penghujung, menu berbuka juga semakin berubah, ada tu dah tak lalu nak makan seperti selalu dan berbalik pada menu nasi dan lauk-pauk ringkas. Begitu juga dengan cemilan-cemilan, karipap, kuih keria dan onde-onde macam dah tak boleh diterima di tekak, terlalu kerap dan selalu sangat menjadi juadah berbuka. Hari ini Che Mat nak kongsikan satu resipi ringkas menggunakan seri kaya Yeo’s dan sedikit bahan-bahan lain untuk dijadikan cemilan yang sedap. Sesuai untuk dihidangkan masa berbuka nanti atau boleh dimakan selepas solat tarawih..

rsz_ppsk1
Puff berinti pisang, keju dan kaya Yeo’s ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati, tak kiralah sama ada anda tinggal di bandar atau pun kampung. Untuk kulit puff, Che Mat gunakan roti prata / roti canai segera (tapi pastikan roti prata yang mentah, bukan separuh masak) dalam 4 keping. Intinya guna pisang dan keju. Paling istimewa ditambah seri kaya Yeo’s untuk menambah kesedapannya. Seri kaya Yeo’s diperbuat dari ramuan yang berkualiti dan menjadi pilihan sejak generasi ke generasi atas sebab keharuman dan kesedapannya, dan yang paling penting, ia HALAL. Puff ini kita boleh buat awal dan simpan dalam freezer, kemudian dibakar bila hendak dimakan. Ia sedap dimakan panas atau suam. Katalah takde prata segera, kita boleh gantikan dengan puff pastry…

yeo's logo
Ramadan semakin meninggalkan kita dan dalam kesempatan beberapa hari ini kita masih sempat untuk berbagi-bagi keberkatannya. Dengan tema ‘Berkat Dirasa Bersama’, Yeo’s menggalakkan orang ramai berkongsi kegembiraan bersama mereka yang tersayang. Produk Yeo’s sejak sekian lama telah mewarnai kehidupan masyarakat Malaysia dan dengan berkongsi sesama kita, ia dapat memberi satu kebahagian walaupun ia sekadar minuman atau pun produk-produk makanan Yeo’s yang lain. Tak lupa di hari raya nanti, Yeo’s tetap menjadi hidangan yang boleh memberi senyuman pada mereka yang menikmatinya. Mari Che Mat kongsikan resipi ringkas untuk hari ini yang boleh anda cuba nanti….

BAHAN-BAHANNYA
4 keping roti prata/roti canai segera (pastikan yang belum dimasak)
1 tin kecil seri kaya Yeo’s (perisa asli)
½ cawan parutan keju cheddar
1 cawan penuh pisang yang telah didadu
1 kuning telur + 1 camca besar air, dikacau rata
Bijan secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 190C. Keluarkan roti prata segera dari freezer dan biarkan sekejap pada suhu bilik (jangan biarkan sampai lembut sangat, nanti melekat). Ambil sekeping roti prata segera dan tanggalkan plastik alas bahagian atasnya, yang bahagian bawah dibiarkan.
  2. Sapu ½ bahagian permukaan roti prata dengan seri kaya Yeo’s (anggaran 1 ½ camca besar). Tabur ¼ cawan pisang yang telah didadu tadi dan akhir sekali taburkan ¼ bahagian parutan keju cheddar.
  3. Berhati-hati lipat di bahagian kosong roti prata hingga menutupi bahagian yang ada inti. Kemaskan hujung-hujungnya dan tekan dengan garfu (akan membentuk seperti karipap saiz besar). Buat kaedah sama dengan baki roti prata dan bahan-bahan yang lain hingga siap.
  4. Alihkan ke dalam dulang pembakar yang dialas dengan kertas minyak atau boleh juga dilanser dengan sedikit mentega (pastikan plastiknya ditanggalkan). Cucur sikir permukaannya dengan garfu, sapu dengan kuning telur dan taburkan bijan. Bakar 25 minit atau hingga kuning keemasan. Keluarkan dari oven, biarkan suam dan boleh hidangkan untuk berbuka puasa atau pun bersahur…Selamat mencuba!!

Thursday, June 15, 2017

RESIPI BISKUT LEMAK KEJU CHEDDAR

image-2017-06-14
Assalammualaikum, salam semua. Entri kali ini, che mat kongsikan satu lagi resipi biskut yang che mat buat tempoh hari. Kebetulan ada lebihan cheese cheddar dalam peti sejuk, lama juga dah simpan. Sebelum ni memang ada simpan satu resipi biskut lemak keju cheddar, tapi tu lah, kadang2 simpan saja, bertahun2 tapi tak mencuba. Jadi kali ni kita kasi buat dan uji rasa, kalau sedap. boleh buat lagi tahun hadapan, in sha Allah kalau diberi usia. Rasanya lemak dan ada rasa keju (dah nama pun biskut lemak keju cheddar, yea dak). Dan bagi yang tak suka biskut terlalu manis, yang ini untuk anda. Kadang2 muak juga asyik disumbat dengan biskut2 raya yang manis2. Resipi mudah dan kalau nak mencuba, che mat kongsikan di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram mentega
300 gram tepung gandum*
100 gram tepung jagung*
1/2 camca teh soda bikarbonate*(*disatukan dan diayak)
130 gram gula aising, diayak
1/2 cawan nestum, diramas
1 biji telur gred A
100 gram parutan keju cheddar
1 kuning telur, untuk disapu atas biskut
Parutan keju cheddar, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, masukkan telur dan putar rata. Masukkan parutan keju cheddar dan gaul.  Sementara itu satukan bahan2 yang diayak dengan nestum yang diramas tadi. Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam mesin hingga habis dan menjadi doh yang lembut. Rehatkan 10 minit.
  2. Bahagikan kepada 3 bahagian. Ambil 1 bahagian, canai antara dua helai plastik bersih, canai setebal 1/2 cm, terap dengan acuan kegemaran anda dan susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  3. Sapukan permukaan biskut dengan telur kuning dan taburkan sedikit parutan keju cheddar sebagai hiasan. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 160C selama 20 - 25 minit atau hingga kuning keemasan. Sejukkan biskut atas jaringan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara...Selamat mencuba!!

Wednesday, June 14, 2017

RESIPI BISKUT TELUR REBUS

image-2017-06-14 (1)
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tak boleh nak berborak panjang. Ini pun curi2 masa untuk kemaskini blog. Beberapa hari lepas che mat ada cuba bikin biskut telur rebus. Biskut ini dah lama berlegar2 di blog teman2 masakan, tapi entah kenapa baru sekarang baru teringin nak mencuba. Ianya unik kerana menggunakan telur rebus dan hanya bahagian kuningnya sahaja yang diambil. Yang bahagian putih, kita boleh makan dengan kicap. Bahan2 yang digunakan juga tak banyak. Rasa biskut telur rebus memang sedap, lemak dan cair dimulut. Sesuai kalau anda buat untuk hidangan hari raya nanti. Hiasan atas biskut terpulang pada kreativiti anda, asal cantik dipandang dan tak keterlaluan sudah cukup. Che mat guna isi kuaci labu saja sebagai hiasan. Jika nak mencuba, resipi seperti dibawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur gred A
250 gram mentega
200 gram tepung gandum*
200 gram tepung jagung*
150 gram tepung kastard*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
100 gram gula aising, diayak
1 camca teh esen vanilla
1 kuning telur, untuk disapu atas biskut
Isi kuaci labu secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur direbus hingga keras, kupas kulitnya dan ambil bahagian kuning sahaja. Masukkan dalam tapis dan lecek sambil ditekan2 perlahan, jangan lupa bawah ditadah dengan mangkuk. Tujuannya untuk mendapat hasil lecekkan yang halus. Ketepikan,
  2. Putar mentega dan gula aising hingga sebati. Masukkan esen vanilla dan kuning telur rebus yang dilecek halus tadi. Putar dengan kelajuan perlahan hingga semua bersatu. Perlahan2 masukkan tepung yang telah diayak, sedikit demi sedikit, hingga habis dan bancuhan menjadi doh yang boleh dicanai.
  3. Bahagikan doh tadi kepada 3 bahagian dan tutup permukaannya dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan. Ambil 1 bahagian, canai antara 2 keping plastik, canai setebal 1/2 cm dan cetak dengan acuan biskut pilihan anda. Alihkan ke dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  4. Panaskan oven pada suhu 170C selama 10 minit. Sapu permukaan biskut dengan kuning telur, hias dengan 2 biji isi kuaci labu. Kemudian bakar biskut lebih kurang 25 minit atau hingga masak. Sejukkan biskut atas jaringan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara....

Thursday, June 8, 2017

RESIPI NASI LEMAK HALBA DAN SAMBAL TUMIS YEO'S

rsz_nssy
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah masuk 13 Ramadan , kurang lebih 2 minggu lagi kita hendak menyambut bulan Syawal. Bagaimana dengan persiapan, mesti ada yang  dah beres semuanya  dan ada juga yang suka buat persiapan di akhir-akhir waktu, sebab nak merasai kemeriahan Hari Raya. Di sebabkan puasa sudah hampir ke penghujung minggu ke-2, mood memasak pun dah mula berubah, kalau dapat nak masak yang ringkas dan cepat. Che Mat pun macam tu juga. Antara hidangan yang senang dimasak ialah nasi lemak. Mereka yang sibuk bekerja, Che Mat cadangkan sambal tumis ikan bilis Yeo’s digandingkan dengan nasi lemak bagi meringkaskan  masa anda. Percaya tak pertama kali Che Mat cuba makan sambal tumis ikan bilis Yeo’s dengan nasi lemak, macam tak sangka ia begitu sedap dan rasa ngam sangat…berbunga-bunga hati sebab tak payah nak bersusah-susah menumis sambal…senang kerja pakcik...

rsz_nssy1
Ada dua pilihan sambal tumis Yeo’s, sambal tumis ikan bilis dan sambal tumis udang. Kedua-duanya sesuai digandingkan dengan nasi lemak, malah dengan apa saja pun boleh, nak dijadikan perencah nasi atau mi goreng, nak makan dengan ketupat pun boleh. Halal ke? Toksah khuatir, semua produk Yeo’s dijamin Halal. Bagi yang tak pandai atau tak biasa dengan sukatan santan dan beras, Che Mat syorkan guna beras Basmathi, insha Allah nasi lemak pasti menjadi dengan lembut dan sedap. Sukatan beras Basmathi biasanya 1 beras : 1 ½ cecair, contohnya jika kita masak 1 cawan beras Basmathi, santannya ialah 1 ½ cawan. Kalau masak 2 atau 3 cawan, gandakan saja penggunaan santan tu, tak payah nak pening kepala takut nasi lemak jadi keras atau lembik. Toksah malu-malu mencuba, hidangkan dengan sambal tumis ikan bilis atau udang Yeo’s, dijamin licin seperiuk nasi lemak tu!..

yeo's logo
Bulan Ramadan begitu dimuliakan, dan dibulan ini jika kita bersedekah atau menyediakan hidangan untuk mereka yang berpuasa, pahalanya berlipat kali ganda. Atas kesedaran ini Yeo’s telah mengambil inisiatif sempena bulan Ramadan dengan menggalakkan kita berkongsi rezeki dengan teman-teman dan orang-orang disekeliling kita. Dengan tema ‘Berkat Dirasa Bersama’ diharapkan kemuliaan Ramadan ini dapat dirasai oleh semua, tak kira bangsa dan agama, dengan berkongsi prouduk-produk Yeo’s. Dan tak salah jika resipi-resipi yang telah dicuba, kita berkongsi dengan jiran tetangga, seperti amalam di kampung, yang sering bertukar-tukar juadah berbuka ketika Ramadan…Baru terasa kemeriahannya...Untuk berbuka hari ini, apa kata cuba masak Nasi Lemak Halba & Sambal Tumis Yeo’s…Resipi seperti berikut…

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan beras basmathi
4 ½ cawan santan segar
1 biji bawang besar, dibelah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1 batang serai, dititik
1 helai daun pandan, disimpul
20 biji halba
1 camca teh garam (atau secukup rasa)

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
2 tin sambal tumis ikan bilis Yeo’s
Hirisan timun secukupnya
Kacang tanah goreng secukupnya
Ikan bilis goreng secukupnya
Telur rebus secukupnya
Ulam petai (jika suka)
Ayam goreng rempah (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1.  Beras basmathi dicuci, kemudian rendam 20 minit dan toskan. Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik (rice cooker), tuang santan, masukkan serai, daun pandan, bawang besar, bawang putih, halba dan garam. Kacau rata dan tekan ‘on’. Biar hingga nasi masak dan suis rice cooker bertukar kepada ‘warm’.
  2. Dengan menggunakan chop stick, gemburkan nasi lemak, tapi jangan kacau banyak kali nanti nasi akan patah-patah. Cukup 3 – 4 kali. Padamkan suis periuk nasi, ini mengelakkan nasi lemak berkerak.
  3. Tutup kembali tudung periuk dan biarkan 15 minit. Boleh sendukkan nasi lemak halba ke dalam pinggan sesuai, nak lebih authentic, alas pinggan dengan daun pisang. Hidangkan dengan sambal tumis ikan bilis Yeo’s dan bahan-bahan sampingan yang lain. Nikmati ketika berbuka puasa….Selamat mencuba!

Monday, June 5, 2017

RESIPI PUDING BERKUAH

rsz_pcaz
Assalammualaikum, salam Ramadan semua. Hari ni masuk 10 hari kita berpuasa. Dan menu mula berubah sikit2. Semalam petang che mat masak awal dan masa duduk2 tu, melawatlah blog masakan kawan2 dan ternampak satu resipi yang mudah dan paling penting sedap, iaitu puding berkuah. Kadang2 che mat malas nak buat sebab kat rumah ni tak makan sangat, kecuali kita sorang saja. Tapi disebabkan puasa dan teringin sangat, buat jugalah 1/2 dari resipi asal. Oh yea resipi che mat ambik dari blog Kak Azlita Masam Manis, di sini. Rasanya memang nyaman di tekak, nak2 bila dimakan ketika berbuka puasa. Cuma pada che mat kuah kastard tu sedikit manis, jadi kalau anda tak berapa suka manis, boleh kurangkan sedikit gula. Jika nak mencuba, che mat tuliskan resipinya seperti dibawah ini....Terima kasih Kak Ita sudi berkongsi resipi....

BAHAN-BAHAN KASTARD :-)
1 cawan tepung kastard (Bird's Custard, pilihan che mat)
5 cawan air
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan gula + 1 camca besar gula (che mat bikin 1/2 dari resipi ini, jadi guna 1/4 cawan gula)
1 helai daun pandan (che mat tambah)

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 tin susu cair
2 gelas air (kurang lebih 600 ml)
5 camca besar gula pasir
Secubit garam
1 camca besar tepung kastard
1 camca teh esen vanilla
Fruit coktail secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KASTARD :- Satukan semua bahan2 untuk kastard kecuali daun pandan. Kacau hingga semua rata, Masukkan daun pandan dan masak atas api sederhana sambil dikacau hingga pekat. Masak hingg kelihatan gelombong meletup2. Matikan api, keluarkan daun pandan dan sudukan kastard ke dalam bekas2 kecil. Biarkan kastard mengeras. Ketepikan.
  2. UNTUK KUAH KASTARD :- Dalam periuk, satukan semua bahan2 kuah kecuali fruit coktail. Kacau rata dan masak hingga mendidih, gunakan api kecil. Kacau rata dan matikan api. Tapis dan biarkan hilang wap panas. Sejukkan dalam peti sejuk.
  3. UNTUK PUDING BERKUAH :- Sediakan mangkuk sesuai, keluarkan puding dari acuan dan masukkan ke dalam mangkuk. Sudukan buah2an coktail secukupnya dan tuang kuah kastard yang telah disejukkan secukupnya. Boleh hidangkan, sedap dimakan sejuk...Selamat mencuba!!

Thursday, June 1, 2017

RESIPI KERABU MANGGA ALA THAI

rsz_kmas
Assalammualaikum, salam semua. Hari Khamis 6 Ramadan, pheww cepat nya, rasa macam baru semalam mula puasa, tau2 dah dekat seminggu. Dan hari ini juga kita sudah melangkah pertengahan tahun 2017. Che mat pun dah mula merancang nak bikin biskut raya dalam masa terdekat ni, maklumlah kita ni tak suka stress, sehari satu jenis biskut sudah lah, lepas tu nak melapis kek pulak, itu pun kalau rajin. Plan berbuka puasa apa hari ni?...Che mat masak yang ringkas2 saja sekarang ni. Menu kerabu mangga ala Thai yang awak2 semua nampak tu, kita bikin semalam, untuk bukak puasa. Buah mangga tu dah beli sejak hari pertama puasa, nasib baik masih ok, kalau dah masak, hampa lah harapan nak bikin kerabu, itu pun sebiji dah mula kekuningan tapi masih keras lagi. Kali ni che mat masukkan sotong kembang yang telah dihiris kecil dan direbus sebagai rencahnya selain ada udang kering. Sebab bulan puasa, penggunaan cilipadi dikurangkan, takut panas perut nanti. Tapi kalau suka pedas, silakan lah yea lambak cili padi ikut suka.... Kalau teringin nak mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN- BAHANNYA :-)
2 biji mangga mengkal atau mangga muda saiz sederhana
10 biji tomato ceri, dibelah 4 setiap 1
1 ekor sotong kembang, cuci dan hiris kecil, rebus 10 minit dan toskan
1 kuntum bunga kantan, mayang halus
1 biji bawang besar, mayang halus
1 genggam udang kering, cuci, toskan dan goreng tanpa minyak hingga wangi, tumbuk hancur
1 camca besar sos ikan
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun pudina untuk hiasan
Kacang tanah tumbuk secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji cili merah
5 biji cil padi merah Thai
1 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Mangga dikupas kulitnya, cuci dan lap kering. Kemudian takik2 mangga tadi dan hiris, buat hingga habis, masukkan ke dalam mangkuk besar bersama sotong kembang yang telah direbus tadi, hirisan bunga kantan, bawang besar dan bahan2 tumbuk halus. Gaul hingga rata.
  2. Masukkan sos ikan, gula (anggaran 1/2 camca besar) dan jus limau kasturi, gaul rata dan tambah sedikit garam jika perlu. Akhir sekali taburkan dengan kacang tanah tumbuk dan hias dengan daun pudina. Hidangkan untuk berbuka puasa nanti. Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.