BEN ASHAARI

Thursday, May 25, 2017

RESIPI KUIH EE BERKUAH MINUMAN LAICI YEO'S

rsz_kee
Assalammualaikum, salam semua. Jika diizinkan Allah swt, dua hari lagi akan tiba bulan Ramadan dan umat Islam mula menjalankan ibadah puasa. Biasanya kalau bulan puasa, kita lebih suka menikmati pencuci mulut yang segar dan nyaman. Kali ini Che Mat akan kongsikan resipi tradisi orang Peranakan Cina iaitu 'kuih ee'. Kuih ini selalunya dibuat ketika mereka meraikan perayaan 'Tang Check' dan turut disajikan ketika majlis perkahwinan. Walaupun ia bukan kuih-muih orang Melayu, kuih ee sudah diterima dan menjadi salah satu hidangan pencuci mulut masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Apa yang istimewanya kali ini kuahnya Che Mat menggunakan minuman laici Yeo's yang sudah pasti dijamin halal. Biasanya kuih ee asli dimakan bersama air gula yang dimasak dengan daun pandan dan halia. Jika suka, minuman laici Yeo's juga boleh kita masak dengan daun pandan (tak perlu taruk halia) untuk mendapat aroma yang lebih wangi. Tapi Che Mat hanya sajikan begitu sahaja, namun rasanya tetap sedap dan menyegarkan...

rsz_kee1
Kuih ee boleh kita siapkan awal, tutup dengan plastik bersih dan simpan dalam peti sejuk. Bila sampai masa nak makan, rebus hingga masak dan boleh hidangkan dengan minuman laici Yeo's sebagai kuahnya. Lari dari kebiasaan, kuih ee, Che Mat masukkan inti kacang tanah yang telah digaul dengan susu pekat manis. Dan kuahnya minuman laici Yeo's ditambah kiub ais. Kalau dah nama bulan puasa, pasti yang sejuk dan dinginlah menjadi pilihan, betul tak? Hidangan ini untuk 4 hingga 5 orang...

yeo's logo
Seperti kita sedia maklum, Ramadan bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Yeo's dengan kempen 'Berkat Dirasa Bersama' menggalakkan kita berkongsi rezeki dengan saudara-mara, sahabat handai dan mereka yang memerlukannya. Yeo's ingin menjadikan Ramadan yang keberkatannya dapat dikongsi dan dirasai bersama dengan minuman dan produk-produk Yeo's. Pada semua umat Islam, Che Mat ucapkan selamat menyambut bulan Ramadan, moga puasa kita diterima dan diberkati Allah swt....aminn....Jomm kita semak resipi pulak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 kotak minuman laici Yeo's ( 250 ml setiap 1 kotak)
1 cawan tepung pulut
125 ml air suam (1/2 cawan)
Secubit garam
Pewarna makanan (merah, hijau dan kuning)
1 helai daun pandan, disimpul
2 1/2 camca besar penuh kacang tanah tumbuk
2 camca besar susu pekat manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mangkuk, satukan kacang tanah tumbuk dan susu pekat manis. Gaul rata hingga sebati. Kemudian bentukkan menjadi bola-bola kecil sebanyak 48 biji. Simpan dalam peti sejuk sementara kita siapkan dohnya.
  2. Satukan tepung pulut dengan sedikit garam dalam mangkuk besar. Gaul rata dan tuang air suam sedikit demi sedikit hingga habis, sambil digaul hingga menjadi doh lembut yang tidak melekat di tangan dan mangkuk adunan.
  3. Bahagikan doh kepada 4 bahagian sama banyak. 1 bahagian di biarkan pada warna asal (putih), 1 lagi diwarnakan hijau, 1 lagi diwarnakan kuning dan 1 lagi diwarnakan merah. Ketepikan.
  4. Setiap satu bahagian (setiap doh putih dan doh yang bewarna) dibahagikan kepada 12 bahagian kecil. Isikan setiap satunya dengan inti kacang tanah yang telah disiapkan awal-awal tadi. Bulat-bulatkan seperti bebola. Buat hingga semua siap.
  5. Masak air, masukkan daun pandan dan biarkan hingga air menggelegak. Masukkan bebola tadi dan masak hingga terapung, biarkan 3 - 4 minit, baru dicedok keluar dan terus rendamkan dalam air ais seketika.
  6. Tos dan masukkan bebola tadi ke dalam mangkuk sesuai (pastikan setiap mangkuk mengandungi setiap bebola bewarna). Tuang minuman laici Yeo's secukupnya dan tambah ais kiub. Boleh hidangkan dan amat sesuai dinikmati ketika berbuka puasa nanti...Selamat mencuba!!

Sunday, May 21, 2017

RESIPI LEMAK CILI PADI PETAI MUDA

rsz_petai_kikis
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi klasik yang mungkin jarang2 dimasak ditempat lain. Bonda che mat pernah tinggal di Rembau semasa dia kecil dulu dan bonda sering bercerita kisah2 dan gaya kehidupan ketika itu yang begitu amat dan praktikal. Memasak pun hanya gunakan bahan2 asas yang ada disekitar kawasan kampung, seperti kunyit, cilipadi, serai, kelapa dan bahan mentah ada tu seperti ikan air tawar, mereka pancing atau menjala sendiri samada di sungai ataupun sawah. Bila musim petai, mereka akan manfaatkan petai tadi dengan memasak pelbagai masakan menarik. antara yang popular bila musim petai dan tentulah menu masak lemak cili padi petai muda. Semalam masa ke pasar pagi di Benut, Pontian, che mat beli 2 ikat petai yang agak muda, jadi hari ni kita masak menu klasik yang terkenal di Negeri Sembilan. Untuk sedikit kelainan, che mat masukkan cendawan kukur...kan kita yang buat dia, betul tak.

gpk3
Petai che mat guna dalam 5 papan, dibuang tepinya dan kikis macam dalam gambar atas tu. Lepas siap kikis, kita kerat dan rendam dalam air. Cendawan kukur juga perlu direndam hingga kembang, sebab che mat guna yang kering, kemudian dibersihkan dan tumbuk sedikit. Cendawan akan menjadikan masakan ini lagi sedap dan wangi. Jika takde cendawan, tak perlu letak, guna petai saja pun dah ok. Jika nak mencuba, che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 papan petai muda
1 cawan penuh cendawan kukur kering, direndam hingga kembang
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit, toskan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUH HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung (che mat guna yang merah dan hijau)
2 inci kunyit hidup, pilih kunyit tua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petai muda dibuang sedikit bahagian tepinya, kemudian kikis bahagian kulit luar petai pada kedua2 bahagian, buat hingga semua siap, kerat seperti dalam gambar di atas dan rendam. Cendawan kukur ditoskan, cuci sekali lagi, toskan dan perah. Kemudian tumbuk sedikit (sekadar memar2kan saja, jangan sampai hancur pulak).
  2. Masukkan bahan2 tumbuk halus ke dalam periuk bersama cendawan kukur, petai kikis (toskan dulu air redamannya) dan serai titik. Gaul rata dan tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan asam gelugor dan masak dengan api sederhana hingga petai kikis lembut. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Thursday, May 18, 2017

RESIPI PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_lptkh
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin pucuk turi masak lemak sama kacang hijau. Pada mulanya rasa malas nak jadikan entri blog, tapi di FB ada permintaan agar che mat kongsikan resipi ini. Mungkin ada yang tak pernah rasa atau mencuba. Rasanya orang Johor yang suka masak cara begini. Selain kacang hijau, boleh juga dimasukkan keledek. Kalau kita menggulai udang, boleh masukkan pucuk turi, atau masak lemak labu manis juga sesuai dimasukkan pucuk turi sebagai bahan sampingan. Pucuk turi juga boleh dijadikan urap. Bunganya sedap ditumis sama ikan bilis dan cili padi. Lauk begini sesuai disajikan dengan nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng/ikan masin. Tak perlu banyak macam. Memasaknya mudah dan che mat syorkan rencahnya guna udang kering....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk turi, asingkan dari tangkainya, cuci dan toskan
1/3 cawan kacang hijau, cuci dan rebus hingga kembang
1 liter santan cair
400 ml santan pekat
4 biji bawang merah, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
Garam dan gula secukup rasa
Air panas jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan santan cair, bawang merah, bawang putih dan udang kering ke dalam periuk. Kacau dan masak atas api hingga mendidih. Masukkan pucuk turi yang telah ditoskan tadi, kacau rata dan jika kurang kuah boleh tambah sedikit air panas.
  2. Masukkan kacang hijau rebus (dengan air rebusannya sekali) kacau rata dan masak hingga pucuk turi lembut. Tuang santan pekat, masukkan cili merah hiris. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. 
  3. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng @ ikan masin...Selamat mencuba!!

Wednesday, May 17, 2017

RESIPI APAM BALIK SOYA YEO'S

rsz_absy
Assalammualaikum, hari ni Che Mat nak kongsikan satu resipi yang mudah dibuat dan kita boleh menjadi lebih kreatif dengannya. Apam balik satu jenis kuih atau jajanan yang terkenal di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia (tapi kalau di Indonesia, mereka panggil murtabak manis dengan inti yang pelbagai rasa). Biasanya kalau di pasar malam, apam balik antara kuih yang paling laris. Sebenarnya kita boleh membuatnya dengan mudah di rumah. Kali ini Che Mat menggunakan susu soya Yeo;s sebagai ganti susu lembu, amat sesuai bagi mereka yang tak boleh minum susu. Satu yang bagusnya, resipi ini hanya menggunakan sekotak minuman soya Yeo's 250 ml dan gula yang sedikit. Bahan-bahannya juga tidak banyak...

rsz_absy1
Ia akan menghasilkan apam balik bersaiz 8 inci sebanyak 3 keping. Intinya boleh dipelbagaikan. Kalau suka keju, boleh taburkan parutan keju, terpulang pada citarasa masing-masing. Bagi che mat, apam balik tradisi yang berintikan jagung krim, kacang tanah tumbuk dan sedikit gula pasir, menjadi pilihan. Penggunaan susu soya Yeo's akan memberi rasa unik pada kuih apam balik ini, mesti tak percayakan? Kena buat dan rasa dulu baru tau, betul tak. Ia paling sesuai dihidangkan pada waktu minum petang, malah di waktu berbuka dan bersahur juga boleh.

Memandangkan 10 hari lagi kita umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia (In sha Allah), adalah lebih bermakna jika kita dapat gandakan kebaikkan bersama mereka yang ada disekeliling kita. Yeo Hiap Seng (Malaysia) Bhd "Yeo's" ingin menggambarkan Ramadan sebagai bulan yang penuh berkat dan cara terbaik untuk menikmatinya adalah dengan dirasai bersama. Jadi gandakan rasa itu dengan berkongsi minuman Yeo's di bulan Ramadan yang bakal datang nanti. Dapatkan maklumat lanjut di www.yeos.com.my atau hubungi 1 300-80-2828. Teruja nak mencuba resipi yang Che Mat kongsikan? Mari kita lihat di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung gandum
1 1/2 camca teh baking powder @ serbuk penaik
1/2 camca teh soda bicarbonate
2 camca besar penuh mentega, dicairkan dan disejukkan
1 kotak (250 ml ) minuman soya Yeo's
1 biji telur gred A
1/2 camca teh esen vanilla
1 camca besar gula halus
Secubit garam

BAHAN-BAHAN INTI :-)
Kacang tanah tumbuk secukupnya
Jagung krim secukupnya
Gula pasir secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mangkuk besar, satukan tepung gandum, baking powder, gula halus dan garam. Gaul rata dengan whisk. Tambah minuman soya Yeo's sedikit demi sedikit hingga habis, sambil dikacau rata hingga sebati. Masukkan telur dan mentega cair. Kacau rata hingga adunan tidak berbintil-bintil. Tapis dan rehatkan adunan selama 30 minit.
  2. Sementara itu, panaskan kuali leper tak melekat (non-stick pan) saiz 8 inci. Sapukan dengan sedikit minyak masak, gunakan tissue dapur bersih, celopkan hujungnya ke dalam minyak masak dan buat sapuan nipis pada permukaan kuali leper tadi. Panaskan kuali selama 2 - 3 minit dengan api kecil.
  3. Sementara kuali panas, masukkan soda bicarbonate dan esen vanilla ke dalam adunan apam balik. Kacau rata dengan whisk. Bahagikan kepada 3 bahagian sama banyak. Berhati-hati tuang 1 bahagian ke dalam kuali leper, gerak-gerakkan sedikit kuali tadi agar adunan apam balik melekat  sedikit di tepi bahagian dalam kuali leper.
  4. Masak dengan api kecil hingga permukaan apam balik berlubang-lubang dan mula kelihatan pucat. Ketika ini boleh taburkan sedikit gula pasir, ratakan sedikit jagung krim dan taburkan dengan kacang tanah tumbuk, biarkan seketika. Longgarkan bahagian tepi apam balik dan lipat dua. (biasanya bahagian tepi apam balik akan mengecut sedikit bila cukup masak). Tekan perlahan-lahan dan angkat. Buar kaedah sama untuk baki adunan  hingga siap. Boleh dipotong dan hidangkan... Selamat mencuba!!

Monday, May 8, 2017

RESIPI SUP 'MINESTRONE' KLASIK

rsz_cms
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi mudah dan sesuai jika dihidangkan ketika bersahur nanti...ehh, tak lama lagikan dah nak masuk bulan Ramadan. Jadi tak salah kita mula merancang resipi2 ringkas untuk bersahur. Maklum sajalah masa bersahur ni ada yang tak boleh nak jalan dengan makan nasi. Jadi akak2 boleh lah cuba resipi klasik orang Itali ni. In sha Allah sedap dan kena dengan tekak kita. Sup minestrone klasik atau dalam bahasa orang putih, Classic Minestrone Soup ini amat mudah dibuat. Dan mengikut cerita wikipedia, sup ini berasal dari Itali dan diperbuat dari bahan2 sayuran termasuk tomato sebagai bahan utama dan ditambah pasta atau nasi dalam nya. Kira kalau kat Malaysia, macam bubur lambuk. Ada juga sup minestrone yang dimasukkan daging lembu atau ayam. Boleh dikatakan sup ini terbahagi kepada dua jenis, satu berasas2kan sayur (vegetarian) dan satu lagi yang biasa. Juga ditambah kekacang dalamnya, che mat masukkan kacang merah dalam tin saja, sebab itu yang ada. Kalau anda nak mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 batang lobak merah, dipotong kiub
2 batang saleri, potong kecil
1 tin kacang merah berkaleng, toskan airnya
1/2 cawan hirisan nipis daging lembu batang pinang
1 kiub pati daging lembu (che mat guna jenama 'Tesco')
1 tin sos spaghetti tomato PERGO, contoh di sini
1/2 cawan pasta yang belom direbus (che mat guna makaroni, anda boleh guna sebarang jenis pasta)
1500 ml air
Lada hitam kisar, jika suka
Garam secukup rasa
Minyak zaitun untuk menumis
Parutan keju parmesan, untuk hiasan
Hirisan parsli, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak zaitun dalam periuk. Tumis bawang holland hingga layu, masukkan bawang putih dan hirisan daging lembu. Kacau rata dan masak hingga daging berubah warna. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah lobak merah dan saleri, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan sos spaghetti tomato, kacau dan tuang air. Biarkan menggelegak, kemudian kecilkan api dan renihkan selama 35 minit, kacau sekali sekala. Masukkan kiub pati daging lembut, kacang merah dan pasta tadi (tak perlu direbus), Masak hingga pasta lembut. 
  3. Tambah garam secukup rasa dan lada hitam jika suka. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Cedok secukupnya sup tadi ke dalam mangkuk sesuai, tabur dengan sedikit parutan keju parmesan dan juga hirisan daun parsli. Hidangkan segera, sedap dimakan panas...Selamat mencuba!!.. (sup akan menjadi pekat bila pasta mula mengembang)

Saturday, May 6, 2017

RESIPI LAKSA ASAM PULAU PINANG

rsz_pal
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita cuti makan nasi, dan sebagai ganti che mat bikin laksa asam Pulau Pinang atau Penang Asam Laksa, kata orang putih. Ada masa tekak ni nak makan satu menu yang bersih, maksudnya tanpa minyak. Menu yang rebus2 saja. Laksa asam antara hidangan yang senang dibuat dan mengenyangkan. Ada macam2 jenis laksa di Malaysia dan di bahagian utara Semenanjung Malaysia, laksa2nya lebih ringkas, dan tidak menggunakan santan. Tetapi tetap ada perbezaan masing2 terutama dari segi bahan2. Pelbagai resipi ada di internet yang boleh anda dapatkan, dan che mat perhatikan ada juga perbezaannya. Ada yang menumis bahan2 kisar halus dengan sedikit minyak sebelum dimasukkan ke dalam periuk berisi air rebusan ikan. Dan ada yang direbus terus tanpa menumis dan ditambah ketam untuk kuah yang lebih manis. Itu terpulang pada kita lah, nak ikut cara yang mana. Kadang2 resipi macam ini ada yang diwarisi dari orang dulu2, jadi setiap satunya berlainan cara memasak dan bahan2. Che mat bikin yang senang dan paling penting rasa dia cukup sedap....Nak mencuba? Resipi seperti dibawah...

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA :-)
600 gram ikan selayang @ ikan sardine (gunakan ikan yang segar)
6 keping asam gelugor
2 kuntum bunga kantan, dibelah 4 setiap 1
1 genggam daun kesom
3 camca besar cili kisar
1 batang serai, diketuk
2 liter air rebusan ikan
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air panas

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
2.5 inci belacan
3 biji cili merah

BAHAN-BAHAN UNTUK LAKSA :-)
Mi laksa secukupnya (jika guna yang kering, rebus hingga kembang, tos dan cuci bawah air paip untuk membuang kanjinya, toskan)
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Daun salad, hiris
Bawang besar, hiris
Nanas, dihiris kecil
Timun, dihiris kecil
Bunga kantan, hiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun pudina, hiris halus
Cili merah @ cilipadi, dihiris
Limau kasturi, dibelah 2
Petis @ otak udang, secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA :- Ikan direbus dengan 2 liter air selama 15 minit. Keluarkan ikan, sejukkan. Asingkan isi dan tulangnya. Isi ikan dihancurkan. Air rebusan tadi ditapis dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan bahan2 kisar halus, cili kisar, serai dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah sedikit air panas jika perlu.
  2. Masukkan isi ikan, daun kesom dan bunga kantan. Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api sederhana selama 20 minit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (boleh juga masukkan sedikit serbuk perasa jika suka). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK LASAK ASAM PULAU PINANG :- Masukkan secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa asam secukupnya (pastikan anda kacau dulu kuahnya). Tambah bahan2 ulam atasnya, taruk telur rebus dan sudukan petis atau otak udang sebelum dihidangkan. Jangan lupa perahkan limau kasturi...Selamat mencuba!

Tuesday, May 2, 2017

RESIPI KARI AYAM PERANAKAN

rsz_ncc
Assalammualaikum, salam semua. Mendung cuaca kat kampung che mat, tadi siap masak dalam jam 11+ pagi, terus hujan. Kebetulan cuaca agak panas sebelumnya dan alhamdulillah sempat juga lah kering kain yang che mat jemur. Hari ni mari kita cuba menu orang peranakan Baba Nyonya. Resipi ini dikongsi oleh seorang ahli group peranakan clan di FB. Nampak menarik dan che mat teruja nak mencuba. Resipi asal menggunakan seekor ayam, tapi disebabkan hanya nak mencuba, kita guna kurang lebih 1/2 ekor dan ditambah 1 bahagian peha. Resipi agak berbeza, tidak menggunakan rempah kari, tapi menggunakan bahan2 rempah ratus yang dikisar halus dan che mat ada tambah beberapa bahan lain. Cara memasak pun tak sama dari kari biasa. Orang peranakan ialah orang cina yang telah mengalami asimilasi budaya atas sebab perkahwinan campur dengan orang2 tempatan pada zaman dahulu kala. Mereka menjadi satu komuniti yang begitu unik dari segi pertuturan bahasa (biasanya mereka menggunakan bahasa melayu-baba + hokkien), makanan, gaya hidup dan adat istiadat. Nak mencuba kari ayam peranakan, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ayam (kurang lebih), potong ikut suka, cuci dan toskan
2 - 3 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
1 biji tomato saiz besar, dibelah 6
4 camca besar jus asam jawa
500 ml santan pekat
1 batang kayu manis*
3 biji bawang merah, hiris*
2 ulas bawang putih, hiris*
2 tangkai daun kari*(*bahan tumis)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
1 camca besar  penuh ketumbar biji
4 kuntum bunga lawang
10 biji buah pelaga

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci kunyit hidup (pilih yang tua)
5 biji buah keras, hiris
2 batang serai, hiris halus
2 biji cili merah
20 tangkai cili kering, potong, buang biji dan rendam dalam air panas sekejap dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bahan-bahan rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, kemudian kisar hingga betul2 halus menggunakan pengisar kering. Satukan rempah tadi dengan bahan2 kisar halus dan kacau rata hingga menjadi pes rempah. Dalam mangkuk besar, masukkan ayam yang telah dicuci dan ditoskan tadi. Tambah pes rempah dan gaul hingga rata. Kemudian perapkan ayam selama 30 minit (simpan dalam peti sejuk. Che mat perap 1 jam).
  2. Panasan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan goreng hingga bawang layu. Masukkan ayam yang telah diperap tadi dan gaul rata. Kecilkan api dan masak hingga ayam kecut, kacau sekali sekala. Tuang air secukupnya, anggaran 3 cawan, kacau dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan jus asam jawa, kentang dan masak hingga kentang 1/2 empuk. Tambah santan dan kacau rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api kecil hingga ayam masak dan kentang empuk, kacau perlahan. Akhir sekali tambah tomato dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman....Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.