BEN ASHAARI

Saturday, April 15, 2017

RESIPI ASAM PEDAS IKAN MAYONG

rsz_apid
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mengidam sangat nak makan asam pedas. Biasalah kat rumah che mat dalam seminggu mesti sekali masak asam pedas, tak kiralah ikan atau ayam. Disebabkan dari semalam macam nak sangat, macam dah terasa-terasa kat tekak. Seawal pagi tadi dah keluarkan isi ikan mayong dari freezer. Maka kita berasam pedas ikan mayonglah kita. Biasanya kalau ikan mayong che mat lagi suka bahagian isi dia daripada  kepala. Dan satu benda yang dipelajari, kalau nak sedap dan tak nak ada bau, kita buang kulit ikan mayong tadi dan pastikan perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam. Daun kesom, bunga kantan jangan dilupakan, che mat tambah serai untuk kasi lagi harum. Tak lupa sedikit lada hitam. Bahan2 ni semua akan menjadikan asam pedas ikan mayong anda sedap dan wangi. Che mat masukkan kacang bendi, kalau nak guna terung boleh, sawi jeruk boleh, tomato pun boleh, takde masalah... Resipi kalau ikutkan dah banyak ada dalam blog, tapi kalau taruk gambar saja tak menarik pulak kalau tak disertakan resipi, macam togel ajer entri tu...Jadi dengan rajinnya che mat sertakan resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping isi ikan mayong saiz lebar tapak tangan orang dewasa
10 biji bendi
1 camca teh lada hitam
3/4 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa (atau secukup rasa)
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1 batang serai, diketuk
1 kiub ikan bilis Maggi (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan mayong dibuang kulitnya. Potong dua setiap sekeping, gaul dengan sedikit garam dan jus limau nipis hingga rata dan perap 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Bendi dicuci dan toskan. Lada hitam ditumbuk hancur. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 6 camca besar atau secukupnya), tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan lada hitam, kacau rata dan masak sekejap.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan ikan, kiub ikan bilis (jika guna) dan biarkan mendidih dengan api perlahan. Sementara itu, kerat 2 setiap 1 kacang bendi tadi dan masukkan ke dalam asam pedas.
  4. Kacau perlahan, masukkan bunga kantan dan daun kesom. Tuang jus asam jawa, tambah air panas jika suka kuah lebih. Biarkan mendidih hingga bendi lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas bersama nasi putih, telur dadar dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!

1 comment:

Mas Zull said...

assalamualaikum CM...sedapnya bila tengok resepi ni...
** Mama Maszull

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.