BEN ASHAARI

Wednesday, April 26, 2017

RESIPI ASAM REBUS NANAS SAMA UDANG

rsz_arnu
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak asam rebus nanas sama udang. Resipi yang boleh dikatakan sihat, tanpa minyak. Biasanya kan masak lemak udang nanas, jadi kita ubah selera sikit. Udang che mat guna jenis udang harimau dalam empat ekor yang saiznya agak besar, kira saiz XL, kalau nak guna saiz yang lagi besar, takde masalah ikut kehendak masing2 lah yea. Resipi paling mudah ini paling sedap dimakan dengan nasi panas, ikan masin dan sambal belacan. Kalau suka boleh digandingkan dengan ulam-ulaman dan telur dadar. Selain udang, boleh juga guna ikan bilis dan ikan masin, tapi ikan masin mesti direndam dulu bagi buang rasa masinnya. Che mat guna dua jenis cili untuk resipi ini, cili kering (untuk warna) dan cili merah segar (untuk rasa). Dan tak lupa sedikit ikan bilis dikisar sekali dengan bahan2 rencah untuk memberi rasa kuah asam rebus yang lebih sedap. Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji nanas madu saiz sederhana, kupas dan hiris kecil
4 - 5 ekor udang harimau saiz XL (atau sebarang jenis udang pilihan anda)
2 keping asam gelugor
1 helai daun kunyit, disiat
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
6 tangkai cili kering, kerat, buang biji dan rendam dalam air panas 5 minit, toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
4 keping hirisan nanas (guna hirisan nanas dalam bahan2 di atas)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, gunting muncung dan kaki2 kecil udang, cuci dan toskan, ketepikan. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama asam gelugor dan air. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan nanas dan masak hingga nanas lembut sedikit. Tambah udang dan daun kunyit. Kacau rata dan masak hingga udang berubah warna. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula jika perlu (che mat tak taruk gula sebab dah kisar nanas dalam bahan2 perencah). Masak sekejap lagi hingga nanas lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!!

Tuesday, April 25, 2017

RESIPI RENDANG AYAM CILIPADI

rsz_racp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi rendang ayam yang boleh dikatakan mudah dimasak. Tak perlu tumis2, semua main lebur dalam kuali, dan masak sampai kering. Tapi rendang ayam ini memang pedas, cili padi dia che mat guna dalam satu mangkuk (kurang lebih 2 genggam). Che mat guna ayam daging saja, tapi kalau dapat ayam kampung, lagi sedap. Nampak tak ada jelmaan kacang panjang kat rendang tu? Ni semua gara2 tu hari, masa masak gulai labu, entah macam mana boleh tercicir dua tangkai kacang panjang, dari kecut, elok masukkan ajer dalam rendang. Seperti biasa, rendang boleh digandingkan dengan macam2 makanan utama seperti nasi, ketupat, lemang, roti dan sebagainya. Kalau nak mencuba, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam saiz sederhana (kurang lebih 1.2 kg)
2 - 3 tangkai kacang panjang, kerat pendek (optional)
1 keping asam gelugor
3 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, hiris halus
1 liter santan pekat
1 camca besar gula melaka
2 camca besar kerisik
Garam secukup rasa
Sedikit air panas, jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 mangkuk cili padi merah (kurang lebih 2 genggam)
2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah ayam dan gaul rata. Hidupkan api dan masak sekejap hingga ayam kecut. Tuang santan, masukkan asam gelugor dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah sedikit air panas jika perlu.
  2. Kecilkan api dan terus memasak hingga pekat. Tambah kerisik, daun limau purut, kacang panjang dan gula melaka. Kacau rata dan masak hingga rendang kering. Rasa dan tambah garam jika perlu. Akhir sekali masukkan daun kunyit, gaul rata dan masak sekejap, Rasa lagi dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ketupat, lemang atau roti...Selamat mencuba!

Monday, April 17, 2017

RESIPI CEKODOK PISANG

rsz_cplemakmanis
Assalammualaikum, salam semua. Entri ringkas kali ni che mat nak kongsikan resipi cekodok pisang. Memang ini resipi mudah dibuat tetapi tak semua orang boleh buat. Bukanlah nak kata kita ni pandai sangat, tapi bila buat dan menjadi dengan elok, resipinya bagus kita simpan dalam blog untuk rujukan sendiri dan mereka yang memerlukan. Resipi cekodok pisang kali ni che mat guna pisang lemak manis. Dan disebabkan pisang itu sendiri dah manis, jadi tak perlu taruk gula, tapi ini terpulang pada citarasa masing2, nak tambah sedikit gula (@gula melaka) pun boleh. Jika nak lemak boleh masukkan kelapa parut, pastikan pilih kelapa yang muda, jangan kelapa tua, berhampas pulak nanti cekodok tu. Biasanya kalau adunan cekodok banyak, che mat akan simpan bakinya dalam peti sejuk dan boleh digoreng esoknya sebagai sarapan. Kalau bikin untuk sarapan, boleh simpan untuk digoreng masa minum petang. Paling ngam disajikan dengan kopi O atau teh O panas, kena pulak petang tu hari hujan...aduhh..nikmatnyaaa!.... Kalau teringin nak mencuba, boleh semak resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 biji pisang lemak manis (che mat guna yang saiz besar)
1/3 cawan tepung beras
1 1/4 cawan tepung gandum
1 camca teh baking powder
1/2 camca teh soda baicarbonate
1/4 camca teh garam
Minyak untuk goreng terendam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang dikupas kulitnya dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Tambah baking powder, soda bicarbonate, garam dan gula (jika guna, che mat tak guna gula sebab pisang tu dah cukup manis). Lecek hingga pisang lumat dan sebati dengan semua bahan2 tadi.
  2. Masukkan tepung beras dan tepung gandum (kalau guna kelapa parut, boleh masukkan sekali). Gaul rata dengan spatula hingga sebati. Rehatkan sebentar sementara kita panaskan minyak untuk menggoreng. 
  3. Gunakan sudu atau boleh jemputkan adunan tadi dengan tangan. Berhati2 jatuhkan ke dalam minyak panas. Buat 12 - 15 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali dan banyak mana minyak yang digunakan. Bila cekodok timbul. balik2kan dengan sudip agar masak sekata. Goreng hingga keperangan dan boleh angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur agar lebihan minyak terserap. Buat kaedah sama untuk baki adunan. Boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi...Selamat mencuba!!
CATATAN MAT GEBU : Tips untuk mendapatkan cekodok yang bulat2, ialah dengan cara membasahkan sedikit hujung jari dengan air bersih sebelum menjemput adunan cekodok tadi. Tapi berhati2 dengan minyak panas untuk mengelakkan sebarang kecederaan..


Saturday, April 15, 2017

RESIPI ASAM PEDAS IKAN MAYONG

rsz_apid
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mengidam sangat nak makan asam pedas. Biasalah kat rumah che mat dalam seminggu mesti sekali masak asam pedas, tak kiralah ikan atau ayam. Disebabkan dari semalam macam nak sangat, macam dah terasa-terasa kat tekak. Seawal pagi tadi dah keluarkan isi ikan mayong dari freezer. Maka kita berasam pedas ikan mayonglah kita. Biasanya kalau ikan mayong che mat lagi suka bahagian isi dia daripada  kepala. Dan satu benda yang dipelajari, kalau nak sedap dan tak nak ada bau, kita buang kulit ikan mayong tadi dan pastikan perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam. Daun kesom, bunga kantan jangan dilupakan, che mat tambah serai untuk kasi lagi harum. Tak lupa sedikit lada hitam. Bahan2 ni semua akan menjadikan asam pedas ikan mayong anda sedap dan wangi. Che mat masukkan kacang bendi, kalau nak guna terung boleh, sawi jeruk boleh, tomato pun boleh, takde masalah... Resipi kalau ikutkan dah banyak ada dalam blog, tapi kalau taruk gambar saja tak menarik pulak kalau tak disertakan resipi, macam togel ajer entri tu...Jadi dengan rajinnya che mat sertakan resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping isi ikan mayong saiz lebar tapak tangan orang dewasa
10 biji bendi
1 camca teh lada hitam
3/4 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa (atau secukup rasa)
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1 batang serai, diketuk
1 kiub ikan bilis Maggi (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan mayong dibuang kulitnya. Potong dua setiap sekeping, gaul dengan sedikit garam dan jus limau nipis hingga rata dan perap 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Bendi dicuci dan toskan. Lada hitam ditumbuk hancur. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 6 camca besar atau secukupnya), tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan lada hitam, kacau rata dan masak sekejap.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan ikan, kiub ikan bilis (jika guna) dan biarkan mendidih dengan api perlahan. Sementara itu, kerat 2 setiap 1 kacang bendi tadi dan masukkan ke dalam asam pedas.
  4. Kacau perlahan, masukkan bunga kantan dan daun kesom. Tuang jus asam jawa, tambah air panas jika suka kuah lebih. Biarkan mendidih hingga bendi lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas bersama nasi putih, telur dadar dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!

Friday, April 7, 2017

RESIPI SUP IKAN ALA SIAM

rsz_sup_ikan_ala_siam
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi fusion, sup ikan ala siam. Sebenarnya ia seperti sup ikan biasa, tapi ditambah bahan2 yang biasa digunakan untuk masakan tomyam. Entah kenapa teringin nak makan sup ikan, tapi tak nak sup ikan yang biasa2 tu, nak sup ikan yang 'segar' dengan aroma2 herba dan rempah ratus dan rasa yang sedikit masam. Che mat guna kepala ikan merah dalam 700 gram macam tu. Terpulang nak guna isi ikan pun boleh. Pada pendapat che mat ikan merah pilihan terbaik jika nak bikin sup. Ikan lain pun boleh, ikut selera masing2 atau nak tukarkan pada ayam, kenapa tidak, betul tak. Sup ini boleh dimakan dengan nasi dan roti, kalau nak hirup macam tu saja pun sedap. Kalau rasa nak cuba buat, resipi che mat kongsikan dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping kepala ikan merah (kurang lebih 700+ gram)
2 biji kentang, kupas, dan belah 8 setiap 1 dan direndam
12 biji tomato ceri
1 sup bunjut Adabi
3 batang serai, diketuk
1 pokok daun ketumbar, cuci bersih dengan akar2nya dan hiris kasar
2 helai daun limau purut
10 biji cili padi siam warna merah, diketuk
2 biji limau nipis, perah jusnya (satu untuk memerap ikan dan satu untuk dimasukkan ke dalam sup)
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepala ikan dibersihkan, kemudian kerat kepada beberapa bahagian, perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam selama 15 minit, kendian dicuci dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk, tumis serai dan bahan2 bertanda (*), hingga harum. Masukkan bahan2 tumbuk halus dan kacau rata. Tambah lada hitam tumbuk, gaul dan masak sekejap. Tuang air secukupnya (anggaran 1.5 liter), kacau dan biarkan mendidih.
  2. Masukkan kentang (toskan dulu air rendamannya) dan sup bunjut, masak hingga kentang empuk. Tambah kepala ikan, daun ketumbar, daun limau purut dan cili padi belah. Kacau rata dan biarkan mendidih hingga ikan masak.
  3. Tambah jus limau nipis, perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan sedikit gula. Kacau perlahan dan akhir sekali masukkan tomato ceri. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Taburkan hirisan daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!!

Wednesday, April 5, 2017

RESIPI KARI NANGKA MUDA SAMA TETEL

rsz_gnmt
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak kari nangka muda sama tetel. Tetel bagi yang tak tau, ialah daging lembut yang ada lemak2nya. Biasanya dimasak sup, asam pedas, digunakan sebagai perencah dalam masakan dalca dan masakan seperti che mat masak tu. Kalau tak makan tetel, boleh ganti dengan ayam atau tulang ikan masin (kalau guna tulang ikan masin, gantikan rempah kari daging dengan rempah kari ikan). Untuk resipi ini che mat guna kurang lebih 1 kg nangka muda yang telah siap dising dan direbus 1/2 empuk. Tetel pula dalam 600 gram. Ada dua cara, pertama jika suka boleh buang air rebusan tetel tadi jika nak elakkan terlampau berlemak. Satu lagi boleh guna terus air rebusan dan ini akan menjadikan masakan kita lebih sedap. tapi lebih berkolesrol...errkkk....che mat guna dalam 1 cawan saja air rebusan dan selebihnya guna santan cair dan santan pekat. Resipi agak mudah walaupun bahan2 kelihatan agak banyak, biasalah dah nama pun masakan tradisional yea dak....Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg nangka muda yang telah siap disiang dan dipotong kiub
600 gram daging tetel, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, hiris*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*(*direbus hingga tetel empuk)
2 camca besar kerisik
2 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
4 batang serai, diketuk
3 tangkai daun kari
1/4 cawan cili kisar
1 keping asam gelugor
1/2 camca besar gula melaka
1,2 liter santan cair
400 ml pati santan
1/2 camca besar minyak sapi (optional)
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 inci kunyit
1 inci halia
15 biji cili padi kampung (yang warna merah)

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nangka muda yang telah dipotong kiub, direbus hingga 1/2 empuk, toskan. Asingkan daging tetel dari air rebusannya. Air rebusan tadi boleh dicampurkan dalam kari atau disimpan untuk kegunaan kemudian. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tambah minyak sapi (jika guna). Masukkan bahan2 tumis, serai dan daun kari. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Tuangkan bancuhan pes kari, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan nangka rebus dan daging tetel. Gaul rata dan masak sekejap. Tuang santan cair dan juga air rebusan daging tetel tadi. Kacau rata dan masak hingga nangka empuk. Tambah santan pekat, gula melaka, asam gelugor dan garam secukup rasa. Masak dengan api sederhana hingga mendidih, kacau sentiasa, masak sekitar 10 - 15 minit, kemudian rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman... Selamat mencuba!

Sunday, April 2, 2017

RESIPI NASI DAGANG TERENGGANU

rsz_nst
Assalammualaikum, salam semua. Ini entri pertama untuk bulan April 2017. Jarang dah kemas kini blog. Disebabkan kerap masak menu yang sama, che mat rasa macam tak seronok pulak untuk berkongsi di blog. Ada tu resipi disertakan sama ada di FB atau IG. Hari ni entah semangat apa yang menyerap, tiba2 kerajinan datang untuk membuat nasi dagang style Terengganu. Semuanya bermula di IG, bila seorang kenalan che mat berkongsi gambar nasi dagang yang dia nikmati. Punyalah rasa terliur dan mengidam terus nak makan nasi dagang. Pagi tadi lepas subuh che mat cuci baju, disebabkan masih awal pagi, ku sambung tidur sekejap, dalam tidur tu sempat mimpi masak nasi dagang, eh tak boleh jadi nih, sampai termimpi2. Maka cepat2 rendam beras dan pulut (sepatutnya kena rendam semalaman atau 8 jam, tapi che mat hanya rendam dalam 5 jam lebih saja). Dan satu lagi, biasanya nasi dagang Terengganu mereka gunakan beras wangi dicampur dengan beras pulut. Tapi yang ada beras pulut dan beras biasa (beras cap rambutan beg biru). Belasah ajer lah, kan kita yang buat dia....

rsz_nst1

Alhamdulillah, berhasil juga dan rasa dia sudah pasti sedap. Takkan nak kata tak sedap, dah sendiri yang masak. Che mat guba kurang lebih 2 bahagian beras biasa (@ beras wangi) + 1 bahagian beras pulut. Dalam resipi nanti che mat taruk sukatan guna cawan. Tapi yang che mat buat betul2 guna sukatan mug saiz kecil (kurang lebih berisipadu 300 ml). Bila tengok resipi2 di internet, ada yang buat pelbagai cara, salah satunya selepas nasi dikukus dengans santan cair hingga masak. Kemudian santan pekat digaul selepas nasi masak dan dibiarkan santan tadi meresap ke dalam nasi. Tapi che mat kukus sekali lagi tujuannya untuk nasi lebih tahan lama.


rsz_nst2rsz_nst3
Seperti biasa, nasi dagang mau versi Terengganu atau pun Kelantan, lauk gulai ikan tongkol wajib ada selain gulai ayam. Untuk gulai ikan tongkol atau belah2 pantai timur panggil ikan aye, che mat gunakan rempah masak dan rempah gulai cap rose. Kalau takde, boleh guna rempah kari biasa. Ikan perlu direbus terlebih dahulu. Che mat rebus dalam periuk tekanan selama 1 jam dan ikan tadi jadi lembut seperti ikan sardine. Selain gulai, acar mentah dan telur rebus jadi pelengkap hidangan. Telur rebus tu boleh juga kalau kita nak masukkan dalam gulai, tak jadi masalah. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan resipinya di bawah ini....


NASI DAGANG TERENGGANU...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan penuh beras wangi*
1 cawan beras pulut*(*disatukan gaul rata. cuci dan rendam semalaman atau 8 jam)
2 cawan santan segar
1/2 camca teh gula
Garam secukup rasa
1 helai daun pandan
4 biji bawang merah, hiris halus
1 inci halia, mayang halus
1 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Beras wangi + beras pulut yang direndam tadi, ditoskan. Taruk dalam kukus, letakkan daun pandan dan kukus selama 25 minit. Sementara itu, masukkan garam secukup rasa dan gula ke dalam santan, kacau hingga rata. Angkat beras dari kukus dan alihkan ke dalam mangkuk besar. Tuang 1/2 bancuhan santan dan gaul rata, tambah hirisan bawang merah, halia dan halba. Gaul lagi dan biar sekejap hingga santan meresap. Masukkan kembali ke dalam kukus dan kukus 20 minit.
  2. Kemudian tuang kembali nasi ke dalam mangkuk dan curahkan baki santan tadi. Gaul rata dan biar sekejap hingga santan meresap. Kukus lagi kurang lebih 20 minit. Gemburkan nasi dan kukus sekejap lagi hingga nasi betul2 masak..Boleh matikan api dan boleh hidangkan dengan gulai ikan tongkol, acar mentah dan telur rebus..

GULAI IKAN TONGKOL...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol @ ikan aye saiz sederhana besar
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris*
1/2 inci lengkuas, hiris*
3 keping asam gelugor*
1 camca teh garam*
1 biji bawang besar, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh halba
1/4 camca teh jintan manis
2 camca besar penuh cili kisar
1 camca besar penuh rempah masak cap rose*
1 camca besar penuh rempah gulai cap rose*(*boleh tengok di sini)
10 biji cili padi, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 biji bawang besar, belah 6
1 camca besar gula melaka
1 cawan pati santan
Air rebusan ikan secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 keping hirisan lengkuas
Secubit belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol disiang, kemudian kerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih dan rebus dengan bahan2 bertanda (*) selama 1 jam, tambah air panas jika perlu. Kemudian matikan api. Asingkan ikan dan tapis air rebusannya. Ketepikan.
  2. Satukan rempah gulai dan rempah masak cap rose dengan bahan2 kisar halus. Gaul rata hingga menjadi pes rempah, ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bawang besar hiris, jintan manis dan halba hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, Tambah pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Gula api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air rebusan ikan tadi, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan tongkol rebus, tuang santan dan masukkan gula melaka. Kacau perlahan, bila menggelegak, kecilkan api dan renih hingga pekat. Tambah garam secukup rasa (rasa dulu sebab air rebusan ikan tadi dah ada garam) dan masukkan cilipadi belah. Kacau perlahan dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan nasi dagang...

ACAR MENTAH...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji timun
1 batang lobak merah saiz besar
1 biji bawang besar
1 biji cili merah
6 camca besar cuka makan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Timun dicuci bersih, kerat tiga atau empat bahagian, belah dua setiap satu dan buang empulurnya. Hiris nipis seperti anak mancis, rendam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam. Lobak merah juga dihiris sama macam timun dan direndam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam. Rendamkan selama 15 minit, kemudian toskan dan perah airnya, ketepikan.
  2. Cili merah dikerat tiga, buang bahagian tengahnya dan hiris seperti anak mancis. Bawang besar dibelah lapan dan leraikan. Ketepikan.
  3. Dalam mangkuk, masukkan cuka makan, garam secukup rasa (anggaran 1/3 camca teh) dan gula kurang lebih 2 camca besar penuh atau secukup rasa. Kacau hingga larut. Masukkan hirisan timun, hirisan lobak merah, bawang besar dan cili merah. Gaul rata dan biarkan 10 minit, rasa dan jika ok boleh hidangkan....Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.