BEN ASHAARI

Wednesday, June 21, 2017

RESIPI PUFF PISANG BERINTI KEJU DAN KAYA YEO'S

rsz_1ppsk
Assalammualaikum, salam semua. Kemeriahan Syawal makin terasa, aroma biskut-biskut raya mula memenuhi udara, lagu-lagu raya juga semakin rancak berkumandang di corong-corong radio dan tv.  Begitu juga orang ramai mula bersesak-sesak menyediakan persiapan Syawal, di saat-saat akhir. Tapi jangan terlalu ghairah sangat, kita masih berbaki dalam 4 hari lagi untuk berpuasa. Hidangan berbuka dan bersahur untuk keluarga perlu diutamakan. Bila dah hampir penghujung, menu berbuka juga semakin berubah, ada tu dah tak lalu nak makan seperti selalu dan berbalik pada menu nasi dan lauk-pauk ringkas. Begitu juga dengan cemilan-cemilan, karipap, kuih keria dan onde-onde macam dah tak boleh diterima di tekak, terlalu kerap dan selalu sangat menjadi juadah berbuka. Hari ini Che Mat nak kongsikan satu resipi ringkas menggunakan seri kaya Yeo’s dan sedikit bahan-bahan lain untuk dijadikan cemilan yang sedap. Sesuai untuk dihidangkan masa berbuka nanti atau boleh dimakan selepas solat tarawih..

rsz_ppsk1
Puff berinti pisang, keju dan kaya Yeo’s ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati, tak kiralah sama ada anda tinggal di bandar atau pun kampung. Untuk kulit puff, Che Mat gunakan roti prata / roti canai segera (tapi pastikan roti prata yang mentah, bukan separuh masak) dalam 4 keping. Intinya guna pisang dan keju. Paling istimewa ditambah seri kaya Yeo’s untuk menambah kesedapannya. Seri kaya Yeo’s diperbuat dari ramuan yang berkualiti dan menjadi pilihan sejak generasi ke generasi atas sebab keharuman dan kesedapannya, dan yang paling penting, ia HALAL. Puff ini kita boleh buat awal dan simpan dalam freezer, kemudian dibakar bila hendak dimakan. Ia sedap dimakan panas atau suam. Katalah takde prata segera, kita boleh gantikan dengan puff pastry…

yeo's logo
Ramadan semakin meninggalkan kita dan dalam kesempatan beberapa hari ini kita masih sempat untuk berbagi-bagi keberkatannya. Dengan tema ‘Berkat Dirasa Bersama’, Yeo’s menggalakkan orang ramai berkongsi kegembiraan bersama mereka yang tersayang. Produk Yeo’s sejak sekian lama telah mewarnai kehidupan masyarakat Malaysia dan dengan berkongsi sesama kita, ia dapat memberi satu kebahagian walaupun ia sekadar minuman atau pun produk-produk makanan Yeo’s yang lain. Tak lupa di hari raya nanti, Yeo’s tetap menjadi hidangan yang boleh memberi senyuman pada mereka yang menikmatinya. Mari Che Mat kongsikan resipi ringkas untuk hari ini yang boleh anda cuba nanti….

BAHAN-BAHANNYA
4 keping roti prata/roti canai segera (pastikan yang belum dimasak)
1 tin kecil seri kaya Yeo’s (perisa asli)
½ cawan parutan keju cheddar
1 cawan penuh pisang yang telah didadu
1 kuning telur + 1 camca besar air, dikacau rata
Bijan secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 190C. Keluarkan roti prata segera dari freezer dan biarkan sekejap pada suhu bilik (jangan biarkan sampai lembut sangat, nanti melekat). Ambil sekeping roti prata segera dan tanggalkan plastik alas bahagian atasnya, yang bahagian bawah dibiarkan.
  2. Sapu ½ bahagian permukaan roti prata dengan seri kaya Yeo’s (anggaran 1 ½ camca besar). Tabur ¼ cawan pisang yang telah didadu tadi dan akhir sekali taburkan ¼ bahagian parutan keju cheddar.
  3. Berhati-hati lipat di bahagian kosong roti prata hingga menutupi bahagian yang ada inti. Kemaskan hujung-hujungnya dan tekan dengan garfu (akan membentuk seperti karipap saiz besar). Buat kaedah sama dengan baki roti prata dan bahan-bahan yang lain hingga siap.
  4. Alihkan ke dalam dulang pembakar yang dialas dengan kertas minyak atau boleh juga dilanser dengan sedikit mentega (pastikan plastiknya ditanggalkan). Cucur sikir permukaannya dengan garfu, sapu dengan kuning telur dan taburkan bijan. Bakar 25 minit atau hingga kuning keemasan. Keluarkan dari oven, biarkan suam dan boleh hidangkan untuk berbuka puasa atau pun bersahur…Selamat mencuba!!

Thursday, June 15, 2017

RESIPI BISKUT LEMAK KEJU CHEDDAR

image-2017-06-14
Assalammualaikum, salam semua. Entri kali ini, che mat kongsikan satu lagi resipi biskut yang che mat buat tempoh hari. Kebetulan ada lebihan cheese cheddar dalam peti sejuk, lama juga dah simpan. Sebelum ni memang ada simpan satu resipi biskut lemak keju cheddar, tapi tu lah, kadang2 simpan saja, bertahun2 tapi tak mencuba. Jadi kali ni kita kasi buat dan uji rasa, kalau sedap. boleh buat lagi tahun hadapan, in sha Allah kalau diberi usia. Rasanya lemak dan ada rasa keju (dah nama pun biskut lemak keju cheddar, yea dak). Dan bagi yang tak suka biskut terlalu manis, yang ini untuk anda. Kadang2 muak juga asyik disumbat dengan biskut2 raya yang manis2. Resipi mudah dan kalau nak mencuba, che mat kongsikan di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram mentega
300 gram tepung gandum*
100 gram tepung jagung*
1/2 camca teh soda bikarbonate*(*disatukan dan diayak)
130 gram gula aising, diayak
1/2 cawan nestum, diramas
1 biji telur gred A
100 gram parutan keju cheddar
1 kuning telur, untuk disapu atas biskut
Parutan keju cheddar, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, masukkan telur dan putar rata. Masukkan parutan keju cheddar dan gaul.  Sementara itu satukan bahan2 yang diayak dengan nestum yang diramas tadi. Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam mesin hingga habis dan menjadi doh yang lembut. Rehatkan 10 minit.
  2. Bahagikan kepada 3 bahagian. Ambil 1 bahagian, canai antara dua helai plastik bersih, canai setebal 1/2 cm, terap dengan acuan kegemaran anda dan susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  3. Sapukan permukaan biskut dengan telur kuning dan taburkan sedikit parutan keju cheddar sebagai hiasan. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 160C selama 20 - 25 minit atau hingga kuning keemasan. Sejukkan biskut atas jaringan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara...Selamat mencuba!!

Wednesday, June 14, 2017

RESIPI BISKUT TELUR REBUS

image-2017-06-14 (1)
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tak boleh nak berborak panjang. Ini pun curi2 masa untuk kemaskini blog. Beberapa hari lepas che mat ada cuba bikin biskut telur rebus. Biskut ini dah lama berlegar2 di blog teman2 masakan, tapi entah kenapa baru sekarang baru teringin nak mencuba. Ianya unik kerana menggunakan telur rebus dan hanya bahagian kuningnya sahaja yang diambil. Yang bahagian putih, kita boleh makan dengan kicap. Bahan2 yang digunakan juga tak banyak. Rasa biskut telur rebus memang sedap, lemak dan cair dimulut. Sesuai kalau anda buat untuk hidangan hari raya nanti. Hiasan atas biskut terpulang pada kreativiti anda, asal cantik dipandang dan tak keterlaluan sudah cukup. Che mat guna isi kuaci labu saja sebagai hiasan. Jika nak mencuba, resipi seperti dibawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur gred A
250 gram mentega
200 gram tepung gandum*
200 gram tepung jagung*
150 gram tepung kastard*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
100 gram gula aising, diayak
1 camca teh esen vanilla
1 kuning telur, untuk disapu atas biskut
Isi kuaci labu secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur direbus hingga keras, kupas kulitnya dan ambil bahagian kuning sahaja. Masukkan dalam tapis dan lecek sambil ditekan2 perlahan, jangan lupa bawah ditadah dengan mangkuk. Tujuannya untuk mendapat hasil lecekkan yang halus. Ketepikan,
  2. Putar mentega dan gula aising hingga sebati. Masukkan esen vanilla dan kuning telur rebus yang dilecek halus tadi. Putar dengan kelajuan perlahan hingga semua bersatu. Perlahan2 masukkan tepung yang telah diayak, sedikit demi sedikit, hingga habis dan bancuhan menjadi doh yang boleh dicanai.
  3. Bahagikan doh tadi kepada 3 bahagian dan tutup permukaannya dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan. Ambil 1 bahagian, canai antara 2 keping plastik, canai setebal 1/2 cm dan cetak dengan acuan biskut pilihan anda. Alihkan ke dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  4. Panaskan oven pada suhu 170C selama 10 minit. Sapu permukaan biskut dengan kuning telur, hias dengan 2 biji isi kuaci labu. Kemudian bakar biskut lebih kurang 25 minit atau hingga masak. Sejukkan biskut atas jaringan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara....

Thursday, June 8, 2017

RESIPI NASI LEMAK HALBA DAN SAMBAL TUMIS YEO'S

rsz_nssy
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah masuk 13 Ramadan , kurang lebih 2 minggu lagi kita hendak menyambut bulan Syawal. Bagaimana dengan persiapan, mesti ada yang  dah beres semuanya  dan ada juga yang suka buat persiapan di akhir-akhir waktu, sebab nak merasai kemeriahan Hari Raya. Di sebabkan puasa sudah hampir ke penghujung minggu ke-2, mood memasak pun dah mula berubah, kalau dapat nak masak yang ringkas dan cepat. Che Mat pun macam tu juga. Antara hidangan yang senang dimasak ialah nasi lemak. Mereka yang sibuk bekerja, Che Mat cadangkan sambal tumis ikan bilis Yeo’s digandingkan dengan nasi lemak bagi meringkaskan  masa anda. Percaya tak pertama kali Che Mat cuba makan sambal tumis ikan bilis Yeo’s dengan nasi lemak, macam tak sangka ia begitu sedap dan rasa ngam sangat…berbunga-bunga hati sebab tak payah nak bersusah-susah menumis sambal…senang kerja pakcik...

rsz_nssy1
Ada dua pilihan sambal tumis Yeo’s, sambal tumis ikan bilis dan sambal tumis udang. Kedua-duanya sesuai digandingkan dengan nasi lemak, malah dengan apa saja pun boleh, nak dijadikan perencah nasi atau mi goreng, nak makan dengan ketupat pun boleh. Halal ke? Toksah khuatir, semua produk Yeo’s dijamin Halal. Bagi yang tak pandai atau tak biasa dengan sukatan santan dan beras, Che Mat syorkan guna beras Basmathi, insha Allah nasi lemak pasti menjadi dengan lembut dan sedap. Sukatan beras Basmathi biasanya 1 beras : 1 ½ cecair, contohnya jika kita masak 1 cawan beras Basmathi, santannya ialah 1 ½ cawan. Kalau masak 2 atau 3 cawan, gandakan saja penggunaan santan tu, tak payah nak pening kepala takut nasi lemak jadi keras atau lembik. Toksah malu-malu mencuba, hidangkan dengan sambal tumis ikan bilis atau udang Yeo’s, dijamin licin seperiuk nasi lemak tu!..

yeo's logo
Bulan Ramadan begitu dimuliakan, dan dibulan ini jika kita bersedekah atau menyediakan hidangan untuk mereka yang berpuasa, pahalanya berlipat kali ganda. Atas kesedaran ini Yeo’s telah mengambil inisiatif sempena bulan Ramadan dengan menggalakkan kita berkongsi rezeki dengan teman-teman dan orang-orang disekeliling kita. Dengan tema ‘Berkat Dirasa Bersama’ diharapkan kemuliaan Ramadan ini dapat dirasai oleh semua, tak kira bangsa dan agama, dengan berkongsi prouduk-produk Yeo’s. Dan tak salah jika resipi-resipi yang telah dicuba, kita berkongsi dengan jiran tetangga, seperti amalam di kampung, yang sering bertukar-tukar juadah berbuka ketika Ramadan…Baru terasa kemeriahannya...Untuk berbuka hari ini, apa kata cuba masak Nasi Lemak Halba & Sambal Tumis Yeo’s…Resipi seperti berikut…

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan beras basmathi
4 ½ cawan santan segar
1 biji bawang besar, dibelah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1 batang serai, dititik
1 helai daun pandan, disimpul
20 biji halba
1 camca teh garam (atau secukup rasa)

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
2 tin sambal tumis ikan bilis Yeo’s
Hirisan timun secukupnya
Kacang tanah goreng secukupnya
Ikan bilis goreng secukupnya
Telur rebus secukupnya
Ulam petai (jika suka)
Ayam goreng rempah (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1.  Beras basmathi dicuci, kemudian rendam 20 minit dan toskan. Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik (rice cooker), tuang santan, masukkan serai, daun pandan, bawang besar, bawang putih, halba dan garam. Kacau rata dan tekan ‘on’. Biar hingga nasi masak dan suis rice cooker bertukar kepada ‘warm’.
  2. Dengan menggunakan chop stick, gemburkan nasi lemak, tapi jangan kacau banyak kali nanti nasi akan patah-patah. Cukup 3 – 4 kali. Padamkan suis periuk nasi, ini mengelakkan nasi lemak berkerak.
  3. Tutup kembali tudung periuk dan biarkan 15 minit. Boleh sendukkan nasi lemak halba ke dalam pinggan sesuai, nak lebih authentic, alas pinggan dengan daun pisang. Hidangkan dengan sambal tumis ikan bilis Yeo’s dan bahan-bahan sampingan yang lain. Nikmati ketika berbuka puasa….Selamat mencuba!

Monday, June 5, 2017

RESIPI PUDING BERKUAH

rsz_pcaz
Assalammualaikum, salam Ramadan semua. Hari ni masuk 10 hari kita berpuasa. Dan menu mula berubah sikit2. Semalam petang che mat masak awal dan masa duduk2 tu, melawatlah blog masakan kawan2 dan ternampak satu resipi yang mudah dan paling penting sedap, iaitu puding berkuah. Kadang2 che mat malas nak buat sebab kat rumah ni tak makan sangat, kecuali kita sorang saja. Tapi disebabkan puasa dan teringin sangat, buat jugalah 1/2 dari resipi asal. Oh yea resipi che mat ambik dari blog Kak Azlita Masam Manis, di sini. Rasanya memang nyaman di tekak, nak2 bila dimakan ketika berbuka puasa. Cuma pada che mat kuah kastard tu sedikit manis, jadi kalau anda tak berapa suka manis, boleh kurangkan sedikit gula. Jika nak mencuba, che mat tuliskan resipinya seperti dibawah ini....Terima kasih Kak Ita sudi berkongsi resipi....

BAHAN-BAHAN KASTARD :-)
1 cawan tepung kastard (Bird's Custard, pilihan che mat)
5 cawan air
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan gula + 1 camca besar gula (che mat bikin 1/2 dari resipi ini, jadi guna 1/4 cawan gula)
1 helai daun pandan (che mat tambah)

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 tin susu cair
2 gelas air (kurang lebih 600 ml)
5 camca besar gula pasir
Secubit garam
1 camca besar tepung kastard
1 camca teh esen vanilla
Fruit coktail secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KASTARD :- Satukan semua bahan2 untuk kastard kecuali daun pandan. Kacau hingga semua rata, Masukkan daun pandan dan masak atas api sederhana sambil dikacau hingga pekat. Masak hingg kelihatan gelombong meletup2. Matikan api, keluarkan daun pandan dan sudukan kastard ke dalam bekas2 kecil. Biarkan kastard mengeras. Ketepikan.
  2. UNTUK KUAH KASTARD :- Dalam periuk, satukan semua bahan2 kuah kecuali fruit coktail. Kacau rata dan masak hingga mendidih, gunakan api kecil. Kacau rata dan matikan api. Tapis dan biarkan hilang wap panas. Sejukkan dalam peti sejuk.
  3. UNTUK PUDING BERKUAH :- Sediakan mangkuk sesuai, keluarkan puding dari acuan dan masukkan ke dalam mangkuk. Sudukan buah2an coktail secukupnya dan tuang kuah kastard yang telah disejukkan secukupnya. Boleh hidangkan, sedap dimakan sejuk...Selamat mencuba!!

Thursday, June 1, 2017

RESIPI KERABU MANGGA ALA THAI

rsz_kmas
Assalammualaikum, salam semua. Hari Khamis 6 Ramadan, pheww cepat nya, rasa macam baru semalam mula puasa, tau2 dah dekat seminggu. Dan hari ini juga kita sudah melangkah pertengahan tahun 2017. Che mat pun dah mula merancang nak bikin biskut raya dalam masa terdekat ni, maklumlah kita ni tak suka stress, sehari satu jenis biskut sudah lah, lepas tu nak melapis kek pulak, itu pun kalau rajin. Plan berbuka puasa apa hari ni?...Che mat masak yang ringkas2 saja sekarang ni. Menu kerabu mangga ala Thai yang awak2 semua nampak tu, kita bikin semalam, untuk bukak puasa. Buah mangga tu dah beli sejak hari pertama puasa, nasib baik masih ok, kalau dah masak, hampa lah harapan nak bikin kerabu, itu pun sebiji dah mula kekuningan tapi masih keras lagi. Kali ni che mat masukkan sotong kembang yang telah dihiris kecil dan direbus sebagai rencahnya selain ada udang kering. Sebab bulan puasa, penggunaan cilipadi dikurangkan, takut panas perut nanti. Tapi kalau suka pedas, silakan lah yea lambak cili padi ikut suka.... Kalau teringin nak mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN- BAHANNYA :-)
2 biji mangga mengkal atau mangga muda saiz sederhana
10 biji tomato ceri, dibelah 4 setiap 1
1 ekor sotong kembang, cuci dan hiris kecil, rebus 10 minit dan toskan
1 kuntum bunga kantan, mayang halus
1 biji bawang besar, mayang halus
1 genggam udang kering, cuci, toskan dan goreng tanpa minyak hingga wangi, tumbuk hancur
1 camca besar sos ikan
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun pudina untuk hiasan
Kacang tanah tumbuk secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji cili merah
5 biji cil padi merah Thai
1 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Mangga dikupas kulitnya, cuci dan lap kering. Kemudian takik2 mangga tadi dan hiris, buat hingga habis, masukkan ke dalam mangkuk besar bersama sotong kembang yang telah direbus tadi, hirisan bunga kantan, bawang besar dan bahan2 tumbuk halus. Gaul hingga rata.
  2. Masukkan sos ikan, gula (anggaran 1/2 camca besar) dan jus limau kasturi, gaul rata dan tambah sedikit garam jika perlu. Akhir sekali taburkan dengan kacang tanah tumbuk dan hias dengan daun pudina. Hidangkan untuk berbuka puasa nanti. Selamat mencuba!!

Wednesday, May 31, 2017

RESIPI AGAR-AGAR KARAMEL SOYA YEO'S

rsz_aksy
Assalammualaikum, salam semua. Diam tak diam hari ini dah masuk 5 Ramadan bermakna kita telah menjalankan ibadah puasa untuk hari ke-5. Macm mana puasa-puasa sebelum ni, harap-harap semuanya ok dan boleh bertahan. Hari ni Che Mat nak kongsikan satu resipi yang amat mudah dibuat dan sesuai sebagai pembasah tekak di waktu berbuka puasa nanti. Dia macam pudding karamel tapi tidak susah seperti hendak membuat 'pudding karamel'...errkk, macam mana pulak tu? Prosesnya macam bikin agar-agar biasa tapi kita menggunakan susu soya Yeo's. Bagi ibu-ibu yang bekerja, boleh buat awal dan dinginkan dalam peti sejuk. Bila sampai masa berbuka puasa, tinggal hidangkan saja....

rsz_aksy1
Susu soya Yeo's ini rasa dia cukup lemak dan tidah terlampau manis. Bila kita memilih produk makanan, yang paling dititik beratkan dari segi Halalnya dan kebersihan. Susu soya Yeo's dan semua produk-produk Yeo's adalah dijamin Halal dan bersih. Kita nak makan pun takde lah rasa ragu-ragu, hati pun senang. Resipi yang Che Mat kongsikan ini akan menghasilkan 5 biji agar-agar karamel soya. Che Mat guna bekas atau acuan yang setiap satunya berkapasiti 100 ml dan cuma 2 kotak susu soya Yeo's, 250 ml setiap sekotak, diperlukan. Kalau nak buat lebih, boleh guna susu soya Yeo's kotak besar yang 1 liter...

yeo's logo
Seperti selalunya, bila tiba bulan Ramadan, Yeo's akan sentiasa bekerjasama untuk menyebarkan keberkatan bulan yang mulia ini. 'Berkar Dirasa Bersama' adalah satu kempen di mana untuk menggalakkan kita semua berkongsi kegembiraan dan keberkatan bulan mulia ini dengan rakan taulan, saudara-mara dan mereka yang kurang bernasib baik di sekeliling kita. Perkongsian bukan sahaja dengan wang ringgit, tapi juga dengan berbagi-bagi bahan makanan dan sebagainya. Produk Yeo's seperti minuman dan produk-produk Yeo's yang lain, amat sesuai dijadikan pemberian untuk mereka sama-sama merasai kebahagian di waktu berbuka puasa atau bersahur. Mari Che Mat kongsikan resipi yang boleh dicuba nanti...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 kotak susu soya Yeo's (setiap satu kotak = 250 ml)
1 camca teh serbuk agar-agar
1 camca besar gula pasir
1 helai daun pandan, disimpul
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca besar tepung kastard

BAHAN-BAHAN KARAMEL :-)
1/3 cawan gula pasir
3 camca besar air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siapkan 5 acuan atau ramekin yang setiap satunya berkapasiti 100 ml. Masukkan 1/3 cwan gula pasir ke dalam periuk. Tuang 2 camca besar air, kacau dan masak atas api kecil, tak perlu dikacau. Terus memasak hingga gula bertukar keemasan dan berbuih-buih. Berhati-hati masukkan baki 1 camca besar air. Kacau rata dan masak sekejap lagi hingga pekat. Tuangkan sama rata dalam 5 acuan yang telah disediakan tadi. Ketepikan.
  2. Dalam periuk lain, masukkan serbuk agar-agar, tepung kastard dan gula pasir, kacau rata. Tuang susu soya Yeo's dan kacau hingga semua sebati. Masukkan daun pandan dan masak atas api sederhana hingga mendidih, pastikan gula dan serbuk agar-agar larut. Kacilkan api dan masak hingga kelihata pekat sedikit. Masukkan esen vanilla dan kacau rata. Tapiskan ke dalam jug bermuncung.
  3. Berhati-hati tuangkan bancuhan agar-agar tadi ke dalam setiap bekas yang telah dituang karamel sebelumnya. Biarkan hingga hilang wap panas dan boleh masukkan ke dalam peti sejuk. Dinginkan 1 - 2 jam atau sehingga sampai waktu untuk berbuka puasa. Keluarkan dari acuan dan hias ikut suka. Boleh hidangkan, sedap dimakan sejuk. Selamat mencuba!

Monday, May 29, 2017

RESIPI AGAR-AGAR CENDOL

rsz_aac
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat curi2 masa kemas kini entri di blog. Bila bulan puasa, menu yang dimasak tak jauh beza dengan hari2 biasa. Dan kalau dapat masa berpuasa ni elakkan masak berlebihan sehingga tak habis. Begitu juga bila membeli di bazar Ramadan. Kadang2 mata kita ni nampak semua nak, semua sedap. Bila dah buka puasa, kau tonggak air, terus macam dah kenyang separuh. Lepas tu tengok benda2 yang beli kat bazar tadi macam tak bernafsu dah. Satu lagi cabaran bulan puasa ni ialah, bila kita yang berpuasa tapi kena masak, bab ni kadang2 che mat stress juga tapi dah tanggungjawab kita, tu pasal sekarang ni masak yang mudah2 saja. Sejak Bak takde, che mat sendiri agak kurang mood nak memasak. Tapi kehidupan ini bukan satu perjalanan yang boleh kita lalui mengikut perasaan semata2, kena berpijak di bumi yang nyata, betul tak...

rsz_aac1
Bercerita pasal Agar2 cendol, ini antara menu berbuka semalam. Yang ni che mat bikin pagi, dalam jam 10 macam tu. Resipi tak susah dan in sya Allah semua orang boleh buat. Agar2 cendol paling nyaman dimakan bila sejuk. Yang ni memang menjadi hidangan feberet dibulan puasa. Kalau suka boleh bekukan dalam bekas2 kecil, tapi kita malas wakk, buat ajer dalam loyang 8 inci x 8 inci. Oh yea, jika bekukan dalam bekas bercorak (maksudnya bila agar2 dikeluarkan dari acuan, bahagian bawahnya akan bercorak), pastikan kita bekukan bahagian putih dahulu (bahagian cendol), kemudian baru bekukan bahagian gula merah. Macam che mat bikin dalam loyang, jadi bekukan yang gula merah dulu, kendian baru tuang yang putih...Boleh faham kan....alhamdulillah...Mari kita semak resipi dan jangan lupa mencuba nanti...

BAHAN-BAHAN A (LAPISAN GULA MERAH) :-)
120 gram gula melaka, potong kecil
380 ml air
5 gram agar2 serbuk
130 ml santan
1 helai daun pandan, disimpul

BAHAN-BAHAN B (LAPISAN CENDOL) :-)
380 ml air
5 gram agar2 serbuk
50 gram gula pasir
130 ml santan
1/2 camca besar tepung jagung
1 cawan isi cendol, ditoskan
1 helai daun pandan, disimpul
Secubit garam

page

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK LAPISAN BAWAH :- Sediakan loyang 4 segi berukuran 8 inci x 8 inci x 1 inci. Letakkan loyang tadi dalam bekas yang lebih besar (seperti dalam gambar 1). Satukan semua bahan2, kecuali santan, ke dalam periuk. Masak hingga agar2 dan gula larut. Tuang santan, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Matikan api dan tapis, tuang ke dalam loyang tadi.
  2. Untuk mempercepatkan agar2 beku, che mat tuang air dalam bekas yang ada loyang agar2 dan masukkan beberapa ketul ais kiub. Sementara kita siapkan adunan bahagian atas, agar2 pun dah beku.
  3. UNTUK LAPISAN ATAS :- Dalam periuk, satukan semua bahan2 B kecuali santan, tepung jagung dan cendol. Kacau rata dan masak hingga gula dan agar2 larut. Sementara itu satukan santan dan tepung jagung, kacau rata. Masukkan bancuhan santan tadi ke dalam periuk, perlahankan api dan kacau rata, masak hingga mendidih. Matikan api dan tapis, biarkan sekejap dan masukkan cendol, kacau rata (seperti dalam gambar 2).
  4. UNTUK AGAR2 CENDOL :- Keluarkan loyang berisi agar2 yang telah keras. Kemudian cakar2 permukaannya dengan garfu (seperti gambar 3). Perlahan2 tuang bancuhan agar2 cendol atasnya. Biarkan hingga hilang wap panas dan simpan dalam peti sejuk hingga keras. Potong dan boleh hidangkan untuk berbuka puasa.
CATATAN MAT GEBU :- Jika guna santan kotak saiz kecil (200ml), tambah sedikit air untuk mendapat ukuran 260 ml, kemudian dibahagikan dua bahagian (130 ml setiap satu bahagian). Tujuan agar2 lapisan bawah dicakar dengan garfu, ialah untuk memastikan ia melekat dengan adunan cendol bila agar2 beku nanti...Selamat mencuba!


Sunday, May 28, 2017

RESIPI TELUR PUYUH BERLADO

rsz_tpkb
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah masuk 2 Ramadan, walaupun puasa kali ni Che Mat rasa sedikit letih, namun aktiviti memasak berjalan seperti biasa. Che Mat suka masak cepat terutama masakan seperti kari. gulai atau sambal. Jika hari tu ada menu sayur yang jenis tumis2, petang baru masak. Kali ni nak berkongsi menu ringkas yang sesuai untuk berbuka dan bersahur nanti. Buatnya mudah dan paling sesuai dimakan dengan nasi panas dan direnjis sedikit kicap. Telur puyuh berlado ini che mat masukkan kentang sebagai bahan sampingan. Kalau takde telur puyuh, boleh ganti dengan telur ayam. Ada dua kaedah, pertama telur yang telah direbus, tak perlu digoreng atau kaedah kedua, kita boleh goreng sekejap hingga telur kelihatan 'berkulit'. Jika suka pedas boleh masukkan beberapa biji cilipadi...Resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
30 biji telur burung puyuh. direbus dan kupas kulitnya
1 biji kentang saiz besar, kupas dan potong kiub, direndam
1 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar penuh gula pasir
1 biji tomato masak ranum
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN SAMBAL :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
4 biji cili merah
1 pokok daun bawang, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur burung puyuh yang telah direbus, digoreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Kemudian goreng pulak kentang(toskan dahulu air rendamannya) hingga kekuningan, angkat dan toskan minyaknya. Tomato dikelar sedikit kulitnya, kemudian rebus sekejap, toskan. Buang kulitnya dan cincang halus.
  2. Tumbuk buah keras hingga halus, masukkan cili merah dan tumbuk hingga hancur, tambah bawang putih dan bawang merah, tumbuk hingga semua lumat. Akhir sekali masukkan daun bawang, dan tumbuk sekejap hingga semua sebati. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk hingga harum, masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah garam dan gula, kacau dan terus memasak hingga garing, tambah tomato cincang dan gaul rata. 
  4. Masukkan telur puyuh dan kentang yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan akhir sekali masukkan jus limau kasturi. Kacau dan masak sekejap hingga kering, matikan api dan alihkan ke dalam bekas sesuai. Hidangkan ketika berbuka puasa atau bersahur...Selamat mencuba!

Thursday, May 25, 2017

RESIPI KUIH EE BERKUAH MINUMAN LAICI YEO'S

rsz_kee
Assalammualaikum, salam semua. Jika diizinkan Allah swt, dua hari lagi akan tiba bulan Ramadan dan umat Islam mula menjalankan ibadah puasa. Biasanya kalau bulan puasa, kita lebih suka menikmati pencuci mulut yang segar dan nyaman. Kali ini Che Mat akan kongsikan resipi tradisi orang Peranakan Cina iaitu 'kuih ee'. Kuih ini selalunya dibuat ketika mereka meraikan perayaan 'Tang Check' dan turut disajikan ketika majlis perkahwinan. Walaupun ia bukan kuih-muih orang Melayu, kuih ee sudah diterima dan menjadi salah satu hidangan pencuci mulut masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Apa yang istimewanya kali ini kuahnya Che Mat menggunakan minuman laici Yeo's yang sudah pasti dijamin halal. Biasanya kuih ee asli dimakan bersama air gula yang dimasak dengan daun pandan dan halia. Jika suka, minuman laici Yeo's juga boleh kita masak dengan daun pandan (tak perlu taruk halia) untuk mendapat aroma yang lebih wangi. Tapi Che Mat hanya sajikan begitu sahaja, namun rasanya tetap sedap dan menyegarkan...

rsz_kee1
Kuih ee boleh kita siapkan awal, tutup dengan plastik bersih dan simpan dalam peti sejuk. Bila sampai masa nak makan, rebus hingga masak dan boleh hidangkan dengan minuman laici Yeo's sebagai kuahnya. Lari dari kebiasaan, kuih ee, Che Mat masukkan inti kacang tanah yang telah digaul dengan susu pekat manis. Dan kuahnya minuman laici Yeo's ditambah kiub ais. Kalau dah nama bulan puasa, pasti yang sejuk dan dinginlah menjadi pilihan, betul tak? Hidangan ini untuk 4 hingga 5 orang...

yeo's logo
Seperti kita sedia maklum, Ramadan bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Yeo's dengan kempen 'Berkat Dirasa Bersama' menggalakkan kita berkongsi rezeki dengan saudara-mara, sahabat handai dan mereka yang memerlukannya. Yeo's ingin menjadikan Ramadan yang keberkatannya dapat dikongsi dan dirasai bersama dengan minuman dan produk-produk Yeo's. Pada semua umat Islam, Che Mat ucapkan selamat menyambut bulan Ramadan, moga puasa kita diterima dan diberkati Allah swt....aminn....Jomm kita semak resipi pulak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 kotak minuman laici Yeo's ( 250 ml setiap 1 kotak)
1 cawan tepung pulut
125 ml air suam (1/2 cawan)
Secubit garam
Pewarna makanan (merah, hijau dan kuning)
1 helai daun pandan, disimpul
2 1/2 camca besar penuh kacang tanah tumbuk
2 camca besar susu pekat manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mangkuk, satukan kacang tanah tumbuk dan susu pekat manis. Gaul rata hingga sebati. Kemudian bentukkan menjadi bola-bola kecil sebanyak 48 biji. Simpan dalam peti sejuk sementara kita siapkan dohnya.
  2. Satukan tepung pulut dengan sedikit garam dalam mangkuk besar. Gaul rata dan tuang air suam sedikit demi sedikit hingga habis, sambil digaul hingga menjadi doh lembut yang tidak melekat di tangan dan mangkuk adunan.
  3. Bahagikan doh kepada 4 bahagian sama banyak. 1 bahagian di biarkan pada warna asal (putih), 1 lagi diwarnakan hijau, 1 lagi diwarnakan kuning dan 1 lagi diwarnakan merah. Ketepikan.
  4. Setiap satu bahagian (setiap doh putih dan doh yang bewarna) dibahagikan kepada 12 bahagian kecil. Isikan setiap satunya dengan inti kacang tanah yang telah disiapkan awal-awal tadi. Bulat-bulatkan seperti bebola. Buat hingga semua siap.
  5. Masak air, masukkan daun pandan dan biarkan hingga air menggelegak. Masukkan bebola tadi dan masak hingga terapung, biarkan 3 - 4 minit, baru dicedok keluar dan terus rendamkan dalam air ais seketika.
  6. Tos dan masukkan bebola tadi ke dalam mangkuk sesuai (pastikan setiap mangkuk mengandungi setiap bebola bewarna). Tuang minuman laici Yeo's secukupnya dan tambah ais kiub. Boleh hidangkan dan amat sesuai dinikmati ketika berbuka puasa nanti...Selamat mencuba!!

Sunday, May 21, 2017

RESIPI LEMAK CILI PADI PETAI MUDA

rsz_petai_kikis

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi klasik yang mungkin jarang2 dimasak ditempat lain. Bonda che mat pernah tinggal di Rembau semasa dia kecil dulu dan bonda sering bercerita kisah2 dan gaya kehidupan ketika itu yang begitu amat dan praktikal. Memasak pun hanya gunakan bahan2 asas yang ada disekitar kawasan kampung, seperti kunyit, cilipadi, serai, kelapa dan bahan mentah ada tu seperti ikan air tawar, mereka pancing atau menjala sendiri samada di sungai ataupun sawah. Bila musim petai, mereka akan manfaatkan petai tadi dengan memasak pelbagai masakan menarik. antara yang popular bila musim petai dan tentulah menu masak lemak cili padi petai muda. Semalam masa ke pasar pagi di Benut, Pontian, che mat beli 2 ikat petai yang agak muda, jadi hari ni kita masak menu klasik yang terkenal di Negeri Sembilan. Untuk sedikit kelainan, che mat masukkan cendawan kukur...kan kita yang buat dia, betul tak.

gpk3
Petai che mat guna dalam 5 papan, dibuang tepinya dan kikis macam dalam gambar atas tu. Lepas siap kikis, kita kerat dan rendam dalam air. Cendawan kukur juga perlu direndam hingga kembang, sebab che mat guna yang kering, kemudian dibersihkan dan tumbuk sedikit. Cendawan akan menjadikan masakan ini lagi sedap dan wangi. Jika takde cendawan, tak perlu letak, guna petai saja pun dah ok. Jika nak mencuba, che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 papan petai muda
1 cawan penuh cendawan kukur kering, direndam hingga kembang
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit, toskan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUH HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung (che mat guna yang merah dan hijau)
2 inci kunyit hidup, pilih kunyit tua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petai muda dibuang sedikit bahagian tepinya, kemudian kikis bahagian kulit luar petai pada kedua2 bahagian, buat hingga semua siap, kerat seperti dalam gambar di atas dan rendam. Cendawan kukur ditoskan, cuci sekali lagi, toskan dan perah. Kemudian tumbuk sedikit (sekadar memar2kan saja, jangan sampai hancur pulak).
  2. Masukkan bahan2 tumbuk halus ke dalam periuk bersama cendawan kukur, petai kikis (toskan dulu air redamannya) dan serai titik. Gaul rata dan tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan asam gelugor dan masak dengan api sederhana hingga petai kikis lembut. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Thursday, May 18, 2017

RESIPI PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_lptkh
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin pucuk turi masak lemak sama kacang hijau. Pada mulanya rasa malas nak jadikan entri blog, tapi di FB ada permintaan agar che mat kongsikan resipi ini. Mungkin ada yang tak pernah rasa atau mencuba. Rasanya orang Johor yang suka masak cara begini. Selain kacang hijau, boleh juga dimasukkan keledek. Kalau kita menggulai udang, boleh masukkan pucuk turi, atau masak lemak labu manis juga sesuai dimasukkan pucuk turi sebagai bahan sampingan. Pucuk turi juga boleh dijadikan urap. Bunganya sedap ditumis sama ikan bilis dan cili padi. Lauk begini sesuai disajikan dengan nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng/ikan masin. Tak perlu banyak macam. Memasaknya mudah dan che mat syorkan rencahnya guna udang kering....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk turi, asingkan dari tangkainya, cuci dan toskan
1/3 cawan kacang hijau, cuci dan rebus hingga kembang
1 liter santan cair
400 ml santan pekat
4 biji bawang merah, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
Garam dan gula secukup rasa
Air panas jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan santan cair, bawang merah, bawang putih dan udang kering ke dalam periuk. Kacau dan masak atas api hingga mendidih. Masukkan pucuk turi yang telah ditoskan tadi, kacau rata dan jika kurang kuah boleh tambah sedikit air panas.
  2. Masukkan kacang hijau rebus (dengan air rebusannya sekali) kacau rata dan masak hingga pucuk turi lembut. Tuang santan pekat, masukkan cili merah hiris. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. 
  3. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng @ ikan masin...Selamat mencuba!!

Wednesday, May 17, 2017

RESIPI APAM BALIK SOYA YEO'S

rsz_absy
Assalammualaikum, hari ni Che Mat nak kongsikan satu resipi yang mudah dibuat dan kita boleh menjadi lebih kreatif dengannya. Apam balik satu jenis kuih atau jajanan yang terkenal di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia (tapi kalau di Indonesia, mereka panggil murtabak manis dengan inti yang pelbagai rasa). Biasanya kalau di pasar malam, apam balik antara kuih yang paling laris. Sebenarnya kita boleh membuatnya dengan mudah di rumah. Kali ini Che Mat menggunakan susu soya Yeo;s sebagai ganti susu lembu, amat sesuai bagi mereka yang tak boleh minum susu. Satu yang bagusnya, resipi ini hanya menggunakan sekotak minuman soya Yeo's 250 ml dan gula yang sedikit. Bahan-bahannya juga tidak banyak...

rsz_absy1
Ia akan menghasilkan apam balik bersaiz 8 inci sebanyak 3 keping. Intinya boleh dipelbagaikan. Kalau suka keju, boleh taburkan parutan keju, terpulang pada citarasa masing-masing. Bagi che mat, apam balik tradisi yang berintikan jagung krim, kacang tanah tumbuk dan sedikit gula pasir, menjadi pilihan. Penggunaan susu soya Yeo's akan memberi rasa unik pada kuih apam balik ini, mesti tak percayakan? Kena buat dan rasa dulu baru tau, betul tak. Ia paling sesuai dihidangkan pada waktu minum petang, malah di waktu berbuka dan bersahur juga boleh.

Memandangkan 10 hari lagi kita umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia (In sha Allah), adalah lebih bermakna jika kita dapat gandakan kebaikkan bersama mereka yang ada disekeliling kita. Yeo Hiap Seng (Malaysia) Bhd "Yeo's" ingin menggambarkan Ramadan sebagai bulan yang penuh berkat dan cara terbaik untuk menikmatinya adalah dengan dirasai bersama. Jadi gandakan rasa itu dengan berkongsi minuman Yeo's di bulan Ramadan yang bakal datang nanti. Dapatkan maklumat lanjut di www.yeos.com.my atau hubungi 1 300-80-2828. Teruja nak mencuba resipi yang Che Mat kongsikan? Mari kita lihat di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung gandum
1 1/2 camca teh baking powder @ serbuk penaik
1/2 camca teh soda bicarbonate
2 camca besar penuh mentega, dicairkan dan disejukkan
1 kotak (250 ml ) minuman soya Yeo's
1 biji telur gred A
1/2 camca teh esen vanilla
1 camca besar gula halus
Secubit garam

BAHAN-BAHAN INTI :-)
Kacang tanah tumbuk secukupnya
Jagung krim secukupnya
Gula pasir secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mangkuk besar, satukan tepung gandum, baking powder, gula halus dan garam. Gaul rata dengan whisk. Tambah minuman soya Yeo's sedikit demi sedikit hingga habis, sambil dikacau rata hingga sebati. Masukkan telur dan mentega cair. Kacau rata hingga adunan tidak berbintil-bintil. Tapis dan rehatkan adunan selama 30 minit.
  2. Sementara itu, panaskan kuali leper tak melekat (non-stick pan) saiz 8 inci. Sapukan dengan sedikit minyak masak, gunakan tissue dapur bersih, celopkan hujungnya ke dalam minyak masak dan buat sapuan nipis pada permukaan kuali leper tadi. Panaskan kuali selama 2 - 3 minit dengan api kecil.
  3. Sementara kuali panas, masukkan soda bicarbonate dan esen vanilla ke dalam adunan apam balik. Kacau rata dengan whisk. Bahagikan kepada 3 bahagian sama banyak. Berhati-hati tuang 1 bahagian ke dalam kuali leper, gerak-gerakkan sedikit kuali tadi agar adunan apam balik melekat  sedikit di tepi bahagian dalam kuali leper.
  4. Masak dengan api kecil hingga permukaan apam balik berlubang-lubang dan mula kelihatan pucat. Ketika ini boleh taburkan sedikit gula pasir, ratakan sedikit jagung krim dan taburkan dengan kacang tanah tumbuk, biarkan seketika. Longgarkan bahagian tepi apam balik dan lipat dua. (biasanya bahagian tepi apam balik akan mengecut sedikit bila cukup masak). Tekan perlahan-lahan dan angkat. Buar kaedah sama untuk baki adunan  hingga siap. Boleh dipotong dan hidangkan... Selamat mencuba!!

Monday, May 8, 2017

RESIPI SUP 'MINESTRONE' KLASIK

rsz_cms
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi mudah dan sesuai jika dihidangkan ketika bersahur nanti...ehh, tak lama lagikan dah nak masuk bulan Ramadan. Jadi tak salah kita mula merancang resipi2 ringkas untuk bersahur. Maklum sajalah masa bersahur ni ada yang tak boleh nak jalan dengan makan nasi. Jadi akak2 boleh lah cuba resipi klasik orang Itali ni. In sha Allah sedap dan kena dengan tekak kita. Sup minestrone klasik atau dalam bahasa orang putih, Classic Minestrone Soup ini amat mudah dibuat. Dan mengikut cerita wikipedia, sup ini berasal dari Itali dan diperbuat dari bahan2 sayuran termasuk tomato sebagai bahan utama dan ditambah pasta atau nasi dalam nya. Kira kalau kat Malaysia, macam bubur lambuk. Ada juga sup minestrone yang dimasukkan daging lembu atau ayam. Boleh dikatakan sup ini terbahagi kepada dua jenis, satu berasas2kan sayur (vegetarian) dan satu lagi yang biasa. Juga ditambah kekacang dalamnya, che mat masukkan kacang merah dalam tin saja, sebab itu yang ada. Kalau anda nak mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 batang lobak merah, dipotong kiub
2 batang saleri, potong kecil
1 tin kacang merah berkaleng, toskan airnya
1/2 cawan hirisan nipis daging lembu batang pinang
1 kiub pati daging lembu (che mat guna jenama 'Tesco')
1 tin sos spaghetti tomato PERGO, contoh di sini
1/2 cawan pasta yang belom direbus (che mat guna makaroni, anda boleh guna sebarang jenis pasta)
1500 ml air
Lada hitam kisar, jika suka
Garam secukup rasa
Minyak zaitun untuk menumis
Parutan keju parmesan, untuk hiasan
Hirisan parsli, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak zaitun dalam periuk. Tumis bawang holland hingga layu, masukkan bawang putih dan hirisan daging lembu. Kacau rata dan masak hingga daging berubah warna. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah lobak merah dan saleri, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan sos spaghetti tomato, kacau dan tuang air. Biarkan menggelegak, kemudian kecilkan api dan renihkan selama 35 minit, kacau sekali sekala. Masukkan kiub pati daging lembut, kacang merah dan pasta tadi (tak perlu direbus), Masak hingga pasta lembut. 
  3. Tambah garam secukup rasa dan lada hitam jika suka. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Cedok secukupnya sup tadi ke dalam mangkuk sesuai, tabur dengan sedikit parutan keju parmesan dan juga hirisan daun parsli. Hidangkan segera, sedap dimakan panas...Selamat mencuba!!.. (sup akan menjadi pekat bila pasta mula mengembang)

Saturday, May 6, 2017

RESIPI LAKSA ASAM PULAU PINANG

rsz_pal
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita cuti makan nasi, dan sebagai ganti che mat bikin laksa asam Pulau Pinang atau Penang Asam Laksa, kata orang putih. Ada masa tekak ni nak makan satu menu yang bersih, maksudnya tanpa minyak. Menu yang rebus2 saja. Laksa asam antara hidangan yang senang dibuat dan mengenyangkan. Ada macam2 jenis laksa di Malaysia dan di bahagian utara Semenanjung Malaysia, laksa2nya lebih ringkas, dan tidak menggunakan santan. Tetapi tetap ada perbezaan masing2 terutama dari segi bahan2. Pelbagai resipi ada di internet yang boleh anda dapatkan, dan che mat perhatikan ada juga perbezaannya. Ada yang menumis bahan2 kisar halus dengan sedikit minyak sebelum dimasukkan ke dalam periuk berisi air rebusan ikan. Dan ada yang direbus terus tanpa menumis dan ditambah ketam untuk kuah yang lebih manis. Itu terpulang pada kita lah, nak ikut cara yang mana. Kadang2 resipi macam ini ada yang diwarisi dari orang dulu2, jadi setiap satunya berlainan cara memasak dan bahan2. Che mat bikin yang senang dan paling penting rasa dia cukup sedap....Nak mencuba? Resipi seperti dibawah...

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA :-)
600 gram ikan selayang @ ikan sardine (gunakan ikan yang segar)
6 keping asam gelugor
2 kuntum bunga kantan, dibelah 4 setiap 1
1 genggam daun kesom
3 camca besar cili kisar
1 batang serai, diketuk
2 liter air rebusan ikan
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air panas

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
2.5 inci belacan
3 biji cili merah

BAHAN-BAHAN UNTUK LAKSA :-)
Mi laksa secukupnya (jika guna yang kering, rebus hingga kembang, tos dan cuci bawah air paip untuk membuang kanjinya, toskan)
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Daun salad, hiris
Bawang besar, hiris
Nanas, dihiris kecil
Timun, dihiris kecil
Bunga kantan, hiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun pudina, hiris halus
Cili merah @ cilipadi, dihiris
Limau kasturi, dibelah 2
Petis @ otak udang, secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA :- Ikan direbus dengan 2 liter air selama 15 minit. Keluarkan ikan, sejukkan. Asingkan isi dan tulangnya. Isi ikan dihancurkan. Air rebusan tadi ditapis dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan bahan2 kisar halus, cili kisar, serai dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah sedikit air panas jika perlu.
  2. Masukkan isi ikan, daun kesom dan bunga kantan. Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api sederhana selama 20 minit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (boleh juga masukkan sedikit serbuk perasa jika suka). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK LASAK ASAM PULAU PINANG :- Masukkan secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa asam secukupnya (pastikan anda kacau dulu kuahnya). Tambah bahan2 ulam atasnya, taruk telur rebus dan sudukan petis atau otak udang sebelum dihidangkan. Jangan lupa perahkan limau kasturi...Selamat mencuba!

Tuesday, May 2, 2017

RESIPI KARI AYAM PERANAKAN

rsz_ncc
Assalammualaikum, salam semua. Mendung cuaca kat kampung che mat, tadi siap masak dalam jam 11+ pagi, terus hujan. Kebetulan cuaca agak panas sebelumnya dan alhamdulillah sempat juga lah kering kain yang che mat jemur. Hari ni mari kita cuba menu orang peranakan Baba Nyonya. Resipi ini dikongsi oleh seorang ahli group peranakan clan di FB. Nampak menarik dan che mat teruja nak mencuba. Resipi asal menggunakan seekor ayam, tapi disebabkan hanya nak mencuba, kita guna kurang lebih 1/2 ekor dan ditambah 1 bahagian peha. Resipi agak berbeza, tidak menggunakan rempah kari, tapi menggunakan bahan2 rempah ratus yang dikisar halus dan che mat ada tambah beberapa bahan lain. Cara memasak pun tak sama dari kari biasa. Orang peranakan ialah orang cina yang telah mengalami asimilasi budaya atas sebab perkahwinan campur dengan orang2 tempatan pada zaman dahulu kala. Mereka menjadi satu komuniti yang begitu unik dari segi pertuturan bahasa (biasanya mereka menggunakan bahasa melayu-baba + hokkien), makanan, gaya hidup dan adat istiadat. Nak mencuba kari ayam peranakan, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ayam (kurang lebih), potong ikut suka, cuci dan toskan
2 - 3 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
1 biji tomato saiz besar, dibelah 6
4 camca besar jus asam jawa
500 ml santan pekat
1 batang kayu manis*
3 biji bawang merah, hiris*
2 ulas bawang putih, hiris*
2 tangkai daun kari*(*bahan tumis)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN REMPAH :-)
1 camca besar  penuh ketumbar biji
4 kuntum bunga lawang
10 biji buah pelaga

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci kunyit hidup (pilih yang tua)
5 biji buah keras, hiris
2 batang serai, hiris halus
2 biji cili merah
20 tangkai cili kering, potong, buang biji dan rendam dalam air panas sekejap dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bahan-bahan rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, kemudian kisar hingga betul2 halus menggunakan pengisar kering. Satukan rempah tadi dengan bahan2 kisar halus dan kacau rata hingga menjadi pes rempah. Dalam mangkuk besar, masukkan ayam yang telah dicuci dan ditoskan tadi. Tambah pes rempah dan gaul hingga rata. Kemudian perapkan ayam selama 30 minit (simpan dalam peti sejuk. Che mat perap 1 jam).
  2. Panasan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan goreng hingga bawang layu. Masukkan ayam yang telah diperap tadi dan gaul rata. Kecilkan api dan masak hingga ayam kecut, kacau sekali sekala. Tuang air secukupnya, anggaran 3 cawan, kacau dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan jus asam jawa, kentang dan masak hingga kentang 1/2 empuk. Tambah santan dan kacau rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api kecil hingga ayam masak dan kentang empuk, kacau perlahan. Akhir sekali tambah tomato dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman....Selamat mencuba!!

Sunday, April 30, 2017

RESIPI SPAGHETTI DENGAN SOS PESTO

rsz_psps1_2
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak berkongsi dengan anda satu resipi pasta yang senang dibuat dan rasa dia...ehemm, sedapp pada tekak che mat. Tapi tak boleh nak jamin ok atau tidk pada tekak awak awak semua. Spaghetti dengan sos pesto ini dikatakan berasal dari Italy. Dan sos pesto itu sendiri berasal dari dibahagian utara Italy. satu tempat bernama Genoa sejak kurun ke - 16 lagi (sumber: Google)...pheww ni memang makanan asli orang2 Italy rupanya. Selain spaghetti, sos pesto boleh dimakan dengan semua jenis pasta dan juga boleh dicicah dengan roti. Ada beberapa bahan asas yang wajib anda untuk membuat sos pesto yang sedap, nanti kita cerita. Ini satu hidangan yang boleh dikategorikan sihat sebab menggunakan minyak zaitun yang banyak khasiatnya terutama untuk jantung..

rsz_psps1_1
Pesto yang kelihatan dalam gambar diatas tu che mat bikin beberapa hari lepas. Bahan utama untuk membuat pesto selain minyak zaitun, kita gunakan herba 'Basil'. Herba Basil dalam golongan daun selasih, tapi rasa dia tidak menyengat seperti daun selasih atau di panggil 'thai basil'. Daun dia pun rupa tak sama, kalau daun selasih hujungnya runcing tapi herba Basil bentuk daunnya lebih bontak, sedikit melengkung, berkilat dan aromanya tidak sekuat daun selasih. Mana nak dapat? Sekarang ni tak susah nak cari herba2 eropah yang segar, banyak dijual di pasaraya2 besar seperti Tesco, Aeon Big dan sebagainya....kadang2 ada neseri bunga yang menjual anak2 benih pokok herba2 yang biasa digunakan untuk hidangan2 western...Jika nak mencuba, resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak spaghetti atau boleh guna sebarang jenis pasta
1 keping dada ayam, potong kecil, cuci dan toskan
1 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji kecil bawang holland, didadu
4 - 5 keping tomato kering. (sun dried tomato) optional, potong kecil
1/2 biji hirisan lemon
Beberapa helai herba Basil segar, untuk hiasan
Sedikit parutan keju parmesan, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN PESTO :-)
2 genggam herba Basil segar (contoh di sini), bahagian daunnya sahaja, cuci dan toskan hingga kering
1 ulas bawang putih
1 genggam kacang pine. contoh di sini  , digoreng tanpa minyak hingga wangi, sejukkan
3 camca besar parutan keju parmesa
1/2 cawan 'virgin olive oil'
Sedikit garam

CARA MEMBUATNYANYA :-)
  1. UNTUK PESTO :- Masukkan bawang putih dan kacang pine dalam mesin pencincang makanan atau food chopper. Kisar hingga hancur. Masukkan herba Basil dan kisar sekejap. Tuang minyak zaitun dan kisar hingga bersatu. Tambah parutan keju parmesan dan sedikit garam. Kisar sekejap lagi dan pesto pun siap. Anda boleh rasa dan jika kurang garam, boleh tambah sedikit lagi. Ketepikan. (jika takde chopper, boleh guna lesung batu atau blender. Kalau guna blender. pastikan guna kaedah 'pulse' semasa mengisar. Ini untuk mengelakkan pesto menjadi terlalu halus).
  2. Panaskan 2 camca besar minyak zaitun, tumis bawang putih dan bawang holland hingga layu, masukkan daging ayam, kacau dan masak hingga isi ayam berubah warna. Tambah tomato kering, kacau rata dan biar hingga isi ayam masak. Matikan api, alihkan ke dalam bekas lain dan sejukkan.
  3. UNTUK SPAGHETTI :- Didihkan air untuk merebus spaghetti, tambah sedikit garam. Rebus spaghetti hingga lembut atau mengikut arahan pada bungkusan spaghetti tadi. Tos dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Tambah no. 2 ke dalam mangkuk tadi dan gaul rata dengan spaghetti. Sudukan pulak pesto secukupnya (anggaran 2 - 3 camca besar penuh) dan gaul rata dengan spaghetti (simpan pesto dalam peti sejuk jika tidak habis digunakan). Perahkan sedikit jus lemon, tabur dengan sedikit parutan keju parmesan dan hias dengan herba Basil segar. Boleh hidangkan....Selamat mencuba!

Saturday, April 29, 2017

RESIPI LONTONG JOHOR

rsz_lbp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin lontong, errr...lontong tu kalau ikutkan sejeniS nasi impit seperti ketupat yang dimasak dalam daun pisang berbentuk silinder dan direbus tiga hingga empat jam. Dan kemudiannya dimakan bersama kuah  lodeh dan bahan-bahan sampingan seperti telur rebus, sambal tumis (ada yang makan dengan kuah kacang), serunding dan dengar cerita kalau di Singapura, mereka hidangkan juga dengan begedil. Sebenarnya kalau suka boleh saja tambah apa yang kita suka, seperti paru berlado atau rendang daging. Tapi hidangan asasnya sudah pasti kuah lodeh, serunding, telur rebus dan sambal tumis. Satu petus kalau nak kuah lodeh yang pekat, soo hoon tak perlu direndam, hanya lalukan dibawah air paip, kerat pendek2 dan masukkan ke dalam kuah. Satu lagi, kisar 3-4 biji buah keras dalam bahan-bahan rencahnya. Dan biasanya che mat akan asingkan santan pekat dan dimasukkan akhir ke dalam kuah lodeh...itu antara petua2 yang boleh anda cuba untuk mendapat kuah lodeh yang pekat...

lontong dp
Bercerita pasal 'lontong', semalam kami ke pasar pagi di Rengit, Batu Pahat Johor. Dan che mat ternampak ada jual lontong tradisional (seperti dalam gambar). Nampak elok, bersih dan cara pembungkusan dia pun senonoh, jadi beli lah satu. Masa tu tak plan lagi nak makan dengan kuah lodeh. Harga dia RM 4, ada yang kata mahal dan ada yang kata murah. Tapi pada che mat, RM 4 tu ok lah, tak lah mahal, kira harga berpatutan, saiz dia pun agak besar. Maka dengan rasminya lontong yang che mat beli semalam telah bertukar menjadi 'lontong' seperti gambar atas sekali tu....Alhamdulillah....Che mat kongsikan resipi kuah lodeh dia saja yea, Yang lain2 tu anda mesti dah pandai bikin...Takde 'lontong' berbungkus daun pisang macam dalam gambar, kau rebus saja ketupat segera atau bikin nasi impit...selesai masalah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 tangkai kacang panjang. hiris serong
1 biji kentang, kupas dan potong kiub
1 batang lobak merah saiz kecik, hiris nipis
2 keping tauhu, dipotong kiub
2 keping tempe berbungkus daun, dipotong kiub
1 biji terung ungu saiz sederhana, dipotong kiub dan rendam
Tauhu kering @ fucuk selebar 2 tapak tangan, dipotong kecil dan rendam hingga lembut
1/2 biji sengkuang saiz kecil, kupas dan potong kecil, rendam
1 cekak soo hoon, cuci bawah air paip, dan kerat pendek
1/4 bahagian kubis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
1.5 liter santan cair
800 ml pati santan
2 helai daun salam (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air panas jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7-8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
4 biji buah keras, hiris
1 genggam udang kering, cuci dan rendam 10 minit, toskan

BAHAN-BAHAN LONTONG :-)
Lontong daun pisang secukupnya (boleh guna nasi impit atau ketupat)
Telur rebus secukupnya
Sambal tumis (atau sambal kacang)
Serunding kelapa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LODEH :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 5 camca besar). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan daun salam (jika guna). Tuang santan cair, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan bahan2 yang keras dahulu seperti lobak merah, kentang, sengkuang, tempe dan tauhu kering (toskan dulu airnya). Kacau rata dan masak hingga bahan2 tadi lembut sedikit.
  2. Tambah kacang panjang, kobis, terung (toskan airnya) dan kacau rata. Biarkan menggelegak, jika kurang kuah boleh tambah sedikit air panas. Masukkan soo hoon yang dikerat pendek tadi dan tuang pati santan. Kacau perlahan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biarkan mendidih dengan api sederhana sambil dikacau perlahan. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  3. UNTUK MENGHIDANG LONTONG :- Potong lontong pada saiz kecil dan masukkan ke dalam mangkuk sesuai. Tuang secukupnya kuah lodeh bersama2 isinya sekali. Taruk telur rebus, serunding kelapa dan sambal tumis. Boleh hidangkan. Biasanya di Johor, lontong dihidangkan sebagai sarapan pagi....Selamat mencuba!!..

Wednesday, April 26, 2017

RESIPI ASAM REBUS NANAS SAMA UDANG

rsz_arnu
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak asam rebus nanas sama udang. Resipi yang boleh dikatakan sihat, tanpa minyak. Biasanya kan masak lemak udang nanas, jadi kita ubah selera sikit. Udang che mat guna jenis udang harimau dalam empat ekor yang saiznya agak besar, kira saiz XL, kalau nak guna saiz yang lagi besar, takde masalah ikut kehendak masing2 lah yea. Resipi paling mudah ini paling sedap dimakan dengan nasi panas, ikan masin dan sambal belacan. Kalau suka boleh digandingkan dengan ulam-ulaman dan telur dadar. Selain udang, boleh juga guna ikan bilis dan ikan masin, tapi ikan masin mesti direndam dulu bagi buang rasa masinnya. Che mat guna dua jenis cili untuk resipi ini, cili kering (untuk warna) dan cili merah segar (untuk rasa). Dan tak lupa sedikit ikan bilis dikisar sekali dengan bahan2 rencah untuk memberi rasa kuah asam rebus yang lebih sedap. Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji nanas madu saiz sederhana, kupas dan hiris kecil
4 - 5 ekor udang harimau saiz XL (atau sebarang jenis udang pilihan anda)
2 keping asam gelugor
1 helai daun kunyit, disiat
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
6 tangkai cili kering, kerat, buang biji dan rendam dalam air panas 5 minit, toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
4 keping hirisan nanas (guna hirisan nanas dalam bahan2 di atas)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, gunting muncung dan kaki2 kecil udang, cuci dan toskan, ketepikan. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama asam gelugor dan air. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan nanas dan masak hingga nanas lembut sedikit. Tambah udang dan daun kunyit. Kacau rata dan masak hingga udang berubah warna. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula jika perlu (che mat tak taruk gula sebab dah kisar nanas dalam bahan2 perencah). Masak sekejap lagi hingga nanas lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, ikan masin, sambal belacan dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!!

Tuesday, April 25, 2017

RESIPI RENDANG AYAM CILIPADI

rsz_racp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi rendang ayam yang boleh dikatakan mudah dimasak. Tak perlu tumis2, semua main lebur dalam kuali, dan masak sampai kering. Tapi rendang ayam ini memang pedas, cili padi dia che mat guna dalam satu mangkuk (kurang lebih 2 genggam). Che mat guna ayam daging saja, tapi kalau dapat ayam kampung, lagi sedap. Nampak tak ada jelmaan kacang panjang kat rendang tu? Ni semua gara2 tu hari, masa masak gulai labu, entah macam mana boleh tercicir dua tangkai kacang panjang, dari kecut, elok masukkan ajer dalam rendang. Seperti biasa, rendang boleh digandingkan dengan macam2 makanan utama seperti nasi, ketupat, lemang, roti dan sebagainya. Kalau nak mencuba, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam saiz sederhana (kurang lebih 1.2 kg)
2 - 3 tangkai kacang panjang, kerat pendek (optional)
1 keping asam gelugor
3 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, hiris halus
1 liter santan pekat
1 camca besar gula melaka
2 camca besar kerisik
Garam secukup rasa
Sedikit air panas, jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 mangkuk cili padi merah (kurang lebih 2 genggam)
2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah ayam dan gaul rata. Hidupkan api dan masak sekejap hingga ayam kecut. Tuang santan, masukkan asam gelugor dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah sedikit air panas jika perlu.
  2. Kecilkan api dan terus memasak hingga pekat. Tambah kerisik, daun limau purut, kacang panjang dan gula melaka. Kacau rata dan masak hingga rendang kering. Rasa dan tambah garam jika perlu. Akhir sekali masukkan daun kunyit, gaul rata dan masak sekejap, Rasa lagi dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ketupat, lemang atau roti...Selamat mencuba!

Monday, April 17, 2017

RESIPI CEKODOK PISANG

rsz_cplemakmanis
Assalammualaikum, salam semua. Entri ringkas kali ni che mat nak kongsikan resipi cekodok pisang. Memang ini resipi mudah dibuat tetapi tak semua orang boleh buat. Bukanlah nak kata kita ni pandai sangat, tapi bila buat dan menjadi dengan elok, resipinya bagus kita simpan dalam blog untuk rujukan sendiri dan mereka yang memerlukan. Resipi cekodok pisang kali ni che mat guna pisang lemak manis. Dan disebabkan pisang itu sendiri dah manis, jadi tak perlu taruk gula, tapi ini terpulang pada citarasa masing2, nak tambah sedikit gula (@gula melaka) pun boleh. Jika nak lemak boleh masukkan kelapa parut, pastikan pilih kelapa yang muda, jangan kelapa tua, berhampas pulak nanti cekodok tu. Biasanya kalau adunan cekodok banyak, che mat akan simpan bakinya dalam peti sejuk dan boleh digoreng esoknya sebagai sarapan. Kalau bikin untuk sarapan, boleh simpan untuk digoreng masa minum petang. Paling ngam disajikan dengan kopi O atau teh O panas, kena pulak petang tu hari hujan...aduhh..nikmatnyaaa!.... Kalau teringin nak mencuba, boleh semak resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 biji pisang lemak manis (che mat guna yang saiz besar)
1/3 cawan tepung beras
1 1/4 cawan tepung gandum
1 camca teh baking powder
1/2 camca teh soda baicarbonate
1/4 camca teh garam
Minyak untuk goreng terendam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang dikupas kulitnya dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Tambah baking powder, soda bicarbonate, garam dan gula (jika guna, che mat tak guna gula sebab pisang tu dah cukup manis). Lecek hingga pisang lumat dan sebati dengan semua bahan2 tadi.
  2. Masukkan tepung beras dan tepung gandum (kalau guna kelapa parut, boleh masukkan sekali). Gaul rata dengan spatula hingga sebati. Rehatkan sebentar sementara kita panaskan minyak untuk menggoreng. 
  3. Gunakan sudu atau boleh jemputkan adunan tadi dengan tangan. Berhati2 jatuhkan ke dalam minyak panas. Buat 12 - 15 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali dan banyak mana minyak yang digunakan. Bila cekodok timbul. balik2kan dengan sudip agar masak sekata. Goreng hingga keperangan dan boleh angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur agar lebihan minyak terserap. Buat kaedah sama untuk baki adunan. Boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi...Selamat mencuba!!
CATATAN MAT GEBU : Tips untuk mendapatkan cekodok yang bulat2, ialah dengan cara membasahkan sedikit hujung jari dengan air bersih sebelum menjemput adunan cekodok tadi. Tapi berhati2 dengan minyak panas untuk mengelakkan sebarang kecederaan..


Saturday, April 15, 2017

RESIPI ASAM PEDAS IKAN MAYONG

rsz_apid
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mengidam sangat nak makan asam pedas. Biasalah kat rumah che mat dalam seminggu mesti sekali masak asam pedas, tak kiralah ikan atau ayam. Disebabkan dari semalam macam nak sangat, macam dah terasa-terasa kat tekak. Seawal pagi tadi dah keluarkan isi ikan mayong dari freezer. Maka kita berasam pedas ikan mayonglah kita. Biasanya kalau ikan mayong che mat lagi suka bahagian isi dia daripada  kepala. Dan satu benda yang dipelajari, kalau nak sedap dan tak nak ada bau, kita buang kulit ikan mayong tadi dan pastikan perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam. Daun kesom, bunga kantan jangan dilupakan, che mat tambah serai untuk kasi lagi harum. Tak lupa sedikit lada hitam. Bahan2 ni semua akan menjadikan asam pedas ikan mayong anda sedap dan wangi. Che mat masukkan kacang bendi, kalau nak guna terung boleh, sawi jeruk boleh, tomato pun boleh, takde masalah... Resipi kalau ikutkan dah banyak ada dalam blog, tapi kalau taruk gambar saja tak menarik pulak kalau tak disertakan resipi, macam togel ajer entri tu...Jadi dengan rajinnya che mat sertakan resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping isi ikan mayong saiz lebar tapak tangan orang dewasa
10 biji bendi
1 camca teh lada hitam
3/4 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa (atau secukup rasa)
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1 batang serai, diketuk
1 kiub ikan bilis Maggi (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan mayong dibuang kulitnya. Potong dua setiap sekeping, gaul dengan sedikit garam dan jus limau nipis hingga rata dan perap 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Bendi dicuci dan toskan. Lada hitam ditumbuk hancur. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 6 camca besar atau secukupnya), tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan lada hitam, kacau rata dan masak sekejap.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan ikan, kiub ikan bilis (jika guna) dan biarkan mendidih dengan api perlahan. Sementara itu, kerat 2 setiap 1 kacang bendi tadi dan masukkan ke dalam asam pedas.
  4. Kacau perlahan, masukkan bunga kantan dan daun kesom. Tuang jus asam jawa, tambah air panas jika suka kuah lebih. Biarkan mendidih hingga bendi lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas bersama nasi putih, telur dadar dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!

Friday, April 7, 2017

RESIPI SUP IKAN ALA SIAM

rsz_sup_ikan_ala_siam
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi fusion, sup ikan ala siam. Sebenarnya ia seperti sup ikan biasa, tapi ditambah bahan2 yang biasa digunakan untuk masakan tomyam. Entah kenapa teringin nak makan sup ikan, tapi tak nak sup ikan yang biasa2 tu, nak sup ikan yang 'segar' dengan aroma2 herba dan rempah ratus dan rasa yang sedikit masam. Che mat guna kepala ikan merah dalam 700 gram macam tu. Terpulang nak guna isi ikan pun boleh. Pada pendapat che mat ikan merah pilihan terbaik jika nak bikin sup. Ikan lain pun boleh, ikut selera masing2 atau nak tukarkan pada ayam, kenapa tidak, betul tak. Sup ini boleh dimakan dengan nasi dan roti, kalau nak hirup macam tu saja pun sedap. Kalau rasa nak cuba buat, resipi che mat kongsikan dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping kepala ikan merah (kurang lebih 700+ gram)
2 biji kentang, kupas, dan belah 8 setiap 1 dan direndam
12 biji tomato ceri
1 sup bunjut Adabi
3 batang serai, diketuk
1 pokok daun ketumbar, cuci bersih dengan akar2nya dan hiris kasar
2 helai daun limau purut
10 biji cili padi siam warna merah, diketuk
2 biji limau nipis, perah jusnya (satu untuk memerap ikan dan satu untuk dimasukkan ke dalam sup)
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepala ikan dibersihkan, kemudian kerat kepada beberapa bahagian, perap dengan jus limau nipis dan sedikit garam selama 15 minit, kendian dicuci dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk, tumis serai dan bahan2 bertanda (*), hingga harum. Masukkan bahan2 tumbuk halus dan kacau rata. Tambah lada hitam tumbuk, gaul dan masak sekejap. Tuang air secukupnya (anggaran 1.5 liter), kacau dan biarkan mendidih.
  2. Masukkan kentang (toskan dulu air rendamannya) dan sup bunjut, masak hingga kentang empuk. Tambah kepala ikan, daun ketumbar, daun limau purut dan cili padi belah. Kacau rata dan biarkan mendidih hingga ikan masak.
  3. Tambah jus limau nipis, perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan sedikit gula. Kacau perlahan dan akhir sekali masukkan tomato ceri. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Taburkan hirisan daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!!

Wednesday, April 5, 2017

RESIPI KARI NANGKA MUDA SAMA TETEL

rsz_gnmt
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak kari nangka muda sama tetel. Tetel bagi yang tak tau, ialah daging lembut yang ada lemak2nya. Biasanya dimasak sup, asam pedas, digunakan sebagai perencah dalam masakan dalca dan masakan seperti che mat masak tu. Kalau tak makan tetel, boleh ganti dengan ayam atau tulang ikan masin (kalau guna tulang ikan masin, gantikan rempah kari daging dengan rempah kari ikan). Untuk resipi ini che mat guna kurang lebih 1 kg nangka muda yang telah siap dising dan direbus 1/2 empuk. Tetel pula dalam 600 gram. Ada dua cara, pertama jika suka boleh buang air rebusan tetel tadi jika nak elakkan terlampau berlemak. Satu lagi boleh guna terus air rebusan dan ini akan menjadikan masakan kita lebih sedap. tapi lebih berkolesrol...errkkk....che mat guna dalam 1 cawan saja air rebusan dan selebihnya guna santan cair dan santan pekat. Resipi agak mudah walaupun bahan2 kelihatan agak banyak, biasalah dah nama pun masakan tradisional yea dak....Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg nangka muda yang telah siap disiang dan dipotong kiub
600 gram daging tetel, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, hiris*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*(*direbus hingga tetel empuk)
2 camca besar kerisik
2 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
4 batang serai, diketuk
3 tangkai daun kari
1/4 cawan cili kisar
1 keping asam gelugor
1/2 camca besar gula melaka
1,2 liter santan cair
400 ml pati santan
1/2 camca besar minyak sapi (optional)
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 inci kunyit
1 inci halia
15 biji cili padi kampung (yang warna merah)

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Nangka muda yang telah dipotong kiub, direbus hingga 1/2 empuk, toskan. Asingkan daging tetel dari air rebusannya. Air rebusan tadi boleh dicampurkan dalam kari atau disimpan untuk kegunaan kemudian. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tambah minyak sapi (jika guna). Masukkan bahan2 tumis, serai dan daun kari. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Tuangkan bancuhan pes kari, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan nangka rebus dan daging tetel. Gaul rata dan masak sekejap. Tuang santan cair dan juga air rebusan daging tetel tadi. Kacau rata dan masak hingga nangka empuk. Tambah santan pekat, gula melaka, asam gelugor dan garam secukup rasa. Masak dengan api sederhana hingga mendidih, kacau sentiasa, masak sekitar 10 - 15 minit, kemudian rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman... Selamat mencuba!

Sunday, April 2, 2017

RESIPI NASI DAGANG TERENGGANU

rsz_nst
Assalammualaikum, salam semua. Ini entri pertama untuk bulan April 2017. Jarang dah kemas kini blog. Disebabkan kerap masak menu yang sama, che mat rasa macam tak seronok pulak untuk berkongsi di blog. Ada tu resipi disertakan sama ada di FB atau IG. Hari ni entah semangat apa yang menyerap, tiba2 kerajinan datang untuk membuat nasi dagang style Terengganu. Semuanya bermula di IG, bila seorang kenalan che mat berkongsi gambar nasi dagang yang dia nikmati. Punyalah rasa terliur dan mengidam terus nak makan nasi dagang. Pagi tadi lepas subuh che mat cuci baju, disebabkan masih awal pagi, ku sambung tidur sekejap, dalam tidur tu sempat mimpi masak nasi dagang, eh tak boleh jadi nih, sampai termimpi2. Maka cepat2 rendam beras dan pulut (sepatutnya kena rendam semalaman atau 8 jam, tapi che mat hanya rendam dalam 5 jam lebih saja). Dan satu lagi, biasanya nasi dagang Terengganu mereka gunakan beras wangi dicampur dengan beras pulut. Tapi yang ada beras pulut dan beras biasa (beras cap rambutan beg biru). Belasah ajer lah, kan kita yang buat dia....

rsz_nst1

Alhamdulillah, berhasil juga dan rasa dia sudah pasti sedap. Takkan nak kata tak sedap, dah sendiri yang masak. Che mat guba kurang lebih 2 bahagian beras biasa (@ beras wangi) + 1 bahagian beras pulut. Dalam resipi nanti che mat taruk sukatan guna cawan. Tapi yang che mat buat betul2 guna sukatan mug saiz kecil (kurang lebih berisipadu 300 ml). Bila tengok resipi2 di internet, ada yang buat pelbagai cara, salah satunya selepas nasi dikukus dengans santan cair hingga masak. Kemudian santan pekat digaul selepas nasi masak dan dibiarkan santan tadi meresap ke dalam nasi. Tapi che mat kukus sekali lagi tujuannya untuk nasi lebih tahan lama.


rsz_nst2rsz_nst3
Seperti biasa, nasi dagang mau versi Terengganu atau pun Kelantan, lauk gulai ikan tongkol wajib ada selain gulai ayam. Untuk gulai ikan tongkol atau belah2 pantai timur panggil ikan aye, che mat gunakan rempah masak dan rempah gulai cap rose. Kalau takde, boleh guna rempah kari biasa. Ikan perlu direbus terlebih dahulu. Che mat rebus dalam periuk tekanan selama 1 jam dan ikan tadi jadi lembut seperti ikan sardine. Selain gulai, acar mentah dan telur rebus jadi pelengkap hidangan. Telur rebus tu boleh juga kalau kita nak masukkan dalam gulai, tak jadi masalah. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan resipinya di bawah ini....


NASI DAGANG TERENGGANU...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan penuh beras wangi*
1 cawan beras pulut*(*disatukan gaul rata. cuci dan rendam semalaman atau 8 jam)
2 cawan santan segar
1/2 camca teh gula
Garam secukup rasa
1 helai daun pandan
4 biji bawang merah, hiris halus
1 inci halia, mayang halus
1 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Beras wangi + beras pulut yang direndam tadi, ditoskan. Taruk dalam kukus, letakkan daun pandan dan kukus selama 25 minit. Sementara itu, masukkan garam secukup rasa dan gula ke dalam santan, kacau hingga rata. Angkat beras dari kukus dan alihkan ke dalam mangkuk besar. Tuang 1/2 bancuhan santan dan gaul rata, tambah hirisan bawang merah, halia dan halba. Gaul lagi dan biar sekejap hingga santan meresap. Masukkan kembali ke dalam kukus dan kukus 20 minit.
  2. Kemudian tuang kembali nasi ke dalam mangkuk dan curahkan baki santan tadi. Gaul rata dan biar sekejap hingga santan meresap. Kukus lagi kurang lebih 20 minit. Gemburkan nasi dan kukus sekejap lagi hingga nasi betul2 masak..Boleh matikan api dan boleh hidangkan dengan gulai ikan tongkol, acar mentah dan telur rebus..

GULAI IKAN TONGKOL...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol @ ikan aye saiz sederhana besar
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris*
1/2 inci lengkuas, hiris*
3 keping asam gelugor*
1 camca teh garam*
1 biji bawang besar, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh halba
1/4 camca teh jintan manis
2 camca besar penuh cili kisar
1 camca besar penuh rempah masak cap rose*
1 camca besar penuh rempah gulai cap rose*(*boleh tengok di sini)
10 biji cili padi, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 biji bawang besar, belah 6
1 camca besar gula melaka
1 cawan pati santan
Air rebusan ikan secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 keping hirisan lengkuas
Secubit belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol disiang, kemudian kerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih dan rebus dengan bahan2 bertanda (*) selama 1 jam, tambah air panas jika perlu. Kemudian matikan api. Asingkan ikan dan tapis air rebusannya. Ketepikan.
  2. Satukan rempah gulai dan rempah masak cap rose dengan bahan2 kisar halus. Gaul rata hingga menjadi pes rempah, ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bawang besar hiris, jintan manis dan halba hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, Tambah pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Gula api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air rebusan ikan tadi, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan tongkol rebus, tuang santan dan masukkan gula melaka. Kacau perlahan, bila menggelegak, kecilkan api dan renih hingga pekat. Tambah garam secukup rasa (rasa dulu sebab air rebusan ikan tadi dah ada garam) dan masukkan cilipadi belah. Kacau perlahan dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan nasi dagang...

ACAR MENTAH...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji timun
1 batang lobak merah saiz besar
1 biji bawang besar
1 biji cili merah
6 camca besar cuka makan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Timun dicuci bersih, kerat tiga atau empat bahagian, belah dua setiap satu dan buang empulurnya. Hiris nipis seperti anak mancis, rendam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam. Lobak merah juga dihiris sama macam timun dan direndam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam. Rendamkan selama 15 minit, kemudian toskan dan perah airnya, ketepikan.
  2. Cili merah dikerat tiga, buang bahagian tengahnya dan hiris seperti anak mancis. Bawang besar dibelah lapan dan leraikan. Ketepikan.
  3. Dalam mangkuk, masukkan cuka makan, garam secukup rasa (anggaran 1/3 camca teh) dan gula kurang lebih 2 camca besar penuh atau secukup rasa. Kacau hingga larut. Masukkan hirisan timun, hirisan lobak merah, bawang besar dan cili merah. Gaul rata dan biarkan 10 minit, rasa dan jika ok boleh hidangkan....Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.