BEN ASHAARI

Sunday, December 18, 2016

RESIPI LAKSA JOHOR

rsz_ljmg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ber'laksa Johor'. Entah kenapa sejak2 ni mengidam yang bukan2. Pantang orang sebut, terus tekak teringin. Tu hari ada yang sebut2 kari betik, rasa nak buat juga, tapi sayang betik pulak takde. Lepas tu ngidam asam rebus peria katak sama ikan pari masin, yang tu in sha Allah esok che mat masak. Tapi hari ni kita laksanakan menu warisan orang2 Johor, iaitu Laksa Johor. Ada banyak versi dan dari sumber2 yang che mat baca, laksa Johor yang asli menggunakan ikan parang dan tak menggunakan kacang panjang sebagai ulam, sebaliknya ditambah lobak asin yang dicincang halus. Makan pulak sudah tentu guna tangan. Tapi untuk foto, che mat taruklah sudu dan garfu, kasi lawa2..

rsz_ljmg1
Kali ni che mat guna seekor ikan parang saiz sederhana. Ada yang tanya kat IG tapi macam mana nak asingkan isi ikan parang tu dari tulang dia, almaklumlah ikan parang ni, tulang dia banyak, berselirat. Apa yang che mat buat, ikan tu ku rebus dalam periuk tekanan (pressure cooker) selama 1 jam lebih, yang ini ikut periuk masing2. Lepas tu tulang tengah dia dibuang dan kisar halus isi ikan parang tadi dalam food processor hingga lumat. Tulang2 dalam isi ikan tu semua akan hancur. Tu cara mudah, kalau nak cara rumit kenalah tarik keluar tulang ikan parang satu persatu sampai habis. Selain ikan parang, boleh juga nak guna ikan kembong, ikan selayang@sardine atau ikan tenggiri. Resipi tak banyak beza dari yang lepas2 cuma tang ikan tu che mat gantikan dengan ikan parang, tu saja....

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 ekor ikan parang segar (kurang lebih 1 kg)
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca penuh besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
4 - 5 keping asam gelugor
12 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
2 liter santan segar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian  di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk dan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan parang direbus, asingkan isi dari tulangnya, kisar isinya dalam food processr hingga halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus dan cili kisar hingga harum, masukkan pes rempah dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan parang kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
  3. Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan masak dengan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  4. UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah dichap (disanggul) tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis. Ikan parang che mat buang bahagian kepalanya, kendian kerat 4 bahagian dan rebus dalam periuk tekanan selama 1+ jam. Ini akan menjadikan tulang ikan parang lembut seperti sardine dan bila kisar dalam food processor, tulang ikan parang semua hancur. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..


Thursday, December 15, 2016

RESIPI SOTONG PAPRIK

rsz_smp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak lewat petang. Disebabkan lauk semalam (gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur) masih berbaki, jadi hari ni kita masak sotong. Dan kebetulan bonda che mat puasa sunat Isnin, jadi kiranya menu sotong sebagai tambahan untuk berbuka puasa. Tadi sempat juga naikkan status di FB, minta pendapat sotong ni nak masak apa? Maka ramailah teman2 FB yang komen dengan macam2 idea yang semuanya menarik, terima kasih yea. Che mat ambik keputusan masak paprik, sebab utama dalam peti sejuk ada baki2 sayur yang kalau tak dihabiskan mesti jadi bahan kompos nanti. Cuma che mat takde lobak merah, yang lain2 tu rasanya terlebih cukup. Sebenarnya takde syarat apa jenis sayur yang perlu kita masukkan, cuma jangan berlebihan, tu saja. Che mat guna lima ekor sorong saiz sederhana (panjang kurang lebih satu jengkal dewasa). Kalau guna sotong kecil, boleh lah lebihkan. Resipi memang mudah dan sedap dimakan bersama nasi panas. Jika ingin mencuba, resipi seperti dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 - 6 ekor sotong saiz sederhana (saiz sejengkal orang dewasa)
2 batang serai, diketuk
3 helai daun limau purut
5 batang putik jagung, hiris serong
Sebesar penumbuk bunga kobis, potong sekuntum2
5 kuntum cendawan butang, belah 5 setiap 1
1 biji cili hijau, hiris kasar
6 biji cili padi merah, diketuk
10 biji tomato ceri
2 tangkai kacang panjang, potong pendek
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1 biji bawang besar, hiris kasar
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca besar cili kisar
1 camca teh gula
Sos ikan secukup rasa
Sedikit air

BAHAN - BAHAN SOS :-)
2 camca besar sos tiram
4 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong diasingkan kepalanya, buang muncung, mata dan dakwat sotong, cuci dan toskan. Bahagian badannya dihiris bulat, cuci dan toskan. Satukan bahan2 sos dan kacau rata. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar). Tumis bawang besar, bawang puti dan serai hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tambah bahan2 sos, kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan bunga kobis, kacang panjang, leek (toskan dulu airnya) dan cili padi. Kacau rata dan tuang sedikit air.
  3. Masukkan sotong, kacau dan masak hingga sotong berubah warna. Tambah putih jagung, cili hijau, cendawan butang dan daun limau purut, kacau rata. Masukkan gula dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Akhir sekali tambah tomato ceri, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!.

Wednesday, December 14, 2016

GULAI LEMAK PISANG MUDA SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpckim
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu tradisi yang menjadi hidangan kegemaran kami. Gulai lemak pisang muda sama cendawan kukur dan rencah dia che mat guna tulang ikan kurau masin, Kalau nak guna isi ikan kurau masin pun boleh atau apa2 jenis ikan masin yang anda suka, ikan masin talang dan ikan sepat masin pun boleh. Untuk resipi ini che mat guna pisang kapas muda dalam 2 sisir, memang agak banyak bila dicampurkan cendawan kukur. Tujuan masak lebih tu sebab gulai macam ni bila anda makan esoknya, rasa dia lagi sedap..lagi menyengat. Tapi nanti resipi che mat tak lah tulis masak sebanyak ini, tapi che mat tulis untuk masak kurang lebih 1 sisir pisang muda. Selain pisang kapas muda, boleh juga guna pisang lemak manis atau pisang kari, cuma rasa dia beza sikit lah. Resipi tidak susah mana, cuma kerja dia leceh sikit terutama bab pisang muda tu...Tapi sekali2 mencuba apa salahnya, betul tak. Ini kan masakan/makanan warisan kita....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 sisir pisang kapas muda
1 cawan cendawan kukur @ kulat sisir yang kering, rendam hingga kembang
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan
1 genggam ikan bilis, dibersikan dan direndam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dicuci bersih kemudian disiat sedikit kulitnya dan rendam, ketepikan. Pisang tadi diketuk perlahan dengan belakang parang hingga pecah (atau boleh juga ditumbuk dalam lesung, tapi jangan sampai hancur, tumbuk pecah2 sudah cukup). Buat hingga siap dan masukkan ke dalam periuk bersama2 kulit pisang tadi. Rebus hingga lembut dan berkanji, ketepikan.
  2. Cendawan kukur dicuci dan toskan. Perah dan tumbuk sedikit cendawan tadi. Alihkan ke dalam periuk, masukkan serai titik dan pisang muda yang telah direbus bersama air rebusannya. Tambah bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga menggelegak (tambah sedikit air jika perlu). Toskan tulang ikan masin kurau, cuci sekali lagi dan masukkan ke dalam periuk bersama2 asam gelugor. Masak sekejap dan tuang santan pekat. Kacau perlahan dan biarkan mendidih dengan api sederhana.
  4. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak untuk 4 - 5 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan....Selamat mencuba!

Saturday, December 10, 2016

SAMBAL SOTONG BERSERAI

rsz_1ssss
Assalammualaikum, salam semua...Entri kali ni saja che mat nak kongsi resipi sambal sotong berserai. Benda biasa yang selalu orang masak, tapi che mat jarang masak sebab dulu masa ada arwah Bak, Bak tak boleh makan sotong sebab gaout. Che mat pun tak boleh makan kalau ikut kan, takut gatal tapi sebab dah mengidam sangat, pejam mata sajalah. Kalau gatal karang, kita makan lah ubat. Tadi ada yang tanya che mat, macam mana nak elakkan sambal sotong tu berair. Hurmm, sebenarnya che mat pun mengalami masalah sama. Sebelum ni pernah celur sekejap sotong tu sebelum dimasukkan ke dalam pes sambal yang kita dah tumis sampai naik minyak, tapi ada kala rasa sayang juga sebab bila celur, manis sotong tu dah keluar. Yang ini che mat buat macam biasa. Lepas hiris sotong tu, cuci semua dan toskan dalam tapis. Bila sambal dah betul2 garing dan naik minyak kita masukkan sotong, besarkan api dan kacau rata hingga sotong berubah warna. Masak sekejap saja dalam 1 - 2 minit...dan hasilnya seperti dalam gambar kat atas tu...Nak resipi?...jomm kita semak..

BAHAN - BAHANNYA :-)
6 - 7  ekor sotong (che mat guna sotong yang panjang dalam sejengkal)
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/4 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
2 batang serai, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji cili merah (cili hidup)
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Sebesar ibu jari belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong dihiris, buang muncung dan mata sotong. Cuci, tos dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci dan toskan dalam tapis. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan gula ( yang ni ikut selera anda, ada yang suka sambal tumis manis sedikit dan ada yang tak). Kacau dan masak hingga pekat dan garing. Tambah bawang besar hiris, gaul rata dan masukkan sotong. Besarkan api dan kacau hingga rata dan sotong berubah warna. Masak untuk 1 - 2 minit dengan api besar. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau nasi lemak....Selamat mencuba!!.

Friday, December 9, 2016

IKAN BAWAL MASAM MANIS

rsz_ibmm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak mudah, ikan bawal masam manis, bendi rebus dan ada sayur kacang panjang tumis sama sotong. Semalam bikin sambal sotong dan masih berbaki lagi. Menu biasa lebih menjadi pilihan sebab mudah dimasak. Ikan bawal antara ikan paling sesuai untuk dimasak masam manis atau sweet sour, selain ikan siakap dan ikan merah. Guna udang pun boleh, teringat arwah Bak dulu, kalau arwah dapat udang galah bila memancing, selain menu masak lemak kuning sama timun, hidangan sweet sour menjadi pilihan arwah...semua dah tinggal kenangan... (Al- fatihah Bak 😢). Che mat guna ikan bawal hitam saiz sederhana dalam 3 ekor (tapi dalam gambar cuma 2 ekor). Kalau saiz besar, guna seekor dah cukup, bergantung pada berapa ramai nak makan. Pada che mat ini antara resipi mudah untuk anak2 sediakan. Tapi bab nak goreng ikan tu, minta orang dewasa tolong gorengkan yea, bimbang pulak dengan minyak panas. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 - 3 ekor ikan bawal hitam saiz sederhana (sebesar tapak tangan setiap seekor), disiang dan cuci bersih*
1 camca teh serbuk kunyit*
3/4 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap 10 minit)
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning), dipotong kiub
1 biji bawang besar hiris kasar
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca besar cili kisar
1 batang leek, potong kecil dan rendam
1 cawan isi nanas dalam tin dipotong kiub (boleh guna nanas segar, lagi sedap)
1/4 cawan sos cili Thai (jenama LIFE)
2 camca besar sos plum (jenama LIFE)
1 camca besar sos tomato
1 cawan air (che mat guna jus nanas dari nanas dalam tin)
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan bawal digoreng hingga kuning keemasan, angkat, toskan dan susun dalam pinggan sesuai. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 4 camca besar. Tumis bawang putih dan cili kisar hingga harum dan cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan sos cili Thai, sos plum dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap. Masukkan bawang besar, kacau dan tambah air, biarkan mendidih. Masukkan leek (toskan dulu airnya) dan nanas, gaul rata. 
  3. Masukkan traffic light capsium dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa (biasanya sweet sour agak manis sedikit, tapi che mat tak taruk gula sebab dah guna jus nanas dari nanas dalam tin yang memang dah manis). Masak dengan api kecil hingga pekat sedikit.
  4. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang atas ikan bawal  tadi dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain. Che mat suka biarkan dalam 15 minit untuk ikan bawal tadi sebelum dimakan, agar sos masam manis tadi menyerap dalam ikan.... Selamat mencuba!!.

Tuesday, December 6, 2016

KUPANG TUMIS TAUCO CILI HIJAU

rsz_kttch
Assalammualaikum, hari ni nak kongsi satu menu ringkas yang ngam sangat dimakan dengan nasi panas. Kalau nak ok lagi top lah ikan goreng dan ulam2man. Sebenarnya lama che mat tak makan kupang. Antara sebabnya dulu arwah bak tak boleh makan kupang, jadi kami memang tak beli sebab tak sampai hati. Tempoh hari masa ke Johor Bahru, sempat ke Stulang Laut, kat situ kalau pagi2 ada orang jual ikan2 segar dan sebagainya, tapi kena pergi pagi, che mat tanya akak yang berniaga tu, dia kata seawal 6.30 pagi mereka dah mula jual ikan2 segar dan makanan laut yang lain. Dan che mat beli kupang, tapi bukan kupang berkulit, kupang dah siap berebus. Kupang segar ada cuma saiz isi dia kecik2. Jadi jika anda berkesempatan ke Johor Bahru waktu pagi, boleh pergi tengok yea..Jomm kita semak resipi kali ini, jangan lupa mencuba!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan isi kupang, dibersihkan*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*digaul rata)
10 biji cili hijau, hiris
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram
1/2 inci belacan + 2 camca besar air = larutkan
Sebesar ibu jari asam jawa + 1/4 cawan air = jadikan jus
1 camca besar tauco
Garam, jika perlu (che mat tak taruk)
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Bila minyak betul2 panas, masukkan kupang yang telah digaul dengan garam dan serbuk kunyit tadi. Kacau rata dan masak untuk 1 minit. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, panaskan 3 camca besar minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos tiram dan tauco, masak sekejap. Masukkan belacan yang telah dilarutkan dan jus asam jawa. Kacau dan tambah cili hijau dan kupang, tambah sedikit air jika perlu, gaul rata.
  3. Masak dengan api sederhana hingga pekat, rasa dan jika perlu tambah sedikit garam. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!

Monday, December 5, 2016

KUIH KERIA GULA MELAKA

rsz_ckgm1
Assalammualaikum, salam semua. Sana sini orang tayang kuih keria atau belah2 utara dipanggil 'coq keria', asyik lalu kat timeline di FB saja. Tak boleh jadi, kena bikin juga. Satu lagi tengah hot kuih keria sira gula Melaka. Sebenarnya che mat suka kuih keria kosong, yang tak bersira, atau kuih keria togel. Petang tadi lepas solat asar, tiba2 kerajinan itu datang, keledek pulak memang ada kat dapur, tapi keledek kaler oren. Keledek oren ni dia lembut sikit beza dengan keledek putih. Tapi kita yang buat dia, pandai2lah nak menggayakannya. Kalau takde keledek, guna ubi kayu pun boleh, yang tu nanti bila ada ubi kayu, kita test bikin kuih keria ubi kayu pulak. Che mat guna kurang lebih 900 gram macam tu, bila dah buang kulit semua adalah dalam 800+ gram. Kuih keria kalau terlebih tepung pun tak sedap, dia nak kena pandai agak2. Bergantung pada jenis keledek. Satu lagi tips, bila dah taruk tepung dan diadun, cuba goreng adunan keria tu sikit, kalau elok kejadiannya, tak perlu tambah tepung lagi, tapi bila lepas goreng tu lembik, boleh tambah sedikit lagi tepung. Che mat suka taruk baking powder, tujuan nak kasi kuih keria tu lagi gebu dan kekal lembut walaupun dah sejuk....Nak mencuba?...Resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
800+ gram keledek kaler oren yang telah dikupas kulitnya
1 camca teh garam
3/4 cawan tepung gandum
1 camca teh penuh baking powder (serbuk penaik)
3/4 cawan gula melaka, dihiris
1 - 2 camca besar gula pasir
1/4 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Keledek dipotong kiub besar2 dan rebus hingga empuk, jangan lupa masukkan garam. Kemudian toskan dan lecek hingga halus. Biarkan sekejap hingga suam. Gaul tepung dengan baking powder dan masukkan ke dalam keledek yang telah dilecek tadi. Gaul hingga sebati dan menjadi adunan yang lembut tapi tidak melekit. Ketepikan sebentar.
  2. Sediakan dulang, alas dengan plastik bersih atau boleh taburkan sedikit tepung. Ambil sedikit aduan tadi (anggaran 1 camca besar penuh), bulat2kan dan tekan sedikit biar leper. Cucuk bahagian tengahnya dengan jari untuk menghasilkan lubang, kemaskan dan taruk atas dulang tadi. Sapu sedikit tepung pada tapak tangan jika adunan melekat. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam kemudian goreng kuih keria tadi hingga kuning keemasan, balik2kan agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya. Buat hingga siap.
  4. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak. Kemudian masukkan gula melaka, gula pasir dan air. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga gula larut. Terus memasak hingga gula mula berbuih dan pekat (bila anda angkat sudip, kelihatan gula seakan2 bertali). Masukkan kuih keria tadi dan gaul rata (masa ni kuih keria akan melekat2, tapi takpe, terus kacau perlahan hingga semua bahagian kuih keria bersalut gula). Masak sekejap lagi dengan api kecil hingga kuih keria kering. Matikan api dan alihkan kuih ke dalam loyang. Pisah2kan kuih tadi dan biar hingga sejuk.. Boleh hidangkan...Selamat mencuba!

Sunday, December 4, 2016

PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_ptmlkh
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ambik kesempatan untuk kemas kini blog, tapi menu yang biasa2 saja, menu tradisi orang Melayu kita. Daun turi antara hidangan authentic orang2 kita. Selain kaum Melayu, masyarakat India juga suka makan daun turi. Kata orang, daun turi banyak khasiatnya terutama untuk ibu2 yang menyusukan bayi, boleh menambah air susu badan. Tapi ada juga yang kata, daun turi kurang sesuai diambil bagi mereka yang punya tekanan darah tinggi, hurmmm. In sha Allah kalau dimakan dalam kuantiti yang sedikit, rasanya tak mendatangkan masalah. Resipi pucuk turi masak lemak sama kacang hijau ini antara hidangan klasik yang sering dimasak oleh bonda che mat dulu, masa tu kita kecil2 lagi dan ini bukan hidangan kegemaran che mat sebenarnya...shhh...diam2!...Cuma bila dah berusia macam sekarang ni saja, baru jadi suka, lawankan dengan sambal belacan, ikan goreng dan telur dadar...Ehemmm, mak mertua pengsan kat tepi pun kau tak perasan!...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak daun turi (bahagian pucuk)
1/3 cawan kacang hijau, cuci dan rebus sampai kembang
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 camca besar penuh udang kering, direndam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
1 biji cili merah, hiris
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan daun turi dari tangkainya, cuci dan toskan, Jika ada bunga turi, jangan dibuang, petik dan rendam sekejap (sebab kebiasaannya bunga turi ada serangga halus), toskan. Kacang hijau dicuci dan rebus hingga kembang (jika guna periuk tekanan, kurang lebih 7 minit atau mengikut jenis periuk tekanan masing2). Ketepikan.
  2. Masukkan kacang hijau yang telah direbus ke dalam periuk bersama secawan air rebusannya (jika ada). Masukkan bawang besar, bawang putih, udang kering dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan daun turi dan bunganya (jika ada). Kacau dan masak hingga daun turi lembut. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil dikacau sentiasa, kurang lebih 1 - 2 minit. Akhir sekali masukkan cili merah hiris, kacau. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng/ikan masin/telur masin....Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.