BEN ASHAARI

Wednesday, September 28, 2016

RESIPI BOTOK - BOTOK

rsz_bbjb
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kerajinan datang melanda. Merancang sejak 3 hari lepas tapi mood jatuh gaung, asyik keluar masukkan ikan ke dalam freezer. Pagi tadi che mat paksa juga diri agar jadi rajin dan laksanakan membuat botok-botok ikan tenggiri. Jangan memain kalau dah mengidam, sampai terbayang2. Nak beli bukan tak boleh tapi ada kala yang beli tu rasa dia tak kena pada tekak. Harga dah lah boleh tahan, ulam2 pun, alah hai ciputnya. Buat sendiri lebih muai, nak taruk ulam2 lebih pun boleh. Pada pendapat che mat, botok2 bukan susah hendak dibuat, cuma nak dapatkan ulam2 tu saja masalahnya. Tapi sekarang di pasar2 tani atau pasar2 basah, in sha Allah dah ada jual ulam2 atau pucuk2 daun yang digunakan untuk bikin botok-botok...

rsz_bbjb1
Che mat gunakan 4 keping ikan tenggiri. Selain ikan tenggiri, boleh juga guna ikan kembong atau ikan parang, ikut yang mana anda suka. Satu lagi botok-botok yang ini berbeza sikit dari yang biasa. Kan biasa daun2 ulam dilapis2kan sebelum dibungkus, yang ni che mat buat 2 bahagian, ada yang dihiris kecil dan ada yang tidak dihiris seperti pucuk ubi dan pucuk betik. Rasanya botok-botok yang daun ulamnya dihiris lebih senang dimakan dan terasa rempah2nya. Satu lagi pasal daun2 ulam, minta maaf sebab tak sempat nak ambil gambar dan che mat cuma guna ulam2 yang ada sekitar rumah (ada yang takde macam puding teh dan puding mangkuk). In sha Allah jika ada masa, che mat kongsikan pokok2 ulam tersebut. Nak mencuba?...Resipi anda boleh semak di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 keping ikan tenggiri (setiap sekeping selebar 3 jari orang dewasa)
4 helai daun pisang berukuran 14 inci x 10 inci
4 helai daun pisang berukuran 16 inci x 4 inci
4 batang lidi pencungkil gigi yang baru
2 camca besar jus asam jawa
1 camca besar penuh gula melaka
1 cawan santan
2 camca besar kerisik
1 1/2 camca besar rempah kari ikan Baba's
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, dihiris
6 tangkai cili kering, potong kecil dan rendam dalam air panas sekejap, toskan
1/2 inci belacan

BAHAN - BAHAN ULAM :-)
Pucuk ubi - 8 tangkai
Pucuk betik - 2 tangkai
Daun kaduk - 12 helai*
Pucuk bebuas - 12 helai*
Pucuk mengkudu - 8 helai*
Daun limau purut - 3 helai*
Daun kunyit - 2 helai*
Daun cekur - 4 helai*
Daun sekentut muda - 20 helai*
Daun kesom - 1 genggam*
Daun selasih - 1 genggam*

bbjb2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PENYEDIAAN AWAL :- Ikan dicuci, kemudian perapkan dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci kembali, toskan dan lumur dengan sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh), simpan dalam peti sejuk sementara kita siapkan bahan2 yang lain.
  2. Semua ulam2man dicuci dan toskan hingga kering. Ulam2man yang bertanda (*)  dan 4 tangkai pucuk ubi, dihiris halus tapi tak perlu halus macam bunga rampai. Masukkan ke dalam mangkuk dan ketepikan. 
  3. Daun pisan dilap dengan kain lembap, kemudian layur atas api hingga daun pisang lembut, tujuannya untuk mengelakkan daun pisang pecah semasa membungkus botok-botok nanti. Ketepikan.
  4. UNTUK REMPAH BOTOK - BOTOK :- Panaskan 4 camca besar minyak dalam kuali. Sementara itu satukan rempah kari ikan dengan bahan2 kisar halus dan kacau hingga menjadi pes. Tumis rempah tadi hingga harum, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Bila terbit minyak, masukkan santan, kerisik dan gula melaka. Kacau rata dan masak hingga pekat. Masukkan jus asam jawa dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan matikan api. Alih rempah ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk.
  5. UNTUK BOTOK-BOTOK :- Panaskan kukusan. Keluarkan ikan dari peti sejuk. Rempah dibahagikan kepada 4 bahagian sama banyak. Begitu juga ulam2 yang telah dihiris tadi, dibahagi kepada 4 bahagian. 
  6. Ambil sehelai daun pisang berukuran besar. Alaskan dengan sehelai atau dua helai pucuk betik, diikuti dengan 1 tangkai pucuk ubi (baki dari yang dihiris tadi). Taruk 1/2 dari 1 bahagian ulam yang dihiris, sudukan 1/2 dari 1 bahagian rempah. Letakkan sekeping ikan tenggiri, sapukan baki rempah dan tutup dengan baki ulam. Bungkus seperti dalam gambar, gunakan daun pisang saiz kecil sebagai penguat bungkusan sebelum anda sematkan dengan lidi.
  7. Buat hingga siap dan kukus botok-botok tadi selama 20 minit. Biarkan sejuk sekejap dan boleh hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!.

Tuesday, September 27, 2016

RESIPI ASAM REBUS UBI KAYU

rsz_aruk
Assalammualaikum, salam semua, Hari ni che mat bikin asam rebus ubi kayu, atas permintaan bonda. Mula2 memang tak bercadang nak jadikan menu ini entri di blog, tetapi ada permintaan agar che mat kongsikan resipi. Ok juga kan dari blog kosong saja. Resipi asam rebus ubi amat mudah dan che mat syorkan anda guna ubi yang berkanji (che mat guna ubi 'indon' yang saiznya sebesar lengan kanak2). Untuk perencah boleh guna apa2 yang anda suka, samada ikan masin, ikan bilis, ikan bilis tamban atau pun ikan salai. Tapi masakan ini kurang sesuai jika guna ikan segar. Ubi tu ikut banyak mana yang anda suka, agak2, ikut berapa ramai yang nak makan. Jika baru pertama kali mencuba dan risau takut tak kena dengan selera, apa kata bikin sikit dahulu, kalau ok, lain kali baru bikin lebih. Resipi sepeeti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Ubi kayu secukupnya (che mat guna dalam 5 batang ubi kayu bersaiz lengan kanak2 dan setiap 1 panjangnya kurang lebih 14 inci)
2 keping asam gelugor saiz sederhana
1 genggam ikan bilis saiz besar yang telah dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
1 helai daun kunyit, disiat
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya untuk merebus ubi

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
4 tangkai cili kering, potong kecil dan rendam dalam air panas sekejap dan toskan
2 biji cili merah
4 - 5 biji cili padi merah (optional)
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ubi dibuang kulitnya, kemudian potong kecil (che mat takik2 ubi tadi). Cuci bersih, toskan dan masukkan ke dalam periuk. Tuang air hingga ubi tenggelam. Rebus ubi hingga empuk dan kembang. Tak perlu buang air rebusannya.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk berisi ubi rebus tadi. Jika perlu tambah sedikit lagi air. Masukkan juga ikan bilis dan asam gelugor. Kacau perlahan dan masak hingga mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit, kacau  dan masak untuk 1 - 2 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan telur dadar.... (selain daun kunyit, boleh juga gunakan daun kesom atau daun selasih...Selamat mencuba!!)

Sunday, September 25, 2016

SAMBAL AYAM DAUN SELASIH

rsz_ass
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni masak satu menu paling ringkas untuk che mat makan sama nasi panas, tak mo lauk lain dah, cuma perlu renjis2kan kicap saja atas nasi, lepas boleh 'on'. Resipi dalam kategori ringkas dan senang masak, bahan2 pun tak banyak sangat. Che mat gunakan 100% cili merah, kalau sapa2 nak pedas, boleh masukkan 4-5 biji cili padi atau ikut selera. Ayam che mat guna 2 kepingan besar bahagian peha yang setiap satu dipotong 4 bahagian. Kalau nak saiz kecil sikit pun boleh, kerat jadi 5 bahagian. Satu bahan penting yang mesti ada ialah daun selasih, kalau takde, bukan sambal ayam daun selasih namanya (anda boleh lihat video singkat yang che mat kongsikan di IG, di sini). Nak guna cili kering kisar boleh ke?..Boleh juga tapi dah serupa ayam masak merah pulak nanti. Meh che mat kongsikan resipi mudah teramat sangat ni...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram ayam (kurang lebih), potong ikut suka, cuci bersih dan toskan*
1/2 camca besar serbuk kunyit*
1 camca teh garam*(*digaul rata dan perap 20 minit)
2 batang serai, diketuk
1 genggam daun selasih
2 - 3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar gula
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
9 biji cili merah
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan, dibakar
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AYAM :- Goreng ayam tadi hingga masak, tak perlu sampai garing (goreng dengan api sederhana dan tutup permukaan kuali dengan penutup kuali, balik2kan sentiasa agar ayam masak sekata). Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. UNTUK REMPAH :- Tumbuk cili merah hingga hancur, tak perlu sampai lumat, keluarkan. Tumbuk pula buah keras hingga lumat, masukkan belacan, bawang putih dan bawang merah. Tumbuk hingga semua hancur. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk berisi cili merah tumbuk tadi dan gaul rata. Ketepikan.
  3. UNTUK SAMBAL AYAM DAUN SELASIH :- Keluarkan minyak dan tinggalkan kurang lebih 3 camca besar. Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 rempah dan masak hingga garing, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah gula dan sedikit garam, kacau dan masukkan ayam. Gaul hingga rata.
  4. Tambah jus limau kasturi dan daun selasih. Kacau hingga semua rata, masak sekejap dan rasa, jika perlu baru masukkan sedikit lagi garam. Matikan api dan boleh hidangkan bersama nasi panas...Selamat mencuba!

Wednesday, September 21, 2016

RESIPI AYAM SEMUR PONTIANAK

rsz_asp
Assalammualaikum, salam Rabu. Lama juga dah tak kemas kini blog. Salah satu sebabnya, che mat masak benda2 yang simple dan dah berulang kali juga dijadikan entri blog. Bonda che mat kurang sehat seminggu dua ni, dia demam, batuk dan selsema, tapi sudah beransur pulih. Itu pun salah satu sebab kenapa che mat tak masak sangat. Makan kena jaga tak boleh yang berminyak dan bergoreng. Tapi hari ni nak langgar pantang sikit, kita masak ayam semur pontianak....errr, seram ke bila dengar nama pontianak. Toksah risau, pontianak yang ini bukan akak baju putih rambut panjang yang suka nyanyi atas pokok tu, tapi ni Pontianak, salah satu daerah di Kalimantan, Indonesia. Kiranya ini resipi Indon...

rsz_asp1
Respi aslinya menggunakan daging dan jika anda nak guna daging apa salahnya. Che mat gantikan dengan ayam sebab ada yang tak boleh makan daging. Resipi ini macam masak kicap berempah tapi ada sedikit penambahan dalam penggunaan bahan2nya seperti buah keras dan biji pala. Jika suka pedas anda boleh masukkan cili padi. Menu macam ini enak dimakan bersama nasi panas dan boleh juga dihidangkan dengan ketupat. Nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram ayam. dipotong ikut suka, cuci dan toskan*
3/4 camca besar serbuk kunyit*
1 camca teh garam*(*digaul rata dan perap 20 minit)
3 biji bawang putih, hiris
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau,hiris serong memanjang
1 camca besar jus asam jawa
2 biji tomato saiz sederhana, sebiji didadu kecil, sebiji lagi di belah 6
2 camca besar kicap pekat
4 camca besar kicap lemak manis
Garam jika perlu
1 cawan air

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
3/4 camca besar ketumbar biji
1/4 camca teh jintan manis
1/4 camca teh jintan putih
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah keras, dihiris
1/2 biji pala, ditumbuk kasar
1 inci kayu manis, dipecah2kan
1 camca teh lada putih biji
1 kuntum bunga lawang, ditumbuk kasar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam digoreng 1/2 masak, angkat dan toskan. Bahan2 rempah digoreng tanpa minyak hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Kemudian masukkan dalam pengisar kering dan kisar hingga bahan2 rempah halus dan menjadi serbuk. Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan tomato yang didadu kecil dan masak hingga tomato layu. Tambah rempah kisar tadi dan kacau rata, masak sekejap dan tuang air.
  3. Masukkan kicap pekat, kicap lemak manis dan jus asam jawa, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam, gaul rata dan masak dengan api kecil untuk 5 - 6 minit. Tambah bawang besar, cili merah dan cili hijau, kacau.
  4. Rasa dan jika perlu baru masukkan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan baki tomato yang dibelah 6 tadi, kacau dan masak sekejap. Boleh matikan api dan hidangkan sama nasi panas. Selamat mencuba!
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda guna daging, sukatannya lebih kurang 500 gram tapi nak lebih pun boleh. Rebus dulu daging tadi dengan hirisan halia dan bawang putih hingga daging empuk, kendian baru dimasak semur. Gantikan air dalam resipi di atas dengan air rebusan daging...

Friday, September 16, 2016

DAGING GORENG DAUN SELASIH

rsz_dging_selasih_ku_sayang1
Assalammualaikum, salam semua. Lama tak kemas kini blog. Sebab utama bonda che mat kurang sihat dan nak masak yang berminyak2 buat masa ni tak boleh sangat, semuanya rebus2 aje. Oleh yang demikian, entri kali ni che mat kongsikan satu lagi resipi kerjasama antara blog tiffinbiru dan Jalen. Memandangkan raya korban baru saja berlalu dan sudah pasti anda ada stok daging korban dalam freezer, apa kata cuba menu yang akan che mat kongsi kejap lagi. Sedap dimakan bersama nasi panas. Jika anda suka pedas, boleh tambah lebih cili padi. Bahan paling utama mestilah daging dan daun selasih. Kalau guna daging biasa rebus dulu sampai empuk, kendian baru dimasak. Jika nak mencuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan
1 1/4 cawan isi nanas yang telah dipotong kiub
1 biji bawang besar, belah 6 dan leraikan
1 inci halia, dimayang halus
3 ulas bawang putih, cincang halus
6 biji cili padi kampung hijau
6 biji cili padi kampung merah
1 genggam daun selasih
1 camca besar pes tomyam (sebarang jenama)
1 camca besar cili kisar
1/2 camca teh gula
Garam secukup rasa
Daun salad untuk hiasan

BAHAN - BAHAN SOS :-)
2 camca besar sos cili JALEN
1 camca besar sos tomato JALEH
2 camca besar kordial minuman perisa mangga JALEN
1 camca teh sos plum

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia hingga harum. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tambah pes tomyam, kacau rata dan masukkan semua bahan2 sos. Masukkan daging, gaul rata dan biarkan hingga daging kecut, tambah sedikit air jika perlu.
  2. Masukkan gula, cili padi merah/cili padi hijau, nanas dan bawang besar. Gaul rata dan masukkan garam secukup rasa. Masak hingga daging empuk dan nanas lembut. Akhir sekali tambah daun selasih, gaul rata dan masak untuk 2 - 3 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG :- Hias pinggan yang sesuai dengan daun salad, kemudian cedok keluar daging goreng daun selasih ke dalam pinggan tadi. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Tuesday, September 13, 2016

TEMPE GORENG TEPUNG

rsz_tgrr
Assalammualaikum, salam semua. Petang tadi kita menjawakan diri. Tiba2 teringin makan tempe goreng tepung dan ditambah ketumbar jintan sebagai penyedap rasa. Teringat che mat, tahun lepas masa kelaurga che mat menunaikan haji dan che mat tinggal sorang2 kat rumah. Pagi raya haji tu aku goreng tempe, punya lah lagend menu, yelah kalau nak masak sapa nak makan, buat penat ajer. Kudapan tempe goreng ini amat biasa dengan masyarakat Jawa dan bukan Jawa pun dah pandai makan. Kira tempe bahan wajib untuk dicampur dalam masakan sambal goreng, kuah lodeh dan juga sebagai pelengkap dalam hidangan rojak. Seperti sedia maklum, kalau makan tempe goreng kena lah ada sambal kicap..Baru lah Johor!!...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 - 5 keping tempe berbungkus daun
1/2 cawan tepung beras
1 biji telur
1/4 cawan air
3/4 camca besar ketumbar*
1/2 camca teh jintan manis*
1/2 camca teh jintan putih*
3 ulas bawang putih*(*ditumbuk halus)
3/4 camca teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa (anggaran 3/4 camca teh)
Minyak untuk goreng terendam
Sambal kicap untuk dimakan bersama tempe goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tempe dihiris nipis menyerong (4 - 5 hirisan untuk sekeping tempe, ikut ketebalan tempe yang anda guna), ketepikan. Semenatar itu masukkan tepung beras ke dalam mangkuk bersama2 bahan tumbuk halus, serbuk kunyit, garam dan telur. Kacau rata dan tuang air, kacau lagi hingga semua bersatu dan sebati. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Celup setiap kepingan tempe dalam adunan tepung dan masukkan ke dalam minyak panas. Jangan goreng banyak2 sekali, goreng anggaran 7 - 8 keping sekali goreng. Masak hingga tempe kuning keemasan. Balik2kan agar masak sekata, gunakan api sederhana. Angkat dan toskan minyaknya.
  3. Buat hingga selesai dan boleh hidangkan tempe goreng tepung dengan sambal kicap untuk minum petang atau kudapan di waktu2 senggang. Selamat mencuba!!

Sunday, September 11, 2016

SAMBAL CILI HIJAU KACANG KUDA

rsz_slhkk
Assalammualaikum. Salam semua. Sekarang ni musim orang demam, dan bonda che mat sendiri sudah beberapa hari demam, ditambah pulak dengan batuk serta selsema. Dan masa ni tekak mula meragam, tak selera, payau dan makanan rasa tawar saja. Menu hari ni che mat masak asam rebus ubi kayu dan juga sambal cili hijau kacang kuda. Resipi asam rebus tu dah pernah rasanya dikongsi, tapi sambal hijau kacang kuda belum lagi. Resipi sambal cili hijau ini amat mudah dan ini antara menu nostalgia ketika zaman jepun dulu, kata bonda menu sebegini menjadi bekal ketika bekerja di kebun atau semasa menoreh getah. Asas masakannya sama saja, kacang kuda tu che mat yang tambah. Anda boleh gantikan kacang kuda dengan sengkuan, terung pipit, kentang, rebung, lobak asin, cendawan kukur dan rebung. Jika tak makan sayur seperti che mat tulis tu, anda boleh guna cili hijau sahaja. Bahan paling utama ialah belacan dan petua untuk mendapat rasa sambal cili hijau yang sedap ialah minyak untuk menumis guna minyak lebihan goreng ikan masin. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin kacang kuda jenama Kimball
6 biji cili hijau, dihiris
2 biji bawang besar, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
1 genggam ikan bilis tambam, rendam hingga lembut
1/3 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang kuda ditoskan dalam tapis. Cuci bawah air paip mengalir, toskan. Ikan bilis tamban dibersihkan, belah dua dan buang tulangnya, cuci kembali dan toskan (ikan bilis tamban anda boleh ganti dengan ikan bilis biasa. Boleh lebihkan jika suka).
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak dalam kuali (kalau daapat guna minyak lebihan anda goreng ikan masin). Tumis bawang besar, bawang putih, cili hijau dan ikan bilis tamban tadi, Kacau rata dan masak hingga bawang dan cili hijau layu.
  3. Masukkan belacan dan jus asam jawa. Tambah air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kacang kuda, gaul rata dan masak sekejap. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga kering, guna api kecil. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!.

Thursday, September 8, 2016

NASI AYAM SOS TIRAM

rsz_nasi_ayam__sos_tiram2 (1)
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat kongsikan satu lagi resipi yang menggunakan produk JALEN dan resipi ini asalnya che mat berkerjasama dengan Jalen dulu. Nasi ayam sos tiram ini seakan2 clay pot chicken rice cuma tak dimasak dalam clay pot atau mangkuk tanah. Resipi boleh dikatakan agak mudah walaupun nampak bahan2nya agak banyak. Petua dari che mat jika anda nak memudahkan kerja, rancang dulu apa nak masak dan beli bahan2 yang diperlukan secukupnya. Bila bahan2 dah cukup lengkap, kita nak mulakan kerja memasak lebih mudah.

rsz_nasi_ayam_sos_tiram1 (2)
Nasi ayam sos tiram dihidangkan bersama ayam madu. Ayam madu terpulang pada anda samada nak buat atau tak, kerana dalam nasi ayam tu dah ada isi ayam. Begitu juga dengan sup, tapi pada che mat makan begitu saja sudah ok sangat, tak perlu sup2 bagai. Ulam2 seperti timun, tomato dan daun salad amat sesuai digandingkan. Warna nasi memang agak perang kerana penggunaan sos tiram dan sedikit kicap pekat. Ok, tak usah cerita panjang lagi, jomm che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 cawan beras basmathi, cuci dan redam 30 minit, toskan
1 helai daun pandan, disimpul
1/4 camca teh minyak bijan
4 keping cendawan telinga kera @ black fungus, jenis segar, cuci dan potong kecil
2 ulas bawang putih, dicincang halus
4 biji bawang merah kecil, hiris
1 inci halia, tumbuk halus dan perah jusnya*
1 keping dada ayam, dihiris memanjang*
2 1/2 camca besar sos tiram JALEN*
1 camca teh kicap pekat JALEN*
1 camca besar kicap lemak manis JALEN*
1/4 camca teh serbuk lada sulah*(*digaul rata dan perap 25 minit)
6 cawan air rebusan tulang ayam
Garam secukup rasa (jika perlu)

BAHAN - BAHAN AYAM MADU :-)
7 - 8 keping kepak ayam, cuci bersih dan toskan
3 ulas bawang putih, ditumbuk halus
1/2 camca teh lada hitam kisar
1 1.2 inci halia, ditumbuk halus
2 batang serai, hiris dan tumbuk halus
2 camca besar kicap pekat JALEN
3 camca besar madu*
2 camca besar kicap lema manis JALEN*(*disatukan dan kacau rata)
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan daun bawang/ daun sup, untuk hiasan
Hirisan timun
Hirisan tomato
Daun salad secukupnya
Bawang goreng
Cili merah, dibuang biji dan dadu kecil. untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK NASI AYAM SOS TIRAM :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan isi dada ayam yang telah diperap tadi. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tambah serbuk lada sulah dan beras basmathi. Gaul rata dan goreng 30 saat. Alihkan ke dalam periuk nasi elektrik (rice cooker). Tuang air rebusan tulang ayam dan masukkan daun pandan. Kacau dan rasa jika perlu masukkan garam secukup rasa.
  2. Masak seperti biasa hingga nasi kering. Masukkan minyak bijan dan gemburkan nasi menggunakan chop stick. Biarkan seketika dan boleh cedok nasi ke dalam pinggan. Hias dengan daun salad, hirisan timun dan tomato. Tabur bawang goreng, daun sup/daun bawang dan cili merah sebelum dihidangkan bersama ayam madu..
  3. UNTUK AYAM MADU :- Gaul kepak ayam dengan lada hitam kisar, bawang putih, halia, serai dan kicap pekat. Tambah sedikit garam jika perlu. Perap sekurang2nya 2 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih sedap (simpan dalam peti sejuk).
  4. Bakar ayam tadi dalam kuali non-stcik atau dalam oven (jika guna oven, bakar pada suhu 200C). Semasa membakar. sapukan keseluruhan kepak ayam dengan bancuhan madu dan kicap lemak manis tadi. Sapu setiap kali anda membalik2kan kepak ayam. Bakar 10 - 12 minit untuk setiap bahagian atau hingga masak. Boleh hidangkan bersama nasi ayam sos tiram...Selamat mencuba!

Wednesday, September 7, 2016

BURGER DAGING BERSOS LADA HITAM

rsz_black_pepper_beef_burger1 (1)
Assalammualaikum, salam semua. Sebelum che mat teruskan, nak cerita sikit. Resipi dalam entri ini ialah resipi yang che mat pernah bekerjasama dengan pihak JALEN dulu dan disebabkan laman web mereka menghadapi masalah, jadi che mat dapat keizinan untuk berkongsi kembali resipi yang menggunakan produk JALEN, di blog tiffinbiru. Burger daging bersos lada hitam ini che mat bikin sendiri daging burgernya dan juga sos lada hitam. Roti tu sebenarnya che mat bikin sendiri juga, tapi rasanya untuk lebih mudah, anda guna saja roti yang dah siap. Resipi ini akan menghasilkan 4 keping daging burger bersaiz seperti dalam gambar (maksudnya anda akan dapat 4 biji burger juga)...Jomm kita semak resipi...

BAHAN - BAHAN DAGING BURGER :-)
400 gram daging lembu yang dicincang,
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
1 inci halia, tumbuk halus
1/3 cawan serbuk roti (guna yang warna putih)
1 camca teh serbuk ketumbar
1/2 camca teh serbuk jintan manis
1 camca besar serbuk mustard
1 camca teh kicap masin JALEN

BAHAN - BAHAN SOS LADA HITAM :-)
1 1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
1/2 camca besar tepung gandum
2 camca besar mentega
1 camca besar sos tiram JALEN
2 camca besar kicap pekat JALEN
Kicap lemak manis JALEN, secukup rasa
3 cawan air

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
4 keping keju chessdale (atau keju pilihan anda)
Daun salad secukupnya
Hirisan jeruk gherkin secukupnya
Hirisan tomato secukupnya
Hirisan bawang besar secukupnya
Hirisan timun secukupnya
Sos tomato JALEN secukupnya
Mayonnaise secukupnya
Sedikit majerin untuk disapu pada roti

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DAGING BURGER :- Satukan semua bahan2 untuk daging burger. Gaul rata (jika anda ada food processor, masukkan kesemuanya dalam FP dan putar pada kelajuan perlahan hingga semua bersatu). Bahagikan kepada 4 bahagian sama besar. Bulat2kan dan tekan hingga leper sedikit, pastikan saiznya lebih besar dari roti burger. Buat hingga siap dan panggang dalam non-stick pan dengan api kecil. Tekan perlahan2 atas daging burger tadi semasa memanggang. Masak 3 - 4 minit untuk setiap bahagian. Angkat dan ketepikan.
  2. UNTUK SOS LADA HITAM :- Panaskan mentega dalam periuk kecil. Tumis bawang holland hingga layu. Masukkan tepung gandum dan kacau rata, guna api kecil. Tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata dan air habis dituang. Masukkan lada hitam, sos tiram dan kicap pekat. Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan kicap lemak manis secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  3. UNTUK BURGER DAGING BERSOS LADA HITAM :- Ambil sebiji roti burger, belah dua dan sapu dengan sedikit majerin. Kemudian panggang hingga perang sedikit. Angkat dan ketepikan. Ambil bahagian bawah roti, susun daun salad, hirisan timun, hirisan tomato, jeruk gherkin dan hirisan bawang besar. Paipkan dengan sos tomato dan mayonnaise atasnya. Letak sekeping keju. Celupkan sekeping daging burger yang telah dipanggang ke dalam sos lada hitam dan taruk atas keju tadi. Tutupkan dengan bahagian atas roti burger. Cucuk dengan lidi sate bersih untuk menstabilkan burger anda. Hidangkan segera, pastikan lidi sate dibuang sebelum dimakan...Selamat mencuba!!
CATATAN MAT GEBU : - Daging cincang che mat masukkan dalam tapis, kemudian cuci dibawah air paip yang mengalir, toskan hingga kering dan boleh digunakan untuk membuat daging burger. Selain daging lembu, anda boleh guna daging ayam atau kambing..

PETOLA MASAK SAMA KACANG DHAL

rsz_pukd
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan dengan anda satu resipi mudah dan sedap. Selain enak dimakan sama nasi, ia juga boleh dimakan (dicicah) dengan roti canai atau roti biasa. Menu ini lebih kurang macam masakan parpu yang menggunakan bahan asanya kacang dhal yang direbus hingga betul2 kembang. Che mat gunakan petola ular, sejenis petola berkulit licin dan panjang, contohnya di sini. Jika takde, anda boleh guna petola biasa (yang bersegi2 tu). Idea masakan ini dikongsi oleh saudara che mat, yelah nak bikin masak lemak atau tumis air macam dah bosan, selalu sangat. Hidangan ini berkemungkinan besar berasal dari India dan rasanya agak ringan dan tidah pedas. Selain lemak dari kacang dhal, che mat juga gunakan santan dalam 1 cawan. Resipi che mat tuliskan di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cawan kacang dhal
1 biji petola ular (atau petola biasa)
1 cawan santan (sederhana cair)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN TUMIS DARAT :-)
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 camca besar rempah kari*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
4 camca besar air*(*disatukan dan kacau rata hingga menjadi pes)
5 tangkai cili kering, potong kecil, cuci dan toskan
1 camca teh biji sawi
1/2 camca teh halba
1/2 camca teh jintan manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petola dikupas kulit, buang bahagian tengah dan hiris sederhana tebal (kalau guna petola biasa, tak payah buang bahagian tengahnya). Kacang dhal dicuci, kemudian rebus hingga kembang. Jika kering, tambah 1 cawan air panas. Masukkan petola dan santan, kacau rata dan masak dengan api kecil.
  2. Sementara itu, panaskan minyak (anggaran 4 camca besar), dalam kuali. Tumis semua bahan2 tumis darat kecuali pes rempah. Masak hingga semua layu dan kekuningan. Masukkan pes rempah dan masak hingga rempah garing. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuangkan no 2 tadi ke dalam periuk berisi kacang dhal dan petola. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biarkan mendidih dengan api sederhana buat seketika. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau roti...Selamat mencuba!!.

Saturday, September 3, 2016

LEMAK CILI PADI REBUNG JERUK SAMA UDANG

rsz_rjlcp
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat masak menu permintaan bonda. Rebung jeruk antara hidangan kegemaran bonda dan che mat. Biasanya rebung jeruk dimasak bersama daging salai atau babat dan ada juga yang masak dengan ikan dan tulang lembu. Tapi kali ni kita tak guna udang galah. Udang galah jenis udang gantung bersaiz kecil. Kalau udang galah sungai yang betul2 tu, saiznya besar. Satu lagi nak bercerita pasal rebung jeruk. Ada yang tak gemar sebab rebung jeruk dikatakan berbau dan aromnya boleh melekat dijari. Sebenarnya bergantung pada lama mana anda menjeruk rebung tersebut. Kalau lama sangat memang bau dia agak menyegat. Macam che mat guna ni, kami jeruk dalam 10 hari, bau dia biasa2 saja dan rasanya tak berapa masam sangat. Dan jenis rebung buluh betong paling sesuai jika nak dijeruk. Kalau rebung madu che mat rasa tak sesuai. Tak pandai nak menjeruk rebung, ok..caranya mudah. Jika anda beli rebung buluh betong, bersihkan (buang kulit luarnya hingga jumpa bahagian rebung yang putih dan lembut) kemudian guna penyagat, dan sagat rebung tadi untuk mendapat kepingan nipis. Cuci, toskan dan masukkan dalam bekas. Masukkan garam secukupnya (anggaran 1 genggam), tuang air masak sejuk hingga rebung tenggelam dan kacau hingga garam larut. Tutup rapat dan biarkan selama 1 - 2 minggu. Bila nak guna ambik secukupnya, toskan dan cuci. Sedia dimasak lemak cili padi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 12 ekor udang galah bersaiz kecil
Rebung jeruk secukupnya (anggaran 400+ gram)
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1/2 cawan cili padi (che mat campur yang merah dan hijau)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, potong kaki2 kecilnya, kerat muncung dan buang kotoran dibahagian kepala udang. Cuci bersih dan toskan. Rebung dicuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama serai, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. 
  2. Masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. Masukkan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit, kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil sambil dikacau sentiasa. Masak untuk 2 - 3 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.