BEN ASHAARI

Tuesday, August 30, 2016

RESIPI UDANG GALAH MASAM MANIS

rsz_ugss
Assalammualaikum, salam Selasa. Bila part nak memasak ni ada kala boleh memeningkan juga, nak2 kalau ada yang boleh makan dan yang tak boleh makan. Ada yang nak pedas, dan ada yang tak boleh makan pedas. Kalau dapat kita yang memasak ni nak masak satu menu yang semua orang boleh makan, tak kira orang dewasa atau kanak2. Pada pendapat che mat, menu sweet sour atau masam manis antara pilihan tepat. Tidak pedas (atau boleh tambah cili padi macam che mat, untuk lebih pedas). Paling kerap orang guna ikan (ikan bawal atau ikan siakap), tapi anda boleh pelbagaikan, nak guna udang, ayam, ketam atau sotong pun boleh (kalau guna sotong elok kita goreng dengan tepung dulu, kendian baru masak sweet sour dan satu lagi kena dihidangkan segera). Jika anda demam atau kurang sihat macam che mat, silalah masak menu ini dan tambah cili padi lebih sikit, gerenti berpeluh bila makan!....Jomm kita semak resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
7 - 8 ekor udang galah jenis kecil (udang gantung)
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1/2 camca teh garam
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, kuning, hijau)
8 tangkai kacang sweet pea (contoh di sini)
1 biji bawang besar, belah 6
2 ulas bawang putih, cincang halus
5 - 6 biji cili padi merah, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 camca besar plum sos
4 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
1/2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Daun salad untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang galah dibersihkan, buah kaki2 kecilnya, janggut dan juga muncung udang. Buang juga kotoran yang berada di kepala udang. Cuci bersih dan gaul udang dengan serbuk lada sulah dan 1/2 camca teh garam. Kemudian goreng udang hingga bertukar warna, angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak tadi dan tinggalkan dalam anggaran 4 camca besar. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan sos cili, sos plum dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap dengan api kecil. 
  3. Tuang air, kacau dan biar mendidih. Masukkan kacang sweet pea, bawang besar dan cili padi. Bila bawang lembut, tambah traffic light capsicum, kacau dan masukkan udang, gaul rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula jika perlu. Masak hingga pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api. Alihkan udang ke dalam bekas yang dialas dengan daun salad. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

Monday, August 29, 2016

RESIPI SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU

rsz_stdkns
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat bepuasa sunat. Kadang2 fikir juga nak masakkan apa lah agaknya untuk bonda berbuka nanti. Dia tak memaksa dan makan apa saja, yang simple2 sudah cukup. Tapi che mat memang risau dan kadang2 tu kalau buatkan yang mudah2, rasa macam tak bess pulak. Tempoh hari ada stok pucuk labu kat rumah dan che mat ada beli petai. Jadi hari ni mari kita masak sambal tempoyak daun kayu, typical orang nismilan nya makanan ni, kalau gaul sama nasi panas, mau berbulu tangan. Daun2 guna yang ada sekitar rumah saja. Pucuk ubi bahan penting dan diikuti pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit yang kesemuanya diracik halus seperti bunga rampai. Kalau dapat guna tempoyak baru, lagi wangi. Pedas tu anda boleh ikut selera masing2, nak lebihkan atau kurangkan cili padi. Kalau che mat sudah semestinya kena pedas baru lah 'seksi'...peluh2 kau masa makan...haha...nak mencuba?..Jomm semak resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA
1 cekak pucuk ubi
6 - 7 tangkai pucuk labu
20 helai daun kaduk
20 helai pucuk kacang panjang
6 helai daun kunyit muda
3 papan petai
4 camca besar tempoyak
1 liter santan
1 keping kecil asam gelugor
1 genggam ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 cawan cili padi (che mat guna yang merah dan hijau)
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, kemudian mayang halus seperti bunga rampai, masukkan ke dalam bekas. Begitu juga dengan pucuk labu, daun kaduk, pucuk kacang panjang dan daun kunyit, dimayang halus. Masukkan ke dalam bekas berisi pucuk ubi, cuci kemudian toskan hingga kering. Petai diambil isinya, kemudian potong kecil. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah tempoyak, ikan bilis (toskan airnya), petai dan santan. Kacau rata hingga tempoyak larut. Hidupkan api dan masak hingga menggelegak dan kuah pekat sedikit.
  3. Masukkan asam gelugor dan daun2 yang telah dimayang tadi, sederhanakan api dan gaul hingga semua mesra. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Selamat mencuba!

Friday, August 26, 2016

LEMAK TEMPOYAK PUCUK UBI SAMA UDANG

rsz_puut
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Makan apa tengah hari tadi?..Hari ni che mat kongsikan satu menu kegemaran bonda dan che mat juga. Tapi tak boleh makan selalu, sebab berprofile agak tinggi. Udang yang ada tu baki che mat masak sweet sour masa ada tetamu datang tu hari, tak banyak dalam 5 ekor tapi saiz agak besar juga. Kebetulan pucuk ubi kat tepi2 rumah tengah elok berdaun baru, jadi takde masalah lah nak masak. Tambah ada belen2 petai dari masak sambal goreng. Masakan ini boleh dikatakan senang dimasak dan bahan2 pun tak banyak. Kira asli dari negeri sembilan sebab tak guna bawang, hanya cilipadi dan kunyit hidup saja. Santan yang segar dan tak lupa tempoyak...Bagi yang nak mencuba, jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
5 ekor udang saiz besar
3 batang serai, diketuk
2 papan petai
2 helai daun kunyit, dimayang halus
1 camca besar penuh tempoyak
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Beberapa biji cili padi, dibelah 2 tapi tak putus

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi (che mat campur yang hijau dan merah)
1 1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Cuci dan rebus hingga empuk, toskan kemudian potong sedikit. Udang kerat sedikit kaki2nya dan hujung kepala, bersihkan kotoran dan toskan. Petai diambil isinya, cuci dan toskan.
  2. Masukkan pucuk ubi rebus ke dalam periuk bersama serai titik, tempoyak dan bahan2 kisar halus. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah udang, petai dan asam gelugor, masak hingga udang berubah warna. 
  3. Masukan pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah hirisan daun kunyit dan cili padi belah. Masak dengan api kecil dan kacau selalu. Biarkan mendidih untuk 3 - 4 minit lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

Thursday, August 25, 2016

RESIPI SAMBAL GORENG MUDAH

rsz_sgpc
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita bikin sambal goreng tapi sebelum tu che mat nak ingatkan lah, mungkin resipi ini bukan 100% tradisional atau 'asli'. Aku main masak ikut apa bahan2 yang ada dalam peti sejuk, dari membazir kau lemparkan saja sudah, jangan banyak sangat pantang larang. Cuma satu pekara saja che mat nak kasi tau. setiap bahan2 tu dalam kuantiti sederhana saja, kalau banyak sangat mau sekuali besar sambal goreng jadinya. Tapi kalau penduduk rumah muai, tak salah nak masak lebih. Macam che mat tak ramai, jadi masak dalam kadar sederhana dan berkemungkinan besar sambal goreng ni sampai esok pun masih berbaki. Ada satu bahan kurang iaitu tauhu kering @ fucuk, tapi che mat gantikan dengan fucuk yang ada pes ikan dalam dia (jenama mushroom). Boleh lah dari takde, tapi dalam resipi nanti che mat tulis fucuk. Petai tu optional, kalau tak makan petai toksah taruk yea....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tngkai kacang panjang, dihiris serong
1 keping tauhu, didadu dan goreng
2 keping tempe (jenis yang bungkus daun), didadu dan goreng
1 biji kentang, kupas, potong kecil dan goreng
2 keping fucuk (setiap 1 selebar tapak tangan orang dewasa), rendam hingga lembut dan potong kecil
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
2 papan petai, ambil isinya dan potong kecil
2 kelopak kobis, potong kecil
1/4 cawan isi udang
1 batang serai, diketuk
2 keping hirisan lengkuas
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1/2 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
2 camca besar jus asam jawa
2 camca besar cili kisar
1-2 camca besar kicap lemak manis JALEN
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 camca besar.Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan serai, lengkuas dan cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing. Masukkan isi udang dan masak hingga isi udang berubah warna.
  2. Tambah belacan yang telah dilarukan tadi dan juga jus asam jawa, kacau rata. Masukkan tempe, tauhu, kentang, fucuk dan kacang panjang, gaul rata dan masak hingga kacang lembut. Kemudian tambah kobis dan petai. Kacau dan masuk soo hoon (toskan dahulu airnya). Gaul hingga semua mesra.
  3. Masukkan hirisan cili hijau dan cili merah, kicap lemak manis dan perasakan dengan garam secukupnya, Kacau dan masak sekejap lagi. Sesuaikan rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Monday, August 22, 2016

MENGIDAM MI HOON SOTO JOHOR

rsz_1mhsj
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat mengidam mi hoon soto. Buatnya mudah, sama seperti membuat kuah soto Johor, cuma tukar makan guna mi hoon atau mi kuning, ikut selera masing2. Kalau makan sama nasi impit atau ketupat dah jadi soto. Hidangan ini popular ketika hari raya, kerana amat versatile, bayangkan masak kuah soto dan anda boleh hidangkan dengan tiga bahan2 utama yang berbeza (mi hoon, mi kuning dan ketupat/nasi impit). Selain tu boleh juga cicah kuah soto dengan roti.

rsz_mhsj1
Seperti lazimnya di Johor, soto harus ada hidangan pelengkapnya seperti begedil, sambal kicap, tauge, daun sup/daun bawang dan lain2. Kali ini che mat hidangkan dengan belahan limau kasturi, yang itu optional, tak paksa, cuma ikut selera masing2. Tauhu goreng tu pun kalau ikutkan memang tak taruk, tapi che mat suka dan memang sejak dulu kalau bikin soto, mesti tambah hirisan tauhu goreng. Sambal kicap style che mat senang ajer, tak perlu digoreng cili dan bawang putih, semuanya ditumbuk halus, taruk gula dan tumbuk lagi. Kemudian tuang kicap lemak manis JALEN, kacau rata dan boleh hidangkan. Tapi kalau anda nak goreng dulu cili padi dan bawang putih tadi tak jadi masalah. Ada juga yang masukkan bawang goreng dalam sambal kicap, tapi cara tu tak kena dengan selera che mat, yang ringkas lebih sedap. Resipi memang dah banyak kali juga dikongsikan dalam blog, tapi untuk memudahkan anda, kita lihat sekali lagi resipinya seperti di bawah ini.

BAHAN - BAHAN KUAH SOTO :-)
2 ketul serangka ayam, cuci bersih dan toskan
2-3 keping besar peha ayam, cuci dan toskan
2 camca besar rempah sup
1 rempah sup bunjut tulang
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 genggam bawang goreng
1/2 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
Sedikit parutan biji buah pala
Garam secukup rasa
3 liter air

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, dihiris

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Mi hoon @ mi kuning, secukupnya, dicelur dan toskan
Begedil, resipi boleh rujuk di sini
Hirisan daun sup/daun bawang
Tauhu goreng, dihiris
Bawang goreng
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan celur sekejap, toskan
Sambal kicap
Belahan limau kasturi, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah sup, serbuk buah pala dan lada hitam yang ditumbuk halus. Kacau rata hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 5 camca besar. Masukkan bahan2 tumis, masak hingga harum. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan rangka ayam dan peha ayam. Kacau, masukkan sup bunjut, daun sup yang dikerat kasar dan bawang goreng. Perasakan dengan sedikit garam dan masak selama 1 jam, jika perlu boleh tuang sedikit lagi air panas. Keluarkan peha ayam, sejukkan sebentar dan carik2kan isinya. Tulangnya dimasukkan kembali ke dalam periuk. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi garam, masak sekejap dan boleh matikan api.
  3. UNTUK MI HOON SOTO :- Masukkan secukupnya mi hoon ke dalam mangkuk sesuai, tuang kuah soto sehingga mi tenggelam. Hias dengan taugeh, hirisan daun sup/daun bawang, begedil, bawang goreng, isi ayam yang dicarik tadi, tauhu dan juga sambal kicap. Jika suka boleh perahkan sedikit jus limau kasturi sebelum dimakan. Selamat mencuba!!

Sunday, August 21, 2016

KARI ASAM SOTONG TIN

rsz_kast
Assalammualaikum, salam Isnin semua...Apa nak masak hari ni?...Soalan yang paling kerap muncul dibenak fikiran setiap suri rumah atau mereka2 yang menyediakan hidangan untuk keluarga. Che mat pun macam tu juga. Ada masa memang tak masak sebab habiskan lauk2 yang berbaki. Tapi hari ni tiba2 nak cuba masak kari asam sotong tin. Tu hari che mat dapat kiriman sotong keluaran Ayam Brandm dari syarikat mereka. Kiranya ini antara keluaran terbaru Ayam Brand. Biasanya kita lihat dipasaran sotong tin yang jenama satu lagi tu, tapi kini anda boleh cuba jenama Ayam Brand pulak. Che mat guna 1 tin besar, kalau nak banyak boleh guna 2 tin. Sebenarnya anda boleh pelbagaikan kaedah memasak, nak bikin sambal tumis, nak masak padprik, nak masak lemak cili padi pun ok, takde masalah. Macam menu yang anda lihat tu, siapa sangka sotong dalam tin boleh dimasak kari asam...Rasa dia macam mana?...cuba dulu, in sha Allah anda akan bertambah nasi lepas tu....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin sotong Ayam Brand (tin besar)
10 batang bendi muda (jenis pendek)
12 biji tomato ceri
1 genggam daun kesom
1 kuntum bunga kantan, belah 2
Jus asam jawa secukupnya
5 biji cili padi merah, dibelah 2 tapi tak putus setiap 1
1/3 cawan cili kisar
1 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
Garam dan gula secukup rasa
3 biji bawang merah, hiris*
2 ulas bawang putih, hiris*
2 tangkai daun kari, dilurut*
1/4 camca teh halba*(*bahan2 tumis)
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
2 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan sotong dari kuahnya, jika suka sotong anda boleh potong sedikit (che mat tak potongm masak macam tu saja). Bendi di cuci dan toskan. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, ketepikan.
  2. Panakan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumia bahan2 bertanda (*), kacau rata dan masak hingga layu. Masukkan pes rempah dan kacau rata, tambah cili kisar, kacau dan terus memasak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang kuah sotong (yang diasingkan tadi), tambah air secukupnya, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan sotong dan bendi, tambah jus asam jawa secukup rasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
  4. Masukkan daun kesom, cili padi yang dibelah dan bunga kantan, masak sekejap. Akhir sekali tambah tomato ceri, dan biarkan tomato lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar, sambal belacan dan ulam2man...Selamat mencuba!!

Monday, August 15, 2016

RESIPI KAMBING MASAK MERAH

rsz_kmm
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat masak kambing. Tempoh hari ada teman FB yang pergi kenduri kawin di Johor, dan antara hidangan yang ada ialah kambing masak merah. Tak pasal2 aku pulak yang termengidam nak makan kambing masak merah. Maka pagi tadi bermulalah operasi memasak. Resipi nampak macam banyak bahan2nya, tapi cara memasak dia amat mudah. Kalau anda rajin, boleh masak nasi minyak untuk digandingkan dengan menu kambing masak merah. Che mat sebab tak rajin atau senang cerita - malas, jadi makan sama nasi putih saja, itu pun sedap bangett. Masak merah ni che mat lebihkan sedikit kuah dia untuk dicicah dengan roti.

rsz_kmm1
Untuk resipi ini penggunaan daging kambing bertulang lebih kurang 1kg lebih. Kalau anda tak makan kambing, boleh guna daging lembu atau ayam. Daging kambing (yang bertulang) anda perlu rebus dahulu, hingga dagingnya empuk. Che mat rebus guna periuk tekanan atau pressure cooker, mengambil masa kurang lebih 20 minit, tapi semuanya bergantung pada periuk tekanan masing2, nasihat che mat bagi yang baru2 nak guna periuk tekanan, sila baca buku panduan dia terlebih dahulu dan langkah2 keselamatan harus dititik beratkan, yelah kang main belasak ajer, sekali meletop, ada pulak periuk terbang sampai kat rumah jiran sebelah. Tapi setakat ni alhamdulillah che mat dah guna lebih 20 tahun, semuanya ok, janji jangan lalai. Kalau teringin nak mencuba, boleh rujuk resipi seperti dibawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1+ kg daging kambing (yang bertulang), dipotong kecil
1 camca besar penuh tepung gandum
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 inci halia, hiris
5 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu dibuang kulit)
1 camca teh garam
2 batang serai, diketuk
1 pokok daun ketumbar, cuci dan toskan
1 genggam kacang gajus, goreng hingga perang dan toskan
1 genggam kismis kuning, cuci dan toskan
1 cawan susu sejat
3 camca besar pati oren Sunquick
1 tin kecil tomato puree
1/4 cawan sos tomato
1/3 cawan sos cili
1/3 cawan cili kisar (nak pedas taruk lebih)
2 camca besar gula melaka
Garam dan gula secukup rasa
1 camca besar penuh minyak sapi
1 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
4 biji buah pelaga*
10 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
Bawang goreng, untuk hiasan
Kacang pis, untuk hiasan
Daun pudina, untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
15 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing dicuci, toskan. Kemudian gaul dengan tepung gandum dan jus limau kasturi hingga rata. Perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Masukkan daging kambing ke dalam periuk, tuang air secukupnya, tambah halia, bawang putih dan 1 camca teh garam, rebus hingga daging kambing empuk. Asingkan daging kambing dan air rebusannya ditapis. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi. Masukkan rempah tumis dan serai, masak hingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar, masak sekejap. Tambahkan tomato puree dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan tomato sos, cili sos dan juga kismis. Kacau rata dan tuang air rebusan daging kambing (anggaran 2 cawan). Biarkan mendidih, masukkan daging kambing rebus, kacau rata. Masukkan susu sejat, gula melaka dan pati oren sunqiuk, kacau lagi.
  4. Masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka masak merah yang agak manis, boleh tambah sedikit gula pasir. Akhir sekali masukkan daun ketumbar (dipotong kasar) dan gajus goreng. Kacau rata dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur kacang pis, bawang goreng dan daun pudina sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!!

Friday, August 12, 2016

PARU GORENG KETUMBAR JINTAN

rsz_pgjm1
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Bila tiba hari Jumaat che mat pasti tak boleh lupa, hari keramat ini lah Bak pergi mengadap Ilahi 5 minggu lepas (pada 3 Syawal), masih terasa kehilangan walaupun kami redha dengan ketentuan Allah (Al-Fatihah Hj Ibrahim Bin Rajiman)..sehingga akhir hayat kita, Bak sentiasa hidup dalam 'hati'. Hari ni che mat kongsikan resipi mudah dan sedap, tapi bagi mereka yang tak makan paru lembu, minta maaf sebab ini mungkin bukan resipi untuk anda. Paru goreng ketumbar jintan ini satu hidangan sampingan yang amat sesuai dimakan bersama nasi putih, nasi lemak atau lontong. Ratah macam tu saja pun sedap. Hidangan ini memang kering dan tidak berkuah.

rsz_pgjm
Che mat guna kurang lebih 800 gram paru lembu. Paru perlu dicuci bersih dan direbus dengan bahan2 yang akan ditulis nanti. Kalau guna periuk tekanan atau pressure cooker, masa merebus hanya 10 - 12 minit. Kalau rebus biasa mungkin dalam 1 jam macam tu. Paru yang telah direbus dan disejukkan harus digoreng sebelum dimasak dengan bahan2 rempah. Che mat suka masak lebih dan simpan dalam peti sejuk jika tak habis (tapi selalunya memang habis). Kalau nak bikin untuk raya haji nanti pun boleh. Jika nak mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
800 gram paru lembu.
3 helai daun limau purut*
1 batang serai, diketuk*
1 inci halia, hiris*
5 biji bawang putih, diketuk (tak perlu dibuang kulit)*
1 camca teh serbuk kunyit*
1 1/2 camca teh garam*
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan manis
1/2 camca teh jintan putih
6 biji cili merah
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 camca besar penuh gula melaka
2 camca besar jus asam jawa
Garam secukup rasa
Sedikit gula jika perlu (che mat tak letak)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PENYEDIAAN PARU :- Paru lembu dipotong 4 - 5 bahagian, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan perahkan jus limau nipis. Gaul rata dan perap 15 minit, cuci kembali hingga bersih dan masukkan ke dalam periuk dan tuang air secukupnya. Masukkan semua bahan2 bertanda (*) dan rebus hingga paru empuk. Toskan dan biar paru tadi sejuk.
  2. UNTUK REMPAH :- Ketumbar, jintan manis dan jintan putih dicuci kemudian goreng tanpa minyak hingga wangi. Tumbuh rempah tadi hingga hancur, tak perlu sampai halus. Ketepikan. Kemudian tumbuk pula bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas dan cili merah hingga lumat. Kemudian masukkan rempah2 yang ditumbuk tadi dan gaul rata. 
  3. UNTUK PARU GORENG KETUMBAR JINTAN :- Paru yang sudah sejuk dihiris nipis, kemudian goreng dalam minyak panas hingga kecoklatan, angkat dan toskan. Cedok keluar minyak dan tinggalkan dalam anggaran 1/4 cawan. Tumis bahan2 tumbuk tadi, kacau rata dan masak hingga garing, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  4. Masukkan jus asam jawa, gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kacau rata dan masak sekejap (jika suka manis, boleh tambah sedikit gula pasir). Masukkan paru goreng, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan....

Thursday, August 11, 2016

RESIPI UDANG LEMAK NANAS

rsz_ulnp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi Udang Lemak Nanas, yang biasa menjadi hidangan orang2 peranakan. Udang lemak nanas mereka tak lari jauh dari masakan orang melayu. Masih ada yang tanya orang peranakan baba nyonya ni muslim ke..melayu ke?...Mereka ni orang cina tapi zaman dulu kala (ratusan tahun dulu) mereka berdagang dan mencari rezeki diluar negara mereka dan kebanyakkan bermastautin di asia tenggara terutama Melaka, Singapura, Indonesia dan Selatan Thai. Dan ada yang berkahwin dengan orang tempatan. Maka berlakulah evolusi dalam budaya kehidupan mereka. Cara pakai, cara makan, cara hidup dan percakapan (bahasa melayu - baba) dipengaruhi budaya melayu. Tapi ugama mereka masih kekal ugama asal (buddha dan sebagainya). Ada yang bertukar ke ugama Islam dan Kristian mengikut peredaran masa dan perkahwinan. Tapi peranakan di Penang berbeza kerana mereka bercampur dengan orang Thai atau Myanmar, percakapan lebih banyak menggunakan dialek Hokkien dan makanan mereka juga ada pengaruh Thai..

rsz_ulnp1
Berbalik pasal resipi hari ni, jika anda nak masak, seelok2nya masak awal sedikit dan lauk macam ni sedap dimakan setelah dibiarkan 3 - 4 jam. Selain udang anda boleh guna ketam kalau berani, gantikan dengan sotong pun boleh. Rahsia masak lemak yang sedap sudah pasti terletak pada santannya. Jika guna santan kotak, rasa dia ok tapi tidaklah seenak santan segar. Selain itu udang harus segar dan nanas tu dapatkan yang manis, che mat guna nanas Sarawak yang memang ada tanam sendiri kat rumah. Menu udang lemak nanas ini, boleh juga digandingkan dengan telur dadar cencalok, sambal belacan dan ulam2, tak lupa nasi panas...Boleh bayangkan tak kesedapannya...ehemm, jika ada masa sudi2kan mencuba, in sha Allah tak menghampakan...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
6 - 7 ekor udang bersaiz besar (udang harimau, udang kaki merah atau udang galah)
1 biji kecil nanas (pilih yang masak dan manis)
1 helai daun kunyit, disiat
3 cawan santan cair
1 cawan pati santan
2 camca besar jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
5 biji cili padi (optional)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, dihiris
3/4 inci belacan, dibakar
2 batang serai, hiris halus
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, kerat muncung, kaki2 kecilnya dan buang juga kotoran di 
  2. bahagian kepala udang. Cuci kembali dan toskan. Nanas dikupas kulitnya, belah 4 dan buang empulur. Hiris sederhana tebal dan ketepikan. 
  3. Panaskan 3 camca besar mnyak dalam periuk. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum dan naik miyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan nanas, gaul rata dan masak sekejap. Tuang santan cair, kacau dan biarkan mendidih.
  4. Masukkan jus asam jawa dan udang. Kacau perlahan dan masak hingga udang berubah warna. Tambah daun kunyit dan tuang pati santan, kacau dan masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Biarkan mendidih perlahan sambil dikacau sentiasa. Masak sekejap  lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, sambal belacan, telur dadar cencalok dan ulam2man.

Wednesday, August 10, 2016

RESIPI KACANG POOL KAMBING

rsz_kpj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak share resipi yang popular di Johor dan Singapura. Di sebabkan kedua tempat ini dulu banyak orang2 dari Arab, maka makanan juga diperngaruhi oleh orang dari timur tengah. Antaranya kacang pool. Resipi memang che mat dah kerap kongsikan di blog ini. Biasanya kacang pool diperbuat dari bahan2 seperti daging cincang (sama ada daging lembut atau kambing, tapi kalau nak guna daging ayam pun boleh juga). Dan bahan paling utama ialah kacang pool. Kalau che mat beli yang dalam tin saja, biasanya jenama Kimball, atau anda boleh beli di kedai Arab. Pernah nampak di kedai arab, mereka jual kacang pool mentah, maksudnya kita kena rebus sendiri kalau nak guna. Kalau anda nak bikin dalam kuantiti yang banyak atau nak berniaga mungkin boleh guna yang mentah dan rebus sendiri untuk jimat kos.

rsz_kpj1
Untuk resipi ini che mat guna 2 tin kacang pool dan 1 tin baked beans. Baked beans tu optional tapi che mat memang suka masukkan sebab bagi rasa yang lemak manis pada kacang pool tadi. Kalau anda rasa banyak boleh buat separuh dari resipi. Satu lagi kacang pool kalau tak habis, boleh dibekukan dalam freezer, bila nak makan tinggal panaskan dalam ketuhar gelombang mikro. Kebiasaannya hidangan kacang pool akan disajikan bersama telur mata, belahan limau kasturi, bawang besar yang didadu, tomato yang didadu, cili hijau dan tak lupa sedikit minyak sapi panas dicurahkan atas kacang pool tadi. Tak lupa roti, nak lebih authentic gunakan roti paun atau roti benggali....Resipi che mat kongsikan dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
300 gram daging kambing, cincang halus (che mat mesin guna food processor)
2 tin kacang pool (contoh di sini )
1 tin besar baked beans (che mat guna cap ayam)
3 camca besar rempah kari Baba's*
1 camca besar ketumbar serbuk Baba's*
1/2 camca besar jintan manis serbuk Baba's*(*bahan rempah)
3 camca besar cili kisar
1 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
1 camca besar minyak sapi
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 inci halia

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Roti paun/roti benggali untuk dimakan bersama kacang pool
Limau kasturi, dibelah dua
Tomato, didadu
Bawang besar, didadu
Cili hijau, hiris
Telur, digoreng telur mata
Minyak sapi secukupnya, dicairkan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Tumis cili kisar hingga garing, sementara itu, satukan bahan2 kisar halus dengan rempah2 yang bertanda (*), kacau hingga menjadi pes. Masukkan ke dalam periuk, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan daging kambing cincang, kacau dan masak hingga daging berubah warna. Tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan), kacau dan masak hingga daging lembut. Kacang pool tadi dikeluarkan dari tin (airnya jangan dibuang), kemudian tekan2 dengan garfu agar kacangnya pecah2 dan masukkan ke dalam periuk bersama airnya, tambah juga baked beans, kacau rata dan kecilkan api.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan juga sedikit gula. Masak hingga kacang pool pekat sedikit, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MENGHIDANG :- Ceduk kacang pool secukupnya ke dalam mangkuk sesuai. Tabur dengan bawang besar, tomato, cili hijau dan curahkan sedikit minyak sapi cair. Taruk sebiji telur mata dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan dengan roti paun (atau sebarang roti kegemaran anda)....Selamat mencuba!!

Tuesday, August 9, 2016

RESIPI SAMBAL BENDI

rsz_sbn
Assalammualaikum, salam semua. Menu ringkas dari dapur che mat, paling mudah dibuat tapi rasanya, in sha Allah tidak mengecewakan. Sambal bendi salah satu menu orang peranakan yang dipengaruhi citarasa melayu. Dan paling penting bendi anda kena rebus hingga empuk, tapi bukan sampai lembut sangat. Kemudian toskan dan cepat2 rendam dalam air sejuk untuk mematikan proses memasak. Untuk sambal dia che mat tumis sedikit dengan minyak, Ada juga yang gunakan sambal belacan mentah. Sebenarnya ada kekurangan dalam resipi ni, iaitu bunga kantan. Tadi jengah2 juga pokok bunga kantan, malangnya takde bunga, mungkin tak musim. Jadi kalau anda ada stok bunga kantan, bolehlah guna, hiris halus dan tabur saja atas sambal sebelum dihidangkan. Enak dimakan dengan nasi panas, telur dadar cencalok dan kalau ada ikan goreng lagi ngam...Nak mencuba? Che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 12 batang bendi muda
1 helai daun limau purut, mayang halus
3 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji cili merah
4 biji cili padi (optional)
4 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
Sebesar ibu jadi belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK BENDI :- Didihkan air dalam periuk, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak masak. Bendi dicuci dan toskan, tak perlu dibuang tangkainya. Kemudian celur bendi dalam air panas tadi selama 1 minit atau hingga lembut (che mat celur kurang lebih 45 saat saja). Toskan dan terus rendam dalam bekas berisi air sejuk dari peti ais. Biarkan sekejap dan toskan.
  2. UNTUK SAMBAL :- Panaskan sedikit minyak, anggaran 3 camca besar, Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Sejukkan.
  3. UNTUK SAMBAL BENDI :- Bendi yang telah dicelur tadi, dikerat sedikit pada bahagian tangkainya. Kemudian kerat 2 setiap 1 biji bendi dan susun dalam pinggan sesuai, buat hingga siap. Sudukan sambal atasnya dan ratakan. Tabur dengan daun limau purut yang dimayang halus dan hiaskan dengan belahan limau kasturi, hidangkan segera bersama nasi panas, telur dadar cencalok dan ikan goreng....Selamat mencuba!

Saturday, August 6, 2016

RENDANG KERANG SAMA KACANG PANJANG

rsz_rkkp
Assalammualaikum, salam semua. Menu ringkas, mudah dan sedap ini amat sesuai untuk mereka yang tak makan ayam atau daging. Boleh dihidangkan bersama nasi, ketupat atau pun pulut kuning. Nak makan dengan roti pun takde masalah. Kali ni che mat kongsikan resipi rendang kerang sama kacang panjang. Isi kerang tu anda boleh beli yang segar, maksudnya yang dah siap dikeluarkan isinya dari kerang yang belum direbus atau anda boleh beli kerang, rebus dan ambil isinya. Cuma kalau isi kerang yang siap direbus, kita kena masukkan akhir, kalau isi yang segar, masukkan dulu sebelum ditambah kacang panjang (video che mat masak rendang ni ada di IG @matgebu). Rendang ini agak pedas tapi anda boleh kurangkan cili atau tak perlu tambah cili padi belah seperti dalam gambar tu. Ok, takmo cerita banyak, mari kita lihat resipi di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan isi kerang (sama ada yang segar atau yang telah disiap direbus)
6 - 7 tangkai kacang panjang, kerat pendek
2 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit, mayang halus
1 keping asam gelugor
15 biji cili padi merah, belah 2 tapi tak putus setiap 1
3 camca besar cili kisar
1 cawan pati santan
1 camca besar gula melaka
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan putih*
1/2 camca teh jintan manis*(*digoreng tanpa minyak dan kisar halus)
1 camca besar penuh kerisik
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Sementara itu satukan rempah yang dikisar halus dengan bahan2 kisar, kacau rata dan masukkan ke dalam kuali, masak hingga harum. Tambah cili kisar, kacau rata dan terus memasak hingga garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tuang santan, kacau dan masak hingga pekat dan naik minyak. Masukkan isi kerang, kacau dan tambah kerisik, daun limau purut, gula melaka dan garam secukup rasa. Tambah kacang panjang dan cili padi belah, gaul rata.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit yang dimayang halus, kacau dan masak sekejap lagi atau jika anda suka rendang yang agak kering, boleh masak lama sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, ketupat, roti atau pulut kuning..

Friday, August 5, 2016

AYAM MASAK LEMAK CILI PADI SAMA REBUNG

rsz_dsc_3461
Assalammualaikum, salam semua. Che mat masih mengumpul 'mood' untuk berblog semula. Esok masuk sebulan bak meninggalkan kami, rasa rindu tak boleh nak diucap dengan kata2, tapi kita semua hak Allah, dan bila2 masa boleh dijemput pulang, redha dan ikhlas lah...Al - Fatihah Bak. Hj Ibrahim Bin Rajiman. Menu hari ni che mat masak ayam lemak cili padi sama rebung, kebetulan bonda berpuasa sunat. Lama rasanya tak masak menu sebegini, dan setiap kali che mat masak, pasti teringat Ady Budika, moga dia sentiasa sihat. Che mat guna ayam kampung baki dari bikin sup tu hari. Sejak2 ni tak boleh masak banyak, ayam pun kadang2 sampai 2 atau 3 kali masak. Bila sebut menu macam ni, pasti orang kaitkan dengan hidangan dari Negeri adat pepatih, tapi yang ni bukanlah menu asli Negeri Sembilan yang hanya menggunakan cilipadi, kunyit hidup, serai, asam gelugor dan santan, tapi che mat ada guna bawang dan bahan2 lain. Mungkin resipi dah ada di blog, tapi takpe, kita tulis lagi...dan lagi....ehemm..

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram ayam (kurang lebih 1/2 ekor, che mat guna ayam kampung)
Rebung madu secukupnya (yang ni ikut anda nak guna banyak mana)
4 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
400 ml pati santan
1200 ml santan cair
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampang (che mat campur yang hijau dan merah)
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, bersihkan, cuci, kemudian gaul dengan  camca besar tepung gandum dan perahkan jus limau nipis (sebiji), rata. Perap 15 minit dan cuci kembali hingga bersih, toskan. Rebung madu dicuci, kemudian kelar2 tapi tak putus, Untuk lebih jelas anda boleh rujuk gambar di sini. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Masukkan ayam ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, serai dan juga rebung. Gaul rata dan didihkan sekejap atas api. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga ayam empuk, tambah air panas jika perlu. Masukkan asam gelugor dan santan pekat, kacau rata.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikut gula. Kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil, kacau selalu dan akhir sekali masukkan daun kunyit. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.

Wednesday, August 3, 2016

KETAM GORENG TELUR MASIN

rsz_kta
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat masak ketam goreng telur masin. Orang lain dah berzaman buat, che mat baru ni nak cuba. Sebelum ni memang pernah buat dah tapi guna udang. Kebetulan memang ada baki ketam dalam freezer tapi bukanlah yang bersaiz besar, cuma dalam baya 3 jari orang dewasa. Dan che mat guna dalam 11 ekor macam, Kalau ketam besar, lebih sedap dimasak gulai atau chili crab. Yang kecil2 macam ni kita goreng kunyit pun sedap. Resipi ini amat mudah cuma anda perlu jaga garam dia, disebabkan telur masin tu memang dah masin walaupun kita guna bahagian kuning dia sahaja. Tapi tengok juga jenis telur masin yang anda guna, kalau yang beli kat kedai tu, yang bersalut arang, yang tu memang masin sangat, kalau beli yang 'homemade', masin dia agak kurang. Pernah che mat nampak dulu di pasar lambak, ada peniaga jual telur masin bahagian merah sahaja. Rasanya ketam goreng telur masin ini lebih sedap diratah atau makan sama bubur nasi. Nak mencuba?...Jomm lihat resipi di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 - 11 ketam saiz kecil (kalau besar mungkin 4 ekor dah cukup dan kerat 2 setiap 1 ekor)
Sedikit kunyit serbuk
1/4 camca teh garam
3 biji kuning telur masin yang telah direbus, lecek hancur
1/2 biji putih telur masin yang telah direbus, lecek hancur
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji cili padi hijau, hiris
4 biji cili padi merah, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/4 cawan susu sejat
1/4 camca teh serbuk lada hitam
3 camca besar mentega

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibuang kulit kerasnya, cuci bersih dan toskan. Kemudian gaul dengan serbuk kunyit dan garam hingga rata. Panaskan minyak dan goreng terendam hingga garing, angkat dan toskan.
  2. Keluarkan minyak dari kuali, tinggalkan sedikit, anggaran 1 camca teh. Masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis daun kari hingga harum, masukkan bawang putih dan cili padi merah/hijau tadi. Kacau rata dan masak hingga layu.
  3. Masukkan kuning dan putih telur masin, serbuk lada hitam, kacau rata dan tuang susu sejat. Masak hingga berbuih dan masukkan ketam goreng, gaul rata dan kecilkan api. Masak hingga kering, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!

Tuesday, August 2, 2016

SAMBAL TUMIS UDANG SAMA PETAI

rsz_supg
Assalammualaikum, salam semua. Sejak semalam che mat mengidam sambal tumis udang taruk petai. Bila masak menu macam ni otomitik teringat arwah Bak (Al-Fatihah Hj Ibrahim Bin Rajiman). Arwah Bak antara penggemar sambal tumis udang sama petai, tapi pilihan Bak bukan udang saiz besar macam che mat guna ni, Bak lebih suka udang kecil...huhu, semua itu tinggal kenangan, takpe lah, kita kena move on untuk teruskan kehidupan yang sementara ini. Jadi che mat kuatkan hati dan masak guna udang saiz besar. Sebabkan udang besar dan yang makan hanya che mat dan bonda, kita guna 6 ekor sudah cukup lah. Yang penting mesti ada petai, part petai tu ikut anda nak guna banyak mana, che mat guna dalam 2 papan macam tu (kalau anda nak lihat video nya, ada di IG che mat di @matgebu). Resipi sambal tumis macam ni semua orang boleh buat tapi bukan semua orang buat sama...betul tak?...Ok jomm che mat kongsikan resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
6 ekor udang kaki merah saiz besar (atau sebarang udang pilihan anda)
1 biji bawang besar, hiris kasar
2 papan petai, ambi isinya, belah dua, cuci dan toskan
1 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cm halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan jus asam jawa, kacau rata dan tambah petai, tuang sedikit air jika perlu. Masak untuk 1 - 2 minit, dan boleh masukkan udang dan bawang besar, kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  3. Masak hingga sambal sedikit pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan sambal sama nasi panas dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.