BEN ASHAARI

Tuesday, June 28, 2016

UNGKEP PEDAS AYAM KAMPUNG

rsz_uap
Assalammualaikum, salam semua. Semalam che mat habiskan baki ayam kampung. Empat hari lepas,  masak sup ayam kampung. Di sebabkan saiz ayam tu agak besar, kita masa 1/2 ekor saja. Dan bakinya semalam che mat masak ungkep. Mula2 agak buntu juga pikir, nak masak apa lah agaknya, plan asal masak kari sama kentang, tapi rasa macam selera kat tekak cum 50/50 ajer bila bayangkan menu kari. Jadi che mat upkan status di FB, minta teman2 beri idea. Dan alhamdulillah masakan ungkep menjadi pilihan. Ungkep menu yang popular dikalangan masyarakat berketurunan Jawa masakan ini memang mudah. Tak perlu santan dan masakan ungkep selalunya kering seperti rendang. Perkataan 'ungkep' itu sendiri bermaksud ayam dimasak dengan menutup periuk atau kuali kemudian ditindih dengan benda berat atas penutup tadi, contohnya batu lesung. Ayam kampung, ayam hutan atau ayam pencen (ayam telur) sesuai dimasak ungkep. Tapi tak salah anda nak guna ayam daging, cuma masa meng'ungkep' tu lebih cepat. Sesuai juga dihidangkan pada hari lebaran nanti...Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
650 gram ayam kampung (1/2 ekor. kurang lebih)
3 batang serai, diketuk
3 helai daun salam (boleh ganti dengan bay leaf)
1 keping asam gelugor
10 biji cili padi merah, diketuk
3/4 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
4 biji buah keras, dihiris
2 biji cili merah (boleh guna cili hijau)
10 biji cili padi (optional)
1/2 inci kunyit hidup
1 camca besar penuh ketumbar biji
1/2 camca teh jintan manis (jintan kasar)
1/2 camca teh jintan putih (jintan halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, seelok2nya potongan saiz sederhana. Cuci dan toskan (biasanya che mat akan gaul ayam tadi dengan sedikit tepung gandum, kemudian perahkan jus limau nipis, gaul rata dan perap 15 minit. Cuci hingga bersih dan toskan). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak. Masukkan ayam, kacau rata dan masak hingga ayam kecut.
  3. Tuang air sehingga ayam tenggelam. Masukkan sedikit garam dan daun salam (@bay leaf), kacau dan masak hingga mendidih. Kemudian tutup permukaan kuali, sederhanakan api dan masak hingga pekat dan ayam empuk (tambah sedikit air panas jika ayam masih keras).
  4. Masukkan gula melaka, cili padi yang diketuk dan asam gelugor, dan sedikit lagi garam jika perlu. Kacau dan masak hingga kering. Boleh matikan api dan hidangkan bersama nasi..

Sunday, June 26, 2016

SAMBAL GORENG MUDAH

rsz_sgph
Assalammualaikum, salam semua. Entri serba ringkas dan ini antara menu berbuka puasa che mat semalam. Sejak2 ni memang kurang masak memandangkan Bak che mat tidak sihat dan kena beri tumpuan sepenuhnya, jadi masak pun sekadar yang termampu. Petang tadi ada permintaan masak sup ayam. Dan che mat ketepikan pedal, hati dan juga telur yang belum jadi untuk dimasukkan ke dalam sambal goreng mudah. Teringat dulu, biasanya orang2 Jawa, kalau bikin sambal goreng mereka akan gunakan organ2 dalaman ayam seperti hati, pedal, usus ayam dan kalau ayam yang digunakan tu jenis betina, ada pula telur yang belum jadi, maka telur tadi akan dimasukkan sekali dalam sambal goreng, kiranya sebagai perencah. Satu yang che mat buat sebelum masak, organ2 tadi dibersihkan, gaul dengan sedikit tepung gandum dan jus limau nipis dan biarkan 15 minit, kemudian cuci bersih. Rebus sekejap dan masukkan halia dan bawang putih. Lepas tu toskan dan potong kecil. Gaul dengan sedikit serbuk kunyit sebelum digunakan sebagai perencah....Nak mencuba?...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 keping hati ayam, 1 keping pedal ayam dan telur (jika ada), cuci bersih dan toskan*
1/2 inci halia, diketuk*
3 ulas bawang putih, diketuk*(*disatukan dan rebus 15 minit, toskan)
1/2 camca teh serbuk kunyit
3 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji kentang, kupas, potong kiub dan goreng, toskan
1 keping tauhu, potong dadu dan goreng, toskan
2 kelopak kobis bulat, potong kecil, cuci dan toskan
Tauhu kering @ fucuk sebesar 2 tapak tangan dewasa, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 biji cili hijau, hiris
2 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1/2 cekak soo hoon, potong pendek dan rendam hingga lembut
1 keping asam gelugor
1 camca besar penuh sos tiram
Garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pedal, hati dan telur (jika ada) yang telah direbus, dihiris nipis, kemudian gaul dengan serbuk kunyit. Panaskan minyak dalam kuali anggaran 3 camca besar, Tumis bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili hijau hingga layu. Masukkan pedal, hati dan telur yang digaul dengan serbuk kunyit tadi, Kacau dan goreng sekejap.
  2. Masukkan sos tiram dan asam gelugor, kacau dan tuang air. Masukkan tauhu dan kentang goreng, tambah tauhu kering @ fucuk (toskan dulu airnya). Gaul rata dan masak hingga fucuk lembut. Masukkan kacang panjang dan kobis, kacau rata.
  3. Tambah soo hoon, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Masak sekejap hingga kering dan jika suka pedas anda boleh tambah cili padi. Rasa dan jika ok boleh matikan api..

Saturday, June 18, 2016

BISKUT RAYA 1 : OREO ALMOND SQUARE COOKIES

rsz_oasc
Assalammualaikum, salam semua. Tahun ni che mat lewat sikit bikin biskut raya dan entri yang anda nampak ini, biskut pertama yang che mat baru sempat buat. Memandangkan Bak che mat tidak sihat, segala aktiviti kena disederhanakan. Mula2 malas juga nak masukkan entri biskut ni, tapi ada permintaan di FB agar che mat kongsikan resipi di blog. Biskut yang che mat bikin cuma diubah suai dari resipi2 biskut yang lepas. Alhamdulillah menjadi dan sedap. Biskut ini jenis rangup dan bukan rapuh dan reput bila pegang. Disebabkan stok badam ada lebih, che mat tonggokkan sebiji badam untuk sekeping biskut. Badam tu digoreng terlebih dahulu tapi anda boleh juga bakar dalam oven. Satu yang senang, anda tak perlukan apa2 cetakan, hanya perlu pembaris dan pisau pemotong pizza (pisau biasa pun boleh) untuk mendapatkan bentuk 4 persegi tepat. Adunan ini akan menghasilkan kurang lebih 200 biji biskut, bergantung pada saiz. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram mentega (che mat guna golden churn)
140 gram gula aising, diayak
350 gram tepung gandum*
150 gram tepung jagung*
1 camca teh rata baking powder*
1/2 camca teh emplex (penggaring biskut)*(*disatukan dan diayak)
70 gram nestum origanal, diramas
70 gram biskut oreo yang telah dibuang krim, dikisar halus
2 biji telur gred A
1 camca teh esen vanilla
Coklat putih secukupnya
Badam biji secukupnya (kurang lebih 200 biji), dibakar dalam oven atau digoreng sekejap, toskan
Serbuk biskut oreo untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, masukkan telur satu persatu dan putar hingga bersatu. Tambah esen vanila dan putar rata. Sementara itu, satukan biskut oreo yang dikisar halus dan nestum ke dalam tepung yang telah diayak. Gaul rata.
  2. Perlahankan kelajuan mixer, dan masukkan tepung + biskut oreo kisar + nestum tadi sedikit demi sedikit hingga habis. Putar hingga rata. Kemudian gaul dengan spatula agar adunan rata. Adunan lembut sedikit, jangan tambah tepung, biarkan 10 minit.
  3. Panaskan oven pada suhu 175C. Adunan dibahagi kepada 3 bahagian. Ambil 1 bahagian, canai doh di antara 2 lapisan plastik bersih hingga mendapat ketebalan 1/2 cm. Menggunakan pembaris bersih, potong doh tadi menjadi kepingan biskut bersaiz 1 inci x 1 inci. Buat hingga siap dan alihkan ke dalam dulang pembakar.
  4. Bakar selamat 25 minit atau hingga biskut masak dan perang dibahagian bawahnya. Biarkan biskut sejuk dalam dulang pembakar. Sementara itu cairkan coklat putih, sudukan 1/2 camca teh atas setiap kepingan biskut. Taburkan dengan sedikit serbuk biskut oreo dan taruk sebiji badan atasnya. Biarkan coklat mengeras dan boleh simpan biskut dalam bekas kedap udara.

Monday, June 13, 2016

PECEL SAYUR UNTUK BUKA PUASA

rsz_pecelmg
Assalammualaikum, salam Isnin, hari ni masuk hari ke-8 kita semua berpuasa. Setakat ni che mat alhamdulillah masih ok, walaupun masa untuk berblog dan memasak agak terhad. Semalam che mat berbuka dengan pecel. Pecal ni seakan2 rojak, menggunakan kuah kacang dan bahan2 sampingannya berbeza2 ikut selera masing2. Kalau kita lihat dari segi sejarah, besar kemungkinan hidangan pecel dibawa masuk ke tanah melayu oleh orang2 berketurunan Jawa dari Indonesia. Satu yang che mat tau pecel 'asli' mereka akan guna taugeh kontot yang dibuat sendiri dari kacang hijau. Yang che mat bikin ni serba ringkas dan dalam masa sama nak habiskan stok2 sayur dalam peti sejuk. Bulan2 puasa ni tak boleh beli barang2 basah berlebihan, sebab kalau masak banyak pun sampai esok lusa masih berbaki, tak sapa nak hadap.....Tapi yang pecel ni memang laris....Nak resipi?...che mat kongsikan dengan anda dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, kerat pendek
1/4 bahagian kobis bulat, saiz kecil, dihiris kasar, cuci dan toskan
1/2 cekak kangkung, disiang berasingan daun dan batangnya
2 keping tauhu
1 keping tempe (che mat guna tempe yang bungkus plastik)
1/4 biji sengkuang, saiz sederhana, hiris seperti anak mancis
1 biji timun, hiris seperti anak mancis
2 genggam taugeh

BAHAN - BAHAN KUAH PECAL :-)
1 cawan kacang tanah yang telah dikisar hancur
1/2 cawan jus asam jawa
1 camca besar hirisan gula melaka
2 inci isi cekur
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
6 ulas cili padi merah siam
8 tangkai cili kering, buang biji, cuci dan toskan dan lap kering
1 inci belacan
Garam dan gula secukup rasa
Air masak secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH PECEL :- Goreng berasingan bawang merah, bawang putih, cili padi, cili kering dan belacan dengan sedikit minyak hingga layu dan wangi. Toskan dan masukkan ke dalam blender, masukkan juga isi ubi cekur. Kemudian kisar hingga halus. Alihkan ke dalam bekas besar. Tambah gula melaka, garam dan gula secukup rasa. masukkan jus asam jawa dan kacau hingga semua sebati.Tambah kacang tanah, gaul dan tuang sedikit air masak jika kuah pecel terlalu pekat. Ketepikan..
  2. UNTUK BAHAN - BAHAN PECEL :- Tempe dipotong kiub, kemudian goreng hingg ke kuningan, angkat dan toskan minyaknya. Kemudian goreng pula tauhu dan hiris sederhana tebal. Sayur seperti kacang panjang, kobis, kangkung dan taugeh, dicelur hingga lembut, angkat dan toskan (celur berasingan). Ketepikan.
  3. UNTUK PECEL SAYUR :- Susun sayur2an yang dicelur, tauhu dan tempe goreng serta hirisan timun dan sengkuang dalam bekas sesuai. Tuang kuah pecel atasnya, kemudian gaul hingga semua rata. Hidangkan segera sama nasi atau bestt dimakan begitu sahaja...Selamat mencuba!!

Friday, June 10, 2016

LEMAK CILI PADI CENDAWAN KUKUR

rsz_ckgtp
Assalamualaikum, salam semua. Dah masuk 5 Ramadan che mat baru ada sedikit masa nak update blog. Memang keadaan betul2 tak mengizinkan dengan Bak che mat yang kurang sihat sekarang ni, terpaksa berbaring atas tilam. Dan che mat sendiri hilang mood 'berpuasa'. Masak pun ala kadar sahaja. Semalam che mat masak lemak cili padi cendawan kukur, kebetulan masa petik cili padi kat belakang dapur, ternampak pokok terung pipit berbuah, tapi tak ambik banyak dalam 1 cawan saja. Cuaca panas, tak kuasa nak berlama2 kat luar, haus jadinya. Cendawan kukur che mat beli dalam 200 gram, yang segar bukan yang kering. Untuk rencahnya guna ikan bilis tamban. Sedap dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng. Kalau tambah telur dadar pun ok juga....Meh che mat tuliskan resipinya...

BAHAN - BAHANNYA :-)
200 gram cendawan kukur segar, bersihkan dan rendam
1 cawan terung pipit, buang tangkai, cuci dan toskan
1 genggam ikan bilis tamban
2 batang serai, diketuk
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung (boleh kurangkan)
1 inci kunyit hidup, pilih kuyit yang tua
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung pipit direbus hingga empuk, tos dan ketepikan. Ikan tamban dibuang sisiknya, kemudian belah 2 dan buang tulang tengahnya. Toskan cendawan kukur, kemudian cuci sekali lagi, tos dan perah airnya. Masukkan cendawan dalam lesung batu dan tumbuk2 sedikit biar cendawan pecah2, jangan tumbuk sampai lumat. 
  2. Masukkan cendawan, serai titik, terung pipit dan bahan2 kisar halus ke dalam periuk. Gaul rata.Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah ikan bilis tamban dan asam gelugor. Masak hingga cendawan lembut.
  3. Tuang pati santan, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya (anggaran 1 1/4 camca teh) dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap. Boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan telur dadar..

Saturday, June 4, 2016

JADUAL WAKTU BERBUKA PUASA DAN IMSAK 2016

Sempena Ramadan ini, blog tiffinbiru kongsikan dengan anda semua jadual waktu berbuka puasa dan imsak bagi tahun 1437 Hijrah bersamaan 2016 masihi. Dalam kesempatan ini Che Mat dan Blog Tiffinbiru memohon ampun maaf atas segala kekhilafan, ketidaksengajaan dalam penulisan di blog dan juga di media2 sosial...Selamat menyambut Ramadan Mubarak pada semua umat Islam seluruh dunia...Moga dipanjangkan umur dan amal ibadah kita diterima Allah swt...amin....

Jadual waktu berbuka puasa dan imsak bagi tahun 2016 Masehi untuk Wilayah2 persekutuan dan Negeri2 di Malaysia...(klik pada Negeri atau tempat di mana anda tinggal)...

SUMBER : JAKIM

Friday, June 3, 2016

MARUKU MELETOP BIKIN GEGAR HARI RAYA ANDA!!...

Tak lama lagi dah nak masuk bulan puasa, dan biasanya bila puasa dah mula masuk minggu ke-2, kita dah mula fikir pasal keperluan hari raya. Benda yang penting selain pakaian dan persiapan lain dah tentunya kudapan atau bahan-bahan cemilan untuk dihidangkan semasa raya nanti. Selain biskut dan kek, muruku antara yang paling laris dan menjadi perhatian. Yelah bila raya ajer hari-hari kau hadap biskut, kek dan segala macam manisan tetulah tekak rasa muak, macam dah tak boleh nak terima. Muruku pun kena tengok juga, ada tu nampak indah dalam botol atau bungkusan, tapi bila makan, keras, boleh terkehel gusi! Apa tah lagi orang yang gigi dia kurang kuat macam che mat tu....ehhh tersebut diri sendiri pulak...

Jadi untuk lebaran atau tak kisahlah untuk kudapan lepas berbuka puasa ke atau untuk majlis-majlis keraian ke, anda wajib hidangkan maruku meletop. Kudapan ini keluaran orang kita yang in sha Allah dijamin sedap, rangup, mantap rasanya dan paling penting HALAL. Sekali rasa, mesti ketagih sepanjang masa. Maruku meletop hasil kerjasama antara Puan Aliah dan teman beliau Puan Rozy serta suami. Puan Aliah bertindak sebagai 'jurujual'. Manakala Puan Rozy dan suami mengusahakannya di rumah, kira produk homemade yang dibuat dengan penuh kasih sayang. 

Disebab maruku meletop ini produk HOT di pasaran, maka kena cepat buat tempahan sebelum kehabisan stok...gigit jari wehhh nanti kalau tak dapat, menyesal!..Che mat ni asyik cerita-cerita ajer, macam mana nak buat tempahan?..

Untuk tempahan dan syarat-syarat penghantaran, boleh hubungi Puan Nur Aliah Nadhirah seperti berikut :-

HP (wassap/call) - 013 253 6985 ( Pn Aliah )



Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.