BEN ASHAARI

Wednesday, March 30, 2016

RESIPI AGAR - AGAR SERI KAYA

rsz_aasp1
Assalammualaikum, salam Rabu. Cuaca2 panas macam sekarang ni memang elok makan yang sejuk di tekak seperti agar2 atau lengkong. Hari ni che mat ada permintaan untuk bikin agar2 seri kaya atau agar santan yang hijau tu. Resipi agar2 ni antara paling senang dibuat. Kalau dulu bila che mat bikin, agar kurang menjadi lapisannya tapi akhir2 ini alhamdulillah, berkat tips2 yang dikongsi oleh teman2 memasak, ianya menjadi dengan sempurna. Bahagian santan tu guna santan kotak saja tapi kalau ada santan segar, lagi bagus. Kalau anda tak suka yang hijau atau perasa pandan, boleh tukar guna gula merah, resipi ada di sini. Paling enak dinikmati bila telah disejukkan. Bagi yang baru2 nak mencuba, meh che mat kongsikan resipinya.....Jommm!

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 (10 gram) paket agar serbuk, sebarang jenama
1/2 cawan + 2 camca besar gula pasir
1/3 camca teh pes pandan
1 helai daun pandan, disimpul
1 liter air
1 biji telur*
Santan secukupnya*(*disatukan hingga mendapat sukatan 200 ml)
1/4 camca teh garam
1/2 camca teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan agar2 serbuk dan gula ke dalam periuk, kacau rata dan tuang air, kacau lagi, masukkan daun pandan, masak dengan api sederhana hingga mendidih dan gula larut. Masukkan pes pandan, kacau rata. 
  2. Masukkan garam dan esen vanilla ke dalam bancuhan telur dan santan. Kacau rata dan perlahan2 tuangkan ke dalam periuk berisi agar2 tadi. Kacau perlahan dan biarkan mendidih kurang lebih 30 saat.
  3. Matikan api, keluarkan daun pandan dan tuang dalam acuan pilihan anda. Biarkan hingga hilang wap panas, kemudian masukkan ke dalam peti sejuk hingga agar2 mengeras. Keluarkan dari acuan dan boleh hidangkan..
CATATAN MAT GEBU :- Untuk sukatan santan dan telur tu, anda pecahkan telur dalam jug penyukat. Kemudian tuang santan sehingga mendapat sukatan sebanyak 200 ml. Kemudian masukkan esen vanilla dan garam. Kacau perlahan dengan garfi sehingga semua sebati.... Selamat mencuba!

Tuesday, March 29, 2016

ACAR IKAN TENGGIRI

rsz_ait
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat agak blurr nak masak, puas fikir, bukak tutup peti sejuk 3 - 4 kali. Barang2 mentah memang dah keluarkan, ada ikan tenggiri dalam 5 keping, timun sebiji dan juga lobak merah. Belek2 dan akhirnya che mat buat keputusan, kita masak acar ikan tenggiri, menu senang dan Bak pun boleh makan. Resipi mudah dan che mat guna bahan2 yang ada dalam peti sejuk saja. Kalau takde ikan ikan tenggiri, boleh guna ikan kebong, selar atau pun ikan bawal. Satu yang che mat suka pasal acar ikan tenggiri macam ni, ia boleh dimakan dengan semua jenis nasi, samada nasi putih, nasi minyak atau pun nasi dagang yang che mat bikin semalam. Kira penyelamat bagi mereka yang tak makan ayam atau daging. Resipi dalam kategori senang dibuat, dan jika anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 keping hirisan ikan tenggiri*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*gaul rata dan perap sekejap)
1 biji lobak merah, saiz sederhana, potong jejari
1 biji timun, kerat, buang empulur dan potong jejari
10 biji bawang merah, belah 2 setiap 1
7 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1 inci halia muda, dihiris halus
1 biji lada hijau, buang biji, kerat 3 dan hiris jejari
1 biji cili merah, buang biji, kerat 3 dan hiris jejari
5 camca besar cuka makan JALEN
1 camca besar sos tomato
2 camca besar cili kisar
1/2 camca teh serbuk kunyit
2 - 3 camca besar gula
Garam secukup rasa
Sedikit bijan, untuk hiasan
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
6 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*(*rempah tumis)

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tenggiri digoreng hingga masak, angkat dan toskan. Cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 6 camca besar minyak. Masukkan rempah tumis (*), kemudian cili kisar. serbuk kunyit dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa,
  2. Masukkan sos tomato, bawang putih, bawang merah, dan halia, kacau rata dan masak sekejap. Tambah cuka makan dan gula, kacau dan masak dengan api kecil hingga bertukar warna. Masukkan lobak merah dan sedikit air. Masak hingga lobak lembut dan kuah pekat
  3. Tambah timun, lada merah, lada hijau dan ikan tenggiri yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan masak hingga timun lembut tetapi masih rangup. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan bijan sebelum dihidangkan. Sedap dimakan bersama sebarang jenis nasi.

Monday, March 28, 2016

RESIPI NASI DAGANG, GULAI TONGKOL DAN ACAR MENTAH

rsz_ndt
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni bonda che mat berpuasa. Dan kebetulan Khamis lepas kami ke Endau, sempat jugalah beli ikan tongkol segar. Memandangkan ada stok ikan tongkol, che mat termengidam pulak nak bikin nasi dagang. Kira ini menu untuk bonda che mat berbuka petang nanti. Nasi dagang biasanya popular dinegeri2 pantai timur tak terkecuali daerah Mersing. Biasa yang kita lihat kalau nasi dagang dibelah Terengganu mereka gunakan beras wangi yang dicampur dengan beras pulut. Di Kelantan pula nasi daging mereka menggunakan beras bewarna coklat (seperti dalam gambar). Kali ni che mat gunakan 3 jenis beras, beras wangi, beras pulut dan juga beras nasi dagang yang bewarna coklat, tapi dalam nisbah tertentu. Ada juga yang memasak nasi dagang seperti nasi biasa, guna periuk nasi elektrik, tapi che mat guna kaedah tradisional, iaitu dengan mengukus. Resipi che mat akan kongsikan dan tak lupa resipi gulai tongkol dan acar mentah...

BAHAN-BAHAN NASI DAGANG :-)
650 g beras siam
150 g beras nasi daging (warna coklat)
200 g beras pulut
1200 ml santan
1 camca besar rata garam
1 camca teh gula
10 biji bawang merah, hiris
2 cm halia, hiris halus
1 camca besar halba
1 helai daun pandan, disimpul
Daun pisang untuk mengalas kukus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan beras siam, beras nasi dagang dan beras pulut. Gaul rata dan cuci, kemudian rendam selama 4 - 5 jam dan toskan. Dalam mangkuk, satukan bawang merah hiris, halia hiris dan halba, kacau rata. Ketepikan.
  2. Panaskan kukus. Alas dasar kukus dengan daun pisang@aluminium foil, bocor2 kan. Masuk beras yang telah ditoskan dalam kukusan dan kukus 20 minit. Sementara itu, satukan santan dengan garam dan gula, kacau rata2 hingga semua sebati.
  3. Keluarkan beras dari kukusan tadi dan masukkan dalam bekas besar. Gaul dengan bawang merah hiris, halia hiris, halba dan juga 1/2 bahagian santan tadi (tuang sikit2 hingga habis). Gaul rata2 kemudian masukkan balik dalam kukusan, lubang2kan sikit nasi tadi dan sambung mengukus selamat 20 minit. 
  4. Kemudian lakukan kaedah sama seperti no3 dan habiskan baki santan, gaul rata dan sambung mengukus hingga nasi masak, kurang lebih 25 - 30 minit. Gemburkan nasi dan boleh dihidangkan bersama gulai dan acar tadi..

GULAI IKAN TONGKOL

rsz_ndt1
Sekarang kita bikin gulai ikan tongkol pulak, terpulang pada anda, tapi che mat suka rebus ikan tongkol dalam periuk tekanan selama 1 jam agar tulang2 ikan tongkol reput seperti ikan sardine. Kalau taknak anda boleh rebus terlebih dahulu dengan asam gelugor, halia dan beberapa ulas bawang putih. Ada orang tak gunakan air rebusan ikan tadi, tapi che mat masukkan ajer dalam gulai. Kalau tak suka ikan tongkol atau tak makan, anda boleh gantikan dengan ayam. Ikut citarasa sendiri, tapi kebiasaannya nasi dagang memang lawannya gulai ikan tongkol....Jomm kita lihat resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan tongkol putih @ tongkol hitam, saiz sederhana
2 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
2 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
2 keping asam gelugor
2 batang serai, dititik
1 biji timun (optional)
1 1/2 camca besar kerisik
1 1/2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
1 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar rempah gulai cap ros
2 camca besar cili kisar
400 ml santan pekat
1 liter santan cair
Air secukupnya
1 camca besar gula Melaka
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 inci halia, hiris
1/2 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol disiang, kemudian kerat 4 untuk setiap seekor (ikut saiz ikan yang anda guna), cuci bersih dan toskan. Kemudian rebus dengan 2 - 3 keping asam gelugor, sedikit halia dan bawang putih, rebus kurang lebih 45 minit hingga 1 jam. Satukan bahan kisar halus dengan rempah kari ikan, ketumbar serbuk dan rempah gulai ros. Kacau rata hingga menjadi pes (tambah sedikit air jika perlu). Timun dibuang kulit, potong 3 atau 4 bahagian. Belah 4 setiap 1 dan buang empulurnya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan tumis dan serai titik. Tumis hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tambah pes rempah. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga terbit minyak. Kacau selalu.
  3. Tuang santan cair, kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan dan tambah air rebusan ikan tadi (tapis dahulu). Masak hingga mendidih dan kecilkan api. Masukkan kerisik, gula melaka dan asam gelugor. Kacau perlahan dan biar mendidih sekejap. Tuang pati santan, kacau dan renihkan selama 45 minit hingga 1 jam. 
  4. Perasakan dengan garam secukupnya. Masukkan cili hijau, cili merah dan timun, masak sekejap lagi hingga timun lembut dan kuah pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau nasi dagang...
ACAR MENTAH

rsz_ndt2
Acar mentah antara pengiring untuk nasi dagang, yang ni ikut style anda macam mana nak potong. Che mat guna pengupas kentang untuk mendapat potongan timun dan lobak merah yang nipis, maklumlah gusi ada yang tak kuat dan tak boleh nak kunyah yang keras2 sangat. Ada yang suka masukkan kobis, tapi che mat kehabisan stok. Rasa ikut selera anda, kalau kurang masin, masam atau manis, anda bijak2 lah yea tambah cuka, garam dan gula. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHAN ACAR MENTAH :-)
1 biji timun, disagat
1 biji lobak merah, kupas dan sagat
1/4 bahagian kobis sederhana besar, hiris halus (tak letak)
1 biji bawang besar, hiris halus
2 biji cili merah, hiris halus
4 - 5 camca besar cuka makan JALEN
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul rata semua bahan2 untuk acar kecuali cuka, garam dan gula. Masukkan cuka makan, tambah gula secukup rasa dan sedikit garam. Gaul rata dan sesuaikan rasa. jika ok boleh hidangkan bersama nasi dagang....Selamat mencuba!!

Sunday, March 27, 2016

RESIPI LAKSA ASAM

rsz_la
Assalammualaikum, salam hujung minggu semua. Hari ni che mat bikin laksa asam, satu resipi mudah, senang dan sihat. Tanpa minyak dan yang penting ada ulam-ulaman segar. Seperti yang anda tau, untuk mendapat kuah laksa yang sedap, ikan memainkan peranan penting. Mesti ikan yang segar dan belacan juga, kalau belacan yang anda gunakan sedap, maka bertambah enaklah kuah laksa asam. Ada yang suka tambah serbuk perasa dalam kuah laksa asam, tapi che mat cuma gunakan sedikit gula, tapi terpulang pada individu, nak taruk boleh, tak taruk pun boleh. Biasanya untuk laksa asam, ikan kembong dan ikan selayang (ada yang panggil ikan sardine), digunakan. Tapi kalau tempat anda takde ikan tersebut, boleh guna ikan tongkol atau tenggiri sebagai ganti, tapi rasa sudah semestinya tak sama dengan ikan kembong atau selayang. Resipi macam ni memang sesuai dimakan ketika cuaca panas seperti sekarang. Anda ingin mencuba? Boleh semak resipi dibawah ini...Jommm...

BAHAN - BAHAN KUAH LAKSA ASAM :-)
7 ekor ikan selayang @ ikan sardine, saiz sederhana
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
4 - 5 keping asam gelugor
2 biji bawang besar*
2 inci belacan*(*dikisar halus)
3 - 4 camca besar cili kisar (boleh tambah atau kurangkan)
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa (boleh guna serbuk perasa, jika suka)

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rebus hingga lembut, cuci bawah air paip dan toskan)
Hirisan bawang besar
Hirisan daun salad
Hirisan bunga kantan
Hirisan daun kesom
Hirisan cili merah/cili hijau
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Petis @ otak udang, jika suka (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA ASAM :- Ikan disiang, cuci bersih. Kemudian rebus hingga isi ikan masak. Asingkan ikan dari air rebusan, biar sejuk sedikit, kemudian asingkan isi ikan dari tulangnya, air rebusan ikan disimpan. Kisar tulang ikan dengan sedikit air hingga halus, kemudian ditapis. Isi ikan ditumbuk hingga hancur. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan air rebusan ikan (tapis dahulu), air dari tulang ikan yang dikisar tadi, bahan2 kisar halus, cili kisar, isi ikan dan juga asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga menggelegak. Tambah air secukupnya dan renihkan 25minit dengan api kecil. Masukkan bunga kantan dan daun kesom. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (kalau anda guna serbuk perasa, tak perlu masukkan gula). Kacau dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG LAKSA ASAM :- Masukkan mi laksa secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa mengikut keperluan. Taruk hirisan daun salad, hirisan bawang besar, hirisan cili merah/cili hijau, hirisan bunga kantan, hirisan daun kesom, 1/2 bahagian telur rebus dan juga limau kasturi. Jika suka anda boleh tambah sedikit petis @ otak udang sebelum dihidangkan...Selamat mencuba!!..

Saturday, March 26, 2016

SUP KAMBING ALA MAMAK

rsz_skm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin sup kambing ala mamak. Plan asal nak bikin laksa asam, yelah cuaca panas2 ni kalau masakan yang bersantan, rasa tak boleh nak masuk dah, muak. Tapi che mat masak ikut permintaan, kalau ada yang nak, kita 'on' ajer. Kalau untuk diri sendiri, pandai2 leer masak yang lain. Contohnya selain che mat masak sup kambing, untuk diri sendiri ada menu asam rebus ikan tongkol. Untuk Bak pulak dia nak asam tumis terung taruk ikan masin pari. Menu2 simple macam tu in sha Allah tak jadi masalah nak masak. Untuk sup kambing ni che mat guna kurang lebih 1.2 kg dan menggunakan rempah sup khas dari Syarikat Ismail Yahya, Batu Pahat, Johor. Tapi kalau takde, anda boleh guna rempah sup + rempah kurma atau takde rempa kurma, boleh guna rempah sup + rempah briyani. Boleh guna sebarang jenama yang anda suka, tapi kalau che mat suka jenama Baba's. Boleh tambah kentang jika suka. Kebetulan ada lobak merah, jadi masukkan sajala dari dia kecot macam tu saja. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 KG daging kambing (che mat guna bahagian peha), dipotong
1 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
4 biji buah pelaga*
7 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
1 batang lobak merah, dipotong berbaji, rendam
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 helai daun pandan, disimpul
1 genggam bawang goreng
2 batang serai, diketuk
1/2 camca besar lada hitam, tumbuk halus
2 camca besar rempah sup*
1 1/2 camca besar penuh rempah kurma*
1/2 cawan air*(*dibancuh hingga menjadi pes rempah)
5 biji bawang merah kecil. hiris
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
10 biji cili padi (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul daging kambing dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata. Perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Masukkan ke dalam periuk bersama2 daun pandan, serai, rempah tumis, lada hitam tumbuk, daun sup yang dikerat kasar dan air secukupnya. Kacau dan masak hingga mendidih.
  2. Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Goreng bawang merah hiris hingga perang, pastikan jangan hangus. Kemudian masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata. Tambah pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Kemudian masukkan rempah yang ditumis tadi ke dalam periuk berisi daging kambing. Kacau rata dan terus merebus hingga daging kambing empuk. Masukkan lobak merah (jika guna), kacau dan jika perlu tambah sedikit air panas. Masak hingga lobak merah empuk. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. Cedok sup kambing ala mamak ke dalam mangkuk sesuai, tabur hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Hidangkan bersama roti atau nasi. Kalau nak makan dengan ketupat pun boleh.....Selamat mencuba!!.

Wednesday, March 23, 2016

TEH SUSU AIS BIJI SELASIH

rsz_cmit
Assalammualaikum, salam Rabu. Cuaca2 panas macam sekarang ni buatkan tekak agak kurang nak menjamah makanan, tapi kalau minuman, tak tolak punya. Pagi tadi che mat menerima kunjungan ibu saudara dan juga sepupu, jadi dah masak awal, makan pun awal juga. Perancangannya petang ni nak buat lah sikit kudapan untuk minum petang, tapi mood tak rajin tu melekat sangat2, dah paksa pun dia tak nak pergi. Sambil duduk2 tapi che mat berwassap dengan Sis Linn, kita orang cerita pasal resipi derhaka che mat, teh susu ais biji selasih. Dia punya terkejut sebab takde orang bikin lagi. Che mat kata, kalau aku buat jadi, sedap dan tak pengsan nanti aku kasi tau eks. Dan alhamdulillah, dah jadi, dan sedap pulak tu...ehem..ehem...tengah2 bosan ni macam2 kerja giler boleh jadi...Bahaya!..Kalau anda teringin mencuba, che mat kongsikan resipinya...Jommmm!

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 uncang teh BOH
600 ml air
Susu pekat manis secukupnya
Secubit garam (sikittt sahaja, jangan banyak2)
1 camca besar biji selasih*
1/2 helai daun pandan*
3/4 cawan air panas*(*dimasukkan dalam mangkuk dan tutup, biar hingga biji selasih kembang)
Air kiub secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan ten uncang dan air dalam periuk kecil. Masak hingga menggelegak dan kecilkan api, renihkan selama 5 minit, matikan api dan biar uncang teh terendam kurang lebih 20 minit atau hingga teh suam. Keluarkan uncang teh, masukkan susu pekat secukupnya dan kacau (anggaran 2 camca besar). Tambah secubit kecil garam dan kacau lagi. Ketepikan.
  2. Masukkan ais kiub secukupnya dalam gelas sesuai. Tuang teh susu hingga hampir penuh. Sudukan biji selasih yang telah kembang tadi atasnya. Kacau sedikit dan biarkan sejuk sebentar. Anda boleh nikmatinya.....Selamat mencuba!!.

Monday, March 21, 2016

SAMBAL BELACAN TERUNG BAKAR

rsz_sbtb
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat masak awal, mana2 yang singgah IG dan FB che mat, pasti anda tau masak apa, ada video 15 saat tengah kacau lauk rendang ayam. Disebabkan rendang tu dah selalu sangat jadi tak tergamak nak jadikan entri. Kadang2 resipi yang bahan2nya banyak kurang orang nak bikin kecuali di hari2 tertentu, mungkin kerana kesuntukan masa. Kalau resipi mudah, simple dan campak2, ramai yang suka. Entri hari ni che mat kongsi kan resipi sambal belacan terung bakar. Terung tu kebetulan ada 2 biji tergantung pada pokok terung yang bonda che mat tanam. Maka ku rembat dan jadikan sambal seperti dalam gambar. Bahan2 untuk sambal tu che mat goreng dengan sedikit minyak termasuk belacan dia pun kita goreng. Resipi memang senang, main hempuk2 dan gaul2 saja. Hidangkan dengan nasi panas dan ikan goreng....kalau ada petai topup tepi pinggan.....memang mak mertua pengsan pun kita tak sedar...haha, kejam tak?....Nak mencuba, resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 biji terung ungu saiz sederhana, cuci dan toskan
6 biji cili merah
6 biji cili padi merah
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci belacan
Garam secukup rasa
1/2 camca teh gula
Belahan limau kasturi

CARA MEMBUATNYANYA :-)
  1. Terung dibelah 2, kemudian salai dalam non-stick pan hingga lembut (tak perlu taruk minyak), tutup pan dengan penutup periuk untuk mempercepatkan kulit terung menjadi lembut. Sejukkan dan buang kulitkan, potong kecil isi terung tadi dan ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, goreng cili merah, cili padi, bawang merah dan bawang putih hingga layu. Angkat dan taruk atas peper towel dan biarkan sejuk. Kemudian goreng pula belacan hingga wangi, angkat dan toskan.
  3. Masukkan semua bahan yang bergoreng tadi dalam lesung batu dan tumbuk hingga lumat. Masukkan gula dan sedikit garam. Tumbuk sedikit lagi dan boleh masukkan terung salai. Gaul rata dengan sambal dan alihkan ke dalam bekas sesuai. Perah jus limau kasturi sebelum dihidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng.....Sedappp okehh!!.
CATATAN MAT GEBU :- Selain salai dalam non-stick pan, anda juga boleh bakar terung tadi atas api, gunakan jaring yang biasa untuk bakar ikan tu. Nak sedap lagi salai atau bakar atas bara api....

Sunday, March 20, 2016

BINGKA LABU LEMAK MANIS

rsz_kbl
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni perancangan asal, che mat tak masak, maksudnya tak masak yang beriyea2 sangat, setakat lauk2 biasa tu tak perlulah masukkan di blog, buat orang jemu nanti. Petang tadi tak semena2 termengidam kuih bingka labu. Kebetulan dalam peti sejuk memang ada stok labu manis, bukan beli, tapi petik kat tepi rumah, pokok tanam sendiri. Sebelum tu terfikir nak buat macam2, pengat, apam, donat yang semuanya ada taruk labu. Satu lagi yang memang che mat plan ialah kuih kacau labu, sejenis kuih tradisi orang Johor, tapi mengambil masa yang agak lama juga, yang tu tunggu mood rajin datang baru boleh bikin.

rsz_kbl1
Untuk kali ni che mat cuba resipi dari Kak Yatie Memories yang tak perlu diperkenalkan lagi, Kak Yatie ni expert bikin kuih2 talam dan bingka. Bahan2 dia pun tak susah mana, senang cakap semua ada lah dalam pantry che mat. Santan che mat guna santan kotak saja, kalau anda rajin boleh guna santan segar. Bingka labu lemak manis ini selain boleh dibakar dalam loyang bulat 9 inci (che mat guna loyang 4 segi saiz 8 inci X 8 inci x 3 inci), anda juga boleh bakar dalam muffin pan atau acuan pilihan anda, tapi harus digris dengan mentega terlebih dahulu. Sebab che mat guna acuan 4 segi, dasar dan tepinya dialas dengan aluminium foil sebelum digris dengan mentega. Satu lagi, untuk mendapat potongan yang kemas, biarkan kuih betul2 sejuk baru dipotong. Kalau masih suam anda potong, nanti jadi macam dalam gambar che mat tu, potongannya tak berapa nak licin. Bagi yang nak mencuba, che mat kongsikan resipinya di sini dan terima kasih Kak Yantie Memories...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan isi labu manis yang telah direbus dan dilecek
2 cawan tepung gandum
2 cawan santan (1 kotak santan segera (200ml) + 300 ml air)
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat manis
1/2 cawan susu sejat
2 biji telur gred A
1 camca teh esen vanilla
1/3 camca teh garam
2 camca besar penuh mentega, cair dan sejukkan
Bijan untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 200C, lenser tin berukuran 4 segi saiz 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dengan aluminium foil, lenser juga permukaan aluminium foil tadi. Ketepikan.
  2. Satukan telur, susu pekat manis dan gula dalam mangkuk besar, kacau rata dengan whisk hingga berkrim dan gula larut. Masukkan santan, garam, esen vanilla dan susu cair, kacau rata dan tambah tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati. Tapis bancuhan tadi dalam bekas bersih. 
  3. Masukkan labu lecek, kacau rata dan akhir sekali mentega cair, gaul rata dengan spatula. Sementara itu masukkan tin yang telah dilanser mentega tadi ke dalam oven dan biarkan 5 minit. Keluarkan tin dari oven, kacau bancuhan kuih bingka dan tuang dalam tin tadi. Taburkan bijan sebelum dimasukkan ke dalam oven
  4. Bakar selama 50 minit atau 1 jam, bergantung pada oven anda. Uji kuih dengan mencucuk lidi sate bersih ditengah2nya dan jika keluar bersih tanda kuih anda telah masak. Untuk mendapat permukaan kuih yang sedikit berkerak, tukar fungsi oven anda pada api atas atau api gril dan bakar untuk 7 - 8 minit lagi atau hingga permukaan kuih keperangan. Sejukkan kuih sebentar sebelum dikeluarkan dari acuan. Biar betul2 sejuk sebelum dipotong...Selamat mencuba!!..

Saturday, March 19, 2016

RESIPI LONTONG GORENG

rsz_lgp1
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Hari ni che mat bikin sarapan lontong goreng dan terus merangkap makan tengah hari. Tapi tadi di FB dan IG, che mat ada kongsikan video masak singgang rebus ikan parang, yang tu untuk mereka2 yang nak makan nasi. Dengan cuaca yang panas sekarang ni, menu2 ringkas seperti singgang lebih sesuai. Lontong goreng yang che mat bikin hari ni untuk menghabiskan baki 10 biji ketupat segera NONA. Dari dulu memang che mat lebih suka guna ketupat segera nona berbanding jenama2 lain, dah serasi. Resipi ini mudah, guna bahan2 yang memang dah ada kat rumah. Tapi che mat tak masukkan udang atau sotong, kerana Bak berpantang. Sambal tumis yang digunakan pun tiada belacan atau pun ikan bilis. Nanti che mat kongsikan resipi sambal dia, dan bagi anda yang tiada masalah untuk makan udang dan ikan bilis, boleh masukkan belacan atau ikan bilis dalam resipi sambal. Atau nak masukkan udang segar dalam lontong goreng ni pun boleh....Dah bersedia?..Jomm kita lihat resipinya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 biji ketupat segera NONA yang telah rebus, potong kiub
1/2 cawan isi ayam yang dihiris
1 keping fishcake (jenama mushroom), hiris nipis
1 cekak kucai, kerat pendek
1 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang putih, dicincang
1 camca besar sos cili
1 camca besar kicap pekat
Beberapa titik minyak bijan (optional)
3 camca besar penuh sambal*(*resipi di bawah)
2 biji telur, dipukul sedikit
Kicap cair atau sos ikan secukup rasa
Hirisan cili merah untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan


BAHAN - BAHAN UNTUK SAMBAL* :-)
2 cawan cili kisar
1/3 cawan  jus asam jawa
2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci belacan (tak perlu taruk, jika anda alah pada belacan)*
1/2 inci halia*(*dikisar halus)
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SAMBAL :- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/2 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan jus asam jawa, perasakan dengan garam secukupnya dan gula (anggaran 1 camca besar atau secukup rasa), kacau dan masak hingga pekat. Matikan api, sejukkan dan boleh simpan dalam botol untuk kegunaan kemudian (simpan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama).
  2. UNTUK LONTONG GORENG :- Panaskan 3 camca besar minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu. Masukkan isi ayam, kacau dan masak hingga berubah warna. Tambah hirisan fishcake, sos cili dan sambal. Kacau rata dan tolak ketepi kuali.
  3. Masukkan telur, biar hingga telur kental dan hancurkan. Gaul rata dan masukkan kicap pekat, kacau, masukkan ketupat yang dipotong kiub, sederhanaan api. Gaul hingga rencah2 tadi bersalut dengan ketupat.
  4. Masukkan minyak bijan (jika guna), kicap cair atau sos ikan secukup rasa. Akhir sekali tambah kucai, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan hirisan cili merah dan bawang goreng sebelum dihidangkan...sedap dimakan selagi panas...

Thursday, March 17, 2016

MI SUP CAMPAK - CAMPAK

rsz_msr
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Cuaca panas sekarang ni, che mat sendiri rasa macam nak bercawat ajer kat rumah. Bila cuaca panas, tengok nasi pun rasa tak jalan dah. Jadi tadi che mat selongkar peti sejuk, tengok bahan2 yang ada. Rancangnya nak bikin mi sup, ala mi sup campak2 ajer, bukan jenis susah sangat. Dalam freezer ada pulak 2 ekor udang saiz besar, baki che mat masak rebung tu ari, ini sudah bagus, tak lengah lagi terus ke dapur. Mi sup ini memang amat senang, main tumis macam masak sup sayur saja. Mi che mat guna kuey teow jenis kering jenama A1, yang tu ikut anda, nak guna mi kuning boleh, mi hoon boleh atau kuey teow. Jika suka anda boleh makan sama cili hijau jeruk atau sambal kicap. Entah kenapa hari ni tekak cuma nak makan sama hirisan cili padi saja. Gitulah bila usia dah meningkat, tekak pun berubah2 dah....Ok, jom che mat kongsikan resipi mi sup campak-campak ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1 keping fish cake, potong kiub atau hiris
1 pokok sawi bok choy ( @ sawi jepun), cuci dan toskan, tak perlu dipotong
1 biji telur
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 biji bawang merah, hiris halus
1/4 camca teh minyak bijan
1/2 camca teh serbuk lada sulah
500 ml air
Garam secukup rasa
Mi pilihan anda secukupnya (agak2lah yea, sebab ni untuk hidangan 1 orang)
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan cili padi merah, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan air dan biarkan mendidih. Tambah lada sulah, garam, udang dan fishcake. Kacau rata dan masak dengan api perlahan.
  2. Masukkan telur dan bila telur kelihatan kentan, angkat keluar dan asingkan. Tambah sawi dan masak sekejap hingga sawi lembut. Rasa kuahnya dan jika kurang masin tambah sedikit lagi garam. Matikan api.
  3. Masukkan mi pilihan anda ke dalam mangkuk sesuai. Cedok keluar sawi dan susun atas mi tadi, diikuti udang, fishcake dan telur. Tapis kuah dan tuang atas mi. Tabur hirisan daun bawang, cili padi dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas....
CATATAN MAT GEBU :- Terpulang pada anda sama ada nak menapis kuah sup atau tidak sebelum dituang dalam mangkuk berisi mi. Che mat tapis untuk mendapat kuah yang jernih. Jika suka anda boleh hidangkan dengan sambal kicap. Jika guna bebola ikan, anda boleh kerat 2 setiap 1, tak perlu dihiris.....Selamat mencuba!

Tuesday, March 15, 2016

MAGGI GORENG KERANG

rsz_mgk
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat makan maggi goreng kerang. Cerita dia macam ni, pagi tadi sebab dah terbangun awal pagi, maka che mat masak awal, masak asam tumis terung sama ikan kembong rebus. Lepas tu pergi beli barang dapur. Masa balik, tengok Bak che mat tengah bersarapan roti (sarapan jam 12.30...tu kira makan tengah hari dah), dan che mat pun join sama bedal roti. Selalunya kami makan lepas waktu zohor, disebabkan masing2 kenyang makan roti, maka takde lah makan nasi, lauk che mat masak tu tak bersentuh pun. Petang tadi dia orang keluar ke Batu Pahat, tinggal leer sesorang kat rumah, lagi bosan..nak merayap2 kat luar rumah, cuaca pulak panas berdenting. Lepas settle semua kerja2 dalam rumah, che mat ke dapur, dan tak semena2 mengidam maggi goreng kerang, nasib baik ada isi kerang yang dah dibekukan...Bila bahan2 semua cukup, apa lagi, ON aje lah...maka dengan tak sengaja tanpa dirancang, terjadilah maggi goreng kerang....Gitu lah ceritanya, kalau nak cuba, meh lihat resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 paket mi maggi perisa kari, asingkan perencahnya
1/2 keping fishcake, hiris
15 biji isi kerang yang telah direbus
1 pokok sawi bok choy, asingkan batang dan daunnya
1 genggam taugeh, dibersihkan
1 biji telur, dipukul sedikit
1 camca teh cili kisar
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
1/2 camca besar sos tiram
1/2 camca besar kicap pekat
1 biji kecil tomato, potong kiub
3 biji bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dicincang halus
Cili hijau jeruk untuk dimakan bersama maggi goreng
1 bijilLimau kasturi dibelah 2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan air, kemudian celur mi maggi hingga lembut, tos dan ketepikan. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum dan layu. Masukkan cili kisar, sos cili, sos tomato dan sos tiram, kacau rata dan masak sekejap, Guna api kecil.
  2. Masukkan kerang, hirisan fishcake dan batang sawi bok choy, gaul rata dan tolak ke tepi kuali. Masukkan telur dan biar hingga telur kental, hancurkan dan gaul rata. Masukkan kicap pekat, kacau dan tambah mi maggi, sederhanakan api dan kacau hingga rata. 
  3. Masukkan perencah mi maggi yang diasingkan tadi (che mat masukkan sedikit dulu, kemudian rasa, kalau perlu baru tambah, sebab perencah tu agak masin), gaul hingga rata. Tambah daun sawi, tomato dan taugeh, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan cili hijau jeruk dan belahan limau kasturi....Sedap dimakan panas!.

Monday, March 14, 2016

GULAI ASAM AYAM DAUN KESOM

rsz_gaa
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat masak gulai asam ayam daun kesom. Ni kira  macam asam pedas ayam. Kalau di Melaka ada asam pedas daging, Johor pula ada asam pedas ayam. Ayam kampung menjadi pilihan che mat, tapi kalau takde boleh guna ayam tua @ ayam pencen. Resipi begini memang sesuai dengan ayam yang isinya keras sedikit. Tapi tak salah nak guna ayam daging, boleh saja. Satu lagi che mat tak masukkan apa2 bahan pendamping seperti tomato dan sebagainya, jika anda suka boleh masukkan. Daun kesom dan bunga kantan antara herba wajib ada. Che mat tambah juga serai yang dititik. Kalau suka gulai asam ayam anda beraroma, boleh masukkan lada hitam yang ditumbuk halus. Sedap dimakan selepas beberapa jam dimasak, contohnya anda nak makan tengah hari, boleh masak pagi. Selain makan sama nasi, kuah dia boleh dicicah lempeng, roti canai/roti prata dan  roti pound. Resipi che mat kongsikan di bawah ini yea....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung , potong ikut suka, cuci dan toskan
3 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 cawan cili kisar
1/2 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panakan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), tumis serai dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan biarkan hingga ayam berubah warna. Tuang air sehingga ayam tenggelam, besarkan api dan biarkan hingga menggelegak, perlahankan api, masak hingga ayam empuk.
  3. Masukkan daun kesom, bunga kantan dan jus asam jawa, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga kuah pekat sedikit, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan gulai asam ayam dengan nasi panas, telur dadar dan ulam-ulaman.

Sunday, March 13, 2016

KEPAK AYAM BERMADU

rsz_ayam_madu_lekit
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat kongsikan satu menu ringkas dan yang paling bagus, ia boleh dinikmati oleh kanak2 dan orang dewasa. Kalau anda bikin nasi ayam dan malas nak bakar2 ayam, boleh buat yang ni. Resipi memang mudah, yang paling penting mesti ada ayam. Tapi che mat masukkan juga bahan tambahan seperti serbuk 'cayenne pepper' untuk mendapat warna yang menarik, tapi kalau takde pun takpe. Kalau anda suka ayam warna gelap, boleh masukkan kicap pekat lebih sikit. Selain kepak ayam, bahagian peha juga sesuai, tapi kalau dada ayam che mat tak sarankan, macam kurang sedap dan kering ajer daging dia. Ok, meh kita lihat resipi yea..

BAHAN - BAHANNYA :-)
8 - 10 keping kepak ayam saiz besar
1 camca teh garam
1/2 camca besar serbuk kunyit
1/2 camca teh serbuk lada sulah
3/4 cawan madu
1 inci halia, cincang halus
4 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 camca besar serbuk 'cayenne peper'
1 camca besar sos cili
1 camca besar kicap pekat
Sedikit garam jika perlu
1 camca besar bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepak ayam dipotong 2 setiap satu, cuci bersih, toskan dan gaul dengan garam, serbuk kunyit dan serbuk lada sulah. Perapp 20 minit, kemudian goreng hingga masak, tak perlu sampai garing sangat. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak dalam kuali. Tumis halia dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos cili, cayenne pepper, kicap pekat dan madu. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga berbuih.
  3. Masukkan secubit garam, kacau dan masukkan kepak ayam tadi. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga ayam bersalut dengan madu. Masak hingga kering dan semua bahan2 melekat pada kepak ayam. Kalau suka boleh alas pinggandengan daun salad sebelum anda susun kepak ayam madu dan taburkan bijan, hidangkan...

Saturday, March 12, 2016

KEK SEMOLINA @ KEK SUJI

rsz_kek_sugee_pop
Assalammualaikum, salam semua. Atas permintaan che mat masukkan entri kek semolina @ kek suji. Kek suji salah satu kek yang digemari oleh orang2 peranakan (baba nyonya dan eurasian). Dan ia menjadi hidangan untuk minum petang. Che mat pernah buat dulu dan hari ni untuk menjamu tetamu yang datang, che mat buat sekali lagi. Sedikit penambahan bahan ia itu biji kas-kas atau poppy seed. Bagi yang tak nak, tak perlu letak. Dan bagi sesetengah negara seperti Singapura yang biji poppy ini diharamkan, seelok2nya tak perlu taruk. Kek semolina ini lembap dan rasanya seakan2 kekacang. Untuk resipi ini che mat guna tin 4 segi berukuran 7 inci  7 inci  3 inci. Dan kek akan turun sedikit setelah sejuk, jadi jangan risau dan ingat kek tu bantat pulak. Jika anda makan keesokkan harinya, kek bertambah sedap, lembap dan wangi. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram mentega berkualiti (anchor, emborg, scs, golden churn)
170 gram gula kastor
2 camca besar madu (boleh ganti dengan golden syrup)
170 gram tepung gandum
1 camca teh baking powder
100 gram somalina @ suji
1 camca besar kas-kas @ poppy seed (optional)
2 camca teh esen vanilla
100 ml susu segar
4 biji telur gred A
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser tin berukuran 7 inci x 7 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi. Satukan tepung gandum dan baking powder, gaul rata dan ayak. Kemudian masukkan semolina dan kas-kas, gaul rata dengan tepung yang telah diayak tadi. Ketepikan.
  2. Putar mentega, madu, garam dan gula kastor hingga putih. Sementara itu, satukan susu, telur dan esen vanilla dalam mangkuk dan pukul dengan garfu hingga semua rata dan sebati. Masukkan sedikit demi sedikit bancuhan telur ke dalam mentega yang diputar tadi hingga habis. Putar hingga kembang.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis dan putar hingga rata. Kaup balik adunan dengan spatula dan tuang ke dalam tin yang telah disediakan tadi. Bakar selama 45 - 50 minit atau hingga masak (uji dengan lidi sate bersih, cucuk dibahagian tengah kek, jika keluarnya bersih, itu tanda kek anda telah masak). Keluarkan kek dari oven, biarkan sejuk 10 minit dan boleh keluarkan dari tin, Sejukkan kek atas redai sebelum dipotong dan hidangkan...Selamat mencuba!!

Friday, March 11, 2016

KHAS UNTUK WANITA - KONGSI MINDA GAPAI BAHAGIA

Wanita, insan istimewa ciptaan Allah swt dan menjadi pelengkap dalam kehidupan dan juga institusi sesebuah keluarga. Di zaman modern ini wanita melangkah dengan lebih maju, berjawatan, berkedudukan dan menjadi orang penting dalam satu-satu oganisasi. Mereka juga insan hebat yang melakukan kerja-kerja seorang suri rumah, bekerjaya dan turut bersama mendidik anak-anak. Bila semua ini menjadi tanggungjawab mereka, masa untuk diri sendiri berkemungkinan terabai tanpa disedari. Dalam situasi ini, golongan wanita harus bijak merancang dan membahagikan masa untuk keluarga, kerjaya dan diri sendiri.

Justru itu, Giant Steps Event & Entertaiment  dan Huda Hana Comunications akan menganjurkan satu seminar dari wanita untuk wanita (FB di sini), membincangkan topik 'Kongsi Minda Gapai Bahagia'. Ia bertujuan memberi panduan pada wanita-wanita untuk mengurus masa dengan lebih efisyen  serta memperkasakan wanita dari sudut mental dan fizikal seiring dengan zaman yang penuh mencabar sekarang ini. Panel-panel jemputan bertauliah dijemput untuk berkongsi maklumat dan petua-petua penting sebagai penyuntik semangat para peserta seminar nanti. Selain itu peserta juga akan diajar teknik merias wajah oleh jurusolek berpengalaman. Ok, che mat kongsikan panel-panel jemputan untuk hari tersebut..
  • Dr. Robiah K. Hamzah - Pakar motivasi dan kaunselor keluarga.
  • Dato' Dr. Nor Ashikin Mokhtar - Pengasas/Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan PrimaNora.
  • Datin Sri Dato' Dr. Fadzilah Muhammad Ali - Pakar motivasi dan aktivis (Timbalan Pengerusi PM Melati Sdn Bhd).
  • Usahawan cemerlang dari MARA Selangor.
  • Ibu Halimah dan Tuan Syed Muhammad Ghadafi - pengasas Jamu Mak Dara.
Terbuka untuk semua golongan wanita, sama ada anda surirumah, wanita bekerjaya atau pelajar. Badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan, swasta dan persendirian juga digalakkan menghantar kakitangan masing-masing atau menaja peserta dikalangan ibu tunggal, golongan asnaf dan persendirian. Setiap peserta akan dikenakan bayaran RM 200. Jika mendaftar secara berkumpulan (10 orang ke atas), bayaran dikenakan RM 180 setiap peserta (berbaloi sangat dengan ilmu yang anda akan dapat nanti). Untuk yang kaki business, ada juga disediakan 10 buah gerai dengan sewaan RM 150 sehari bagi. Ini peluang keemasan untuk memperkenalkan produk perniagaan anda, tak kesah lah produk makanan ke, tudung, biskut raya dan sebagainya...

SEMINAR INI AKAN DIADAKAN PADA...

TARIKH : 27HB MAC 2016 (AHAD)

LOKASRI : KUALA LUMPUR INTERNATIONAL HOTEL, KUALA LUMPUR

MASA : 8.00 PAGI - 5.45 PETANG


ATURCARA MAJLIS SEPERTI BERIKUT...

 ff
ff1

UNTUK MAKLUMAT LANJUT ANDA BOLEH HUBUNGI...

019 2683 579 (PUAN NORMALA HAMZAH)

012 2813 848 (RAHANA MD)

012 3031 005 (HUDA HANA)

TARIKH TUTUP PENYERTAAN PADA 20 MAC 2016....

Thursday, March 10, 2016

KUIH LOMPANG GULA MELAKA

rsz_klgm
Assalammualaikum, salam Khamis. Selamat berpuasa pada yang berpuasa sunat. Petang sikit baru che mat dapat bersiaran. Duduk rumah bukan bermakna boleh tidur baring, kerja banyak nak kena buat. Kadang2 orang fikir duduk rumah ni senang, boleh lepak2. golek2 atau bersantai2...salah tu, kerja sentiasa menunggu. Sejak dua tiga hari lepas tekak memang teringin nak makan kuih lompang. Tapi niat nak bikin tu tak terlaksana, sebab utama ialah tak rajin. Kuih lompang tidak susah mana buatnya. Resipi melambak ada dalam internet. Tak reti buat, bukak youtube pun ada. Nama kuih lompang itu mungkin diberi kerana bila kuih siap dikukus, bahagian tengah kuih berlubang. Kali ini che mat bikin kuih lompang gula melaka, tapi kalau anda suka yang warna warni, boleh tukar gula melaka dengan gula putih, kemudian taruk warna kegemaran anda pada bancuhan sebelum dikukus.

rsz_klgm1
Resipi ini akan menghasilkan 20 biji kuih lompang saiz sederhana. Tapi kalau anda guna acuan kecil sikit, mungkin boleh dapat lebih. Che mat guna cawan teh cina jenis plastik yang warna merah tu. Adunan untuk kuih lompang tidak boleh terlalu pekat, nanti kuih jadi keras terutama bahagian tengahnya. Kalau diperhatikan, resipi ini adunannya seakan2 kuih kaswi. Dalam resipi asal ada masukkan sedikit pewarna coklat, tapi che mat kehabisan stok, jadi gantikan dengan sedikit kicap pekat (dalam 1/4 camca teh), atau kalau ada coklat emulco, boleh guna. Tujuanya untuk mendapat warna coklat yang gelap sedikit. Bagi yang nak mencuba, che mat kongsikan resipi dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 cawan gula Melaka, dipotong kecil
1/2 cawan gula pasir (che mat guna 1/4 cawan saja)
1 1/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung ubi
3/4 camca teh air kapur makan
2 cawan air
Beberapa titik pewarna coklat
1 helai daun pandan
Kelapa parut putih secukupnya
Sedikit garam halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masak gula Melaka, gula pasir, daun pandan dengan 1 cawan air hingga gula larut, kemudian masukkan baki 1 cawan air. Tapis dan sejukkan. Sementara itu panaskan kukus, balut kukus dengan tuala dapur bersih. Sediakan acuan lompang, lenser dengan sedikit minyak makan. Ketepikan.
  2. Dalam satu bekas, masukkan tepung beras dan tepung ubi, gaul rata dengan whisk. Tuang air gula merah tadi, kacau rata. Masukkan air kapur makan dan pewarna makanan coklat. Kacau rata dan tapis. Kemudian tuang bancuhan ke dalam bekas bermuncung.
  3. Susun acuan kuih lompang dalam kukus. Kacau dulu bancuhan dan tuang dalam setiap acuan hingga hampir penuh. Buat hingga siap. kukus selama 25 minit dengan api sederhana. Sejukkan kuih sebelum dikeluarkan dari acuan. Hidangkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam....Selamat mencuba!

Tuesday, March 8, 2016

SAMBAL TUMIS UDANG SAMA PETAI

rsz_sup
Assalammualaikum, salam Selasa semua. Hari ni che mat mengidam sambal tumis udang sama petai. Siap ada yang usik, you mengandung ke (pada hal dia tau kan pakcik ni jantan...grrr)? Kejam betul, mentang2 lah kita memang dah lama mengandung (lemak). Kalau ikutkan sambal tumis udang petai antara kegemaran Bak, tapi sebab Bak ada gaot, tak boleh makan udang, jadi ini hanya untuk che mat dan bonda saja. Buat pun tak banyak, udang che mat guna dalam 15 ekor saiz sederhan, petai dalam 1 papan macam tu. Oleh sebab tak banyak, maka bahan2 rencah, che mat tumbuk guna lesong batu, konon2 style zaman dulu lah, cuma cili saja guna cili kisar. Kalau ada nasi lemak, phewww, sah2 pengsan...Bagi yang nak mencuba, moh kita lihat resipinya....Jommm..

BAHAN - BAHANNYA :-)
15 ekor udang saiz besar
1 biji bawang besar belah 6
2 papan petai
2/3 cawan cili kisar
1/3 cawan jus asam jawa
1 camca besar gula
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 keping hirisan halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibuang kulit, kemudian belah belakangnya dan buang urat, cuci dan toskan. Petai diambil isinya cuci dan toskan. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa,
  3. Masukkan gula, jus asam jawa dan petai. Kacau dan masak hingga pekat. Masukkan bawang besar yang dibelah dan udang. Gaul rata dan perasakan dengan garam secukupnya, masak sekejap lagi dan rasa jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, lempeng pekak atau roti....Selamat mencuba!!

Monday, March 7, 2016

MI UDANG D'LAILA , TERUNGGUL DI "NILAI"

Siapa suka makan mi udang?...opss, lupa pulak beri salam, assalammualaikum, haa, baru lah boleh mulakan cerita. Dua tiga menjak ni viral dah pasal mi udang yang paling 'hot' di Nilai, Negeri Sembilan. Rata2 kalau anda tanya mi udang paling unggul kat Nilai di mana? Pasti mereka akan kata di MMA SANTAI CORNER. Boleh dikatakan mereka yang pergi akan memberi komen positif dan hidangannya juga setimpal dengan apa yang kita bayar, selain sedap. Sampai ada yang termimpi2 dengar ceritanya. Pemilik restoran, Kak Dilaila ramah orangnya, senang cerita anda akan disambut seperti keluarga sendiri...

Menu hidangan utama sudah semesti mi udang (ada saiz besar dan sederhana), tapi pilihan memang meluas, ada asam pedas (pelbagai jenis ikan segar, ikut pilihan anda, termasuk asam pedas telur ikan mayong, ini juga salah satu trade mark MMA Santai Corner selain mi udang). Kalau lihat pada gambar atas tu, mesti dapat bayangkan menu yang sedia untuk anda pilih. Pelbagai jenis makanan laut (sotong, ketam, udang dan lain-lain), ikan segar, telur ikan dan kalau masa2 tertentu ada juga menu cendawan kukur, tempoyak ikan patin dan ikan patin dibeli dari Pahang, jangan main-main. Memang rambang mata dan tekak lah, tatau nak pilih yang mana, semua sedap2!...boleh juling...

Nampak tak apa yang che mat nampak...terliur kan, tu baru gambar, kalau dah rasa, dia punya nikmat Allah saja yang tau. Anda juga boleh pesan menu yang anda suka mengikut ikan pilihan anda, nak asam pedas ikan campur kupang. lemak cili padi ketam, apa lagi, sebut ajer, in sha Allah MMA Santai Corner sedia merealisasikan permintaan anda. Geram tengok asam pedas telur ikan mayong tu, menggoda betul..

Jiran che mat, Ben Ashaari antara pelanggan tetap MMA Santai Corner ni tak lupa geng2 KBBA dan ramai blogger2 lain lagi. Menu yang kerap jadi pilihan mereka selain asam pedas telur ikan mayong, ialah Maggi kambing. Maggi kambing bukan masak campak2 macam tu saja, tapi dibuat menggunakan kuah asam pedas dan kambing yang banyak dagingnya. Anda tak makan kambing? Jangan risau, boleh oder maggi ketam, nak meriah lagi, boleh minta kawinkan sotong, ketam, kupang dan udang dalam maggi tu, baru puas hati, semua ada...mau tak meleleh air liur..

Dan terbaru MMA Santai Corner menyajikan hidangan bubur berlauk. Bubur nasi seperti yang anda lihat dalam gambar, dihidangkan bersama lauk pauk sampingan yang pelbagai jenis, rasa che mat hampir 20 jenis, entah-entah lebih dari tu, pilih saja mana yang teringin. Jika anda cari tempat makan sesuai untuk menjamu keluarga, saudara mara atau pun teman2, MMA Santai Corner paling sesuai. Boleh juga buat tempahan meja terlebih dahulu (no untuk dihubungi nanti che mat kongsikan), yelah selalunya memang sentiasa penuh dengan pelanggan.

MMA Santai Corner juga pernah disiarkan dalam Majalah Aroma keluaran Oktober 2015 yang lalu. Che mat senaraikan serba sedikit menu2 popular di MMA Santai Corner, antaranya ialah.

  • Mi Udang (wajib cuba!!)
  • Asam Pedas (pelbagai jenis ikan segar, telur ikan dan telur ikan mayong)
  • Masak lemak cili padi (samada ikan, makanan laut, daging/ayam salai)
  • Asam tempoyak (ikan patin)
  • Kari
  • Maggi Kambing (ikut pilihan anda sama nak kambing atau makanan laut)
  • Bubur nasi (dengan pelbagai jenis lauk pilihan)
Ada lagi menu2 lain, yang tu anda sendiri kena pergi dan lihat, macam mana nak ke MMA Santai Corner? Anda boleh ke...

ALAMAT :MMA Santai Corner @ Dlaila Mee Udang
                   Jalan BBN 1/1F Bandar Baru Nilai
                   Negeri Sembilan

HP            : 011 2313 6081 ( Kak Dilaila Mee Udang)

FB            : Norlaila Dlaila Dlaila

PAGE      : Dlaila Mee Udang

WAZE     : MMA Santai Corner

WAKTU PERNIAGAAN : Jam 5.00 petang - 12.00 malam

HARI  CUTI                  : Setiap hari Selasa minggu ke - 3

Sunday, March 6, 2016

AYAM NESTUM PEDAS.

rsz_ciken_nestum
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat masak menu yang amat ringkas dan semua orang boleh makan, kecuali mereka yang tak makan ayam. Biasanya che mat bikin guna udang, tapi sebab Bak che mat dia kena pantang makanan laut sebab penyakit gaot. Langkah selamat gantikan saja dengan ayam. Kalau guna ayam pilih isi bahagian peha tapi che mat ada dada ayam sahaja, boleh aje lah. Kalau daging peha, isi dia tak kering sangat, dada ni sedikit kering. Resipi ini memang senang dan seelok2nya lepas siap masak, terus hidangkan. Bagi yang tak makan nasi (mungkin diet), anda boleh juga ratah saja. Che mat guna kurang lebih 400 gram isi ayam. Jika anda bikin untuk anak2, anda boleh kurangkan penggunaan cili padi atau tak perlu taruk langsung, kesian kan anak2 kalau pedas. Nak mencuba? Che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram isi ayam, dihiris memanjang, cuci dan toskan*
1/2 camca teh garam*
1/2 camca teh serbuk lada sulah*(*disatukan dan gaul rata)
1 biji telur, dipukul sedikit
1 cawan tepung gandum
3 camca besar mentega berkualiti
2 tangkai daun kari, dilurut
3 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji cili padi merah Thai, hiris halus
3/4 cawan nestum*
1 camca besar susu tepung*
1 camca teh gula halus*
1/4 camca teh garam halus*(*disatukan dan gaul rata)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Ambil 1 hirisan isi ayam, gaul dengan tepung gandum, kemudian celop dalam telur dan gaulkan sekali lagi dengan tepung gandum, taruk dalam pinggan, buat hingga siap. Kemudian goreng dengan api sederhana hingga keemasan, angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dalam kuali tadi, panaskan mentega hingga cair. Tumis bawang putih, daun kari dan cili padi hingga wangi, guna api kecil. Kacau sentiasa. Masukkan nestum yang telah disatukan dengan bahan bertanda (*), gaul rata. Masukkan isi ayam tadi, gaul hingga rata. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau dimakan begitu sahaja...Selamat mencuba!

Thursday, March 3, 2016

SAMBAL LEMAK TEMPOYAK PETAI SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_sltpsck
Assalammualaikum, salam Khamis semua dan selamat berpuasa sunat pada yang berpuasa (termasuk bonda che mat). Hari ni che mat masak menu untuk mereka yang makan tempoyak dan petai. Bagi yang tak makan, minta maaf yea, sah2 ini bukan untuk anda, tapi kalau nak mencuba tak salah, sapa tau lepas makan yang ni, anda terus suka tempoyak dan petai. Resipi rasanya che mat pernah kongsi di blog, cuma kali ni ada penambahan bahan lain, iaitu cendawan kukur. Cendawan baki dari che mat beli on line dulu, dikeringkan kemudian masuk dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk. In sha Allah boleh tahan lama. Anda boleh masak lebih sambal ini dan bekukan. Jadi bila teragak nak makan tinggal panaskan saja. Untuk rencah, che mat guna ikan bilis tamban, selain tu boleh ganti dengan ikan bilis biasa atau udang segar, kalau guna udang segar, anda masukkan udang bila sambal dah pekat. Bagi yang tak tahan pedas anda boleh kurangkan penggunaan cili padi, che mat campur cili padi dan cili merah. Kalau teringin nak mencuba, mari kita semak resipi seperti dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis tamban
3 papan petai, ambil isinya
1 cawan cendawan kukur yang kering, direndam hingga kembang
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, dimayang halus
1 camca besar penuh tempoyak
600 ml santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
20 biji cili padi merah
5 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan bilis tamban direndam 15 minit. Kemudian buang sisiknya, belah2 dan buang tulang tengah, cuci dan toskan. Petai diambil isinya. Cendawan yang direndam tadi, dibersihkan, toskan dan perah sedikit. Tumbuk dalam lesung batu, tapi jangan sampai hancur, hanya memar2kan sahaja. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1/2 cawan. Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar dan masak sekejap. Tambah tempoyak dan kacau rata. Tuang santan, kacau dan masukkan ikan bilis tamban, cendawan kukur dan petai. Kacau rata.
  3. Masak dengan api kecil hingga pekat, kacau sentiasa. Masukkan asam gelugor, garam secukup rasa dan sedikit gula (anggaran 3/4 camca teh). Kacau dan masak hingga naik minyak. Akhir sekali masukkan daun kunyit, gaul rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain....Selamat mencuba!!.

Wednesday, March 2, 2016

SAMBAL TUMIS BEBOLA IKAN....

rsz_sbi
Assalammualaikum, salam Rabu. Putus idea dah nak masak apa, dan 2 - 3 hari lepas memang che mat masak macam2, samada atas permintaan atau menjamu tetamu yang datang, tapi disebabkan menu2 tu semua pernah beberapa kali muncul di blog tiffinbiru, jadi che mat ambik keputusan tak jadikan ia sebagai entri, dah boring. Dan hari ni rasa malas nak masak tu cukup2 menebal. Yang mampu hanya masak sambal tumis bebola ikan. Bebola ikan tu pilih yang dah siap bergoreng, dan che mat syorkan jenama MUSHROOM. Kalau anda ada masa boleh juga bikin bebola ikan sendiri, kalau tak pasti macam mana nak membuatnya, boleh google, melambak resipi ada. Sambal tumis bebola ikan ini anda boleh juga guna untuk menggoreng mi hoon, mi kuning atau pun kuey teow. Bagi yang ingin mencuba, resipi che mat kongsikan di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 biji bebola ikan yang telah siap digoreng (jenama MUSHROOM)
3/4 cawan cili kisar
1 camca besar sos tiram
2 camca besar sos cili
1/4 cawan jus asam jawa
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
Garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bebola ikan dicuci, kemudian lap kering dengan tissue dapur, Goreng sekejap dalam minyak panas, angkat dan toskan (walaupun che mat guna bebola ikan yang telah siap digoreng, tapi che mat gorengkan sekali lagi).
  2. Cedok keluar minyak dan tinggalkan dalam1/3 cawan. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, sos cili dan sos tiram. Kacau rata dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan air asam dan air. Kacau dan biarkan mendidih, masak hingga pekat sedikit. Masukkan bebola ikan, bawang besar, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.