BEN ASHAARI

Monday, February 29, 2016

DAGING MASAK ASAM SAMA REBUNG

rsz_apd
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni masa che mat penuh dari pagi hingga ke petang tadi. Malam ni baru berkesempatan untuk kemas kini blog. Entah kenapa tekak ni teringin nak makan daging masak asam campur rebung. Biasanya menu sebegini terkenal di Melaka, dan di Johor pulak lebih kepada ayam masak asam pedas. Tak salah kita nak mencuba sesuatu yang lain, menepati citarasa atau tidak itu semua terpulang pada individu, pelik bagi kita mungkin tidak pada mereka, betul tak. Tapi rasa che mat daging masak macam ini bukanlah satu yang baru, sudah lama wujud ditanah semenanjung Malaysia. Disebabkan stok rebung madu memang ada, maka che mat masukkan sebagai pendampingnya masakan. Bila anda masak menu2 sebegini, rasa asam, masin anda yang tentukan. Tapi yang penting jangan terus taruk banyak, masukkan sikit2 dulu, kemudian bila rasa perlu baru tambah lagi hingga mendapat rasa yang serasi di tekak anda. Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram daging lembu, potong kiub, cuci dan toskan
2 cawan rebung madu yang telah siap direbus, cuci dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
1/2 cawan jus asam jawa
1 cawan cili kisar
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya (atau boleh guna air rebusan daging jika ada)

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci belacan, dibakar
1/2 inci kunyit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging dipotong kiub, cuci bersih dan rebus dengan 1inci halia, dihiris dan 4 ulas bawang putih, diketuk. Rebus hingga daging empuk (jika anda guna daging batang pinang, tak perlu rebus, potong dan cuci kemudian toskan). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar dan masak sekejap. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan daging, kacau rata (kalau anda guna daging batang pinang, kacau hingga daging kecut dan berubah warna). Masukkan rebung, daun kesom dan air secukupnya (atau air rebusan daging), kacau rata dan biarkan mendidih.
  4. Biarkan mendidih hingga daging empuk (jika anda guna daging batang pinang). Tambah bunga kantan dan jus asam jawa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Friday, February 26, 2016

GULAI BABAT SAMA REBUNG...

rsz_blcp
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Hari ni che mat masak menu yang menjadi kegemaran bonda. Gulai babat sama rebung menjadi hidangan kegemaran bonda sejak dulu lagi, che mat pun suka juga tapi tak bolehlah dimasak kerap, kerana ia jenis lauk dalam kategori berprofile tinggi. Sebenarnya bila masak2 macam ni, che mat tak boleh nak agak rebung tu banyak mana. Kalau babat atau perut lembu tu dalam 1 kg, rebung mungkin 400 gram macam tu, sebabnya rebung memanng bonda dah siap hiris dan rebus, che mat guna rebung madu. Tapikan, kalau dapat rebung jeruk lagi sedap, cuma ada yang tak makan sebab bau dia menyengat sikit. Dan rebung jeruk biasa guna rebung dari buluh betong. Resipi kali ni bukanlah authentic negeri sembilan sangat, sebab bahan2 dia che mat guna bawang dan sebagainya. Kalau yang tulen masakan negeri, mereka lebihkan serai dan kunyit hidup, cili padi dan santan. Apa2 pun gulai yang ni masih sedap dan enak dimakan bersama nasi putih panas2....Jomm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg babat lembu
4 biji bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris nipis*
400 gram rebung yang telah direbus, toskan
4 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1.2 liter santan cair
400 ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang puith
25 biji cili padi merah
1 1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Babat dibersihkan, kemudian rebus dengan bahan2 bertanda (*), hingga lembut (kalau guna periuk teknan, rebus 10 minit). Toskan, biar sejuk dan hiris. Ketepikan. Rebung dicuci dan ditoskan.
  2. Masukkan babat, rebung dan serai ke dalam periuk. Tambah bahan2 kisar halus dan gaul rata. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih, sederhanakan api dan masak untuk 15 minit. Masukkan asam gelugor dan pati santan. Kacau rata.
  3. Masak dengan api sederhana, masukkan daun kunyit, garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau dan biarkan mendidih selama 10 minit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....Selamat mencuba!!

Thursday, February 25, 2016

ONDE-ONDE BUAH MELAKA

rsz_oobm
Assalammualaikum, salam Khamis semua dan selamat berpuasa sunat bagi mereka yang berpuasa termasuk bonda che mat. Dah lama tak bikin kuih2 tradisional. Bukan tak nak cuma che mat rasa tak berapa rajin sangat. Kalau buat tu nanti 2 hari pun belum tau habis. Lagi pun bila dah tua2 ni, nak makan kuih-muih yang 'kaya-kaya' agak seram juga. Hari ni che mat ada rajin sikit, walaupun peratus dia tak banyak. Semalam bonda ada juga sebut2 pasal kuih onde2, dan biasanya dia tak panggil onde2, tapi bonda panggil kuih 'kelepong'. Jadi che mat korek2 dalam peti sejuk, ada belen tepung pulut yang masih elok, kalau dah hapak buang ajer, toksah bikin, nanti rasa dia tak sedap. Kuih tradisi ini agak mudah dibuat dan tidak memerlukan bahan2 yang banyak.

rsz_oobm1
Resipi bergantung pada masing2, ada yang suka masukkan sedikit tepung gandum dalam adunan untuk mendapat onde2 yang bulat, ada yang suka campurkan labu. Tapi pada che mat, suka guna 100% tepung pulut dan guna jus pandan untuk mendapat warna hijau dan aroma yang harum. Kalau campur labu, onde2 anda akan bewarna keorenan, cantik juga dan kalau tak suka apa2, boleh saja buat onde2 putih, cuma bila dah bersalut kelapa parut, tak berapa menyerlah sangatlah. Che mat guna kurang lebih 500 gram tepung pulut dan banyak mana anda dapat tu bergantung pada saiz onder2 yang anda gentel. Bagi yang nak mencuba dan rasa banyak sangat, anda boleh buat 1/2 dari resipi dibawah..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram tepung pulut
4 helai daun pandan, potong kecil*
1 /2 cawan air*(*kisar dan tapis jusnya)
1 cawan air (lebih kurang)
Gula melaka dipotong kiub (sebesar hujung jari), secukupnya
Kelapa parut putih secukupnya
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didihkan air dalam periuk, masukkan sehelai daun pandan, jika suka. Tepung pulut dimasukkan ke dalam mangkuk adunan. Buat lubang ditengah2 tepung dan tuang jus daun pandan, gaul rata. Tambah air sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang tidak melekat ditangan dan mangkuk adunan. Ketepikan.
  2. Gaul kelapa parut putih dengan sedikit garam atau secukup rasa (untuk mendapat rasa lemak kelapa). Alihkan kelapa parut tadi ke dalam loyang dan ratakan. Tujuan untuk memudahkan anda menggolekkan onde2 nanti. Ketepikan.
  3. UNTUK ONDE-ONDE :- Ambil sedikit adunan doh (anggaran 1/2 camca besar), leperkan dan masukkan satu kiub gula melaka, tutupkan guna melaka dengan doh dan bulat2kan seperti guli. Masukkan ke dalam air mendidih. Buat 10 - 15 biji sekali rebus.
  4. Bila onde2 timbul pada permukaan air mendidih, biarkan dalam 30 saat lagi, cedok keluar , toskan airnya (gunakan sudip berlubang) dan taruk dalam loyang berisi kelapa parut tadi. Golek2kan agar onde2 bersalut dengan kelapa. Alihkan ke dalam pinggan bersih. Buat kaedah sama untuk baki bahan2 hingga siap. Biar sejuk dan boleh dihidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Pastikan anda tidak menindih kuih yang baru disalut dengan kelapa untuk mengelakkan onde2 anda penyek. Susun sebiji2 atas pinggan atau dulang hingga sejuk. Kalau dah sejuk kuih lebih kenyal dan anda boleh susun bertindih. Satu lagi nak pesan, jangan makan masa panas, dikhuatiri gula melaka yang cair dalam kuih tadi akan mencederakan mulut anda!....Selamat mencuba!!..

Tuesday, February 23, 2016

SAMBAL TUMIS TELUR PINDANG

rsz_stp
Assalammualaikum, salam Selasa. Bila mood masak terjunam dalam gaung, rasa nak melintas kat dapur pun tak kuasa, takde mood. Bukan hari2 kita rajin masak sebenarnya, ada masa bosan gileer ok kalau nak tau..huhu, kalau tak kenangkan ia tanggungjawab, che mat tutup  ajer dapur. Makan apa yang ada sudah. Hari ni che mat masak sambal tumis telur pindang. Anda tau telur pindang? Telur pindang ialah telur ayam yang direbus dengan bahan2 rempah ratus dan herba2 tertentu. Popular di negeri Johor dan rasanya sedap, tapi tu pada che mat, bagi orang yang tak biasa mungkin pelik sikit. Merebusnya juga agak lama (ada yang sampai 3 hari), tapi api kecil saja, agar bahan2 rempah dan herba menyerap dan juga untuk mengelakkan telur pecah. Tempoh hari sedara che mat ada beri telur pindang, banyak juga hampir 20 biji kalau tak silap. Baki 10 biji che mat masak sambal tumis, Selain sambal tumis, boleh juga dimasak kari atau kurma. Tak de telur pindang? Ganti telur rebus biasa pun boleh...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 biji telur pindang
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1/3 cawan jus asam jawa
1 cawan penuh cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas telur pindang, kemudian goreng hingga telur keperangan, angkat dan toskan. Cedok keluar minyak dan tinggalkan angggaran 1/3 cawan. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa,
  2. Masukkan jus asam jawa, gula (anggaran 1 camca besar) dan sedikit garam, kacau dan masukkan telur. Golek2kan telur agar rata dengan sambal. Tambah bawang besar dan kacau perlahan. Kecilkan api dan masak hingga sambal pekat. Rasa dan jika kurang masin, masukkan sedikit lagi atau secukup rasa. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan sambal sama nasi. Boleh juga dimakan dengan lempeng atau roti

Friday, February 19, 2016

SAMBAL TERUNG UDANG KERING

rsz_stuk
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni kampung che mat hujan sejak awal pagi lagi, cuaca cukup nyaman kalau ikutkan hati nak golek2 ajer atas lecha. Fikir2 balik, itu semua buang masa, baik che mat siapkan kerja dulu, nanti senang. Hari ni menu memang ringkas dan che mat masak tumis air petola, goreng ikan kembong rebus, sambal belacan dan untuk diri sendiri, ku bikin sambal terung udang kering. Resipi ini cukup mudah dan sedap. Che mat guna sebiji terung ungu saiz besar. Terung tu terlebih dahulu digaul dengan sedikit minyak makan, tabur garam dan disalai atas non stick pan hingga lembut. Kemudian baru kita bikin sambal udang keringnya. Bila nak makan boleh taruk sambal atas terung, macam masak terung berlado tu. Selain terung, anda boleh guna kacang bendi, tapi celur dulu sebelum dituang sambalnya. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji terung ungu saiz besar (kalau kecil, guna 2 biji)
Sedikit garam
1 camca besar minyak masak
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
3 biji cili merah
2 camca besar penuh cili kisar
1 camca besar gula
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa
Sedikit hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dicuci dan lap kering. Kemudian hiris serong memanjang sederhana tebal. Masukkan dalam bekas, tambah sedikit garam dan  1 camca besar minyak masak (che mat guna minyak zaitun). Gaul rata, kemudian salai atas non stick pan hingga terung lembut, balik2kan agak cepat masak. Angkat dan susun dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Udang kering digoreng tanpa minyak hingga wangi. Kemudian tumbuk hancur, ketepikan. Dalam lesung batu yang sama, tumbuk buah keras dan bawang putih sampai lumat. Tambah bawang besar dan cili merah, tumbuk hingga lumat.
  3. Panaskan 4 camca besar minyak masak, tumis bahan2 tumbuk hingga wangi, masukkan cili kisar dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. Masukkan gula, kacau rata dan masukkan udang kering tumbuk dan jus limau kasturi. Perasakan dengan garam secukupnya. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang atas terung dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain... Selamat mencuba!!

Thursday, February 18, 2016

SOTO AYAM, MENU HARI INI

rsz_saj (1)
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni seawal pagi dengan gigihnya dah bangun rebus ketupat NONA (setakat ni che mat rasa ketupat nona ajer sedap dan muai). Perancangan nak bikin soto dah dua hari rasanya, cuma seru belum sampai, niat tu dah ada. Biasanya kalau kuah soto che mat suka guna kaki ayam, bahagian kepak dan leher, Guna serangka ayam pun boleh, kalau takde guna ayam seekor dikerat 4. Renehkan lama sikit dalam 1 jam 30 minit macam tu, baru rasa dia sedap. Rempah soto kali ni didatang khas dari kedai rempah terkenal di Batu Pahat, iaitu kedai Syarikat Ismail Yahya (SIY). Selain tu, anda boleh campurkan rempah sup dan rempah kurma (nisbah dia untuk seekor ayam 3 camca besar rempah sup dan 1 camca besar rempah kurma, sebarang jenama).

rsz_saj1 (1)
Seperti yang anda biasa lihat, resipi soto datang dengan bahan2 pelengkapnya. Di Johor, sambal kicap wajib ada, jangan tidak2, kalau takde bukan soto namanya. Selain itu, begedil, soo hoon goreng, kacang tanah goreng, taugeh, daun sup dan bawang goreng kena ada. Isi ayam pula disiat2 kecil untuk dimakan dengan soto. Kalau anda guna kaki ayam, jangan lupa masukkan 1 - 2 keping dada ayam, biarkan renih dalam kuah soto, kemudian keluarkan dan biar sejuk. Baru disiat2 kecil. Selain nasi impit atau ketupar, anda boleh juga hidangkan kuah soto dengan mi kuning dan mi hoon. Resipi dah kerap kali juga che mat kongsikan. Anda boleh pilih yang mana berkenan untuk dicuba, Tapi kalau malas nak cari, meh che mat tuliskan sekali lagi resipi soto..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg kaki ayam, cuci bersih dan toskan
2 keping dada ayam saiz besar, cuci dan toskan
4.5 liter air
3 batang serai, diketuk
1 inci lengkuas, diketuk
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 pokok daun sup, dikerat kasar
1 genggam bawang goreng
1 kiub pati ayam MAGGI (optional)
4 camca besar penuh rempah soto (atau 3 camca besar rempah sup + 1 camca besar rempah kurma)
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 inci halia
5 biji buah keras, hiris
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN REMPAH TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntuk bunga lawang
3 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Nasi impit atau ketupat secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang tanah goreng
Soo hoon goreng
Sambal kicap
Begedil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah soto, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk besar (anggaran 1/3 cawan), masukkan serai, lengkuas dan rempah tumis, kacau dan masak hingga wangi. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan kaki ayam, gaul hingga rata dan tuang air, kacau. Masukkan kiub pati ayam (jika guna), lada hitam tumbuk, daun sup yang dikerat kasar, segenggam bawang goreng dan 1 camca teh garam. Biarkan menggelegak, masukkan dada ayam, kemudian kecilkan api, dan biar merenih selama 1 jam 30 minit. 
  3. Keluarkan dada ayam dan sejukkan dan disiat2, ketepikan.  Sementara itu anda rasa kuah soto tadi dan masukkan garam secukup rasa. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api (jika anda suka kuah soto yang cair sedikit, boleh tambah sedikit air panas)
  4. UNTUK SOTO :- Potong nasi impit atau ketupat, kemudian masukkan secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah soto secukupnya, taruk taugeh, begedil, hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng, kacang tanah goreng, soo hoon goreng dan sudukan sambal kicap sebelum anda nikmati soto. Sedap dimakan panas2.

Monday, February 15, 2016

DENDENG KERING PARU ALA PADANG

rsz_dkpap
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak bertukar selera dengan masakan Padang. Padang tu daerah yang terletak di Sumatera Indonesia, bukan padang bola sepak yea. Tu hari che mat ada beli paru dalam 1 kg. Memang perancangan asal nak masak dendeng kering macam ni, cuma ketika tu dah masak macam2, jadi rasa tak kuasa nak bikin dendeng, nanti kang bertepek2 lauk, leceh kalau tak habis, nak kena simpan dalam peti sejuk bagai, che mat memang malas bab2 tu. Sebab itu lah suka masak dan makan habis, kalau ada berbaki pun tinggal untuk makan malam bagi sapa2 yang nak makan malam. Dendeng kering ini sedap dimakan bersama nasi, nasi lemak, ketupat atau pun lontong.

rsz_dkpap1
Untuk resipi ni che mat habiskan 1 kg paru, kalau rasa banyak sangat boleh buat 1/2 kg, bahan2 tu nanti pandai2lah yea anda bahagikan kepada dua. Buat lebih pun takpe, tak habis boleh simpan dalam peti sejuk dan panaskan bila teringin nak makan. Menu2 kering begini juga sesuai untuk bulan puasa nanti, terutama masa bersahur. Nampak lada tu macam tak hancur ajer? Memang dendeng kering paru style sambal dia, lada ditumbuk kasar2 tak sampai hancur lumat. Jika anda suka pedas, boleh masukkan 4-5 biji cili padi merah. Bila memili paru, pastikan ia bewarna merah dan berdarah, jangan beli yang dah lebam nanti dendeng anda kurang sedap. Pheww, penat dah bebel, kalau anda nak mencuba, meh che mat kongsikan resipinya.

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg paru lembu
8 biji bawang putih*
6 biji buah keras, hiris*
1 1/2 inci halia*
2 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh lada sulah*(*dikisar halus)
2 liter air (kurang lebih)
1 camca teh penuh garam

BAHAN - BAHAN SAMBAL :-)
12 biji cili merah
6 biji cili padi merah
12 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 camca besar penuh gula
1 biji limau nipis, perah jusnya
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Paru dihiris nipis, cuci, kemudian gaulkan dengan 1 genggam tepung gandum hingga rata. Perap 15 minit, kemudian cuci kembali hingga bersih. Toskan dan masukkan ke dalam periuk. Tambah bahan2 kisar halus, garam dan juga air. Kacau rata dan rebus hingga air rebusannya kering. Matikan api, dan sejukkan paru.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam, dan goreng paru tadi hingga kelihatan garing (kalau kuali anda kecil, buat 2 kali goreng). Berhati2 semasa menggoreng kerana paru akan meletop2. Angkat dan toskan. Sekarang kita bikin sambal dia pulak.
  3. Dalam lesung batu, tumbuk bawang putih hingga halus, kemudian masukkan bawang merah dan tumbuk sampai hancur, pastikan tidak lumat sangat. Cedok keluar dan alih dalam mangkuk. Tumbuk pulak cili padi, dan cili merah hingga hancur (che mat masukkan 1 biji cili merah, tumbuh hancur, dan masukkan 1 lagi sampai habis). Cedok dan masukkan ke dalam mangkuk berisi bawang tadi.
  4. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Tumis bahan2 tumbuk dan kacau hingga garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan gula, jus limau nipis dan garam secukup rasa (jangan banyak2 sangat sebab paru tu masa rebus dah ada garam). Kacau rata dan masukkan paru goreng. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, nasi lemak atau lontong.

Sunday, February 14, 2016

AYAM MASAK KARI KAPITAN

rsz_kari_kapitann
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat masak satu resipi orang peranakan Baba Nyonya. Seperti yang anda tau, kaum Baba Nyonya atau peranakan ini unik dan masakan mereka juga boleh dikatakan fusion, iaitu menggabungkan bahan2 tertentu dalam masakan. Kari kapitan terkenal di Penang dan ia salah satu masakan orang2 peranakan yang tersohor. Kali ni che mat guna ayam, tapi anda boleh juga guna udang kalau suka (guna udang galah sedap). Disebabkan dalam peti sejuk cuma ada 2 keping peha ayam bersaiz besar, jadi che mat gunakan yang tu saja, malas nak ambik yang baru. Kari kapitan kuahnya agak pekat sedikit dan rasanya tidak berapa pedas. Sesuai dimakan bersama nasi panas. Boleh juga dicicah dengan lempeng atau roti. Jika anda nak mencuba che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 keping peha ayam saiz besar (atau anda boleh guna 1/2 ekor ayam)
4 helai daun limau purut
1 cawan pati santan
1 biji limau nipis, perah jusnya
1/2 camca teh lada sulah
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Bawang goreng, untuk hiasan
Daun pudina, untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 biji buah keras, hiris
4 biji cili merah
8 tangkai cili kering, kerat pendek, buang biji dan rendam dalam air panas, toskan
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris halus
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong kecil atau ikut suka, cuci toskan, kemudian gaul dengan sedikit tepung gandum hingga rata. Perap 15 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Bila sudah naik minyak, masukkan ayam dan daun limau purut, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang sedikit air (anggaran 3 cawan), biarkan mendidih. Kemudian masukkan santan, kacau dan masak dengan api sederhana hingga mendidih.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga kuah pekat sedikit dan ayam masak. Masukkan jus limau nipis (yang ni anda agak2 lah yea, masukkan sikit dulu, kacau dan rasa kuahnya, kalau perlu baru tambah lagi). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur bawang goreng dan hias dengan daun pudina sebelum dihidangkan..

Saturday, February 13, 2016

LEBIH SIHAT DAN SELESA DENGAN JUS ANNONA

Dalam dunia serba modern ini, kita bekerja keras untuk menjalankan kehidupan seharian yang makin mencabar. Ada masa sampai terlupa perihal kesihatan diri sendiri. Bila bekerja dalam keadaan masa tak menentu, masalah pertama yang kita semua akan hadapi, berkaitan dengan emosi - stress, selalunya wanita yang mengalami stress terlampau, mudah mendapat penyakit-penyakit lain seperti kemurungan dan migrain, Ini juga boleh menyebabkan ketidak seimbangan hormon dalam badan.

Mengikut kajian, wanita seawal usia 20-an sudah mula mendapat gejala2 tersebut, apa tah lagi bagi wanita-wanita yang bekerja dalam masa sama menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah, berat ok kerja-kerja rumahtangga ni. Ini termasuk juga mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa, ada tu suami dah balik kerja mereka masih menguruskan hal-hal rumah termasuk menjaga anak-anak. Mereka sebenarnya perlukan tenaga yang lebih untuk kekal cergas dan bertenaga. Satu lagi yang menjadi igauan ngeri wanita bila usia bertambah ialah terjadinya simptom-simptom seperti berikut...
  • BADAN - sukar tidur malam, cepat letih dan tak larat, sakit-sakit badan dan sukar membuang air besar.
  • EMOSI - migrain dan stress
  • KESIHATAN RAHIM - senggugut, tidak subur, ketumbuhan dalam rahim (cyst & fibroid), period tidak teratur.
  • WAJAH - kulit nampak tua dari usia, jerawat, kulit kusam dan tidak berseri.
Simptom di atas berlaku bila sel-sel dalam badan diserang oleh molekul-molekul berbahaya yang terhasil dari proses pencernaan bahan makanan dan ubat-ubatan yang dipanggil radikal bebas. Dan dalam badan kita perlu cukup antioksiden untuk melawan radikel bebas ini agar tubuh sentiasa sihat dan segar. Bagaimana pula JUS ANNONA dapat membantu tubuh badan? Dalam JUS ANNONA terkandung antioksiden yang amat tinggi (disahkan oleh MARDI), dengan pengambilan JUS ANNONA, secara tak langsung badan kita menerima kebaikkan tersebut....psstt...selain bertenaga, anda akan kelihatan lebih muda dan bergetah...ehemm..

Dan secara langsung simptom seperti che mat kongsikan di atas tu anda akan dapat atasi, tapi kenalah rajin amalkannya, jangan hari ni ambik...minggu depan baru ambik lagi. Kalau macam tu susahlah nak nampak hasilnya. Bagi yang ada penyakit kencing manis, anda boleh amalkan JUS ANNONA dan dari sumber yang che mat perolehi, JUS ANNONA dapat menyembuhkan luka dan kudis akibat kencing manis. Senang cerita ia bertindak dwi fungsi untuk kesihatan dan kecantikkan. 

Banyak lagi khasiat yang terkandung dalam JUS ANNONA, apa-apa pun setiap orang punya ketahanan tubuh yang berbeza-beza, jadi kena sabar, jangan baru ambik 4 - 5 kali dan takde kesan, terus tak nak. Bak kata bidalan orang lama, penyakit ni datang macam ribut, tapi nak pergi macam semut. Yang penting ikhtiar dan doa kita, selebihnya urusan Allah swt. Sebarang maklumat seperti harga, promosi, testimoni, khasiat dan sebagainya anda boleh singgah...

LAMAN WEB RASMI ANNONA : JUS ANNONA

FACEBOOK : JUS ANNONA

FB PAGE : JUS ANNONA

ANNONA CARELINE...
  • 016 - 449 7181
  • 016 - 446 7181
  • 016 - 446 4181

Friday, February 12, 2016

PUCUK PAKU MASAK LEMAK SAMA KELEDEK

rsz_ppml
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Hari ni che mat kongsikan satu resipi masakan kampung. Jika dikampung2, pucuk paku merah yang macam che mat guna tu boleh dipetik ditepi2 jalan. Biasanya kawasan bertanah gambut, pucuk paku jenis macam ini tumbuh agak subur. Kalau tak kuasa nak petik boleh beli di pasar2 tani in sha Allah ada jual. Resipi pucuk paku masak lemak sama keledek ini atas permintaan bonda. Anda ada dua pilihan, samada nak guna pucuk paku hijau, atau yang macam che mat guna. Dari segi rasa ada perbezaan, yang merah ini rasa dia lebih lemak tapi dihujung2 rasa ada sedikit rasa kelat. Disebabkan ni petik sendiri, anggaran yang che mat guna dalam 3 cekak, tapi nampak saja banyak dah nama pun daun, bila masak dia kecut takde lah jadi banyak sangat. Kalau anda nak lebih sedap, che mat sarankan anda guna udang kering sebagai perencah. Che mat guna ikan bilis saja, sebab ada yang pantang tak boleh makan udang termasuk udang kering. Resipi memang senang, meh che mat kongsikan....

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 cekak pucuk paku merah, diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan
2 biji keledek saiz sederhana, kupas, potong berbaji dan rendam
2 batang serai, diketuk
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 cili merah, hiris
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan direndam
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, ikan bilis (toskan airnya) dan keledek ke dalam periuk. Tuan santan cair dan masak hingga mendidih, kecilkan api dan masak hingga keledek 1/2 empuk.
  2. Masukkan pucuk paku, gau rata dan masak sekejap. Tuang pati santan. Kacau dan biarkan mendidih dengan api sederhana. Kacau selalu dan masak hingga keledek empuk. 
  3. Akhir sekali masukkan cili merah hiris, garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan masin atau ikan goreng.

Thursday, February 11, 2016

THAI GREEN CHICKEN CURRY.

rsz_tgcc
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Ok seperti che mat janjikan semalam, hari ni kita masak thau green chicken curry, tadi mula2 nak taruk nama melayu, tapi macam pelik nau bunyinya - 'kari hijau ayan thai'?...kang tak pasal2 jadi 'mak kau hijau'..grrr. Jadi che mat ambik keputusan taruk nama dalam Inggeris. Minta maaflah kalau ada yang kata blog che mat cacar merba, tajuk omputih, cerita melayu, multi racial lah katakan. Ingat semalam che mat ada bikin pes kari hijau? Maka hari ni proses memasak kari hijau tak mengambil masa yang lama. Pes tu cukup untuk seekor ayam dalam berat 1.2 kg. Tapi che mat masak 1/2 ekor (600+ gram). Bahan2 tambahan diperlukan untuk menghasilkan kari hijau yang cantik dan sedap. Selain ayam, boleh juga ganti dengan daging, guna daging batang pinang. Resipi ini boleh dikatakan agak kaya kerana kandungan santan yang agak pekat. Ok. kalau dah bersedia jomm kita mula memasak....

BAHAN - BAHANNYA :-)
600+ gram ayam, potong ikut suka, cuci besih dan toskan
1/2 biji trafficlight capsicum (merah, hijau, kuning), potong berbaji
1 biji terung bulat  belah 4 kemudian kerat 2 setiap belahan ( jadi 8 kiub)
2 batang serai, diketuk
10 biji cili padi thai warna merah, diketuk
3 helai daun limau purut
1 genggam daun selasih
1 cawan rebung yang telah dihiris
5 camca besar pes kari hijau thai atau secukupnya, resipi di sini
3 camca besar jus limau nipis, atau secukup rasa
3 - 4 camca besar sos ikan
1 liter santan
1 camca teh gula melaka
Garam jika perlu
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan ayam ke dalam peiuk bersama pes kari hijau thai, rebung, serai yang diketuk dan sedikit air (anggaran 2 cawan). Kacau dan masak hingga ayam kecut. Masukkan terung pipit, dan masak sekejap.
  2. Tambah daun limau purut dan santan. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga mendidih dan terung pipit lembut. Masukkan terung bulat (toskan airnya) dan sos ikan. Kacau perlahan dan bila terung lembut, masukkan cili padi thai, trafficlight capsicum dan daun selasih.
  3. Masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali tambah jus limau nipis, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.

Wednesday, February 10, 2016

RESIPI PES KARI HIJAU THAI

rsz_tgcp
Assalammualaikum, salam Rabu. Selamat bersua kembali. Beberapa hari lepas che mat agak sibuk dan masa untuk berblog terpaksa dicutikan. Hari ini dengan izin Allah swt, che mat kembali semula menjengah ke blog tiffinbiru yang hampir 10 tahun usianya. Kalau usia budak dah nak masuk darjah 4. Perancangan asal hari ni che mat nak masak, Thai Green Curry, tapi dalam masa sama ada permintaan menu asam pedas ikan kerisi. Kalau che mat masak juga kari hijau Thai, dah bertambah lauk lagi, sejak2 usia 40 ni mood nak masak kadang swing juga, tak berapa nak ok. Maka ku ambik keputusan ni hari masak asam pedas dan in sha Allah esok baru masak kari hijau. Sebab bahan2 untuk pes kari hijau che mat dah sediakan, eloklah bikin awal2 pes nya, esok tinggal gaul dengan ayam, kecutkan dengan pes kari hijau dan tuang santan serta masukkan bahan2 lain, senang kerja. Hari ni che mat kongsikan resipi pes kari hijau Thai dulu yea. Resipi seperti berikut....

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 batang serai, hiris halus
5 biji cili hijau
15 biji cili padi Thai, warna hijau
4 biji bawang merah, hiris halus
5 biji bawang putih, cincang
1 inci lengkuas, hiris
1/2 cawan daun ketumbar, cuci bersih akarnya
1/2 cawan daun selasih atau sweet thai basil
1/2 camca teh jintan manis*
1/2 camca teh lada sulah*
1 camca teh ketumbar*(*dikisar halus)
3 camca besar sos ikan (nampla)
1 inci belacan, dibakar
2 camca besar jus limau nipis
1 camca teh gula melaka
1/4 cawan pati santan
Sedikit air (anggaran 1/2 cawan)
Minyak kelapa untuk menumis (atau boleh guna minyak masak biasa)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam mesin pengisar, masukkan semua bahan2 diatas kecuali, jus limau nipis, gula melaka, sos ikan, minyak kelapa dan air. Tuang sedikit air dan kisar, jika perlu baru tambah sedikit lagi air (jika alat kisar anda tidak bergerak) dan terus kisar hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak kelapa (@minyak masak), anggaran 1/2 cawan. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, kacau sentiasa dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil. Masukkan sos ikan dan gula melaka. Kacau rata. Akhir sekali tambah jus limau nipis dan kacau. Masak hingga garing dan naik minyak. Matikan api dan biar sejuk. Boleh simpan dalam botol untuk kegunaan bila perlu. Untuk tahan lebih lama boleh simpan dalam peti sejuk atau freezer. 

Saturday, February 6, 2016

SEL KANSER JADI LEMAH DENGAN JUS ANNONA?...

Bila sebut penyakit kanser, kita akan terbayang pesakit yang menderita, selain kena berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kos perubatan memang agak tinggi. Biasanya kanser yang kerap kita dengar lebih kepada golongan wanita, seperti kanser payudara, servik dan sebagainya. Kaum lelaki juga tidak terkecuali, dan paling kerap menghantui kaum lelaki ialah kanser prostat. Kerap yang kita dengar penyakit kanser akan berakhir dengan kematian, tapi itu semua takdir Allah swt, selagi kita hidup, kena terus berjuang dan jangan mengalah, walau apa pengakhirannya. Ayah sedara che mat yang bebangsa cina meninggal disebabkan kanser. Pesakit kanser pada umumnya bergantung pada ubat-ubatan modern. Walaupun ada sumber alternatif yang dapat membantu pesakit, tapi masih yang ada yang kurang tau mengenainya.

Pernah dengar cerita pasal durian belanda yang dapat membantutkan penularan sel kanser? Sebenarnya ia bukanlah cerita kosong, kajian yang begitu teliti telah dibuat dari pakar2 bertauliah, dan memakan masa agak lama, berbelas tahun. Bukan negara luar saja yang menjalankan kajian, negara kita turut menjalankan kajian dan ini telah terbukti, durian belanda memang berkesan melawan sel kanser. Tapi bukan senang nak dapat bekalan durian belanda setiap masa, betul tak...dan atas sebab itu, terhasilnya JUS ANNONA, jus durian belanda yang khasiatnya tak perlu dipertikaikan lagi. Ini berita baik untuk mereka yang mencari perubatan alternatif untuk kanser dari terus merebak.

(contoh pembiakkan sel kanser dalam badan)

Kanser jika tidak dikawal, ia mudah merebak tanpa kita sedar. Ok, bagaimana JUS ANNONA ini bertindak dalam tubuh badan pesakit kanser?. Dalam JUS ANNONA ini mengandungi 4 bahan utama iaitu.
  • ACETOGENIN - Kajian mendapati bahawa buah durian belanda mengandungi acetogenin yang tinggi. Acetogenin berfungsi sebagai agen yang melemahkan pertumbuhan sel kanser. Ia mampu membunuh sel kanser tanpa merosakkan sel - sel normal.
  • VITAMIN C - Durian belanda juga kaya dengan vitamin C. Vitamin C bertindak sebagai antioksiden untuk mengelakkan kerosakkan genetik.
  • MAGNESIUM & POTTASIUM - Magnesium dan pottasium bertindak sebagai agen anti-radang, yang membantu mengurangkan bengkak pada bahagian yang dihidapi kanser.
  • TRYPTOPHAN, METHIONINE & LYSINE - Ini adalah tiga high essential amino acid atau tiga asid amino yang sangat-sangat diperlukan oleh sel-sel dalam badan untuk melawan serangan sel kanser dari merebak
Sedap ke JUS ANNONA tu?...Kalau ambil takde kesan2 sampingan ke?...Ok, che mat sendiri dah mencuba. Sukatan untuk yang dalam botol tu kita ambil 1 - 2 sudu besar sebelum makan pagi dan malam. Rasa dia sedap, tak manis dan yang penting khasiatnya untuk kesihatan. Satu lagi yang che mat suka pasal JUS ANNONA ia juga didatangkan dalam bentuk sachet. Ini memudahkan anda bawa ke mana - mana. Cara pengambilannya mudah, yang sachet tu 1 sachet sehari sebelum sarapan atau makan malam Jika anda menggunakan JUS ANNONA yang dalam botol, bila dan buka, seelok-eloknya simpan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.

Satu lagi JUS ANNONA boleh diambil pada usia seawal 6 tahun ke atas, tapi dos yang disyorkan 1 sudu saja bergantung kepada masalah kesihatan. Untuk pesakit gaot juga sesuai (yang ni boleh kasi Bak che mat cuba, dia ada sakit gaot). Bagi pesakit kanser yang menjalankan kemoterapi, mereka boleh minum JUS ANNONA ini selepas 3 hari dari waktu kemoterapi, dengan syarat anda tidak makan sebarang ubat kemoterapi. Pada pendapat peribadi che mat lah, JUS ANNONA ini memang bagus untuk tubuh badan. Kadang- kadang kita sendiri tak boleh nak agak penyakit yang bakal datang, seelok-eloknya kita amalkan dulu JUS ANNONA semasa sihat. Yelah mencegah tu kan lebih baik dari mengubati, jangan tunggu dah sakit baru kita nak mencuba. Amalkan dari sekarang. 

Untuk lebih informasi mengenai JUS ANNONA, anda boleh ke

Laman web rasmi JUS ANNONA - ANNONAOFFICIAL

Facebook : JUS ANNONA

Atau hubungi...

Annona Careline - 016 449 7181
                               016 446 7181
                               016 446 4181

Friday, February 5, 2016

KUIH BELEBAT PISANG

rsz_lpb
Assalammualaikum, salam semua, Hari ni dah Jumaat, 5 hb February, 8hb nanti tahun baru cina, dan che pun nak pi beraya gak, kutip ang paw, maklumlah masih 'teruna'....haha, entah apa merepek si mat tu pun tatau lah, salah makan ubat agaknya. Pagi tadi bonda che mat bikin belebat pisang. Belebat tu sebenarnya lepat pisang, tapi orang Johor, memang panggil belebat. Ini antara kuih kegemaran che mat dan untuk resipi ini, kami guna pisang emas. Disebabkan pisang emas tu dah masak ranum, jadi tak perlu taruk gula, tapi kan kalau anda nak juga tambah gula, che mat syorkan anda guna gula melaka. Campur juga kelapa parut muda untuk mendapat rasa lemak. Rahsia untuk mendapat kuih belebat pisang yang lembut, selain sukatan tepung kena cukup, tambahkan sedikit baking powder dalam adunan belebat. Untuk resipi ini anda akan dapat 18 - 20 biji kuih, bergantung pada saiz kuih belebat yang anda bikin. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram pisang emas yang masak ranum (tanpa kulit)
50 gram gula melaka, hiris halus (che mat tak taruk, sebab pisang dah manis)
1 cawan kelapa parut putih
1 camca teh rata baking powder
1 cawan + 2 camca besar penuh tepung gandum
1/4 camca teh garam
Daun pisang secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daun pisang dicuci, lap kering dan layur atas api hingga lembut. Kemudian potong 4 segi memanjang kurang lebih berukuran 8 inci x 4 inci. Buat hingga siap dan ketepikan. Panaskan juga kukus.
  2. Pisang dilecek bersama gula melaka (kalau guna) hingga lumat. Masukkan tepung, baking powder, garam dan kelapa parut. Gaul hingga semua rata. Ambil sehelai daun pisang, sudukan 2 camca besar adunan, kemudian lipatkan daun pisang untuk menutup adunan. Hujung kiri dan kanan dikelepet ke bawah, kemaskan.
  3. Buat hingga siap dan susun dalam kukus. Kukus dengan api sederhana selama 20 minit. Biarkan kuih belebat sejuk sedikit dan boleh dihidangkan untuk sarapan pagi atau minum petang. Selamat mencuba!!.

Thursday, February 4, 2016

DAGING RUSA MASAK KICAP

rsz_drmk
Assalammualaikum, salam semua. Ada sedikit masa ni, che mat laju2 kemas kini blog. Pagi tadi dah masak labu masak lemak sama kacang buncis, tapi tak share kat sini sebab dah selalu sangat, che mat kongsikan. Resipinya ada di instagram @matgebu, kalau sapa2 nak tengok boleh pergi situ yea. Disebabkan bonda berpuasa, che mat masakkan daging rusa masak kicap. Guna dalam 400 gram daging rusa, baki yang che mat bikin rendang tu hari. Daging rusa ni jenis lembut, jadi tak perlu nak rebus, anda boleh terus masak. Walaupun ia masak kicap, tapi cara che mat masak ada sikit kelainan. Bahan2 pun tak susah nak dapat, semua yang ringkas2 saja. Kalau takde daging rusa, anda boleh guna daging lembu, beli yang jenis batang pinang kalau anda nak masak cepat. Jika guna daging biasa terpaksalah rebus dulu sampai empuk, kendian baru masak macam ni. Ok, che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram daging rusa
1 inci halia, tumbuk halus
3 ulas bawang putih, tumbuk halus
2 biji kentang, kupas dan potong berbaji
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
3 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris serong
1 biji cili hijau, hiris serong
3 camca besar kicap pekat JALEN
1 camca besar kicap masin JALEN (atau secukup rasa)
2 camca besar rata gula pasir
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 camca teh serbuk lada sulah
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging rusa dihiris nipis, kemudian gaul dengan sedikit tepung gandum, perap 10 minit. Cuci hingga bersih dan toskan. Kemudian gaul dengan bawang dan halia yang ditumbuk halus. Perap 30 minit. Kentang digoreng hingga kekuningan, angkat dan tos, ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, masukkan gula dan biar hingga gula cair dan bertukar menjadi karamel, pastikan api kecil. Masukkan kayu manis, bunga lawang dan bawang puith. Kacau rata. Tambah daging rusa, kacau dan masak hingga daging rusa berubah warna.
  3. Masukkan kicap pekat, kicap masin dan lada sulah. Kacau rata dan masak hingga pekat, gunakan api kecil. Masukkan bawang besar, hirisan cili merah/cili hijau dan kentang goreng, Gaul hingga rata dan masak hingga bawang lembut. Rasa dan jika kurang masin, tambah sedikit lagi kicap masin. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan...Selamat mencuba!!

RAHSIA JUS ANNONA KINI TERUNGKAI

Salam semua, apa khabar anda hari ni...ehh, ada yang sakit2 sendi juga yea. Bila usia bertambah 'matang', tubuh badan lebih mudah dijangkiti penyakit, dan biasanya penyakit2 orang 'matang' ni seperti lenguh2 sendi, sakit lutut. sakit pinggang dan bagi kaum wanita pula, masalah senggugut, migrain antara yang paling kerap dihadapi, yang ni masa usia muda pun mereka dah merasainya. Che mat sendiri ada masa mengalami sakit-sakit dibahagian sendi seperti siku dan pergelangan tangan, maklumlah memasak di dapur, kena sental periuk, kuali dan sebagainya.

Bila dah sakit, sapa boleh tahan, nak tak nak pergi jugalah mengadap doktor di klinik atau hospital. Seperti biasa, bila dah ke situ, mesti dapat pelbagai jenis ubat, bewarna-warni pulak tu, Antara yang wajib doktor beri ialah pil tahan sakit atau pain killer. Balik rumah kita pun makan, lepas beberapa waktu, terus rasa lega, esok - esok sakit, telan lagi pain killer. Tapikan masalah juga kalau asyik bergantung pada ubat tahan sakit. Jika diambil kerap ia akan mendatangkan kemudaratan pada kesihatan tubuh badan terutama buah pinggang...Dah sakit lain pulak yang datang..

Pernah dengar pasal khasiat buah durian belanda? Bagi yang tak berapa nak cam rupa durian belanda, boleh rujuk gambar di atas tu. Durian belanda nama saja durian, tapi durinya lembut. Dulu durian belanda bukan buah yang begitu diberi perhatin. Bersepah pokok durian belanda di kampung-kampung, buah dia pun dibiarkan macam tu saja, tak sapa kesah. Sebenarnya durian belanda punya khasiat yang amat berguna untuk kesihatan manusia. Selalu yang diwar-warkan, durian belanda dapat merawat kanser. Yang sebetulnya bukan itu saja...ada lagi...

Tahukah anda selain merawat kanser, durian belanda juga punya keunikan yang tersendiri. Dari hasil penyelidikan Dr Roslida Abdul Hamid seorang pensyarah di UPM. Beliau mendapati, durian belanda boleh bertindak sebagai ubat penahan sakit semulajadi atau natural pain-killer. Dan ini satu berita gembira untuk mereka yang ada penyakit2 lazim seperti sakit sendi, sakit pinggang, senggugut dan migrain yang kerap mengambil pil tahan sakit. Maksudnya kalau dah natural pain-killer tu, in sha Allah, ambil kerap pun tak mendatangkan masalah kesihatan, tak ada kesan-kesan sampingan yang merbahaya seperti merosakkan buah pinggang dan sebagainya.

Mesti lepas anda baca ni, ada yang terus nak beli durian belanda, yea dak? Tapi bila masa kita mencari nak beli, tu jam lah durian belanda takde, habis stok dan sebagainya. Bagi mereka yang bekerja lagilah, memang tak sempat nak mencari. Tapi kini ada cara mudah yang lebih menjimatkan masa. Yang penting anda boleh dapatkan segala khasiat durian belanda dalam minuman kesihatan JUS ANNONA. Selain lebih praktikal, rasa dia sedap (che mat dah rasa, memng sedap!) dan boleh dibawa ke mana-mana.

Didatangkan dalam 2 jenis, satu dalam bentuk sachet sedia minum dan satu lagi dalam botol cantik, macam dalam gambar atas tu. Pengambilannya mudah, untuk sachet - sehari 1 sachet sebelum makan pagi atau malam. Untuk botol  pula, 1 - 2 sudu besar, 2 kali sehari sebelum makan pagi dan malam. Sebagai pengguna muslim anda tak perlu risau, ianya ada sijil Halal dari JAKIM, diluluskan oleh KKM ( Kementerian Kesihatan Malaysia) dan dikilangkan di kilang berstatus GMP ( Good Manufacturing Practices ). Walau bagaimana pun, cepat atau lambat keberkesananya bergantung pada individu dan daya ketahanan tubuh masing2...Doa jangan lupa yea masa makan tu, dengan izin Allah, tiada yang mustahil.

Nak tau lebih lanjut pasal JUS ANNONA? Anda boleh ke laman web JUS ANNONA di sini dan di sini. Atau ANNONA CARELINE - 016 4497 181. Memetik kata2 orang bijak pandai, kesihatan adalah harta paling berharga dalam hidup kita... Yang baik semuanya dari Allah swt dan yang buruk datangnya dari kita sendiri....Moga ia bermanfaat untuk kita semua...

Wednesday, February 3, 2016

IKAN TONGKOL REBUS MASAK KICAP BEREMPAH

rsz_trmk
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat kongsikan satu menu yang begitu sedap di tekak che mat...errr, tapi tak pastilah dengan anda. Apa yang boleh che mat kasi tau, menu ini antara resipi tersenang dan sesuai dimakan oleh anak2 dan orang dewasa. Cuma kalau untuk anak2, itu cilipadi tak perlu letak lah yea. Che mat guna ikan tongkol yang telah direbus dalam periuk tekanan selama 1 jam untuk mendapat teksture isi ikan seperti ikan sardine dalam tin. Untuk resipi ini che mat guna seekor ikan tongkol putih yang beratnya kurang lebih 400 gram. Ini terpulang, nak guna ikan tongkol biasa pun boleh. Rempah tu senang, cuma tambah 1/2 camca besar rempah kari ikan Baba's, atau apa2 rempah kari ikan yang anda suka. Sesuai dimakan bersama nasi putih atau pun bubur nasi dan dengan isi ikan yang lembut dan tulangnya juga lembut, anda tak perlu risau anak2 akan tercekik bila makan nanti. Nak resipi?..meh che mat kongsikan..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol putih (berat kurang lebih 400 gram)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris halus*
1 keping asam gelugor*
1 biji tomato, potong 8
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
4 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, diketuk
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/2 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
4 biji cili padi merah, diketuk
4 biji cili padi hijau, diketuk
1 camca besar cili kisar
1 camca teh cuka makan JALEN
1/3 cawan kicap lemak manis JALEN
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol dikerat 4 - 5 bahagian ikut besar mana ikan yang anda guna. Cuci bersih dan toskan. Masukkan ikan dalam periuk tekanan, tuang air secukupnya (hingga ikan tenggelam) dan masukkan bahan2 yang bertanda (*). Masak 1 jam (sila ikut panduan periuk tekanan anda untuk mengelakkan sebarang masalah), asingkan ikan dan biar sejuk. Kemudian goreng sekejap ikan tadi, jangan sampai garing, goreng hingga ikan kekuningan sahaja. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis halia, bawang putih, kayu manis dan bunga lawang hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah rempah kari ikan dan cuka makan. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Masukkan kicap, tuang air dan biarkan mendidih. Masukkan cili padi (merah/hijau), bawang besar dan ikan. Balik2kan ikan agar rata dengan kuah kicap. Akhir sekali masukkan tomato dan masak sekejap. Rasa dan jika kurang masin, anda boleh tambah kicap masin atau sedikit garam. Matikan api dan taburkan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas atau bubur nasi.....Mudah dan sedap...selamat mencuba!.

Tuesday, February 2, 2016

TERUNG PIPIT MASAK LEMAK SAMA IKAN BILIS TAMBAN

rsz_tpml
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masak satu menu tradisi yang semakin dilupakan. Anda makan terung pipit?..Terung pipt meluas digunakan di Nusantara. Di Thailand, mereka juga mencampurkan terung pipit dalam masakan kari hijau mereka. Pokoknya tumbuh meliar dikawasan2 semak dan belukar. Yang ni che mat petik belakang rumah, agak payah sebab dahan2 pokok terung pipit berduri. Buahnya kecil seakan2 kacang  pis. Rasanya lemak2 pahit dan boleh juga dijadikan ulam. Selain dimasak lemak macam che mat masak, terung pipit boleh juga dimasukkan ke dalam
sambal tumis atau ditumis dengan cili hijau. Resipi yang akan che mat kongsikan ini agak mudah dan sedap dimakan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 cawan terung pipit yang telah dibuang tangkainya, cuci dan toskan
1 genggam ikan bilis tamban, direndam
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
10 biji cili padi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung pipit dipecah2kan (masukkan dalam lesung batu dan titik sedikit agar terung pecah, jangan tumbuk sampai hancur yea). Kemudian masukkan ke dalam periuk, tuang air dan rebus untuk 15 minit, toskan. Ikan bilis tambah dibersihkan sisiknya, belah 2 dan buang tulang tengahnya. Ketepikan.
  2. Masukkan terung pipit ke dalam periuk bersama2 serai titik, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah ikan bilis tamban dan masak hingga terung lembut.
  3. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan biar mendidih dengan api kecil sambil dikacau selalu untuk 1 - 2 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Monday, February 1, 2016

ASAM PEDAS TELUR IKAN

rsz_apti
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni dah masuk bulan Februari 2016, rasa macam baru 2-3 hari lepas kita sambut tahun baru. Dan tak lama lagi Tahun Baru Cina pulak, masa makin menghambat kita, walhal Allah swt telah tetapkan masa itu cukup 24 jam sehari, moga kita sentiasa di dalam redha Allah. Hari ni bonda berpuasa sunat dan che mat memang masak awal. Sebabnya masakan macam ni bila dah dibiarkan beberapa jam baru ampuh rasanya, lebih sedap dan mesra dengan rencah2nya. Asam pedas telur ikan tenggiri yang che mat beli tu hari di MyDin Kulai, kadang2 saja jumpa telur ikan tenggiri, yang biasa ada telur ikan tongkol, sedap juga tapi ia agak keras sedikit, che mat kurang suka. Resipi asam pedas seperti yang biasa che mat kongsikan dalam blog, cuma yang ni takde belacan, sebab Bak kan pantang tak boleh makan belacan sebab gout. Bagi anda yang rasa nak masak asam pedas telur ikan hari ni atau esok, jomm kita lihat resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram telur ikan tenggiri (atau sebarang telur ikan pilihan anda)
1 biji terung ungu bulat
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan
1/2 cawan jus asam jawa
1/2 cawan cili kisar
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur ikan dicuci, kemudian rendam dalam sedikit air yang diperah dengan jus limau kasturi, biarkan 10 minit, cuci kembali dan toskan. Teurng bulat dibuang sedikit kulitnya, belah 6 dan rendam. Bunga kantan dibelah dua setiap satu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air (anggaran 3 1/2 cawan), kacau dan biarkan mendidih. Masukkan jus asam jawa, terung (toskan dahulu), telur ikan, bunga kantan dan daun kesom, kacau perlahan dan biarkan mendidih.
  4. Tambah lada hitam tumbuk, garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak dengan api sederhana hingga terung lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan ulam-ulaman.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk jus asam jawa tu che mat guna asam jawa sebesar duit 20 sen baru, kemudian larutkan dalam 1/2 cawan air suam (bergantung pada jenis asam jawa yang anda guna, che mat guna asam jawa dari Siam). Jika anda guna pes asam jawa yang dalam bekas plastik tu, boleh guna dalam 1 camca teh penuh atau secukup rasa....Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.