BEN ASHAARI

Saturday, January 30, 2016

LOKIO TUMIS CENCALOK SAMA UDANG

rsz_luc
Assalammualaikum, salam Sabtu. Lokio tumis cencalok sama udang antara menu ringkas yang paling che mat suka. Dimakan bersama nasi panas, ada ikan kembong goreng dan sambal belacan, dah cukup. Nasi pulak kasi masak lembut sikit dan ikan goreng tu jangan goreng sampai garing, kasi goreng lembap2 tapi jangan tak masak pulak. Nak lagi lagend, renjis2kan kicap lemak manis JALEN, hmmm, nak cerita pun malas. Lokio ialah sejenis sayuran bebawang yang digemari oleh masyarakat cina dan kini semua bangsa mula pandai menikmati sayur lokio yang dimasak mengikut citarasa masing2. Lokio seakan2 kucai, tapi berbeza. Kucai daunnya leper tapi lokio daunnya bulat, Apa yang che mat tau kalau di belah2 utara dipanggil 'jambak'. Selain dimasak begitu saja, che mat suka juga masukkan sayur lokio dalam mi hoon goreng. Untuk resipi ni che mat guna kurang lebih 400 gram...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram sayur lokio @ jambak
1 genggam isi udang kecil yang telah dibersihkan
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram
1/4 cawan cincalok
Garam jika perlu
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lokio dibersihkan, buang daun2 yang layu. Kemudian cuci dan tos hingga kering. Potong bahagian bebawangnya dan asingkan. Kerat pula bahagian daunnya, kerat dalam anggaran 1 inci. Cencalok taruk dalam tapis kecil, kemudian perah sedikit jusnya. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis hirisan bawang besar, bawang putih, cili hijau dan cili merah hingga layu. Masukkan cencalok dan udang, kacau rata dan masak hingga udang berubah warna.
  3. Masukkan sos tiram, kacau rata dan masukkan bebawang lokion, gaul rata dan tuang sedikit air (anggaran 1/4 cawan). Masak hingga bawang lokio lembut sedikit. Tambah daunnya, kacau rata dan rasa. Jika perlu baru masukkan sedikit garam atau secukup rasa. Masak sekejap dan matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan..

Thursday, January 28, 2016

EGG BENJO, DI REMANG SENJA

rsz_eb
Assalammualaikum, salam Khamis. Alhamdulillah semua kerja2 yang che mat kena buat telah selesai. Masak pun biasa2 saja. Macam hari ni Bonda berpuasa dan che mat masakkan asam pedas ikan kerisi, lepas tu ada  telur dadar dan ulam2man tak lupa sambal belacan. Kata bonda itu sudah memadai, tak nak macam2. Dan che mat entah kenapa hari ni, cuma nak makan egg benjo sahaja. Tengok asam pedas tu sedap sangat, tapi selera pada terung yang che mat masukkan dalam asam pedas, ikan dia tak berapa. Egg benjo satu buger klasik yang begitu sempoi sangat. Bak kata orang Johor, senang gileerr nak bikin. Tapi che mat kurang puas hati sikit dengan roti burger tu, dah leer kurang tinggi, bijan pun takde, huhu. Nak bikin sendiri, tak rajin pulak. Tapi boleh lah, dari takde. Untuk telur che mat gorng guna acuan khas untuk egg benjo, boleh beli dikedai2 keperluan rumah tangga atau di kedai RM 2 pun ada.... Ok, walaupun egg benjo ni resipi campak2...che mat kongsikan juga....Resipi untuk 2 Egg Benjo...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 biji roti burger
Sedikit marjerin
2 biji telur saiz besar
2 keping keju cheddar
Hirisan timun secukupnya (che mat guna 8 keping)
Hirisan tomato secukupnya (che mat guna 6 keping)
Hirisan bawang besar secukupnya (che mat guna 2 keping dan leraikan)
2 biji jeruk gherkin, hiris nipis memanjang
Daun salad secukupnya (che mat guna butterhead salad)
Mayonaise secukupnya
Sos cili atau sos tomato secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan non-stick pan, tuang sedikit minyak dan ratakan. Sapu juga minyak pada bahagian dalam acuan egg benjo. Tarukkan ke dalam pan tadi. Pecahkan telur dalam mangkuk kecik. Tuang sedikit dulu dalam acuan egg benjo, dan biar keras sedikit, kemudian tuang habis telur tadi. Masak dengan api kecil hingga permukaan telur dan kuning telur kental (tidak cair). Perlahan2 sisipkan dengan hujung pisau kecil di sekeliling acuan tadi. Tanggal dan alihkan acuan. Masak sekejap lagi dan angkat telur. Buat kaedah sama untuk baki telur. Ketepikan.
  2. Roti burger dibelah 2 setiap satu. Sapu sedikit majerin kemudian panggang dalam pan sehingga kekuningan, angkat dan ketepikan. Buat hingga siap.
  3. Ambil 1 bahagian roti (bahagian bawah). Ambil 1 - 2 helai salad dan susun, kemudian susun 4 keping timun, bawang besar, tomato dan jeruk gherkin. Paipkan mayonaise dan sos cili atau tomato. Lapiskan dengan sekeping keju dan akhir sekali dengan telur. Tutup dengan bahagian atas roti burger dan boleh hidangkan segera. Buat kaedah sama untuk baki bahan2.....Selamat mencuba!!

Tuesday, January 26, 2016

SET CORELLE...TAK BELI...PASTI MENYESAL!!..

Assalammualaikum semua, entri kali ni che mat kurang bebel, tapi nak anda semua layankan gambar set2 corelle dari Kak Ton Corelle, yang semakin ganas dengan koleksi2 mantap yang pasti anda mampu miliki. Harga dalam kategori mampu milik. Yelah dah nama pun set corelle, alah membeli menang memakai. Satu lagi, set2 corelle ni tahan lasak, bila anda guna untuk hidangkan makanan, semua masakan bertambah sedap....nak2 makan masa lapar..ehemm...
Memang mengancam.....harga seperti tertera pada setiap gambar tu yea....pilih jangan tak pilih...

 Yang ni pun...lawa2...cantik2...seksi2 semuanya...meleleh air liur nengok nya...boleh termimpi2 nak, pakcik kau!...

Ada lagi...bukan tu saja, cuba tengok yang ni pulak...nak style hidangan gaya modern boleh, klasik boleh, pendek kata semua gaya hidangan ngam dengan set2 corelle ni...ishh...gerammm!!

Set2 pada gambar di atas ni semua untuk hidangan 4 orang, 16 keping.....


Yang ni pula (gambar atas ni), set hidangan untuk 6 orang, 18 keping (mug takde). Kalau hidangkan kat meja makan, anda boleh gandingkan dengan gelas gaya modern, mix n match pun lawa juga set macam ni...

Bagi yang nak set lengkap makan untuk 6 orang, yang atas ni pilihan tepat. Datang dengan set lengkap 30 keping. Harga tertera pada gambar.... 

Dan bagi yang nak topup pinggan hidang lauk (yang bujur) dan mangkuk lauk tambah (yang bulat), anda boleh beli berasingan seperti dalam gambar. Pinggan hidang lauk tu berharga RM 95.00 dan mangkuk lauk pula berharga RM 65.00, Stok adalah terhad, kalau habis tu...habis lah yea, maka kalau ada niat nak beli elok lah beli terus dengan Kak Ton Corelle. Ingat tagline Kak Ton Corelle - Bayo ari ni esok ngantor...dan semestinya pos percuma di Semenanjung Malaysia. Kalau berkenan apa lagi , rembat leer, bior nyesal beli dari menyesal tak beli!....

Sebarang pertanyaan dan untuk perkembangan terbaru, anda boleh....

WASSAP : 012 2727 504 ( KAK TON CORELLE )






Monday, January 25, 2016

RENDANG DAGING RUSA

rsz_r_n_r
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Semalam kan che mat bikin pulut kuning dan digandingkan sama rendang daging rusa. Jadi hari ini che mat kongsikan resipi rendang daging rusa yang mudah dibuat. Kalau takde daging rusa anda boleh guna ayam atau daging lembu. Nak cuba daging kambing pun boleh juga. Che mat guna kurang lebih 1 kg daging rusa. Pada mulanya che mat tak pasti daging ni lembut atas keras, sebab rusa ni jenis rusa liar, bukan dipelihara. Lepas separuh jalan masa nak memekatkan rendang, bonda rasa dan dia  komen, daging dah empuk. Ok, cepat2 che mat cedok keluar kesemua daging tadi dan sambung memasak kuah rendang hingga pekat dan terbit minyak. Kemudian masukkan daging tadi dan terus masak hingga hampir kering sedikit. Che mat guna rempah rendang dari Batu Pahat, yang che mat beli di kedai Syarikat Ismail Yahya (SIY), dan alhamdulillah ia memang menepati citarasa che mat. Anda boleh saja ganti dengan sebuk rendang Baba's jika sukar nak dapatkan rempah rendang SIY....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg daging rusa, hiris nipis, cuci dan toskan
1 inci halia*
4 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*(*tumbuk dan gaulkan dengan daging rusa, perap 30 minit)
2 camca besar penuh rempah rendang
1/2 cawan cili kisar
1 keping asam gelugor
1 camca besar penuh gula melaka
1200 ml santan (dari 2 biji kelapa)
3 camca besar kerisik
4 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, dimayang halus
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah
5 biji bawang putih
2 inci halia
1/2 inci lengkuas
4 biji buah keras, hiris
15 biji cili padi merah thai
1 inci kunyit hidup
7 batang serai, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3/4 cawan). Bancuh bahan2 kisar dan rempah rendang, kacau hingga menjadi pes. Masukkan kayu manis, bunga lawang dan cili kisar ke dalam kuali. Kacau dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah kacau dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan daging rusa, kacau dan masak hingga daging rusa berubah warna. Tuang santan, kacau dan masak hingga mendidih. Bila pekat sedikit, masukkan kerisik, asam gelugor, gula melaka dan garam secukup rasa. 
  3. Kacau sekali sekala dan terus memasak dengan api sederhana hingga daging emuk. Masukkan daun limau purut, kacau dan masak hingga rendang pekat. Akhir sekali masukkan daun kunyit, gaul rata dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama pulut kuning, ketupat dan sebagainya...Selamat mencuba!!

Sunday, January 24, 2016

RESIPI PULUT KUNING VERSI MUDAH...

rsz_pkb
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Kejap2, kasi che mat tarik nafas dulu..........haaaa..lega. Baru ni dapat nak berehat sambil kemas kini blog. Masih ada kerja yang perlu che mat selesaikan, tapi buat sementara waktu ni curi2 masa untuk kemas kini blog. Yelah blog ni kan sebahagian dari che mat. Hari ni 24hb Januari, ialah hari ulangtahun kelahiran bonda che mat Puan Jamaliah Bt Hassan yang ke 74 tahun. Dan sejak tu hari lagi che mat memang berniat nak bikin pulut kuning sama rendang rusa. Ada yang tanya che mat mana dapat daging rusa tu, beli kat mana?...Sebenarnya abang che mat yang dok diam di Kemaman yang bawak balik. Katanya hasil buruan oleh menantu beliau. Kira ni rusa liar bukan jenis yang dipelihara...Tapi entri yang ni che mat kongsikan cara bikin pulut kuning versi mudah, rendang esok yea..bawak2 bersabar ok...

rsz_pkb1
Kenapa pulut kuning ni che mat kata versi mudah? Sebabnya cara membuat tak sama macam yang macam orang dulu2 bikin. Che mat suka cara2 tradisi, tapi jika ada yang mudah dibuat dan rasanya masih sedap, apa salahnya kita cuba, yea dak. Pulut yang che mat guna jenis pulut susu, jadi tak perlu rendam semalaman, cuma rendam 4 - 5 jam sudah memadai. Dan cara mengukusnya pulak mudah, tak perlu anda keluar masukkan pulut dari kukus, gaul dengan santan bagai. Macam mana caranya?...Yang tu nanti kita cerita yea. Selain digandingkan dengan rendang daging rusa, che mat bikin juga sambal tumis sotong kembang dan telur rebus. Kalau ada serunding daging boleh juga anda hidangkan bersama pulut kuning...Pada bonda, insan keramat dalam hidup che mat, selamat hari lahir yang ke 74, moga Allah swt panjangkan usia bonda, diberi kesihatan dan kesejahteraan hihup dunia dan akhirat...aminn....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg pulut (che mat guna pulut susu)
1 1/4 camca teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
900 - 1000 ml santan kelapa (dari sebiji kelapa)
1 camca teh penuh garam
1 camca teh minyak masak (che mat guna minyak kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul
page

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci pulut, kemudian masukkan dalam bekas besar. Tuang air hingg pulut terendam. Tambah serbuk kunyit dan kacau hingga rata. Masukkan asam gelugor dan rendam pulut selama 4 - 5 jam, sekali2 anda gaulkan pulut yang berendam tadi, agar warna kuningnya sekata (che mat rendam kurang lebih 4 jam).
  2. Panaskan kukus, sediakan loyang sesuai (che mat guna loyang bulat berukuran 11 inci x  2 inci). Toskan pulut. kemudian masukkan ke dalam loyang. Letakkan daun pandan dan tekan sedikit biar daun pandan tenggelam.
  3. Sementara itu, masukkan garam dan minyak ke dalam santan dan kacau rata. Tuang dalam loyang berisi pulut tadi sehingga santan menutupi permukaan pulut (kurang lebih 800 ml). Kukus pulut selama 25 minit dengan api besar.
  4. Buka tudung kukus, dengan menggunakan chop stick, balik2kan pulut tadi agar masak sekata. Baki santan tadi, anda sudukan atas pulut (che mat guna kurang lebih 100 ml). Gaul hingga rata.
  5. Sambung mengukus untuk 10 - 12 minit lagi atau hingga pulut kuning masak elok, dan tak keras. Rasa dan jika ok anda boleh matikan api. Angat dari kukus dan boleh hidangkan bersama rendang, sambal tumis atau serunding....Selamat mencuba!!..

Friday, January 22, 2016

GULAI NANGKA MUDA BERKERISIK..

rsz_gnak
Assalammualaikum, salam Jumaat. Bertemu kembali setelah beberapa hari che mat tak kemas kini blog. Sebenarnya ada urusan lain yang perlu didahulukan. Yelah, walaupun blog sebahagian dari hidup che mat. tapi kita perlu dahulukan apa yang penting. Hari ni che mat masak menu klasik orang2 melayu kita. Menu tradisi ini boleh dikatakan berprofile tinggi jugalah sebab penggunaan santan dan kerisik. Nangkan muda antara bahan mudah didapat dan sering menjadi hidangan orang Melayu dan tak lupa orang peranakan Nyonya. Boleh dipelbagaikan, dan paling ringkas, nangka muda direbus kemudian makan bersama sambal belacan sebagai ulam. Ada juga mereka2 yang 'kalah' dengan nangka muda dan jika dimakan, perut jadi sebu, kata orang nangka ni angin, jadi yang kalah tidak digalakkan makan takut memudaratkan diri pulak nanti...

rsz_gnk1
Gulai nangka muda kerisik che mat gunakan ayam kampung sebagai rencah utamanya. Anda boleh ganti dengan daging kalau suka, sebab rumah che mat ada yang berpantang dari makan daging lembut, maka kita guna ayam kampung. Che mat suka gandingkan menu macam ni dengan sambal belacan dan telur masin. Sayur tak perlu sebab dah ada nangka muda dalam gulai. Satu petua orang dulu2 bila anda masak gulai2 macam ni, biarkan beberapa jam untuk mendapat rasa yang lebih enak. Maksudnya anda boleh masak pagi jika untuk makan pada waktu tengah hari. Kalau tak habis, panaskan dan boleh makan keesokkan hari, lagi sedappp...Tapi satu nak pesan, jangan tutup tudung periuk rapat2 masa lauk tengah panas, nanti air wap yang terkumpul akan jatuh balik dalam gulai dan ini boleh menyebabkan gulai kita cepat basi, seelok2nya renggangkan sedikit tudung periuk ketika gulai panas. Che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg nangka muda
1 ekor ayam kampung (atau ayam daging dalam 800 gram)
5 batang serai, diketuk
3 tangkai daun kari, dilurut
1 keping asam gelugor
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
1.5 liter santan cair
600 ml pati santan
4 camca besar kerisik
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras, hiris
2 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
10 biji cili padi

BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan putih (jintan halus)
1 camca teh jintan manis (jintan kasar)
1/4 camca teh halba
1 camca teh lada hitam
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan (anda boleh juga rebus dulu ayam tadi hingga empuk sebelum dimasak bersama nangka). Nangka dipotong kiub, kemudian rebus hingga 1/2 empuk dan toskan. Bahan2 rempah digoreng tanpa minyak hingga wangi (disangrai), kemudian kisar halus (guna pengisar kering). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan). Tumis serai dan daun kari hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata. Tambah rempah yang telah dikisar halus tadi. Gaul rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan ayam yang telah direbus, gaul dan masak sekejap. Masukkan nangka, gaul rata dan tuang air rebusan ayam dan santan cair. Kacau dan biar mendidih.
  4. Masukkan kerisik, asam gelugor dan pati santan (dan sedikit air jika perlu). Tambah gula melaka, kiub pati ayam (jika guna) dan garam secukup rasa. Kacau sentiasa dan masak hingga nangka empuk dan kuah pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan telur masin rebus....Selamat mencuba!

Sunday, January 17, 2016

TOMYAM UBAT SAKIT TEKAK?...

rsz_typekat
Assalammualaikum, salam Ahad. Pagi tadi bangun2 che mat nya tekak perit, rasa macam tak berapa nak bess, tak boleh nak bebel sangat, ok, faham mungkin itu tanda amaran untuk muhasabah diri...tapi kalau tak bebel mana boleh, yea dak. Maka untuk merangsangkan peti suara, maka che mat masak tomyam ayam. Dia punya nikmat bila sampai ke tekak, Allah saja yang tau. Dengan rasa masam2 jus limau nipis, aroma daun limau purut dan serai amat2 melegakan. Lama juga che mat tak bikin tomyam, yelah tekak kita ni kadang2 ikut mood juga, ada masa kau masak lain, masa nak makan ikan bilis goreng patah2 cili padi, tambah bawang dan curah kicap jugak yang paling sedap. Nak kata apa kan, tekak berubah2 selera. Ok, lah jomm che mat kongsikan resipinya....

BAHAN - BAHANNYA :-)
Ayam secukupnya (che mat guna 1 bahagian peha dan 1 bahagian kepak, kemudian kerat kecil, cuci dan toskan)
1 biji tomato belah 8
1/2 batang lobak merah, hiris sederhana tebal
Bunga kobis sebesar penumbuk, dipotong sekuntum2
10 kuntum cendawan butang dalam tin, toskan, cuci dan belah 2 setiap 1
2 batang serai, diketuk
3 helai daun limau purut
1 inci lengkuas, hiris
10 - 12 biji cili padi, diketuk
1 biji limau nipis, perah jusnya
1 camca teh garam
2 kiub tomyam Maggi
Sos ikan secukup rasa
Secubit gula
Daun ketumbar secukupnya
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji tomato merah
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 camca besar cili kisar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak masak, tumis bahan2 kisar halus hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang air secukupnya (kurang lebih 1,5 liter), kacau rata dan masukkan serai, lengkuas, daun limau purut, 1 pokok daun ketumbar yang dikerat kasar dan juga kiub tomyam. Biarkan mendidih.
  2. Masukkan ayam dan lobak merah, kacau rata. Masak hingga ayam empuk. Tambah bunga kobis, cendawan butang dan cili padi. Biarkan mendidih dengan api sederhana. Masukkan garam, dan tambah sedikit sos ikan, gula dan juga jus limau nipis, Kacau rata.
  3. Akhir sekali masukkan tomato, masak sekejap dan rasa, jika semua ok anda boleh matikan api. Taburkan daun ketumbar sebelum di hidangkan bersama nasi atau boleh dimakan macam tu sahaja....Selamat mencuba!!

Friday, January 15, 2016

SOTONG TUMIS SOS TIRAM

rsz_sst
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Hari ni che mat kongsikan resipi paling senang dan sedap bila anda makan sama nasi panas. Asalnya che mat nak masak sotong hitam, tapi masa bersihkan sotong, kantung dakwat sotong tu kecik sangat, jadi kensel lah, kita masak yang lain saja. Resipi macam ni walaupun bahan2 amat simple, tapi rasa dia...kalah lauk yang banyak bahan2. Nak2 kalau anda wanita bekerja dan nak masak yang semua boleh makan, tak kira anak2 ke, atau orang berusia (tapi mana yang berpantang atau alergik tu minta maaf yea). Che mat guna 5 ekor sotong yang panjang setiap satu kurang lebih 1 jengkal orang dewasa. Kalau masak untuk anak2, cili padi yang bergelimpangan tu tak payah lah letak, boleh ganti dengan cili merah atau cili hijau saja. Ok, jomm kita masak sotong...gatal kendian kira ok...

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 - 6 ekor sotong bersaiz sederhana
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, dihiris
5 biji cili padi merah, diketuk
5 biji cili padi hijau, diketuk
1 camca besar sos tiram
1 camca teh tepung jagung
1/2 camca teh serbuk kunyit
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Sotong diasingkan kepalanya, bersihkan dan hiris bulat badan sotong dan kepalanya dibuang segala kekotoran, cuci dan toskan. Gaul dengan serbuk kunyit dan tepung jagung hingga rata. Ketepikan sebentar.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), tumis bawang putih hingga harum, masukkan sos tiram dan kacau rata. Masukkan sotong, gaul dan masak hingga sotong berubah warna.
  3. Tambah bawang besar, cili padi merah, cili padi hijau dan kacau hingga rata. Masukkan sos ikan secukup rasa, kurang lebih 1 camca besar. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan panas bersama nasi putih.

Thursday, January 14, 2016

RENDANG PEDAS PERAK IKAN TONGKOL

rsz_rppik
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat masak rendang pedas Perak ikan tongkol. Che mat guna seekor ikan tongkol putih (ada yang kata ni tongkol hitam, tatau lah nak kata, che mat pun orang yang jual ikan tu yang kasi tau ini tongkol putih). Resipi asal dari seorang kenalan FB che mat iaitu Datin Asima Abdul Latiff atau lebih mesra dipanggil 'mama'. Che mat tertarik dengan resipi ni sebab dari senarai bahan2 yang digunakan, kita dah dapat bayangan rasanya, pedas, beraroma dan pastinya sedap. Seperti anda nampak dalam gambar, rendang che mat agak kurang berminyak mungkin santan yang che mat guna kurang pekat. Mengikut resipi, rendang ini tidak ditumis dan disebabkan guna ikan, anda perlu lebih berhati2 ketika mengacaunya, tak boleh ganas2, nanti ikan hancur. Apa2 pun terima kasih che mat pada Mama kerana sudi berkongsi resipi warisan ini....Bagi yang ingin mencuba, resipi seperti di bawah...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol (kurang lebih 500 gram)
400 ml pati santan (dari sebiji kelapa)
2 helai daun kuyit, dimayang halus
5 helai daun limau purut, dimayang halus
5 camca besar kerisik (che mat taruk 4 )
1 camca besar penuh cili kisar
2 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci lengkuas
4 inci halia
2 inci kunyit hidup
20 biji cili padi
5 batang serai, hiris
1 camca teh jintan manis (jintan kasar)
1 camca besar lada hitam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan (kalau dapat guna ikan tongkol saiz kecil sedikit dalam 2 ekor). Masukkan semua bahan2 kisar, cili kisar, asam gelugor dan pati santan ke dalam kuali. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga naik minyak.
  2. Masukkan kerisik, kacau rata dan masuk ikan tongkol tadi, pastikan api kecil. Balikkan ikan tadi agak rata dengan ramuan2 rendang. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, kacau perlahan.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan kicap lemak manis JALEN....ehemm..tu style che mat lah yea... Selamat mencuba!

Wednesday, January 13, 2016

ASAM IKAN PARI LADA HITAM.

rsz_1aplh
Assalammualaikum, salam Rabu. Che mat masak asam ikan pari hari ni, mula2 malas nak buat entri blog, tapi dari kosong ajer, tak salah juga menu hari ni dijadikan entri, walaupun dah berulang2 kali ia muncul. Seperti biasa, menu macam ni memang tak menjemukan dan pada che mat ia satu hidangan selamat jika nak dibandingkan dengan masak lemak yang perlukan kerja yang lebih bila anda kena parut kelapa, kemudian perah untuk santannya pula. Asam pedas paling ngam disajikan dengan telur dadar dan sayur yang ditumis samada dengan ikan bilis atau udang. Sayur tu tak kesah lah, kobis ke, sawi ke atau taugeh, ikut sayur mana yang anda suka. Dengan sayur campur atau cap chai pun sedap, molek sangat. Kata orang asam pedas dan che mat berpisah tiada, jadi jomm masak asam pedas!!...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram ikan pari
4 - 5 kelopak sawi jeruk
1/2 cawan jus asam jawa
3/4 cawan cili kisar
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
1 camca teh pernuh lada hitam biji, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan (optional, mana yang tak suka, tak perlu taruk)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, gaul dengan perahan jus limau nipis atau limau kasturi, perap 10 - 15 minit, cuci hingga bersih dan toskan. Sawi jeruk dicuci, kemudian potong kecil dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang air secukupnya (anggaran 800 ml), kacau dan biarkan mendidih. 
  3. Masukkan sawi jeruk (toskan dan perah), bunga kantan dan ikan pari, kacau perlahan dan masak sekejap. Tuang jus asam jawa dan perasakan dengan garam secukupnya. Tambah lada hitam tumbuk, daun kesom dan sedikit gula. Biarkan mendidih 3 - 4 minit, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan sayur..

Monday, January 11, 2016

ICED GREEN TEA BLENDED...

rsz_gtib
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat tak share resipi masakkan, tapi sebenarnya ada juga share resipi di instagram che mat, bagi yang nak lihat boleh cari di IG = @matgebu . Resipi yang biasa2 dan memang dah ada dalam blog. Sekarang ni macam trend sangat orang bikin green tea latte lah, dan macam2 semua berasaskan green tea. Memandangkan che mat siap masak awal, elok juga cuba bikin iced green tea blended, bahan2 pun senang dan memang ada dalam simpanan. Untuk resipi ini che mat tak guna air, tapi guna susu rendah lemak atau anda boleh guna susu penuh krim, dan che mat masukkan susu pekat manis sebagai pengganti gula. Dan di akhiri dengan ais krim vanilla...ehem...

rsz_gtib1
Che mat guna serbuk teh hijau seperti dalam gambar. Dah lama sebenarnya beli, kalau tak silap beli di kedai menjual bahan2 baking, harga masa tu boleh tahan juga 30 gram = RM 9!. Dan che mat cuma pernah guna sekali dua saja, Yang bakinya che mat simpan dalam peti sejuk. Rasa green tea ni ada kelat2 sikit tapi sedap. Warna hijau tu bukan pewarna tiruan, tapi memang asli dari daun teh. Biasanya serbuk teh hijau macam dalam gambar tu diimport dari Jepun (matcha green tea powder)dan negara2 lain. Ok, cerita lama2 nanti, cair pulak iced green tea blended che mat....Nak mencuba, jomm lihat resipi di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 ml susu rendah lemak @ susu penuh krim
1 camca besar penuh susu pekat manis
2 camca teh serbuk teh hijau @ green tea powder
Ketulan ais secukupnya
2 - 3 scop ais krim vanilla
Sedikit serbuk teh hijau untuk hiasan
Daun pudina untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan susu rendah lemak @ susu penuh krim ke dalam blender bersama2 susu pekat manis, serbuk teh hijau dan ketulan ais (anggaran 1 genggam). Kemudian kisar hingga halus, Kisar untuk 50 saat hingga 1 minit.
  2. Tuangkan ke dalam gelas sesuai hingga penuh. Scopkan ais krim atasnya dan taburkan sedikit serbuk teh hijau dan hias dengan daun pudina. Hidangkan segera....ahhh...nyamannya!!...Selamat mencuba..

Sunday, January 10, 2016

AGAR - AGAR MILO OREO

rsz_1aamo
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Cuaca panas sekarang ni, dan banyak yang tersebar di wall2 FB, mengatakan cuaca panas akan berterusan hingga bulan Mac, apa2 pun semua atas kehendak Allah swt, manusia hanya meramal sahaja. Hari ni che mat masak ringkas, ada ikan tongkol masak asam tumis sama terung, peria kambas goreng sama telur dan ikan masin untuk Bak. Disebabkan menu pun mudah2 saja, sambil masak tadi che mat bikin agar2 milo oreo. Paling sedap dimakan sejuk. Sebelum ni pernah buat masa Puan Azura (blogger) datang ke rumah che mat. Alhamdulillah beliau dan anak2 menyukainya....sedapp okeh...ehh bukan che mat kata, dia orang yang kasi feedback macam tu....ehemmm..

rsz_aamo1
Resipi amat mudah dan untuk memudahkan anda, che mat memang sarankan guna agar2 serbuk yang banyak jual dikedai2 runcit dan pasaraya. Guna yang tanpa warna, jangan beli yang dah taruk warna pulak. Satu lagi, che mat guna susu rendah lemak yang dalam kotak. Guna 1 kotak besar yang 1 liter dan tambah sedikit air. Biskut oreo che mat buang krim dia, kita guna biskut sahaja. Anda boleh guna sebarang acuan kegemaran. Tapi nak mudah guna acuan yang besar macam che mat bikin tu. Kalau anda ingin mencuba, meh che mat kongsikan resipi yang amat mudah ini....Jommm...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 gram agar2 serbuk, pilih yang tanpa warna
1 liter susu rendah lemak (dutch lady)
200 ml air
1/2 cawan gula pasir (che mat kurangkan 1 camca teh)
2 camca besar penu Milo
10 keping biskut oreo, buang intinya (jadi 20 kepingan)
1/2 camca teh esen vanilla
1 helai daun pandan, disimpul
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan serbuk agar2 ke dalam periuk bersama guna pasir dan daun pandan. Tuang susu rendah lemak dan juga air. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan secubit garam dan masak hingga agar2 larut. Asingkan 500 ml agar2 dan bakinya anda masukkan serbuk milo. Kacau rata dan kecilkan api, biarkan agar2 suam.
  2. Agar2 yang diasingkan tadi, anda tuang dalam acuan. Kemudian patah2kan biskut marie dan tabur rata ke dalam agar2. Buat hingga siap, tekan sedikit dengan sudu agar biskut oreo tenggelam. Biarkan agar mengeras sekejap (boleh simpan dalam peti sejuk).
  3. Keluarkan agar2 dari peti sejuk, pastikan permukaannya keras. Cakar2kan dengan garfu pada permukaannya, kemudian tuang agar2 milo (kacau dahulu dan jangan lupa buang daun pandan tadi), nak senang anda cedok agar2 milo guna senduk dan tuang perlahan2 hingga habis. Biarkan sekejap hingga hilang wap panas dan simpan dalam peti sejuk. Biar betul2 keras dan dingin baru dikeluarkan dari acuan. Boleh hidangkan sebagai pencuci mulut...Selamat mencuba!

Saturday, January 9, 2016

SOTO, HIDANGAN ORANG JOHOR

rsz_saj
Assalammualaikum, salam semua. Che mat baru dapat nak bersiaran, masa penuh terisi sejak dari pagi tadi hingga ke petang dengan kehadiran tetamu. Hari ni kita bikin soto, satu hidangan tradisi orang2 Johor. Tidak merancang sebenarnya nak bikin soto, plan asal Bak che mat suruh rebus ketupat segera Nona, dan ayam masak kari, tapi disaat2 akhir dia ubah selera, tak nak masak kari. Jadi che mat masak soto. Soto ialah nasi impit atau ketupat dimakan bersama kuah sup ayam yang dimasak pekat. Dihidangkan bersama bahan2 sampingan yang wajib ada seperti, taugeh, begedil, soo hoon goreng, kacang tanah goreng, bawang goreng, hirisan daun sup/daun bawang dan sambal kicap, agar ia menjadi hidangan soto yang lengkap. Kuah soto biasanya menggunakan ayam yang direnih hingga isinya empuk. Keluarkan ayam dan asingkan isinya kemudian dicarik. Tulang temulang ayam dimasukkan kembali ke dalam periuk berisi kuah soto dan direnihkan lagi dengan api kecil.

rsz_saj1
Di Johor, hidangan soto tidak lengkap tanpa sambal kicap. Dan bukan soto saja, tapi seperti yang anda sedia maklum, semua makanan yang bercelop tepung dan bergoreng seperti pisang goreng, keledek, keladi, sukun dan sebagainya, akan dihidangkan bersama sambal kicap sebagai pencicah. Ada pelbagai cara membuat sambal kicap. Bagi che mat ia mudah, hanya menggunakan cili padi, bawang putih, gula dan kicap. Ada juga yang tambah bawang merah dan kesemua bahan2 tadi digoreng sekejap sebelum ditumbuk, tujuan untuk mengelakkan mereka yang 'kalah'  akan sakit perut. Che mat tak goreng, guna semua yang mentah saja, alhamdulillah setakat ini yang makan tidak mengalami sakit perut. Soto sesuai dihidangkan pada sebarang majlis. Bagi yang ingin mencuba, Che mat kongsikan resipi di bawah ini....resipi agak panjang, tapi in sha Allah anda boleh lakukannya!!

BAHAN - BAHAN KUAH SOTO :-)
800 gram ayam (kurang lebih)
3 batang serai. diketuk
1 inci lengkuas, diketuk
1 pokok daun sup, kerat kasar
2 camca besar bawang goreng
1 kiub pati ayam MAGGI (optional)
3 camca besar penuh rempah sup
2 camca besar penuh rempah kurma
5 - 6 liter air
1 camca besar lada hitam, tumbuk halus
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
4 biji buah keras, dihiris
1 1/2 inci halia

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
10 kuntum bunga cengkih

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Nasi impit/ ketupat secukupnya
Begedil secukupnya*resipi dibawah
Soo hoon goreng
Kacang tanah goreng
Hirisan daun sup/daun bawang
Taugeh, dibersihkan cuci dan toskan
Bawang goreng
Sambal kicap (wajib ada )

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Ayam dipotong 3 - 4 bahagian, cuci dan toskan. Sementara itu satukan rempah sup, rempah kurma dan bahan2 kisar halus. Kacau hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Masukkan bahan2 tumis, serai dan lengkuas, masak hingga harum, masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam, daun sup yang dikerat kasar, 2 camca besar bawang goreng, kiub ayam (jika guna) dan garam secukup rasa, biarkan mendidih dan masak dengan api kecil selama 45 minit - 1 jam. Keluarkan ayam, biarkan sejuk dan asingkan isi ayam tadi. Tulang2 ayam dimasukkan kembali dalam kuah, tambah lada hitam tumbuk, kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Isi ayam yang telah sejuk, dicarik2 untuk ditabur atas soto nanti. 
  3. UNTUK HIDANGAN SOTO :- Potong ketupat atau nasi impit secukupnya. Masukkan ke bekas sesuai. Tuang kuah soto (pastikan kuah soto panas, baru sedap). Taruk taugeh, soo hoon goreng, hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng, kacang tanah goreng, begedil, isi ayam yang dicarik dan sambal kicap secukup rasa. Hidangkan segera....

RESIPI BEGEDIL KENTANG*....

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 biji kentang saiz sederhana
1 pokok daun sup, hiris halus
1 camca teh serbuk lada sulah
1 biji telur saiz kecil, dipukul sedikit
1 camca besar penuh tepung gandum
1 genggam bawang goreng, diramas
Garam secukup rasa (che mat guna 1/4 camca teh)
1 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, kemudia hiris sederhana tebal, buat hingga siap, cuci dan toskan. Panaskan minyak, kemudian goreng kentang tadi dengan api sederhana hingga kekuningan dan empuk. Angkat, toskan minyaknya dan masukkan kentang goreng ke dalam mangkuk besar. Lecek hingga halus dan biarkan sejuk sedikit.
  2. Masukkan tepung gandum, lada sulah, daun sup, bawang goreng, garam dan telur saiz kecil. Gaul hingga semua rata. Biarkan 10 minit. Ambil 1 camca besar adunan, bulat2kan dan leperkan sedikit, susun dalam pinggan yang dialas dengan plastik bersih untuk mengelakkan begedil melekat. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk menggoreng. Ambil satu begedil celopkan dalam telur yang telah dipukul tadi dan masukkan ke dalam minyak yang sederhana panasnya. Goreng 6 - 7 biji begedil sekali. Balik2kan agar begedil masak sekata. Bila kuning keemasan, boleh angkat, toskan minyaknya dan taruk dalam pinggang yang dialas tissue dapur bersih. Buat hingga siap dan boleh hidangkan bersama soto..
CATATAN MAT GEBU :- Bila anda bikin soto, untuk bahan2 bergoreng, che mat sarankan anda goreng soo hoon dahulu, pastikan soo hoon dalam keadaan kering, anggaran 1/2 cekak, gunting pendek kemudian goreng dalam minyak panas, bila kembang, terus terbalikkan, tekan sedikit dan angkat. Jangan biar lama sangat nanti soo hoon hangus. Dalam minyak yang sama, che mat goreng kentang, kemudian goreng kacang tanah dan terakhir goreng begedil. Untuk kuah soto, anda boleh juga guna serangka ayam atau kaki ayam. Harap ia dapat membantu...Selamat mencuba!!

Friday, January 8, 2016

GULAI IKAN TONGKOL

rsz_ktb
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia semua, Hari ni che mat kongsikan resipi gulai ikan tongkol. Tapi sebelum tu nak kasi tau awal2, gulai ikan tongkol ini che mat masak ikut style sendiri dan mungkin ada sedikit fusion. Jadi tak terikat dengan mana2 resipi. Che mat guna seekor ikan tongkol putih yang saiznya agak besar, kurang lebih 1 kati - 600 gram. Ini terpulang samada anda nak guna tongkol putih atau hitam. Tongkol putih isinya lebih lembut dan yang hitam agak keras sedikit. Seperti yang che mat kasi tau sebelum ni, ikan tongkol putih jika anda nak tau, badannya di bahagian pertengahan hingga ke ekor, ada seakan bintik2. Manakala tongkol hitam ada corak seakan2 berceloreng, itu tip yang paling mudah untuk anda kenal sama ada ikan itu tongkol putih atau tongkol hitam. Che mat rebus dulu ikan ini dalam periuk tekanan selama 1 jam, tujuannya untuk mendapat isi ikan yang lebih sedap dan tulang2nya turut lembut seperti ikan sardine dalam tin. Jika anda tiada periuk tekanan, boleh masak seperti biasa. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol putih (kurang lebih 600 gram)
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris nipis*
2 keping asam gelugor*
1 camca teh garam*
Air secukupnya*
1 biji terung ungu, belah 2 dan potong 4, rendam
2 biji tomato, dibelah 3 setiap 1
1 camca besar penuh cili kisar
2 1/2 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
1 camca besar penuh ketumbar serbuk
1 camca besar gula melaka
2 camca besar budu
2 camca besar penuh kerisik
1 cawan pati santan
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/2 camca teh halba
1/2 camca teh jintan manis (jintan kasar)
1/2 camca teh jintan putih (jintan halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol dikerat pada 6 bahagian, cuci hingga bersih, toskan dan masukkan ke dalam periuk tekanan, Tuang air secukupnya (hingga ikan tenggelam), masukkan semua bahan2 bertanda (*), kemudian rebus selama 1 jam. - sila ikut peraturan periuk tekanan masing2**. Kemudian asingkan ikan dan tapis air rebusannya. Ketepikan.
  2. Satukan bahan2 kisar halus, rempah kari ikan dan ketumbar serbuk, kacau hingga menjadi pes. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar, masak sekejap dan masukkan pes rempah. Kacau dan masak hingga rempah naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air rebusan ikan tadi dan tambahkan sedikit air, jika perlu. Kacau dan biarkan mendidih. Masukkan kerisik, budu, gula melaka dan santan, kacau hingga semua sebati. Bila mendidih, masukkan ikan, cili merah, cili hijau dan terung (toskan), kacau perlahan dan masak dengan api kecil hingga pecah minyak. Tambah tomto dan perasakan dengan garam secukup rasa. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

GENAP 40 TAHUN USIA AKU HARI INI...

Alhamdulillah bila masa berganjak ke hari baru iaitu 8 hb Januari, dengan rasminya che mat telah bertambah umur. Tahun ini dengan izin Allah swt, genaplah 40 tahun che mat menumpang hidup dalam dunia pinjaman ini. Takde apa nak dikisahkan sangat, cuma boleh kata, sejak che mat menjadi seorang blogger hampair 10 tahun, banyak perubahan berlaku. Bila usia sebegini, macam2 benda yang harus kita fikir terutama dari segi tanggungjawab. Kata orang life begins at 40, tapi pada che mat bila usia kau dah jadi 40, tu tandanya usia nyawa juga semakin pendek, semakin singkat....apa2 pun kita berserah pada Allah swt saja lah...tawakal dan terima apa jua yang ditakdirkan dengan tabah..in sha Allah..

Pada semua teman2 yang telah mengucapkan selamat hari lahir terawal sehari dua ini, che mat ucapkan terima kasih, tak menyabar sangat masing2 nak suruh aku cepat tua...hahaha. Sahabat2 blogger, FB, InstaGram dan Twitter, terima kasih juga kerana masih sudi memberi sokongan moral pada blog che mat. Sebelum che mat tamatkan coretan ini, ucapan terima kasih pada dua insan keramat, Bonda dan Bak che mat. Moga Allah swt memberi mereka kesihatan berpanjangan, dipanjangkan usia, dirahmati dunia dan akhirat... aminnn...

Mat Gebu :- Selamat hari lahir juga pada blogger Yana Azfar dan mereka2 yang menyambutnya pada hari ini...

Thursday, January 7, 2016

SAMBAL TOTOK JAWA

rsz_stt
Assalammualaikum, salam semua. Kalau semalam che mat kongsikan resipi ayam masak bali, hari ni nak kongsi resipi yang lebih ringkas tapi amat2 membuka selera. Sambal tok tok jawa, sejenis sambal yang boleh dikatakan terkenal dan amat sesuai menu sampingan bersama nasi panas. Sebenarnya jika anda bikin sambal ni, dah tak perlu lauk pauk yang banyak. Ada ikan goreng, nasi panas dan kicap JALEN, ia sudah cukup. Jika anda suka pedas, boleh lebihkan cili padi. Yang ni che mat campur dengan cili merah dan cili padi hijau dan merah serta sebiji tomato. Tomatu tu biji dia dibuang, tujuan untuk mengelakkan sambal anda terlalu berair. Kalau nak mantap lagi, anda boleh hidangkan sambal ini dengan petai sebagai ulam, sah2 bertambah nasi!....tak sabar nak mencuba?....Jomm kita lihat resipinya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 biji cili merah, dikerat2
10 biji cili padi hijau
10 biji cili padi merah
1 biji bawang besar, potong kasar
1 ulas bawang putih, potong kasar
1 biji tomato, buang bijinya, hiris
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
1 inci belacan
Sedikit garam
Limau kasturi secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Goreng ikan bilis hingga garing, angkat dan ketepikan. Kemudian goreng pula belacan hingga wangi, angkat dan ketepikan. Dalam kuali yang sama, goreng cili padi merah/hijau, cili merah, bawang besar dan bawang putih hingga layu, kemudian masukkan tomato dan goreng sekejap. Matikan api dan angkat bahan2 tadi.
  2. Masukkan ke dalam lesung batu. Tambah belacan dan sedikit garam, tumbuk hingga semua hancur, tak perlu sampai lumat sangat, biar dia sedikit kasar. Tambah pulak ikan bilis dan gesek2kan hingga ikan bilis bergaul dengan sambal tadi. Cedok keluar dan alihkan ke dalam bekas sesuai. Perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain..

Wednesday, January 6, 2016

RESIPI AYAM MASAK BALI

rsz_amb
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni kepala mula dah pening nak masak apa. Ayam che mat dah keluarkan seawal pagi tadi. Plan nak masak merah, tapi entah kenapa tekak ni macam yea tak yea saja nak menerima menu masak merah. Maka ku bikin satu status di wall FB. Tiba2 komen datang dari teman blogger che mat.... Hakak Ruby Dot Com, dia bagi cadangan cuba ayam masak bali. Yea tak yea juga kan, dah lama sebenarnya ia viral di FB, dan ramai yang mencuba. Rata2 bagi feedback sedap dan resipi senang nak bikin. Ok, kita cuba... Dari apa yang che mat nampak, menu ni memang simple dan bahan2 tak banyak. Rasa dia, memang sedap. Che mat guna kurang lebih 1/2 ekor ayam saiz sederhana (satu keping peha saiz besar dan bahagian kepak saiz besar). Yang paling penting kat sini, serai kena lebih dan tak lupa daun kari. Jika anda wanita bekerja dan ingin menu yang senang dimasak, che mat rekomenkan yang ni.....Jommm lihat resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam saiz sederhana, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan*
1 camca teh penuh kunyit serbuk*
3/4 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap sekejap)
6 batang serai, diketuk
4 pelepah daun kari
1 camca besar kicap lemak manis JALEN
1/3 cawan cili kisar
1 camca besar rata gula (atau secukup rasa)
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
4 biji bawang besar
8 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Goreng ayam tadi hingga hingga masak, tapi jangan sampai garing, cuma embal2 saja (che mat goreng dengan api sederhana dan tutup kuali, goreng dalam 15 minit sambil dibalik2kan, kemudian angkat dan toskan).
  2. Dalam kuali yang sama, cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 1/4 cawan minya. Tumis serai hingga harum, masukkan daun kari dan masak sekejap. Tambah bahan2 kisar halus dan cili kisar. Kacau rata, masak hingga garing dan naik minyak.
  3. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Tambah ayam, gaul rata dan tuang air. Masak hingga pekat. Kacau sekali sekala. Akhir sekali masukkan kicap lemak manis, gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....Selamat mencuba!

Tuesday, January 5, 2016

BENING BETIK LADA HITAM

rsz_bbm
Assalamualaikum, salam Selasa semua. Hari ni che mat mengidam sangat nak makan bening betik, taruk lada hitam dan daun kunyit, Perencahnya guna ikan bilis. Betik harus yang mengkal atau yang hampir2 nak masak, jangan yang muda sangat nantu keras, yang mengkal2 ni dia masih keras dan isi manis. Ini satu menu yang amat2 mudah dimasak dan boleh dikategorikan sebagai hidangan sihat. Lada hitam bertindak sebagai bahan menghangatkan badan. Dan betik pula dikatakan 'sejuk'. Jadi ngamlah kan sejuk vs hangat. Che mat suka hirup macam tu saja kalau masak bening betik. Jika makan dengan nasi, anda boleh tambah ikan masin/ikan goreng dan telur dadar sebagai menu sampingan. Resipi che mat memang mudah2 dan lebih kepada lauk2 kampung dan menu harian....Yang mana tak berapa pasti nak masak bening betik macam mana, meh che mat kongsikan resipinya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji betik mengkal saiz sederhana
1 biji bawang besar, hiris
3 - 4 ulas bawang putih, diketuk
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 genggam ikan bilis (kurang lebih), dibersihkan dan rendam
1 helai daun kunyit, disiat
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Betik dikupas kulitnya, belah 2 dan buang bijinya. Belah 4 setiap belahan dan hiris serong sederhana tebal setiap satu. Cuci dan toskan. Masukkan ke dalam periuk bersama bawang besar hiris, ikan bilis (toskan dulu) dan bawang putih. Tuang air secukupnya hingga betik tenggelam.
  2. Masak hingga mendidih, masukkan lada hitam dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak dengan api sederhana hingga betik empuk (jika ada buih2 yang timbul, cedok keluar. Tujuan untuk mendapat kuah bening yang jernih).
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit, masak sekejap dan rasa. Jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, ikan masin/ikan goreng dan telur dadar. Boleh juga dimakan begitu saja....Selamat mencuba!!

Monday, January 4, 2016

KENTANG BAKAR KEJU BAWANG PUTIH

rsz_kbkbp1
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni timeline di FB penuh dengan status anak2 kembali ke sekolah, bagi negeri Johor, persekolahan bermula semalam. Hari ni che mat laksanakan satu resipi yang memang dah plan nak buat dari tahun lepas. Siap tulis lagi kat status tu, akan buat pada tahun depan (2016), maka dengan kerajinan maksimum, che mat buat lah. Resipi agak viral di FB, nampak sedap dan tak susah membuatnya. Tu hari masa ke MyDin, che mat beli kentang jenis 'russet', sebab dalam resipi, dia memang guna kentang jenis ini. Kulit kentang tak perlu dibuang, kita cuci bersih2 dengan berus, kemudian toskan. Bahan2 agak mudah didapati, anda boleh beli di Tesco, MyDin dan pasaraya2 besar yang lain. Sedap dimakan bersama sos cili atau mayonnaise. Sesuai untuk kudapan di waktu minum petang. Jomm kita cuba buat...

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 biji kentang 'russet potato'
1/2 cawan parutan keju parmesan
4 camca besar minyak zaitun
1 camca teh garam*
2 camca teh Italian seasoning (che mat ganti dengan mix herbs)*
2 camca teh serbuk paprika ( che mat tambah 1 camca teh lagi)*
2 camca teh serbuk bawang putih*(*disatukan dan gaul rata)
Sos kegemaran anda (sos tomato @ mayonnaise)
Hirisan daun parsley untuk hiasan (che mat guna daun kucai)

kentang

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 200C, sediakan dulang pembakar, alas dengan aluminium foil dan ketepikan. Kentang dicuci bersih, kulitnya tidak perlu dikupas, anda hanya berus hingga bersih dan ketepikan.
  2. Ambil sebiji kentang, belah 2 memanjang, kemudian belah 4 lagi untuk setiap bahagian (anda akan dapat 8 belahan 'wedges' untuk sebiji kentang). Buat hingga siap dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  3. Tuang minyak zaitun, gaul rata dan masukkan pula parutan keju parmesan. gaul hingga semua rata. Tambahkan pulak bahan2 bertanda (*) yang telah disatukan tadi. Gaul lagi hingga semua mesra. Susun atas dulang pembakar dan bakar selama 40 minit di bahagian rak tengak oven, hingga kentang masak.
  4. Keluarkan dan alihkan ke dalam bekas sesuai. Tabur hirisan daun parsley (che mat guna hirisan daun kucai) dan hidangkan bersama mayonnaise atau sos tomato. Sedap dimakan selagi hangat.
CATATAN MAT GEBU :- Di sebabkan che mat takde Italian seasoning, ku gantikan dengn Mix Herbs dan jika anda takde serbuk bawang putih atau susah nak cari, boleh guna bawang putih biasa dalam 2 ulas (kalau saiz bawang putih kecik, guna 3 ulas), kemudian tumbuk hingga lumat dan boleh gunakan, Keju pulak anda boleh saja ganti dengan keju cheddar jika susah nak dapat keju parmesan....Selamat mencuba!!..

Sunday, January 3, 2016

PUCUK PAKU TUMIS IKAN MASIN

rsz_ppb
Assalammualaikum, salam semua, ada satu menu che mat terlepas pandang nak dijadikan entri, haishhh, sejak usia nak jadi 40 ni, mula dah terlepas pandang banyak pekara, bahaya ni. Tapi menu ini amat biasa dan bukanlah susah untuk dimasak. Che mat kongsikan untuk memvariasikan cara memasak pucuk paku atau ada yang panggil midin. Ikan masin tenggiri sesuai kalau anda nak masak menu2 yang gunakan ikan masin, ini kerana ikan tenggeri masin atau tenggiri jeruk, isinya banyak dan mudah untuk kita gunakan. Kalau ikan masin lain pun boleh, cuma anda perlu kikis isinya dan ada sesetengah ikan masin isinya agak keras berbeza dengan ikan masin tenggiri. Che mat gunakan pucuk paku jenis hijau atau pucuk paku perak dalam 3 ikat, 1 ikat kurang lebih 1 cekak kecil....Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 ikat pucuk paku (kurang lebih 1 cekak kecil setiap 1 ikat)
1 camca besar penuh isi ikan masin tenggiri, yang dipotong kecil
1 camca besar sos tiram
Sos ikan secukup rasa
1/2 cawan air atau lebih jika anda suka berkuah

BAHAN - BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk paku diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Panaskan 3 camca besar minyak, kemudian goreng isi ikan masin tenggiri tadi hingga wangi, masukkan pula bahan2 tumbuk hancur, kacau dan masak sekejap. Tambah sos tiram dan kacau rata.
  2. Tuang sedikit air (kalau suka berkuah boleh taruk lebih), bila mendidih, masukkan pucuk paku. Besarkan api, gaul rata hingga pucuk paku layu sedikit. Tambah sos ikan secukup rasa, kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi dan lauk2 lain..

Saturday, January 2, 2016

AYAM SOS LEMON BERMADU

rsz_lhc
Assalammualaikum, salam Sabtu, sekejap saja dah masuk 2 hb Januari 2016. Anda masak apa hari ni, mesti ramai yang sibuk memandangkan sekolah akan dibuka esok dan lusa bagi setengah2 negeri. Hari ni che mat laksanakan resipi yang sudah tertangguh agak lama. Memandangkan ada baki 2 keping dada ayam kurang lebih 450 gram, maka ku jadikan ayam sos lemon bermadu. Kalau guna kepak ayam lagi sedap. Yang ni kira ayam tanpa tulang jadi kalau anak2 nak makan takde lah risau. Ia agak mudah dibuat dan che mat guna sebiji lemon untuk resipi ini. Rasa masam2 manis jus lemon dan madu cukup menyelerakan, dah lah tu, bau dia pun harum. Kulit lemon diparut, tapi pastikan anda parut bahagian kuning sahaja, yang bahagian putih pahit. Sedap dimakan bersama nasi panas atau boleh juga dimakan bersama nasi minyak....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
450 gram isi ayam bahagian dada. hiris memanjang, cuci dan toskan*
1 inci halia tumbuk halus, dan perah jusnya*
3/4 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap 20 minit)
1 biji telur, dipukul sedikit
1/2 cawan tepung gandum
1 camca teh serbuk lada sulah

BAHAN - BAHAN SOS :-)
1/4 cawan madu
1 biji lemon, parut kulitnya (bahagian kuning sahaja) dan perah jusnya
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh penuh tepung jagung*
1/4 cawan air*(*disatukan dan kacau hingga sebati)
1 biji cili merah saiz kecil. belah, buang biji dan dadu kecil
1/2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN HIASAN :-)
1 camca teh bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Isi ayam yang telah diperap tadi dicelop dengan telur. Dalam satu bekas, masukkan tepung gandum dan serbuk lada sulah, gaul rata. Kemudian golekkan setiap hirisan isi yang yang telah dicelop dengan telur tadi ke dalam tepung hingga bersalut. Buat hingga siap, kemudian goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya, ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang putih hingga layu. Masukkan madu dan jus lemon. Kacau rata dan tuang air, biar mendidih. Masukkan parutan kulit lemon, garam secukup rasa dan sedikit lagi gula (anggaran 1 camca teh atau secukup rasa).
  3. Kecilkan api, masukkan bancuhan tepung jagung (pastikan anda kacau bancuhan tadi sebelum dimasukkan ke dalam kuali). Kacau sentiasa dan masak dengan api kecil hingga pekat. Rasa sosnya, jika ok anda boleh masukkan isi ayam yang telah digoreng tadi bersama cili merah yang didadu kecil. Gaul hingga rata dan boleh matikan api.
  4. Alihkan ke dalam bekas sesuai, tabur hirisan daun bawang dan juga bijan sebelum dihidangkan bersama nasi putih atau nasi minyak. Sedap dimakan panas....Selamat mencuba!

Friday, January 1, 2016

PASTA GORENG PEDAS - 2016

rsz_mgp
Assalamualaikum, salam Jumaat dan selamat tahun baru 2016. Entri pertama untuk tahun baru ini, che mat kongsikan resipi ringkas dan mudah. Bahan2 pun in sha Allah tak susah nak cari. Kiranya menu fusion atau gabungan antara dua budaya, konon2nya lah. Pasta anda boleh guna apa2 jenis yang anda suka. Che mat guna makaroni, dan satu yang bagusnya jika anda makaroni, kerana ia berlubang dan ia akan meresap bahan2 rencah ke dalamnya. Sebabkan che mat agak kurang rajin nak keluarkan udang atau ayam dari freezer, maka ku cempakkan sosej ayamas lada hitam, dan gunakan juga traffic light capsicum. Sebelum che mat tulis resipi, che mat doakan agar tahun 2016 ini anda diberi rezeki berpanjangan, dijauhkan dari segala malapetaka dan yang utama hubungan ukwah antara kira bertambah baik....Jomm masak!...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cawan pasta yang belum direbus, che mat guna makaroni
1/4 bahagian traffic light capsicum, dipotong kiub
1 camca besar cili kisar
2 camca besar sos tomato
1 camca besar sos cili
1/2 camca besar sos tiram
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 batang sosej Ayamas berperisa lada hitam
1/4 camca teh lada hitam kisar
1/3 cawan air
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus makaroni dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. Rebus hingga lembut, toskan dan gaul makaroni tadi dengan sedikit minyak zaitun (guna minyak masak pun boleh). Sosej dipotong kecil dan ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak zaitun, tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu. Masukkan cili kisar, sos cili, sos tomato dan sos tiram, kacau rata dan masak sekejap dengan api kecil. 
  3. Masukkan sosej dan tuangkan air. Kacau dan biarkan mendidih. Masukkan pasta dan traffic light capsicum. Gaul rata dan masukkan lada hitam kisar dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Kacau rata dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api, Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.