BEN ASHAARI

Sunday, December 4, 2016

PUCUK TURI MASAK LEMAK SAMA KACANG HIJAU

rsz_ptmlkh
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ambik kesempatan untuk kemas kini blog, tapi menu yang biasa2 saja, menu tradisi orang Melayu kita. Daun turi antara hidangan authentic orang2 kita. Selain kaum Melayu, masyarakat India juga suka makan daun turi. Kata orang, daun turi banyak khasiatnya terutama untuk ibu2 yang menyusukan bayi, boleh menambah air susu badan. Tapi ada juga yang kata, daun turi kurang sesuai diambil bagi mereka yang punya tekanan darah tinggi, hurmmm. In sha Allah kalau dimakan dalam kuantiti yang sedikit, rasanya tak mendatangkan masalah. Resipi pucuk turi masak lemak sama kacang hijau ini antara hidangan klasik yang sering dimasak oleh bonda che mat dulu, masa tu kita kecil2 lagi dan ini bukan hidangan kegemaran che mat sebenarnya...shhh...diam2!...Cuma bila dah berusia macam sekarang ni saja, baru jadi suka, lawankan dengan sambal belacan, ikan goreng dan telur dadar...Ehemmm, mak mertua pengsan kat tepi pun kau tak perasan!...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 cekak daun turi (bahagian pucuk)
1/3 cawan kacang hijau, cuci dan rebus sampai kembang
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 camca besar penuh udang kering, direndam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
1 biji cili merah, hiris
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan daun turi dari tangkainya, cuci dan toskan, Jika ada bunga turi, jangan dibuang, petik dan rendam sekejap (sebab kebiasaannya bunga turi ada serangga halus), toskan. Kacang hijau dicuci dan rebus hingga kembang (jika guna periuk tekanan, kurang lebih 7 minit atau mengikut jenis periuk tekanan masing2). Ketepikan.
  2. Masukkan kacang hijau yang telah direbus ke dalam periuk bersama secawan air rebusannya (jika ada). Masukkan bawang besar, bawang putih, udang kering dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan daun turi dan bunganya (jika ada). Kacau dan masak hingga daun turi lembut. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil dikacau sentiasa, kurang lebih 1 - 2 minit. Akhir sekali masukkan cili merah hiris, kacau. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng/ikan masin/telur masin....Selamat mencuba!!

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.