BEN ASHAARI

Friday, November 11, 2016

RESIPI PECAL @ PECEL

rsz_pj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi pecal atau biasa orang2 Jawa sebut pecel. Walaupun dah biasa, tapi untuk kali ini ada sedikit penambahan. Kuah pecal masih sama cuma che mat masukkan pucuk bebuas dan telur rebus dalam bahan2 pecalnya. Kalau sebut pecal, bahan yang wajib ada dalam kuahnya sudah mesti ubi cekur. Jika tiada aroma cekur, pecal sudah bertukar menjadi gado-gado. Teringat arwah Bak (al-fatihah), selalu sebut kalau di kampung dulu (Pontian), masa dia muda2, orang jual pecal menggunakan taugeh yang dibuat sendiri dari kacang hijau. Taugehnya kecil dan kontot2. Tapi che mat guna benda2 yang mudah didapati saja. Resipi pecal ini akan menghasilkan kuantiti yang agak banyak. Ini pekara biasa nak2 bila anda menggunakan macam2 jenis sayur2ran dan ditambah dengan tempe, tauhu dan telur rebus. Che mat gabungkan cili padi hijau dan cili kering untuk kuah pecal. Cili kering untuk warna dan cili padi untuk rasa. Ada juga yang masukkan daun limau purut, tapi entah kenapa tak kena pada selera che mat. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan di bawah ini...

BAHAN - BAHAN KUAH PECAL :-)
1+ cawan kacang tanah yang telah digoreng tanpa minyak, dibuang kulit dan dikisar hancur
2 camca besar gula melaka atau secukup rasa
1/2 cawan jus asam jawa atau secukup rasa
3 inci ubi cekur
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
8 tangkai cili kering
1 inci belacan
15 biji cili padi hijau, jenis kampung
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
12 tangkai pucuk ubi
10 tangkai pucuk bebuas
4 keping tempe bungkus daun
3 keping tauhu
1 biji timun saiz sederhana
1 biji sengkuang saiz kecil
2 genggam taugeh
6 tangkai kacang panjang, kerat pendek
3 biji telur, direbus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH PECAL :- Cili kering dikerat, buang biji dan cuci bersih, lap kering dengan tissue dapur, kemudian goreng hingga wangi, angkat dan toskan. Kemudian goreng pula bawang merah, bawang putih, cili padi dan akhir sekali belacan. Biarkan sejuk sekejap. Masukkan semua bahan2 bergoreng tadi ke dalam alat pengisar (blender). Tambah isi cekur, gula melaka dan sedikit air masak. Kisar hingga halus.
  2. Tuang ke dalam mangkuk. Masukkan garam secukup rasa, tambah jus asam jawa dan kacau hingga sebati. Masukkan kacang tanah tumbuk, gaul dan tambah air panas secukupnya. Kuah pecal mestilah tidak terlalu pekat atau terlalu cair, kepekatannya kadar sederhana. Sesuaikan rasa dan ketepikan.
  3. UNTUK BAHAN PECAL :- Tempe dan tauhu digoreng, kemudian potong kiub. Pucuk ubi direbus dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan beberapa titik minyak masak,. Rebus hingga lembut, toskan kemudian hiris kecil. Daun bebuas, kacang panjang, taugeh dicelur dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. Tos dan ketepikan. Timun dan sengkuang dihiris nipis. Telur rebus dikupas kemudian belah empat setiap satu. Ketepikan.
  4. UNTUK MENGHIDANG PECAL :- Dalam bekas besar, masukkan semua bahan2 untuk pecal kecuali telur rebus. Kemudian tuang kuah pecal, gaul hingga semua rata. Hias dengan telur rebus dan boleh hidangkan. Jika suka, boleh direnjiskan sedikit kicap lemak manis  JALEN sebelum dimakan. 
CATATAN MAT GEBU :- Untuk jus asam jawa, pastikan anda gunakan air suam untuk mendapatkan jusnya. Jika kurang manis, boleh masukkan sedikit gula pasir, tapi che mat guna gula melaka tu saja. Nak pedas boleh tambah bilangan cili padi dan sebaliknya. Kalau takde pucuk ubi, boleh guna kangkung. Nak tambah pucuk betik pun boleh, pastikan dicelur dulu dan hiris....Selamat mencuba!!

1 comment:

Sis Lin said...

Assalam kekasih gelapku..
Ya ampunnn, ini bole bikin hati berkobar2 lihat ini rojak lor, nanti kalau aku mampir kerumahmu, kamu bikin aku ya Pakk...

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.