BEN ASHAARI

Tuesday, November 29, 2016

CUCUR UDANG DAN KUAH KACANG

rsz_cumg
Assalammualaikum, salam semua. Kali terakhir che mat update blog kurang lebih 11 hari lepas. Niat hati nak kemas kini tu memang ada, cuma bila masak menu biasa seperti asam pedas dan gulai, rasanya dah biasanya sangat resipi2nya berlegar di blog dan juga alam maya. Maka che mat ambik keputusan, update bila masak menu yang jarang2 dimasak. Hari ni che mat bikin cucur udang. Dalam keadaan cuaca yang mendung, redup, berangin dan ada kala hujan, cucur udang amat sesuai sekali kita hidangkan sebagai cemilan diwaktu2 petang. Rasanya resipi memang dah ada dalam blog. Kali terakhir bikin cucur udang, dua tahun lepas kalau tak silap. Teringat kat arwah Bak, cucur udang antara kuih kegemaran arwah...huhu (Al-fatihah Bak)... 

rsz_cumg1
Kali ini cucur udang tidak dihidangkan dengan sos cili (kuah lada), tapi che mat bikin kuah kacang. Mesti ada yang biasa makan cucur udang dengan kuah kacang, betul tak? Dan kita boleh pelbagaikan cucur udang dengan kuah kacang ni, contohnya kalau ada bahan2 lain seperti timun, sengkuang, telur rebus, kentang rebus, mi kuning, fishcake dan daun salad, dah boleh jadikan ia rojak. Tambah sedikit mi kuning jika suka. Kuah kacang kalau tak habis, boleh simpan dalam peti sejuk. Nak lebih lama, simpan dalam freezer, tinggal panaskan dalam microwave saja bila nak makan. Resipi ini akan menghasilkan 18 - 20 biji cucur udang, ikut saiz senduk yang anda guna sebagai acuan cucur udang...Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHAN CUCUR UDANG :-)
2 cawan tepung gandum
1/2 camca besar instant yeast
2/3 camca teh serbuk kunyit
2 ganggam taugeh, cuci, toskan dan ramas sedikit
10 tangkai kucai, potong pendek
1 biji bawang besar, didadu
1 3/4 cawan air ( atau lebih sedikit)
Garam secukup rasa
20 ekor udang kulit keras, saiz sederhana
Minyak untuk goreng terendam

BAHAN - BAHAN KUAH KACANG :-)
1 cawan kacang tanah yang telah ditumbuk halus ( yang telah digoreng tanpa minyak dan dibuang kulitnya)
1/4 cawan jus asam jawa
1/2 cawan santan
3 cawan air
6 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci kunyit hidup*
1/2 inci lengkuas*
2 batang serai, hiris*
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit, toskan*
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan*(*dikisar halus)
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK ADUNAN CUCUR UDANG :- Dalam mangkuk besar, satukan tepung gandum, instant yeast, serbuk kunyit, garam secukup rasa (anggaran 1 camca teh rata), taugeh, kucai dan bawang besar. Gaul rata dan tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair atau terlalu pekat (che mat gunakan hampir 2 cawan air, tapi tak habis). Kemudian tutup permukaan mangkuk dengan plastik cling dan perap 35 minit.
  2. UNTUK KUAH KACANG :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang air, kacau dan bila mendidih, masukkan kacang tanah tumbuk, jus asam jawa dan juga santan. Kacau dan biarkan mendidih. Tambah garam secukup rasa dan gula (biasanya kuah kacang manis sedikit). Kacau dan masak dengan api kecil hingga kuah kacang pekat sedikit dan naik minyak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  3. UNTUK CUCUR UDANG :- Udang dicuci bersih tapi tak perlu dikupas kulitnya. Kemudian dilap kering dengan tissue dapur bersih. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Panaskan juga senduk stainless steel (saiz kurang lebih 1/4 cawan). Berhati2 keluarkan senduk dari minyak panas dan sudukan adunan cucur udang ke dalamnya hingga hampir penuh, lingkarkan seekor udang atasnya dan rendam senduk tadi ke dalam minyak panas. Masak untuk 30 saat, kemudian longgarkan cucur udang dari senduk (acuan) dan keluarkan. Balik2kan cucur udang agar masak sama rata. Angkat, toskan minyaknya, taruk atas tissue dapur agar minyak terserap.
  4. Buat kaedah sama untuk baki adunan dan udang hingga siap. Jangan goreng terlalu banyak, cukup 5 atau 6 biji cucur udang sekali goreng. Pastikan senduk (acuan) anda panaskan sekejap dalam minyak panas sebelum dimasukkan adunan cucur udang. Hidangkan cucur udang bersama kuah kacang untuk minum petang...Selamat mencuba!

2 comments:

Kakcik Nur said...

AllahhuAkbar...sedapnya ni Che Mat....kegemaran kakcik ni... :)

Nadia Johari said...

cucur udang buat sendiri memnag best..udang biar seketui..hahaa

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.