BEN ASHAARI

Wednesday, October 5, 2016

RESIPI ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG

rsz_apisj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak asam pedas ikan sembilang. Ikan ni dah lama juga dalam freezer, tapi alhamdulillah isinya masih sedap dan segar. Pemberian pakcik cina che mat (adik pada bonda). Bila masak asam pedas ikan sembilang, terus teringat kat arwah Bak, Bak penggemar asam pedas ikan sembilang, (Al-Fatihah Bak) dan setiap kali ada ikan sembilang segar, tak kira harga berapa sekali pun, Bak akan beli. Untuk mendapat asam pedas yang sedap, ikan perlu segar, kalau dapat beli yang masih hidup. Dan jika anda nak simpan, pastikan ikan tadi dibuang perutnya. Kalau kita simpan ikan yang telah mati dengan isi perut, nanti bau dari kotoran perut ikan akan meresap ke isi ikan.

rsz_apisj1
Untuk resipi ini che mat guna 2 ekor ikan sembilang bersaiz sederhana. Dan dimasukkan juga sawi jeruk 'home made' (resipi di sini). Yang ini terpulang pada anda, nak taruk terung, bendi, tomato atau tak taruk pun boleh. Daun kesom dan bunga kantan, dua herba yang penting dalam masakan asam pedas ikan sembilang untuk mendapat rasa kuah yang sedap dan aroma yang wangi. Oh yea, sebenarnya ada telur ikan sembilang dan che mat bungkus dengan daun kunyit (terlupa nak taruk dalam gambar, tapi anda boleh tengok videonya di IG che mat di sini ). Seperti biasa, jika ada menu asam pedas, telur dadar dan ulam2man paling serasi digandingkan bersama...Resipi che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 ekor ikan sembilang saiz sederhana
1 pokok sedehana sawi jeruk
3/4 cawan cili kisar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1/3 cawan jus asam jawa
1/2 camca teh lada hitam biji, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
12 biji halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang disiang, buang bahagian isi perut dan insangnya. Kerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan jus limau nipis (1 biji limau nipis). Perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, lada hitam tumbuk dan kacau rata. Masak hingga naik minyak. Tuang air (anggaran 1 liter), kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan jus asam jawa dan sawi jeruk. Kacau dan masak sekejap.
  3. Masukkan ikan sembilang, kacau perlahan, tambah bunga kantan dan daun kesom,Biarkan mendidih. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap, Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ulam2man...Selamat mencuba!

2 comments:

Shiqeen Sattar said...

Perghhhh detox detox detox

Nadia Johari said...

sedapnya..kecur liur tengok

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.