BEN ASHAARI

Friday, February 19, 2016

SAMBAL TERUNG UDANG KERING

rsz_stuk
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni kampung che mat hujan sejak awal pagi lagi, cuaca cukup nyaman kalau ikutkan hati nak golek2 ajer atas lecha. Fikir2 balik, itu semua buang masa, baik che mat siapkan kerja dulu, nanti senang. Hari ni menu memang ringkas dan che mat masak tumis air petola, goreng ikan kembong rebus, sambal belacan dan untuk diri sendiri, ku bikin sambal terung udang kering. Resipi ini cukup mudah dan sedap. Che mat guna sebiji terung ungu saiz besar. Terung tu terlebih dahulu digaul dengan sedikit minyak makan, tabur garam dan disalai atas non stick pan hingga lembut. Kemudian baru kita bikin sambal udang keringnya. Bila nak makan boleh taruk sambal atas terung, macam masak terung berlado tu. Selain terung, anda boleh guna kacang bendi, tapi celur dulu sebelum dituang sambalnya. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji terung ungu saiz besar (kalau kecil, guna 2 biji)
Sedikit garam
1 camca besar minyak masak
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
3 biji cili merah
2 camca besar penuh cili kisar
1 camca besar gula
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa
Sedikit hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dicuci dan lap kering. Kemudian hiris serong memanjang sederhana tebal. Masukkan dalam bekas, tambah sedikit garam dan  1 camca besar minyak masak (che mat guna minyak zaitun). Gaul rata, kemudian salai atas non stick pan hingga terung lembut, balik2kan agak cepat masak. Angkat dan susun dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Udang kering digoreng tanpa minyak hingga wangi. Kemudian tumbuk hancur, ketepikan. Dalam lesung batu yang sama, tumbuk buah keras dan bawang putih sampai lumat. Tambah bawang besar dan cili merah, tumbuk hingga lumat.
  3. Panaskan 4 camca besar minyak masak, tumis bahan2 tumbuk hingga wangi, masukkan cili kisar dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. Masukkan gula, kacau rata dan masukkan udang kering tumbuk dan jus limau kasturi. Perasakan dengan garam secukupnya. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang atas terung dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain... Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.