BEN ASHAARI

Saturday, January 9, 2016

SOTO, HIDANGAN ORANG JOHOR

rsz_saj
Assalammualaikum, salam semua. Che mat baru dapat nak bersiaran, masa penuh terisi sejak dari pagi tadi hingga ke petang dengan kehadiran tetamu. Hari ni kita bikin soto, satu hidangan tradisi orang2 Johor. Tidak merancang sebenarnya nak bikin soto, plan asal Bak che mat suruh rebus ketupat segera Nona, dan ayam masak kari, tapi disaat2 akhir dia ubah selera, tak nak masak kari. Jadi che mat masak soto. Soto ialah nasi impit atau ketupat dimakan bersama kuah sup ayam yang dimasak pekat. Dihidangkan bersama bahan2 sampingan yang wajib ada seperti, taugeh, begedil, soo hoon goreng, kacang tanah goreng, bawang goreng, hirisan daun sup/daun bawang dan sambal kicap, agar ia menjadi hidangan soto yang lengkap. Kuah soto biasanya menggunakan ayam yang direnih hingga isinya empuk. Keluarkan ayam dan asingkan isinya kemudian dicarik. Tulang temulang ayam dimasukkan kembali ke dalam periuk berisi kuah soto dan direnihkan lagi dengan api kecil.

rsz_saj1
Di Johor, hidangan soto tidak lengkap tanpa sambal kicap. Dan bukan soto saja, tapi seperti yang anda sedia maklum, semua makanan yang bercelop tepung dan bergoreng seperti pisang goreng, keledek, keladi, sukun dan sebagainya, akan dihidangkan bersama sambal kicap sebagai pencicah. Ada pelbagai cara membuat sambal kicap. Bagi che mat ia mudah, hanya menggunakan cili padi, bawang putih, gula dan kicap. Ada juga yang tambah bawang merah dan kesemua bahan2 tadi digoreng sekejap sebelum ditumbuk, tujuan untuk mengelakkan mereka yang 'kalah'  akan sakit perut. Che mat tak goreng, guna semua yang mentah saja, alhamdulillah setakat ini yang makan tidak mengalami sakit perut. Soto sesuai dihidangkan pada sebarang majlis. Bagi yang ingin mencuba, Che mat kongsikan resipi di bawah ini....resipi agak panjang, tapi in sha Allah anda boleh lakukannya!!

BAHAN - BAHAN KUAH SOTO :-)
800 gram ayam (kurang lebih)
3 batang serai. diketuk
1 inci lengkuas, diketuk
1 pokok daun sup, kerat kasar
2 camca besar bawang goreng
1 kiub pati ayam MAGGI (optional)
3 camca besar penuh rempah sup
2 camca besar penuh rempah kurma
5 - 6 liter air
1 camca besar lada hitam, tumbuk halus
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
4 biji buah keras, dihiris
1 1/2 inci halia

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
10 kuntum bunga cengkih

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Nasi impit/ ketupat secukupnya
Begedil secukupnya*resipi dibawah
Soo hoon goreng
Kacang tanah goreng
Hirisan daun sup/daun bawang
Taugeh, dibersihkan cuci dan toskan
Bawang goreng
Sambal kicap (wajib ada )

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Ayam dipotong 3 - 4 bahagian, cuci dan toskan. Sementara itu satukan rempah sup, rempah kurma dan bahan2 kisar halus. Kacau hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Masukkan bahan2 tumis, serai dan lengkuas, masak hingga harum, masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ayam, daun sup yang dikerat kasar, 2 camca besar bawang goreng, kiub ayam (jika guna) dan garam secukup rasa, biarkan mendidih dan masak dengan api kecil selama 45 minit - 1 jam. Keluarkan ayam, biarkan sejuk dan asingkan isi ayam tadi. Tulang2 ayam dimasukkan kembali dalam kuah, tambah lada hitam tumbuk, kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Isi ayam yang telah sejuk, dicarik2 untuk ditabur atas soto nanti. 
  3. UNTUK HIDANGAN SOTO :- Potong ketupat atau nasi impit secukupnya. Masukkan ke bekas sesuai. Tuang kuah soto (pastikan kuah soto panas, baru sedap). Taruk taugeh, soo hoon goreng, hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng, kacang tanah goreng, begedil, isi ayam yang dicarik dan sambal kicap secukup rasa. Hidangkan segera....

RESIPI BEGEDIL KENTANG*....

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 biji kentang saiz sederhana
1 pokok daun sup, hiris halus
1 camca teh serbuk lada sulah
1 biji telur saiz kecil, dipukul sedikit
1 camca besar penuh tepung gandum
1 genggam bawang goreng, diramas
Garam secukup rasa (che mat guna 1/4 camca teh)
1 biji telur, dipukul sedikit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, kemudia hiris sederhana tebal, buat hingga siap, cuci dan toskan. Panaskan minyak, kemudian goreng kentang tadi dengan api sederhana hingga kekuningan dan empuk. Angkat, toskan minyaknya dan masukkan kentang goreng ke dalam mangkuk besar. Lecek hingga halus dan biarkan sejuk sedikit.
  2. Masukkan tepung gandum, lada sulah, daun sup, bawang goreng, garam dan telur saiz kecil. Gaul hingga semua rata. Biarkan 10 minit. Ambil 1 camca besar adunan, bulat2kan dan leperkan sedikit, susun dalam pinggan yang dialas dengan plastik bersih untuk mengelakkan begedil melekat. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak untuk menggoreng. Ambil satu begedil celopkan dalam telur yang telah dipukul tadi dan masukkan ke dalam minyak yang sederhana panasnya. Goreng 6 - 7 biji begedil sekali. Balik2kan agar begedil masak sekata. Bila kuning keemasan, boleh angkat, toskan minyaknya dan taruk dalam pinggang yang dialas tissue dapur bersih. Buat hingga siap dan boleh hidangkan bersama soto..
CATATAN MAT GEBU :- Bila anda bikin soto, untuk bahan2 bergoreng, che mat sarankan anda goreng soo hoon dahulu, pastikan soo hoon dalam keadaan kering, anggaran 1/2 cekak, gunting pendek kemudian goreng dalam minyak panas, bila kembang, terus terbalikkan, tekan sedikit dan angkat. Jangan biar lama sangat nanti soo hoon hangus. Dalam minyak yang sama, che mat goreng kentang, kemudian goreng kacang tanah dan terakhir goreng begedil. Untuk kuah soto, anda boleh juga guna serangka ayam atau kaki ayam. Harap ia dapat membantu...Selamat mencuba!!

1 comment:

LM said...

Soto di hatiku!!

Area umah LM ni payah nk jumpa soto

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.