BEN ASHAARI

Thursday, December 31, 2015

RESIPI PACERI NANAS

rsz_pnj
Assalammualaikum, salam semua. Ini entri terakhir untuk tahun 2015, in sha Allah jika diizinkan tuhan esok kita bakal bertemu dengan tahun 2016. Blog akan berjalan seperti biasa cuma che mat tak boleh nak janji lah, sama ada boleh taruk entri sekerap mungkin. Siang tadi che mat bikin paceri nanas, ada yang panggil pajeri, tapi ia benda yang sama cuma ejaan berbeza. Paceri satu hidangan pelengkap untuk nasi minyak atau nasi briyani. Selain nanas, terung paling biasa dimasak paceri. Tapi ada juga yang jadikan kedondong dan mangga sebagai paceri. Ada pelbagai cara orang memasak paceri, che mat masak seperti apa yang che mat biasa tengok. Paceri yang kuahnya pekat menjadi pilihan keluarga kami. Ada yang suka pedas, tapi che mat lebih kepada yang kurang pedas sebab ada yang memang tak boleh makan pedas. Untuk perencah, sedikit udang kering dimasukkan, tapi bagi yang tak boleh makan atas faktor kesihatan, anda boleh abaikan. Resipi agak senang dibuat...Ingin mencuba?..Jomm kita lihat resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji nenas madu saiz sederhana
1/2 camca teh serbuk kunyit
2 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
2 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
2 camca besar penuh rempah kari daging (baba's)
2 camca besar cuka makan JALEN (boleh ganti dengan 1 keping asam gelugor)
2 camca besar penuh kerisik
1 - 2 camca besar cili kisar (che mat taruk 1 camca besar)
1 cawan pati santan
1/2 camca besar minyak sapi (optional)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas nanas, belah empat dan buang empulurnya. Hiris sederhana tebal, kemudian masukkan ke dalam periuk dan tuang air hingga nanas tenggelam. Masukkan serbuk kunyit, kacau rata da rebus nenas tadi selama 6 -7 minit. Toskan. Sementara itu bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan) dan tambah minyak sapi. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing, masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang sedikit air, masukkan cuka makan (@ asam gelugor). Biarkan mendidih, tambah santan, kerisik, sedikit garam dan gula (dalam 1 1/2 camca besar). Kacau dan masak hingga pekat sedikit. 
  4. Masukkan nanas, kacau rata dan perlahankan api. Masak sekejap dan masukkan belahan cili merah dan hijau. Gaul rata dan masak hingga pekat. Rasa dan jika perlu tambah garam atau gula agar seimbang rasa masam, manis dan masinnya. Biarkan sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi minyak atau nasi putih.

Wednesday, December 30, 2015

SAMBAL TUMIS SOTONG

rsz_sss
Assalammualaikum, salam Rabu. Che mat tak masak apa sangat, tapi di saat2 akhir terbikin sambal sotong. Ni semua salah Kak Ummi Kuantan, semalam dia kan main lagi tayang2 sambal sotong kat FB, che mat memang dah lama tak mengadap sotong sebab takut gatal pun yea, satu lagi Bak kan ada gout, jadi mana boleh kau nak lantakkan dengan sotong, udang, ketam semua. Ada kang kaki bengkak tak boleh jalan. Di sebabkan i cannot tahan sangat, tutup mata ajer lah che mat masak juga sambal tumis sotong, buat lepas gian. Macam mana aku nak makan nanti, pandai2 lah kan, sembunyi2. Sebenarnya bila kita makan macam tu, hati memang rasa tak bess, sebab teringat mereka yang tak boleh makan...huhu. Sotong pun che mat guna saiz kecik dalam 400 gram. Jadi che mat tak potong, cuma bersihkan bahagian kepala dan bahagian dalam sotong, kemudian badan sotong dikelar2 tapi tak putus. Jomm kita masak sambal tumis sotong....

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram sotong
1 camca teh tepung jagung
3/4 cawan cili kisar
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1/4 cawan jus asam jawa
1 camca besar rata gula
Garam secukup rasa
Serbuk perasa jika suka

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar potong
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong diasingkan kepalanya, buang segala kotoran, muncung sotong dan juga bahagian matanya. Badan sotong dikelar2 tapi tak putus (itu jika anda guna sotong saiz kecil macam che mat guna, kalau guna saiz besar, boleh potong blat sahaja). Cuci dan toskan kesemuanya. Kemudian gaul dengan tepung jagung hingga rata. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan jus asam jawa, garam secukup rasa dan gula. Kacau dan masukkan sotong, gaul rata dan tambah bawang besar. Kacau dan masak hingga bawang lembut dan sotong bertukar warna. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan sambal tumis sotong dengan nasi panas, telur dadar dan ulam timun.
CATATAN MAT GEBU :- Tujuan che mat gaulkan tepung jagung dengan sotong ialah untuk mengelakkan sambal tumis menjadi terlalu berkuah, sotong akan mengeluarkan air. Jangan masak terlalu lama, nanti sotong jadi liat....Selamat mencuba semua!!

Monday, December 28, 2015

GULAI ASAM DAGING SAMA DAUN KESOM

rsz_gddk
Assalammualaikum, salam Isnin. Dah mula kerja yea semua, ke ada yang masih bercuti. Kami yang kerja sendiri kat rumah ni, sampai ke malam kang leer kerja tetap ada menunggu. Hari ni che mat masak gulai asam daging daun kesom, kira macam asam pedas lah senang cakap. Che mat nak habiskan baki daging yang ada dalam freezer. Bila masak menu ni teringat sahabat che mat, Sis Linn, dia nya kegemaran menu daging masak macam ni. Jika anda nak guna daging kambing boleh juga, cuma kena lebihkan halia dan tambah daun limau purut dan daun kesom juga. Che mat tak taruk apa2 sayuran dalam gulai ni, hanya guna daging dan daun kesom saja. Kalau anda nak gulai lebih menyengat, boleh campur daging yang ada lemak atau tetel. Sedap dimakan bersama nasi panas, atau cicah dengan lempeng, roti dan juga roti canai. Ok, che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram daging lembu, hiris nipis, cuci dan toskan*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris*
1 camca teh garam*(*masukkan ke dalam periuk dan rebus hingga daging empuk)
3/4 cawan cili kisar
1 genggam daun kesom
1 batang serai, diketuk
1/2 cawan jus asam jawa(asam jawa sebesar duit 20 sen lama + 1/2 cawan air dan ramas untuk mendapatan jusnya)
1 camca teh lada hitam kisar
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
1 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis dan, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan daging (asingkan air rebusannya), gaul rata dan masak sekejap. Tambah daun kesom. gaul rata dan tuang air rebusan daging. tambah air jika perlu. Kacau dan biarkan mendidih. Masukkan jus asam jawa dan lada hitam kisar.
  3. Biarkan hingga kuah pekat sedikit. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan biar mendidih dengan api perlahan selama beberapa minit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

Sunday, December 27, 2015

APAM TEMBAM TEPUNG GANDUM

rsz_attg
Salam semua, walaupun entri apam tepung gandum dah banyak kali muncul dalam blog ini, tapi che mat tetap taruk juga. Apam satu hidangan yang lazim dimakan pada waktu pagi sebagai sarapan. Tapi tidak menjadi kesalahan jika apam dimakan pada waktu2 lain. Apam gandum antara kegemaran che mat, teksturenya bersarang, lembut dan anjal. Che mat lebih suka apam yang warna semulajadi, samada putih (jika anda guna gula pasir) atau keperangan (jika anda gunakan gula melaka atau gula timbang). Dimakan bersama kelapa parut putih yang digaul dengan sedikit garam. Kalau nak tahan lama, kukus sekejap kelapa tadi. Untuk resipi ini che mat gunakan loyang bulat berukuran 11 inci x 2 inci. Anda boleh guna loyang empat segi berukuran 10 inci x 10 inci x 3 inci. Resipi memang senang dibuat dan jika anda nak mencuba, che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN - BAHAN A :-)
1/2 cawan gula melaka yang potong kecil
1/2 cawan gula pasir (che mat kurangkan 1 camca besar penuh)
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan, disimpul

BAHAN - BAHAN B :-)
2 camca teh penuh instant yeast (11 gram, che mat guna SAFT instant yeast yang macam ini)
1/2 cawan air suam
3/4 camca teh gula

BAHAN - BAHAN C :-)
4 cawan rata tepung gandum
1/4 camca teh garam

BAHAN - BAHAN D :-)
Kelapa parut putih secukupnya
Sedikit garam halus

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Satukan semua bahan2 A, masak dengan api sederhana hingga gula larut, sejukkan. keluarkan daun pandan dan tapis, ketepikan (air gula merah). Sementara itu, satukan semua bahan2 B dalam satu bekas, kacau rata dan biarkan 10 minit hingga yeast kelihatan berbuih.
  2. Masukkan semua bahan2 C ke dalam bekas besar, gaul rata. Tuang bancuhan yeast, kacau dengan whisk hingga sebati. Kemudian tuang sedikit demi sedikit air gula merah sambil dikacau hingga rata dan air gula merah habis. Kacau hingga adunan tidak berbintil2. Bungkus bekas tadi dengan plastik dan rehatkan selama 1 jam (adunan akan kembang)
  3. Panaskan kukus, balut tutup kukus dengan tuala dapur yang bersih. Lenser acuan bulat berukuran 11 inci x 2 inci dengan sedikit minyak. Tuang adunan apam, ratakan dan biarkan 10 minit. Kemudian kukus selama 40 minit dengan api besar. 
  4. Bila apam masak, keluarkan dari kukus dan biarkan 15 minit. Keluarkan dari acuan dan potong ikut saiz yang anda inginkan. Sementara itu, gaul bahan2 D dan kukus sekejap, anggaran 1 minit. Biarkan sejuk, hidangkan bersama apam....
CATATAN MAT GEBU :- Bagi yang kurang pasti suhu air suam untuk membancuh yeast, che mat kongsi cara che mat. Gunakan cawan penyukat untuk 1/2 cawan (125 ml). Tuang 2 camca besar air panas mendidih, kemudian anda tuang air biasa sehingga mendapat sukatan 1/2 cawan. Untuk menguji samada apam anda cukup masak, gunakan lidi sate bersih atau tooth pick bersih, cucuk bahagian tengah kuih apam, jika keluar bersih, tanda sudah cukup masak....Selamat mencuba!!



IKAN TONGKOL MASAK KICAP BEREMPAH

rsz_imkb
Assalamualaikum, salam Ahad. Resipi ringkas hari ini yang che mat rasa semua orang biasa masak. Tempoh hari masa ke pasar Endau, kami beli ikan tongkol putih yang memang menjadi kegemaran che mat. Bezanya tongkol putih dan hitam, selain dari corak pada badannya (kalau tongkol hitam ada belang, kalau tongkol putih ada bintik2), isinya juga tak sama. Tongkol putih lebih lembut dan isinya putih. Tongkol hitam agak keras dan isinya lebih gelap. Che mat guna seekor ikan tongkol untuk masak kicap, beratnya kurang lebih 500 gram seekor. Walaupun namanya masak kicap, tapi dari cara memasak ada sedikit kelainan. Bahan2nya juga sama seperti masak kicap biasa. Kalau anda tak suka atau tak makan ikan tongkol, boleh ganti dengan ikan tenggiri atau kembong. Sedap dimakan bersama nasi panas atau pun bubur nasi kosong...Resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNNYA :-)
1 ekor ikan tongkol putih (berat kurang lebih 500 gram)
2 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
4 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, hiris nipis
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 biji cili padi merah, belah 2 tapi tak putus
5 biji cili padi hijau, belah 2 tapi tak putus
1 biji tomato, belah 6
1 1/2 camca besar cili kisar
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jitan manis (kasar)*
1/2 camca teh jintan putih (halus)*
1 camca teh lada sulah*(*ditumbuk hingga halus)
1 camca besar penuh gula pasir
2 camca besar kicap pekat JALEN
1/4 cawan kicap lemak manis JALEN
1/3 cawan jus asam jawa (asam jawa sebesar ibu jari + 1/3 cawan air suam = ambil jusnya)
1/2 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan dikerat pada 5 bahagian (che mat kerat hujung kepala ikan tongkol kemudian dibelah 2, sebab saiz kepala ikan agak besar). Cuci hingga bersih, kemudian gaul dengan 1 camca teh serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam hingga rata. Goreng ikan tadi hingga masak, tak perlu sampai garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 - 5 camca besar minyak masak, kemudian masukkan gula pasir dan masak dengan api kecil hingga gula bertukar perang dan menjadi karamel. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, halia dan bawang putih, kacau rata dan tambah cili kisar. Masak hingga cili garing.
  3. Masukkan bahan2 yang telah ditumbuk halus (*), masak sekejap. Tambah kicap pekat, kicap lemak manis dan jus asam jawa. Tambah air dan kacau rata dan biarka mendidih.
  4. Masukkan ikan dan masak sekejap, balik2kan ikan agar mesra. Masukkan bawang besar, tomato dan cili padi, kacau dan masak hingga kuah sedikit pekat. Rasa dan jika kurang masin anda boleh tambah kicap atau garam. Taburkan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

Saturday, December 26, 2015

GULAI PISANG TUMBUK SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpk (2)
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat masak lauk legend....dan seperti kata bonda, ni lauk orang2 'veteran', sebabnya bila menu berkaitan nangka muda, pisang atau batang keladi, bonda lah yang bertanggungjawab menyiang dan membersihkan segalanya...che mat?...ehemm, kita masak ajer lah, janji bahan2 dah siap. Tapi yang lain che mat yang settle kan yea, termasuk menyiapkan rempah ratus dan bahan2 perencah, parut kelapa dan perah untuk mendapatkan santan. Biasanya menu macam ni seelok2nya guna santan segar yang baru diperah, tapi kalau dah darurat, kau belasah kan santan kotak pun boleh, cuma bagi yang tekak 'pakar', mereka boleh tau kita guna santan segar atau santan kotak. Untuk resipi ini, pisang kapas yang muda digunakan. Pisang disiat kulit luarnya (kulit tu kita masukkan sekali dalam gulai), kemudian ditumbuk2 sikit kasi pecah2, jangan ditumbuk sampai lumat, tu kang dah jadi lain. Che mat tau bila resipi macam ni bukan semua orang akan sanggup masak atas sebab 'masa'. Tapi kalau anda ada masa sudi2kan lah mencuba...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram pisang kapas yang muda
1 1/2 cawan cendawan kukur kering, rendam hingga kembang
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit
3 biji cili merah
10 biji cili padi
1/2 inci belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Pisang dicuci, kemudian disiat kulit luarnya, buat hingga siap (kulit dimasukkan ke dalam periuk). Tumbuk sedikit pisang tadi hingga pecah2, jangan sampai hancur pulak, masukkan ke dalam periuk berisi kulit pisang tadi. Buat hingga siap, kemudian tuang air hingga pisang tenggelam dan rebus hingga empuk. Cendawan kukur dibersihkan, tosk dan perah sedikit. Kemudian tumbuk sedikit, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak. Masukkan pisang rebus bersama air rebusannya. Tambah cendawan kukur, gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan asam gelugor dan tulang ikan masin kurau (toskan dulu airnya). Masak hingga cendawan lembut. Tuang pati santan dan masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan biarkan mendidih perlahan. Masak untuk 5 - 6 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng.

Friday, December 25, 2015

MI HOON GORENG SINGAPURA...

rsz_mi_hoon_singapura
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Sebelum che mat mula masak untuk makan tengah hari, Nak update sekejap resipi sarapan pagi tadi. Biasa che mat goreng mi hoon yang taruk cili, pagi tadi kita tukar bikin mi hoon goreng putih atau mi hoon goreng Singapura. Mi hoon yang che mat guna ni kurang sikit warna putih dia, jadi kurang menyerlah. Satu lagi kalau masak mi hoon putih, guna bawang besar holland lagi elok, sebab tak menjejaskan warna mi hoon. Resipi ini sesuai untuk kanak2 sebab guna lada sulah (kalau nak guna ada hitam pun ok juga, terpulang). Boleh tambah udang atau sotong, tapi kat rumah che mat ada yang tak boleh makan udang dan sotong, maka kita ganti dengan fishcake dan juga isi ayam. Kalau anda ingin mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
200 gram mi hoon, rendam hingga lembut
1 cekak kucai, kerat pendek
2 genggam taugeh, cuci dan toskan
1/2 batang lobak merah saiz sederhana, dihiris halus memanjang
1 keping tauhu, didadu kecil dan goreng
1 camca teh lada sulah
1 keping fishcake, dihiris
1 keping dada ayam, dihiris nipis
Garam secukup rasa
Sedikit air
Telur didadar nipis, gulung dan hiris halus, untuk hiasan
Bawang goreng
Hirisan daun sup

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang holland
3 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis, rendam

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan isi ayam, kacau dan tambah air (anggaran 1/3 cawan), masak hingga isi ayam berubah warna. Tambah tauhu dan fishcake. Gaul rata.
  2. Masukkan lobak merah dan serbuk lada sulah. Kacau dan perasakan dengan garam secukupnya. Tambah sedikit lagi air (anggaran 1/2 cawan), biarkan mendidih. Mi hoon ditoskan, kemudian masukkan ke dalam kuali. Sederhanakan api, gaul rata dan masak hingga mi hoon lembut.
  3. Masukkan taugeh dan kucai, kacau rata dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan telur dadar, hirisn daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama sambal kicap...Selamat mencuba!!..

Thursday, December 24, 2015

UNGKEP AYAM HUTAN

rsz_uah
Assalammualaikum, salam Maulidur Rasul semua. Hari ni che mat masak agak lewat sikit. Pertama sebab pagi tadi che mat ke MyDin untuk belanja barang dapur dan sebab kedua, bonda berpuasa, jadi tak kuasa nak masak awal2. Untuk sarapan pagi tadi dah buat cekodok. Menu istimewa yang che mat masak tadi ialah ungkep ayam hutan, dan ayam hutan ini pemberian jiran che mat, terima kasih Makcik Watie. Ayam hutan seperti anda tau ialah ayam liar yang banyak tinggal di kawasan2 belukar, hutan dan kebun. Kata orang ayam hutan ni 'angker' atau ada 'pendampingnya'. Jadi mereka yang pakar saja bijak menjerat ayam hutan. Saiznya tak delah besar mana (kecil sikit dari ayam tua ). Resipi ungkep ini che mat pernah masak dulu dan jika anda nak cepat, boleh masak dalam periuk tekanan kemudian keringkan dalam kuali seperti rendang. Ungkep biasalah agak kering tapi tak salah jika anda suka ia berkuah.

rsz_1ungkep_ayam_hutan2
Bahan2 seperti anda lihat dalam gambar (ni gambar dalam entri lepas che mat guna balik, sebab resipi dia pun sama). Rasanya takde lah susah mana yang penting masak ungkep memang sesuai dengan ayam hutan, ayam kampung dan ayam tua @ ayam pencen (tapi kalau anda nak guna ayam daging pun boleh tak salah, ikut selera masing2, cuma kena pandai adjustkan bahan2 sebab saiz ayam daging lebih besar. Jangan terikat sangat dengan resipi sampai membebankan anda...), meh che mat kongsiakan resipi ungkep ayam hutan...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam hutan (boleh guna ayam kampung dan ayam pencen)
3 helai daun salam (boleh guna 'bay leaf)
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan manis*
1/2 camca teh jintan putih*
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 batang serai, dihiris
4 biji buah keras, dihiris
8 - 10 biji cili padi merah thai
1 biji cili hijau
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam hutan dipotong pada saiz sederhana (sebab ayam hutan saiz kecil, che mat potong 12 bahagian). Cuci dan toskan. Rempah2 bertanda (*) digoreng tanpa minyak hingga harum, kemudian tumbuk hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan rempah yang ditumbuk halus tadi, kacau rata. Masukkan ayam, gaul dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), masukkan sedikit garam dan tutup kuali tadi. Masak dengan api kecil hingga ayam empuk.
  3. Jika ayam masih keras, tuang sedikit air panas. Tambah daun salam, asam gelugor dan gula melaka. Kacau rata dan rasa, jika perlu baru tambah sedikit lagi garam atau secukup rasa. Masak hingga sedikit kering dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat..
CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh masak dalam periuk tekanan, caranya sama cuma tak perlu taruk air banyak sangat. Selepas 15 minit (bergantung pada periuk tekanan yang anda guna), alihkan ke dalam kuali dan keringkan. Pastikan jangan taruk garam banyak sangat, cukup 1/2 camca teh. Bila dan dikeringkan dalam kuali, anda rasa dan baru tambah garam secukup rasa. Selamat mencuba!!.

Wednesday, December 23, 2015

ASAM PEDAS IKAN SAGAI

rsz_apgh
Assalammualaikum, salam Rabu. Malam baru dapat nak update blog, siang tadi internet punya lah perlahan, sakit jiwa betul...huhu....Hari ni che mat ada kerajinan nak masak. Tapi seperti biasalah, menu yang terlampau banyak kali ulang tayang. Tapi dalam ulang tayang, ada juga kelainan. Ini kerana che mat masukkan  sedikit minyak sapi (kurang lebih 1 camca besar) dalam minyak tumisannya. Idea ini dari teman FB che mat, Tunku Zahra Tunku Mahmood. Tapi resipi asli dari beliau berbeza dari yang ni. Nanti bila2 ada masa, che mat kongsikan resipi yang sebenarnya. Seperti biasa bila anda masak asam pedas, rasa masam anda kena pandai adjust, jika kurang boleh tambah lagi, tapi che mat sarankan biar taruk sedikit dulu jus asam jawa, kemudian jika perlu baru tambah secukup rasa. 

rsz_apgh2rsz_apgh1
Kalau selalu guna ikan kembong, ikan pari atau ikan parang, kali ni kita guna ikan sagai. Che mat guna seekor yang beratnya kurang lbih 800 gram. Disamping itu ada juga tempe goreng kunyit yang dimakan bersama sambal kicap. Lama betul che mat tak makan tempe, sebabkan ada yang tak boleh makan. Jadi malas nak beli, tak sampai hati pulak bila orang yang berpantang tengok kita makan, huhu. Yang ni che mat makan senyap2....shhh..diam2...Resipi che mat taruk asam pefas ghee tu saja. Tempe goreng kunyit semua pandai buat, cuma tempe, kunyit serbuk dan garam secukup rasa, Kemudian goreng dalam minyak panas....senang kan?.....jomm kita lihat resipi asam ikan sagai..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sagai (berat kurang lebih 800 gram), contoh di sini
3 - 4 kelopak sawi jeruk
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1/2 cawan jus asam jawa (atau secukup rasa)
2 senduk cili kisar
1/2 camca teh lada hitam kisar
Garam dan gula secukup rasa
1 camca besar minyak sapi
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10  biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan sagai dipotong pada 5 bahagian atau ikut suka (bergantung pada besar mana ikan yang anda guna), Cuci bersih dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, kemudia cuci kembali dan toskan. Sawi jeruk dicuci, kemudian potong kecil dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar ia panas. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau rata. Masak dengan api kecil hingga cili garing dan naik minyak. Kacau sentiasa.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan dan jus asam jawa. Kacau perlahan, jika kurang kuah boleh tambah sedikit lagi air. Toskan sawi jeruk, perah dan masukkan. Tambah bunga kantan, kacau perlahan dan biarkan asam pedas menggelegak.
  4. Masukkan lada hitam kisar, perasakan dengan garam secukup rasa dan tambahkan sedikit gula (boleh juga guna serbuk perasa jika suka). Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

Saturday, December 19, 2015

SAMBAL TUMIS SARDINE MANGGA MUDA

rsz_ssmm
Assalammualaikum, salam Sabtu. Tiba2 hari ni che mat mengidam sangat nak makan sambal sardine. Minggu lepas masa ke Negeri Sembilan dan singgah di rumah sedara che mat di Felda Bukit Rokan, kami dihidangkan dengan macam2 jenis masakan. Tapi paling berkenan sangat di hati, ialah sambal sardine. Jadi hari ni menu untuk tekak che mat, ialah sambal tumis sardine mangga muda. Kebetulan ada sebiji mangga muda yang mengkal2. jadi masukkan sekali, tapi bukan habis sebiji, cuma guna kurang lebih 1/2 biji isi mangga yang dihiris. Sardine che mat guna brand cap ayam tin paling kecil. Kata orang zaman sekarang ni sardine mahal dan makanan orang2 ada duit. errrr pada che mat banyak jenama di pasaran dan ada tu harga berbeza2. Kita boleh pilih nak guna yang mana.. Resipi senang dan mudah, dan kalau takde mangga muda, boleh ganti dengan belimbing buluh...tak nak letak pun takpe...Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin kecil sardine (che mat guna cap AYAM)
1 biji bawang besar, belah 6
1 1/4 senduk cili kisar
3 biji limau kasturi,perah jusnya
1 batang serai, diketuk
1 helai daun limau purut
1/2 biji mangga muda, dihiris (che mat guna mangga epal)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 - 5 camca besar), tumis serai dan bahan2 tumbuk halus hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan sos dari ikan sardine tadi dan juga daun limau purut. Kacau rata dan masak sekejap. Tambah ikan sardine dan jus limau kasturi. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Akhir sekali masukkan mangga, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangka bersama nasi panas, telur dadar dan ulam2an.....Selamat mencuba!!.

Friday, December 18, 2015

PENGAT KELADI CHA - CHA

rsz_pks
Assalammualaikum, salam Jumaat. Petang ni che mat bikin pengat keladi. Plan asal keladi tu nak masak asam tumis, tapi atas permintaan, perancangan semua berubah dan terjadilah pengat keladi. Pengat keladi antara hidangan pecuci mulut yang terkenal terutama di Johor. Dihidangkan sebagai pencuci mulut dan antara hidangan popular ketika bulan Ramadan. Di majlis2 keraian juga mereka telah mula menjadikan menu pengat antara pilihan menu untuk dihidangkan pada tetamu sebagai pencuci mulut. Bahan utama pengat ialah santan, selain gula melaka dan gula pasir serta bahan2 yang kita guna untuk dijadikan pengat contohnya keladi, keledek, nangka, pisang, ubi, labu atau anda boleh gandingkan bahan2 tadi untuk dijadikan satu hidangan pengat yang bewarna - warni. Biasanya biji sagoo dan bubur cha cha dimasukkan sekali sebagai pendamping, tapi itu semua ikut selera masing2. Pengat agak mudah dibuat, dan che mat kongsikan cara che mat....Jomm...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji keladi saiz sederhana kurang lebih 600 gram (che mat guna keladi 'minyak')
1 cawan bubur cha cha, cuci dan rebus hingga lembut, toskan
1/4 cawan biji sago rumbia, cuci dan toskan
 1 helai daun pandan, disimpul
3/4 cawan gula melaka, dihiris*
1/3 cawan gula pasir*
2 cawan air*(*disatukan dan masak hingga gula larut dan tapis)
1 liter santan
1/2 camca teh garam
Air secukupnya untuk merebus keladi

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Keladi dikupas kulitnya, hiris sederhana tebal dan potong kiub, cuci dan masukkan ke dalam periuk. Tuang air secukupnya (hingga keladi tenggelam, anggaran 3 liter). Masak hingga mendidih. Kemudian masukkan biji sago dan daun pandan, terus merebus hingga keladi 1/2 empuk.
  2. Masukkan bubur cha cha, air gula melaka dan santan. Kacau rata dan tambah garam. Biar mendidih dengan api sederhana hingga keladi empuk. Rasa dan jika kurang manis anda boleh tambah sedikit lagi gula pasir. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan.

Thursday, December 17, 2015

GULAI BEREMPAH REBUNG SAMA KAKI AYAM

rsz_grka
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat masak lewat, petang baru masak. Pagi tadi dah goreng nasi, dan lepas tu ada hal lain. Di sebabkan bonda che mat berpuasa, jadi kita masak petang saja. Kebiasaannya gulai rebung che mat masukkan ikan masin kurau, tapi kali ini kita tukar guna kaki ayam. Bagi anda yang tak makan kaki ayam, boleh gantikan dengan bahagian ayam yang lain, kepak ke, peha ke atau mana2 lah yang anda suka, janji ayam. Kalau tak makan ayam?..Boleh guna daging atau tulang lembu yang masih ada daging. Resipi ini dalam kategori mudah dimasak dan yang penting mesti ada rebung. Rebung che mat guna rebung madu. Sekarang ni rasanya tak susah nak dapat rebung madu terutama di pasaraya2, pasar tani atau pasar lambak. Kalau anda suka pedas, boleh guna cili padi, Tapi che mat guna cili merah dan campur sedikit cili padi. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
350 gram kaki ayam (kurang lebih)
400 gram rebung madu yang telah dihiris nipis
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit
1200 ml santan cair
300 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS ;-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji cili merah
8 biji cili padi
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 1/2 inci kunyit hidup
1 camca besar ketumbar biji
1 camca rata teh jintan putih (kasar)
1 camca rata teh jintan manis (halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kaki ayam dikerat bahagian kukunya. Kemudian kerat dua. Gaul kaki ayam tadi dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata, Perapkan 10 minit, kemudian cuci hingga bersih dan toskan. Serai diketuk. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak, tumis serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan kaki ayam, gaul rata dan masak sekejap. Tambah rebung dan tuang santan cair. Kacau rata dan biarka mendidih. Masak hingga kaki ayam lembut, tambah air panas jika perlu.
  3. Masukkan asam gelugor dan daun kunyit. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biarkan mendidih sebentar dengan api sederhana. Kacau sekali sekala. Rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain....Selamat mencuba!!.

Wednesday, December 16, 2015

AYAM PERCIK GAYA MAT GEBU

rsz_ap
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni tak pasal2 che mat jadi rajin dan siap memercik ayam lagi. Semuanya tak dirancang, lepas keluarkan kepak ayam yang berbaki 5 keping, che mat mula fikir, nak masak apa dengan kepak ayam ni. Nak goreng kunyit atau goreng berempah, macam dah selalu sangat, boring. Jadi kita buat ayam percik. Ini kira ayam percik versi che mat, takde law punya, ku lambakkan semuanya. Bakar pun dalam kuali ajaib, anda boleh bakar dalam oven. Kalau rajin boleh bakar atas bara api, yang tu baru asli dan lagi sedap. Selain kepak ayam (bersaiz besar), anda boleh gunakan bahagian peha. Kalau dada ayam pun ok, cuma bahagian dada isi dia agak kering kalau dibakar lama.

rsz_ap1
Kalau anda perhatikan nanti, resipi ini, ayam dia dah che mat masak dengan bahan2 perencah hingga 3/4 masak. Kemudian dibakar dan sapukan dengan baki perencah sambil dibalik2kan ayam. Lebihan kuah dituang atas ayam percik yang telah siap dibakar sebelum dihidangkan. Boleh dimakan bersama nasi, atau diratah begitu saja. Kalau yang jual di pasar2 malam, ayam percik mereka biasanya disepit dengan bilah buluh yang dibelah dua. Warna dia pun takde lah kemerahan, tapi kalau anda suka merah boleh tambahkan sedikit pewarna merah makanan untuk naik seri. Ok, kalau ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 keping kepak ayam, saiz besar, cuci bersih dan toskan
1 cawan santan
1 keping asam gelugor
2 camca besar gula melaka
1 1/2 camca besar cili kisar
Garam secukup rasa
1 camca besar minyak sapi
Minyak untuk menumis
Daun sup untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1/2 inci halia
3 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, hiris
1 camca besar penuh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan), masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan santan dan sedikit air (dalam 1/2 cawan). Kacau rata dan biar mendidih. Tambah kepak ayam, asam gelugor dan gula melaka. Kacau rata dan masak dengan api sederhana dan balik2kan kepak ayam tadi.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa dan masak hingga kuah pekat. Sementara itu panaskan alat pemanggang atau che mat guna kuali ajaib. Sapukan sedikit minyak, kemudian keluarkan kepak ayam dari kuahnya dan panggang atau bakar hingga masak. Sapukan sedikit kuah pada kepak ayam semasa anda membakar. Bakar hingga semua kepak ayam siap.
  4. Baki kuah tadi anda panaskan dan jika terlalu pekat, tambah sedikit air. Siramkan baki kuah ayam percik atas ayam yang telah dibakar tadi. Hias dengan daun sup dan hidangkan segera.

Monday, December 14, 2015

LEMAK CILIPADI PETAI MUDA

rsz_gpk (1)
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat masa satu resipi tradisi yang popular di Negeri Sembilan. Pernah makan petai muda yang dikikis kulit luarnya (tujuan mengikis kulit luar petai untuk menghilangkan rasa kelatnya bila dah masak nanti), kemudian dikerat dan dimasak lemak cili pdi taruk ikan bilis (ada yang beri cadagan che mat mat masukkan ikan tenggiri, tapi buat masa ni che mat teragak nak guna ikan bilis, terima kasih berkongsi idea). Resipi ini menggunakan kurang lebih 10 papan petai muda. yang dikiris kulitnya dan buang sedikit bahagian tepi petai (bahagian kerasnya). Kemudian petai dikerat dan dicelur. Resipi ini boleh dikatakan senang dibuat dan sedap dimakan bersama nasi putih. Che mat tak nak cerita banyak, jomm kita lihat resipi dan cara menyediakan hidangan tradisi ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 papan petai muda
1 genggam ikan bilis
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung (che mat campur cili warna hijau dan merah)
1 1/2 inci kunyit hidup
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

gpk3
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petai dibuang bahagian tepinya (bahagian keras), kemudian dikikis kulit luar petai menggunakan pisau tajam (seperti dalam gambar). Kerat pendek petai tadi kemudian rebus hingga kulit petai lembut sedikit. Toskan. Ikan bilis dibersihkan dan direndam sekejap, tos dan ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Masukkan petai rebus tadi ke dalam periuk bersama asam gelugor, serai ketuk, ikan bilis (tos dan perah airnya) dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan tuang santan cair, masak hingga mendidih. Bila petai empuk, tuang pati santan dan masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih dan kacau selalu lebih kurang 2-3 minit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.

Thursday, December 10, 2015

MAGGI GORENG SEAFOOD

rsz_mgs1
Salam semua, dah lama che mat tak update dua entri dalam satu hari. Sekarang ni masak pun yang biasa2 saja kalau che mat masukkan dalam blog sah2 entri ulang tayang. Kalau anda selak entri2 lepas, pasti jumpa resipi masakan yang sama cuma gambar aje yang berbeza. Petang tadi tiba2 mengidam maggi goreng. Jadi che mat korek2 dalam pantry, ada lah stok maggi kari dalam 2 bungkus. Korek2 peti sejuk, ada isi kerang dan udang, udang pun tak banyak, belen che mat masak 'asam kapal' tu hari, ada dalam 4 ekor, tapi saiz boleh tahan, saiz ibu jari orang dewasa. Kalau anda nak tambah sotong dan bebola ikan atau kek ikan juga boleh. Resipi ni mudah, kiranya sapa2 saja boleh masak. Perencah maggi kari tu che mat gunakan 1 bungkus saja. Nampak sedap?..ehemm...memang sedap, tapi sekali2 ok lah kan, jangan selalu sangat....Kalau dah bersedia, kita semak resipi...Jommm!!..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 bungkus mi maggi perisa kari, asingkan perencahnya, guna 1 sahaja
1 1/2 camca besar cili kisar (boleh kurangkan)
1 camca besar sos cili
1/2 camca besar sos tiram
3 helai daun salad (boleh guna sawi), cuci dan potong
1 genggam taugeh, dibersihkan
1 genggam isi kerang
4 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1/3 cawan air
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
Telur digoreng mata kerbau, untuk hiasan
Cili hijau jeruk, untuk dimakan bersama maggi goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Mi maggi dicelur hingga lembut tapi jangan sampai kembang, tos dan gaulkan dengan sedikit minyak masak. Dalam kuali, panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan sos tiram, sos cili dan 1 paket perencah kari maggi, kacau rata dan tuang air. Bila mendidih, tambah isi kerang dan udang. Masak hingga udang berubah warna dan bahan tumisan pekat.
  3. Masukkan mi maggi yang dicelur tadi. Kacau hingga rata. Masukkan daun salad (atau sawi) dan taugeh. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan telur mata dan cili hijau jeruk. Jika suka boleh perahkan jus limau kasturi sebelum dimakan... Selamat mencuba!

SARAPAN LEMPENG KELAPA PAGI NI..

rsz_lkm
Assalammualaikum, selamat pagi Khamis. Macam mimpi pulak bila che mat dapat update blog pagi2. Sebenarnya bangun awal dan ada permintaan untuk lempeng kelapa. Memandangkan semalam punya sambal tumis tauhu ada berbaki, ok jugakan kalau dicicah dengan lempeng kelapa. Kalau dibelah2 utara dia orang panggil lain, tapi che mat orang Johor dan lebih selesa panggil lempeng kelapa, lebih universal dan mudah, semua orang tau. Mungkin anda dah biasa bikin dan apa yang che mat kongsikan ini lebih untuk mereka2 yang baru nak mencuba atau berjinak2 ke dapur. Yelah zaman2 sekarang ni anak2 bersekolah terus menerus dan takde masa nak ke dapur. Ada tu dah menikah baru jejakkan kaki ke dapur. Kita pun tak boleh nak salahkan mereka, mungkin latar belakang mereka dari golongan berada dan tak perlu nak kisahkan kerja2 di dapur. Tapi dalam apa kedudukan anda sekali pun, terutama orang perempuan, kena juga boleh memasak, biar tak pandai, tapi boleh....Ok, bagi yang nak mencuba resipi lempeng kelapa, che mat kongsikan di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan kelapa parut putih
2 1/2 cawan air
1 camca teh rata garam
1 camca teh penuh baking powder
Sambal tumis untuk dimakan bersama lempeng kelapa (atau sos kegemaran anda)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan semua bahan2 di atas, kecuali sambal tumis. Kacau hingga semua rata dan sebati. Panaskan non stick pan. Lenserkan minyak rata2. Cedok 1 senduk (kurang lebih 1/4 cawan) adunan kemudian ratakan atas pan tadi. Ikut besar mana pan anda guna, buat 2 - 3 keping lempeng. Titiskan beberapa titik minyak dalam pan tadi. Masak dengan api sederhana.
  2. Bila permukaan lempeng kelihatan pucat, terbalikkan dan masak sekejap lagi hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan, Buat kaedah sama dengan baki adunan hingga siap. Kalau anda suka boleh buat lempeng saiz besar. Hidangkan bersama sambal tumis atau sos kegemaran anda. Selamat mencuba!!..

Wednesday, December 9, 2015

SAMBAL TAUHU BEBOLA IKAN...

rsz_stf
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat masak sambal tauhu bebola ikan, TAPI dalam gambar tu che mat guna kek ikan atau fishcake. Semalam nampak teman che mat, Puan Siti Rahayu pemilik restoran citarasa rinduan, bikin sambal tauhu campur bebola ikan. Maka napsu nak mencuba sudah mari. Masa beli tauhu semalam, che mat yakin habis ada stok bebola ikan kat rumah, jadi beli. Bila hari ni masa nak masak, periksa balik rupanya fishcake, bukan fishball, nampak sangat dan nak menjangkau usia 40...grrr...Tapi takpe, rasa tetap sama cuma bentuk ajer yang lain. Sejak dari dulu, kalau guna bebola ikan atau kek ikan dan sebagainya, pilihan che mat mestilah produk jenama MUSHROOM, bebola ikan dia sedap, kenyal dan tidak masin, ada sijil halal lagi. Resipi sambal che mat guna yang sendiri punya lah yea...Kalau nak mencuba, jomm semak resipi dan cara2 membuatnya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 keping tauhu
10 - 12 biji fishball @ 2 keping fishcake (che mat guna jenama mushroom)
2 biji bawang besar, belah 4 setiap 1
1 1/2 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tauhu dipotong empat setiap satu keping (potong tiga segi, sebab tauhu che mat guna agak besar, jadi dipotong 8 setiap 1 keping). Gaul dengan sedikit garam, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Fishcake dipotong 6 bahagian setiap 1 keping, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/2 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan jus asam jawa dan air, kacau dan biar mendidih. Sementara itu, tauhu goreng dipotong sedikit, tapi jangan sampai terpotong dua, sekadar buat sedikit belahan saja. Buat pada semua tauhu yang digoreng tadi. Kemudian masukkan ke dalam sambal. Kacau rata.
  4. Tambah fishcake dan belahan bawang besar. Kacau perhana dan perasakan dengan garam secukupnya dan gula dalam 1/2 camca besar. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.
CATATAN MAT GEBU :- Tujuan tauhu goreng tadi kita buat sedikit belahan ialah bila kita masukkan tauhu ke dalalam sambal, sambalnya akan meresap masuk ke dalam tauhu. Jika anda nak tambah serbuk perasa pun boleh, ikut selera masing2....Selamat mencuba!!

Monday, December 7, 2015

ASAM KAPAL, MASAKAN JOHOR...

rsz_asam_kapal
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni Isnin dan rakyat Johor masih berkabung atas kemangkatan YAM Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil pada Sabtu lepas (rakyat Johor berkabung selama 3 hari dan 7 hari untuk kerabat2 diraja). Sembah takziah buat Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri Johor serta kaum2 kerabat di raja Johor khususnya dan Bangsa Johor amnya. Moga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan insan2 terpilih....aminn. Hari ni che mat rasa nak makan menu yang ringkas dan senang dimasak. Dalam fikiran che mat terlintas nak mencuba satu resipi yang che mat dapat dari YAM Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar, terima kasih Tunku (dan tak lupa teman FB che mat, Tunku Zahra Mahmood, terima kasih). Masakkan yang diberi nama 'asam kapal' ini ada ceritanya. Menurut Tunku Besar Zabedah, resipi tercipta sejak zaman Almarhum Sultan Abu Bakar lagi, ketika banginda sering berlayar ke luar negara. Dan menu ini dimasak di atas kapal. Seakan2 menu singgang atau asam rebus dan berkemungkinan di masak atas kapal, maka ia diberi nama 'asam kapal'....jika che mat tersilap informasi, che mat minta maaf terlebih dahulu yea. Ok jomm kita semak resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
12 biji bendi
5 tangkai kacang panjang
6 ekor udang saiz besar (che mat guna udang harimau)
1 - 2 keping asam gelugor
1 camca besar cili kisar (che mat tambah)
1 biji cili merah, belah 2
1 biji cili hijau, belah 2
1 genggam daun kesom
1 biji bawang besar, belah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci kunyit hidup, tumbuk dan perah jusnya
Garam secukup rasa (che mat masukkan secubit gula)
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Bendi dicuci dan toskan, buang sedikit bahagian pangkalnya dan kerat dua setiap satu. Kacang panjang dicuci, kemudian kerat pendek, anggaran 1 1/2 inci. Udang harimau dibersihkan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan air secukupnya (anggaran 1 liter), cili kisar, jus kunyit, bawang besar belah, bawang putih dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan udang dan bendi. Masak hingga bendi 1/2 empuk.
  3. Tambah kacang panjang dan daun kesom, perasakan dengan garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih hingga kacang dan bendi empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng.

Sunday, December 6, 2015

TUMIS LOKIO CENCALOK BERAYAM

rsz_lac
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Phewww...baru dapat nak mengadap laptop dan baru berkesempatan nak mengadap blog. Hari ni masak menu paling che mat suka, dan paling bess dimakan bersama nasi panas. Biasa sangat kan anda lihat resipi sayur lokio di blog che mat. Lokio atau ada juga orang2 belah utara panggil jambak, sejenis sayuran bebawang yang isi dia sedap, manis dan wangi. Daunnya seakan2 daun kucai tapi bulat dan berongga, kalau kucai daun dia leper dan kita tak cabut dengan isi2nya bila dimasak, hanya guna daunnya sahaja. Kali ni kira buat eksperiman sikit. Pagi tadi che mat goreng mi, jadi ada ada baki isi ayam yang tak habis guna. Apa kata kita masukkan dalam sayur lokio yang memang che mat nak tumis sama cencalok. Bila memasak ni kenalah cuba, kalau tak kita tatau sedap atau tidak kejadiannya. Yang ni che mat rasa sedap dan patut dikongsi bersama anda....Bagi yang nak mencuba, resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cekak sayur lokio (contoh di sini )
1/2 cawan isi ayam yang dihiris memanjang, cuci dan toskan
1/2 camca teh serbuk lada sulah
Secubit garam
2 camca besar cencalok, perah sedikit airnya
1 camca besar sos tiram
1/4 cawan air
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
3 biji cili hijau, hiris
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Sayur lokio dibersihkan, buang akarnya, kemudian potong bahagian bawangnya, ketepikan. Bahagian daun dikerat pendek (kurang lebih dalam ukuran 1 inci). Cuci dan toskan. Isi ayam digaul dengan serbuk lada sulah dan tambah sedikit garam. Gaul rata dan perap sekejap.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan bawang besar. sos tiram dan cencalok. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Tambah hirisan cili merah, cili hijau dan ayam. Kacau dan masak hingga ayam berubah warna.
  3. Tuang air, kacau dan masak sekejap. Tambah bawang lokio, kacau dan masak hingga bawang lokio empuk. Tambah daunnya, kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng....ehemm.

Thursday, December 3, 2015

IKAN DORY MASAM MANIS BERNANAS

rsz_ssf1
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni dah 3 hb December 2015, berbaki 28 hari lagi kita akan menempuh tahun baru 2016. Che mat kadang2 terfikir, macam mana lah nanti kita akan menjalankan kehidupan seharian dengan peningkatan kos sara hidup dengan pelbagai barang, perkhidmatan mula menaikkan harga masing2. Kami di kampung ni tak sedikit banyak boleh jugalah hidup dengan selesa, sebab gaya hidup tidak seperti mereka di bandar2 besar. Apa2 keadaan pun kita kena terpaksa hadapinya. Moga dipermudahkan nanti. Ok, hari ni che mat masak menu yang simple dan sedap. Menu ini sesuai dimakan bersama nasi putih atau nasi berperisa seperti nasi minyak dan sebagainya. Che mat guna fillet ikan dory. Kalau anda tak suka, boleh ganti dengan isi ikan merah, ikan tenggiri atau boleh guna isi ayam. Nanas anda boleh guna yang dalam tin atau yang segar, tapi kalau dapat yang segar lagi bagus..kalau anda ingin mencuba menu sedap mudah ini, anda boleh lihat resipi di bawah..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 keping fillet ikan dory (setiap satu selebar tapak tangan orang dewasa)
1/2 camca teh garam
1 camca teh serbuk lada sulah
1 putih telur
4 camca besar tepung jagung
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning),di potong berbaji
1 1/2 cawan isi nanas yang dipotong kiub
1 biji bawang besar dibelah 6
3 ulas bawang putih, cincang halus (kalau saiz bawang putih besar, guna 2 ulas)
3 camca besar cili kisar
3 camca besar sos tomato*
3 camca besar sos cili*
2 camca besar sos plum*
1 camca teh sos ikan*(*bahan2 sos, disatukan dan kacau rata)
1 cawan air
1 camca teh tepung jagung + 2 camca besar air = dikacau rata
1 camca teh bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi
Sedikit hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Fillet ikan dory dipotong kiub (sebesar saiz ibu jari orang dewasa), kemudian perap dengan jus limau nipis atau jus limau kasturi selama 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Gaul isi ikan tadi dengan serbuk lada sulah dan 1/2 camca teh garam hingga rata, perap 20 minit. Kemudian gaul dengan putih telur dan tepug jagung hingga rata, Goreng terendam hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak dan tinggalkan kurang lebih 4 camca besar. Tumis bawang putih hingga wangi, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan bahan2 sos (*), kacau dan tuang air. Biarkan mendidih.
  3. Masuk nanas dan bawang besar, masak hingga lembut. Tambah traffic light capsicum dan isi ikan dory yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan tuang bancuhan tepung jagung. Masak hingga pekat. Rasa dan jika perlu masukkan sedikit garam atau anda boleh guna sos ikan. Masak sekejap lagi dan matikan api. Tabur dengan bijan dan hirisan daun bawang. Hidangkan segera bersama nasi. Sedap dimakan panas...

Tuesday, December 1, 2015

BAMIA KAMBING

rsz_bamia
Assalammualaikum, salam Selasa semua. Dah makan tengah hari? Apa menu anda hari ni. Che mat hari ni mencuba satu resipi yang biasa dimakan oleh orang2 Johor dari buku masakan Nostalgia Medan Selera. Secara jujur ini pertama kali che mat masak bamia. Bukan takde resipi bamia, tapi entah kenapa ada tu kurang menarik perhatian che mat. Dalam buku masakan Chef Wan pun ada resipi bamia, dan ketika itu belum ada keinginan untuk mencuba. Bamia boleh dibuat menggunakan daging kambing atau lembu. Tapi hari ini che mat gunakan daging kambing. Resipi istimewa ini menggunakan rempah ratus yang dikisar sendiri, walaupun ada disarankan rempah2 tersebut boleh diganti dengan rempah kari, tapi pada che mat bila mencuba satu resipi yang tradisi, kita kenalah gunakan bahan2 yang asli seperti yang disyorkan dalam resipi...

rsz_bamia1
Bamia sedap dimakan bersama roti atau apa saja yang anda suka. Kuahnya agak pekat dan anda boleh tambah sedikit air jika suka lebih berkuah. Tapi dari apa yang che mat lihat, bamia rata2 berkuah pekat. Dicampur dengan bendi dan tomato. Bendi tu kalau besar, anda boleh potong dua. Tapi che mat gunakan sebiji2 sebab saiz bendi agak kecil. Resipi ini tidak menggunakan santan, tapi menggunakan susu. Anda boleh guna susu sejat atau susu segar. Che mat guna susu rendah lemak. Jika anda nak merasai keenakan bamia, anda boleh cuba resipi yang akan che mat kongsikan nanti....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg daging kambing
10 biji bendi, cuci dan toskan
3 biji tomato, dibelah 4 setiap 1
1 cawan susu segar (che mat guna susu rendah lemak)
1 pokok daun ketumbar, kerat kasar
2 biji bawang besar, belah 6 setiap 1
1 camca besar gula melaka
4 camca besar sos tomato
1 biji limau nipis, perah jusnya
3 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca besar jintan putih*
1 camca besar jintan manis*
1 camca teh lada sulah biji*(*digoreng tanpa minyak hingga wangi dan kisar hingga halus)
4 camca besar penuh minyak sapi
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
10 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci kunyit hidup
10 tangkai cili kering, kerat, cuci dan rendam dalam air panas sekejap dan toskan

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, hiris
1 batang kayu manis
10 kuntum bunga cengkih
10 biji buah pelaga (che mat guna 5 saja)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Daging kambing dicuci, kemudian digaul dengan 1 camca besar tepung gandum. Gaul rata2 dan perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Satukan bahan2 kisar halus dengan bahan2 bertanda (*) yang juga telah dikisar halus (gunakan alat pengisar kering), kacau rata hingga menjadi pes rempah. Bendi dicuci dan toskan, kerat atau potong sejurus bila kita nak masukkan bendi ke dalam masakan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi dan bawang layu. Tambahkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa. 
  3. Masukkan daging kambing, gaul rata dan masak hingga daging kecut.Tuang susu dan tambah air (kurang lebih 2 cawan), kacau rata dan biarkan menggelegak, sederhanakan api dan masak hingga daging kambing empuk, tambah air panas jika kuah kering tapi daging kambing belum empuk.Masukkan bendi (kalau bendi agak panjang, boleh dikerat 2 setiap 1) dan bawang besar, kacau dan masak hingga bendi lembut. 
  4. Tambah tomato, gula melaka, jus limau nipis, tomato sos dan daun ketumbar. Kacau rata dan tambah garam secukup rasa. Masak dengan api kecil hingga kuah bamia pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bamia kambing dengan roti...Selamat mencuba!!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.