BEN ASHAARI

Monday, November 30, 2015

PUCUK PAKU CELUR, WARISAN BUGIS

rsz_ppcb
Assalammualaikum, salam semua. Hurmm apa nak masak ni, pening gak. Semalam che mat dah masak kari ikan parang dan juga asam pedas ikan kembong campur nanas, kira typical menu orang Johor. Hari ni nak masak yang senang dan cepat. Ada masa mood ke dapur macam baldi bocor, idea cepat kering. Tempoh hari che mat ada beli pucuk paku perak atau pucuk paku hijau, di sebabkan geram tengok kesegaran pucuk paku tu, ku rembat 3 ikat!...Harga amat berpatutan 3 ikat tu hanya RM 5 saja, kalau beli 1 ikat RM 2. Bila dah siang boleh tahan juga banyaknya. Satu tips untuk mengekalkan sayur anda segar, ialah, lepas anda siang, masukkan ke dalam mangkuk bertutup (che mat guna bekas plastik bulat saiz besar yang biasa orang isi kuih bahulu tu). Kemudian simpan dalam peti sejuk, in sha Allah anda simpan 3 hari pun sayur masih segar, tapi dengan syarat, anda jangan cuci sayur tadi, nanti lecur...

rsz_ppcb1
Bercerita pasal resipi pucuk paku celur ini, che mat pernah bikin sekali dulu. Pertama kali merasa semasa menghadiri majlis perkahwinan adik pada kenalan FB che mat,  Puan Mia Madiha Amin yang berketurunan Bugis dari Benut. Resipi warisan ini dari nenda beliau dan dikongsi dengan che mat. Cara membuatnya mudah, bahan2 pun tak banyak. Tapi rasanya, ehemm, mantap okeh, boleh makan macam tu saja seperti kita makan pecal atau rojak. Kalau nak makan sama nasi pun takde masalah. Yang penting pucuk paku harus ada. Bagi anda yang tak pernah cuba, che mat sarankan cuba dan rasai kesedapan makanan warisan kita....Resipi seperti berikut

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 ikat pucuk paku hijau @ pucuk paku perak @ pucuk midin (satu ikat kurang lebih 1 cekak)
1 1/2 kacang tanah
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 ulas bawang putih, saiz sebesar ibu jari orang dewasa
10 - 15 biji cili padi kampung
1 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa
Air masak secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK PUCUK PAKU:- Panaskan air untuk mencelur pucuk paku, masukkan sedikit garam dan 1/4 camca teh minyak masak. Pucuk paku diasingkan dari tangkainya. Cuci dan toskan. Bila mendidih, masukkan pucuk paku tadi. Balik2kan dan celur 30 saat. Matikan api dan toskan pucuk paku. Biarkan sejuk.
  2. UNTUK KUAH KACANG:- Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga keperangan, Sejukkan dan buang kulitnya. Tumbuk kacang hingga hancur. Ikan bilis ditoskan, perah hingga kering dan goreng sampai garing. Angkat dan toskan. Masukkan ikan bilis goreng, bawang putih dan cili padi ke dalam lesung batu. Tumbuk hingga halus.
  3. Dalam mangkuk lain, satukan bahan2 tumbuk, kacang tanah tumbuk dan santan. Kacau rata, tuang air masak secukupnya, pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Tambah garam dan gula secukup rasa. Kacau hingga semua sebati. Ketepikan.
  4. UNTUK PUCUK PAKU CELUR:- Ambil secukupnya pucuk paku yang telah dicelur tadi dan taruk dalam bekas sesuai. Tuang kuah kacang atasnya dan kalau suka boleh hias dengan sedikit cilipadi yang dihiris halus. Hidangkan sebagai pembuka selera....Selamat mencuba!!.

SELAMAT HARI LAHIR BEN ASHAARI - 2015

Seperti biasa setiap 30 hb November jiran che mat, Ben Ashaari akan bertambah usia. Tahun ni nak tulis entri yang ringkas, tak payah sampai 300 patah perkataan. Yelah dah setiap tahun ucapan pun tetap yang sama...doa pun yang sama..takkan nak doa dia nikah satu lagi yea dak. Ada kang Azila baling lesung batu dari Salak Tinggi sampai ke Sedenak...takutttnyaaa!!..

Buat 'musuh' no 1 che mat, Ben Ashaari...Selamat hari lahir, moga diberi kesihatan berpanjangan, dimurahkan rezeki, dilindungi dari segala keburukkan dunia dan akhirat. Dugaan datang dan pergi, yang tabah tetap berdiri gagah. Tapi ada ketika kita goyah... Adatlah sebagai seorang insan bergelar manusia. Namun itu semua 'kekuatan' yang menjadikan anda kekal hingga ke hari ini....Moga tambah berjaya di hari2 mendatang.....aminn..

Terima kasih pada yang sudi baca entri ringkas ini...Pada anda yang tertanya2 sapa Ben Ashaari dengan Che Mat?...Kami bersahabat dalam dunia blog dan juga di dunia nyata. Walaupun dia dah popular sekarang (keluar masuk TV, Surat Khabar, Majalah, Radio, Duta Produk dan sebagainya)...Dia masih orang yang sama (tapi kan memang dia dah lain sikit lah sekarang ni)....tetap baik (baiklah jugaaa...haha).... Apa2 pun saya bangga dengan anda....Good job Ben Ashaari...

Saturday, November 28, 2015

MI HOON GORENG LOKIO

rsz_mhgl1
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Hari ni che mat bersarapan mi hoon goreng. Rasanya lama juga tak menggoreng mi hoon. Pagi tadi lepas subuh, che mat dah rendam mi kasi lembut. Kurang lebih jam 7.30, kita ke dapur dan mulakan proses seterusnya. Atas sebab2 tertentu che mat tak taruk udang atau sotong dalam mi hoon goreng. Digantikan dengan fishcake, daging ayam dan tauhu goreng. Teringat bonda che mat dulu, kalau dia goreng mi hoon, mesti taruk lokio sebab rasanya lebih manis dan wangi dari kucai, terutama bahagian bebawangnya. Sebab semalam che mat ada beli lokio, boleh lah masukkan dalam mi hoon goreng. Kalau anda suka, boleh tambah sedikit tauco, Nampak ada sambal tumis tu kan, sebabnya mi hoon che mat kurang pedas. Jadi kasi topup sikit dengan sambal tumis. Bagi anak2 yang nak mencuba goreng mi hoon, meh che mat kongsikan resipinya..

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram mi hoon, rendam sampai lembut
1/2 cawan isi ayam yang dihiris memanjang*
1/4 camca teh serbuk lada sulah*(*disatukan dan perap sekejap)
1 keping fishcake, hiris nipis
1 keping tauhu, didadu kecil dan goreng
1 cekak sayur lokio, diasingkan bahagian bawang dan daunnya
2 genggam taugeh, dibersihkan, cuci dan toskan
3 - 4 camca besar cili kisar
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang besar*
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan*(*dikisar halus)
1 biji bawang besar, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
Telur didadar nipis, gulung dan hiris
Hirisan cili merah, dihiris
Hirisan daun sup, dihiris
Hirisan timun
Bawang goreng
Limau kasturi, dibelah 2
Sambal tumis (optinal)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan 1/4 cawan minyak. Tumis hirisan bawang besar dan bawang putih hingga harum dan perang. Masukkan bahan2 kisar halus dan juga cili kisar. Kacau rata dan masak hingga naik minyak. Tambah cili sos dan tomato sos. Kacau rata dan masukkan isi ayam. Masak hingga isi ayam berubah warna.
  2. Tambah tauhu goreng, fishcake dan air. Kacau dan biar mendidih. Tambah bawang dari lokio tadi. Tambah garam secukup rasa dan masukkan mi hoon, kecilkan api dan gaul hingga semua rata dan sebati. Jika mi hoon masih keras, masukkan sedikit air dalam 1 - 2 camca besar.
  3. Masukkan daun lokio dan taugeh. Gaul hingga rata dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika semua ok (mi hoon dah lembut), boleh matikan api. Hidangkan dengan hirisan telur dadar, daun sup, bawang goreng, cili merah, hirisan timun, limau kasturi dan jika suka boleh tambah sambal tumis....Selamat mencuba!!

Friday, November 27, 2015

TERUNG KICAP PEDAS..

rsz_tkp
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Che mat curi2 masa untuk update blog. Hari ni masak yang betul2 simple tapi cukup sedap ditekak che mat. Mungkin resipi ini dah ada dalam entri2 lepas, tapi che mat tetap juga jadikan ia entri. Bagi yang menggemar masakan mudah ini, mungkin anda boleh tambah koleksi resipi berasaskan terung dalam simpanan anda. Selain senang dimasak, ia juga tidak menggunakan bahan2 yang banyak. Sedap dimakan bersama nasi panas yang dimasak lembut atau boleh juga dimakan bersama bubur nasi. Disebabkan saiz terung yang che mat guna kecil, maka ku guna dalam 7 - 8 biji, kalau terung biasa, anda boleh guna sebiji terung ungu saiz besar. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
7 - 8 biji terung saiz kecil (atau 1 biji besar terung ungu)
1 camca besar ikan bilis
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar cili kisar
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 biji cili merah, hiris memanjang
1 biji cili hijau, hiris memajang
4 camca besar kicap lemak manis JALEN
1/2 camca besar kicap pekat JALEN
1/4 camca teh cuka makan JALEN
4 camca besar air
Sedikit daun sup untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Terung dicuci dan toskan. Kemudian belah 2 tapi tak putus setiap 1. Gaulkan dengan sedikit garam hingga rata. Kemudian goreng sekejap dalam 20 saat. Angkat, toskan dan taruk atas tissue dapur bersih agar minyak terserap. Susun terung dalam mangkuk sesuai. Ketepikan.
  2. Ikan bilis dibersihkan, cuci, toskan. Kemudian goreng hingga garing, angkat dan ketepikan. Panaskan 3 camca besar minyak masak, tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing.
  3. Masukkan kicap lemak manis, kicap pekat, serbuk lada sulah dan air. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan bawang besar, cili merah dan hijau. Masak hingga pekat sedikit. Akhir sekali masukkan cuka makan, Kacau dan matikan api.
  4. Tuang atas terung yang telah disusun dalam mangkuk tadi. Tabur ikan bilis goreng dan hiaskan dengan daun sup. Hidangkan segera bersama nasi putih, sambal belacan dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!..

Wednesday, November 25, 2015

RENDANG KERANG CENDAWAN KUKUR

rsz_rkck
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Ok hari ni che mat masak satu saja menu, selebihnya makan lauk yang masih ada. Mesti anda dah biasa lihat resipi rendang kerang samada dalam blog ini atau blog teman2 masakan yang lain. Tapi kalau rendang kerang yang dicampur cendawan kukur mungkin agak jarang yang buat. Kebetulan che mat ada isi kerang yang telah direbus dalam 2 cawan macam tu, saiznya agak besar. Dan ada baki cendawan kukur yang telah che mat keringkan dalam 1 cawan (perlu direndam dulu hingga kembang dan dibersihkan), jadi che mat masukkan sekali dalam rendang kerang. Rasanya memang 'sesuatu'...sedap, nak2 bila anda makan sama nasi panas. Kalau takde cendawam kukur, tak payah taruk pun boleh. guna saja kerang. Che mat cuma memvariasikan resipi agak nampak lebih menarik. Tiada paksaan untuk anda ikut 100%. Kalau anda ingin mencuba, meh che mat kongsikan resipi dan cara membuatnya seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan isi kerang yang telah direbus
1 cawan cendawan kukur
2 camca besar penuh kerisik
2 helai daun kunyit. 1 disiat, 1 lagi dimayang halus
10 biji cili padi merah, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1/2 cawan cili kisar
1 keping asam gelugor
2 cawan santan pekat
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Sedikit air panas, jika perlu
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
4 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Cendawan kukur dibersihkan. Rendam hingga kembang (dalam 15 minit macam tu), cuci dan toskan. Perah sedikit, kemudian tumbuk dalam lesung batu, tapi jangan tumbuk sampai hancur, tumbuk memar2 saja. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan cendawan dan daun kunyit yang disiat. Kacau rata dan masak dengan api perlahan hingga pekat. Masukkan asam gelugor, gula melaka dan kerisik, kacau rata. Tambah kerang dan belahan cili padi merah. Gaul rata dan masak hingga hampir kering (kalau suka sedikit berkuah, anda boleh tambah sedikit air panas)
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan daun kunyit yang dimayang halus. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Monday, November 23, 2015

ASAM TUMIS UBI KAYU SAMA IKAN MASIN

rsz_atuk
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat termengidam satu menu nostalgia yang pernah arwah tok che mat masak dulu (al-fatihah untuk arwah). Mungkin anda pernah makan, kalau bukan anda, ibu atau ayah anda pernah makan. Menjadi kelaziman ketika dulu, orang akan masak apa sahaja yang ada di sekeliling mereka terutama di zaman darurat. Contohnya ubi kayu, tumbuhan yang banyak berjasa pada manusia. Kata bonda zaman dulu masa beras dicatu, ada yang mencampurkan parutan ubi kayu semasa memasak nasi. Selain itu ubi kayu boleh dipelbagaikan samada menjadi kudapan atau cemilan seperti kerepek, opak dan macam2 lagi. Juga boleh dijadikan kuih-muih seperi belebat/lepat ubi, kuih bingka, kuih talam dan kaedah penyediaan paling mudah, direbus atau digoreng.

rsz_1atuk1
Kali ini che mat masak asam tumis sama ikan masin kurau, che mat guna tulang ikan kurau yang masih ada isi. Satu petua untuk mendapat rasa asam tumis ubi kayu yang sedap ialah, air rebusan ubi kayu jangan dibuang tapi dimasukkan sekali dalam masakan. Jika anda tak suka ikan masin, boleh guna ikan bilis. Dalam gambar di atas tu che mat ada juga masak rebus pucuk paku merah sama rebung madu segar. Yang tu tak perlu resipi sebab rebus gitu2 saja dan masukkan perencah yang anda suka, paling senang guna ikan bilis. Kalau suka pedas, ketuk2kan 3-4 biji cili padi. Oh yea sebelum terlupa, bekas mengkuk tingkat istimewa yang che mat guna tu pemberian YAM Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar, Johor...comel kan, dan pertama kali che mat guna untuk prop dalam gambar masakan...Terima kasih sekali lagi YAM Tunku atas ingatan...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram ubi kayu
4 - 5 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi
1 helai daun kunyit
1 senduk cili kisar
1/2 camca teh kunyit serbuk
2 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Tulang ikan masin dicuci bersih, kemudian rendam 1 jam. Ubi kayu dikupas, potong berbaji (atau secara tradisinya ditakik2 pada saiz sederhana). Rebus ubi kayu hingga 3/4 empuk dan masukkan sedikit garam semasa merebus. Tak perlu ditos, ketpikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak dalam periuk. Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing. Masukkan air rebusan ubi dan tambah sedikit lagi air (anggaran 1 cawan), kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan masin (toskan), asam gelugor dan juga ubi rebus. Kacau perlahan dan biar mendidih hingga ubi empuk sepenuhnya. Tambah garam secukup rasa, sedikit gula dan masukkan daun kunyit. Kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk pauk yang lain...Selamat mencuba!!


Sunday, November 22, 2015

RESIPI IKAN KUAH LADA

rsz_ikl
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Cuti sekolah dah pun bermula, maka undangan ke majlis2 perkahwinan sudah mula memenuhi kalender masing2. Moga semuanya dipermudahkan dan majlis2 anda mendapat rahmat Allah swt...aminnn. Ok, hari ni che mat ubah selera sikit, kalau tu hari dah masak menu masakan Johor, hari ni kita masak pulak menu tradisi orang2 peranakan Nyonya, iaitu ikan kuah lada. Che mat gunakan ikan pari dalam 500 gram. Ikan kuah lada ni ada beberapa versi dan yang ni che mat masukkan sebiji cili merah untuk mendapat warna yang lebih menarik. Bahan penting untuk masakan ikan kuah lada ialah lada sulah atau lada putih dan buah keras untuk mendapat rasa lemaknya. Che mat masukkan terung, oleh kerana saiz terung tu saiz kecil, guna lah dalam 5 biji, kalau saiz biasa, anda guna sebiji dah memadai. Resipi memang mudah dan tidak pedas. Resipi seperti di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram ikan pari, potong kecil, cuci bersih dan toskan
5 biji terung ungu saiz kecil (atau 1 biji yang saiz besar)
1/2 cawan jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 biji cili merah
1 inci belacan
1/2 camca besar lada sulah
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 5 camca besar), masukkan bahan2 kisar halus dan tumis hingga naik minyak. Guna apa kecil dan kacau sentiasa. Tuangkan air secukupnya (anggaran 500 ml) dan juga jus asam jawa. Kacau dan biarkan mendidih,
  2. Masukkan ikan pari, kacau dan tambah terung (dibelah 2 tapi tak putus setiap 1). Masak dengan api sederhana hingga terung lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam2man...Selamat mencuba!
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda guna terung ungu saiz besar, potong terung pada 3 - 4 bahagian dan belah 2 setiap potongan. Pastikan anda rendam dalam air yang dicampur sedikit garam, toskan dan masukkan ke dalam masakan bila tiba masanya...

Saturday, November 21, 2015

ACAR IKAN GORENG

rsz_aig
Assalammualaikum, salam Sabtu. Alhamdulillah che mat dah ok,dah sehat dan suara kembali bertukar mekar seperti apam merekah...haha, dah tak mono lagi. Hari ni nak berkongsi satu lagi resipi masakan Johor dari buku masakan Nostalgia Meda Selera. Entah kenapa, che mat tertarik dengan resipi2 dalam buku ini. Gaya masakannya memang gaya orang zaman dulu2 masak, terutama teknik memasukkan garam semasa menumis bahan2 perencah. Resipi ke dua yang che mat cuba dari buku tersebut ialah acar ikan goreng. Pada mulanya, che mat ingat ia seperti acar biasa atau pun seperti ikan masak cuka. Tapi bila lihat gambar aslinya dalam buku, ia seperti sambal tumis dan ada penggunaan rempah ratus seperti jintan halus, jintan kasar, ketumbar dan cili kering. Jika anda nak dapatkan buku Nostalgia Medan Selera, anda boleh baca di sini...

rsz_aig1
Che mat guna 5 ekor ikan kembong saiz besar. Rasanya anda boleh guna apa2 ikan yang anda suka seperti ikan cencaru, ikan bawal atau pun ikan tenggiri. Ia berkuah pekat dan rasanya seimbang, tapi bagi mereka yang suka rasa lebih manis sedikit, tak salah masukkan lebih sedikit gula. Kerana dalam resipi ini, penggunaan cuka makan agak banyak iaitu 1 cawan (250 ml) tapi che mat guna 200 ml, kalau anda buat dalam kuantiti tak banyak, boleh lah kurangkan sukatan cuka makan. Resipi tradisi ini perlu ada kesabaran jika kita nak mencuba. Contohnya untuk memasak kuah acar ini sebelum dimasukkan ikan, ia perlu direnih dengan api kecil selama 30 minit. Bagaimana pula rasanya?....Sedap dan enak dimakan bersama nasi putih. Cicah sama roti pun tak kurang sedapnya....Kalau nak mencuba che mat kongsikan resipinya di bawah ini. 

BAHAN - BAHANNYA :-)
5 keping @ 5 ekor ikan pilihan anda (che mat guna ikan kembong besar), siang dan cuci bersih*
1 camca teh serbuk kunyit*
3/4 camca teh garam*(*digaul rata dan perap sekejap)
4 camca besar ketumbar
1 camca teh jintan manis
1 camca teh jintan putih
15 tangkai cili kering, kerat pendek, buang biji dan rebus hingga lembut, toskan
1 camca teh rata serbuk kunyit
4 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji bawang besar, dibelah 4 setiap 1
250 ml cuka makan (che mat guna cuka JALEN dalam 200 ml)
5 biji cili merah, belah 2 setiap 1 (che mat guna 2 biji cili merah dan 2 biji cili hijau)
Garam dan gula secukup rasa (boleh juga guna serbuk perasa, jika suka)
Air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan digoreng hingga keemasan pada kedua2 bahagian, angkat dan ketepikan. Kisar cili kering, ketumbar, jintan manis, jintan putih, bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 100 ml), tumis bahan2 kisar halus bersama sedikit garam hingga harum dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan cuka makan dan gula (anggaran 2 - 3 camca besar penuh). Kacau rata renihkan selama 30 minit, tambah air jika perlu.
  3. Masukkan ikan goreng, bawang besar, cili belah dan serbuk perasa (jika guna), balik2kan ikan tadi dan masak hingga bawang dan cili lembut serta kuah acar pekat (kurang lebih 25 - 30 minit), gunakan api kecil. Rasa dan tambah garam atau gula jika perlu. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas....Selamat mencuba!

Friday, November 20, 2015

MASAK LEMAK LABU SAMA PUCUK TURI

rsz_glmpt
Assalammualaikum, salam semua. Sepatutnya entri ini siang tadi dan up dalam blog, tapi ada pekara2 yang tak dapat dielakkan, terpaksa che mat taruk waktu malam, huhu takpe lah sekurang2nya boleh beri anda idea memasak untuk esok. Hari ni che mat masak lemak labu dan dimasukkan pucuk turi. Labu tu saiznya agak besar dan hanya guna kurang lebih 1/3 bahagian sahaja (tapi dalam resipi che mat tulis sebiji labu saiz sederhana). Plan asal bonda che mat punya idea. Labu tu asalnya che mat nak bikin kuih bingka, tapi dalam masa sama ada juga permintaan pengat labu, nasib baik saiznya besar, boleh masak 2-3 kali. Menu macam ni boleh dikategorikan sebagai masakan tradisi atau hidangan kampung. Seperti biasa, kalau ada lauk macam ni, sambal belacan wajib ada, kalau tidak, macam cacat tak lengkap. Tambahkan lagi dengan ikan masin ke, ikan pekasam ke atau paling tidak pun ikan goreng. Menu tiga serangkai ini selain mudah dimasak, ia juga menjimatkan masa. Meh che mat kongsikan resipinya...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji labu manis saiz sederhana
1 cekak pucuk turi
2 batang serai
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
1200 santan cair
400 ml pati santan
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kupas labu manis, kemudian potong kiub besar. Pucuk turi diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan (boleh juga disimpul, kalau anda suka). Serai dititik. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan labu, ikan bilis, bawang besar, bawang putih, serai titik dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih, masak hingga labu 1/2 empuk.
  3. Masukkan pucuk, kacau perlahan dan masak sekejap. Kemudian tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api sederhana sambil dikacau sentiasa hingga mendidih. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan masin @ ikan goreng.

Tuesday, November 17, 2015

ACAR REBUNG MADU

rsz_ar
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat kongsikan satu yang sedap dimakan bersama nasi putih atau nasi berperisa seperti nasi minyak, nasi beriani dan sebagainya. Acar rebung madu menjadi hidangan che mat semalam, selain 'kari ikan gaya Johor'. Memandangkan buat masa sekarang ni buluh madu agak galak mengeluarkan rebung, jadi che mat jadikan ia acar. Resipi tidak susah dan che mat tak guna udang kering atau ikan bilis, sebab ada yang berpantang. Che mat guna kurang lebih 450 gram rebung madu yang telah siap dicelur dan dihiris kecil. Rebung madu segar perlu direbus dalam air yang dicampur garam. Toskan dan kemudian direbus sekali lagi, kali ni dimasukkan sedikit gula (terima kasih pada teman2 FB yang memberi tips merebus rebung madu), kemudian toskan, boleh guna untuk masak menu yang anda suka. Kalau nak mencuba, che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
450 gram rebung madu yang telah direbus, hiris kecil seperti anak mancis
10 biji bawang merah, belah 2 setiap 1
10 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1 inci halia muda, mayang halus
2 biji cili merah, kerat 3 setiap 1, buang biji dan hiris memanjang
2 biji cili hijau, kerat 3 setiap 1, buang biji dan hiris memanjang
4 camca besar cuka makan JALEN
3 - 4 camca besar penuh gula (atau secukup rasa)
1 camca teh serbuk kunyit
3 camca besar cili kisar
2 camca besar sos tomato
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 camca besar biji sawi

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan 4 camca besar minyak, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak sekejap. Tambah bahan2 kisar dan sos tomato. Kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan halia, bawang putih dan bawang merah, kacau dan masak hingga bawang layu.
  2. Masukkan gula, serbuk kunyit dan cuka makan. Kacau dan masak hingga pekat. Tambah cili merah, cili hijau dan rebung. Gaul hingga semua rata. Perasakan dengan garam secukup rasa. Masak hingga pekat dan rasa, jika kurang gula, masukkan sedikit lagi gula dan jika kurang rasa masam, tambah sedikit cuka makan. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Monday, November 16, 2015

KARI IKAN GAYA 'JOHOR'

rsz_kigj
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat masak kari ikan gaya Johor. Sengaja nak mencuba resipi 'lama' orang Johor dulu kala. Memandangkan ada baki ikan tenggiri dalam freezer, elok che mat habiskan, kalau simpan lama2 nanti tak sedap. Resipi kari ikan gaya Johor ini tidaklah susah hendak dimasak. Che mat jadikan buku masakan Nostalgia Medan Selera yang che mat beli tempoh hari sebagai rujukan. Cuma che mat sesuaikan sukatan bahan2 mengikut banyak ikan yang che mat guna. Che mat guna ikan dalam 600+ gram. Boleh guna apa saja jenis yang anda suka, tapi kebiasaannya ikan tenggiri paling sesuai dimasak kari. Seperti resipi kari ikan yang lain, anda boleh masukkan bendi, terung atau tomato sebagai bahan pendamping. Resipi ini kuahnya tidak terlalu pekat atau cair, pada che mat sedang2 elok saja. Tidak menggunakan rempah kari biasa, tapi ia diadun dari rempah2 berasingan. Che mat guna rempah2 yang telah dikisar halus, kemudian sukat mengikut resipi yang diberi.

rsz_medan_selera_jhr
Ini rupa keluaran terbaru buku Nostalgia Medan Selera. Cetakkan pertama diiterbitkan dalam tulisan jawi pada tahun 1958. Cetakkan pertama tulisan rumi pada tahun 1971 dan seterusnya cetakan rumi versi kedua pula telah diringkaskan dari cetakan rumi yang pertama. Terkini (seperti dalam gambar), diterbitkan pada Ogos 2012. Jika anda ingin mendapatkannya, boleh hubungi (wassap) Puan Halimah Ashari - 012 382 8951. Buku versi Bahasa Melayu berharga RM 65.00 dan Bahasa Inggeris RM 90.00 (kulit tebal). Pada che mat tak rugi membeli, ada nilai2 sejarah terutama bagi anak2 jati Johor. Buku ini amat ekslusif dan tidak dijual di kedai2 buku.. 

BAHAN-BAHANNYA :-) 
600 gram ikan tenggiri (atau sebarang ikan pilihan anda)
3 camca besar serbuk ketumbar*
1 camca teh serbuk jintan manis*
1 camca teh serbuk jintan putih*
1 camca besar serbuk kunyit*(*bahan2 rempah kari, disatukan dan gaul rata)
500 ml santan segar
12 biji bendi (che mat guna bendi jenis kontot, jadi tak dikerat)
2 biji tomato, dibelah 3 setiap 1
100 ml jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa (boleh guna serbuk perasa jika suka)
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
15 tangka cili kering, kerat pendek, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit, toskan
1 inci halia

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai daun kari
1 camca teh biji sawi
1 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan dipotong ikut suka, cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis atau jus limau kasturi selama 10 minit. Cuci kembali hingga bersih dan toskan. Satukan bahan2 kisar halus dengan bahan2 rempah kari (*) dan kacau rata hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan). Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi dan layu. Tambah pes rempah dan 1 camca teh garam. Kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang sedikit air (anggaran 1 1/2 cawan), kacau dan masak sekejap hingga mendidih. Masukkan ikan, air asam dan santan. Kacau perlahan, bila mendidih. tambah bendi dan masak hingga bendi lembut. Perasakan dengan garam secukupnya (rasa dulu sebab masa menumis rempah tadi kan dah masukkan sedikit garam). Tambahkan juga sedikit gula atau serbuk perasa.
  4. Akhir sekali masukkan belahan tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan kari ikan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman. Jika suka anda boleh masukkan belahan cili merah dan hijau, serta bawang besar yang dibelah 6....Selamat mencuba!!

Saturday, November 14, 2015

KURMA AYAM TELUR REBUS

rsz_kaj
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat rebus ketupat segera NONA atas permintaan Bak dan dalam masa sama ada juga permintaan kurma ayam. Che mat masak seringkas yang boleh dan kali ni gunakan susu sejat. Biasanya atas permintaan Bak, che mat gunakan santan. Rempah kurma anda boleh guna apa2 jenama yang anda suka, samada Baba's, Adabi dan lain2. Tapi kali ni che mat guna rempah kurma timbang yang didatangkan khas dari Batu Pahat, dari kedai Syarikat Ismail Yahya yang terkenal di bandar Batu Pahat. Kedai ini menjadi tumpuan peniaga2 makanan untuk membeli rempah ratus sebagai ramuan masakan mereka. Rempah dibancuh dari bahan2 terpilih berdasarkan pilihan menu apa yang anda ingin masak.

rsz_kaj1
Masakan kurma kali ni che mat masukkan telur rebus dan kentang. Disebabkan Bak tidak boleh makan pedas maka che mat masukkan 2 biji cili hijau yang dikisar halus. Untuk menambah rasa, sedikit kismis dikisar bersama bahan2 lain dan che mat tambah juga sedikit gula melaka. Jika anda suka masakan kurma yang cair sedikit, jangan masak terlalu lama. Disebabkan che mat makan sama ketupat, memang perlukan kuah kurma yang agak pekat sedikit. Ada yang masukkan kacang badam kisar ke dalam masakan kurma untuk mendapat rasa lemak dan ini juga boleh menjadikan kuah masak kurma menjadi pekat. Rahsia masakan kurma yang sedap ialah dengan menambah sedikit minyak sapi dalam minyak tumisan. Nak mencuba?...ok, che mat tuliskan resipi seperti di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam dikerat 12 atau ikut suka, cuci bersih dan toskan
5 biji kentang, kupas dan belah 2 setiap 1, rendam
5 biji telur rebus
4 camca besar penuh rempah kurma
1/2 biji buah pala, disagat halus
1/2 cawan susu sejat (susu cair)
1 camca teh penuh gula melaka
1 1/2 camca besar minyak sapi
1/2 biji limau nipis, perah jusnya
Garam secukup rasa
1 biji cili merah, belah 2
1 biji cili hijau, belah 2
1 pokok daun ketumbar, kerat kasar
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji cili hiijau
2 camca besar kismis, rendam dalam sedikit air panas
1 biji tomato yang masak ranum (pilih yang warna merah)

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang direbus hingga empuk. Tos dan sejukkan, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan ketepikan. Kemudian goreng pula telur rebus hingga kekuningan, angkat dan ketepikan. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kurma dan parutan biji buah pala, kacau rata hingga menjadi pes rempah. Tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan), masukkan minyak sapi. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang layu. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), kacau dan biar hingga mendidih. Masukkan susu cair, jus limau nipis, gula melaka dan garam secukup rasa. Kacau dan masak dengan api kecil hingga ayam masak.
  4. Tambah kentang dan telur rebus goreng. Kacau perlahan dan masak hingga pekat (kalau suka berkuah, boleh tambah sedikit air panas). Akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar, cili merah dan cili hijau. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ketupat atau nasi. Jika suka boleh tabur hirisan daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!


Friday, November 13, 2015

PERIA KAMBAS TUMIS ISI AYAM

rsz_pga
Salam semua, ada satu entri tertinggal dalam draft yang belum sempat che mat masukkan sebagai entri. Entri ini agak biasa, tapi ia bukan sebarangan. Ini resipi khas untuk mereka yang punya penyakit gaot yang tak boleh makan makanan laut dan sebagainya. Tapikan kadang2 ada benda yang boleh dimakan oleh pesakit lain tapi menjadi sebab penyakit pada pesakit gaot yang lain, masalah juga tu. Contohnya peria kambas ni, Bak che mat makan ok, tapi ada sorang mak sedara che mat tak boleh makan, kalau makan sendi2 jadi sakit dan bengkak..hurmm payah juga kan. Selalunya kalau tumis peria, che mat guna udang dan masukkan tauco, tapi terpaksa kena ubah dari segi perencah untuk mereka yang berpantang. Kalau anda nak mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti di bawah ini.. 

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji peria kambas saiz sederhana
1 keping dada ayam, dipotong kiub*
1/4 camca teh garam*
1/2 camca teh serbuk lada sulah*(*disatukan dan perap sekejap)
2 biji telur, dipukul sedikit
1/3 cawan air
Garam secukup rasa
Secubit gula

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Sebesar ibu jari ikan tenggiri jeruk (digoreng dahulu)
1 biji cili merah
1 biji cili hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Peria dibelah 2, kemudian buang bahagian dalamnya, belah lagi kepada 2 bahagian dan hiris sederhana tebal. Rendam dalam air yang dimasukkan 1 camca teh penuh garam, rendam selama 10 - 15 minit,kemudian cuci dan toskan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan isi ayam, kacau dan masak hingga isi ayam berubah warna. Tambah air, kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan peria kambas, kacau rata dan masak hingga peria lembut. Perlahankan api, kemudian curah telur disekeliling sayur peria tadi. Biar sekejap hingga kelihatan telur mengental. Gaul hingga rata dan masakan menjadi pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

IKAN AIR TAWAR MASAK LEMAK TEMPOYAK

rsz_tgt
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Ok, hari ni che mat kongsikan satu menu yang mungkin tidak menjadi pilihan bagi mereka yang tidak makan ikan air tawar. Dalam keluarga che mat, bukan semua yang makan ikan air tawar. Che mat dan bonda saja yang makan. Jadi cara macam mana nak masak, semua terpulang pada kami berdua. Biasanya di Sedenak, kalau musim hujan, akan ada penduduk2 di sini yang memasang jaring di tasek, tu jam banyak dapat ikan air tawar. Bonda che mat antara penggemar ikan terebul, sejenis ikan air tawar. Dan menu yang sering menjadi pilihan mestilah dimasak lemak cili padi campur tempoyak. Resipi amat mudah dah ia lebih kepada menu tradisi orang Negeri Sembilan. Ikan sungai perlu dicuci bersih, untuk menghilangkan bau hanyirnya. Biasanya sebelum disiang, ikan akan dilumur dengan asam jawa, untuk membuang lendirnya. Kemudian bila dah disiang, sekali lagi, ikan digaul dengan tepung gandum dan perahan jus limau nipis, perap sekejap dan cuci bersih. Gaulkan dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, perapkan sekejap. Ok boleh mula memasak...jommm!!.

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan terebul selebar tapak tangan orang dewasa (sejenis ikan air tawar)
4 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
350 ml pati santan
1200 ml santan cair
Garam secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung jenis hijau
2 inci kunyit hidup
2 camca besar penuh tempoyak

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan terebul dilumur dengan asam jawa untuk membuang lendirnya, kemudian buang sisik dan siang, cuci bersih dan kelar sedikit. Gaul dengan sedikit tepung gandum dan perahan jus limau nipis. Perap 10 minit, kemudian cuci bersih. Lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit hingga rata. Goreng ikan tadi hingga kuning keemasan, angkat dn ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar ke dalam periuk bersama santan cair, serai dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan ikan yang digoreng tadi dan sedikit air jika perlu. Kacau perlahan dan masak sekejap.
  3. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau dan biar mendidih dengan api perlahan sambil dikacau sekali sekala. Masa untuk 2 - 3 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ulam2man.
CATATAN MAT GEBU :- Jika semasa anda menyiang ikan dan ada telur dalam perut ikan. Keluarkan berhati2, cuci bersih dan buang urat2nya. Gaulkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Kemudian bungkus telur ikan dengan daun kunyit dan masukkan ke dalam kuah masak lemak sebelum anda masukkan ikan. Kacau perlahan dan masak seperti biasa....Selamat mencuba!!


Thursday, November 12, 2015

ENGLISH POUND CAKE...SEKALI LAGI..

rsz_bpc
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Kali terakhir che mat update blog bila yea...hurmmm Ahad lepas kalau tak silap. Sebenarnya ada beberapa sebab yang buatkan mood che mat agak merudum, pertama kesihatan sejak2 ni kurang memuaskan, demam, selsema, batuk, sakit tekak, kira pakej lengkap. Satu lagi internet punya lah perlahan, macam siput sakit lutut, nak edit gambar pun makan berjam, dan akhirnya semua terbantut. Hari ni che mat gagahkan diri untuk update serba ringkas. Resipi pun sebenarnya ulang tayang. Buat semalam untuk menjadi teman blogger masak2 Kak Azura Rahman yang sudi singgah ke pondok che mat. English pound cake ini amat mudah dibuat, che mat memang sarankan pada anak2 atau mereka yang baru nak cuba bikin kek mentega, anda boleh cuba resipi ini. Bahan2nya pun tidak banyak dan cara membuatnya tidak rumit.

rsz_bpc1
Kalau dalam entri sebelum ni che mat bakar dalam bundt pan, kali ni guna acuan berukuran 8 inci x 4 inci  3 inci dan ini baru kena dengan namanya 'pound cake'. Naiknya cantik dan ketinggiannya juga sesuai. Kek ini akan turun sedikit bila sejuk. Tapi ia amat lembap, lemak dan harum dengan bau mentega serta vanilla. Jika anda suka, boleh masukkan parutan kulit oren atau nak bikin kek marble juga boleh, cuma cedok keluar 4 - 5 camca besar adunan, dan campurkan serbuk koko yang dibancuh dengan sedikit air panas. Kemudian boleh anda marblekan ikut kreativiti masing2. Walaupun che mat pernah kongsi resipi kek ini dulu, takpe, che mat tuliskan sekali lagi...Selamat mencuba!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
185 gram mentega berkualiti tinggi (scs, anchor, emborg, golden churn dll)
150 gram tepung kek (boleh guna tepung gandum)
1 camca teh rata baking powder
130 gram gula kastor (resipi asam 150 gram)
Secubit garam halus
3 biji telur gred A*
3 camca besar susu segar*
1 1/2 camca teh esen vanilla*(*disatukan dan kacau hingga sebati)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser tin berukuran 8 inci x 4 inci x 3 inci dengan mentega. Alas dasar tin dengan kertas minyak dan lenser juga kertas tadi, Ketepikan. Ayak tepung, baking powder dan garam halus ke dalam mangkuk adunan. Gaul rata.
  2. Masukkan mentega, gula kastor dan 1/2 bahagian bancuhan telur, susu dan esen vanilla tadi. Gaul rata kemudian putar perlahan hingga semua sebati. Tinggikan kelajuan dan putar hingga kembang selama 3 minit.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan 1/2 bahagian bancuhan telur, susu dan esen vanila. Putar selama 30 saat. Kemudian masukkan baki bancuhan dan putar 30 saat lagi hingga semua sebati. Matikan mixer dan gaul rata adunan kek dengan spatula.
  4. Tuangkan ke dalam tin yang telah disediakan, ratakan adunan dan hentakkan tin kek 1- 2 kali, bertujuan untuk membuang gelombong udara. Bakar selama 50 - 55 minit pada rak bawah oven hingga masak. Uji kek dengan mencucuk lidi sate bersih di bahagian tengah kek, kalau keluarnya bersih tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan sebelum dihidangkan..


Sunday, November 8, 2015

SUP TULANG MERAH..

rsz_stm1
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Bila kurang sihat ni, nak mengadap blog pun letih, rasa malas sangat. Kadang2 nak tulis entri pun taktau apa nak dituliskan. Idea kering, merekah2 macam tanah gersang, serupa tu juga tekak che mat yang tengah sakit sekarang ni. Semalam che mat menerima kunjungan dari Sis Linn dan Sue Suraya. Dua2 ni dah macam keluarga sendiri, mereka datang menziarah Bonda dan Bak che mat yang baru 2 minggu pulang dari menunaikan Haji. Dan che mat seperti biasa, masak juga sikit, setakat yang mampu. Antara hidangan yang che mat masak ialah sup tulang merah (yang femes di Singapura), selain tu ada juga masak nasi dan gulai rebung sama ikan masin kurau, ayam pongteh dan udang harimau masam manis. Sup tulang merah tu dihidangkan sama roti. Roti perancis yang didatangkan khas dari kedai roti Encik Sallehuddin, Jalan Dhoby Johor Bahru, kedai roti tradisional yang masih mengekalkan cara membakar tradisi, iaitu menggunakan 'sabak', atau oven batu..

rsz_stm
Untuk sup tulang merah ini che mat guna tulang kambing yang masih berdaging. Tapi bukan tulang semata2, ada juga che mat masukkan daging kambing. Bagi yang tak makan kambing, anda boleh guna tulang lembu. Resipi che mat dari FB milik seorang chef dari Singapura, 'Dahlia's Kitchen' di sini (terima kasih chef), alhamdulillah, rasanya sedap dan memang sesuai dimakan sama roti. Kalau ikut resipi Dahlia, dia masukkan sedikit pewarna merah makanan, che mat masukkan juga, tapi pewarna merah che mat punya tingga koret2, tak banyak, maka sup tulang merah jadi kurang merah. Che mat guna kurang lebih 1.5 kg tulang kambing (campur2 dengan dagingnya), rebus dahulu dan air rebusan che mat tak guna...Ok, kalau anda nak mencuba, che mat kongsikan resipinya....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 - 2 kg tulang kambing yang masih ada isi, cuci bersih dan toskan*
2 inci halia, hiris nipis*
6 biji bawang putih diketuk*
1 camca besar garam*(*direbus hingga daging  pada tulang empuk, toskan)
5 biji kentang, kupas, belah 4 setiap 1, rendam
1 batang lobak merah, buang kulit dan potong kiub
3 biji tomato merah, didadu
2 biji bawang besar, dibelah 8 setiap 1
1/4 bahagian kobis bulat, hiris halus, cuci dan toskan
2 biji telur, dipukul sedikit
3 camca besar penuh tomato puree
1/3 cawan sos tomato
1/4 cawan kicap masin
3/4 cawan cili kisar
2 camca besar penuh rempah kari daging
2 camca besar tepung jagung + 1 cawan air = kacau rata
1 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
5 biji buah pelaga*
10 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis )
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
15 biji bawang merah
3 inci halia
12 ulas bawang putih

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
1/2 camca besar pewarna merah makanan
Hirisan daun ketumbar
Bawang goreng
Kacang pis (optional)
Roti perancis atau roti paun, untuk dimakan bersama sup tulang merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1 cawan minyak masak, masukkan rempah tumis (*), tomato yang didadu dan juga bahan2 kisar halus. Kacau dan masak hingga wangi. Masukkan cili kisar dan rempah kari. Kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tambah tomato puree dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan tulang kambing, gaul rata dan tuang air secukupnya (biar lebih sedikit), kacau dan biar mendidih. Masukkan kentang, bawang besar yang dibelah dan lobak merah, kacau dan masak hingga kentang dan lobak merah empuk. Tambah pewarna merah dan kicap masin kacau rata, biar mendidih.
  3. Perlahankan api, masukkan telur, dan kacau hingga rata. Masukkan gula secukup rasa dan garam secukupnya. Tambah bancuhan tepung jagung (kacau dahulu bancuhan tepung jaging sebelum dimaskkan ke dalam periuk), kacau dan biar mendidih hingga pekat.
  4. Akhir sekali masukkan kobis yang dihiris tadi, kacau dan rasa, jika semua ok (mesti ada rasa sedikit pedas, masam, manis dan lemak masin), boleh matikan api. Tabur hirisan daun ketumbar, bawang goreng dan kacang pis sebelum dihidangkan bersama roti....Selamat mencuba!

Friday, November 6, 2015

IKAN TONGKOL REBUS AIR ASAM BUDU

rsz_taab
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Hari ni che mat demam, tak larat nak masak yang ganas2 sangat. Sendi2 rasa lenguh, huhu...Tapi dalam tak larat2 pun masak jugak kari ayam, menu permintaan Bak. Entri yang anda lihat ni semalam punya. Bila tekak tak berapa nak sedap, menu pun kena ubah. Selalunya yang ringkas itu yang menyelerakan. Jadi ku rebus ikan tongkol, kemudian ada pulak kacang panjang yang tengah berbuah kat pokok belakang rumah, che mat petik 5 tangkai, ku celur dan makan sama air asam budu. Berpeluh dahi, mulut pulak rasa menyenggau sebab pedas cili api dalam air asam budu, tu baru ada 'kick' katanya. Che mat pun dah tak larat nak bebel2 banyak, bagi anda yang nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol saiz sederhana 
1 inci halia, hiris
4 ulas bawang puith, diketuk
2 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
5 tangkai kacang panjang (optional)

BAHAN-BAHAN AIR ASAM BUDU :-)
10 biji cili padi siam warna merah
1 biji cili merah
3 ulas bawang merah kecil, hiris
Sebesar ibu jari, belacan, dibakar
1 biji limau nipis, perah jusnya
1/4 cawan budu
1/3 cawan jus asam jawa
1/2 camca besar gula

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR ASAM BUDU:- Tumbuk atau kisar halus cili padi, belacan dan gula (kalau kisar guna blender, masukkan sekali jus limau nipis, budu dan jus asam jawa? Kemudian masukkan budu, jus asam jawa dan jus limau nipis. Kacau rata dan sesuaikan rasa, ketepikan.
  2. UNTUK IKAN TONGKOL REBUS:- Ikan dikerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih, toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama, halia, bawang putih, asam gelugor dan air secukupnya. Masukkan garam dan rebus ikan tadi selama 20 minit. Cedok keluar ikan, kemudian masukkan pula kacang panjang dan rebus 30 saat, tos dan ketepikan.
  3. UNTUK MENGHIDANG:- Susun ikan tongkol rebus dalam pinggan sesuai. Susun juga kacang panjang kemudian curahkan air asam budu atas ikan tadi secukupnya. Hidangkan segera bersama nasi panas yang dimasak lembut.....Selamat mencuba!!


Thursday, November 5, 2015

UBI REBUS GORENG DAUN KARI

rsz_urgr
Assalammualaikum, salam Khamis. Terakhir che mat kemas kini blog 1hb lepas, maksudnya 4 hari dah tak de entri baru. Sebenarnya che mat kurang sihat sikit, sakit tekak, selsema dan batuk2 sikit. Masak pun campak2 apa yang ada kat dapur saja. Hari ni tiba2 teringin nak makan ubi rebus yang digoreng, tapi takmp goreng togel macam tu saja, nak goreng taruk rempah ratus. Kebetulan che mat ada ambik daun kari yang segar, jadi kasi campurkan sikit, kita kasi hiris halus2. Ubi rebus tu che mat agak2 saja. Tapi dah siap goreng ada lah dalam sepinggan makan. Sedap dimakan bersama sambal kicap dan sesuai untuk minum petang atau pun sarapan pagi. Resipi dalam kategori mudah, yang penting ada ubi rebus...Ok, jomm che mat kongsikan resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
Ubi kayu secukupnya (anggaran 1 pinggan makan)
3 - 4 camca besar penuh tepung beras (cap teratai )
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/3 camca teh serbuk lada sulah
12 helai daun kari, dihiris halus
4 - 5 camca besar air
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 camca besar ketumbar biji
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh jintan halus
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas ubi, kerat pendek, cuci bersih dan rebus, masukkan 1 camca besar garam. Rebus hingga ubi betul2 empuk. Toskan airnya dan biarkan ubi sejuk. Kemudian hiris kecil kurang lebih saiz jari orang dewasa dan masukkan dalam mangkuk. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 tumbuk halus, daun kari, serbuk kunyit. sedikit garam dan air. Gaul hingga semua sebati. Tambah tepung beras, kemudian gaul hingga rata dan rempah2 melekat pada ubi tadi. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Goreng ubi tadi hingga kuning keemasan, balik2kan agar ubi masak sekata. Angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur yang bersih. Boleh hidangkan bersama sambal kicap...Selamat mencuba!!.


Sunday, November 1, 2015

GULAI AYAM DAUN KESOM

rsz_agk
Assalammualaikum, salam semua. Selamat bercuti bagi Negeri Johor. Cuti peristiwa ini sempena kemenangan JDT menjuari piala AFC...Tahniah. Dan hari ni che mat 'gulai ayam daun kesom'. Menu ini sinonim dengan Negeri Johor. Ia seperti masakan asam pedas dan dari apa yang che mat tau, kalau gulai, dalamnya tidak dicampur dengan sayuran seperti asam pedas. Maksudnya hanya ayam semata2. Daun kesom memang wajib lah dan boleh juga ditambah bunga kantan dan serai. Kuah agak pekat dan che mat masak dengan api perlahan. Selain sedap dimakan bersama nasi putih, gulai ayam ini bess juga dimakan bersama roti atau lempeng. Kalau nak makan dengan mi atau spaghetti pun boleh. Satu lagi anda boleh masak gulai ini awal2. Contohnya kalau nak makan siang, malam tu anda masak. Gulai menjadi lebih sedap selepas sehari, tapi jangan lupa dipanaskan bila nak makan. Jomm kita masak gulai ayam daun kesom...

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 genggam daun kesom
1 kuntum bunga kantan, belah 2
3 senduk cili kisar
1 camca besar pes asam jawa
1 camca teh lada hitam kisar (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1/4 cawan minyak masak. Tumis serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Masukkan cili kisar dan 1/2 camca teh garam, kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan ayam dan daun kesom, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukunya (hingga ayam tenggelam), kacau dan biar mendidih. Masukkan lada hitam (jika guna), pes asam jawa dan juga bunga kantan. 
  3. Masak hingga pekat dan ayam masak. Perasakan dengan sedikit gula dan masukkan lagi garam secukup rasa. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, telur dadar dan ulam-ulaman...Selamat mencuba!!


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.