BEN ASHAARI

Thursday, October 29, 2015

GULAI PISANG 'KETUK' SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_gpk1
Assalammaulaikum, salam Khamis. Alhamdulillah, hari ni cuaca amat baik, langit cerah kebiruan dan nampak gayanya tiada jerebu. Hari ni che mat masak satu menu yang menjadi kegemaran semua orang dalam keluarga che mat, takde satu pun yang tak suka. Gulai pisang 'ketuk' sama cendawan kukur. Apa itu pisang 'ketuk'?..mesti ada yang hairan. Sebenarnya che mat guna pisang kapas muda, tapi pisang tu diketuk sebelum dimasak. Che mat suka masukkan cendawan kuku untuk memberi mendapat rasa yang lebih sedap dan wangi. Rencahnya gun tulang ikan kurau masin yang masih ada sisa2 isi. Kalau suka pedas anda boleh tambahkan cili padi. Sedap dimakan bersama nasi panas, telur dadar dan sambal belacan. Satu lagi, menu macam ni, anda masak malam, esok baru makan, tu jam rasa dia...punya lah sedap tak sangka, kerana ia dah elok sebati dengan segala rencah2. Resipi agak mudah disediakan, che mat pasti anda boleh bikin....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sisir pisang kapas yang muda (kurang lebih 14 biji)
2 cawan cendawan kukur, rendam hingga kembang dan dibersihkan
5 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isi, cuci dan rendam
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
450 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit
20 biji cili padi kampung jenis hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang kapas, dibuang sedikit kulitya, kemudian masukkan ke dalam lesung batu dan memar2kan hingga pecah2, jangan sampai lunyai pulak ok. Buat hingga siap dan masukkan ke dalam periuk. Rebus hingga sedikit kembang dan air rebusannya tinggal sedikit. Ketepikan.
  2. Toskan cendawan kukur, perah sedikit dan tumbuk, tapi jangan sampai hancur, sekadar memar2kan sahaja. Masukkan ke alam periuk, masukkan serai, bahan2 kisar halus dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan pisang yang direbus tadi bersama air rebusannya. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga mendidih.
  3. Toskan tulang ikan masin kurau dan masukkan ke dalam periuk. Kacau perlahan dan jika kurang kuah, tambah sedikit air. Masukkan pati santan, perasakan dengan sedikit garam dan gula. Masukkan daun kunyit, kacau dan biar mendidih sekejap sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biarkan beberapa jam sebelum dihidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan telur dadar....Selamat mencuba!!


Tuesday, October 27, 2015

JOMMM BERGAYA DENGAN SET CORELLE!!!

kak ton1
Wowww...lawanya set corelle you!!...itu antara pujian pertama yang anda akan terima bila menghidangkan makanan dalam set pinggan mangkuk corelle. Set corelle ini bukan saja tahan, malah kekal cantik sepanjang masa, kiranya anda membuat pilihan bijak. Dengan corak terkini, menjadikan ia satu kelengkapan yang perlu untuk setiap kediaman, tak kiralah samada di bandar atau pun desa. Kecerian pasti menjadi milik anda sekeluarga bila set corelle menjadi pelengkap hidangan di atas meja makan. Tak rugi kalau anda beli, walaupun disimpan lama, ia tetap ada 'harga', bila satu ketika nanti ia menjadi set2 'vintage'. Alah che mat, kami takde masa lah nak ronda2 cari set corelle, lagi pun rata2 kat pusat2 membeli belah, harga yang ditawarkan, kami hanya mampu tengok ajer...huhu...

kak ton6
Toksah khuatir, nampak gambar atas ni, punyalah melambak kotak2 berisi set corelle corak2 terkini dan juga corak 'evergreen' yang sentiasa mendapat permintaan. Harga pulak, in sha Allah mampu milik, walaupun ada sedikit kenaikkan. Tapi ia tetap murah jika dibandingkan dengan harga luar. Tak sabar nak tau?...Anda ingat Kak Ton 'Comel'?..ha ah ni Kak Ton yang itu lah, orang yang sama menjual set corelle dengan harga mampu milik. Yang bagusnya, set2 corelle ni semua stok memang dah ada, tak payah nak tunggu berbulan2 baru nak dapat. Anda tinggal pilih mana yang berkenan, bayar seperti harga pada setiap set dan ikut arahan selanjutnya. Settle semuanya esok jugak Kak Ton pos, satu lagi nak habaq mai, pos ke semenanjung Malaysia semua percuma ceq oiii!...Berbaloi kan, bak kata Kak Ton...BAYO ARINI, ESOK NGANTOR!....macam tu...

kak ton5kak ton4
Ciri-ciri corelle yang anda kena tau selain corak yang cantik, ia juga ringan dan tahan hentakan, maksudnya tak mudah sumbing bila berlaga antara satu sama lain, tapi kalau di hentak sekuat tidak, memang pecah berderai lah, jangan macam tu, be gentle ok, kata omputih. Ringan dan nipis, jadi bila nak simpan dalam kabinet, tak delah makan ruang, bila tak makan ruang bolehlah anda tambah lagi beberapa set, bijak kan che mat, tau dah...terima kasih. Sesuai dicuci dalam mesin cuci pinggan atau dishwasher. Setiap barangan corelle diperbuat dari 3 lapisan gelas vitrelle yang menjadikan ia ringan dan kukuh. Boleh juga digunakan dalam ketuhar gelombang mikro. Senang cerita, anda beli dan rasai pengalaman menggunakan set corelle itu sendiri...baru tau nikmatnya...

kak ton2kak ton3
Dah tak sabar nak shopping set corelle yang cantik2 ini...ok meh che mat kasi tau cara mudah anda nak beli, dengan hujung jari pun boleh. Sebarang pertanyaan untuk pembelian atas talian, anda boleh hubungi..

WASSAP : 012 2727 504 ( KAK TON CORELLE )


FACEBOOK : KAK TONS CORELLE

INSTAGRAM : KAKTONSCORELLE

Monday, October 26, 2015

RESIPI MI SOTO

rsz_ms
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat skip masak nasi, sebab memang merancang dari semalam nak bikin mi soto. Tapi che mat rebus juga ketupat segera NONA, yelah kot ada yang tak nak mi. Mi soto bukan satu yang susah nak bikin. Yang penting kuah soto, kemudian anda boleh guna nasi impit, mi kuning atau pun mi hoon. Biasanya untuk soto, che mat suka guna rangka ayam, direbus perlahan kurang lebih 1 jam bersama rempah-ratus. Dalam masa sama rebus juga isi ayam terutama bahagian dada, yang ini untuk kita jadikan bahan sampingan masa makan nanti. Begedil antara yang wajib ada kalau anda bikin soto. Begedil che mat hanya guna kentang tak campur daging. Soto sering menjadi pilihan jika ada majlis2 rumah terbuka tak kira hari biasa atau pun di hari2 perayaan...

rsz_1ms1
Di Johor, sambal kicap antara bahan penting jika anda makan soto. Kurang 'bererti' soto tanpa sambal kicap. Bukan soto sahaja, malah benda bergoreng seperti, pisang goreng, keledek, keladi, sukun dan sebagainya yang digoreng harus ada sambal kicap sebagai pencicih, baru JOHOR namanya. Jika anda tidak gemar mi kuning, boleh ganti dengan mi hoon. Kuey teow juga ok, nak makan sama pasta pun boleh. Eh, che mat terlupa nak masukkan soo hoon dan kacang tanah goreng rupanya, patut rasa macam kurang satu bahan, tapi takpe, sebab mi soto, kalau guna ketupat atau nasi impit baru nampak tak berapa lengkap soto kita. Che mat kongsikan resipi kuah soto dan begedil yang simple untuk anda bereksperimen...Jommm....hujung minggu nanti boleh cuba...

BAHAN-BAHAN KUAH SOTO :-)
3 ketul rangka ayam (atau boleh guna kaki ayam dalam 500 gram), cuci bersih dan toskan
2 keping dada ayam, cuci bersih dan toskan
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1/2 biji buah pala, diparut
2 1/2 camca besar rempah sup
1 camca besar rempah kurma
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 pokok daun sup, potong kasar
1 camca besar penuh bawang goreng
Garam secukup rasa
Air secukupnya (anggaran 4 - 5 liter)
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
6 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*(*rempah tumis)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya 
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Tauhu, digoreng dan hiris
Begedil
Sambal kicap
Daging ayam yang dicarik
Soo hoon goreng (optional)
Kacang tanah goreng (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Bancuh bahan2 kisar halus, parutan biji pala, rempah sup dan rempah kurma dan kacau hingga menjadi pes rempah. tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan. Dalam periuk, panaskan 1/3 cawan minyak masak. Masukkan rempah tumis (*), serai dan lengkus dan tumis hingga harum. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan rangka ayam, gaul rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masukkan 1 camca besar bawang goreng dan daun sup yang dipotong kasar. Jika ada buih2 yang timbul pada permukaan sup, cedok dan keluarkan. Biar mendidih dengan api perlahan selama 1 jam. Kacau sekali sekala.
  3. Kemudian masukkan lada hitam yang ditumbuk halus. Perasakan dengan garam secukupnya kalau anda nak masukkan sedikit serbuk perasa pun boleh, ikut selera masing2. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MENGHIDANG :- Mi kuning dicelur sekejap dalam air mendidih, toskan. Ambil secukupnya mi kuning dan taruk dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah soto secukupnya. Taruk taugeh, tauhu, daging ayam yang dicarik, hirisan daun sup hirisan daun bawang, bawang goreng, soo hoon goreng/kacang tanah goreng (jika ada), begedil dan hidangkan bersama sambal kicap. Sedap dimakan selagi hangat.

BEGEDIL KENTANG.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji kentang saiz besar
1 pokok daun sup, hiris halus
1 genggam bawang goreng, diramas
1 camca teh sebuk lada sulah
1 camca besar rata tepung gandum
Garam secukup rasa
1 biji telur, dipukul sedikit
1/4 cawan tepung gandum, untuk menyalut begedil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas kentang, cuci dan toskan. Kemudian hiris lebar2 dan goreng hingga keemasan dan kentang empuk, guna api sederhana. Balik2kan agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Lecek kentang tadi hingga hancur.
  2. Masukkan daun sup, bawang goreng, lada sulah, tepung gandum dan garam secukup rasa (anggaran 3/4 camca teh). Gaul hingga semua rata. Kemudian ambil 1 camca besar rata adunan tadi, bulat2kan dan tekan leper sedikit. Taruk dalam dulang yang beralas plastik bersih. Buat hingga siap.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali leper (che mat guna non stick frying pan).Golek2kan begedil dengan tepung gandum. Kemudian celup dalam telur dan taruk dalam pan tadi, buat untuk 7 - 8 biji sekali goreng, bergantung pada saiz pan anda guna.
  4. Biar masak sekejap, kemudian terbalikkan dan masak hingga kuning keemasan. Angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur bersih. Buat kaedah sama untuk baki begedil. Boleh hidangkan bersama mi soto..

Saturday, October 24, 2015

RENDANG AYAM MUDAH.

rsz_rak
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Hari ni nak berkongsi dengan anda resipi rendang ayam yang mudah dibuat. Bahan2 pun tak banyak sangat. Kalau nak gantikan ayam dengan daging pun boleh juga. Dalam gambar tu che mat guna ayam kampung, tapi dalam resipi che mat akan tulis ayam daging. Itu terpulang pada anda nak guna ayam kampung, ayam pencen atau ayam daging, cuma kalau ayam kampung dan ayam pencen, ia agak makan masa juga kecuali kalau anda guna periuk tekanan. Tapi nak mudah, guna ayam daging saja. Rendang ini tidak pedas dan sesuai untuk kanak2. Memang che mat ada masukkan beberapa cili padi yang dibelah sekadar untuk mendapat rasa hangat. Tapi yang itu bukan bahan wajib, tak payah taruk pun takpe...tak berdosa. Budget untuk rendang ni ialah seekor ayam bersaiz besar. Kalau ayam kampung dalam 1 1/2 ekor macam tu. Sedap dimakan bersama ketupat, pulut kuning, roti atau nasi...Resipi memang mudah. Kalau nak mencuba, jomm semak apa yang che mat tulis kat bawah ni..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam daging, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
2 batang serai, diketuk
4 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, disiat
2 helai daun kunyit, dimayang halus
1 keping asam gelugor
20 biji cili padi, belah 2 setiap 1
1 camca teh gula melaka
1 liter santan pekat
1/2 cawan cili kisar
1 camca besar penuh ketumbar biji*
1 camca teh jintan kasar*
1 camca teh jintan halus*
1/2 camca teh lada hitam*(*digoreng tanpa minyak, kemudian kisar halus)
1/2 biji buah pala (nutmeg), diparut
Garam secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
4 batang serai, hiris halus
1 1/2 inci halia
1 inci lengkuas
4 biji buah keras, hiris
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1 cawan minyak masak. Tumis serai yang diketuk dengan cili kisar hingga cili garing. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan rempah yang dikisar halus dan parutan biji buah pala, kacau dan masak sekejap.
  2. Masukkan ayam, gaul tata dan masak hingga ayam kecut. Tuang santan dan tambah sedikit air (anggaran 1 cawan). Gaul rata, masak dengan api sederhana hingga pekat. Masukkan asam gelugor, gula melaka, kerisik, daun limau purut dan daun kunyit yang disiat. Kacau dan masak hingga kering.
  3. Tabur hirisan daun kunyit dan cili padi, kacau, rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan rendang ayam bersama pulot kuning, ketupat, dan sebagainya. Anda boleh juga gunakan daging lembu jika suka....Selaamat mencuba!


Friday, October 23, 2015

BUBUR PUTIH BUBUR MERAH...

rsz_bpbu
Assalammualaikum, salam Jumaat. Sujud syukur atas limpah kurnia dan ehsan Allah swt, Ayah, Bonda dan Kekanda che mat selamat menunaikan fardu haji dan telah selamat kembali ke tanah air semalam (terima kasih pada semua yang mendoakan mereka). Che mat semalam ada projek masak2 sikit, untuk menyambut kepulangan mereka. Menu2 biasa saja sebenarnya, ada rendang ayam, pulut kuning, sambal tempoyak daun kayu, kari kambing dan sebagai penutup acara sempat juga bikin bubur putih - bubur merah. Ini lambang tradisi masyarakat melayu kita, terutama mereka yang berketurunan jawa, sebagai tanda kesyukuran dan kesempurnaan sesebuah majlis. Bukan satu kewajipan cuma 'tanda' saja. Arwah nenek che mat pun memang tak putus dengan bubur putih bubur merah ini terutama bila ada peristiwa2 penting, contohnya macam bayi tanggal tali pusat dan sebagainya. Kadang2 kita lihat tradisi ini semakin dilupakan. Resipi agak mudah dan mungkin anda ada resipi tersendiri. Jika ingin mencuba, resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram pulut susu, cuci dan rendam sekejap (anggara 30 minit)
3 cawan air
1 cawan pati santan
1 helai daun pandan
4 - 5 camca besar hirisan gula melaka*
1 - 2 camca besar gula pasir*
1 cawan air*(*dimasak hingga gula larut dan tapis)
Garam secukup rasa
Air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan beras pulut, masukkan ke dalam periuk bersama2 air dan daun pandan, Masak dengan api kecil hingga pulut kembang. Kacau sekali sekala. Kemudian tuang pati santan dan kacau rata dan biarkan mendidih sekejap.
  2. Cedok keluar kurang lebih 3/4 cawan dan masukkan garam secukup rasa dan kacau hingga sebati (hingga terasa lemak2 masin). Bakinya masukkkan air gula melaka, kacau rata dan masak sekejap hingga mendidih, kalau kurang manis, anda boleh tambah sedikit gula lagi. Tambah air jika terlalu pekat. Matikan api.
  3. Cedok secukupnya bubur merah ke dalam mangkuk sesuai, kemudian sudukan sedikit (atau secukupnya) bubur putih atas bubur merah. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!.


Monday, October 19, 2015

MI KUAH STYLE CHE MAT...

rsz_mi_kuah_udang
Salam semua, tiba2 terlebih rajin pulak hari ni, jadi che mat masukkan satu lagi entri, kira entri sebelum tidur.  Tapi ini menu semalam yang che mat masak. Sebab semalam tak masak nasi, maka che mat korek2 lah apa yang ada dalam peti sejuk. Antara benda2 yang che mat dapat ialah, stok beku air rebusan udang, isi ayam, udang, fishcake, tauhu, sambal tumis forzen, ada juga kobis daun dan sebiji tomato. Cari2 mi, takde pulak, tapi dalam pantry ada kuey teow kering A1, yess, cukup dan..jomm kita mula masak. Satu masalah lagi, che mat tatau nak kasi nama apa, nak taruk mi kuah udang, rasa macam tak semengah pulak dengan bahan2 yang serba sempoi. Jadi langkah selamat, che mat taruk nama ' mi kuah style che mat', senang cerita, kontroversi pun takde...yea dak. Untuk mi tu anda boleh guna mi kuning, mi hoon atau pasta, semua boleh. Mana yang nak tambah telur rebus, boleh, ikut selera anda. Resipi memang campak2 saja, tak susah...Jomm kita masak!..

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 liter air rebusan udang
1 kiub pati ayam
1 cawan isi ayam yang dihiris memanjang
10 ekor udang saiz sederhana
1 keping fishcake, hiris
1 biji tomato, didadu
3 pelepah kobis daun, hiris berasingan batang dan daunya
2 camca besar penuh sambal tumis
1 camca besar sos tomato
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tiram
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, dicincang halus
1/2 camca teh lada sulah
1 camca teh tepung jagung + 1/4 cawan air, kacau rata
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi pilihan anda, kalau guna mi kering, celur dulu hingga lembut
Hirisan daun bawang
Hirisan cili padi hijau dan merah
Tauhu, digoreng dan hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI :- Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan sambal tumis, sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan tambah isi ayam, udang dan fishcake. Kacau rata dan masak hingga udang dan isi ayam berubah warna. Tuang stok rebusan udang. Kacau rata dan biar mendidih.
  2. Masukkan kiub pati ayam, kobis daun (batang dan daunnya) dan juga lada sulah. Kacau dan masak sekejap, tambah sedikit air jika suka lebih kuah. Perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung dan tomato. Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG :- Masukkan secukupnya mi pilihan anda ke dalam mangkuk sesuai. Cedok kuah bersama isi2nya ke dalam mangkuk berisi mi. Hias dengan hirisan daun bawang, cili padi merah dan hijau serta hirisan tauhu. Kalau suka boleh juga taburkan bawang goreng. Hidangkan segera. Sedap dimakan panas.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk menyediakan stok air rebusan udang tu, che mat guna kulit udang yang dicuci bersih. Kemudian rebus lebih kurang 15 - 20 minit. Buang kotoran yang timbul pada permukaan air rebusan. Kemudian biarkan suam. Masukkan ke dalam blender dan kisar dengan kulit2 udang. Tapis dan masukkan dalam bekas. Simpan untuk kegunaan bila perlu. Untuk lebih tahan lama, anda boleh bekukan dalam freezer....Selamat mencuba!!


POTATO SOUFFLE

rsz_ps
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Cuti masak nasi lagi?...gitulah, lagi pun che mat kena makan benda yang lembut2, takut gusi sakit lagi. Kalau masak nasi kena pulak masak lauk, jadi esok2 sajalah kita makan nasi. Tempoh hari saja layan2 youtube, tengok2 resipi yang mudah sedap. Sekali ternampak potato souffle yang senang dibuat dan bahan2nya juga tidak banyak. Check bahan2 dalam peti sejuk, alhamdulillah semua ada dan mana yang tak ada tu kita gantikan dengan apa yang ada. Maka hari ini kita bikin potato souffle yang sememangnya benda baru bagi che mat. Pertama kali mencuba dan kira gamble ajerlah. Kalau tak cuba, tak tau, yea dak....

rsz_ps1
Sedap ke?....apa yang boleh che mat komen, ia memang sedap, rasa agak ringan, lembut, lemak dan wangi dengan bau keju...keju?..yea, memang ada campuran dua jenis keju dalam dia, cheddar cheese dan parmesan, tapi keju parmesan tu kalau takde, anda guna saja keju cheddar. Disebabkan ada keju, garam tak perlu taruk. Potato souffle ni bila dah sejuk akan turun, masa panas memang nampak naik dan gebu. Mungkin sebab kentang tu berat. Che mat tengok kat youtube, hasil kejadiannya memang montok, tapi tu masa baru keluar dari oven, tak tau pulak bila dah sejuk jadi macam mana. Tapi bila dah bikin baru nampak perbezaannya masa tengah panas dan bila dan sejuk. Namun begitu, percubaan ini boleh dikatakan berbaloi. Banyak mana dapat, bergantung pada besar mana saiz ramekin yang anda guna...Ok, jomm che mat kongsikan resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram ubi kentang yang telah dikupas kulitnya(atau 4 biji kentang saiz sederhana)
80 gram parutan keju cheddar
30 gram parutan keju parmesa
1 camca teh hirisan daun kucai
2 biji telur, asingkan kuning dan putihnya
30 gram mentega 
180 ml susu segar
Secubit lada hitam kisar
Sedikit serbuk paprika untuk hiasan (che mat guna chili flakes)
Sedikit hirisan daun kucai, untuk hiasan
Sedikit mentega untuk disapu pada aduan
3 - 4 camca besar serbuk roti (kalau takde boleh ganti dengan tepung gandum)

ps2
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sapu mentega pada bahagian dalam ramekin, kemudian taburkan serbuk roti rata2, ketepikan. Dalam periuk kecil, satukan mentega dengan susu, masak atas api kecil hingga mentega cair, kacau rata dan sejukkan. Rebus ubi kentang hingga empuk. Toskan dan biar suam, kemudian lecek hingga lumat. Masukkan parutan keju cheddar, parmesan, daun kucai, lada hitam kisar dan kuning telur. Gaul hingga semua rata.
  2. Tuangkan susu + mentega tadi dan kacau hingga sebati. Ketepikan. Dalam mangkuk yang bersih dan kering, masukkan putih telur dan putar hingga bertanduk. Masukkan ke dalam bekas berisi bancuhan kentang dan gaul rata dengan kaedah kaup balik hingga sebati.
  3. Sudukan ke dalam ramekin tadi hingga hampir penuh. Tabur sedikit serbuk paprika atau chili flakes. Bakar selama 20 minit pada suhu 200C, pastikan anda panaskan dulu oven selama 20 minit dan jika oven anda jenis besar, bakar pada rak tengah. Bakar hingga permukaannya keemasan. Keluarkan dan tabur dengan sedikit hirisan daun kucai, hidangkan. Sedap dimakan panas.....Selamat mencuba!!

Sunday, October 18, 2015

KUIH LAPIS NYONYA. MUDAH DIBUAT

rsz_klp
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Sejak2 ni tekak bukan main mengada2, mengidam banyak benda, tapi bukan nak makan banyak sangat. Semalam entah kenapa termengidam kuih lapis nyonya. Kuih lapis yang lembut, kenyal dan boleh disiat selai2 bila nak makan. Sebelum ni che mat memang ada bikin dan yang ni antara kuih lapis yang senang dibuat dan kena dengan apa yang che mat nak. Orang peranakan biasanya mereka akan bikin kuih lapis dalam kiraan lapisan yang ganjil, contohnya tujuh atau sembilan. Che mat bikin sembilan lapisan dan lapisan terakhir warnanya merah, ada 'tuah' lah konon2nya. Dengar boleh, percaya jangan yea dak, tuah atau tidak tu semua kerja Allah, kalau dah rezeki kita apa kaler sekali pun tetap akan dapat 'tuah'....

rsz_klp1
Untuk resipi ini, che mat gunakan loyang bersaiz (7 x 7 x 3) inci dan jika anda suka boleh juga guna loyang bulat saiz 8 inci x 3 inci. Kuih mesti betul2 sejuk baru dipotong dengan pisau plastik, sapu sedikit minyak pada pisau plastik tadi untuk mendapat potongan yang licin. Loyang anda alas dengn plastik agar mudah untuk mengeluarkan kuih lapis nanti. Satu lagi kalau anda simpan dalam peti sejuk, pastikan taruk dalam bekas bertutup, kalau taruk macam tu saja, permukaan kuih akan kering. Boleh dimakan pada waktu petang atau bila2 masa sahaja. Resipi asal che mat dapat di sini, tapi ada sedikit perubahan yang che mat buat. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
300 gram tepung ubi
100 gram tepung beras
750 ml santan
250 ml air
230 gram gula pasir
1 helai daun pandan, potong kecil
Secubit garam
Pewarna makanan hijau, merah jambu dan merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masak gula pasir dengan air dan daun pandan, biar hingga gula larut, sejukkan kemudian tapis. Campurkan dengan santan dan garam, kacau rata dan ketepikan. Sementara itu dalam mangkuk, satukan tepung ubi dan tepung beras. Kacau rata, tuang bancuhan santan dan kacau hingga rata. Tapis adunan tadi. Ketepikan sekejap.
  2. Panaskan kukus, balut tutup kukus dengan kitchen towel bersih. Alas loyang empat segi berukuran ( 7 x 7 x 3 ) inci dengan plastik, dan lanser plastik tadi dengan sedikit minyak makan. Masukkan ke dalam kukus. Api sederhana kuat.
  3. Kacau bancuhan kuih lapis dan bahagi bancuhan kepada 3 bahagian sama banyak. Satu diberi warna hijau. satu warna merah jambu dan satu dibiarkan putih (warna asal). Setiap bahagian tadi dibahagi lagi kepada 3 (maksudnya 3 hijau, 3 merah jambu dan 3 putih) , pastikan sukatan sama banyak (kalau anda timbang, setiap lapisan, bancuhannya lebih kuran 170 gram). Ketepikan.
  4. Untuk lapisan pertama, che mat guna warna putih. Tuang 1 bahagian warna putih dan kukus 5 minit, kemudian tuang pulak warna hijau dan sambung kukus 5 minit lagi, diikuti warna merah jambu. Pastikan lapisan kuih lapis cukup masak sebelum anda menuang adunan baru dan kacau setiap adunan sebelum dituang.
  5. Lakukan berselang- seli, putih, hijau dan merah jambu. Untuk lapisan ke 5 dan seterusnya, kukus selama 7 minit atau hingga masak. Untuk lapisan terakhir iaitu lapisan ke sembilan ialah warna merah. Anda titikkan sedikit warna merah dalam adunan merah jambu (terakhir), kacau rata dan tuang. Kukus 15 minit atau hingga kuih masak. Kemudian buka tudung kukus, dan biarkan 15 minit lagi dengan api yang masih hidup. Matikan api dan biar kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan. Boleh potong dan hidangkan.

Saturday, October 17, 2015

BUN KEJU 'RUSTIC'...

rsz_rkp

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tak masak nasi. Pagi tadi goreng mi hoon dan makan untuk sarapan dan makan petang. Bukan apa, malas lah nak masak, nanti tak habis nak simpan2 dalam peti sejuk. Jadi masak bila nak makan saja. In sha Allah bila semua keadaan jadi seperti sedia kala, baru che mat on masak2. Jadi malam ni che mat kongsikan resipi roti yang menggunakan resipi sama untuk bun sardine tempoh hari tapi ditambah keju. Bun keju rustic ini che mat bikin beberapa hari lepas. Mula2 rasa malas pulak nak jadikan ia entri, tapi bila fikir2 balik, ok juga jadikan entri, satu kelainan juga kan. Resipi doh asas ini anda boleh gunakan untuk bikin roti sosej, tuna roll seperti che mat selalu buat tu dan sebagainya, ikut kreativit anda....tiada had.

rsz_rkp1

Che mat bikin bun comel2 dan dapat 16 biji. Kalau bun sardine tu hari taruk dalam paper cup, tapi yang ni lebih tradisional dan rustic, kita susun dalam loyang (7 x 7 x 1) inci. Nak makan boleh rabakkan satu persatu. Di sebabkan roti ini sudah ada keju dan che mat masukkan sedikit parsley dan sedikit chili flakes, anda boleh makan begitu sahaja, atau boleh juga nak cicah kuah kari, kuah gulai dan sambal tumis. Sebenarnya tiada batasan cara anda nak makan roti ni, ikut selera masing2. Sebab dah campur dengan keju, roti ini berat sedikit tapi masih gebu dan lembut. Jika tak habis makan, bungkus roti yang telah sejuk dengan plastik bersih atau taruk dalam belas bertutup untuk mengekalkan kelembutannya. Kalau dedah, bila dah masuk angin, roti anda akan jadi keras. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram tepung roti (tepung berprotein tinggi)*
50 gram gula halus*
125 ml air (guna air suam jika uli guna tangan)*
6 gram instant yeast*
1/4 camca teh garam*
1/4 camca teh bread softerner*
1/4 camca teh bread improver*
20 gram mentega*
30 gram telur (guna 1 biji telur, pecahkan, pukul sedikit dan timbang, simpan bakinya)*
1 camca besar susu tepung*
1 camca teh cincangan parsley*
1/2 camca teh chili flakes*
1/3 cawan parutan keju cheddar
2 camca besar susu segar
Bijan untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. KAEDAH BREAD MAKER :- Masukkan air dan semua bahan2 bertanda (*). Pilih setting untuk 'DOH' dan tekan 'ON'. Bila bahan2 tadi bersatu dan menjadi doh, boleh masukkan parutan keju cheddar dan tunggu hingga siap (seperti che mat tulis dalam entri bun sardine, bread maker biasanya akan membancuh adunan selama 5 minit, kemudian menguli 25 minit dan memerap 1 jam tapi bergantung pada jenis breadmaker yang anda guna).
  2. KAEDAH ULI TANGAN :- Dalam satu mangkuk kecil, masukkan yeast, 1 camca teh gula halus (guna gula dalam senarai bahan2), 50 ml air suam (guna air dalam senarai bahan2). Kacau dan biarkan 5 minit hingga yeast aktif (berbuih2). Dalam mangkuk besar, masukkan semua bahan2 kecuali, telur, keju cheddar, susu cair dan bijan. gaul hingga semua rata. Buat lubang ditengah2 tepung. Masukkan telur dan bancuhan yeast. Gaul rata dan tuang baki air sedikit demi sedikit. Gaul hingga menjadi doh.
  3. Tabur sedikit tepung pada meja kerja. Keluarkan doh dari mangkuk adunan dan uli sekejap. Masukan parutan keju dan sambung uli untuk 15 minit, uli dengan kaedah menolak doh ke depan menggunakan tapak tangan, bila doh kenyal dan elastik, boleh bulat2kan, taruk dalam mangkuk, tutup permukaan mangkuk dan perap 1 jam.
  4. UNTUK BUN KEJU 'RUSTIC' :- Lenser loyang berukuran (7 x 7  1) inci dengan sedikit mentega. Ketepikan. Tabur sedikit tepung pada meja kerja. Keluarkan doh, tumbuk2 doh untuk membuang udara. Kemudian bahagikan doh kepada 16 bahagian sama besar. Bulat2kan setiap satu dan susun dalam loyang. Buat hingga siap, perap 1 jam.
  5. Bancuh susu segar dengan baki telur dan kacau rata. Sapu atas bun tadi dan taburkan bijan sebagai hiasan. Kemudian bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C, selama 25 minit hingga keemasan. Keluarkan roti dari oven dan biarkan dalam loyang sekejap. Kemudian boleh alihkan bun ke atas redai. Sedap dimakan suam.....Selamat mencuba!!

Friday, October 16, 2015

RESIPI KUIH SERABAI..

rsz_serabai

Assalammualaikum, salam Jumaat. Hari ni che mat kongsikan dengan anda resipi kuih serabai yang boleh dikatakan agak jarang orang buat. Yang che mat tau, kuih serabai ini popular di Melaka dan dikatakan ia dibuat ketika ada kematian. Tapi dari komen2 sebelum ini yang che mat terima, kuih serabai juga popular di banyak negeri dalam Malaysia. Jadi tidak boleh nak dikatakan ia kuih tradisi negeri mana, senang cakap ia kuih muih masyarakat Melayu. Dari mana asal usul ia mendapat nama 'serabai' che mat memag tak tau. Dari rupa kuih tidaklah 'serabai', elok saja, lembut dan bersarang seperti bingka ambon. Biasanya serabai akan dimakan dengan kuah seakan2 pengat. Che mat campurkan beberapa ulas durian untuk mendapatkan rasa yang lebih enak. 

rsz_1serabai1
Sebelum ini che mat pernah bikin, dalam 2 kali. Pada asalnya tengok MamaFami tayang di blog beliau. Biasalah kita geng2 blog masakan ni cepat teruja, nampak menarik saja, mesti nak cuba. Che mat guna acuan khas untuk serabai. Bentuknya bulat seperti acuan kuih baulu dan bahagian dalamnya ada 4 lubang bulat leper. Kalau dulu2 punya diperbuat dari tembaga. Jika anda takde acuan tu, boleh guna non-stick pan saiz paling kecil. Resipi yang che mat kongsikan ini akan menghasilkan kurang lebih 18 keping kuih serabai saiz comel, kalau nak lebih anda gandakan resipi. Boleh dihidangkan sebagai pencuci mulut atau untuk minum petang. Nak mencuba?...Jomm kita semak resipi...

BAHAN-BAHAN KUIH SERABAI :-)
125 gram tepung beras
75 gram nasi sejuk
325 ml santan segar
1/2 camca teh instant yeast
1/4 camca teh garam

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 cawan santan
1/2 cawan air
3 camca besar hirisan gula melaka
1 camca besar gula pasir
1 helai daun pandan, disimpul
3 ulas durian
Secubit garam
1 camca besar tepung gandum*
3 camca besar air*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK ADUNAN KUIH SERABAI :- Kisar nasi sejuk dengan 100 ml santan. baki santan dipanaskan hingga suam, tak perlu sampai mendidih. Dalam satu bekas, masukkan tepung beras, instant yeast dan garam, gaul rata. Tuang nasi kisar, gaul dan masukkan santan suam. Kacau dengan whisk hingga bancuhan rata dan licin. Tutup permukaan mangkuk dan perap selama 2 jam. Ketepikan.
  2. UNTUK KUAH DURIAN :- Masak gula melaka, gula pasir dengan 1/2 cawan air hingga gula larut. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan daun pandan, secubit garam dan santan. Kacau dan biar mendidih. Tambah isi durian dan masak sekejap. Masukkan bancuhan tepung gandum, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga pekat, Rasa dan jika anda suka manis, boleh tambah gula. Matikan api dan ketepikan.
  3. UNTUK KUIH SERABAI :- Panaskan acuan kuih serabai, guna api kecil. Lenser (atau orang Johor panggil 'selet') dengan sedikit minyak masak rata2. Adunan serabai dikacau sekejap, kemudian sedukkan ke dalam acuan tadi. Pastikan jangan penuh sangat, sebab kuih serabai akan naik seperti kuih apam. Tutup permukaan acuan dengan tudung periuk, kalau dapat guna yang tutup kaca macam dalam gambar.
  4. Permukaan kuih akan berbuih2 dan biarkan hingga ia kering, tu tanda kuih anda dah cukup masak. Berhati2 keluarkan kuih dari acuan, guna lidi sate bersih untuk melonggarkan kuih serabai dari acuan. Buat kaedah sama hingga adunan habis. Jika ada kerak2 yang tertinggal dalam acuan, bersihkan dahulu, baru lenser dengan sedikit minyak.
  5. CARA MENGHIDANG :- Sediakan piring sesuai. Taruk 2 atau 3 keping kuih serabai dan tuangkan kuah durian atasnya. Hidangkan segera...Selamat mencuba!!...

Tuesday, October 13, 2015

RESIPI BUBUR AYAM RINGKAS.

rsz_cp
Assalammualaikum, salam Selasa. Dah masuk 3 hari che mat sakit gusi, dan hari ni kira agak parah juga, rasa panas kat dagu kiri, gusi merah dan berdenyut2. Malam tadi telan pain killer, baru dapat tidur. Sebab tak boleh nak makan benda2 keras, maka hari ni kita bikin bubur ayam. Resipi paling mudah dan takde undang2, semua main masukkan saja. Lauk2 sampingan pun tak payah nak meriah sangat, nanti susah nak makan. Tapi kalau anda nak tambah ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, lobak asin dan lain2, itu terpulang. Che mat cuma taruk telur mata kerbau, hirisan daun bawang dan daging ayam yang dicarik. Lepas tu curah sedikit kicap Jalen. Tabur lada hitam kisar sebelum makan. Kalau anda demam, bubur ayam ini juga sesuai dihidangkan jika tak selera nak makan nasi. Che mat lebihkan halia agar bubur lebih wangi dan hangat. Bagi yang nak cuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 cawan beras super tempatan (atau boleh guna beras siam)
6 cawan air
1/2 cawan mix vege (jagung, kacang pis dan karot)
1 helai daun pandan
1 batang serai, diketuk*
1 bunjut sup tulang Adabi*
1 batang kecil kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
1 biji buah pelaga*
1.5 inci halia, hiris*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1/2 kiub pati ayam (optional)*
1 keping dada ayam, potong dadu
Garam secukup rasa
1 camca teh lada hitam kisar
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Isi ayam yang dicarik, untuk hiasan
Telur digoreng mata kerbau
Sedikit lada hitam kisar
Kicap lemak Jalen, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras, masukkan ke dalam periuk bersama air, daun pandan, bahan bertanda (*), dan sedikit garam (anggaran 1 camca teh), kacau dan masak dengan api sederhana hingga beras kembang.Masukkan isi ayam, mix vege dan juga lada hitam. Kacau rata dan terus memasak hingga menjadi bubur. Kacau sekali sekala dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  2. Cedok bubur ayam secukupnya ke dalam mangkuk sesuai. Tabur hirisan daun bawang, bawang goreng, isi ayam dan lada hitam. Hidangkan dengan telur mata kerbau dan kicap lemak Jalen, jika suka. Sedap dimakan panas atau suam...Selamat mencuba!!.


Monday, October 12, 2015

RESIPI BUN SARDINE

rsz_rsk
Assalammualaikum, salam semua. lama betul tak bikin roti, sebenarnya sudah beberapa kali keluarkan tepung, ragi dan bahan2 untuk meroti, tapi kemalasan berpanjangan, maka che mat masukkan kembali bahan2 roti ke dalam peti sejuk. Hari ni bertekad, macam mana pun nak juga meroti. Lagi pun bukan uli guna tangan, cuma masukkan ke dalam Bread Maker (BM), sahaja. Kalau anda takde BM, boleh guna mixer atau guna tangan, cuma guna tangan kena kerja lebih sikit lah, menguli dalam 15 minit hingga doh kenyal dan elastik. Untuk inti sardine che mat guna 1 tin kecil sardine cap ayam. Kalau anda suka pedas, boleh masukkan 1-2 biji cili padi yang dicincang halus.

rsz_rsk1
Resipi ini akan menghasilkan 10 biji bun sardine saiz sederhana. Che mat saja2 taruk dalam bekas macam dalam gambar tu. Anda boleh susun dalam loyang pembakar seperti bun biasa. Sebenarnya ada keju dalam setiap bun sardine, sebab masa nak ambik gambar ni roti mula jadi sejuk, keju pun dah mula beku, tak cair. Kalau anda bikin, makan masa roti suam2, dan keju tadi akan meleleh, Che mat guna keju mozarella. Tapi terpulang pada anda sama ada nak letak keju atau tidak, tiada paksaan, ikut selera masing2. Untuk hiasan atas roti, che mat guna hirisan daun kucai, boleh juga guna bijan atau dibiarkan kosong. Sesuai untuk sarapan pagi dan minum petang...Resipi seperti berikut, dan che mat tuliskan 2 kaedah, pertama guna BM dan kedua guna tangan....

BAHAN-BAHAN DOH :-)
250 gram tepung roti (high protein flour)
50 gram gula kastor
6 gram instant yeast
1/4 camca teh garam halus
1/4 camca teh bread improver
1/4 camca teh bread softerner
1 camca besar penuh susu tepung 
30 gram telur (pecahkan 1 biji telur, pukul sedikit dan timbang, simpan bakinya)
20 gram mentega
125 ml air (kalau uli guna tangan, guna air suam)

BAHAN-BAHAN INTI SARDINE :-)
1 tin kecil sardine cap ayam, hancurkan
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 keping hirisan halia, cincang halus
1 biji kecil cili merah, buang biji dan cincang halus
1 biji kecil cili hijau, buang biji dan cincang halus
1 biji limau kasturi, perah jusnya
Sos ikan secukup rasa (boleh guna garam)

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
2 camca besar susu segar
Hirisan kucai
Keju mozarella dipotong sebesar hujung jari (10 biji)

rsk2
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH ROTI :- KAEDAH BREAD MAKER : Masukkan air dalam breadmaker diikuti dengan semua bahan2 untuk doh, pilih setting untuk 'DOH' dan tekan 'ON'. Tunggu hingga doh siap. Biasanya BM akan membancuh adunan selama 5 minit, kemudian menguli selama 25 minit dan memerap doh selama 1 jam (bergantung pada jenis BM yang anda guna).
  2. KAEDAH ULI DENGAN TANGAN : Dalam satu bekas, masukkan yeast, 1 camca besar gula kastor (gunakan dari senarai bahan2 untuk doh) dan 1/2 bahagian air suam. Kacau dan biarkan yeast hingga berbuih (lebih kurang 5 minit). Dalam bekas lain, masukkan kesemua bahan2 untuk doh kecuali baki air suam dan telur. Gaul rata dan buat lubang ditengah2. Tuang telur dan gaul perlahan. Masukkan bancuhan yeast dan gaul hingga semua sebati. Tambah baki air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk. Tabur tepung di meja kerja, keluarkan doh dan uli selama 15 minit, gunakan tapak tangan untuk menolak doh semasa menguli. Bila doh kenyal dan elestik, bulat2kan doh, masukkan ke dalam mangkuk. Bungkus mangkuk dengan plastik bersih dan perap selama 1 jam. 
  3. UNTUK INTI :- Sementara menunggu doh naik, kita bikin intinya pulak. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, cili merah dan cili hijau hingga layu. Masukkan sardine, kacau rata dan masak hingga kering, guna api kecil dan kacau sentiasa. Perasakan dengan sos ikan secukup rasa (atau garam). Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau rata, rasa dan jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian (che mat bahagikan inti sardine pada 10 bahagian sama banyak).
  4. UNTUK BUN SARDINE :- Tabur sedikit tepung pada meja kerja. Keluarkan doh dan tumbuk untuk membuang udara, uli sekejap kemudian bahagikan doh pada 10 bahagian yang sama saiz dan bulat2kan (anda boleh timbang jika suka). Ambil 1 biji doh, leperkan dan sudukan 1 bahagian inti sardine, taruk 1 hirisan keju. Kemudian cantumkan doh hingga menutupi inti tadi. Kemas dan bulat2kan, susun dalam loyang yang disapu sedikit mentega atau boleh guna paper cup macam dalam gambar tu. Buat hingga siap.
  5. Biarkan selama 45 minit atau hingga naik sekali ganda. Panaskan oven pada suhu 180C, selama 15 minit. Baki telur tadi dicampur dengan 2 camca besar susu segar, kacau rata. Sapukan atas roti dan tabur dengan hirisan daun kucai sebagai hiasan. Bakar selama 20 minit atau hingga kuning keemasan. Keluarkan roti dari oven dan sejukkan sekejap. Hidangkan roti suam untuk minum petang atau sarapan pagi...Selamat mencuba!!


Sunday, October 11, 2015

LONTONG SINGAPURA

rsz_lss

Assalammualaikum, salam Ahad. Semalam che mat tak masak, dan hari ni memang merancang nak bikin lontong. Maka petang semalam che mat rebus ketupat segera. Kuah lodeh pulak kita cuba resipi dari Singapura. Che mat google2 juga resipi di internet dan terpikat resipi dari orang lama tanah Temasik, iaitu Puan Asmah Laili atau lebih mesra dipanggil Mami Asmah. Beliau bukan sahaja hebat memasak tapi juga penyampai radio terkenal di Singapura dulu. Dan che mat tak ikut 100% resipi beliau, guna apa yang ada dalam peti sejuk. Lontong che mat ni banyak kekurangannya, tempe takde, serunding pun takde, cuma benda2 asas sahaja. Kalau ikutkan lontong yang 'asli'. kita guna beras yang dimasukkan dalam daun pisang, diponjot bentuk silinder, diikat atas dan bawahnya, kemudian direbus. Tapi Che mat guna ketupat NONA atau anda boleh guna nasi impit yang dibikin sendiri. 

rsz_lss1
Kalau ikut resipi dari Mami Asmah Laili, dia masukkan hirisan daun kunyit. Tapi che mat tabur kendian. Ini terpulang pada anda, dan jangan tanya che mat, betul ke lontong Singapura kuah lodeh dia ada taruk hirisan daun kunyit. Kita hanya ikut resipi yang diberi oleh 'orang Singapura'. Rencahnya agak mewah, ada ikan bilis, udang kering dan udang hidup (che mat guna udang saiz kecik, jadi tak kelihatan dalam gambar). Ada juga yang kasi tau, lontong Singapura ditambah dengan begedil. Jika anda rajin. dan inginkan kelainan, boleh lah buat dan hidangkan bersama lontong. Ok, che mat kongsikan resipi tapi sukatannya main agak2 saja yea, ikut bijak anda lah nak menggayakannya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/4 bahagian kobis bulat, hiris kecil, cuci dan toskan
1 batang lobak merah saiz kecil, potong bentuk jejari
1/2 biji sengkuang saiz sederhana, potong bentuk jejari
5 keping cendawan 'black fungus @ cendawan telinga kera', potong kecil
5 tangkai kacang panjang, hiris serong
2 keping tauhu, potong kiub
2 keping tempe, potong kiub (tak letak sebab tak de)
Sebesar penumbuk bunga kobis, dipotong sekuntum2
Fucuk @ tauhu kering secukupnya, potong kecil dan rendam hingga lembut
1/3 cawan isi udang
1 cekak soo hoon, kerat pendek
1 batang serai, diketuk
1.2 liter santan cair
300 ml pati santan
1 helai daun kunyit, hiris halus
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
7 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas - 5 minit dan toskan
1 genggam udang kering, rendam sekejap dan toskan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
1 batang serai, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Nasi impit atau ketupat
Sambal tumis
Telur rebus, dibelah dua
Serunding (optional)
Begedil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LODEH :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis serai titik dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan lobak merah, sengkuang dan cendawan 'black fungus', kacau rata dan tuang santan cair. Biarkan mendidih hingga lobak merah dan sengkuang empuk sedikit. Masukkan bunga kobis, tauhu, tempe dan kacang panjang. Kacau dan masak sekejap. Tambah sedikit air jika perlu.
  2. Masukkan kobis, udang dan juga soo hoon, kacau rata dan tuang pati santan. Masak dengan api kecil dan kacau sekali sekala. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Tambah hirisan daun kuyit (jika guna). Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama bahan2 lain.
  3. UNTUK LONTONG SINGAPURA :- Masukkan secukupnya ketupat atau nasi impit dalam bekas sesuai. Cedok kuah lodeh bersama isi2nya dan tuangkan atas ketupat/nasi impit tadi. Tambah telur rebus, seruding, begedil dan hidangkan dengan sambal tumis. Jika suka boleh hias dengan hirisan daun kunyit...Sedap dimakan panas....Selamat mencuba!!


Friday, October 9, 2015

ENGLISH POUND CAKE..

rsz_epc

Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Sebelum che mat teruskan bebel2 manja, ni nak kasi tau awal2, kek paun yang jadikan entri ni bukan baru bikin, tapi terjadi semalam. Plan asal bukan nak bakar kek, tapi nak mengadun roti. Tepung, yis dan segala bahan2 untuk roti dan dua tiga kali keluar masuk dalam peti sejuk, tapi mood nak meroti tak juga2 mari (walhal campak dalam breadmaker ajer bukan kena menguli bagai). Jadi semalam che mat tekat kena juga bikin sesuatu. Ok, kek dah lama tak buat dan takmo kek yang fancy2 atau yang susah dan ambik masa. Dan paling senang kita bikin kek paun, atau english pound cake. Maka terhasillah seperti yang anda nampak ni..

rsz_epc1
Kalau ikutkan kek paun memang berasal dari Negara Eropah seawal abad ke 17 lagi. Kek ini mendapat nama dari sukatan bahan2 seperti gula, tepung dan sebagainya dalam timbangan 'paun'. Tapi kalau diikutkan kek yang asli agak manis. Rahsia kek paun yang sedap, semestinya dari mentega yang berkualiti tinggi dan esen vanilla yang berkualiti juga turut memainkan peranan. Kebiasaannya kek paun dibakar dalam loaf pan atau bundt pan. Resipi asak kek paun juga anda boleh pelbagaikan, nak jadikan ia kek marble atau kek berperisa oren, pandan dan boleh juga dicampur dengan mix dried fruit atau fresh blueberry untuk kelainan. Ok, jomm kita lihat resipi dan resipi asal dari 'Joy Of Baking'.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur gred A
3 camca besar susu segar (che mat guna susu rendah lemak)
1 1/4 camca teh vanilla esen
150 gram tepung kek 
150 gram gula kastor (che mat guna 130 gram)
1 camca teh baking powder
185 gram mentega berkualiti tinggi (anchor, scs. emborg, golden churn)
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser acuan bundt pan pilihan anda dengan mentega (kalau guna loaf pan, che mat cadangkan guna yang bersaiz 8 inci x 4 inci  3 inci. Sapu dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak). Ketepikan.
  2. Dalam satu bekas, masukkan telur, susu segar dan esen vanila, kacau dengan garfu hingga semua sebati. Ketepikan. Ayak tepung dan baking powder, masukkan ke dalam mangkuk pengadun bersama gula kastor, garam halus dan mentega. Tuang 1/2 bahagian bancuhan telur dan putar pada kelajuan sederhana hingga semuanya sebati.
  3. Tukar pada kelajuan tinggi dan putar selama 1 minit hingga adunan kembang. Perlahankan kelajuan, masukkan 1/2 bahagian lagi bancuhan telur, putar sebati kurang lebih 30 saat. Kemudian masukkan baki telur hingga habis, Putar sekejap dan boleh matikan mixer.
  4. Kaup adunan kek dengan spatula agar semuanya rata. Tuang dalam acuan, ratakan kemudian dan bakar 50 hingga 55 minit atau hingga kek masak. Untuk menguji kek samada dah masak atau belum, cucuk bahagian tengah kek dengan cake tester atau lidi sate bersih, jika keluarnya bersih, tanda kek anda telah masak. Keluarkan acuan dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan kek dari acuan, sejukkan sepenuhnya atas jaringan atau anda boleh nikmati kek paun semasa ia masih suam....Selamat mencuba!!..


Thursday, October 8, 2015

ASAM REBUS BATANG KELADI SAMA UDANG

rsz_arbl
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat masak nasi dan dalam masa sama termengidam menu ringkas dan paling senang nak masak. Tak guna minyak, main rebus saja. Asam rebus batang keladi sama udang. Udang che mat taruk 2 ekor saja, yang saiz besar. Batang keladi tu 1 pokok sederhana, bukannya pokok yang beso menjulang, sapa pulak nak ngabiskan kalau masak banyak2 yea dak. Rencah tu anda boleh guna apa2 yang anda suka, ikan bilis, ikan masin atau ikan segar. Kali ni che mat guna cili kering, kebiasaannya, kami guna cili hidup kalau nak masak asam rebus. Guna cili kering kuah asam rebus lebih merah. Ada yang cadangkan che mat taruk daun kesom, sebab pokok kesom tengah merajuk, daun dia pun keding2, maka ku masukkan daun kunyit dan bunga kantan. Sebenarnya menjadi kebiasaan che mat kalau masak asam rebus, taruk daun kunyit atau daun selasih, tapi bergantung pada apa yang anda asam rebuskan...Ok, kalau rasa2 nak cuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 pokok sederhana keladi sayur
2 - 3 ekor udang saiz besar, dibersihkan
2 keping asam gelugor
1/2 kiub ikan bilis (optional)
1/4 camca teh serbuk kunyit
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 helai daun kunyit, disiat
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 tangkai cili kering, buang biji, cuci dan rendam dalam air panas selama 10 minit
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan ubi keladi dan batangnya. Kupas keladi, kemudian potong kiub, cuci dan rebus hingga 1/2 empuk, toskan. Batang keladi dibuang kulit luarnya, kemudian kerat pendek (dalam 2 inci), dan direndam, buat hingga siap. Didihkan air, masukkan 1 keping asam gelugor dan celur batang keladi tadi (toskan dulu) selama 30 saat, tos dan ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar ke dalam periuk. Tambah serbuk kunyit dan air (anggaran 1 liter), kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan bunga kantan, asam gelugor (baki yag 1 keping tadi), kuib ikan bilis (jika guna), ubi keladi dan  udang. Kacau dan masak hingga ubi keladi empuk.
  3. Tambah batang keldai dan daun kunyit, kacau perlahan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan. Hidangkan bersama nasi panas, telur dadar dan ikan goreng...Selamat mencuba!..



Wednesday, October 7, 2015

RESIPI MI BANDUNG

rsz_mbm
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni che mat tak masak nasi, jadi untuk santapan tengah hari, ku korek2 apa yang ada dalam peti sejuk. Maka terhasillah mi bandung. Yang ni che mat bikin dari bahan2 mentah bukan guna pes sedia guna. Tidaklah susah sangat, yang penting bahan2 ada. Mi bandung yang serba ringkas ini hanya menggunakan udang, daging ayam dan telur sebagai perencah. Kalau nak lagi sedap, masukkan sotong dan daging lembu (kalau dah ada daging lembu, boleh skip isi ayam). Pes mi bandung che mat masukkan udang kering, yang ni wajib sebab mi bandung mesti ada rasa udang. Kalau takde udang kering, anda boleh juga guna udang geragau kering. Kacang tanah dimasukkan akhir. Mi che mat asingkan dan tidak dimasukkan dalam kuah untuk mengelakkan ia jadi kembang jika tidak habis dimakan. Kalau dah bersedia, che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan isi ayam yang dihiris memanjang, cuci dan toskan
6 - 7 ekor udang saiz besar
1 pokok sawi
5 biji tomato ceri
2 biji telur
2 camca besar sos tomato
1 1/2 camca besar sos cili
1 kiub pati daging
2 liter air
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 camca besar kacang tanah yang ditumbuk halus
Garam secukup rasa
Mi kuning secukupnya
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan (tak letak sebab habis)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 tangkai cili kering, kerat pendek, rendam dalam air panas sekejap dan toskan
1 biji bawang besar saiz besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/4 cawan udang kering, direndam 10 minit dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PES MI BANDUNG:- Panaskan 1/3 cawan minyak. Kemudian tumis bahan2 kisar halus hingga wangi, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan 1 camca teh garam, kacau dan terus memasak hingga naik minyak dan pes menjadi pekat. Matikan api, cedok keluar pes tadi dan ketepikan.
  2. Sementara itu, udang dibersihkan. Kulit dan kepala udang dicuci, kemudian rebus dengan 1 cawan air dari 2 liter air dalam resipi, selama 10 minit. Biarkan suam dan kisar hingga halus, tapis dan ketepikan air rebusan udang tadi. Sawi dicuci. potong berasingan tangkai dan daunya. Tomato ceri dibelah 2 setiap sebiji. Ketepikan.
  3. UNTUK KUAH MI BANDUNG:- Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan pes mi bandung secukupnya (anggaran 2 camca besar penuh), kacau dan tambah sos cili dan sos tomato, kacau rata dan tuang air rebusan udang, baki air dan juga kiub pati daging. Kacau dan biarkan mendidih.
  4. Masukkan udang, isi ayam dan batang sawi. Masak hingga udang dan ayam masak. Perlahankan api, kemudian pecahkan telur ke dalam kuah, biar hingga telur masak. Kacau perlahan2. Masukkan daun sawi, tomato dan kacang tanah tumbuk. Masak sekejap lagi, rasa dan jika perlu, baru masukkan garam secukup rasa. Boleh matikan api.
  5. UNTUK MI BANDUNG:- Mi dicuci, kemudian rebus 30 saat dalam air mendidih, toskan. Ambik secukupnya mi dan masukkan ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah secukupnya bersama isi2nya dan telur (sebiji). Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas. Selamat mencuba!!.


Tuesday, October 6, 2015

MI HAILAM, PALING SENANG NAK BUAT..

rsz_mh
Assalammualaikum, salam Selasa. Ada kala kita rasa nak makan satu menu yang simple, yang mudah dibuat (ok lah mi hailam ni dalam kategori mudah juga..tapi tidaklah semudah masa mi maggi 2 minit tu yea). Guna bahan2 yang ada dalam peti sejuk saja pun dah ok. Kalau anda ada simpan daging korban, pun boleh masukkan, untuk kuah guna air rebusan daging. Che mat guna isi ayam dan udang saja. Sayur2an bergantung pada apa yang anda suka. Macam che mat guna capsicum, lobak merah, kobis daun, tomato dan bunga kobis. Untuk menambah rasa pedas, ku masukkan 2 ulas cili padi yang dicincang halus.Tambah lagi ada sulah...perghh..berpeluh masa makan. Jika ada anak2 kecil, tak perlulah taruk cili padi, guna lada sulah dah cukup. Ok, jika nak mencuba, che mat tuliskan resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 cawan isi ayam, potong kiub
5 - 6 ekor udang saiz sederhana, dibersihkan (simpan kulitnya)
1/4 bahagian  capsicum merah dan hijau, dipotong kiub
7 - 8 keping hirisan lobak merah
1 helai kobis daun, dipotong
4 biji tomato ceri, dibelah 2 setiap 1
Sedikit bunga kobis, dipotong kecil
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 camca besar penuh sos tiram
1/4 camca teh kicap pekat
Beberapa titik minyak bijan
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 ulas cili padi, cincang halus (optional)
1 camca teh tepung jagung + 1/4 cawan air = kacau rata
600 ml air
Garam secukup rasa
Mi kuning secukupnya, dicelur dengan air panas dan toskan
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kulit udang dicuci bersih dan rebus dengan 600 ml air tadi selama 5 minit, tapis dan ketepikan air rebusan tadi. Panaskan 1 1/2 camca besar minyak masak dalam kuali. Tumis bawang putih dan cili padi hingga harum, masukkan isi ayam. Kacau dan masak dengan api kecil hingga isi ayam berubah warna. Masukkan udang, kacau dan tambah sos tiram, tuang air rebusan kulit udang tadi, kacau dan biar mendidih.
  2. Tambah lobak merah dan bunga kobis, bila lobak merah lembut, masukkan capsicum merah dan hijau serta kobis daun. Masukkan kicap pekat, kacau dan tambah bancuhan tepung jagung. Kacau dan masak hingga pekat. Akhir sekali masukkan serbuk lada sulah, minyak bijan, tomato dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. Masukkan mi kuning yang telah dicelur ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah bersama2 isinya atas mi tadi. Hias dengan hirisan daun bawang dan hidangkan segera..
CATATAN MAT GEBU :- jika anda nak masukkan mi dalam kuah pun boleh, takde masalah, Tapi  che mat lebih suka asingkan mi dan kuahnya untuk mengelakkan mi jadi kembang bila tak habis dimakan....Selamat mencuba!!


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.