BEN ASHAARI

Wednesday, September 30, 2015

RESIPI NASI ULAM NYONYA

rsz_nun
Assalammualaikum semua, salam Rabu. Hari ni che mat mengidam nasi ulam nyonya. Satu resipi orang peranakan yang begitu enak dan penuh khasiat. Ada yang tanya che mat, nasi ulam nyonya ni sama ke macam nasi kerabu? Ia seakan2 nasi kerabu tapi tidak sama. Nasi kerabu kebiasaannya bewarna biru (dari campuran jus bunga telang). Dan dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk sampingan. Nasi ulam nyonya lebih ringkas dan dihidangkan bersama sambal belacan, ayam goreng dan ulam timun (tapi che mat hidangkan dengan udang goreng kunyit saja), tapi sebenarnya tiada had anda nak makan dengan apa sekali pun, cuma sedia maklum dalam nasi ulam itu sudah ada isi ikan kembong, udang kering dan isi ikan kurau masin. Ini satu menu sihat berdasarkan penggunaan bahan2 herba dan dimakan mentah yang tak perlu dimasak, kecuali, ikan, udang kering dan isi ikan kurau masin dan kerisik. 

rsz_nun1
Nasi ini dicampur dengan kelapa goreng. Teknik orang peranakan bikin kelapa goreng sama seperti kerisik tapi tidak ditumbuk sampai halus sangat. Kelapa parut segar digoreng tanpa minyak hingga keperangan dan ditumbuk halus, tapi tidak sampai berminyak seperti kerisik orang melayu. Tak salah anda nak guna kerisik yang biasa kita guna untuk masak rendang tu, boleh juga. Satu lagi, nasi perlu dimasak peroi dan tidak lembik, kalau lembik dan melempeng, nasi ulam anda akan jadi tak cantik, berketul2. Pastikan sukatan air untuk masak nasi betul dan jangan lupa taruk daun pandan dan sedikit garam untuk mendapat aroma nasi yang harum dan lemak. Ini satu resipi yang mudah dan jika anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti di bawah ini....

BAHAN-BAHAN ULAM :-)
2 helai daun kunyit muda
1 kuntum bunga kantan
1 batang serai, ambil bahagian putih sahaja
20 helai daun pudina
4 helai daun kadok
4 helai daun cekur
2 helai daun limau purut
20 helai daun kesom
20 helai daun selasih
5 biji bawang merah, mayang halus
1 biji cili merah, buang biji dan cincang halus
1 inci halia muda, hiris dan mayang halus
1 inci kunyit muda, hiris dan mayang halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
2 ekor ikan kembong (boleh guna ikan selar, tenggiri atau ikan cencaru)
1 genggam udang kering, direndam
Sebesar ibu jari isi ikan masin kurau, direndam
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
2 camca besar penuh kelapa goreng (atau kerisik)
4-5 cawan nasi yang telah disejukkan
Udang atau ayam goreng
Hirisan cili merah, untuk hiasan
Daun pudina, untuk hiasan
Sambal belacan, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PENYEDIAAN ULAM-ULAMAN :- Semua ulam-ulaman direndam dalam air sekejap untuk membuang kotoran. Kemudian toskan dalam tapis hingga semunya betul2 kering. Mayang setiap satu ulam2 tadi seperti menghiris bunga rampai. Ketepikan.
  2. Ikan kembong dibakar, kemudian asingkan isi dari tulangnya. Tumbuk hancur isi ikan tadi. Udang kering ditoskan, perah dan goreng tanpa minyak hingga wangi dan tumbuk hancur. Isi ikan kurau masin ditoskan, perah dan hiris, kemudian goreng tanpa minyak hingga wangi, guna api kecil. Kemudian tumbuk hingga gebu. Ketepikan.
  3. UNTUK NASI ULAM NYONYA :- Masukkan nasi ke dalam mangkuk besar. Masukkan kerisik dan lada hitam tumbuk, gaul. Tambah isi ikan kembong, udang tumbuk. isi ikan kurau masin tumbuk dan kesemua bahan2 ulam yang dimayang halus tadi. Gaul hingga semua rata dan mesra. Sesuaikan rasa dan boleh hidangkan bersama sambal belacan, udang atau ayam goreng. Hiaskan dengan sedikit daun pudian dan hirisan cili merah jika suka....Selamat mencuba!!.


Tuesday, September 29, 2015

MI KARI HOKKIEN

rsz_mkh

Assalammualaikum, salam Selasa. hari ini cuaca masih berjerebu, che mat sendiri tadi masa kemas2 kat bahagian luar rumah dah mula rasa tak selesa. Tergerak juga nak memerun daun2 kering, tapi rasanya tak patut pulakkan keadaan macam ni kalau kita buat bakaran terbuka. Jadi kita kensel nak memerun dan turun ke dapur. Dan che mat memang plan nak masak mi kari hari ni, tapi nak cuba resipi lain, resipi yang bukan biasa2. Tadi seorang teman FB che mat, Datin Asima Abdul Latif yang lebih mesra kami panggil 'mama', syorkan che mat cuba mi kari Hokkien dan mama bagi serba ringkas bahan2 yang digunakan. Menarik juga dan kebetulan bahan2 hampir semuanya ada, kecuali taugeh. Dan dengan bersemangatnya, che mat mulakan memasak. 

rsz_mkh1
Che mat guna 1 keping bahagian peha ayam bersaiz besar dan che mat potong2 kecil. Isi kerang dalam 1/3 cawan, tapi kalau nak taruk lebih pun takde masalah, ikut budget masing2. Che mat sebenarnya agak2 saja resipi sebab nak makan untuk seorang (dan kuah dia memang berlebih, boleh simpan dalam peti sejuk dan panaskan bila nak makan nanti). Kata mama, mi kari Hokkien ini disertakan dengan sambal kering dan che mat memang ada sambal tumis yang dibekukan dalam freezer, jadi bolehlah guna untuk makan bersama mi kari. Satu lagi kalau bikin mi kari, tauhu pok paling sesuai, kerana ia berongga dan boleh menyerap kuah dengan baik. Jika anda nak mencuba, che mat tuliskan resipi seperti di bawah. Terima kasih pada mama yang sudi memberi idea...

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 keping peha ayam bersaiz besar, potong kecil, cuci dan toskan
1/3 cawan isi kerang, cuci dan toskan
1 keping fishcake, hiris nipis
4 keping tauhu pok, celur dalam air panas, dan kerat 2 setiap 1
4 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai daun kari
1 cawan santan
1 biji kentang, kupas, cuci, rebus dan lecek halus
3 camca besar rempah kari daging (baba's)
1 camca besar cili kisar
1 genggam udang kering, rendam 10 minit, toskan dan kisar halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya (che mat guna air rebusan tulang ayam)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1 batang serai, dihiris
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci belacan

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya, dicelur dan toskan
Sawi bok choy, cuci dan celur sekejap, toskan
Taugeh, dibersikan (tak letak sebab takde)
Telur rebus secukupnya, belah 2 setiap 1
3 tangkai kacang buncis, kerat pendek, celur dan toskan
Hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
Hirisan cili merah dan cili hijau
Limau nipis @ limau kasturi
Sambal tumis (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI KARI HOKKIEN:-Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Sementara itu bancuh rempah kari dengan bahan2 kisar halus, kacau hingga menjadi pes rempah. Tumis bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam berubah warna. Tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Biarkan mendidih, tambah kentang lecek dan udang kering yang dikisar halus tadi. Kacau rata, masukkan santan, kacau dan biarkan menggelegak pada api sederhana. Kacau sekali sekala.
  3. Masukkan fish cake, isi kerang dan tauhu pok, tambah air jika kuah terlalu pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  4. UNTUK MI KARI HOKKIEN:-Masukkan mi secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah bersama isi2nya. Hias dengan sawi celur, kacang buncis celur, telur rebus, taugeh, hirisan cili merah dan cili hijau. Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Perahkan jus limau nipis atau limau kasturi sebelum dihidangkan. Jika suka, boleh tambah sambal tumis....Selamat mencuba!!..


Monday, September 28, 2015

SARAPAN VADEY KITA HARI NI...

rsz_masalode
Assalammualaikum, selamat pagi semua. Awal sikit che mat update blog ni hari. Malas nak tangguh2 nanti nak buat kerja lain pulak. Hari ni kita sarapan satu makanan orang India, iaitu vadey atau ada yang panggil masalode. Resipi atas perkongsian Chef Khairul Hakimi. Cuma che mat terlanggar pantang sikit lah dari resipi asal chef. Kalau lihat vadey che mat bikin tu kurang nampak kacang dhal biji2. Atas faktor pagar (gigi) agak kurang, jadi kenalah che mat kisar halus sikit kacang dhal yang telah ku rendam semalaman. Kalau ikut resipi asal, Chef Khirul guna 500 gram, tapi che mat bikin dalam 1 cawan saja, yelah kang banyak sangat berpinau mata nak menghabiskan. Resipi mudah, cuma anda kena sabar untuk membentukkan ia menjadi vadey, nak2 kalau baru mencuba. Apa2 pun terima kasih chef sudi berkongsi resipi dan idea....(resipi di bawah ialah resipi asal, jadi anda pandai2 lah buat adjustment jika nak buat dalam kuantiti sedikit)

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram kacang dhal (kadalai paruppu)
1 biji bawang besar india, cincang halus
2 biji cili hijau, hiris
2 tangkai daun kari (che mat hiris)
1/2 camca teh garam
Minyak untuk goreng terendam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang dhal dicuci dan direndam sekurang2nya 1 jam (che mat rendam semalaman). Toskan kacang dhal dan masukkan ke dalam mesin pengisar makanan (food processor). Kisar hingga hancur, tapi jangan sampai halus sangat. Alihkan ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan semua bahan2 di atas kecuali minyak. Gaul rata hingga semua sebati. Sementara itu panaskan minyak untuk goreng terendam. Ambik sedikit (anggaran 1 camca besar) adunan kacang dhal tadi, bentukkan bulat kemudian leperkan seperti anda membuat begedil. 
  3. Goreng dalam minyak panas hingga kuning keemasan pada kedua2 bahagian. Balik2kan agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya dan boleh hidangkan, Buat kaedah sama untuk baki adunan....Selamat mencuba!!.


Sunday, September 27, 2015

NASI LEMAK HALBA...

rsz_nlh
Assalammualaikum, salam hujung minggu semua. Hari ni keadaan jerebu di kampung che mat dah kurang sikit. Tapi dengar cerita ditempat2 lain keadaan ada yang tak berubah, malah makin teruk. Kenalah kurangkan aktiviti luar dan kalau tak perlu sangat, tah payahlah keluar terutama anak2 kecil dan mereka yang punya masalah kesihatan seperti asthma dan sebagainya. Hari ni che mat masak nasi lemak. Ni kira merangkap sarapan dan makan tengah hari. Ada yang tanya, che mat dok sorang, masak nasi lemak tu sapa nak makan?..Ishh, dah tentulah aku, ingat kita ni ada bela 'saka' ke, nak ajak makan sama. Kalau dah duduk sorang, jangan lah dimasak sampai macam nak makan 10 orang, pandai2 lah budget. Kalau sambal tumis tu masak lebih takpe, boleh guna untuk lain. Soalan yang kerap che mat dapat ialah, kalau guna beras biasa ok ke masak nasi lemak?...Kalau ikutkan semua jenis beras boleh guna, janji anda bijak sukat cecair atau santannya. Kalau beras basmathi biasanya che mat guna 1 cawan beras : 1 1/2 cawan santan. Kalau beras biasa, mungkin anda boleh guna 1 cawan beras : 1 1/4 cawan santan. Tapi bergantung pada kualiti beras.

rsz_nlh2
Untuk resipi ni che mat guna 2 cawan beras basmathi dan 1/2 biji kelapa parut (sebab guna kelapa dari pokok sendiri). Biasanya che mat gandingkan dengan ayam berempah, tapi kali ni kasi tukar sama udang goreng kunyit. Satu lagi, nasi lemak yang ni dimasukkan sedikit halba untuk menambah aroma. Ada yang tak suka kerana akan menjadikan nasi lemak seakan2 nasi dagang, tapi pada che mat nasi lemak bertambah wangi bila ada halba. Apa2 pun ikut selera masing2, nak taruk boleh, tak nak taruk pun boleh, pilihan di tangan anda. Sambal sotong tu che mat guna sotong dalam tin. Satu tin besar, lebih boleh simpan dalam peti sejuk. Nak memasak nasi lemak memang mudah, dan bagi yang kurang mahir, che mat sarankan anda guna beras basmathi, agar mudah untuk menyukat santannya...alah nak makan, apa berkira pasal beras tu mahal, esok2 kalau kita mati, duit semua tak guna dah, jadi hak orang lain, jadi tak perlulah kemut sangat....Ok, jomm semak resipi...

NASI LEMAK HALBA....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan beras basmathi (che mat guna beras Faiza, Moghul)
3 cawan santan segar
1 batang serai, diketuk
1 biji bawang besar saiz kecil, belah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, hiris nipis
1 helai daun pandan, disimpul
3/4 camca teh garam
25 biji halba

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Sambal tumis
Hirisan timun
Udang goreng kunyit (atau ayam, ikut pilihan anda)
Ikan bilis goreng
Kacang tanah goreng
Telur rebus (atau telur mata, telur dadar, ikut selera masing2)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras basmathi dan rendam 25 minit, toskan dan masukkan ke dalam periuk nasi elektrik. Masukkan serai, bawang besar. bawang putih, daun pandan, halia dan halba. Gaul rata. Masukkan garam dalam santan, kacau hingga rata dan tuang santan ke dalam periuk berisi beras tadi. Kacau dan masak seperti biasa.
  2. Bila lampu pada periuk nasi elektrik bertukar dari 'cook' ke 'warm'. Biarkan sekejap dalam 10 minit. Matikan suis periuk nasi dan gemburkan nasi lemak halba tadi dengan chop stick. Jangan gembur banyak kali nanti nasi akan patah2. Boleh dihidangkan bersama sambal tumis dan bahan2 sampingan lain..(tujuan suis periuk dimatikan, ialah untuk mengelakkan nasi lemak jadi berkerak)


SAMBAL SOTONG TIN...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin besar sotong dalam tin (jenama REX)
1 1/2 cawan cili kisar
3/4 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan sotong, kemudian potong kecil. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan pes asam jawa dan sedikit air (anggaran 1/4 cawan), kacau dan tambah sotong tadi. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak.

UDANG GORENG KUNYIT....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 - 5 ekor udang saiz BESAR
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/4 camca teh serbuk lada sulah
1/2 camca teh garam
Secubit gula
1 ulas bawang putih mayang halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, kemudian gaul dengan serbuk kunyit, serbuk lada sulah, garam dan secubit gula hingga rata. Perap 15 minit. Panaskan minyak untuk menggoreng. Tumis bawang putih hingga harum dan kekuningan. Masukkan udang, kacau dan goreng hingga udang berubah warna kemerahan, terbalikkan dan masak sekejap lagi. Angkat (dengan bawang putih sekali), toskan dan boleh hidangkan bersama nasi lemak tadi...(jangan goreng lama sangat, nanti isi udang jadi liat)....


Saturday, September 26, 2015

CEKODOK UDANG GERAGAU...

rsz_cug
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Hari ni che mat masukkan entri agak awal, entri sarapan pagi. Sejak2 tinggal sorang ni, memang tak masak sangat, makan apa yang ada dan kalau masak pun tak delah yang 'real' punya seperti biasa. Bukan apa, kalau masak tak sapa nak makan, lepas tu malas nak simpan2 dalam peti sejuk bagai, bikin sesak ajer, dah lah peti sejuk che mat macam 'tesco + mydin + econsave', dia punya kepadatan...dapat bayangkan tak? Tadi ada yang tanya mana che mat dapat stok udang geragau segar ni?..Sebenarnya memang ada simpan dalam freezer. Biasanya kalau beli, terus che mat bagi2kan dan masukkan dalam plastik berasingan, jadi masa nak guna tak perlulah keluarkan seketul besar. Ambil yang dalam bungkusan kecil2 tu saja dah cukup. Udang geragau ni pun ada jenis2 juga. Ada yang warna putih melepak dan ada satu lagi warna kelabu sikit. Tu sebab kalau anda lihat belacan, ada yang warna cerah dan ada tu warna gelap.

rsz_cug1
Resipi ini akan menghasilkan adunan yang agak banyak juga, Bagi che mat yang tinggal seko2 ni, satu adunan boleh goreng 4 kali, tu pun ikut saiz besar mana cekodok yang anda bikin. Kalau macam dalam gambar tu che mat goreng kurang lebih dalam 12 biji. Adunan selebihnya masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk. Satu lagi cekodok ni bukan jenis garing sangat, tapi lebih pada lembut dan gebu dan in sha Allah tak serap minyak. Sesuai untuk sarapan atau minum petang atau cemilan waktu2 senggang. Kalau nak bikin masa tetamu datang pun ok. Sedap dimakan bersama sos cili dan sebagainya, nak cicah dengan kuah gulai yang semalam2 punya pun ok...Resipi memang mudah, dan memang ini hanya cekodok, tapi che mat pasti masih ada yang gagal nak bikin cekodok, yea tak?....Berkongsi ilmu bukan nak menunjuk pandai, tapi satu kewajipan kita sebagai hamba Allah, lagi pun ia 'percuma'..ada che mat minta bayaran?.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan penuh udang geragau segar, cuci dan toskan
2 cawan tepung gadum
1/2 camca teh baking powder
1 biji telur gred A
1 1/2 cawan air (atau lebih sedikit kalau anda guna telur saiz kecil)
1 camca teh rata garam
1 pokok daun bawang, hiris halus
1 pokok daun sup, hiris halus
1 biji bawang besar, dadu
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas, masukkan udang geragau, bawang besar, daun sup, daun bawang, cili merah, cili hijau, garam dan baking powder. Gaul hingga rata. Masukkan tepung dan telur. Gaul hingga semua rata.
  2. Tuang air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair atau pekat. Sebab che mat guna telur gred A, che mat habiskan 1 1/2 cawan air tu. Rehatkan adunan selama 15 minit.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Kemudian sudukan adunan cekodok tadi ke dalam minyak panas, buat 10 - 15 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali anda. Goreng dengan api sederhana besar hingga kekuningan. Balik2kan cekodok agar masak sekata. Angkat dan toskan minyaknya. Hidangkan panas bersama cili sos..
CATATAN MAT GEBU :- Disebabkan adunan cekodok ada baking powder, jangan cedok banyak2 sangat masa masukkan dalam minyak panas, cedok 1/2 sudu besar dah cukup untuk sebiji cekodok, tapi kalau nak saiz cekodok besar boleh taruk 3/4 atau 1 camca besar. Kalau nak comel lagi guna tangan untuk mengcekodokkan adunan anda...tapi awas jari, jangan terkena minyak panas!....Selamat mencuba!!


Thursday, September 24, 2015

KUEY TEOW, HIDANGAN AIDIL ADHA

rsz_ktk
Assalammualaikum, salam aidil adha untuk semua umat Islam. Che mat tak masak apa2 untuk raya haji kali ini. Memandangkan che mat sorang2 ajer, aku makan apa yang ada sudahlah, bukan apa, malas nak masak beriyea dan kalau tak habis nak kena simpan2 dalam peti sejuk. Pagi tadi che mat goreng tempe dan makan sama sambal kicap, orang Johor kan, mana sah kalau takde sambal kicap. Yang tu untuk sarapan dan untuk makan tengah hari, che mat goreng kuey teow. Kuey teow che mat simpan dalam freezer, bila nak guna panaskan dalam ketuhar mikro. Sebab makan sorang, che mat goreng dalam 150 gram kuey teow (kurang lebih lah yea, sebab main agak2 saja masa masak tadi). Resipi kuey teow goreng takde lah susah mana dan sedap dimakan selepas dimasak, ketika masih panas. Kalau dah sejuk ok juga cuma kurang sikit lah. Kalau nak mencuba, resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram kuey teow (kurang lebih)
1 genggam taugeh
20 tangkai kucai, kerat pendek
1 biji telur, dikacau
6 ekor udang saiz besar, buang kulit, cuci dan toskan
1 genggam isi kerang
2 camca besar sambal tumis
1/2 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap pekat
1 camca besar kicap lemak manis
Sos ikan secukup rasa
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
Sedikit air
Cili hijau, jeruk untuk dimakan bersama kuey teow goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan sambal tumis, sos tiram dan kacau rata. Masukkan udang dan kerang, gaul dan masak hingga udang berubah warna. Sementara itu, taruk kuey teow dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan dan masukkan ke dalam kuali. Kacau rata.
  2. Tolak kuey teow ke tepi kuali, masukkan telur dan masak hingga telur kental sikit. Gaul rata dengan kuey teow tadi. Masukkan kicap pekat, kicap lemak manis dan sos ikan secukup rasa. Kacau rata, tambah sedikit air jika suka kuey teow yang berkuah. 
  3. Tambah taugeh dan kucai, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama cili hijau jeruk. Sedap dimakan panas..


Wednesday, September 23, 2015

AYAM MASAK MERAH BERMADU

rsz_red_devil_ciken
Assalammualaikum, salam semua. Tu hari che mat dah kongsikan resipi nasi tomato yang boleh dikatakan mudah disediakan. Hari ni kita lihat resipi ayam masak merah bermadu pulak. Anda boleh masak sempena raya haji nanti. Boleh digandingan dengan semua jenis nasi atau ketupat. Che mat gunakan 1/2 ekor ayam yang dipotong pada 8 bahagian (bergantung pada besar mana ayam yang anda guna). Ada yang guna lebih cili kisar dan gula untuk mendapat warna yang agak gelap dan kemerahan. Che mat lebih suka masak merah yang tidak terlalu gelap warnanya. Satu lagi bila masak ayam masak merah, pastikan anda masak tomato puree hingga naik minyak dan betul2 masak untuk mengelakkan sakit perut. Resipi dalam kategori mudah dimasak dan tak memerlukan bahan2 terlalu banyak.....Nak cuba masak untuk hari raya haji nanti?..Jommm che mat kongsikan resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, dipotong 8 bahagian
2 batang serai
1/4 cawan kismis
4 camca besar tomato puree
3 camca besar sos cili
1 camca besar madu
3 camca besar cili kisar
3/4 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Bawang goreng, untuk hiasan
Kacang pis, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dicuci bersih, lumur dengan 1 camca teh serbuk kunyit dan 1 camca teh garam. Perap 15 minit dan goreng hingga masak, tak perlu sampai garing. Angkat dan toskan. Serai diketuk dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak gorengan ayam tadi dan tinggalkan kurang lebih 1/3 cawan. Masukkan bahan2 tumis, serai dan juga bahan kisar halus. Kacau dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan tomato puree dan sos cili, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan air dan madu. Kacau dan biar mendidih. Tambah ayam dan kismis, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula jika perlu. Masak sekejap lagi dan rasa. Jika ok boleh matikan api. Tabur bawang goreng dan kacang pis sebelum dihidangkan..

Tuesday, September 22, 2015

ROTI PURI, SEDAP DAN ENAK...

rsz_roti_puri
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat cuti masak nasi dan mungkin untuk beberapa ketika kita skip dulu nasi, tapi tak janji lah yea, ikut mood dan kerajinan. Kalau teragak nak makan nasi, baru lah masak. Pernah makan roti puri?...Che mat kerap juga nampak roti puri di blog teman2 masakan, tapi tergerak nak bikin. Entah kenapa semalam ternampak roti puri di blog KuahKari.com milik chef hidung mancung, Chef Khairul Hakimi. Resipi origanal dari nenek beliau. Buatnya agak mudah dan tidak perlu banyak kerja. Resipi asal agak banyak bagi che mat, sebab buat masa sekarang tinggal che mat sorang saja, maka che mat buat 1/2 dari adunan asal. Itu pun dapat 12 keping roti puri. Yang pasti ia sedap dan mengenyangkan. Che mat tak goreng semua, goreng mana yang nak makan saja. Doh selebihnya masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk. 

rsz_roti_puri2rsz_roti_puri1
Roti puri sedap dimakan bersama dalca atau kuah dhal. Resipi kuah dhal kurang lebih macam resipi parpu tapi tak taruk santan. Nanti che mat kongsikan resipinya. Bila makan dengan kuah dhal ini, che mat suka top up sambal tumis dan taruk dalam kuah dhal. Kasi gaul rata bila nak cicah sama roti puri. Satu tips yang Chef Khairul kongsikan, roti puri harus digoreng dalam minyak yang betul2 panas untuk mendapat teksture mengelembung. Che mat goreng satu persatu dan ia cepat masak sebab agak nipis dan anda harus cepat untuk mengelakkan roti puri hangus. Sedap dimakan sebagai sarapan pagi atau pun minum petang....Jangan lupa cuba nanti ok, che mat tuliskan resipi di bawah ini....

ROTI PURI.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung atta
1 cawan tepung gandum
1 cawan air suam*
1/4 camca teh rata garam*(*disatukan dan kacau rata)
Minyak untuk menggoreng terendam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan tepung atta dan tepung gandum dalam mangkuk. Gaul hingga rata dan buat lubang di bahagian tengah tepung. Masukkan air suam bergaram sedikit demi sedikit sambil digaul dengan tepung, tambah lagi air dan adun hingga mendapat doh yang tidak melekat di mangkuk adunan (che mat guna 1 cawan air suam, tu tak habis). Bulatkan doh, tutup dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan, rehatkan 1 jam.
  2. Bahagikan doh kepada 12 bahagian, bulatkan. Panaskan minyak dalam kuali. Tabur tepung pada papan pencanai. Ambil sebiji doh, leperkan sedikit dan canai dengan torak sehingga nipis. Kemudian masukkan ke dalam kuali. Siram2kan dengan minyak panas. Bila roti puri mula mengelembung, balikkan dan masak beberapa saat. Bila keemasan, terus angkat dan toskan. Buat kaedah sama dengan baki doh hingga siap. Hidangkan bersama kuah dhal...

KUAH DHAL..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 cawan kacang dhal, cuci dan rendam 2 jam
3 tangkai cili kering, kerat pendek, cuci bersih, toskan dan lap kering dengan tissue dapur
1 tangkai daun kari
1/2 camca teh jintan halus
1/2 camca teh biji sawi
1/3 camca teh serbuk kunyit
1 biji kentang, kupas dan potong dadu
2 tangkai kacang panjang, kerat pendek
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 kiub pati ikan bilis (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus kacang dhal dan kentang hingga empuk, tambah air jika perlu. Sementara itu, tumis bahan2 kisar halus dengan sedikit minyak hingga harum. Masukkan ke dalam periuk berisi kacang dhal dan kentang tadi. Kacau rata dan masukkan kacang panjang, masak hingga mendidih.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak, goreng cili kering hingga wangi, angkat dan masukkan ke dalam periuk dhal. Kemudian goreng pula biji sawi, jintan halus dan daun kari hingga wangi. Tuang kesemuanya ke dalam periuk dhal, kacau dan tambah serbuk kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Jika pekat tambah sedikit air. Kacau rata dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama roti puri..

Monday, September 21, 2015

NASI TOMATO YANG MUDAH DIBUAT..

rsz_nt

Assalammualaikum, hari ni che mat cuti masak, dan makan sandwich tadi. Jadi dapatlah kemas2 rumah sikit. Nasi tomato yang anda nampak ni che mat masak semalam. Kebetulan anak buah che mat habis cuti semester dan dia balik ke Shah Alam, jadi che mat masak lah nasi tomato. Semalam ada gak letak gambar skodeng nasi tomato dari dalam periuk. Bagi yang tak tau apa nak masak hari raya aidil adha nanti, bolehlah cuba resipi ni. Che mat guna beras basmathi dan masak dalam periuk nasi elektrik. Bila nasi kering terus che mat masukkan ke dalam kukus dan kukus hingga nasi betul2 masak (kurang lebih 15 minit). Dengan cara ini nasi lebih gembur dan tiada kerak. Alas dulu daun pisang dalam kukus sebelum dimasukkan nasi...

rsz_nt1rsz_nt2
Lauk dia che mat hidangkan amat2 ringkas, hanya bikin pencuk dan ayam masak merah. Kalau suka, anda boleh bikin kari ayam atau daging, dalca, paceri nenas dan acar timun. Nampak tak pancuk che mat tu tak berapa nak menyerlah...huhu, sebab guna nanas dalam tin, stok nenas segar habis. Ayam masak merah tu nanti che mat kongsikan resipinya yea. Kali ni che mat tulis dulu resipi nasi tomato yang begitu senang dibuat....Jomm kita semak resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan beras basmathi, cuci dan rendam 20 minit, toskan
1 camca besar penuh tomato paste
2 camca besar tomato sos 
5 cawan air
1/2 cawan susu sejat IDEAL
1 genggam kismis
1 pokok daun sup, hiris kasar
1 camca besar bawang goreng
Garam secukup rasa
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1 biji bawang besar, saiz sederhana*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1 kiub pati ayam Maggi*(*dikisar halus)
2 camca besar penuh mentega (boleh guna minya sapi)
Hirisan daun sup untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak sapi. Tumis daun pandan, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih hingga harum. Masukkan tomato paste, kacau rata dan masak sekejap, tambah sos tomato dan beras. Gaul rata dan goreng 1 minit dengan api kecil. Kacau sentiasa.
  2. Alihkan ke dalam periuk nasi elektrik, masukkan air dan susu sejat. Tambah garam secukup rasa, kacau dan masak seperti biasa. Sementara itu panaskan kukus, alas kukus dengan daun pisang dan cucuk sedikit daun pisang tadi.
  3. Bila nasi kering (bila lampu pada periuk nasi bertukar ke 'warm'), terus off kan suis periuk nasi dan alihkan nasi tomato ke dalam kukus. Tabur daun sup yang dihiris kasar, kismis dan satu camca besar bawang goreng. Tabur rata2. Kukus 15 minit dan gemburkan.
  4. Hidangkan nasi dengan lauk pauk sampingan seperti ayam masak merah, kari ayam atau daging, dalca, pencuk, acar timun dan paceri nenas...Sedap dimakan panas....Selamat mencuba!..

Sunday, September 20, 2015

CREAMY MUSHROOM SOUP

rsz_sop_cendawan

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak sup cendawan, tapi bukan lah sup cendawan orang kita (tumis air cendawan), tapi lebih kepada sup cendawan orang putih. Tidaklah susah mana nak bikin sup cendawan berkrim ni, dan yang penting mesti ada cendawan. Che mat syorkan cendawan butang segar, yang ni anda boleh beli dipasaraya2 atau di pasar tani pun kadang kala ada jual. Che mat guna whipping cream (atau cooking cream pun boleh) tapi anda boleh guna susu sejat atau susu rendah lemak. Tapi kalau guna whipping cream, rasa dia memang sedap...ehemm...

rsz_sop_cendawan1
Kalau ada mushroom soup, wajib ada garlic bread sebagai pendamping setia. Bagi che mat, garlic bread yang sedap mesti guna roti tongkat atau roti baguette. Hiris serong dan sapukan dengan mentega yang dicampur bawang putih cincang dan sedikit hirisan parsley dan panggang dalam non stick pan hingga keperangan seperti dalam gambar atas tu. Tapikan kalau takde roti bagutte toksah khuatir, boleh guna apa saja roti yang ada. Sedap dimakan hangat, nak2 kalau cuaca mendung atau hujan...sambil menghirup sup cendawan berkrim yang hangat bersama roti bawang putih dan secawan kopi....hurmmmm.....Nak mencuba?....Jomm semak resipi!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram cendawan butang jenis putih, cuci dan toskan
2 camca besar rata mentega
1 liter air
1 kiub pati ayam Maggi
2 camca besar tepung gandum
1 biji bawang holland, cincang
1 ulas bawang putih, hiris
200 ml whipping cream
Garam secukup rasa
Lada hitam yang baru dikisar secukupnya

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Roti bawang putih secukupnya
Cincangan parsley untuk hiasan
Lada hitam kisar, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan 3 - 4 biji cendawan butang dan dadu kecil, selebihnya dihiris kasar. Panaskan mentega hingga cair. Tumis bawang holland dan bawang putih hingga layu. Masukkan cendawan yang dihiris kasar, goreng hingga layu. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan tepung gandum, kacau rata dan masak sekejap (kurang lebih 1 minit). Tuang air dan masukkan kiub ayam (hancurkan), biar mendidih dan boleh matikan api, biar suam. Masukkan ke dalam alat pengisar dan kisar hingga halus.
  3. Masukkan kembali ke dalam periuk dan masak hingga pekat. Tambah whipping cream, kacau rata. Masukkan lada hitam kisar dan cendawan yang didadu kecil. Biar mendidih perlahan dan kacau sekali sekala. Rasa dan jika perlu baru tambah garam secukup rasa. Hias dengan cincangan parsley dan tabur sedikit lada hitam kisar sebelum dihidangkan bersama roti bawang putih...Selamat mencuba!


Saturday, September 19, 2015

SPAGHETTI BOLOGNESE

rsz_1spaghetti_bologggese
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Siang tadi ni che mat masak menu paling simple dan paling senang nak bikin. Tak masak nasi ke?...Ha ah, memang tak masak nasi dan bila tak masak nasi, tiadalah resipi lauk pauk. In sha Allah esok che mat masak, tu pun kalau rajin lah yea. Spaghetti bolognese antara resipi spaghetti yang mudah dibuat dan sedap pada tekak che mat. Perasan tak sos bolognese tu pucat ajer, tak merah? Sebabnya che mat kehabisan stok tomato dalam tin, jadi ku guna tomato masak ranum dalam 250 gram maka sos dia pucat sedikit walaupun dah ditambah sos tomato dan tomato puree. Tapi rasa dia in sha Allah sedap. Che  mat guna 200 gram daging yang dicincang halus atau anda boleh guna daging yang siap dikisar. Sos dia anda boleh buat lebih2 dan simpan dalam peti sejuk atau nak lebih lama, bekukan dalam freezer. Bila2 nak guna tinggal panaskan sahaja dalam microwave. Selain tu kalau nak bikin lasagne, boleh guna sos tadi. Resipi che mat kongsikan di bawah ini..

BAHAN-BAHAN SOS BOLOGNESE :-)
250 gram tomato (atau 1 tin tomato plum, diramas hancur)
1 camca besar tomato puree
3 camca besar sos tomato
200 gram daging cincang, taruk dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan
1 camca teh lada hitam kisar
1 biji bawang holland, didadu
3 ulas bawang putih, dicincang
1 batang kecil lobak merah, cincang halus
2 helai bay leaf
1 camca teh penuh herba oregana kering
1 camca besar cincangan parsley
10 biji buah zaitun hitam (optional)
10 biji jeruk capers
1 liter air rebusan daging (atau guna air biasa)
Garam dan gula secukup rasa
Minyak zaitun, untuk menumis

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Spaghetti secukupnya
Cincangan daun parsley
Parutan keju parmesan
Sedikit minyak zaitun

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SOS BOLOGNESE:- Didihkan air, kelar bentuk X pada setiap tomato dan masukkan ke dalam air mendidih, celur 30 saat, toskan dan rendam dalam air ais. Kemudian siat kulit tomato tadi. Buat hingga siap dan kisar tomato hingga hancur. Ketepikan. Panaskan 1/3 cawan minyak zaitun dalam non stik pan. Tumis bawang holland hingga layu, masukkan bawang putih, lobak merah dan bay leaf, kacau dan masak hingga harum. Tambah tomato puree, kacau dan goreng hingga wangi, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan daging cincang, kacau dan masak hingga daging berubah warna dan airnya kering. Tuang tomato yang dikisar tadi dan masukkan juga sos tomato. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah air rebusan daging, jeruk capers dan black olive (jika guna), kacau dan masak hingga pekat.
  3. Tambah herba oregano dan lada hitam kisar. Kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan gula (gula perlu untuk mengimbankan rasa masak tomato). Masak sekejap lagi dan akhir sekali masukkan cincangan parsley, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK SPAGHETTI BOLOGNESE:- Didihkan air, masukkan sedikit garam dan sedikit minyak zaitun. Kemudian masukkan spaghetti dan rebus hingga lembut atau anda boleh ikut masa merebus yang disyorkan pada pembungkus spaghetti. Toskan, tuang sedikit minyak zaitun dan gaul rata. 
  5. Cedok secukupnya spaghetti ke dalam pinggan sesuai, tuang sos bolognese atasnya, parutkan keju parmesan dan taburkan parsley yang dicincang. Kalau suka boleh drizzlekan sedikit minyak zaitun (extra virgin olive oil) sebelum dihidangkan..


Friday, September 18, 2015

JOMM BUAT PIZZA !...

rsz_pgp

Assalammualaikum, salam semua....hari ni che mat tak masak nasi dan kemungkinan agak kurang entri2 lauk dan sebagainya. Rasanya lama dah tak bikin pizza. Kalau dulu pizza boleh dikatakan agak asing bagi orang2 Malaysia, tapi kini tidak lagi. Merata ada jual pizza, baik dari kedai seperti pizza hut atau domino's mau pun yang dijual di pasar2 malam. Pizza dikatakan berasal dari Italy. Ia doh roti yang dileperkan, kemudian disapu sos tomato, disusun dengan hirisan ayam, herba2 dan sebagainya kemudian ditabur dengan parutan keju mozarella. Dibakar hingga keju mencair dan roti kekuningan. Untuk mendapat rasa keju yang enak, pizza seelok2nya dimakan ketika masih hangat dan ini akan menghasilkan keju yang bertali2 bila pizza dipotong dan ditarik...

rsz_pgp1
Resipi yang che mat kongsikan nanti sama macam yang pernah che mat buat selalu dan ia menjadi resipi pilihan setiap masa. Sebab apa?...Sebab bahannya yang mudah didapati, menghasilkan roti pizza yang lembut walaupun dah sejuk. Untuk inti anda boleh guna apa2 bahan yang anda suka. Kalau ada baki2 rendang daging atau ayam boleh gunakan. Tapi kalau rendang ayam, jangan lupa buang tulang ayam tu dulu, jangan main lambak ajer atas doh pizza, ada yang tercekik nanti. Kalau nak senang guna sosej atau macam che mat guna beef pepperoni (boleh beli di MyDin, Tesco, Aeon dan pasaraya2 besar yang lain). Resipi ini akan menghasilkan 2 keping pizza berukuran 9 inci. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHAN UNTUK DOH PIZZA :-)
300 gram tepung gandum (boleh guna tepung roti)
6 gram instant yeast
30 gram mentega
1 camca besar penuh gula halus
1 camca teh bread improver (optional)
1/4 camca teh garam halus
1 1/2 camca besar madu
170 ml air suam
Sedikit tepung gandum. untuk ditabur

BAHAN-BAHAN TOPPING :-)
Sos tomato secukupnya
Hirisan bawang besar, dileraikan
Traffic light capsicum, didadu
Beef pepperoni secukupnya
Keju mozarella scukupnya
Sedikit hirisan parsley untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH PIZZA :- Masukkan instant yeast dalam mangkuk, masukkan juga 1/2 bahagian gula halus (guna gula halus dalam senarai resipi untuk doh). Tuang 100 ml air suam, kacau rata dan biar 10 minit hingga yeast berbuih. Sementara itu, dalam mangkuk adunan, masukkan tepung gandum, mentega, baki gula halus, garam, madu dan bread improver. Gaul hingga semua rata.
  2. Buat lubang di tengah2 adunan tadi dan tuang bancuhan yeast. Gaul perlahan dan tambah baki air sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk adunan. Uli sekejap hingga doh licin. Tutup mangkuk adunan dengan plastik cling dan perap 45 minit - 1 jam hingga naik sekali ganda.
  3. UNTUK PIZZA :- Panaskan oven pada suhu 200C. Tabur tepung pada meja kerja. Keluarkan doh dan bagi dua bahagian. Amabik satu bahagian, leper2kan dan alihkan ke dalam loyang berukuran 9 inci yang telah disapu dengan sedikit minyak masak. Tekan2 doh tadi sehingga memenuhi loyang, pastikan bahagian tepi doh tebal sedikit.
  4. Sapukan permukaan doh pizza dengan sos tomato secukupnya. Susun gegelang bawang, traffic light capsicum yang telah didadu, parutan keju mozarella secukupnya dan beef pepperoni. Buat kaedah sama dengan baki doh dan bahan2 lain. Bakar dalam oven selama 15 minit (guna rak pertama dari bawah jika oven anda saiz besar) atau hingga keju mencair dan bahagian bawah roti pizza keperangan. Tabur sedikit hirisan parsley sebelum dihidangkan. Sedap dimakan selagi hangat....selamat mencuba!!


Tuesday, September 15, 2015

AYAM MASAK KALIO

rsz_ayam_kalio

Assalammualaikum, salam semua. Anda pernah makan ayam kalio?..Che mat pernah juga masak dulu2, masa tu zaman takde blog2 ni semua, internet pun rasanya tak sepopular sekarang, maksudnya bukan satu keperluan. Hari entah macam mana boleh termengidam ayam kalio. Kalau kita perhatikan ayam kalio seolah2 masakan rendang tapi tidak terlalu pekat dan kering seperti rendang. Yang che mat masak ni ayam kalio style Minang. Orang peranakan baba nyonya juga menjadikan menu ayam kalio sebagai salah satu juadah dalam menu mereka, terutama di hari2 perayaan seperti Tahun Baru Cina dan sebagainya (perlu diingatkan mereka ini orang cina tapi telah mengadaptasi budaya Melayu dalam kehidupan harian mereka terutama dari segi makanan, pakaian dan bahasa melaui perkahwinan campur dengan orang2 tempatan pada zaman dulu kala, tapi mereka bukan Islam).

rsz_ayam_kalio1
Masakan ini sesuai dihidangkan sama nasi putih atau pun ketupat. Tidak pedas dan kanak2 juga boleh makan. Tetapi tidak menjadi kesalahan jika anda nak masukkan lebih cili (atau boleh guna cili padi), dalamnya. Selalunya mereka menggunakan ayam kampung atau ayam tua untuk memasak kalio. Tapi untuk menjimatkan masa, che mat guna ayam daging kurang lebih 800 gram). Menu ini boleh dikategorikan sebagai masakan mudah dimasak dan bahan2 juga tidaklah banyak sangat. Jika anda suka lebih berkuah, tak perlu masak sampai agak pekat seperti dalam gambar tu yea. Pandai2 lah adjust ikut selera masing2...Jika ingin mencuba, che mat tuliskan resipi seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
800 gram ayam daging (kurang lebih), potong ikut suka, cuci dan toskan
4 helai daun limau purut
3 batang serai
2 helai daun kunyit
1 liter santan
1 camca teh serbuk lada sulah
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Bawang goreng untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit dihidup, dibakar hingga wangi
5 biji buah keras, dipanggang dan hiris halus
10 tangkai cili kering, buang biji, dan rendam dalam air panas, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1/2 cawan minyak masak. Tumis serai hingga harum, kemudian masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masukkan daun limau purut dan 1 helai daun kunyit (siat2kan). Masak guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang santan dan tambah sedikit air jika perlu (anggaran 1 cawan), Kacau rata dan masak hingga menggelegak. Masukkan garam secukup rasa, lada sulah dan sedikit gula.
  3. Kecilkan api dan masak hingga kuah kalio pekat dan naik minyak, kacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur bawang goreng sebelum dihidangkan bersama nasi putih atau pun ketupat. Selamat mencuba!!.


Monday, September 14, 2015

KUIH COK KERIA

rsz_1kuih_cok_keria
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat ada kelonggaran masa sedikit dan sempat juga bikin kuih cok keria. Ini antara kuih kegemaran che mat, tapi suka yang tidak bersira. Yang tu awal2 dah kena telan. Bakinya che mat sira untuk yang lain. Keledek oren menjadi pilihan kali ini. Che mat suka cok keria yang lembut dan bukan yang lebih tepung, che mat masukkan juga sedikit baking powder. Tapi ia bergantung pada jenis keledek yang anda guna. Kalau terlalu lembut sampai tak boleh nak dibentukkan, tambahlah sedikit lagi tepung. Selain keledek, ada juga yang guna ubi kayu untuk bikin cok keria. Bab menyira cok keria juga begantung pada selera masing2, ada yang suka lebih gula sampai bersakar, dan ada yang tak gemar terlalu manis. Kalau nak guna gula melaka pun boleh tapi anda tak dapat teksture bersakar seperti dalam gambar tapi cok keria anda akan melekit2 sedikit. Jika hendak mencuba, che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini.

BAHAN - BAHANNYA :-)
800 gram keledek oren
3/4 cawan tepung gandum
1 camca teh baking powder
Minyak untuk menggoreng terendam
1/3 cawan gula pasir
1/4 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas keledek, cuci dan rebus hingga empuk, pastikan anda masukkan garam dalam air rebusan tadi. Toskan dan lecek keledek tadi hingga lumat. Biarkan sejuk sekejap. Kemudian masukkan tepung dan baking powder. Gaul rata dengan senduk hingga adunan menjadi doh. Ketepikan.
  2. Siapkan dulang, tabur dengan sedikit tepung gandum. Ambil doh tadi kurang lebih 1 camca besar penuh, bulat2kan dan tekan sedikit seperti membuang begedil. Kemudian cucuk bahagian tengah untuk membuat lubang, kemaskan sehingga ia membentuk seperti kuih donat. Susun atas dulang yang ditabur dengan tepung tadi. Buat kaedah sama hingga doh habis (jika nak cok keria saiz besar, boleh guna 1 1/2 camca besar doh). Ketepikan.
  3. Panaskan minyak untuk goreng terendam, goreng cok keria dengan api sederhana sambil dibalik2kan hingga kuih keemasan dan masak sekata. Angkat dan toskan. Buat hingga siap.
  4. Keluarkan minyak dari kuali, masukkan gula pasir dan air. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga gula larut. Terus memasak hingga air gula kelihatan berbuih dan pekat. Masukkan cok keria tadi dan gaul hingga rata, masak dengan api kecil sambil dibalik2kan kuih tadi hingga elok bersira dan kelihatan bersakar seperti dalam gambar. Matikan api dan biar sejuk. Boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi...Selamat mencuba!


Saturday, September 12, 2015

ASAM PEDAS TELUR IKAN..

rsz_asam_telur_ikan
Assalammualaikum, salam semua. Selamat bertemu kembali setelah tidak bersiaran untuk beberapa hari. Masa untuk kemaskini blog agak terbatas dan mood juga seperti tidak menggalakkan sangat...hurmm. Hari ni che mat curi2 masa ambik gambar dan tulis entri di blog ini. Asam pedas seperti tidak boleh dipisahkan dari che mat. Hampir setiap minggu mesti ada menu asam pedas, Telur ikan menjadi kegemaran bonda che mat. Tapi tidak lah selalu, kerana sedia maklum telur ikan kandungan kolestrol tinggi. Che mat guna kurang lebih 400+ gram telur ikan tenggiri (tapi kan dari rupa paras dan warna telur tu, macam telur ikan tongkol ajer...hurmm). Anda ada dua pilihan, pertama anda boleh bungkus telur ikan tadi dengan daun kunyit dan sematkan dengan lidi sate atau boleh masuk terus macam che mat masak tu. Che mat masukkan sawi jeruk sebagai bahan sampingan (atas pemintaan)....Resipi seperti asam pedas biasa....

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram (kurang lebih), telur ikan tenggiri atau tongkol
4 kelopak sawi jeruk, potong kecil dan rendam
1 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
1/2 camca besar pes asam jawa
1 kiub ikan bilis MAGGI (optinal)
2 senduk nasi cili kisar
1 camca teh lada hitam kisar
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur ikan dicuci dan toskan. Panaskann minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi, tambah cili kisar kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 800 ml), kacau dan biar mendidih. Masukkan sawi jeruk (tos dan perah airnya) dan telur ikan. Kacau perlahan dan biar telur ikan masak.
  3. Masukkan bunga kantan, daun kesom, kiub ikan bilis (jika guna) dan lada hitam. Kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ikan goreng..


Wednesday, September 9, 2015

SUP KAKI AYAM BEREMPAH..

rsz_sop_ceker
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Musim jerebu melanda Malaysia, kampung che mat tak nampak mata hari, jam 12 dah macam jam 8 pagi, masa tengah tulis entri ni, hujan turun, syukur alhamdulillah, sejuk sikit. Hari ni che mat bikin sup kaki ayam. Bonda adalah penggemar sup kaki. Che mat agak kurang sikit sup kaki ayam ni, tapi bukan tak makan, cuma kurang 'aktif'. Dari sumber2 internet, banyak diperkatakan khasiat kaki ayam ni, antaranya dapat mencegah penyakit tulang reput dan satu lagi kandungan kologen dalam kaki ayam yang banyak manfaatnya. Resipi che mat agak mudah dibuat, kalau tak makan kaki ayam, boleh guna ayam. Sedap makan bersama roti, atau boleh makan dengan mi hoon, mi kuning atau makaroni. Kuah sup akan menjadi pekat bila kaki ayam betul2 empuk. Hirup macam tu pun besss....Jangan lupa sambal kicap, baru lah Johor....ehemm..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg kaki ayam
2 batang serai, diketuk
3 camca besar rata rempah sup
1 camca besar rata rempah kurma
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
5 biji kentang
1 genggam bawang goreng
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
1/2 camca besar lada hitam, tumbuk halus
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN SAMPINGAN :-)
Bawang goreng
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Sambal kicap

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kaki ayam dibersihkan, buang bahagian kukunya. Gaul kaki ayam dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata dan perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Kentang dikupas, kemudian belah 4 setiap 1, cuci dan rendam. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah sup dan rempah kurma hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 - 5 camca besar). Tumis serai, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih hingga harum. Masukkan pes rempah dan kacau rata, masak sekejap.
  3. Masukkan kaki ayam tadi, gaul rata dan tuang air secukupnya (anggaran 3 liter), kacau dan biar mendidih. Masukkan kiub pati ayam, daun sup yang dikerat kasar dan 1 genggam bawang goreng. Kacau rata dan biar menididih perlahan.
  4. Masukkan kentang (toskan), dan masak hingga kaki ayam lembut dan kentang empuk. Perasakan dengan garam secukup rasa dan tambah lada hitam yang ditumbuk halus. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng sebelum dihidangkan bersama sambal kicap..


Monday, September 7, 2015

SINGGANG REBUS IKAN KEMBONG

rsz_singgang_ikann
Assalammualaikum, salam Isnin yang biru...huhu, apa ingat yang kerja waktu pejabat saja ada 'Isnin biru'..kita yang bekerja dari rumah ni pun kadang2 sampai Khamis pun 'biru'. Dah beberapa hari che mat tak boleh nak masuk masakan yang bersantan, tapi bukan lah tak masak, tetap ada, macam hari ni, che mat masak dalcha tapi untuk diri sendiri ku masak singgang rebus ikan kembong. Taruk cili padi lebih sikit. Kalau singgang che mat suka terasa asamnya, baru sedap, tambah pulak pedas dan dimakan selagi panas. Resipi memang mudah, semua main masukkan sekali harung dalam periuk, kecuali ikan dan daun limau purut. Orang tak reti masak pun boleh bikin, tapi kalau orang 'malas' tu susah sikit lah, satu haram pun tak boleh buat kalau dah malas. Bagi anda yang rasa terliur dengan singgang rebus ikan kembong ni, che mat kongsikan resipinya seperti di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 ekor ikan kembong saiz besar
1 biji tomato dibelah4
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
10 biji cili padi, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1/4 camca teh serbuk kunyit
1 batang serai, diketuk
1/2 inci halia, diketuk
1 helai daun limau purut
1/2 kiub pati ikan bilis Maggi (optional)
1 keping asam gelugor
2 camca besar sos ikan
Garam secukup rasa (jika perlu)
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kmbong disiang, cuci bersih dan kerat dua setiap seekor. Ketepikan. Dalam periuk, masukkan bawang besar, halia, bawang putih, serai, asam gelugor, serbuk kunyit, cili padi dan tuang air secukupnya (anggaran 800 ml), kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan ikan kembong dan kiub ikan bilis (hancurkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam periuk). Kacau perlahan dan masukkan sos ikan dan daun limau purut, masak hingga ikan masak. Masak sekejap lagi dan rasa, jika kurang masin, baru masukkan sedikit garam. Jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi, sambal belacan dan telur dadar....Selamat mencuba!!


Saturday, September 5, 2015

LOKIO MASAK LEMAK SAMA CENCALOK..

rsz_lokio_lemak_cencalok
Assalammualaikum, salam semua. Entri yang anda nampak ini che mat masak beberapa hari lepas tapi baru berkesempatan nak masukkan ia sebagai entri blog. Masa sedikit sibuk sekarang ni atas sebab2 tertentu. Lokio antara sayur bebawang yang menjadi kegemaran che mat. Paling sedap bila dimasak sama cencalok. Tu hari che saja2 masak lemak lokio campur cecalok dan tambah sedikit udang hidup, dan alhamdulillah ia menjadi dengan sedapnya. Yang tak suka cencalok toksah letak lah yea. Cencalok che mat guna kurang lebih 700 gram. Dan cencalok dalam 1/4 cawan. Resipi boleh dikatakan mudah dan sedap dihidangkan sejurus dimasak, Jangan lupa sambal belacan dan ikan goreng atau ikan masin...Resipi seperti dibawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram sayur lokio
1/2 cawan isi udang
1/4 cawan cencalok
2 batang serai, diketuk
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lokio diasingkan bawang dan daunnya. Kerat pendek daun kucai, cuci dan toskan. Bawangnya dicuci dan toskan. Cencalok ditoskan dalam tapis dan perah sedikit airnya. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak dalam periuk. Tumis serai, hirisan bawang besar dan bawang putih hingga harum dan layu. Masukkan cencaluk, kacau rata dan tambah udang, masak hingga udang berubah warna.
  3. Masukkan santan cair, kacau dan bila mendidih, masukkan bawang lokio. Tambah asam gelugor dan masak hingga bawang lokio empuk sedikit. Masukkan daunnya, kacau dan tuang pati santan. Kacau rata.
  4. Tambah hirisan cili hijau dan merah. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng atau ikan masin. Selamat mencuba!!..


Friday, September 4, 2015

BISKUT RAYA HAJI...TEMPAHAN KINI DIBUKA...

rsz_b8rsz_b11
rsz_b2rsz_b4
rsz_b6rsz_b3
royale pistachio
Salam semua....Biasanya biskut raya hanya dihidangkan ketikan Raya Puasa atau Aidil Fitri sahaja, Apa kata tahun ni kita hidangkan biskut raya ketika menyambut Raya Qurban atau Aidil Adha. Sapa kata raya haji tiada tetamu bertandang. Walaupun tak semeriah Aidil Fitri, namun tak salah menghidangkan tetamu yang datang dengan biskut raya yang sedap dan enak. Tiada masa nak buat, atau rasa tak yakin dengan hasil biskut yang kita bikin sendiri?....Meh sini che mat kongsikan pada anda kat mana boleh beli biskut yang sedap, cantik, comel dan harga yang amat2 berpatutan serta rasanya in sha Allah dijamin sedap!...Kali ini ada 7 jenis biskut yang sememangnya mendapat sambutan terhangat setiap tahun ketika bulan Syawal....antaranya ialah

  1. GOLDEN COCONUT (paling laris!!)
  2. ROYALE PINEAPPLE TART
  3. ROYALE CHEESE TART
  4. ROYALE OREO
  5. ROYALE RED VELVET
  6. ROYALE BANGKIT CHEESE (cair dimulut!)
  7. ROYALE PISTACHIO
Harga promosi untuk Aidil Adha seperti berikut...
  • Untuk yang 30 keping (1 balang), beli 5 barang dengan harga RM 100 (harga biasa RM 22/per balang)
  • Untuk yang 50 keping (1balang), beli 5 balang dengan harga RM 145 (harga biasa RM 30/per balang)
Untuk pertanyaan dan tempahan boleh hubungi...
TARIKH TUTUP TEMPAHAN PADA 15HB SEPTEMBER 2015!....


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.