BEN ASHAARI

Monday, August 31, 2015

ASAM PEDAS 'MERDEKA 1957'...

rsz_aspip
Assalammualaikum, salam merdeka untuk semua rakyat Malaysia walau di mana anda berada. Hari ni che mat masak menu kegemaran, iaitu asam pedas dan sempena hari merdeka, che mat tambah 'merdeka 1957'..sebagai tanda ingatan. Seperti biasa, kalau masak asam pedas, ikan pari antara pilihan selain ikan kembong, kerisi, tenggiri dan sebagainya. Sawi jeruk antara bahan yang che mat amat gemari untuk dimasukkan ke dalam asam pedas. Tapi kalau guna sawi jeruk, tak perlu tambah daun kesom dan gantikan dengan bunga kantan dan serai, itu selera che mat, kalau anda suka tak salah nak masukkan daun kesom. Ada yang gemar asam pedas mereka agak pekat dan ada yang gemar sedikit cair. Pilihan che mat ialah asam pedas yang sederhana, tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Terung, bendi dan tomato antara sayuran yang menjadi pilihan untuk dimasukkan ke dalam asam pedas selain sawi jeruk. Boleh juga jika anda masukkan batang keladi sayur. Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 gram ikan pari
3 kelopak sawi jeruk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 batang serai, diketuk
2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1/2 camca teh lada hitam yang ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dicuci, kemudian potong kecil dan direndam. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak masak. Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau dan masak dengan api kecil hingga cili garing dan naik minyak, kacau sentiasa.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Biarkan mendidih. Tambah sawi jeruk, ikan pari dan kiub ikan bilis (jika guna), kacau perlahan dan masukkan lada hitam yang ditumbuk halus.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api sederhana hingga ikan pari masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ulam-ulaman..

Sunday, August 30, 2015

LAKSA JOHOR, SENTIASA DI HATI

rsz_j_laksa

Assalammualaikum, salam semua. Entri yang sepatutnya che mat masukkan dalam blog semalam, tapi atas sebab kesibukkan yang tidak dapat dielakkan, ia terpaksa ditunda pada hari ni. Dan hari ini juga che mat menerima tetamu, maka malam baru ada masa nak masukkan entri Laksa Johor. Bukanlah satu yang baru bila che mat masukkan entri Laksa Johor. Ia satu menu orang Johor yang begitu sinonim dan menjadi kebanggan kami bangsa Johor. Walaupun ia diberi nama 'Laksa', tapi kita tidak menggunakan mi laksa sebagai 'mi nya', sebaliknya diganti dengan spaghetti. Tetapi kuahnya menggunakan rempah ratus dan herba2 yang selalu digunapakai dalam masakan orang2 melayu kita. Laksa Johor boleh dikategorikan resipi fusion kerana ada penggabungan antara timur dan barat. Cara memakan laksa Johor yang asli di negeri Johor, ialah menggunakan tangan. Pelik?.....tapi itulah kenyataannya...

rsz_j_laksa1
Kuah laksa Johor biasanya pekat. Seperti kuah spaghetti, ia kena pekat agar ia melekat dengan spaghetti bila digual. Bahan2 penting dalam kuah laksa Johor ialah ikan parang (boleh juga guna ikan kembong, ikan selayang/sardine atau ikan tenggiri), udang basah. udang kering dan isi ikan kurau masin selain santan. Rempah2 tu nanti anda boleh lihat dalam resipi. Keistimewaan laksa Johor ialah, spaghetti tadi di 'chap' atau digulung seperti sanggul sebelum dihidangkan. Bahan2 ulam seperti bawang, kacang panjang, bunga kantan, daun kesom dan daun selasih, dimayang halus. Timun pula dihiris nipis memanjang kemudian digulung dan dimayang halus. Nampak rumit sanngat ke?....relaks dan bertenang, che mat cuma cerita bagaimana che mat bikin...harap tak sikit banyak anda dapat gambarannya....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 kg ikan kembong, siang, cuci bersih dan toskan
400 gram udang, kupas, asingkan isi dan kulitnya
1 keping isi ikan kurau masin bersaiz 3 inci x 3 inci, buang kulitnya dan rendam
3 - 4 camca besar udang kering, cuci dan rendam
3 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
1/2 inci lengkuas, diketuk
2 liter santan segar
2 camca besar penuh kerisik
3 camca besar cili kisar
2 camca besar penuh rempah kari daging (Baba's)
2 camca besar penuh ketumbar serbuk
1 camca besar penuh jintan manis serbuk
1 genggam daun kesom (atau secukupnya)
1 genggam daun selasih (atau secukupnya)
3 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
3 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Spaghetti secukupnya
Tauge secukupnya, buang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, dimayang halus
Daun selasih, dimayang halus
Bunga kantan, dimayang halus
Timun, dibuang kulit, hiris memanjang nipis2, kemudian gulung dan dimayang halus
Bawang besar, dimayang halus
Sambal belacan (5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan bakar = tumbuk halus)
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Lobak asin jeruk, rendam 15 minit, toskan, perah dan didadu kecil (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR:- Ikan direbus, kemudian asingkan isi dan tulangnya. Tumbuk isi ikan hingga lumat. Tulang2 ikan dikisar halus menggunakan air rebusan ikan, tapis dan ketepikan. Celur isi udang sehingga bertukar warna, toskan. Kemudian masukkan pula kulit udang dan masak dengan api sederhana untuk 10 - 15 minit. Matikan api, biar suam dan kisar kulit udang bersama air rebusannya hingga halus dan tapis. Udang kering, isi udang yang direbus dan isi ikan kurau masin juga dikisar hingga halus. Ketepikan semuanya untuk kegunaan kemudian.
  2. Satukan bawang besar dan bawang putih yang telah dikisar tadi bersama rempah kari, ketumbar serbuk dan jintan manis serbuk. Kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1 cawan). Masukkan lengkuas yang diketuk bersama cili kisar. Kacau rata dan masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masukkan isi ikan yang ditumbuk, air rebusan ikan, air rebusan kulit udang, isi udang, udang kering dan isi ikan kurau yang dikisar halus tadi. Kacau rata dan biar mendidih.
  4. Masukkan santan, kerisik, bunga kantan dan asam gelugor. Masak dengan api sederhana hingga mendidih dan kacau sentiasa. Masak hingga kuah pekat. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun kesom dan daun selasih. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  5. UNTUK LAKSA JOHOR:- Spaghetti direbus dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan minyak masak. Rebus hingga spaghetti lembut. Kemudian toskan dan biar suam. Menggunakan garfu, cedok sedikit spaghetti tadi, gulungkan dan lilit menggunakan garfu sehingga menjadi bentuk seakan2 sanggul (dichap). Buat 2 - 3 sanggul (chap) untuk satu pinggan.
  6. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 sampingan. Akhir sekali sudukan sedikit (atau secukupnya) sambal belacan. Perahkan jus limau kasturi dan gaul hingga rata. Baca bismillah dan doakan makan, maka boleh lah anda nikmati Laksa Johor...Selamat mencuba!!.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk ikan, che mat rebus dalam periuk tekanan selama 1 jam (mungkin kena tambah 5 - 10 minit lagi, bergantung pada jenis periuk tekanan yang anda guna dan 'BACA' arahan pada buku panduan periuk tekanan masing2 sebelum anda guna). Kemudian kisar terus ikan tadi bersama tulang dan air rebusannya. Ini kerana tulang dan isi ikan telah menjadi lembut seperti ikan sardine....


Thursday, August 27, 2015

IKAN KELI BERLADO, PEMBUKA SELERA..

rsz_ikan_keli_berlado
Assalammualaikum, salam Khamis. Setelah che mat cuti berblog untuk beberapa hari, dengan izin Allah, hari ni diberi kesempatan waktu untuk mengemaskini blog tiffinbiru. Masa che mat agak terhad 2 - 3 hari lepas. memang ada masak, cuma keadaan tak mengizinkan untuk che mat ambik gambar, kena pulak siku tangan kiri tiba2 sakit. Untuk permulaan hari ini che mat masak ikan keli berlado dan asam rebus ikan kembong campur terung. Dua menu simple dan amat ringkas serta mudah dimasak. Untuk asam rebus tu che mat tak jadikan entri sebab senang sangat nak bikin. Ikan keli berlado ini dalam kategori senang dimasak dan sedap dimakan. Kena pulak dengan nasi panas, curah kicap JALEN sikit, ada telur dadar dan ulamkan dengan petai....tak yah cakap wakk, awek menonong jalan depan pun sah2 tak toleh punya! Bagi anda yang tak makan ikan keli atau ikan sungai, boleh ganti dengan ikan kembong, cencaru atau ikan pari....Jika ingin mencuba, jomm lihat resipi di bawah ini, senang, mudah dan cepat dimasak..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 ekor ikan keli, saiz sederhana
1 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh garam
 3 - 4 biji limau kasturi, perah jusnya
1 1/2 camca teh gula
Sos ikan secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
6 biji cili merah
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli disiang, kemudian kerat pada beberapa bahagian. Cuci, toskan dan gaul dengan 1 camca besar tepung gandum. Perap 10 minit kemudian bilas. Gaulkan pulak dengan sedikit jus limau kasturi hingga rata dan perap sekejap. Cuci kembali, toskan dan masukkan serbuk kunyit dan garam. Gaul rata dan goreng hingga ikan masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum. Masukkan gula dan kacau rata, tambah sos ikan secukup rasa, kacau dan masukkan ikan keli goreng. Gaul hingga rata dan masak dengan api kecil. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi (taruk sikit dulu, rasa dan jika perlu baru tambah lagi), kacau rata dan rasa, jika ok  boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, telur dadar dan kicap JALEN....Selamat mencuba!!


Friday, August 21, 2015

PUYUH GORENG REMPAH TANDORI

rsz_puyuh_goreng_rempah_tandoori
Assalammualaikum, salam semua. Entri hari ni bukan che mat masak tadi, tapi ini antara hidangan yang che mat bikin masa Ady Budika datang ke rumah Rabu lepas. Menu biasa2 saja, selain ayam masak lemak cili padi sama rebunng, daging black pepper dan sayur rampai, che mat gorengkan burung puyuh. Burung puyuh segar ini datang dari Pontian, pengusaha burung puyuh orang Melayu kita. Harga bergantung pada gred, macam che mat ni RM 30 untuk 10 ekor burung puyuh yang telah siap dibersihkan. Kalau nak beli yag siap diperap rempah pun ada. Resipi kali ni che mat saja masukkan rempah tandori. Anda boleh guna apa2 jenama rempah tandori di pasaran. Tapi kalau guna jenama Maggi, garam anda kena jaga sebab rempah dia memang dah ada garam. Macam che mat guna rempah dari Batu Pahat, tu pasal warna dia tak macam rempah tandori yang biasa anda lihat tu, kemerah-merahan. Tapi nak merah apa susah, boleh masukkan pewarna merah makanan atau guna serbuk cili, kalau tak nak pedas guna serbuk 'paprika'. Che mat perap burung ni sehari, tapi kalau nak cepat, perap 2 jam pun dah ok. Kalau ingin mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 ekor burung puyuh
2 camca besar rata rempah tandori
1 camca teh gula
1 biji limau nipis, perah jusnya
Garam secukup rasa
Tepung kentang secukupnya (boleh guna tepung beras)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
3 batang serai, hiris halus
4 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 1/2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan halus
1 camca teh jintan kasar
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Burung puyuh dicuci, kemudian gaul dengan 1 camca besar penuh tepung gandum dan perap 10 minit. Kemudian cuci bersih dan toskan. Dalam satu bekas, masukkan bahan2 kisar halus, rempah tandori, jus limau nipis, gula dan garam secukup rasa. Kacau hingga semua sebati.
  2. Gaulkan rempah tadi dengan burung puyuh yang telah dicuci dan ditoskan hingga betul2 rata. Simpan dalam bekas bertutup dan masukkan ke dalam peti sejuk. Perap sekurang2nya 2 jam atau semalaman untuk mendapat rasa yang lebuh sedap.
  3. Panaskan minyak untuk menggoreng. Ambik beberapa ekor burung puyuh (che mat tak goreng semua, cuma goreng untuk dimakan saja, dan che mat belah 2 setiap 1 ekor burung). Taburkan dengan tepung kentang dan gaul hingga rata.
  4. Goreng dalam minyak sederhana panas sehingga burung puyuh masak. Sebab burung puyuh saiz dia kecil, masa menggoreng tak perlu lama. Setiap bahagian memakan masa 5 - 6 minit dengan api sederhana. Angkat dan toskan. Hidangkan selagi panas..


Wednesday, August 19, 2015

LEMAK TEMPOYAK IKAN KELI SALAI

rsz_lemak_tempoyak_keli_salai
Assalammualaikum, hari ni nak kongsi satu lagi resipi warisan yang sering menjadi hidangan orang2 melayu kita. Walaupun terkenal di Negeri tanah adat, Negeri Sembilan, tapi menu ini juga menjadi hidangan di setiap negeri dan bahan2 mungkin tidak sama dengan antara satu sama lain. Kalau di Negeri Sembilan, menu begini tidak menggunakan bawang, dan serai dilebihkan untuk mendapat rasa yang lebih sedap. Resipi lemak tempoyak ikan keli salai yang che mat kongsikan ini bukan 'asli' dari negeri tanah adat. Tapi ia hanya masak lemak tempoyak yang 'biasa2' saja. Menggunakan seekor ikan keli liar bersaiz agak besar yang telah di salai atau dipanggang. Yang ni terpulang pada anda, nak sedap boleh panggang atas api bara. Kalau nak mudah, panggang dalam kuali pun ok, macam che mat. Cuma tiada aroma 'asap' kalau kita panggang dalam kuali. Resipi agak mudah disediakan dan petai tu optional saja, tapi bagi yang makan, che mat sarankan anda taruk, untuk dapar rasa kuah yang lagi sedap.....Berani mencuba?.....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ikan keli saiz besar
1 camca teh serbuk kunyit*
1 camca teh garam*
3 papan petai, ambil isi nya
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, hiris
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1 1/2 camca besar tempoyak
30 biji cili padi kampung, warna merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli disiang, kemudian kerat pada beberapa bahagian (che mat kerat 6). Cuci, toskan dan gaul dengan 1 camca besar tepung gandum, perap 5 minit dan cuci bersih. Kemudian perap lagi dengan jus limau nipis selama 15 minit, cuci bersih, toskan. Gaul ikan tadi dengan bahan2 bertanda (*), kemudian salai atas bara api hingga ikan masak (che mat guna kuali ajaib dan panggang/salai 6 - 7 minit untuk setiap bahagian ikan, guna api kecil). Ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan bahan2 kisar halus, serai titik, asam gelugor dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan isi petai, kacau perlahan dan tambah ikan keli salai tadi. Masak dengan api kecil hingga petai lembut.
  3. Tuang santan pekat, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Akhir sekali masukkan daun kunyit. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ulam - ulaman.....Selamat mencuba!!


Monday, August 17, 2015

SAMBAL LEMAK CENDAWAN KUKUR.

rsz_sambal_lemak_cendawan_kukur
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat betul2 blurr tatau nak nak masak apa. Rasa nak hagul2 kepala kat pintu peti sejuk bila otak jadi buntu sambil mengadap isi peti sejuk. Nampak cendawan kukur yang che mat beli tu hari. Rasa2 macam nak bikin sambal lemak. Tapi kena oter, plan asal nak guna ikan bilis tamban (atau anda boleh juga guna ikan bilis biasa), tapi Bak tak boleh makan sebab gaot. Nasib baik ada stok ikan bilis kembong (anak ikan kembong yang dikeringkan). Satulah masalah muncul, resipi ni biasanya guna belacan, baru ada 'kick', tapi Bak tak boleh makan juga. Maka che mat gantikan dengan isi ikan tenggiri jeruk, guna dalam sebesar ibu jari sebagai ganti belacan. Menu ini menggunakan santan dalam 1 cawan. Jika anda suka pedas boleh masukkan cili padi. Che mat guna cili hijau dan tambah 3-4 biji cilipadi untuk dapat rasa pedas. Sedap dimakan bersama nasi panas atau bubur nasi. Untuk resipi anda boleh rujuk di bawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan cendawan kukur, direndam
100 gram ikan bilis kembong
8 biji cili hijau, hiris
5 biji cili padi, hiris
1 biji cili merah, hiris
Sebesar ibu jari ikan masin tenggiri jeruk, cincang halus (boleh ganti dengan belacan)
1 cawan pati santan
2 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris halus
1 keping asam gelugor
2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cendawan dibersihkan, kemudian tos dan perah sedikit. Tumbuk sedikit cendawan tadi, jangan sampai hancur, cuma pecah2kan saja. Ikan bilis kembong direndam dalam air panas selama 15 minit, tos dan asingkan isi dan tulangnya. Cuci kembali dan toskan. Kemudian tumbuk sedikit  isi ikan bilis kembong tadi dan ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Goreng ikan masin tenggiri jeruk hingga kekuningan. Kemudian masukkan hirisan bawang besar, bawang putih, cili hijau, cili padi dan cili merah. Gaul rata dan masak hingga layu.
  3. Tambah isi ikan bilis kembong tadi, kacau rata dan masukkan cendawan kukur. Tuang air dan masukkan asam gelugor. Masak hingga cendawan dan isi ikan bilis kembong lembut. Tuang santan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda guna belacan, larutkan belacan dengan sedikit air dan masukkan dalam kuali selepas bawang dan cili layu. Pastikan anda rasa dulu sebelum masukkan garam, kerana ikan masin tadi akan memberi rasa pada masakan (jika anda menggunakan ikan masin tenggiri jeruk)....


Sunday, August 16, 2015

LOKIO TUMIS CECALOK SOTONG

rsz_lokio_cencalok_sotong
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Maka dengan rasminya Syawal berlalu pergi dan hari ni 1 Zulkaedah 1436 Hijrah. Che mat pun menjalankan rutin seperti biasa. Tapi ada juga barang2 yang guna masa hari raya lepas masih bersepah kat dapur yang masih belum disimpan dalam stor. Bercerita pasal menu hari ini, che mat masak lokio dan resipi paling senang dan jadi kegemaran che mat ialah dimasak dengan cencalok. Tapi hari ni che mat guna cencalok sotong. Biasanya cencalok sotong and boleh beli di tempat menjual cencalok terutama di Melaka. Lokio ialah sejenis sayur bebawang dan rasa dia seakan2 kucai tapi daun lokio berntuk bulat dan kucai daunnya leper. Boleh juga dimasukkan dalam mi hoon goreng. Resipi mudah ini paling enak dimakan dengan nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan....Resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram lokio
1/3 cawan cencalok sotong
1 camca besar sos tiram
1 biji bawang besar, hiris
4 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Sedikit sos ikan jika perlu
Air secukupnya (anggaran 1/4 cawan)
Minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lokio dicuci dan toskan, kemudian asingkan bawang dan daunnya. Kerat pendek daun lokio dan ketepikan. Cencalok sotong ditoskan sedikit airnya (kalau takde cencalok sotong boleh guna cencalok biasa).
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis hirisan bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili hijau hingga layu. Masukkan cencalok sotong, sos tiram dan bawang lokio tadi. Kacau rata dan tuang sedikit air. Masak hingga bawang lokio lembut.
  3. Tambah bahagian daunnya, kacau rata dan renjiskan sedikit sos ikan, kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan....Selamat mencuba!!


Saturday, August 15, 2015

GULAI BIJI CEMPEDAK SAMA CENDAWAN KUKUR

rsz_1gulai_biji_cempedak_cendawan_kukur
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat rajin sikit, kalau rajin banyak nanti susah pulak. Sejak masak biji cempedak tempoh hari, rasa macam ketagih pulak. Hari ni che mat cuba masak gulai biji cempedak campur cendawan kukur dan taruk pulak tulang ikan masin kurau. Ini menu baru bagi che mat dan hasil percubaan ini memang tak menghampakan, rasa sedap dan harum dengan bau cendawan kukur, lemak2 biji cempedak yang direbus terlebih dahulu dan kuah gulai yang enak dengan aroma tulang ikan masin kurau. Sebenarnya che mat nak masak sama udang, tapi Bak tak boleh makan udang, jadi gantikan dengan tulang ikan masin kurau. Biji cempedak che mat rebus dulu hingga empuk, kemudian buang selupatnya dan baru dimasak. Kalau guna biji nangka pun boleh juga. Guna biji dari isi cempedak yang telah digoreng pun boleh, kumpul kemudian cuci dan rebus. Che mat rebus guna periuk tekanan ambik masa dalam 20 minit. Ok, che mat kongsikan resipi bagi anda yang ingin mencuba....

BAHAN - BAHANNYA :-)
30 biji isi cempedak
4 ketul tulang ikan kurau masin, cuci dan rendam 30 minit
1 cawan cendawan kukur, dibersihkan dan rendam
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, hiris kasar
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kuyit hidup
2 biji cili merah
5 biji cili padi
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus biji cempedak (taruk sedikit garam) hingga empuk. Toskan dan kemudian buang kulit arinya dan ketepikan. Cendawan kukur ditoskan, perah dan tumbuk sedikit (tumbuk kasi memar2 sahaja, jangan sampai hancur). Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis serai hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata. Masukkan cendawan dan tulang ikan masin kurau (toskan). Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan asam gelugor dan biji cempedak rebus. Kacau rata dan tuang pati santan, biar mendidih dengan api perlahan dan kacau sentiasa. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun kunyit, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan dan ikan goreng...Selamat mencuba!!.


Friday, August 14, 2015

SUP BEBOLA AYAM 'HOMEMADE'..

rsz_sup_bebola_ciken
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Sapa kata che mat sentiasa rajin masak?....Bila terus menerus dok mengadap dapur, mesti ada rasa bosan juga. Kadang2 otak buntu nak masak apa. Nak2 bila ada yang berpantang tak boleh makan sebarang makanan. Macam Bak che mat, dia kan gaot, jadi makanan laut seperyti udang, ketam, sotong, kerang dan seangkatan dengannya lena elakkan. Selain tu kekacang, ikan bilis, belacan juga tak boleh, sardine dalam tin juga tak boleh. Kalau langgar pantang, alamatnya sendi2 jadi bengkak dan tak boleh nak berjalan. Bukan tu saja, terus dapat demam, huhu. Jadi che mat kenalah lebih kreatif dalam memasak. Hari ni che mat bikin sup bebola ayam 'homemade' dan tambah kentang, lobak merah dan tauhu (tauhu ni che mat punya). Buatnya mudah dan guna kurang lebih 300 gram isi ayam bahagian dada....Nak mencuba?...Jomm semak resipi di bawah ini..

BAHAN - BAHAN BEBOLA AYAM :-)
300 gram isi ayam, potong kiub cuci dan toskan
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
3 camca besar rata tepung sagu ubi
1 biji telur
1/2 inci halia, tumbuk halus
1 camca teh lada sulah
1/2 camca teh garam
1 camca besar hirisan daun bawang

BAHAN - BAHAN SUP :-)
4 biji kentang saiz sederhana, kupas, potong 4 setiap 1 dan rendam
1 batang lobak merah, dipotong berbaji, rendam
2 keping tauhu, potong kiub
1 sup bunjut Adabi
1 kiub ayam Maggi
1 camca teh lada hitam kisar
Secubit serbuk kunyit
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, dicincang
1/2 inci halia, diketuk
Garam secukup rasa
Air secukupnya
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*(*rempah tumis)
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK BEBOLA AYAM :- Kisar isi ayam hingga halus. Kemudian masukkan semua bahan2 untuk bebola ayam. Gaul rata dengan senduk kayu pada satu arah. Gaul hingga adunan kelihatan kental. Kaup adunan tadi dan banting2kan dalam mangkuk adunan untuk 4 - 5 kali. Rehatkan sekejap. Kemudian anda boleh bentukkan jadi bebola (che mat guna 1 camca besar untuk sebiji bebola ayam, sapu tapak tangan dengan sedikit minyak makan supaya senang membentuk bebola). Buat hingga siap dan ketepikan sebentar.
  2. UNTUK SUP BEBOLA AYAM 'HOMEMADE' :- Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis rempah tumis (*), bawang merah, bawang putih dan halia hingga harum dan layu. Masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Masukkan kentang dan lobak merah, pastikan anda toskan dulu air rendamannya. Kacau rata dan masak sekejap. Kemudian tuang air secukupnya (anggaran 1500 ml). Biar mendidih.
  3. Masukkan kiub pati ayam, sup bunjut dan bebola ayam tadi, masak dengan api sederhana hingga bebola ayam, kentang dan lobak merah empuk (bila bebola ayam timbul, tandanya dah masak). Masukkan tauhu dan tambah lada hitam kisar. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!!.


Thursday, August 13, 2015

SAMBAL UDANG TEMPOYAK

rsz_1ss
Assalammualaikum. Salam Khamis semua. Hari ni che mat masak asam pedas, tapi tak perlu dijadikan entri sebab dah biasa sangat. Tapi ada permintaan suapaya che mat kongsikan resipi sambal udang tempoyak yang che mat bikin tempoh hari masa Ben datang ke Sedenak. Disebabkan che mat takde gambarnya, maka ku pinjam gambar dari Ben. Sambal udang tempoyak ini amat mudah dibuat dan sedap dimakan bersama nasi atau roti. Anda ada dua pilihan, kalau suka pedas boleh guna cili padi, kalau tak tahan pedas boleh guna cili merah atau gandingkan cili merah dan cili padi. Che mat syorkan anda guna cili hidup untuk sambal ini dan bukan cili kering atau cili boh. Selain udang, anda boleh guna ikan bilis atau sotong. Resipi che mat tuliskan seperti di bawah ini...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram udang saiz sederhana, kupas kulitnya, cuci bersih dan toskan
1 1/2 camca besar tempoyak
4 papan petai, ambil isinya
1 keping asam gelugor
1/3 camca teh serbuk kunyit
1 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, dihiris
1/2 cawan pati santan
Garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan air
Minyak untuk menumis

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
5 biji cili merah
5 - 6 biji cili padi (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar), tumis serai titik hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan serbuk kunyit, kacau rata. Masak hingga naik minyak. Tambah tempoyak, air dan santan. Kacau rata dan biar mendidih, masak dengan api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan isi petai, asam gelugor dan udang, Kacau rata dan masak hingga pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas atau roti.


Wednesday, August 12, 2015

DAGING MASAK TEMPRA

rsz_1daging_masak_tempra
Assalammualaikum, salam semua. Entri yang ringkas dari che mat. Masak siang tadi sebelum ke Johor Bahru atas urusan keluarga. Hari ni che mat masak 2 menu yang begitu senang dan simple. Daging masak tempra dan sup kaki ayam. Sup kaki ayam tu che mat tak jadikan entri sebab sama macam resipi sup2 ayam, cuma taruk kaki ayam saja. Daging masak tempra ini sama macam daging masak kicap, tapi ada beza sikit. Masak tempra adalah satu menu klasik orang peranakan baba nyonya. Selain daging, telur, ayam, ikan, terung juga boleh dimasak tempra. Sedap dimakan bersama nasi panas yang dimasak lembut atau bubur nasi. Jangan lupa sambal belacan untuk menambah ke pengsa nan masa anda makan nanti. Resipi mudah seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan*
1 inci halia, ditumbuk halus*
3 ulas bawang putih, ditumbuk halus*(*digaul rata dan perap sekejap)
1 camca besar penuh gula pasir
1/2 camca teh cuka makan
1 camca teh serbuk lada sulah
1 biji bawang besar hiris bulat dan leraikan
1/2 biji trafficlight capsicum, dipotong dadu
2 camca besar kicap pekat
1 - 2 camca besar kicap masin JALEN
1 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak, masukkan gula pasir, dan biar cair dan bertukar menjadi karamel, guna api kecil. Kemudian masukkan daging yang diperap tadi, gaul rata dan masak hingga daging kecut.
  2. Tambah kicap pekat, kicap masin dan air. Kacau rata dan masak hingga pekat dan daging empuk. Tambah cuka dan serbuk lada sulah. Kacau, tambah bawang besar dan traffic light capsicum. Gaul rata.
  3. Masa sekejap hingga pekat. Rasa dan jika kurang masin anda boleh tambah sedikit lagi kicap masin. Hiaskan dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas atau bubur nasi....Selamat mencuba!!.


SAMBAL KETUK..GARENTI ANDA TAMBAH NASI!!

rsz_sambal_ketuk2

Salam semua, dihujung2 Syawal ni selera kita pun ikut berubah. Jemu makanan berempah atau berlemak. Kalau dapat nak makan yang simple dan ringkas. Satu lagi masalahnya bila kita dah duduk di dapur sepanjang Syawal, memasak untuk tetamu dan keluarga, rasa nak ke dapur tu ada masa berat sangat, rasa tak larat dah, nengok periuk belanga pun rasa nak demam....Macam tu lah che mat, tapi kan nasib baik ada 'sambal ketuk' yang pedas berapi, siap dimakan dengan nasi panas. Sedap ke?...bukan saja sedap, tapi siap bertambah nasi lagi, jangan tak percaya!...apa tu sambal ketuk, macam bess ajer....bukan macam lagi, tapi memang bess....tak tipu nih...

rsz_sambal_ketuk1

Dibuat secara 'homemade' dari resipi turun menurun nenek moyang mereka yang berasal dari Sumatera, Indonesia dan Pahang. Kira ni gabungan dua budaya menjadi satu masakan yang unik. Bahan2nya terpilih dan kebersihan amat dititik beratkan dalam penyediaan sambal ketuk, untuk menjamin ia tahan lama. Yang penting sambal ketuk ini diusahakan oleh orang Islam, jadi takde lah rasa ragu2 bila nak makan. Kalau anda demam, tekak payau, cuba makan nasi dengan sambal ketuk ni, in sha Allah berselera...

rsz_samball_ketuk
Tu antara menu che mat tempoh hari, ulam daun selom, terung salai dan tak lupa sambal ketuk, perahkan sedikit jus limau kasturi sebelum makan sama nasi panas. Selain boleh dimakan begitu saja sama nasi, bubur nasi atau roti. Anda juga boleh gunakan sambal ketuk untuk masak nasi goreng kampung. Tambah sambal ketuk dalam kangkung goreng belacan dan boleh juga dicampur dalam kerabu untuk mendapat rasa yang lebih enak. Jika anda keluar negara atau menunaikan Haji/Umrah, boleh bawak bersama sambal ketuk ini sebagai bekal, maklumlah tekak melayu mana boleh tak makan yang pedas, betul tak. Diisi dalam botol yang kemas dan mudah dibawak ke mana2, sesuai dibawak ke rumah mertua juga...ehem..ehem.... 

Jika ingin merasainya, anda boleh hubungi.....

HP : 019 361 3164 (call/sms/wassap), dan ejen diperlukan!



Tuesday, August 11, 2015

BIJI CEMPEDAK TUMIS CILI HIJAU..

rsz_sambal_biji_cempedak
Assalammualaikum, salam semua. Che mat baru berkesempatan nak duduk mengadap blog. Hari ni sebab tiada tetamu, maka dapatlah keluar rumah sekejap. Tapi pagi tadi sebelum keluar kenalah siap2 masak dulu. Menjadi rutin, kalau nak keluar, che mat harus masak serba sedikit untuk mereka yang tinggal dan dalam waktu sama bila balik nanti tak perlu nak kelam kabut memasak. Pernah makan biji cempedak yang dijadikan juadah untuk dimakan bersama nasi? Che mat pun sebenarnya baru pertama kali cuba. Sebelum2 ni kalau makan cempedak goreng, memang ada jugalah ku makan bijinya jika empuk. Pagi tadi che mat rebus biji cempedak dalam 25 ulas hingga empuk (kalau guna periuk tekanan atau pressure cooker, ambik masa 10 minit saja) dan kemudian dimasak sama cili hijau. Bak sebenarnya beri cadangan semalam, masa makan cempedak, dia kata biji ni, rebus dan bikin sambal sama cili hijau. Jadi che mat pun cubalah buat. Sedap dan rasa dia lemak. Selain itu ada juga yang beri cadangan biji cempedak dimasak lemak sama udang dan tadi bonda sedara che mat kata, di kampung dulu2, biji cempedak direbus hingga empuk, kemudian dijadikan begedil...tak sabar nak cuba ni, kalau che mat jadi bikin, nanti kongsikan di blog.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
25 ulas biji cempedak
5 biji cili hijau, hiris
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 genggam ikan bilis
1 inci belacan*
1/4 cawan air*(*dilarutkan)
1 camca besar sos tiram
1/2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
1 keping kecil asam gelugor

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Biji cempedak yang mentah, dicuci bersih, kemudian rebus hingga empuk, jangan lupa taruk sedikit garam dalam air semasa merebus tadi. Bila empuk, toskan dan biar biji cempedak sejuk. Buang kulitnya kemudian hiris sederhana tebal. Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili hijau hingga harum dan bawang layu. Masukkan ikan bilis dan masak sekejap. Tambah bancuhan belacan dan sos tiram. Kacau rata dan biar mendidih,
  3. Masukkan asam gelugor, air dan biji cempedak rebus yang telah dihiris tadi. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan.....Selamat mencuba!!


Monday, August 10, 2015

AYAM MASAK ROS

rsz_ayam_masak_rose
Assalammualaikum, salam semua. Entah kenapa petang tadi che mat termengidan ayam masak ros. Ayam masak ros ini boleh dikatakan popular di negeri2 belah utara tanah air. Lebih kurang macam ayam masak merah kalau di Johor. Che mat guna kurang lebih 1/2 ekor ayam atau 3 keping bahagian peha ayam bersaiz besar. Tidak pedas dan amat sesuai dihidangkan bersama nasi putih, nasi minyak, nasi briyani tau sebarang nasi berperisa. Menggunakan susu cair dan ia memang pekat. Tapi jika anda suka berkuah, boleh tambah air. Ayam masak ros wajib ada rasa sedikit manis tapi bukan terlalu manis. Masakan ini boleh dikategorikan sebagai menu yang mudah dimasak. Resipi asal che mat ambik di sini, terima kasih. Jika anda ingin mencuba...che mat kongsikn resipi seperti di bawah ini..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
3/4 camca teh garam*(*digaul rata dan perap sekejap)
3 camca besar cili kisar
2 camca besar tomato puree
3 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
2 batang serai, diketuk
1/4 cawan kismis
1/3 cawan susu sejat
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air
Hirisan daun sup untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1  biji bawang besar
1 inci halia
3 ulas bawang putih

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Goreng ayam 1/2 masak, angkat dan toskan. Cedok keluar minyak tadi dan tinggalkan kurang lebih 1/3 cawan. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga layu dan harum. Tambah serai, kismis dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga wangi.
  2. Tambah cili kisar, kacau rata, masukkan sos cili, sos tomato dan tomato puree, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. Masukkan ayam, gaul rata dan tuang air. Kacau rata dan masak hingga pekat.
  3. Tambah susu cair, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa (mesti ada rasa manis sedikit). Masak dengan api kecil hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup sebelum dihidangkan bersama nasi putih atau sebarang nasi berperisa. Kalau suka boleh juga hiaskan dengan kacang pis....Selamat mencuba!!


Sunday, August 9, 2015

KAMBING MASAK BLACK PEPPER

sss
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Mula2 che mat rasa tak perlu lah masukkan entri apa yang dimasak semalam. Tapi ada permintaan resipi kambing masak black pepper. Oleh sebab che mat tak sempat nak ambik gambar semalam, maka ku pinjam gambar dari Ben Ashaari (ceritanya ada di sini), alaa, dia tak marah...kita orang ni berkawan dah lama, kalau gaduh pun setakat baling2 lesung batu saja, takde lah parah mana. Kambing black pepper satu hidangan yang mudah disediakan. Che mat guna daging kambing bahagian bahu. Anda boleh guna mana2 bahagian daging kambing. Che mat rebus dulu sampai empuk kemudian baru dimasak dengan bahan2 black pepper. Sedap dimakan bersama nasi putih. Bagi yang ingin mencuba, che mat tuliskan resipi seperti berikut...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg daging kambing*
1 inci halia, hiris nipis*
3 ulas bawang putih, diketuk*
3 helai bau leaf*
1 camca teh garam*
Air secukupnya*(*direbus hingga empuk)
1 biji bawang besar, dibelah 6 dan leraikan
3 ulas bawang putih, cincang halus
5 biji bawang merah, hiris halus
1 inci halia, cincang halus
1/2 bahagian traffic light capsicum, dipotong kiub
3/4 camca besar lada hitam, tumbuk hancur
3 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap lemak manis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga harum. Masukkan sos tiram, lada hitam tumbuk dan kicap lemak manis. Kacau rata dan masak sekejap dengan api kecil.
  2. Toskan daging kambing dan tapis air rebusan daging kambing tadi. Tuang air rebusan ke dalam kuali. Kacau rata dan biar mendidih, masak hingga pekat. Tambah daging kambing, bawang besar dan traffic light capsicum tadi, kacau rata.
  3. Masak hingga sedikit kering atau jika suka berkuah boleh tambah sedikit air panas, rasa dan jika ok boleh matikan api. (jika kurang garam, anda boleh tambah garam atau sedikit lagi kicap). Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.


Saturday, August 8, 2015

MINI BLUEBERRY CHEESE CAKE

rsz_mini_blueberry_cheese_cake

Assalammualaikum, salam semua. Macam mana Syawal anda tahun ini...meriah?...Bagi che mat, alhamdulillah, walaupun syawal masih bersisa seminggu lagi, tapi che mat masih menerima tetamu. Penat tu memang lah dah nama pun hari raya, kalau takde tetamu datang, sapalah yang nak makan biskut2 dan kek2 yang kita bikin tu semua. Cuma tahun ni che mat pancit sikit, tiga hari berturut2 dapat sakit, demam, kemudian tapak tangan kiri tak boleh nak menggenggam dan keesokkannya pulak, kena sakit bisa ulu hati...cubaan sangat, tapi syukur, masih mampu menyelesaikan kerja2 seperti biasa walaupun lambat sikit. Hari ni che mat menerima kadatangan sahabat che mat dan juga jiran blog yang begitu setia. Ben Ashaari, mesti anda kenal. Dan che mat merajinkan diri memasak beberapa jenis hidangan. Tapi yang tu rasanya menu2 biasa, resipi ulang tayang. Cuma kali ini nak test skill bikin cheese cake jenis yang mini macam dalam gambar tu...

rsz_mini_blueberry_cheese_cake1
Perancangan nak bikin tu dah lama, asyik tertangguh aje. Pada che mat mini cheese cake lagi mudah dibikin, dah lah tu lawa pulak, comel dan kalau keluarkan pada tetamu nampak 'istimewa'. Satu lagi yang bagusnya, anda boleh taruk apa2 perisa atas cheese cake tadi. Blueberry boleh, strawberry boleh, raspberry boleh, mangga boleh atau kalau nak guna salted caremel pun ok. Nak lagi innovatif, guna coklat ganache dan taruk sebiji coklat ferrero rocher atas dia....boleh pengsan okeh!!. Resipi amat2 mudah dibuat dan untuk base tu che mat guna biskut oreo, anda boleh bole guna biskut marie, digestive cookies atau boleh guna shortbread cookies. Che mat guna muffin tin berlubang 12 yang setiap satu berkapisit 100 ml. Pastikan anda lapis dengan 2 keping papercup untuk setiap satu lubang. Ok, jomm kita lihat resipi.

BAHAN - BAHAN BAWAH :-)
1 bungkus biskut oreo
1/2 camca besar gula kastor
3 camca besar rata mentega, cair dan sejukkan
Secubit garam (kalau guna salted butter, tak perlu garam)

BAHAN - BAHAN FILLING :-)
500 gram philadelphia cream cheese atau cream cheese pilihan anda
1/3 cawan gula kastor
1 camca teh esen vanilla
1 biji lemon, parut kulitnya (bahagian kuning sahaja)
2 biji telur gred A
1/4 cawan whipping cream
Secubit garam

BAHAN HIASAN :-)
Blueberry filling secukupnya
Blueberry segar secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK BAHAGIAN BAWAH :- Asingkan krim biskut oreo, kemudian kisar biskut tadi halus menggunakan food processor atau anda boleh masukkan dalam plastik bersih, dan ketuk2kan biskut oreo tadi guna torak (rolling pin) hingga hancur. Masukkan ke dalam mangkuk, tambah gula kastor, garam (jika guna) dan mentega cair. Gaul rata dengan hujung jari hingga mendapat teksture seperti 'pasir lembap'. Alas tin muffin berlubang 12 dengan papercup (pastikan paper cup sama saiz dengan acuan muffin). Bahagikan sama rata serbuk biskut tadi (kurang lebih 1 camca besar penuh untuk setiap satu acuan). Kemudian tekan hingga padat, guna jari pun boleh. Ketepikan.
  2. UNTUK FILLING :- Gaul gula kastor dengan parutan kulit lemon hingga rata dan ketepikan. Putar cream cheese hingga lembut, masukkan gula kastor tadi dan putar hingga gebu dan gula hancur. Masukkan telur satu persatu dan terus putar hingga sebati. Masukkan whipping cream. garam dan esen vanilla. Putar rata dan matikan mixer. Gaul dengan spatula untuk memastikan tiada cream cheeese yang melekat didasar mangkuk pengadun.
  3. UNTUK MINI BLUEBERRY CHEESE CAKE :- Tuang filling dalam setiap papercup tadi, pastikan semua sama banyak. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 165C, selamat 25 minit. Pastikan anda bakar pada rak tengah oven. Bila kek masak, biar sekejap dalam oven selamar 20 minit, keluarkan dan biar sejuk. Kemudian simpan dalam peti sejuk sekurang2nya 2 jam. Sebelum dihidangkan, anda boleh sudukan blueberry filling atas kek tadi dan hias dengan blueberry segar.....Selamat mencuba!!
CATATAN MAT GEBU :- Masa membakar, kek akan naik tinggi sedikit dan ada kala akan merekah, kemudian bila masak, ia akan turun dan lekuk. Toksah khuatir, memang kejadian dia macam tu dan ia nampak lebih comel bila bahagian atas yang lekuk tadi anda hiaskan dengan topping blueberry seperti dalam gambar....


Thursday, August 6, 2015

PARU MASAK UNGKEP

rsz_ungkep_paru
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni 21 Syawal dah, rasa cepat sangat, macam masih dalam bulan Ramadan, tau2 rupanya dah nak ke penghujung syawal. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi olahan dari ungkep ayam. Rasa bosan pulak nak bikin paru berlado, jadi kita cuba bikin masak ungkep pulak dan secara jujur ia menjadi dengan sedapnya. Seakan2 rendang dan sesuai dimakan bersama nasi putih, nasi minyak, lontong, ketupat dan sebagainya. Tidak pedas dan cili padi yang melingkar dalam gambar tu che mat saja campakkan dalam ungkep untuk menambah seri dan bagi rasa hangat. Kalau anda tak makan paru, boleh ganti dengan ayam. Bahan2 dia semua sama, cuma gantikan dengan ayam. Bila memasak ungkep, biasalah kita guna ayam tua, ayam kampung atau ayam hutan, kerana proses memasak ungkep agak lama seperti rendang. Jika anda ingin mencuba, resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg paru lembu, potong 4 - 5 bahagian, cuci dan toskan*
1 inci halia, hiris nipis*
4 ulas bawang putih, diketuk, tak perlu buang kulit*
2 helai bay leaf*
1 camca teh garam*
Air secukupnya*
3/4 cawan santan
2 helai daun kunyit, hiris
1 keping asam gelugor
10 biji cili padi merah, thai, potong 2 tapi tak putus setiap 1
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
10 tangkai cili kering, kerat pendek, rendam dalam air panas 10 minit, tos dan cuci bersih
12 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras, hiris
1 camca besar penuh ketumbar biji
1 camca the jintan kasar
1 camca teh jintan halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus paru dengan bahan2 bertanda (*) hingga lembut (kalau guna pressure cooker, ambil masa 10 minit). Tos dan sejukkan, kemudian hiris nipis dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (kurang lebih 3/4 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, kacau sentiasa dan masak hingga naik minyak. Masukkan santan dan paru rebus, kacau rata dan masak hingga pekat.
  3. Tambah asam gelugor, daun salam, cili padi, gula melaka dan garam secukup rasa. Kacau dan masak lagi hingga kering, guna api kecil dan kacau sentiasa. Akhir sekali tambah daun kunyit, kacau rata dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas....Selamat mencuba!!


Wednesday, August 5, 2015

LOKIO TUMIS CENCALOK, PERNAH CUBA?

rsz_kucai_cencalok
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan resipi mudah yang sedap dimakan bersama nasi panas. Hujung2 syawal ni yang ringkas itu yang sedap. Teringin nak makan singgang ikan sebenarnya, cuma belum dapat ikan yang che mat inginkan. Lokio antara sayuran bebawang yang menjadi kegemaran che mat sejak dulu. Ada banyak juga cara nak memasak lokion ni. Tapi pada selera che mat, paling senang, dan sedap jika ditumis sama cencalok. Hidangkan dengan nasi panas dan ikan goreng. Kalau suka boleh sekalikan dengan sambal belacan. Tak masin ke tumis taruk cencalok?..Che mat perah sedikit jus cencalok tadi, tapi jangan sampai kering, nanti takde rasa cencalok pulak. Bagi yang ingin kelainan boleh cuba resipi mudah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
500 gram Lokio, contoh di sini
1/4 cawan cencalok, taruk dalam tapis teh dan perah sedikit jusnya
1 camca besar sos tiram
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lokio dibersihkan, buang daun2nya yang bewarna kekuningan (jika ada). Cuci dan toskan. Kemudian kerat bahagian bawangnya, asingkan. Bahagian daun dipotong pendek (kurang lebih dalam ukuran 1+ inci). Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang besar, bawang putih, cili hinjau dan cili merah hingga layu. Masukkan sos tiram kacau rata dan tambah cencalok. Gaul rata dan masak sekejap.
  3. Masukkan bahagian bawang lokio, kacau dan tuang sedikit air. Masak dengan api kecil hingga bawang lokio lembut. Tambah bahagian daunnya, gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan..


Monday, August 3, 2015

MASAK LEMAK UDANG SAMA NANAS..

rsz_lemak_nanas_sama_udang
Assalammualaikum, salam semua. Banyak hari juga che mat tak taruk entri baru. Bukan tak masak, malah terlebih masak dan terlebih sibuk sampai che mat tak sempat nak pegang kamera untuk ambik gambar. Masih dalam mood raya, tapi bukan che mat keluar beraya, tetamu datang beraya di rumah dan kita sebagai tuan rumah kenalah layan sebaik mungkin. Menu yang anda nampak ni che mat masak semalam, Kita masak lemak udang sama nanas @ nenas. Resipi mudah dan che mat kategorikan masakan ini bawah label 'Nyonya Delicacies'. Ia seakan2 masakkan kita juga tak jauh beza, malah orang peranakan sendiri dipengaruhi cara dan selera orang melayu. Contohnya penggunaan santan kelapa, serai, daun kunyit, cili dan cara makan menggunakan tangan. Jika anda ingin mencuba, resipi seperti berikut....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji nenas madu, kupas, kemudian hiris sederhana tebal
10 ekor yang saiz besar, dibersihkan (che mat guna udang kaki merah saiz xxl )
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping kecil asam gelugor
1 santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji cili merah, tak suka pedas boleh buang biji cili
1 inci kunyit hidup
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawng putih
1/2 inci belacan
3 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan nenas ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, serai titik dan asam gelugor. Gaul rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih. Masukkan udang, kacau rata dan masak hingga udang berubah warna.
  2. Tuang santan pekat, kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula jika perlu (che mat tak taruk gula sebab nenas madu tadi dah cukup manis). Kacau dan sentiasa agar tidak pecah santan.
  3. Akhir sekali masukkan daun kunyit, masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan, ikan goreng dan telur dadar...Selamat mencuba!
CATATAN MAT GEBU :- Masa anda masak kuah akan bertambah kerana nenas akan mengeluarkan jusnya, jika nenas yang anda guna jenis masak ranum. Boleh masukkan sedikit gula kalau anda rasa perlu. Jika jenis nenas yang manis tak perlu taruk gula lagi. Selain udang, anda boleh guna ketam dan tulang ikan masin,,


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.