BEN ASHAARI

Thursday, July 30, 2015

DAGING HALIA SOS TIRAM

rsz_daging_halia_sos_tiram
Assalammualaikum salam semua. Lepas menghadap menu2 raya yang agak mewah, che mat rasa menu ringkas lebih sesuai dihidangkan. Hari ni kita masak daging halia sos tiram. Hidangan paling senang, palin ringkas dan yang pasti kanak2 boleh makan, sebab tak pedas. Cuma nasihat che mat bagi yang ada sakit gaot toksah lah yea makan, takut memudaratkan. Yang ada tekanan darah tinggi pun jangan makan banyak2, danger ok, termasuk che mat, makan setakat 1-2 keping tu in sha Allah boleh lah, Bahan2 pun tak banyak dan untuk daging, che mat pilih jenis batang pinang, Kalau anda guna daging biasa, pastikan rebus dulu hingga daging empuk. Sedap dimakan bersama nasi panas. Jika anda suka pedas, boleh tambah hirisan cili atau masukkan lada hitam. Nak mencuba?..Jomm kita lihat resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan*
2 inci halia, tumbuk halus*
3 ulas bawang putih, tumbuk halus*
1 camca besar kicap cair*(*disatukan, gaul rata dan perap 1 jam)
1 ulas bawang putih, cincang halus
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1 biji bawang besar, hiris
1 biji cili merah, hiris
4 camca besar penuh sos tiram
1 cawan air
1/2 camca teh lada hitam kisar
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang putih hingga harum, kemudian masukkan daging yang telah diperap tadi, masak dengan api kecil hingga daging berubah warna. Tambah sos tiram, kacau rata dan tuang air. Kacau dan biar mendidih.
  2. Masak hingga daging empuk (selalunya daging batang pinang cepat lembut), tambah sedikit air jika suka kuah lebih. Masukkan lada hitam kisar, leek (toskan dahulu), hirisan bawang besar dan hirisan cili merah. Kacau rata dan masak sampai kuah pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas.....Selamat mencuba!!


Wednesday, July 29, 2015

LEMAK PUCUK KELEDEK SAMA UDANG HARIMAU

rsz_lemak_pucuk_keledek
Salam semua. Entri masak2 pertama hari ni che mat masak satu menu typical orang peranakan Baba Nyonya. Pucuk keledek masak lemak dan che mat masukkan udang harimau dan juga ubi keledek. Biasanya asyik goreng campur tauco, apa kata sekali2 anda cuba resipi orang nyonya macam che mat bikin ni. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan. Nak bess lagi, topup telur dadar. Masakan ini tidak pedas, che mat guna 2 biji cili merah saja. Kalau anda suka pedas boleh tambah cili padi. Selain pucuk keledek, anda boleh gantikan dengan sayur kangkung. Nak mencuba?...che mat tuliskan resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk keledek
6 - 7 ekor udang harimau saiz besar
2 biji keledek saiz sederhana
2 batang serai, diketuk
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk keledek diasingkan dari tangkainya. Siang berasingan (ambil bahagian tangkai yang lembut sahaja), cuci dan toskan. Keledek dikupas, kemudian dipotong berbaji, rendam. Udang harimau dibersihkan, cuci dan tos. Ketepikan..
  2. Panaskan 3 camca besar minyak, tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak dengan api kecil hingga naik minyak. Masukkan keledek, gaul rata dan masak sekejap. Tuang santan cair, kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan udang, tangkai daun keledek dan masak hingga keledek 1/2 empuk. Tambah asam gelugor. Masukkan pucuk keledek, kacau perlahan dan masak hingga pucuk keledek lembut. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap lagi hingga ubi keledek empuk, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ikan goreng, sambal belacan dan nasi putih...Selamat mencuba!!.


BLOG TIFFINBIRU 2007 - HINGGA KINI...

(Gambar kredit pada Dr Faiz Blog)

Assalammualaikum, salam Rabu 29 July 2015 bersamaan 13 Syawal 1436 Hijrah. Hari ni blog che mat menyambut ulang tahun yang ke 8 tahun. alhamdulillah. Bila che mat menulis blog bergenrekan masakan, tidak terfikir ia akan bertahan sehingga kini. Dari usia che mat muda sedikit hingga menghampiri ke ranum, blog ini masih ada dan masih diterima oleh mereka2 di luar sana. Che mat bukan lah hendak pergi jauh sangat bila menulis blog masakan, sekadar menulis dan berkongsi sedikit ilmu. Segala di atas dunia ini pinjaman semata2, jadi benda yang elok dan mendatangkan faedah kalau kita simpan semata2 untuk diri sendiri pun tak berguna..

Dengan rendah diri che mat ucapkan terima kasih pada anda semua, yang sentiasa memberi sokongan moral dan tak jemu2 singgah dan menambah bilangan pageviews di blog tiffnbiru. Terima kasih juga pada teman2 FB, Twitter dan Instagram. Pada geng2 blog masakan yang che mat kenal sejak zaman MyResipi hingga sekarang, terima kasih atas segala perkongsian ilmu dari anda semua. Tak lupa geng wassap group masakan, Kak Ummi Kuantan, Mamafami, Kak Jun dan Kak Maz..terima kasih atas segala nasihat. Pada teman2 dari #kelabbloggerbenashaari, terima kasih atas sokongan anda. Sis Linn dan Sue Suraya, terima kasih menjadi sahabat che mat, dan tak lupa Ben Ashaari, blog tiffinbiru dan blog benashaari berpisah tiada....in sha Allah..

KERIS PUSAKA HIASAN JATA,
BERHULU EMAS BILAH SUASA,
ILMU BUKAN HAK MILIK KITA,
HANYA PINJAMAN DARI YANG ESA

BUAH CEREMAI DALAM RAGA,
BIKIN JERUK SEDAP RASA,
BUKAN NIAT MERASA BANGGA,
CUMA SEKADAR BLOGGER BIASA.

RUMAH GADANG ATAP RUMBIA,
MILIK PADUKA ORANG KAYA,
MOGA ALLAH LANJUTKAN USIA,
BERKONGSI ILMU SELAGI DAYA..


Monday, July 27, 2015

CEKODOK PISANG DI 11 SYAWAL

rsz_kodok_pisang
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hujan lebat petang tadi kat kampung che mat. Bila dah hujan kita pun selongkar2lah apa yang ada kat dapur, akhirnya jumpa pisang masak. Tapi adunan cekodok pisang ni bonda che mat yang bikin, che mat cuma tolong goreng saja. Di sebabkan mengejar waktu takut hari makin gelap, ku tarukkan aje tapis berisi cekodok pisang atas pinggan dan ambik gambar, ala2 bidan terjun lah ni. Banyk jenis pisang yang anda boleh bikin cekodok, che mat sebenarnya takde pantang, pisang apa pun jika dah masak ranum, ku henyak jadikan lempeng atau cekodok. Satu lagi tak perlu tambah gula, tapi yang ni ikut selera masing2, nak manis, sila tambah tapi jangan lah banyak sangat. Pisang kalau dah masak ranum memang cukup manis. Nak2 pisang embun atau pisang emas, memang manis. Bagi yang baru2 nak mencuba resipi cekodok, che mat kongsikan di sini...

BAHAN- BAHANNYA :-)
8 - 10 biji pisang emas
3/4 camca teh soda bicarbonate
1 camca besar gula perang (che mat tak letak gula)
1 cawan tepung gandum
1/4 camca teh garam
Minyak untuk goreng terendam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan pisang, gula perang (jika guna), garam dan soda bicarbonate dalam satu bekas. Kemudian lecek hingga halus. Masukkan tepung dan gaul hingga rata dan sebati. Rehatkan adunan cekodok selama 30 minit.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Jemputkan adunan cekodok dengn jari atau sudu, kemudian jatuhkan perlahan2 dalam minyak panas. Buat beberapa biji cekodok dan goreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan, balik2kan cekodok agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur yang bersih. Buat kaedah sama untuk baki adunan dan boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi....Selamat mencuba!!


Thursday, July 23, 2015

KARI SARDINE DAN LEMPENG KUCAI DI TUJUH SYAWAL

rsz_sardine_curry

Assalammualaikum, salam semua. Dari pagi sampai malam ni che mat baru dapat nak bukak laptop. Rasa penat juga nak tulis entri, tapi risau kalau diikutkan mood 'raya' yang masih rancak di pondok che mat (dengan kunjungan tetamu dan yang bakal menyusul untuk beberapa hari lagi). Hari ni che mat masak kari sardine. Seperti biasa, sardine pilihan che mat dah tentu sardine cap ayam. Kadang2 che mat guna juga sardine jenama lain dan jenama Pertima, menjadi pilihan selepas cap Ayam. Kari sardine satu hidangan yang cukup menarik, menu orang bujang, menu anak2 dan paling utama menu yang versatile. Boleh dimakan bersama nasi, cicah roti, lempeng pekak dan sebagainya. Tapi kali ni che mat tak bikin lempeng pekak, kita ubah jadi kan lempeng kucai...errr...macam mana tu?...

rsz_sardine_curry1
Lempeng kucai sama saja adunan dia dengan lempeng pekak, cuma anda tambah sedikit santan dan hirisan daun kucai. Che mat bikin sikit saja dalam 1 cawan tepung, dan jika anda nak lempeng yang comel, guna non stick pan saiz 8 inci. Bulan2 syawal ni kita asyik diasak dengan makanan yang bertemkan hari raya saja, jadi ubah selera dengan kari sardine bersama lempeng kucai. Che mat tambah sedikit santan dalam kari sardine. Jika anda tak suka, boleh abaikan santan, atau gantikan dengan susu cair...Che mat tuliskan resipi kari sardine dan lempeng kucai di bawah ini, jangan malu2 untuk mencuba ok!..

KARI SARDINE....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 tin sardine cap AYAM (che mat guna 1 tin besar sardine cap ayam jenis leper)
2 - 3 biji kentang, kupas dan belah 8 setiap 1, rendam
2 camca besar penuh rempah kari ikan (Baba's)*
1/2 cawan air*(*dibancuh dan kacau rata hingga menjadi pes)
1/3 cawan santan
2 camca besar cili kisar
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1 kiub pati ikan bilis

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah kecil, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/4 camca teh jintan kasar
1/4 camca teh biji halba
1/2 camca teh biji sawi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan ikan sardine dari sosnya. Panaskan 4 camca besar minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing, masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan kentang (toskan), gaul rata dan tuang sos dari ikan sardine tadi. Tuangkan air, kacau dan masak hingga kentang empuk, tambah air jika perlu. Masukkan asam gelugor, ikan sardine dan kacau perlahan.
  3. Masukkan santan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api kecil untuk 1 - 2 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api..,Hidangkan bersama lempeng kucai....

LEMPENG KUCAI ....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung gandum
1 biji telur saiz kecil (gred C )
3 camca besar santan
1 1/4 cawan air
2 pokok kucai, hiris halus
Garam secukup rasa (anggaran 1/3 sudu teh)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas, masukkan semua bahan2 diatas kecuali kucai. Kacau rata dan tapis, kemudian masukkan hirisan kucai, kacau rata dan rehatkan adunan selama 10 minit. Boleh juga kalau nak bancuh guna blender atau alat pengisar makanan. Tapi kucai jangan dimasukkan sekali, taruk kucai bila adunan sudah tidak berbintil2, licin dan.
  2. Sediakan non stick pan saiz 8 inci (atau saiz pilihan anda), lenser dengan sedikit minyak masak, kemudian tuang bancuhan lempeng kurang lebih 1/4 cawan dan boleh ratakan. Masak hingga permukaan lempeng pucat.Titiskan sedikit minyak pada permukaan lempeng kemudian terbalikkan dan masak sekejap lagi hingga keemasan. Angkat dan boleh hidangkan bersama kari sardine...Selamat mencuba!!


Wednesday, July 22, 2015

ASAM PEDAS - SELAMANYA..

rsz_asammm_pedas_kembong
Assalammualaikum, salam 6 Syawal. Sujud syukur atas kurniaan Ilahi, diberi che mat berusia lagi walaupun hampir seminggu tidak mengemas kini entri blog. Kebatasan masa membuatkan che mat tak de masa nak ambik gambar dan bila takde gambar, maka tiadalah entri. Sejak dari pertama Syawal hingga semalam, tetamu bertali arus datang ke rumah che mat, hingga ke malam hari. Penat tu tak yah cakaplah, kan kita sorang2 yang uruskan, tu nasib baik ada anak buah che mat yang lelaki membantu, tak sikit banyak lega lah juga. Bercerita pasal Syawal ke 6 ini, rasanya tekak dah tak boleh masuk menu2 kari dan berempah. Maka tadi che mat beli ikan kembong dan ku masak asam pedas campur sawi jeruk...ehemm, sedap okeh, berselera makan...Ni kira menu yang selama2nya menjadi kegemaran tanpa jemu, nak2 kita ni kan orang Johor, tak gitu. 

rsz_hh
Sebelum che mat tulis resipi, nak ucap terima kasih pada Kak Nani Rostam sekeluarga yang sudi datang ke pondok che mat pada hari raya ke 3 tu hari. Turut hadir sama anak dan menantu kak nani, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen...terima kasih yea..ehemmm.. Ok, jom kita masak asam pedas...jommmm!!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 - 6 ekor ikan kembong saiz sederhana
4 kelopak sawi jeruk
2 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan,belah 2
1/2 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
2 senduk nasi penuh cili kisar
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kembong disiang, cuci bersih dan biarkan sekor2, tak perlu dikerat. Sawi jeruk dipotong pada saiz kecil, cuci dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam periuk, tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan serbuk kunyit, Kacau rata dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa,
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Masukkan kiub ikan bilis (jika guna), bunga kantan dan biar mendidih. Masukkan sawi jeruk (toskan terlebih dahulu). Kacau rata dan tambah ikan, biar mendidih.
  4. Tambah lada hitam, garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Sedap dimakan selagi hangat....Selamat mencuba!!


Wednesday, July 15, 2015

KARI CAIR IKAN TENGGIRI..

rsz_kari_encer
Hari ni agak meletihkan dan menu yang anda nampak ni juadah berbuka puasa 2 hari lepas. Bulan puasa kali ni, che mat masak kari cair ikan tenggiri sekali ini saja. Rasa ngidam nak yang macam ni. Tak nak kari yang kuah pekat tu, nak yang encer atau cair. Che mat masukkan sebiji terung ungu tak lupa tomato sebagai bahan sampingan. Bila dah penghujung ramadan ni, menu pun yang simple2 saja. Maklumlah bila raya nanti menu yang boleh dikatgeorikan 'kaya-raya' akan muncul. Che mat ada masa nak juga ubah menu hari raya, tapi nak kata apa, kita lebihkan pada yang tua, mereka paling utama. Kari cair ni che mat guna rempah dari Batu Pahat, rempah cedok, tapi anda boleh guna apa saja rempah yang anda suka. Rempah kari SIY tu agak pedas, jadi mana yang tak tahan pedas tak perlu tambah cili. Resipi mudah seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 - 4 keping ikan tenggiri
1 biji terung ungu
1 biji tomato
2 camca besar penuh rempah kari ikan 
1/2 cawan santan
4 biji bawang merah kecil, hiris*
1 ulas bawang putih, hiris*
1/4 camca teh jintan halus*
1/4 camca teh jintan kasar*
1/4 camca teh biji sawi*
20 biji halba*
1tangkai daun kari*
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 4 camca besat, tumis bahan2 bertanda (*), hingga harum. Sementara itu bacuh rempah kari ikan dengan sedikit air, kacau rata dan masukkan ke dalam periuk, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tuang air (anggaran 2 1/2 cawan), kacau rata dan biar mendidih. Masukkan asam gelugor, ikan tenggiri dan terung, Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api sederhana. Masukkan santan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. 
  3. Masak hingga terung lembut, akhir sekali masukkan tomato matikan api. Biar tomato lembut sendiri. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan, telur dadar dan ulam2man....Selamat mencuba!!


Tuesday, July 14, 2015

RAMADAN 27 : MI HOON GORENG

rsz_mi_hoong
Assalammualaikum, salam 27 Ramadan. Hari ni che mat dah mula kemas2 rumah sikit, walaupun idok leer kemas mana, yelah dah rumah kita ni macam dapur hotel beroperasi manjang, yea dak. Takpe lah yang penting kita buat yang termampu, bukan paksa2 sampai pengsan. Antara menu berbuka atas permintaan hari ni ialah mi hoon goreng. Che mat suka goreng mi hoon ni, nak2 kalau sambal dah sedia ada, Sambal tu boleh guna sambal tumis biasa. Masa goreng tu tambah sos cili dan sos tomato sikit. Che mat lebih suka guna sos ikan sebagai bahan perasa. Kalau tak suka, boleh guna kicap cair. Boring juga bukak puasa nak makan nasi, sekali bess juga makan mi hoon. Tapi di rumah che mat memang kena gak masak nasi dan bila ada nasi semestinya kena masak lauk. tapi yang ringkas2 sajalah..Kalau anda nak goreng mi hoon untuk bersahur nanti, che mat kongsikan resipi seperti berikut..

BAHAN- BAHANNYA :-)
200 gram mi hoon, rendam hingga lembut
10 ekor udang saiz sederhana, dibersihkan
1 keping tauhu, potong dadu dan goreng
1 cekak kucai, kerat pendek
Taugeh secukupnya
2 camca besar penuh sambal tumis
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
2 biji telur, dipukul sedikit
2 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji bawang merah kecil, hiris halus
Sos ikan secukup rasa (boleh ganti dengan kicap cair)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak masak, tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum, masukkan sambal tumis sos cili dan sos tomato, kacau rata dan tambah udang, masak udang hingga berubah warna, masukkan tauhu goreng, gaul rata.
  2. Tolak bahan2 tadi ke tep kuali, masukkan telur dan masak hingga telur kental dan kacau hancur, gaul dengan bahan2 lain. Masukkan mi hoon, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga mi hoon lembut. Perasakan dengan sos ikans secukup rasa (anggaran 2 camca teh). Kacau rata.
  3. Masukkan taugeh, gaul dan tambah kucai. Kacau hingga mesra. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng jika suka (che mat tak letak). Hidangkan semasa berbuka puasa atau bersahur.


Monday, July 13, 2015

PISANG GORENG CHEESE.

rsz_pisang_cis
Assalammualaikum, salam semua. Masa che mat betul2 terhad. Kesibukkan melanda dan dengan keadaan cuaca yang agak panas sekarang ni jadikan puasa kali ini agak meletihkan. Dah 3 hari che mat tak sempat nak update blog, macam mana nak update, dah gambar pun tak sempat nak ambik. Bila siap masak. dah ada pekara lain yang menunggu untuk dibereskan. Lagi pun tak masak apa sangat, cuma menu2 biasa saja. Ini sebenarnya antara menu berbuka che mat. Bonda goreng pisang nipah dan kebetulan ada baki cheddar cheese lebih che mat bikin kek lapis tu hari, maka ku sagatkan atas pisang goreng tadi. Topup lah cekelet, dah jadi pisang goreng cheese. Rasanya sejak trend pisang goreng cheese ni hangat di media2 sosial che mat takde lah beria nak mencuba. Resipi memang mudah sangat...seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
Pisang nipah secukupnya
Cheddar cheese secukupnya
Coklat susu secukupnya

BAHAN-BAHAN BATTER :-)
1 cawan tepung beras cap teratai
2/3 cawan air (kurang lebih)
1/2 camca teh garam
1 biji telur
Beberapa titik pewarna kuning makanan (che mat tak letak)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh semua bahan2 untuk batter, kecuali air. Tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk hingga bancuhan licin dan tidak berbintil. Ketepikan. Sementara itu pisang dibelah 2 setiap satu, ini bergantung pada ketebalan dan saiz pisang yang anda guna. 
  2. Panaskan minyak untuk menggoreng, celop pisang dalam adunan batter dan masukkan perlahan2 ke dalam minyak panas. Goreng pisang hingga kuning keemasan, angkat dan toskan. Buat hingga siap.
  3. Ambil beberapa keping mengikut kuantiti yang anda perlukan (che mat guna 5 keping pisang goreng) dan susun dalam pinggan sesuai. Parutkan keju cheddar secukupnya atas pisang goreng tadi dan juga sedikit parutan coklat susu. Hidangkan segera....Selamat mencuba!!.


Friday, July 10, 2015

SUP AYAM KAMPUNG, REMPAH BATU PAHAT..

rsz_vcs
Salam semua. Hari ni che mat cuti melapis dan masak pun yang mudah2 sangat. Resipi yang anda nampak ni bukan hari ni punya, tapi juadah berbuka puasa beberapa hari lepas. Macam tu lah kalau keadaan agak sibuk, sampai lupa nak masukkan sup ayam kampung ni kat blog. Ini sebenarnya permintaan dari bonda che mat yang teringin nak masak sup ayam kampung dan yang paling peting nak cuba rasa rempah sup dari Batu Pahat yang che mat beli tu hari di Syarikat Ismail Yahya (SYI). SYI memang popular di Batu Pahat, pendek kata peniaga2 sekitat Batu Pahat dan dari luar akan dapatkan rempah2 di sini. Satu keunikkan yang che mat nampak. Ialah rempah2 diadun dari rempah ratus yang dikisar halus. Ada seorang pekerja wanita yang memang pakar membancuh rempah. Contoh kalau kita nak rempah beriani atau kari, dia akan cedok beberapa jenis rempah dan satukan dalam plastik untuk mendapat rempah yang diinginkan. Kalau ke Batu Pahat, jangan lupa cari kedai rempah SIY...jomm kita lihat resipi sup ayam kampung SIY...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (kurang lebih 1.2 kg)
4 biji kentang
2 camca besar penuh rempah sup SIY (atau rempah sup pilihan anda)
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
5 biji bawang merah, hiris nipis
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
6 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*
1 camca besar lada hitam, tumbuk halus
1 pokok daun sup, potong kasar
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Sambal kicap

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah
1/2 inci kunyit hidup
4 ulas bawang putih
2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong pada saiz sederhana atau ikut suka, cuci bersih dan gaul dengan 1 camca besar tepung gandum. Perap 10 minit, kemudian cuci hingga bersih dan toskan. Kentang dikupas dan potong 4 setiap sebiji, rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak. Goreng hirisan bawang merah hingga harum dan bawang bertukar keperangan, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan bahan bertanda (*), dan kacau rata. Tambah bahan2 tumbuh halus dan masak sekejap. Sementara itu bancuh rempah sup dengan sedikit air, kacau dan masukkan ke dalam periuk. kacau rata.
  3. Tambah ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masukkan daun sup dan kiub ayam, jika guna. Masak hingga ayam empuk. Masukkan lada hitam dan kentang. Jika kurang kuah, tambah air panas secukupnya.
  4. Masak hingga kentang empuk, perasakan dengan garam secukupnya, masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama sambal kicap. Boleh dimakan bersama mi hoon, ketupat, mi kuning, roti dan begitu saja....Selamat mencuba!.

Thursday, July 9, 2015

KEK LAPIS LEGIT @ KEK LAPIS REMPAH...

rsz_1kll

Assalammualaikum, salam semua. Hari ini 22 Ramadan dan tinggal seminggu lagi kita menyambut lebaran, in sha Allah. Macam, persiapan raya anda, dah siap semua?..Che mat tak de buat apa sangat, setakat memeriahkan meja hidangan saja. Buat masa ni rumah pun masih belum berkemas. Awal pagi tadi che mat melapis kek lapis yang menjadi kegemaran. Bila sebut kek lapis legit atau kek lapis rempah, mesti ada yang tak berapa suka. Tapi percayalah, kek lapis legit amat sedap cuma kena makan dalam kuantiti yang kecil. Kek lapis legit antara kek lapis yang berprofile tinggi dari segi penggunaan bahan mentah seperti mentega dan kuning telur. Tapi setahun sekali untuk lebaran, che mat rasa ok lah, tak ngeri sangat. Melapis kek tidak lah susah mana, seperti apa yang che mat tulis dalam entri2 kek lapis yang terdahulu, kek lapis ni memerlukan peruntukan masa yang agak banyak. Tapi hasilnya in sha Allah boleh dibanggakan...

rsz_kll1
Resipi kek lapis legit ni che mat dapat dari blog Kak Wan yang pakar membuat kek, agar2 dan pulut kuning untuk majlis2. Dan pertama kali buat tahun lepas, terus che mat simpan resipi sebagai resipi rujukan. Mengikut tradisi, kek lapis legit memang kaler macam dalam gambar tu, tapi tak salah jika anda nak jadikan ia berwarna warni. Tapi che mat lebih tradisional dan 'old school'. Untuk rempah kek lapis, che mat rekomen guna rempah 'spekkoek' yang diimport dari Indonesia. Rempah ini yang akan menjadikan kek lapis legit anda sedap. Boleh dapatkan di kedai2 menjual bahan2 baking. Ok, che mat tuliskan resipi seperti berikut. Baca betul2 ok....

BAHAN-BAHAN A :-)
450 gram mentega (cm guna SCS)
150 gram gula kastor (che mat guna 120 gram)
20 biji kuning telur gred A
3 camca besar susu pekat manis
2 camca besar golden syrup
1 camca teh esen vanilla
1 camca teh pewarna kuning telur (cm letak 3/4 camca teh)

BAHAN-BAHAN B :-)
150 gram gula kastor (cm guna 130 gram)
6 putih telur gred A
1/2 camca teh cream of tartar

BAHAN-BAHAN C :-)
220 gram tepung Hong Kong*
1 camca teh baking powder*
2 1/2 camca teh rempah spekkoek, contoh di sini *(*disatukan dan diayak)
Mentega cair untuk disapu pada kek

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak dan lanser juga kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar mentega, susu pekat manis dan golden syrup hingga sebati, masukkan gula kastor dan putar hingga putih. Masukkan kuning telur satu persatu dan terus memutar dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan gebu. 
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit hingga habis. Masukkan esen vanilla dan pewarna kuning telur putar rata, ketepikan sebentar. 
  4. Dalam mangkuk adunan yang kering dan bersih, putar putih telur dan cream of tartar hingga berbuih, masukkan gula kastor dan putar lagi hingga kembang dan kentalMasukkan putih telur ke dalam adunan mentega dan gaul dengan kaedap kaup balik hingga sebati. Ok, jomm kita melapis..
  5. Masukkan tin ke dalam oven dan biar 1 - 2 minit. Keluarkan tin dan sudukan adunan kek 4 camca besar penuh, ratakan dan bakar 5 - 7 minit (tukar api kepada fungsi grill atau api atas sahaja). Bila masak dan keperangan, keluarkan dan jika ada gelembong udara, cucuk perlahan dengan lidi sate dan tekan perlahan dengan penekan kek lapis.
  6. Sapu sedikit mentega cair pada permukaan kek, dan lapiskan dengan 4 camca besar adunan, dan ratakan. Bakar hingga masak. Ulangi proses menekan, menyapu mentega cair dan melapis sehingga selesai dan lapisan akhir anda bakar guna api atas dan bawah selama 10 - 12 minit. Tutup tin kek dengan aluminium foil jika permukaan kek cepat perang. Sejukkan kek, keluarkan dari tin dan biar sejuk sepenuhnya atas jaringan dan boleh dipotong.
CATATAN MAT GEBU :- Sebab mixing bowl untuk mixer che mat ada sebiji aje, maka ku putar dulu putih telur dulu, asingkan ke dalam mangkuk lain dan guna mangkuk tadi untuk putar mentega. Anda juga boleh warnakan adunan ikut suka dan bakar berlapis2 dengan warna berbeza mengikut kreativit anda. Dan seperti che mat selalu pesan. Bila kek betul2 sejuk. Potong kek kepada 4 bahagian, kemudian balut dengan plastik cling, simpan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk....Selamat mencuba!!..

RAMADAN 21 : PECEL IKAN PARI, MUDAH DIBUAT.

rsz_pecel_pari
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat saja nak kongsikan menu berbuka semalam. Kadang2 naik buntu juga otak bila fikir nak masak menu berbuka. Kat rumah che mat ni, nasi satu hidangan wajib ada, dan che mat pun jenis tak kesah, mi hoon pun sedap juga dan tak payah masak nasi. Macam sahur pagi tadi, che mat makan maggi kari sebab dah mengidam nak makan tu sejak 2 - 3 hari lepas. Pecel ikan pari antara hidangan tradisi orang jawa selain pecel ikan keli atau ewak lele. Ada juga che mat nampak orang bikin pecel ayam. Bahan paling utama untuk pecel ialah cekur atau kencur. Kuah untuk pecel ikan pari ini menggunakan santan dan memang warnya putih dan ikan pari dibakar hingga masak dulu sebelum dimasukkan ke dalam kuah pecel. Boleh lah cuba untuk berbuka nanti ok, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram ikan pari, dibersihkan dan perap dengan jus limau nipis
2 1/2 cawan santan kelapa
5 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
4 inci ubi cekur*
25 biji cili padi kampung, warna hijau*
Sebesar ibu jari belacan, dibakar*(*ditumbuk halus)
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
3 helai daun cekor, hiris halus
Beberapa biji cili padi, dihiris untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dicuci bersih dan toskan. Gaul dengan sedikit garam, kemudian bakar ikan pari hingga masak. Ketepikan. Masukkan santan ke dalam periuk bersama bahan2 tumbuk halus, asam gelugor dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa.
  2. Bila kuah pekat, boleh masukkan ikan pari bakar, kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan hirisan daun cekur, kacau rata dan masak sekejap, boleh matikan api. Tabur hirisan cili padi sebelum dihidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.

Wednesday, July 8, 2015

KEK LAPIS DURIAN YANG AMAT 'MISTERI'

rsz_kld
Assalammualaikum, mula2 che mat ingat nak share resipi berbuka, tapi atas permintaan che mat kongsikan resipi kek lapis durian yang begitu 'misteri'. Kebetulan rezeki dibulan Ramadan, kami diberi durian oleh sedara mara dan che mat dari hari tu dah terfikir untuk mencuba kek lapis durian. Seperti anda tau, kek lapis memang memerlukan bahan2 yang agak berprofile tinggi seperti telur dan mentega dalam kuantiti yang agak banyak. Tak susah membuat kek lapis. cuma perlu masa yang agak lama untuk melapis kek selapis demi selapis. Bergantung pada kelalusan lapisan, makin halus, makin mengambil masa, tapi kalau dah lapisan halus, masa membakar tak perlu lama sangat. Resipi che mat guna dari teman lama blog masak yang berbangsa cina dan sekarang menetap di Jepun bersama suami (orang Jepun) dan 2 anaknya yang comel. Terima kasih Lydia untuk resipi. Sedap ke?..Alhamdulillah, rasa amat nyaman, cair dimulut, lembap dan rasa durian dia tu, berkrim sangat. Sekali2 ok lah, jangan nko hadap sampai licin...ngeri okeh!...haha, kalau anda ada masa dan ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya di sini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram mentega berkualiti tinggi (scs, anchor, golden churn, emborg)
150 gram gula kastor (che mat guna 100 gram)
10 kuning telur gred A
1 camca teh esen durian (che mat tak letak)
1 cawan isi durian*
100 ml susu segar*(*dikisar halus)
200 gram tepung Hong Kong
50 gram tepung jagung
7 putih telur
150 gram gula kastor
Pewarna makanan pilihan anda

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar putih telur hingga berbuih, kemudian masukkan gula kastor (150 gram) sedikit demi sedikit hingga habis dan terus putar hingga putih telur kembang dan bertanduk. Sementara itu, satukan tepung Hong Kong dan tepung jagung dan diayak. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga putih, masukkan kuning telur satu persatu sambil terus diputar hingga adunan kembang. Tambah isi durian yang telah dikisar dengan susu segar tadi, dan putar sebati.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit hingga habis, gaul rata. Masukkan 1/3 bahagian putih telur dan gaul rata dengan spatula, kemudian masukkan 1/3 bahagian lagi dan baki putih telur. Gaul hingga rata.
  4. Panaskan oven pada suhu 190C, lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci  3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lanser juga kertas tadi. Masukkan tin ke dalam oven dan biarkan selama 10 minit.
  5. Untuk adunan kek, terpulang pada anda sama ada nak buat beberapa warna atau satu warna sahaja. Kalau anda guna satu warna, che mat cadangkan anda guna kaler kuning. Gaul rata dan ketepikan.
  6. Keluarkan tin dari oven, sudukan 4 camca besar adunan kek lapis, ratakan dan bakar 10 minit atau hingga permukaan keperangan. Keluarkan dan tekan perlahan dengan penekan kek lapis. Sudukan lagi 4 camca besar adunan dan ratakan. Masukkan ke dalam oven. Kali ini tukar api oven kepada fungsi grill dan turunkan suhu kepada 165C (bergantung pada oven masing2). Bakar hingga keperangan, keluarkan dan tekan perlahan dengan penekan kek lapis. Lakukan keadah sama hingga adunan habis dan lapisan terakhir, bakar guna api atas bawah selama 10 minit.
  7. Bila kek masak, keluarkan dari oven dan sejukkan kek sekejap dalam tin ( 10 minit), boleh keluarkan kek dari tin. Biar kek betul2 sejuk sebelum dibungkus dan simpan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama....Selamat mencuba!!.


Tuesday, July 7, 2015

KEK LAPIS ASAM MANIS.

rsz_klam
Assalammualaikum, salam semua, hari ni 20 Ramadan dan che mat pun masak yang simple2 saja. Jadi tak perlulah letak kat blog kalau setakat masak, sambal tumis sotong, asam rebus nenas ikan masin dan ulam2man. Tapi hari ni che mat dah mula projek melapis untuk lebaran nanti. Semalam dah bikin kek kukus, alhamdulillah, selesai satu dan kini bermula melapis kek pulak. Seperti biasa, setiap tahun sejak che mat mula melapis, kek lapis asam manis memang menjadi satu kemestian dan ia menjadi salah satu kek lapis yang tercepat habisnya. Resipi asal kek ini che mat dapat dari Bro Rozzan dari Singapura yang boleh dikatakan pakar melapis kek. Kek lapis boleh dikategorikan kek yang begitu 'mewah' dan tersendiri. Membuatnya perlu kesabaran dan masa yang diperuntukkan untuk sebiji kek lapis agak lama. Apa keseronokkan bila membuat kek lapis?..Pada che mat, paling seronok masa anda potong kek tu, dan ketika itu kelihatan lapisan2 yang begitu cantik tersusun. Walaupun resipi memang dah ada dalam blog, tapi che mat kongsikan resipinya di sini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
450 gram mentega berkualiti tinggi (scs. anchor, golden churn, emborg)
150 gram gula kastor (che mat letak 130 gram)
10 biji telur gred A
300 gram biskut marie (che mat guna brand Munchy's)
300 gram susu pekat manis (che mat guna 200 gram)
85 gram seri kaya (che mat guna kaya Yeo's)
1 camca teh esen vanilla
2 paket asam manis (1 paket ada 10 bungkus)
Pewarna makanan pilihan anda (che mat guna warna merah, hijau dan kuning)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kisar biskut marie hingga halus dan ayak. Asam manis dileraikan dan ketepikan. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi dan ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga putih. Masukkan telur satu persatu sambil diputar hingga kembang. Masukkan seri kaya, susu pekat manis dan esen vanilla, putar hingga sebati. Perlahankan kelajuan, masukkan biskut marie yang dikisar tadi sedikit demi sedikit hingga habis dan putar hingga semua rata.
  3. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan setiap satu dengan warna hijau, kuning dan merah, kacau hingga rata. Masukkan tin kosong ke dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C, biarkan 1 - 2 minit. Keluarkan tin dan sudukan 4 camca besar penuh salah satu adunan kek yang telah anda warnakan tadi (che mat mulakan dengan warna kuning). Ratakan.
  4. Bakar 6 - 7 minit hingga permukaan sedikit keperangan. Keluarkan dari oven, tekan perlahan dengan penekan kek lapis dan sudukan 4 camca besar lagi adunan warna yang sama. Kemudian susun asam manis. Masukkan kembali ke dalam oven dan kali ini tukar api oven pada fungsi grill dan turunkan suhu kepada 160C. Bakar hingga permukaan kek keperangan.
  5. Keluarkan kek, jika ada gelembung udara, cucuk dengan lidi sate bersih, kemudian tekan perlahan dengan penekan kek lapis. Untuk lapisan seterusnya guna warna lain pula dan keadah membakar sama seperti mula2 tadi. Setiap 2 lapisan warna sama, anda susunkan asam manis. Buat hingga siap dan untuk lapisan terakhir, bakar dengan api atas dan bawah selama 10 minit. Keluarkan dari oven dan sejukkan sekejap sebelum anda keluarkan kek dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan...
CATATAN MAT GEBU :- Untuk memudahkan anda menyimpan, che mat sarakan kek tadi setelah betul2 sejuk, anda potong kepada 4 bahagian, kemudian bungkus setiap satu dengan plastik cling, susun dalam bekas dan taruk dalam peti sejuk. Ini memudahkan anda jika perlu, anda hanya ambil 1 bahagian dan potong untuk dihidangkan, tak de lah nak kena keluarkan seketul besar, potong kemudian simpan. Kena 4 - 5 kali macam tu, kek pun jadi tak senonoh, dah asyik bukak kemudian bungkus... Harap ia berguna untuk anda di lebaran nanti....Selamat mencuba!!....



RAMADAN 19 : KUEY TEOW DAGING UNTUK CHE MAT

rsz_kueteow_daging
Assalammualaikum salam Selasa semua. Hari ni baru dapat nak tengok blog dan nak update entri. Malam tadi dah nak update sebenarnya, tapi disebabkan lepak gilerr, sampai tertidur. Semalam che mat tak masak nasi dan berbuka pun benda yang agak simple dan cepat dimasak. Penat leer kalau 365 hari tak non-stop cooking...phewww, cram ok kakidok berdiri. Kalau dekat2 nak raya lagi penat, kita lah bibik, kita lah butler dan kita juga tuan rumah, bersabar aje lah kan. Kue teow daging ni amat senang dimasak, janji ada dahging. Kucai habis pulak, jadi che mat tak taruk. Kalau nak tunggu kucai bagai, nampak gayanya tak bukak puasa leer. Che mat guna kurang lebih 300 gram kue teow dan selalunya, kue teow  che mat taruk dalam tapis,cuci bawah air paip yang mengalir dan terus masukkan ke dalam kuali yang dah siap perencah. Kalau cuci awal2, nanti kue teow melekat2. Menu ini sesuai kalau nak bikin masa sahur. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
300 gram kuey teow
200 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan*
1 camca teh lada hitam tumbuk*
1/2 camca teh Maggi Seasoning*
Beberapa titik minyak bijan (optional)*(*disatukan dan perap 15 minit)
2 genggam taugeh
2 ulas bawang putih, cincang halus
6 biji cili padi, cincang halus
2 camca besar sos tiram
1 camca besar sos cili
Sos ikan secukup rasa (boleh ganti dengan kicap cair)
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili padi dan kacau rata. Tambah sos tiram dan masukkan daging. kacau dan masak 5 minit. Masukkan sos cili dan air. Kacau rata.
  2. Cuci kuey teow bawah air paip, toskan dan masukkan ke dalam kuali, gaul hingga rata. Renjiskan sedikit sos ikan atau secukup rasa. Kacau dan akhir sekali masukkan taugeh, Gaul rata dan masak sekejap. Boleh matikan api, tabur hirisan daun bawang sebagai hiasan dan boleh hidangkan..


Monday, July 6, 2015

BISKUT RAYA 6 : BISKUT SEMPERIT CINTA SAKTI

rsz_semperit

Hari ni che mat kongsikan dengan anda biskut raya yang che mat buat tempoh hari. Biskut semperit cinta sakti. Sebenarnya takde lah sakti sangat, saja aje taru nama tu. Asal2nya biskut semperit biasa, tapi setelah che mat tepekkan hiasan bentuk cinta, terus ku taruk nama 'cinta sakti', biar sapa yang makan terus teringat2 'mat gebu'....haha. Ini resipi biasa saja. Setiap tahun tiada apa sangat perubahan, semua biskut yang sama. Satu tebiat che mat, tak suka biskut2 yang leceh dan yang kena drizzle coklat bagai. Aku suka yang simple dan tak banyak karenah. Tu pasal bila ada orang nak oder biskut raya, awal2 kata tak nak, sebab tahap kesabaran nak mentenkan kejelitaan biskut, memang takde dalam diri. Jadi anda kena lah faham. Setakat nak kongsi resipi biskut yang telah che mat cuba dan rasa,  itu memang tugas sebagai ku sebagai bloger masakan...

SEMPRIT CINTA SAKTI
Untuk acuan semperit ini anda boleh guna beberapa corak dan acuan dia ada 2 jenis, satu guna pam, satu lagi tekan guna ibu jari. Terpulang pada anda nak guna yang mana satu. Dan acuan yang diperbuat dari tembaga  (jenis yang tekan guna jari) dan plastik yang guna pam. Masa anda paipkan adunan dalam dulang pembakar, jangan rapat sangat kerana ia akan mengembang bila dibakar. Jika suka, anda boleh juga warnakan adunan semperit, guna 2 jenis warna berbeza untuk mendapat corak marble. Biskut ini jenis senang dibuat, dan tak ambil masa lama untuk disiapkan. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram mentega (che mat guna jenama emborg)
1 kuning telur
150 gram gula aising (che mat guna 130 gram)
250 gram tepung red rose (che mat guna tepung gandum)
150 gram tepung kastard (che mat guna Bird Custard)
30 gram tepung jagung
1 camca teh esen vanilla
Hiasan bentuk cinta, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 170C, sediakan dulang pembakar, che mat tak sapu apa2 pada dulang pembakar, tapi anda boleh saja nak sapu dengan sedikit mentega atau alaskan dengan kertas minyak. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, masukkan kuning telur dan putar rata, jangan sampai kembang. Sementara itu satukan tepung red rose, tepung kastard dan tepung jagung, gaul rata dan ayak.
  3. Perlahankan kelajuan mesin, dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis dan adunan menjadi doh yang lembut. Masukkan dalam acuan semperit dan tekan atas dulang pembakar. Buat kurang lebih 2 inci panjang, pastikan anda jarakkan, buat hingga siap dan hias dengan sebiji hiasan bentuk love atas setiap biskut.
  4. Bakar selama 15 - 20 minit atas hingga masak, biarkan sekejap atas dulang pembakar untuk 3 - 4 minit, boleh dialihkan atas jaringan dan biar sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara...Selamat mencuba!

Sunday, July 5, 2015

RAMADAN 18 : LEMAK REBUNG IKAN MASIN..

rsz_rebung_ikan_masin (1)
Assalammualaikum, salam 18 Ramadan. Hari ni agak meletihkan, dari pagi che mat bangun sampai jam 6.30 petang baru dapat rehat sekejap. Tegang dah urat betis. Apa2 pun syukur alhamdulillah, puasa tahun ni che mat masih diberi tenaga dan kesihatan, dan dah 18 hari puasa, bibir masih ok tak mengelupas. Kalau tahun2 sudah, 10 hari puasa saja, bibir mula kering dan mengelupas. Hari ini mungkin hari terakhir che mat bikin biskut raya. Esok masa untuk buat kek pulak. Hari raya pada che mat kalau takde kek dan biskut umpana bukan hari raya. Yelah, macam che mat kan duduk dengan mak ayah, maka boleh dikatakan ramai juga tetamu akan datang, dan takkan lah kosong saja di meja santapan yea tak. Hari ni untuk menu berbuka puasa, che mat masak lemak rebung ikan masin yang menjadi kegemaran Bak. Che mat sebenarnya tak kesah, benda2 simple pun dah cukup untuk berbuka, janji ada air. Tapi yang penting kena masak ikut selera mereka yang nak berbuka. Resipi mudah saja dan sebab Bak tak tahan pedas, che mat guna 10 biji cili padi kampung, ambik rasa saja. Resipi seperti berikut..

BAHAN - BAHANNYA :-)
Rebung madu secukupnya (kurang lebih 500+ gram), yang telah siap direbus, toskan
3-4 ketul tulang ikan masin kurau, dibersihkan dan rendam 1 jam
2 batan serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi hijau
1 1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan rebung ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus dan serai. Kacau rata dan tuang santan cair. Masak atas api hingga mendidih. Tambah asam gelugor dan masak lagi hingga rebung betul2 lembut. Tambah air jika perlu.
  2. Toskan tulang ikan masin kurau, cuci sekali lagi dan masukkan ke dalam periuk. Tuang pati santan dan kacau rata. Biar mendidih. Masukkan daun kunyit dan perasakan dengan sedikit garam (anggaran 1 camca teh) dan sedikit gula (anggaran 1/2 camca teh). Masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Masak untuk 2 - 3 minit lagi, dan boleh matikan api...Hidangkan semasa berbuka puasa bersama nasi dan telur dadar..


Saturday, July 4, 2015

RAMADAN 17 : ASAM PEDAS IKAN PARI....ANDA SUKA?

rsz_asem_ikan_pari
Salam semua, masak apa untuk berbuka puasa nanti?..Hari dah masu 17 Ramadan, dan che mat pasti ada yang mula kurangkan aktiviti memasak dan beralih pada kegiatan menggentel biskut raya pulak, yea dak?. Che mat pun tadi baru siap buat sejenis lagi biskut raya..pheww, panas sehh cuaca, rasa berpinau mata. Asam pedas dan che mat berpisah tiada, nampak tak kats itu?. Dan hari ni moh kita masak asam pedas ikan pari campur sawi jeruk. Ini baki ikan pari yang che mat bakar tempoh hari. Bulan2 puasa ni bukan boleh masak banyak, sederhana pun cukup dah, itu pun kadang2 tak habis. Ada asam pedas, goreng telur dadar dan ulam timun, sudah mencukupi, Kalau nak cicah roti atau lempeng pun boleh. Teringin nak masak asam pedas untuk berbuka puasa hari ni?...Che mat kongsikan resipi mudah seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping ikan pari, kurang lebih 400 gram
3 kelopak sawi jeruk
1 batang serai, diketuk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 senduk penuh cili kisar
1/2 kiub pati ikan bilis
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca besar pes asam jawa
1 camca teh rata lada hitam, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN - BAHAN TUMBUK HALUS :-)
6 bijibawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, cuci bersih. Perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, kemudian cuci kembali dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil dan direndam. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam periuk. Tumis bahan2 tumbuk halus, serai dan serbuk kunyit hingga harum, guna api kecil dan kacau selelau. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga naik minyak. Tambah pes asam jawa, kacau dan tuang air. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan ikan pari dan sawi jeruk (tos dan perah sedikit). Kacau rata, masukkan kiub ikan bilis (jika guna), lada hitam tumbuk, bunga kantan dan garam secukup rasa. Kacau dan masak dengan api sederhana (tambah air jika kurang kuah). Matikan api dan boleh hidangkan sebagai juadah berbuka puasa anda...Selamat Mencuba!


BISKUT RAYA 5 : BISKUT DAHLIA .

rsz_dahlia
Assalammualaikum, semalam che mat bikin biskut Dahlia. Ada juga yang panggil semperit, tapi bagi kami, semperit tu bisku bentuk lain. Kalau yang ni Dahlia. Ada macam2 resipi dalam internet dan ada juga semperit susu, tapi che mat tak pernah cuba,  Biskut dahlia ini che mat telah guna resipi yang sama sejak bertahun2 dulu. Biskut dahlia boleh dikategorikan dalam jenis biskut yang 'kaya' atau senang cakap, sedara mara butter cookies sebab penggunaan mentega. Dan guna mentega yang bermutu untuk mendapat rasa keharuman dan kelemakkan biskut dahlia ini. Untuk biskut dahlia, che mat tak guna esen vanilla, tapi che mat guna esen rose yang bila anda bakar akan memberi bau yang sungguh nostalgia, terkenang zaman dulu2 era guna oven hitam cap kupu2 yang ditenggekkan atas dapur tu. Satu lagi che mat tak boleh nak agak berapa anda akan dapat untuk satu adunan, sebab biskut dahlia che mat ni jenis 'gagah perkasa', tengok saiz dia dah macam kerongsang, besar!...Apa2 pun resipi ini in sha Allah akan menghasilkan biskut dahlia yang sedap....Resipi seperti berikut.

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram mentega (che mat guna EMBORG)
140 gram gula aising, diayak
2 kuning telur
3-4 titik pewarna kuning makanan
1/2 camca teh esen rose (boleh guna esen vanilla)
240 gram tepung gandum*
100 gram tepung jagung*
160 gram tepung custard*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
Ceri merah dipotong kecil untuk hiasan

dahlia1
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, jangan sampai kembang. Masukkan kuning telur satu persatu dan putar. Masukkan juga pewarna kuning makanan dan esen rose. Perlahankan kelajuan mixer, masukkan tepung yang telah diayah tadi sedikit demi sedikit hingga habis. Doh agak lembut sedikit. Ketepikan.
  2. Sedikan dulang pembakar, che mat tak sapu mentega, biarkan macam tu saja. Isikan doh dalam acuan penekan yang dipasang muncung biskut dahlia. Kemudian tekan dalam dulang tadi, pastika anda jarakkan seperti dalam gambar. Buat hingga siap dan hiaskan atasnya dengan ceri merah yang dipotong dadu.
  3. Panaskan oven pada suhu 170C selama 10 minit. Kemudian bakar bisku dahlia 20 - 25 minit. Pastikan lepas 10 minit, anda pusing2kan dulang pembakar untuk biskut masak sekata. Bila biskut masak, keluarkan dari oven dan biarkan dalam dulang selama 5 minit. Kemudian sejukkan ke jaringan dan boleh simpan dalam bekas kedap udara...Selamat mencuba!

Friday, July 3, 2015

RAMADAN 16 : TERUNG BERLADO, YANG RINGKAS...

rsz_terong_berlado
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat baru dapat nak tengok blog sendiri. Semalam betul2 sibuk seharian. Masak pun lewat petang dalam jam 6.10 petang. Nasib baik bahan2 mentah dah siap awal sebelum che mat keluar. Balik tu bergegas masak tapi sayang nak ambil gambar cuaca dah mula gelap. Maka takde lah entri untuk Ramadan 15. Kalau anda nak tau menu apa semalam, che mat masak ayam masak kicap campur kentang, asam rebus batang keladi sama ikan masin, sambal belacan buah kuini dan lain2 lagi tapi semua yang simple2 saja. Hari ni pun che mat keluar atas urusan. Cuaca di bandar Johor Bahru, punya lah panas berdenting, tengok air laut pun seakan2 air tebu!..jangan tatau. Dan sampai rumah dalam jam 3.00 petang, che mat terus masak. Dan salah satu menu kegemaran che mat dah pasti terung berlado yang senang dimasak, sedap pulak tu. Sesuai untuk berbuka dan bersahur. Nak resipi?, ok jomm kita lihat di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji terung ungu
4 biji cili merah
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras, hiris
1/2 camca teh pes asam jawa
1 camca besar rata gula pasir
1/2 camca teh sos ikan (atau boleh guna garam)
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dicuci, kemudian hiris serong sederhana tebal. Gaul dengan sedikit garam. Panaskan non-stick pan, tuang 3 camca besar minyak masak dan ratakan. Taruk terung dan goreng dengan api kecil hingga terung lembut. Terbalikkan dan masak sekejap lagi. Angkat dan susun dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Untuk sambal pulak. Siapkan lesung batu, tumbuk bawang merah, bawang putih dan buah keras hingga lumat. Patah2kan cili merah dan masukkan ke dalam lesung batu. Tumbuk hingga hancur, tak perlu sampai halus. 
  3. Panaskan 3 camca besar minyak, kemudian tumis bahan2 tumbuk tadi hingg harum, gunakan api kecil. Tambah pes asam jawa, gula dan sos ikan. Kacau rata dan masak hingga kering. Tuang atas terung tadi, ratakan dan hias dengan hirisan daun bawang. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain....Selamat mencuba!


Thursday, July 2, 2015

BISKUT RAYA 4 : BISKUT SENYUM, TRADISI BERKEKALAN..

rsz_beskot_senyum
Salam semua, hari ni che mat kongsikan biskut yang che mat bikin semalam. Sekali pandang anda dah tau apa biskut ini. Ia menjadi satu biskut wajib setiap tahun di rumah che mat. Dan tradisi membuat biskut senyum ini sudah diamalkan sejak bonda che mat muda belia lagi. Kata bonda bentuknya memang asal2 bulat, digolekkan dengan kelapa kering dan dihias dengan setoet ceri merah diatasnya. Sejak che mat mengambil alih membuat biskut setiap kali menjelang lebaran, biskut senyum pasti ada. Buatnya senang dan hasilnya, sedap, dan lesap dimulut. Satu rahsia yang che mat perhatikan, Adunan biskut senyum sedikit berbeza dari biskut biasa. Ia seakan2 kita membuat pastry rapuh. Mentega diletak kemudian sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang lembut. Tapi adunan tidak boleh diadun terlalu lama hingga berminyak. Apa2 pun ini satu biskut yang penuh kenangan, penuh nostalgia dan menjadi keutamaan....Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram tepung jagung (kalau boleh guna jenama Brown & Polson / cap kupu-kupu)*
150 gram tepung gandum*
1/2 camca teh rata baking powder*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
80 gram gula aising, diayak
1 cawan kelapa kering
1 kuning telur gred A
1 camca teh esen vanilla
Mentega secukupnya (kurang lebih 250 gram)
Ceri merah, dipotong kecil, untuk hiasan
Kelapa kering untuk menyalut biskut

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kelapa kering digoreng tanpa minyak dengan api kecil selama 3 - 4 minit sambil dikacau sentiasa. Sejukkan kemudian kisar halus dan gaul rata dengan tepung yang telah diayak tadi. Ketepikan.
  2. Putar gula aising dengan kuning telur hingga berkrim. Masukkan esen vanilla dan kacau rata. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung + kelapa kering tadi sedikit demi sedikit hingga habis, adunan akan menjadi seakan2 serbuk roti.
  3. Sudukan mentega sedikit demi sedikit, hingga adunan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan. Matikan mesin. (berkemungkinan mentega tidak habis diguna). Tutup aduna dengan tuala dapur lembap untuk mengelakkan doh kering.
  4. Ambil sedikit adunan (kurang lebih 1 camca teh) dan bulat2kan seperti guli. Golek2kan dalam kelapa kering dan susun dalam dulang pembakar, buat hingga siap. Kemudian hias dengan ceri atasnya dan tekan sedikit. 
  5. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C, selama 20 - 25 minit, bergantung pada oven masing2. Pastikan anda pusing2kan dulang pembakar selepas 10 minit, tujuan untuk biskut dibakar sekata. Sejukkan biskut atas dulang sekejap sebelum dialih atas jaringan. Simpan biskut dalam bekas kedap udara.....menghasilkan kurang lebih 100 biji biskut senyum (^__^) 


Wednesday, July 1, 2015

MERCUN....BUKTIKAN ANDA 'JANTAN' SEJATI?...

Salam semua, saban tahun bila masuk bulan Ramadan, mesti pahlawan2 dan pendekar2 melayu terakhir muncul menunjukkan kegagahan dan ke jantanan masing2 yang maha bodoh, bebal lagi baghal. Tengok aje lah baru2 ni, kes putus jari tu belum lagi kes buta mata, tunggu aje lah seminggu dua ni, garenti ada. Bukan nak kutuk bangsa Melayu lah yea, terutama budak2 yang akal masih belum cukup bersambung dan ada tu terlebih bersambung sampai oter mercun untuk nak dapatkan letupan paling terpower dalam Malaysia. Sebenarnya mereka saja menempah kecelakaan untuk diri sendiri, menyusahkan orang, menyusahkan mak bapak. Bayangkan bila dah kudung, buta...apa kerja boleh buat?...esok2 berterabur dalam media2 mintak bantuan...helloo...banyak lagi orang susah yang boleh dibantu dari bantu engkau tu yang mencacatkan diri sendiri. 

Masalahnya di sini, mereka tak serik2, tak pernah nak ambik ikhtibar dari kes2 sebelum ni. Ada satu kes tahun bila tu aku tak ingat sangat lah, tapi pasal mercun2 ni juga lah meletup sampai ada yang tercampak dan tersangkut kat pokok..dengar memang lawak, tapi mati ok, tersadai kat pokok....haishh..Aku pun sebenarnya tak nak lah bebel sangat pasal mercun2 ni, sebab diluar bidang kuasa aku, betul tak, cuma geram, orang kita ni sebenarnya otak tu bijak, tapi kebijaksanaan disalurkan pada kerja2 yang bangang. 

Cuma aku nak tanya, perlu ke nak main mercun? Tak de apa yang bess pun, setakat meletup gitu2. Kalau nasib tak baik meletup kat tangan, tapi kan yang meletup kat tangan tu yang lagend, boleh masuk TV dan surat khabar...glamer sehhh!!. Meh sini nak cerita sikit. Aku dulu masa kecik main gak mercun, apa ingat aku masak2 ni tak de main mercun, bunga api bagai?..Ada beb!....sampai nak terbakar rumah pun ada...nko orang mampu? Tapi tobat lepas tu, tak main mercun dah. Cuma tu jam kita orang main tidak lah sampai cacat cela macam budak2 sekarang ni. Seelok2nya buat lah kerja berfaedah, nak uji kejantanan, tak payah main mercun kuat2, nko sulam kasut manek pun still boleh nampak jantan yang memikat, jangan tatau. Lagi satu, kalau kawan2 'setan jadian' yang ajak anda main mercun, jangan di layan. Esok2 kudung, ada kawan tu nak kongsi jari dia dengan nko?...takde kan. Cuma nasihat aku yang dah tua ni, kalau terniat nak main mercun, lupakan sajalah....malang tak berbau macam bau kentot ke atau bau durian. Apa2 pun terima kasih lah sudi baca, walaupun aku tau tulisan aku ni macam kapal dilambung ombak...berterabur, bersepai!!....

RAMADAN 14 : SARDINE TUMIS BELIMBING BULUH

rsz_saardine
Assalammualaikum, menu berbuka puasa che mat untuk 14 Ramadan ini amat mudah dan ringkas. Hanya nak makan saridine yang ditumis kemudian campakkan belimbing buluh. Kadang2 tekak ni bukan nak makan benda yang terlalu susah nak masak, sardine pun dah cukup bess sangat. Tuang kicap lemak manis Jalen sikit...nikmatnya. Seperti biasa, sardine pilihan che mat tentulah cap ayam, selain tu che mat suka satu jenis lagi jenama 'Pertima" yang dari Terengganu tu. Biasanya che mat suka sardine dimasak pedas dan lebihkan halia, selain ditambah serai dan bunga kantan. Sebab dah taruk belimbing buluh, maka che mat skip asam, dan untuk asam selaluya guna jus limau kasturi atau limau nipis. Satu lagi che mat suka masukkan sedikit kicap cair untuk menggantikan garam. Apa2 pun cara memasaknya semua bergantung pada anda. Sesuai juga untuk bersahur nanti. Tak reti masak sardine?...jomm kita masak sama2..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin sederhana sardine cap ayam atau sebarang jenama sardine pilihan anda
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
3 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, diketuk
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 batang serai, diketuk
6 biji cili padi, belah 2 setiap 1
5 - 6 biji belimbing buluh, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 camca besar sos cili
2 camca besar cili kisar
Garam secukup rasa
1/2 cawan air
Sedikit hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak masak, tumis bawang putih, halia dan serai hingga harum. Masukkan cili kisar dan sos cili, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masukkan sardine bersama sosnya, kacau dan tuang air dan biar mendidih.
  2. Masukkan bawang besar, cili padi dan bunga kantan. Perasakan dengan 1/2 camca teh garam dan kacau rata. Akhir sekali masukkan belimbing buluh, masak dengan api kecil hingga belimbing lembut. Matikan api dan tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas dan kicap JALEN....yum..yumm...


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.