BEN ASHAARI

Tuesday, June 30, 2015

TUMIS SAYUR CAMPUR ISI AYAM...

rsz_campur_sayur
Salam semua, bila bulan Ramadan, selalunya kita akan kurang berbelanja barang dapur terutama sayur-sayuran. Dan che mat sendiri bila beli kadang2 sampai berhari2 tak guna, yelah kita cuma nak guna sikit, tapi beli bukan boleh sikit, contoh macam capsicum, beli saiz paling kecil pun, guna cuma 1/2 biji, yang 1/2 lagi tu simpan dalam peti sejuk. Lama2 lupa terus kecut dan tak boleh guna, dah membazir. Harga pulak bukan murah, maka tadi siang che mat lakukan operasi pembersihkan, Macam2 ada termasuk 6 batang asparagus yang masih elok, phewww, selamat kalau terbuang dah rugi banyak, asparagus kan mahal. Ada juga sayur2 lain yang masih elok, che mat campur2kan semua dah jadi satu menu yang sedap...sedap ke?....haha, tentu lah, takkan nak kata tak pulak, dah sendiri yang masak. Tapi che mat suka masak macam ni, boleh ratah2 macam tu saja selain dimakan sama nasi. Kalau ikutkan resipi takde lah susah mana, bak kata orang Muo, resipi cempak2 ajer....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping dada ayam, potong dadu, cuci dan toskan*
1 camca teh serbuk lada sulah*
1/2 camca teh garam*(*digaul rata dan perap sekejap)
6 - 7 batang asparagus, kerat pendek
1/4 bahagian traffic light capsicum, dipotong dadu
3 batang putih jagung, hiris nipis
1/2 batang lobak merah, belah 4, hiris serong setiap 1 belahan
7 biji sweet pea, kerat 2 setiap 1
5 tangkai kacang buncis, potong pendek
2 kelopak kobis, potong kecil
1 camca besar sos tiram
1/2 camca teh lada sulah
1/2 camca teh garam atau secukup rasa
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/3 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum, masukkan sos tiram dan kacau rata. Tambah isi ayam yang telah diperap tadi, kacau rata dan masak hingga isi ayam berubah warna.
  2. Masukkan air,  lobak merah, putik jagung dan asparagus, kacau rata dan masak sekejap hingga sayur empuk tapi tidak terlalu lembik. Tambah sweet pea, kacang buncis, kobis dan traffic light capsicum. Kacau rata.
  3. Masukkan garam dan serbuk lada sulah, kacau rata dan masak 1 minit lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng kunyit, jika suka....Selamat mencuba!.


RAMADAN 13 : IKAN PARI BAKAR SAMBAL...

rsz_parie_bakar1

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tiba2 teringin nak makan ikan pari bakar yang dilumur dengan sambal. Tu hari dah bakar ikan pari style bodo2 aje, hari ni nak yang macam ni pulak, Tak susah buat dia, janji bahan2 cukup dan paling penting mesti ada daun pisang untuk dapat aroma yang enak. Che mat bakar dalam kuali ajaib ajer atau anda boleh bakar dalam non stick pan. Alah bakar atas dapur ajer, tak yah nak kotor2kan oven. Kalau rajin dan nak rasa lebih sedap, boleh bakar atas bara api. Che mat guna 3 keping ikan pari, kalau dapat pari tuka (ikan pari saiz kecil) lagi bagus. Sebab ikan pari yang ni jenis besar yang dibelah, maka che mat belah lagi biar nipis sedikit.

rsz_parie_bakar
Selain ikan pari, atau anda yang tak makan ikan pari, boleh guna ikan kembong, cencaru atau ikan tilapia. Di sebabkan ikan ini dah dilumurkan dengan pes sambal, jadi che mat cicah dengan kicap cili saja. Kalau nak cicah sambal air asam pun boleh, ikut selera masing2. Sedap dimakan bersama nasi panas dan semestinya diiringi dengan ulam2man. Resipi memang mudah dan anda boleh siapkan dulu sambalnya dan boleh guna bila2 masa diperlukan. Tapi pastikan sambal anda simpan dalam peti sejuk...Ok kalau teringin nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi mudah ini...Jommm!!

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 keping ikan pari (kurang lebih sebesar tapak tangan setiap satu)
3 helai daun pisang (saiz mesti 2 kali ganda dari besar ikan pari)
1/2 camca teh pes asam jawa
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar sos ikan
1 camca teh gula
3 camca besar air
Hirisan limau nipis untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras, hiris
1/2 inci belacan, dibakar
2 batang serai, hiris halus
4 biji cili merah

BAHAN - BAHAN KICAP CILI:-)
1 biji bawang besar, dicincang
10 biji cili padi, hiris kecil
1/2 biji limau nipis, perah jusnya
1/2 camca besar sos ikan
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca besar air masak

 CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PES SAMBAL :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah pes asam jawa, air, serbuk kunyit, sos ikan dan gula. Kacau sebati dan masak hingga naik minyak. Matikan api dan sejukkan sambal.
  2. UNTUK IKAN PARI BAKAR SAMBAL :- Ikan pari dibuang kulitnya, cuci bersih dan lap kering dengan tissue dapur. Kemudian lumur ikan dengan sambal tadi, pastikan anda lumur hingga rata. Perap 5 minit. Panaskan non-stick pan, ambil sehelai daun pisang dan sapu dengan sedikit minyak makan pada permukaannya (sapu pada bahagian daun pisang yang berkilat). Letak sekeping ikan pari, lipat dua dan taruk dalam pan. Buat kaedah sama untuk baki daun pisang dan ikan tadi.
  3. Bakar dengan api kecil selama 7 - 8 minit untuk setiap bahagian (bergantung pada ketebalan ikan pari yang anda guna). Terbalikkan dan tutup permukaan non stick pan dengan tudung periuk untuk mempercepatkan proses memasak (che mat guna kuali ajaib, jadi lebih senang). Bila isi ikan pari bertukar putih dan boleh ditarik, tandanya sudah masak. Hidangkan bersama cili kicap.
  4. UNTUK CILI KICAP :- Satukan semua bahan2 untuk cili kicap, kacau hingga rata dan boleh hidangkan bersama ikan pari bakar...Sedap dimakan bersama nasi panas...Selamat mencuba!!


BISKUT RAYA 2 : BISKUT OAT MOCHA

rsz_oat_nestum_cookies
Assalammualaikum, hari ni che mat kongsikan biskut ke dua yang che mat bikin semalam. Dah petang baru ada masa nak ambik gambar, dengan cuaca yang panas berdenting, nak suruh biskut pose comel2 pun macam dah tak kuasa, jadi che mat ambik yang mana sempat saja lah. Biskut ini mudah dibuat dan tidak lah berapa manis, rasa lemak2. Tapi kalau anda suka lebih manis sikit, boleh lebihkan penggunaan gula. Sebenarnya che mat tatau apa nak nak guna untuk hiasan atas biskut tu. Korek2 dalam freezer, jumpa rolled oat atau oat keping yang che mat beli tu hari, boleh ajer lah guna untuk hiasan, lagi pun dalam biskut ni memang ada oat yang dikisar halus. Adunan ini akan menghasilkan kurang lebih 160+ keping biskut, bergantung pada saiz acuan yang anda guna. Kalau acuan macam che mat tu, memang dalam 161 atau 162 keping, kalau acuan kecik, dapat lah lebih. Ok, jom che mat kongsikan resipinya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram mentega
160 gram gula aising, diayak
340 gram tepung gandum*
150 gram tepung jagung*
1 camca teh rata baking powder*(*digaul rata dan diayak)
60 gram quaker oat, kisar halus
60 gram nestum, kisar halus
2 biji telur gred B
1 camca teh perisa mocha
Kuning telur, untuk sapuan
Rolled oat untuk hiasan (atau boleh guna kuaci)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, masukkan telur satu persatu dan putar hingga rata. Sementara itu, satukan tepung yang diayak tadi bersama oat dan nestum yang telah dikisar halus, gaul rata.
  2. Masukkan perisa mocha ke dalam adunan dan putar sebati. Perlahankan kelajuan dan masukkan tepung yang dicampur oat dan nestum tadi sedikit demi sedikit hingga bancuhan menjadi doh. Jika doh terlalu lembut. Biarkan sekejap, ketepikan sebentar.
  3. Bagi doh kepada 4 bahagian dan tutup doh dengan tuala dapur bersih yang lembap (tujuan untuk mengelakkan doh masuk angin dan jadi keras). Ambil 1 bahagian doh, canai antara 2 lapisan plastik setebal 1/2 cm. Terap dengan acuan kegemaran anda dan susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  4. Sapu dengan kuning telur dan taburkan sedikit rolled oat atasnya, buat hingga siap dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C, selama 20 - 25 minit atau hingga keemasan (bergantung pada oven masing2). Bila masak keluarkan dulang dari oven dan biarkan 1 - 2 minti sebelum anda alihkan biskut yang telah masak ke atas jaringan. Sejukkan sepenuhnya dan simpan dalam bekas kedap udara...


Monday, June 29, 2015

RAMADAN 12 : BUBUR PULUT HITAM DURIAN

rsz_bubur_pulur_durian
Assalammualaikum, salam 12 Ramadan. Puasa tahun ni agak panas dan kering. Lama juga tak hujan kat kampung che mat ni, pokok semua mereket kalau lewat siram. Hari ni che mat masak bubur pulut hitam durian. Asalnya nak masak bubur kacang, tapi kesian kat Bak, dia kan ada gaot, ada kang bengkak kaki. Jadi che mat bikin bubur pulut hitam untuk bukak puasa hari ini. Tapi kan che mat kurang puas hati sebenarnya, nampak tak pulut tu, tak macam pulut hitam dulu, zaman che mat muda belia (ehh..bukan sekarang ni pun aku masih muda ke...errr...), pulut hitam tak kaler macam ni, dia kaler ungu pekat dan kemerahan. Mungkin juga pulut hitam yang ni gred tak bagus dan che mat perasan pulut dia macam ada campuran pulut putih. Di Johor, kalau kita bikin bubur pulut hitam, mesti ada santan pekat yang dituang semasa nak makan. Mungkin di negeri lain pun ada jugak. Pulut che mat rendam beberapa jam untuk cepatkan ia kembang masa direbus (kalau nak cepat, rebus guna periuk tekanan, 20 minit in sha Allah dah kembang). Ok, jomm kita bikin bubur pulut hitam durian..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan pulut hitam cuci bersih dan rendam  2 jam
1 biji durian saiz sederhana, ambik isinya
1 helai daun pandan, disimpul
1500 ml santan
250 ml pati santan*
1 camca teh tepung jagung*
1/2 camca teh garam*
1/2 cawan hirisan gula melaka
1/3 cawan gula pasir
2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pulut hitam ditoskan, kemudian rebus hingga pulut hitam kembang. Ketepikan sebentar. Sementara itu, satukan gula melaka, gula pasir dan 2 cawan air dalam periuk, masak hingga gula larut, tapis dan ketepikan.
  2. Masukkan pulut hitam ke dalam periuk bersama air rebusannya sekali. Tuang santan dan masuk air gula merah. Kacau dan masak hingga mendidih, jangan lupa masukkan daun pandan. Bila kelihata pekat, tambah isi durian, masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Ketepikan.
  3. Dalam periuk kecil, masukkan pati santan*, tepung jagung* dan garam*. Kacau rata dan masak atas api kecil hingga panas sambil dikacau sentiasa, tak perlu sampai mendidih. Matikan api dan biarkan sejuk, nanti santan akan jadi pekat.
  4. Cedok bubur pulut hitam durian ke dalam mangkuk sesuai, tuangkan sedikit santan pekat atasnya dan hidangkan. Sebelum makan, pastikan anda gaul rata santan dan bubur pulut hitam tadi. Boleh dimakan bersama roti, biskut atau begitu sahaja.... Selamat mencuba!!..


BISKUT RAYA 1 : BISKUT KELAPA MALAYA

rsz_biskut_kelapa_dulu2
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni 12 Ramadan, punya cepat masa. Sepatutnya dua hari lepas che mat dah on projek bikin biskut raya untuk tahun ni, tapi keadaan tak mengizinkan. Maka semalam che mat baru mulakan. Ada yang tanya che mat, tak boleh ke beli ajer kan mudah. Hurmm, macam ni, che mat bukan tak nak beli dan tak tau lah dalam masa2 akan datang jika dah tak larat nak menerap biskut atau dalam erti kata lain, dah malas, mungkin che mat beli aje lah. Tapi buat masa sekarang ni, in sha Allah masih ada semangat nak bikin biskut raya. Sudah menjadi tradisi sejak arwah nenek che mat ada lagi, dia akan bikin setiap kali lebaran (tapi masa tu kuih2 lebih kepada tradisi seperti kuih baulu, wajik, kuih kering, kuih putu dan dodol), kemudian bonda che mat pulak ambik alih dan sejak 20 tahun lebih rasanya che mat yang bikin biskut raya setiap tahun. Untuk biskut pertama yang che mat laksanakan semalam, kita cuba satu resipi tradisi. Biskut kelapa ini memang dari dulu lagi bentuknya bulat sabit. Masa tu terap tak guna acuan, tapi guna mulut gelas. Resipi che mat perolehi dari sini. dan kata bonda memang sama macam resipi yang dia bikin dulu. Sebabkan biskut ini agak nostalgia, maka che mat taruk nama Biskut Kelapa Malaya....

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram mentega
2 kuning telur (telur gred A)
150 gram gula aising (atau 130 gram gula kastor)
400 gram tepung sagu ubi*
70 gram tepung gandum*
1 camca teh penuh baking powder*(*disatukan dan diayak)
1 camca teh esen vanilla
2 cawan kelapa kering
Secubit garam (kalau guna salted butter, tak perlu taruk garam)
Kuning telur, dipukul sedikit untuk disapu atas biskut
Sedikit kelapa panggang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kelapa kering digoreng tanpa minyak hingga perang dan wangi, guna api kecil dan kacau sentiasa, berhati2 jangan sampai hangus. Sejukkan. Putar mentega dan gula aising hingga kembang. Masukkan kuning telur satu persatu sambil diputar hingga sebati.
  2. Masukkan garam (jika guna) dan esen vanilla, putar rata. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung yang telah diayak tadi berselang seli dengan kelapa. Putar hingga hingga menjadi doh. Jika adunan agak lembut, biarkan sekejap.
  3. Panaskan oven pada suhu 160C, bagi doh kepada 4 bahagian, ambil 1 bahagian. Tutup baki doh dengan tuala dapur bersih yang dibasahkan. Canai doh tadi setebal 1/2 cm, kemudian terap dengan acuan berbentuk bulan. Susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  4. Sapu dengan kuning telur dan taburkan kelapa panggang atasnya. Bakar selama 20 - 25 minit atau hingga masak. Keluarkan dari oven dan biar sekejap dalam dulang untuk 1-2 minit sebelum dialihkan atas jaringan. Biar sejuk dan simpan dalam bekas kedap udara...
CATATAN MAT GEBU:- Tips untuk mendapat biskut yang masaknya sekata, che mat akan pusing2kan loyang selepas 10 minit biskut dibakar, kemudian 5 minit lagi, pusingkan sekali lagi. Che mat guna api atas dan bawah, tapi dulang pembakar letak pada rak pertama atau kedua dari bawah, tapi ini semua bergantung pada oven yang anda guna. Resipi ini akan menghasilkan kurang lebih 200 biji biskut mengikut saiz acuan yang anda guna....Selamat mencuba!


OMG FEST ALL STAR, NIKMATI DISKAUN HINGGA 80%!


Salam semua, diam tak diam lebaran dah makin hampir. Pasti ramai yang mula sibuk merancang keperluan untuk hari raya nanti. Ada masa kita culas juga nak beli barang-barang keperluan lebaran, maklumlah kesibukkan melanda, terutama mereka yang bekerja. Dan che mat ingin kongsikan dengan anda satu benda yang bess. Buat julung kalinya OMGFest Ventures akan menganjurkan "OMGFest! All star Ramadan Mega Raya Sales" pada 8 - 10 haribulan Julai 2015 bertempat di Dewan Kristal TM Convention Center, Menara TM Bangsar KL, bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Apa yang menariknya?...Dijangkan lebih 50 "top vendor" terdiri dari usahawan-usahawan akan bersama-sama menjual produk mereka. Dan pastinya harga jauh lebih murah dari pasaran sempena Syawal yang akan datang. Bukan itu saja.....

(sidang akhbar OMGFest All Star)
Artis-artis ternama turut terlibat untuk memeriahkan bazar ini. Antara ialah  Dato' AC Mizal, Dato' Aliff Syukri (terlajak larisss!!), Mila Jirin, Iffa Radziah, Zarina Zainuddin, Enot. Catriona Ross dan Zureda. Kalau anda nak cari pakaian seperti jubah wanita dan lelaki, tudung dan lain-lain lagi, ini lah masanya. Pilihan meluas dan akan diadakan juga pertunjukkan fesyen, tutorial dan demo eksclusif dari Dato' Aliff Syukri, pengasas produk Dherbs. Bazar ini juga turut mendapat liputan dari PeaceyallFm.com selaku Rakan Media  - Official Online TV Radio....menarik kan, kena pergi ni!..

Dan bagi mereka yang kaki business, OMGFest All Star ada penambahan 10 booths untuk anda yang berminat nak jual produk anda. Sekarang ni kan orang kita dah mula hebat berniaga dan ini salah satu cara nak memperkenalkan produk-produk yang anda niagakan. Bayangkan tiba-tiba Dato' Aliff Syukri atau artis-artis hebat singgah ke booth anda dan beli barang-barang yang anda jual, tak ke 'terlajak lariss' namanya tu....Apa lagi jomm lah......Sebarang pertanyaan mengenai booth, anda boleh hubungi no seperti berikut...

ENQUARY : 011 2626 1656 atau 019 279 6275

EMAIL : BOOKING@OMGFEST.MY

INSTAGRAM : @omgfest2014

Jangan lupa sebut nama Che Mat Gebu dari blog TiffinBiru jika anda menempah booth tadi (^__*)\/ , terima kasih....


Sunday, June 28, 2015

RAMADAN 11 : MANGGA ASAM BOI

rsz_asam_mangga
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni masuk 11 hari kita berpuasa, cuaca memang agak terik sekarang ni. Jam 8 pagi dah panas. Malam pulak tidur kurang selesa dan terpaksa hidupkan pendingin hawa. Hari ni juga che mat dah mulakan projek biskut raya. Sepatutnya semalam dah mula buat, tapi pagi tu che mat sakit kepala, terus batal. Agak2nya biskut apa lah kan che mat buat...ehem, nanti2 kita kongsikan. Entri hari ni che mat saja2 taruk mangga asam boi. Buah mangga baki yang che mat masak gulai semalam dah mula nak kuning. Dan tempoh hari masa che mat berjumpa YAM Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar, Tunku bermurah hati beri che mat beberapa buah tangan dan salah satunya sebungkus asam boi, dan che mat gunakan untuk bikin mangga asam boi, ehem, rasa tak sabar kan...Takpe masa berbuka puasa nanti kita makan yea. Ada sesiapa yang tak reti nak buat?...Meh che mat kongsikan resipinya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2-3 biji buah mangga yang mengkal (tidak terlalu muda)
4 - 5 biji asam boi (che mat hiris sikit asam boi tadi)
3/4 camca besar gula pasir
1/2 camca teh garam
4 - 5 biji cili padi, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  • Buah mangga dikupas, kemudian hiris sederhana tebal. Masukkan ke dalam belas dan tambah asam boi, gula, garam dan cili padi. Gaul rata dan simpan dalam peti sejuk untuk beberapa jam atau nak lebih sedp, simpan semalaman. Boleh hidangkan...Selamat mencuba!


Saturday, June 27, 2015

RAMADAN 10 : LEMAK CILI PADI DAGING SALAI SAMA MANGGA MUDA

rsz_mangga_muda_gulai_daging
Assalammualaikum, salam 10 Ramadan. Hari ni che mat kurang sihat sikit, sakit kepala dan sepatutnya hari ni che mat dah mula bikin biskut raya, tapi itu lah, apa2 yang kita rancang ni bukan selalunya betul2 menjadi, semua dengan izin Allah swt. Dan untuk berbuka puasa hari ni, che mat masak daging salai sama mangga muda. Daging che mat panggang dalam kuali ajaib saja. Tapi kalau anda ada kerajinan, boleh salai atas bara api untuk mendapat aroma yang lebih tradisonal. Mangga muda guna dalam 2 biji, tapi ikut saiz buah mangga yang anda guna. Kalau saiz comel, guna 3 biji pun boleh. Yang penting mesti muda atau yang mengkal2 pun boleh. Che mat guna 450 gram daging batang pinang. Gunakan api kecil semasa menyalai daging. Kemdudian hiris dan kalau suka anda boleh ketuk2 sikit hirisan daging tadi, tapi jangan sampai hancur pulak, sekadar memar2kan aje. Tujuan nak kasi daging lebih lembut. Ini salah satu resipi tradisi orang2 Negeri Sembilan. Selain mangga muda, buah bacang muda pun sedap dan wangi. Kalau anda bercadang nak masak esok, meh kita semak resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
450 gram daging batang pinang, cuci bersih dan toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan gaul rata, perap sekejap)
2 biji mangga muda (bergantung pada saiz)
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat (kalau besar, guna 1 saja)
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi (boleh kurangkan)
2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Salai atau panggang daging tadi hingga masak pada kedua2 bahagian. Anda boleh pilih samada nak panggang/salai atas bara api atau atas kuali non-stick, macam kuali ajaib yang selalu che mat guna. Sejukkan daging, kemudian hiris nipis lebah2. Kalau suka anda boleh ketuk2 sedikit daging tu kasi leper. Kupas mangga muda, kemudian hiris kecil. Ketepikan.
  2. Masukkan daging salai yang telah dihiris tadi ke dalam periuk bersama2 serai titik, bahan2 kisar halus dan asam gelugor, kacau rata dan tuang santan cair. Masak hingg mendidih dengan api kecil, kacau sekali sekala.
  3. Tambah daun kunyit dan jika kurang kuah, anda boleh masukkan sedikit air. Tuang pati santan, kacau dan masukkan hirisan mangga muda. Masak dengan api kecil sambil dikacau sentiasa hingga mendidih. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas semasa berbuka atau bersahur nanti....Selamat berpuasa semua!!)..


Friday, June 26, 2015

RAMADAN 9 : TEH AIS PUDINA LIMAU NIPIS BERMADU


rsz_lime_tea
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni che mat masak yang ringan2 saja sebab ada orang kasi nasi ambeng untuk berbuka nanti. Jadi sebagai pengisian entri blog di puasa yang ke-9 hari ini, kita jamu mata dengan teh ais pudina limau nipis bermadu, dah 2 - 3 hari juga che mat bikin minuman ini untuk bukak puasa. Memang lega tekak, bertambah2 lagi. Nyaman sangat dengan haruman pudian, masam2 limau nipis dan lemak2 manis madu. Jangan lupa masukkan secubit garam dalam air teh untuk mendapat rasa lemak. Bagi anda yang tak gemar pudina, tak perlu letak, yelah nanti ada yang kata rasa macam ubat gigi pulak. Anda boleh bikin awal2 dan simpan dalam peti sejuk hingga waktu berbuka. Kalau kat rumah takde madu, boleh ganti dengan gula. Kalau takde limau nipis, boleh guna lemon atau limau kasturi. Buat dia memang senang, tapi biasalah jam2 puasa ni ada masa otak blurr, beku dan cenoneng. Meh che mat kongsikan resipi mudah ini...jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 uncang teh boh
500 ml air panas
800 ml air mineral
2 biji limau nipis
4 - 5 camca besar madu
Segenggam daun pudina
Ais kiub secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rendam uncang teh dalam air panas. Biarkan 30 minit. Kemudian, masukkan madu dan daun pudina kacau rata. Keluarkan uncang teh dan ketepikan. Masukkan pati teh tadi ke dalam air mineral, kacau rata. Tambah jus limau nipis dan kacau.
  2. Masukkan kiub ais dalam gelas sesuai (atau boleh guna mug saiz besar). Kemudian tuangkan air teh secukupnya. Jika suka boleh hias dengan hirisan limau nipis dan sedikit daun pudina. Sedia untuk dihidangkan semasa berbuka puasa.....Selamat mencuba!


Thursday, June 25, 2015

RAMADAN 8 : ROJAK MI YANG MUDAH DIBUAT

rsz_rojak_mi

Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni masuk sudah 8 Ramadan. Kalau orang tua dulu2, masa ni dah siap jemur tepung dan gula untuk bikin kuih baulu. Tu jam bukan ada mesin, teringat bonda che mat dan yang tukang pukul telur untuk bikin kuih baulu tak lain tak bukan arwah datuk, pukul telur dalam pasu gunakan pemukul yang macam spring tu dan handle dari kayu. Acuan pula memang jenis lama, pusaka dari arwah nenek yang sekarang dalam simpanan che mat. Ada dua jenis, satu bentuk ikan emas dan satu lagi bentuk ceremai dan belimbing. Takde oven tapi guna tin yang ditebuk sebagai dapur. Siap letak pasir lagi nak kasi haba dia sekata. Atas bahagian tudung acuan kuih baulu pulak guna sabut kelapa. Kuih baulu dia tak payah cakap lah, cantik molek, gebu dan aroma dia semerbak, kaler salted caramel ok. Satu lagi yang che mat perasan, kuih baulu tu jam boleh tahan lama, tak berkulat...memang nostalgia...

rsz_rojak_mi_1
Syok2 cerita pasal kuih baulu, terlupa pulak pasal cerita entri hari ni. Sebenarnya che mat nak habiskan belen kuah kacang tauhu sumbat tu hari. Kuah dia che mat simpan dalam freezer dan senang bila nak guna, tinggal panaskan saja. Rojak mi mudah sangat. Tapi kan che mat rasa macam tertinggal satu bahan lah, patut ada daun salad, tengok2 daun salad elek, tapi takpe, kita yang buat dia kan. Rasa che mat resipi takde apa sangat. Kuah kacang tu anda boleh rujuk di sini. Dan cuma cucur tepung tu saja lah kan yang kena buat. Bahan2 lain takde apa sangat boleh beli saja di kedai. Resipi che mat agak2 saja, tapi kalau anda nak bikin dalam kuantiti yang banyak, boleh lah anda lebihkan resipi kuah kacang tu dan bahan2 untuk rojak mi, anda tambah lagi...Ok, nak mencuba?...Jommm...

BAHAN - BAHAN CUCUR TEPUNG :-)
1 cawan tepung gandum
1/2 camca teh instant yeast
1/2 camca teh garam
1 camca teh gula
1/3 camca teh serbuk kunyit
200 ml air

BAHAN-BAHAN ROJAK MI :-)
Kuah kacang, resipi boleh rujuk sini
Mi kuning secukupnya, cuci dan celur sekejap, toskan
2 keping tauhu, goreng dan potong kiub
1 keping fishcake, goreng sekejap dan potong kiub
1/2 biji timun, potong berbaji
1/2 biji sengkuang, potong berbaji
2 keping tempe berbungkus daun, potong kiub dan goreng
2 biji kentang, kupas dan rebus, kemudian goreng, potong kiub
2 - 3 biji telur rebus, dipotong 2 setiap sebiji
1 biji cili hijau, dipotong

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK CUCUR TEPUNG :- Bancuh semua bahan2 diatas hingga sebati. Kemudian perap 45 minit. Panaskan minyak untuk goreng terendam, kemudian ceduk 1 camca besar dan jatuhkan ke dalam minyak panas seperti anda membuat cekodok. Buat 5 - 6 biji sekali buat dan balik2kan sentiasa agar masak rata. Angkat dan toskan, kemudian toskan atas tissue dapur, biar minyak terserap. Buat hingga habis, sejukkan.
  2. UNTUK ROJAK MI :- Masukkan mi ke dalam satu bekas dan semua bahan2 untuk rojak mi, kecuali telur. Tuang kuah kacang secukupnya dan gaul rata. Susun telur rebus atas rojak dan hidangkan untuk berbuka puasa....Selamat mencuba!!.


Wednesday, June 24, 2015

RAMADAN 7 : IKAN CILI GARAM, SESUAI BERSAHUR..

rsz_ikan_cili_garam
Assalammualaikum, salam semua, malam baru che mat dapat bersiaran. Alhamdulillah selesai sudah puasa ke 7 hari ini dan genap lah seminggu kita berpuasa. Cuaca agak panas ramadan tahun ini, alhamdulillah, dugaan kecil untuk kita yang berpuasa. Che mat sendiri hampir2 nak terpancit petang tadi. Lepas masak che mat siap2 nak ambik gambar, kepala masa tu memang cenoneng, rasa macam nak pitam pun ada. Tapi masih menten, dan terus ambik gambar. Masa tengah ambik gambar, tiba2 nampak gelap. Ingat kamera rosak, habis lah., rupanya aku yang dah nak menangkup dalam pinggan lauk, kalau tak dengan kamera2 sekali tertumus, grrr....teruk betul lah che mat tu, kalah kanak2 rabena sangat. Apa2 pun semuanya ok, lepas tu che mat rehat kejap dan keadaan seperti sedia kala, boleh menggedik balik kat dapur. Resipi ikan cili garam ini antara hidangan termudah dalam kategori hidangan nyonya. Kalau kita lihat ia macam ikan berlado saja. Senang dibuat dan sesuai untuk bersahur nanti, Ikan tu anda jangan goreng garing sangat, sekadar goreng sampai isi ikan masak saja. Nak cuba?..jommm lihat resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
3 ekor ikan kembong saiz sederhana (atau ikan yang anda suka)
4 biji cili merah saiz besar (tak suka pedas, buang biji cili)
4 biji bawang merah, hiris
2 biji buah keras, hiris
1 ulas bawang putih
1 biji limau nipis, perah jusnya
1/2 camca teh garam
1 camca teh penuh gula
Sedikit hirisan cili padi hijau untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kembong disiang, cuci bersih, kelar sedikit ikan tadi dan lumur ikan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Perap sekejap dan goreng hingga masak, tak perlu sampai garing. Angkat, toskan dan susun dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Dalam lesung batu, tumbuk buah keras, bawang putih dan bawang merah hingga hancur. Masukkan cili merah dan tumbuk hingga lumat (kalau malas, boleh ajer kisar dalam blender). Ketepikan.
  3. Panaskan tiga camca besar minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk tadi hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan garam dan gula, kacau rata dan akhir sekali tambah jus limau nipis, kacau dan matikan api. Tuang sambal atas ikan goreng tadi, ratakan dan hias dengan hirisan cili padi hijau. Hidangkan panas2 bersama nasi...Selamat mencuba!..


Tuesday, June 23, 2015

RAMDAN 6 : ASAM PEDAS TELUR IKAN TENGGIRI

rsz_asam_telur_tenggiri
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni 6 Ramadan. Semua ok, masih mantap kan walaupun cuaca agak panas. Hari ni che mat letak resipi asam pedas telur ikan tenggiri. Ikan tenggiri saiz besar ini che mat beli tempoh hari dan dari segi gaya ikan nampak seperti ada telur. Ok, kita toksah kerat, beli seko2 saiz gadang dan bawak balik. Che mat operate dulu sikit bahagian perut ikan dan memang sah, ada telur, maka kita keluarkan telur ikan, cuci dan simpan dulu. Ikan tadi che mat masukkan dalam freezer sampai ikan keras tapi bukan beku. Tujuannya senang nak potong jadi kepingan, kalau ikan lembut, bila anda potong, nanti isi dia akan terjojol keluar, dah rupa tak molek, sememeh aje. Resipi macam biasa yang anda selalu nampak di blog che mat. Dalam asam pedas ini bukan ada telur ikan saja, tapi che mat tambah 2 keping keratan ikan tenggiri yang saiznya agak besar, sebesar tapak tangan dewasa. Sedap ni makan sama nasi putih, tambah ulam2 dan telur dadar. Resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping hirisan ikan tenggiri
Telur ikan tenggiri secukupnya
4 helai daun kunyit bersaiz besar (untuk bungkus telur ikan)
2 kuntum bunga kantan, belah 2
1 biji tomato, dibelah 4
2 senduk nasi penuh cili kisar
3/4 camca besar pes asam jawa
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca teh lada hitam biji, tumbuk hancur
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur ikan dicuci bersih, kemudian tabur dengan sedikit garam. Balut telur ikan dengan daun kunyit kemas2 (sebab saiz dia besar, che mat guna 2 helai untuk 1 telur ikan). Kemudian ikat dengan tali benang dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dala periuk (anggaran 1/3 cawan), tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan cili kisar. Kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biar mendidih. Masukkan telur ikan yang telah dibungkus dengan daun kunyit. Perlahankan api dan masak 5 - 6 minit, masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan lada hitam.. Kacau perlahan.
  4. Tambah ikan tenggiri dan bunga kantan, biar hingga ikan masak. Perasakan dengan garam secukupnya (anggaran 1 camca teh penuh) dan secubit gula. Masukkan tomato dan masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ulam2man dan telur dadar semasa berbuka puasa atau pun sahur...selamat mencuba!

Monday, June 22, 2015

KACANG BUNCIS TUMIS SAMA KUPANG

rsz_buncis_kupang
Satu resipi yang amat ringkas sesuai untuk hidangan bersahur. Tapi kalau anda yang bukan jenis penggemar sayur, che mat tak boleh nak kata apa lah yea. Selain sahur, sesuai juga untuk buka puasa atau orang2 sekarang dok guna perkataan 'iftar' tu...sebenarnya kita ni dah terbiasa guna perkataan buka puasa, sejak dari tok nenek kita masa bujang lagi. Jadi sekali2 nak guna iftar tu rasa pelik pulak. Apa2 pun tepuk dada tanya selera, toksah pening2 sangat, Guna apa pun boleh yang penting maksud dan nawaitu seiring....errr..kenapa cerita lain pulak nih, haishh. Berbalik cerita masak2, Che mat cuma tumis kacang buncis dengan isi kupang, lepas tu ada belen2 capsicum, dari kecut, rembat masuk sekali dalam kuali. Satu lagi sebab ni bulan puasa, nak menghagak tahap kemasinan tu agak sukar sikit. Tapi resipi ni che mat guna sos ikan dan sos tiram, jadi tak taruk garam. Jika anda masak malam, sah2 boleh rasa. Resipi amat mudah, seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
20 tangkai kacang buncis
1 genggam isi kupang
1/2 biji capsicum merah
1/2 biji capsicum hijau
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 camca besar sos tiram
1 camca teh sos ikan
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kacang buncis dicuci dan toskan, kemudian potong pendek. Capsicum merah dan hijau, dipotong berbaji. Sementara itu, isi kupang digaul dengan secubit garam dan serbuk lada sulah. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu, masukkan isi kupang, kacau rata dan masak sekejap. Tambah sos tiram, kacau dan masukkan kacang buncis dan capsicum tadi. Gaul rata.
  3. Masak untuk 1 - 2 minit hingga sayur lembut tapi tidak lembik. Akhir sekali masukkan sos ikan, kacau rata dan matikan api. Hidangkan bersama nasi panas...

RAMADAN 5 : TAUHU SUMBAT SAMA KUAH KACANG

rsz_tauhu_sumbat
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni masuk 5 hari kita berpuasa dan cuaca agak panas berdenting. Che mat nak siapkan masak untuk berbuka pun rasa macam nak tergolek dog kat lantai dapur, Nampak air paip macam air laici...haish teruk nau si mat gebu tu, ngalahkan bebudak. Semalam che mat nampak Kak Yatie Memories bikin tauhu sumbat tapi kuah cili dan plan che mat memang nak bikin tauhu sumbat hari ni. Kata orang, mana yang kita teragak nak makan elok buat dan hari ni terlaksana sudah tauhu sumbat sama kuah kacang. Kali ni che mat bikin kuah kacang macam kuah sate, bukan sambal kacang yang ada petis tu. Resipi takde leer susah mana, part kuah tu saja lah yang mungkin ada yang tak berapa pandai nak bikin. Alaa toksah risau, che mat sendiri pun bukan pandai mana bab masak2 ni, aku buat ajer, lama2 jadi lah reti masak, ingat yea reti masak bukan pandai masak. Ok, kalau anda bercadang nak buat untuk esok ke atau bila2 lah, resipi seperti berikut.

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 - 5 keping tauhu (kalau saiz tauhu kecil, boleh guna 6 - 7 keping)
Taugeh secukupnya, buang ekor, cuci dan celur sekejap, toskan
Lobak merah, dimayang halus memanjang
Timun, dimayang halus memanjang
Sengkuang, dimayang halus memanjang
Sedikit garam dan serbuk lada sulah
Minyak untuk goreng terendam

BAHAN-BAHAN KUAH KACANG :-)
3/4 cawan kacang tanah
1 camca teh pes asam jawa
2 camca besar gula melaka
1 camca teh garam
3 camca besar cili kisar
4 cawan air
4 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 camca besar udang kering, rendam sekejap dan toskan*
1 batang serai, hiris halus*
1 camca besar ketumbar biji*
2 biji buah keras, hiris*
1/2 inci lengkuas*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH KACANG :- Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga perang, sejukkan dan buang kulitnya. Tumbuk hancur, ketepikan. Panaskan 1/3 cawan minyak dalam periuk, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tuang air. Bila mendidih, masukkan gula melaka dan garam. Tambah kacang tanah dan kacau hingga rata. Masak dengan api kecil hingga naik minyak, kacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api (sebab bulan puasa, che mat agak2 saja dan in sha Allah rasa kuah kacang ni sedap).
  3. UNTUK TAUHU SUMBAT :- Tauhu dilumur dengan sedikit garam dan serbuk lada sulah. Kemudian goreng hingga kekuningan. Angkat dan sejukkan. Kemudian belah dua setiap satu (bentuk 3 segi). Ambil satu bahagian tauhu, buat ruang seperti poket, kemudian sumbatkan serba sedikit sayur taugeh, timun, sengkuang dan lobak merah tadi. Padat2kan dan buat hingga siap. Boleh hidangkan bersama kuah kacang untuk berbuka puasa....Selamat mencuba!!


Sunday, June 21, 2015

RAMADAN 4 : AYAM GORENG DAUN SELASIH.

rsz_ayam_goreng_daun_selasih
Assalammualaikum, salam Ahad, hari ni masuk hari ke 4 kita berpuasa. Menu ringkas2 saja dari dapur che mat. Sesuai menu berbuka dan bersahur. Menu ringkas ini antara yang menjadi pilihan che mat terutama bila berpuasa. Kebiasaan guna daging lembu batang pinang, tapi sejak2 ni kena pantang makan daging, che mat gantikan dengan daging ayam. Sedap dimakan bersama nasi panas dan juga roti. Ia tidak lah pedas walaupun ada guna cili kisar. Tapi kalau nak pedas anda boleh masukkan cili padi yang diketuk. Menu ini juga anda boleh masak awal, dan dingin bekukan. Bila nak makan tinggal panaskan dalam microwave. Jika ingin mencuba, che mat kongsikan resipi di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
450 gram daging ayam bahagian dada
1 camca teh lada hitam, ditumbuk halus
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 camca teh garam
1/2 inci belacan, dibancuh dengan 3 camca besar air, larutkan
1 genggam daun selasih
1/2 biji capsicum merah, dipotong dadu
1/2 biji capsicum hijau, dipotong dadu
2 camca besar cili kisar
1 camca besar sos ikan
1/2 biji limau nipis, perah jusnya
1 camca teh gula

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging ayam dihiris memanjang, cuci dan toskan. Kemudian gaul dengan lada hitam dan garam, perap 15 minit. Panaskan minyak dalam 3 camca besar, kemudian goreng ayam tadi dengan api sederhana hingga berubah warna, angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 4 camca besar, tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga garing, masukkan belacan. Kacau rata, tambah isi ayam yang digoreng tadi, capsicum merah dan hijau. Kacau rata.
  3. Tambah sos ikan, gula dan daun selasih. Kacau rata dan akhir sekali masukkan jus limau nipis, kacau dan masak hingga pekat. Matikan api dan boleh hidangkan untuk berbuka puasa atau bersahur.


TEMPAHAN BISKUT RAYA 2015 - KINI DI BUKA !!...

(Entri Melekat...Scroll ke bawah untuk entri terkini..Terima kasih)
rsz_b11rsz_b10
rsz_b9rsz_b8
rsz_b7rsz_b6
rsz_b5rsz_b4
rsz_b3rsz_b1
rsz_b2

Salam semua..kata orang tak salah kita buat persiapan awal, ada yang kata belum puasa dah sibuk cerita pasal biskut raya. Bukan apa, kalau masa bulan Ramadan baru nak fikir, bukan ke akan mengganggu masa untuk kita beribadah? Jadi tak salah merancang awal. Biskut2 yang anda nampak ini semuanya mendapat permintaan diluar jangkaan, berdasarkan tempahan tahun lepas (2014). Jadi Puan Ieta telah buka tempahan lebih awal tahun ini untuk mengelakkan ada yang tidak berkesempatan merasai kesedapan biskut yang anda nampak seperti di atas tu. Biskut2 ini , in sha Allah terjamin dari segi rasa. Bahan2 yang digunakan berkualiti dan rupa biskut cukup molek bila diisi dalam balang kuih raya anda, simple dan ada kelas!..

Untuk tahun 2015, Puan Ieta telah menambah beberapa jenis lagi biskut baru dan kesemuanya sedap2 belaka.. Yea tak yea lah che mat tu kata sedap...psstt...che mat dah rasa, siap duduk meja bulat lagi sambil masing2 keluarkan komen. Secara purata semua kata sedap, memuaskan dan menepati citarasa. Kali ini ada 11 jenis biskut raya yang pasti menjadi bualan bila dihidangkan pada syawal nanti...Meh che mat senaraikan nama biskut2 tu yea, ikut turutan bahagian atas, dari kanan..
  1. Chocolate Chip
  2. MM' Chocolate Peanut
  3. Royale Pineapple Tart 
  4. Golden Coconut 
  5. Coffee Almond Chip 
  6. Royale Red Velvet
  7. Mocha Delight
  8. Royale Oreo
  9. Royale Bangkit Cheese 
  10. Royale Cuppocino
  11. Royale Cheese Tart 
Harga pula macam mana?

Untuk balang yang berisi 24 - 30 keping biskut, harga seperti berikut...
  1. 4 balang ke bawah = RM 22 satu balang ( 24 - 30 pcs )
  2. 5 balang ke atas     = RM 20 satu balang ( 24 - 30 pcs ) atau 5 balang  = RM 100
Untuk balang yang berisi 50 keping biskut, harga seperti berikut...
  1. 4 balang ke bawah = RM 30 satu balang ( 50 pcs )
  2. 5 balang ke atas     = RM 28 satu balang ( 50 pcs ) atau 5 balang = RM 140
Sebarang pertanyaan atau tempahan, anda boleh hubungi...

WASSAP : 019 214 1408 ( Puan Ieta )


INSTAGRAM : @ieta1705

Tempah awal sebelum anda dikecewakan!!.....

Saturday, June 20, 2015

RAMADAN 3 : KUIH CARA BERLAUK

rsz_chara_berlauk

Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni masuk hari ke - 3 kita berpuasa, cuaca boleh dikatakan agak panas, che mat rasa macam ting tong aje kepala kalau duduk kat luar rumah lama2. Hari ni plan nak bikin kuih cara berlauk. Kuih ini antara kuih2 tradisi yang che mat suka. Tidaklah terlalu sukar nak buat kuih cara berlauk ni, guna acuan kuih baulu corak bunga ceremai dan guna api dapur saja. Che mat guna daging kisar dan untuk resipi ini memang inti ada lebih tapi tak banyak. Toksah risau, inti tak habis anda boleh makan sama roti, atau masukkan dalam telur dadar untuk bersahur. Kalau anda tak makan daging lembu, boleh ganti dengan daging ayam kisar atau daging kambing kisar. Nak guna ikan tuna dalam tin pun boleh..

rsz_chara_berlauk1
Resipi ini akan menghasilkan kurang lebih 30 biji kuih cara. Walaupun adunan kastard tidak lah banyak, disebabkan che mat bikin dalam aduan saiznya comel2, tu pasal dapat 30 biji, kalau anda guna acuan saiz agak besar atau bentuk belimbing, mungkin dapat kurang dari 30. Satu lagi, masa tuang adunan tu dalam acuan, jangan taruk sampai penuh, sebab bila dah masukkan inti, nanti dia jadi penuh dan melimpah. Tuang 3/4 saja sudah memadai. Ok, kalau anda nak mencuba, che mat tuliskan resipinya seperti berikut...

BAHAN-BAHAN INTI :-)
100 gram daging cincang
1 biji bawang besar, cincang
2 ulas bawang putih, cincang
2 keping hirisan halia, cincang
1 biji cili merah, buang biji dan dadu kecil
1 camca besar penuh rempah kari daging
1 camca besar sos tomato
1 camca teh cili kisar
1/2 camca teh lada hitam kisar
1 pokok daun sup, hiris halus
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KASTARD :-)
75 gram tepung gandum
1 biji telur gred A
170 ml santan(kalau guna santan kotak, guna 100 ml santan + 70 ml air)
2 camca besar mentega, dicairkan (boleh ganti dengan majerin)
Beberapa titik pewarna kuning makanan
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI :- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar), tumis bawang putih. halia dan bawang besar hingga layu, masukka cili kisar dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap. Tambah rempah kari, kacau dan tuang sedikit air. Sementara itu taruk daging cincang dalam tapis dan cuci dibawah air paip, toskan.
  2. Masukkan daging cincang dalam kuali dan kacau rata. Masak dengan api kecil hingga daging berubah warna dan kering. Tambah lada hitam dan perasakan dengan garam secukupnya dan secubit gula. Kacu rata, akhir sekali masukkan 1/2 bahagian cili merah dan 1/2 bahagian daun sup. Gaul rata dan matikan api, biar inti sejuk.
  3. UNTUK ADUNAN KUIH CARA :- Ayak tepung dalam satu bekas, masukkan telur dan santan sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati. Tambah garam, mentega cair dan pewarna kuning makanan, kacau hingga rata dan tapis. Ketepikan sebentar, (boleh juga dikisar dalam blender).
  4. UNTUK KUIH CARA BERLAUK :- Panaskan acuan kuih baulu bentuk cermai, guna api dapur paling kecil. Lenser setiap lubang acuan dengan sedikit minyak masak (che mat guna daun pandan yang diikat dan diguntung hujungnya sebagai alat menlengser acuan). Tuang adunan kuih cara 3/4 penuh. Buat hingga siap, kemudian sudukan 1/2 camca teh inti pada setiap kuih cara tadi. Tabur atasnya baki cili merah dan daun sup. Tutup sekejap hingga kuih cara masak (kurang lebih 1-2 minit). Keluarkan dari acuan dan buat hingga siap. Boleh hidangkan waktu berbuka puasa nanti...Selamat mencuba!..


Friday, June 19, 2015

RAMADAN 2 : AGAR - AGAR MANGGA

rsz_agar2_mangga
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia....dah masuk 2 hari kita berpuasa. Hari ni che mat kongsikan satu resipi mudah yang amat nyaman di tekak. Maklumlah bulan puasa macam ni, kalau dapat benda2 sejuk, memang sedap. Agar2 mangga ini resipi dia che mat dapat dari blog Gert, geng masak2 yang duduk di America. Resipi amat mudah dan rasa dia pun in sha Allah amat sedap. Kebetulan tu hari che mat memang ada beli buah mangga dan berlebih 3 biji tak dimakan. Bila bulan puasa, mulalah nampak macam semua sedap, tu yang che mat ubah jadikan agar2. Biar betul2 sejuk, baru lah sedap dimakan. Ok, jomm che mat kongsikan resipi dan terima kasih sekali pada Gert...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 gram serbuk agar-agar
4 - 5 camca besar gula (che mat guna 4 camca besar)
2 cawan air
1 helai daun pandan, disimpul
1 cawan susu sejat (che mat guna susu sejat IDEAL)
2 biji mangga (saiz sederhana) kupas dan ambil isinya
Secubit garam
Isi mangga yang didadu untuk hiasan (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan agar2 serbuk dan gula dalam periuk, kacau rata, masukkan air dan daun pandan, kacau rata dan masak hingga mendidih dan gula larut, guna api sederhana dan kacau sentiasa. Sementara itu isi buah mangga dan susu sejat dikisar hingga menjadi puri.
  2. Kecilkan api, keluarkan daun pandan, kemudian tuang puri mangga dalam periuk berisi agar2 tadi. Kacau rata hingga sebati dan masak sekejap, jangan biar sampai mendidih, bila ia panas dan naik wap sahaja sudah cukup. Matikan api.
  3. Tuang dalam acuan kegemaran anda dan biar hingga hilang wap panas. Kemudian sejukkan dalam peti sejuk. Hidangkan dan hias dengan isi mangga yang didadu, jika suka. Sedap dimakan sejuk...Selamat mencuba!


Thursday, June 18, 2015

COLEK IKAN TONGKOL..PEMBUKA SELERA..

rsz_colek_ikan_tongkol
Salam semua, ada sedikit masa tadi,  che mat update laju2 satu menu ringkas yang sesuai untuk anda makan ketika bersahur atau pun berbuka puasa. Colek ikan satu menu pembuka selera yang terkenal di negeri2 pantai timur. Hidangan ini boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan sihat, kenapa?..Kerana ikan yang digunakan bukan digoreng, tapi dibakar hingga masak. Biasanya colek menggunakan ikan tenggiri, tapi ia takde pantang larang, anda boleh guna apa2 saja jenis ikan yang anda suka. Kali ni che mat guna ikan tongkol putih, kerana isi ikan tongkol putih lebih lembut dan sedap. Boleh juga guna ikan kembong atau apa2 ikan yang banyak isinya. Ia amat mudah disediakan dan kalau anda lihat resipi, colek ini seakan2 ikan bakar yang dicurah dengan ais asamnya sekali. Selalukan ikan bakar kita hidangkan berasingan dengan air asam atau sambal kicap. Jika ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 - 4 keping ikan tongkol putih (atau tenggiri) cuci dan toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*digaul rata dan perap sekejap)
1/2 cawan air suam
1 biji tomato, didadu kecil
1 biji bawang besar, didadu kecil
4 biji cili padi merah, hiris halus
4 biji cili padi hijau, hiris halus
1 pokok kecil daun ketumbar, hiris
1 camca teh sos ikan
1 biji limau nipis, perah jusnya (boleh guna 3-4 biji limau kasturi)
1 inci belacan, dibakar*
1 camca besar rata gula*
7 biji cili padi merah*(*ditumbuk hingga halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dipanggang hingga masak (che mat guna kuali ajaib), lebih sedap kalau anda panggang atas api bara. Kemudian alihkan ke dalam pinggan sesuai dan ketepikan.
  2. Dalam satu bekas, masukkan bahan2 tumbuk halus dan air suam. Kacau hingga rata, tambah semua bahan lain kecuali cili padi merah dan hijau. Kacau hingga rata dan curahkan atas ikan panggang tadi. Tabur hirisan cili padi merah dan hijau. Hidangkan sebagai pembuka selera.


RAMADAN 1 : LEMAK CILI PADI BABAT SAMA REBUNG

rsz_rerebung_babat
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ini umat Islam mula berpuasa. Ehem, nampak letih ajer..releks, kang petang pergi bazar Ramadan tapi janganlah penuh sepuluh jejari tu dengan segala macam kuih. Tidah dinafikan, che mat pun agak kerambangan mata kalau ke bazar Ramadan, tapi kan, bila time berbuka puasa tu, tak boleh nak makan sangat, masuk sikit aje dah kenyang, nak2 bila air sudah masuk dalam. Rumah che mat bila berbuka puasa nasi wajib ada, kalau che mat masa menu lain untuk diri sendiri, tapi nasi memang kena masak juga. Dan kalau dah ada nasi, kenalah ada menu lauk pauknya.  Entri pertama untuk Ramadan ini, che mat kongsikan masakan yang dah biasa che mat masak. lemak cili padi babat sama rebung. Walaupun resipi ni biasa, tapi kalau tengok masa macam ni, rasa tergugat gak anak tekak, rasa sentap juga urat perut. Bagi yang rasa ia agak pedas, anda boleg kurangkan penggunaan cili padi...Selamat memasak petang nanti!

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg babat atau perut lembu, cuci bersih
500 gram rebung yang telah siap dihiris dan dicelur. toskan
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung (boleh guna yang merah atau yang hijau)
2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Babat direbus dengan 1 inci halia yang dihiris dan 4 ulas bawang putih yang diketuk, hingga lembut (kalau guna periuk tekanan ambil masa 10 minit), toskan dan biar kan sejuk. Kemudian hiris babat sederhana besar dan ketepikan.
  2. Masukkan babat rebus tadi ke dalam periuk bersama rebung dan serai ketuk. Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. Tambah asam gelugor dan masak sekejap.
  3. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masukkan daun kunyit, kacau dan biar mendidih dengan api sederhana. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. hidangkan bersama nasi panas, telur dadar dan ulam2man jika suka..

Tuesday, June 16, 2015

JADUAL BERBUKA PUASA DAN IMSAK 2015

Assalammualaikum, sempena bulan Ramadan yang bermula Khamis ini, blog tiffinbiru ingin mengucapkan Selamat Berpuasa pada semua umat Islam dan dalam masa sama untuk memudahkan anda, blog tiffinbiru berkongsi waktu berbuka puasa dan imsak untuk setiap negeri di Malaysia, moga kita dapat melalui Ramadan dengan penuh keberkatan dan kemuliaan.....

Klik untuk waktu berbuka puasa setiap negeri...


Sumber dari : JAKIM



JOMMM BAKED PASTA!

rsz_baked_pasta
Assalammualaikum, salam Selasa semua. Hari ni che mat masak yang ringan2 saja dan ingat tak semalam ada bikin spaghetti bolognese?.. Sos atau kuah dia berbaki dalam 1 1/2 cawan lebih kurang, jadi che mat oleh untuk resipi hari ini. Anda boleh bikin sos bolognese tu lebih sikit dan simpan dalam peti sejuk. Selain mudah nak guna bila perlu, anda juga boleh jadi lebih kreatif dalam menyediakan hidangan. Ok, ambik contoh sos bolognese tu boleh juga anda buat sos untuk pizza, untuk goreng spaghetti, untuk buat baked pasta macam che mat buat tu..atau kalau anda nak lebih inovatif, jadikan ia inti pie. Mesti ada yang teragak2, boleh ke, sedap ke..hurmm, kalau anda bikin sos tu sedap, in sya Allah apa yang anda buat menggunakannya juga akan menghasilkan produk yang sedap. Cuma pandai2lah nak tambah apa yang perlu, samada nak taruk lebih daging ke, keju ke, dan sebagainya. Resipi yang amat ringkas ini che mat tak de sukatan, main agak2 saja. Harap ia dapat memberi idea pada anda memasak sempena Ramadan yang akan datang ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan pasta yang belum direbus (boleh guna sebarang bentuk pasta kegemaran anda kecuali spaghetti)
1 1/2 cawan sos spaghetti bolognese, resipi di sini
1 cawan parutan keju mozarella
1 camca besar daun parsley yang dicincang halus
1 camca teh lada hitam kisar
Sedikit mentega

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 190C, lenser acuan kaca tahan panas berukuran 6 inci  4 inci dengan mentega. Masak air hingga mendidih, tambah 1/2 camca teh garam dan masukkan pasta, rebus hingga lembut (pada pendapat che mat untuk bikin baked pasta, kena rebus pasta hingga lembut sedikit), toskan airnya dan masukkan ke dalam acuan tadi. Ratakan.
  2. Ratakan sos bolognese atas pasta tadi, kemudian tabur 1/2 bahagian cincangan daun parsley dan 1/2 bahagian lada hitam kisar. Taruk pula parutan keju dan ratakan. Tabur baki parsley dan lada hitam hingga rata.
  3. Bakar selama 40 minit pada rak bawah, hingga keju cair dan keperangan. Keluarkan dari oven dan hidangkan. Sedap dimakan panas....Selamat mencuba!!..


Monday, June 15, 2015

SPAGHETTI BOLOGNESE

rsz_spaghetti_bolognese
Assalammualaikum, salam Isnin. In sha Allah jika diizinkan Khamis nanti umat Islam dah mula menjalani ibadat puasa. Dan ramai juga yang che mat perasan mula dah berbelanja barang2 pesediaan untuk Ramadan nanti. Hari ni che mat tak masak nasi, sebab masih home alone dan bila sorang tak kuasa nak masak bagai, kita skip nasi dan jomm masak yang mudah, spaghetti bolognese. Sebenarnya che mat idok lee reti sangat masak2 western ni, tapi boleh lah telan asalkan halal dan tak dosa dimakan. Buatnya senang dan che mat guna 1 tin tomato dalam tin, beli jenis plum tomato, kerana tomato jenis ini kurang masam. Selain tu untuk menepati tekak melayu, ku masukkan 2 biji cili padi yang dicincang halus, pelik ke?..Relek, kita yang buat dia dan yang nak makan pun kita, betul tak? Tapi yang tu optional, tak mo pedas toksah taruk. Che mat guna 1/2 cawan daging kisar dan resipi ini untuk 2-3 orang makan. Kalau anda buat lebih pun takpe, boleh simpan dalam peti sejuk. Bila2 nak makan tinggal panaskan saja, nak2 bulan puasa nanti....Resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 cawan daging kisar (kalau suka lebih boleh tambah)
1 tin besar tomato dalam tin jenis 'plum tomato', diramas hancur
1 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
1 biji bawang besar, didadu
3 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 batang lobak merah, didadu
1 batang saleri, didadu
2-3 biji cili padi, cincang halus
1 camca teh lada hitam kisar
2 helai daun bay
1 camca teh herba oregano kering
1 tangkai kecil herba rosemary
1 kiub pati daging
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak zaitun untuk menumis

BAHAN-BAHAN LAIN:-)
Spaghetti secukupnya
Herba basil untuk hiasan (che mat guna daun selasih)
Parutan keju parmesan secukupnya
Sedikit minyak zaitun extra virgin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SOS BOLOGNESE :- Panaskan minyak zaitun dalam periuk (anggaran 4 camca besar), tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu, jangan sampai hangus, masukkan bay leaf, saleri dan lobak merah, kacau rata dan masak sekejap. Sementara itu taruk daging cincang dalam tapis, kemudian cuci bawah air paip, perah sedikit dan masukkan ke dalam periuk. Kacau dan masak dengan api kecil hingga daging berubah warna.
  2. Masukkan tomato dalam tin, sos tomato dan sos cili. Kacau dan tuang air. Masak dengan api sederhana hingga mendidih dan kacau sekali sekala. Tambah kiub pati daging, cili padi, herba rosemary, herba oregano dan lada hitam. Kacau rata dan masak hingga pekat. Tambah garam dan sedikit gula (anggaran 1 camca teh), masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SPAGHETTI BOLOGNESE :- Spaghetti direbus dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam, rebus hingga lembut atau anda boleh ikut cara2 merebus dibungkusan spaghetti. Toskan dan gaul spaghetti dengan minyak zaitun. 
  4. Cedok spaghetti secukupnya dalam pinggan sesuai. Sendukkan secukupnya sos bolognese atasnya dan ratakan. Parutkann keju parmesan atasnya, hias dengan beberapa helai herba basil, dan jika suka sebelum makan drizzle dengan sedikit minyak zaitun extra virgin dan boleh hidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk sos bolognese tu anda jangan taruk garam banyak sangat, ini kerana keju parmesan tu memang dah masin, kalau anda bikin sos dia masin, tambah lagi dengan parutan keju, dah jadi 2 kali masin. Jadi berhati2 bila menggunakan garam. Selamat mencuba!!.


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.