BEN ASHAARI

Sunday, May 31, 2015

PUCUK PAKU CELUR, MENU BUGIS...

rsz_pucuk_paku_celur
Assalammualaikum, salam Ahad. Hari ni che mat mencuba satu resipi tradisi Bugis dari sorang kenalan FB yang juga berketurunan Bugis. Masa beliau mengadakan majlis perkahwinan di rumah ibu beliau di Benut sedikit masa dulu, kami dihidangkan dengan makanan tradisi masyarakat bugis dan ada satu yang betul2 menggamit selera che mat. Hidangannya amat ringkas, pucuk paku perak /hijau atau  midin yang dicelur, kemudian dimakan bersama kuah kacang yang amat sedap dan lain dari kuah kacang yang biasa che mat rasa. Seakan2 kuah pecal tapi tidak 'sekeras' kuah pecal. Yang ini lebih ringan tapi dari segi rasa ia amat sedap. Tidak pedas (tapi kali ni che mat tambah cili padi hijau untuk dapat rasa pedas).  Terima kasih sekali lagi pada Puan Mia Madiha Amin yang sudi berkongsi resipi dari nenda beliau.....Kalau anda nak mencuba, jommm kita liahat resipi...

BAHAN-BAHANYA :-)
2 cekak pucuk paku perak @ pucuk midin
1 1/2 cawan kacang tanah, digoreng tanpa minyak, buang kulit dan tumbuk hancur
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 ulas bawang putih (kalau kecil guna 2 ulas)
10 biji cili padi hijau jenis kampung
1 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa (kalau suka boleh tambah serbuk perasa)
Air masak secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH KACANG :- Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga keperangan. Sejukkan dan buang kulitnya, tumbuk halus dan ketepikan. Ikan bilis ditoskan, perah dan goreng hingga garing, angkat dan toskan. Masukkan cili padi dan bawang putih ke dalam lesung batu. Tumbuk hingga halus, tambah ikan bilis goreng dan tumbuk sampai hancur. 
  2. Ceduk keluar bahan2 tumbuk tadi dan masukkan ke dalam bekas berisi kacang tanah tumbuk. Tuang santan dan kacau rata. Tambah air masak secukupnya (jangan terlalu pekat atau cair). Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Ketepikan.
  3. UNTUK PUCUK PAKU CELUR :- Pucuk paku diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Didihkan air dalam periuk, masukkan sedikit garam dan 1/2 camca teh minyak masak. Masukkan pucuk paku dan celur selama 30 saat. Toskan dan biar sejat. Boleh hidangkan bersama kuah kacang tadi. Sedap dimakan begitu saja atau bersama nasi....Selamat mencuba!


Saturday, May 30, 2015

JEMPUT SARAPAN PETANG SEMUA....

rsz_kueey_teow
Assalammualaikum, salam Sabtu. Petang2 macam ni mula lah tekak meragam. Nak2 kalau anda dalam mood demam baru kebah, dia punya mengada2 rasa macam nak hagol2 kepala kat dinding. Kalau che mat masak, mula2 tu aje rasa nak makan. Lepas masak, terus nak yang lain. Masak memacam, akhirnya makan nasi sama ulam bawang besar, tambah kicap dan patah2 cili padi, tu saja yang sedap ditekak, Kuey teow yang anda nampak ni che mat masak paling ringkas dan cepat. Jangan ditanya kenapa takde kerang, sebab tekak ni takmo pulak makan kerang, rasa 'geli'. Cuma nak udang dan fishcake saja. Mood pulak nak ala2 pasar malamnya style, maksud che mat bekas isi makanan. Tapi takmo yang polistrin, nak yang kertas macam dalam gambar tu. Gigih ok beli kat cowboy kertas tu satu bungkus, walhal nak guna sehelai saja. Apa2 pun best gak bila tekak mengada2 sesekali macam ni, walaupun kerajinan ke laut, bahanakan tekak, ku gagahkan juga memasak.....Resipi campak2 saja...kalau nak cuba jomm che mat kongsikan...hidangan untuk 2 orang..

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram kuey teow (kurang lebih)
5 - 6 ekor udang harimau, dibersihkan
1 keping fishcake (jenama mushroom), hiris
12 tangkai kucai, potong pendek
Taugeh secukupnya, dibersihkan
1 biji telur, pukul sedikit
1 camca besar cili kisar
1 camca besar petis @ otak udang
2 camca besar kicap pekat JALEN
1 camca besar kicap lemak manis JALEN
Sos ikan secukup rasa
2 ulas bawang putih, cincang halus
Cili hijau jeruk untuk dimakan bersama kuey teow goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah petis dan kacau rata. Masukkan udang dan hirisan fishcake. Kacau dan masak hingga udang berubah warna, guna api sederhana.
  2. Masukkan kicap pekat dan gaul rata. Taruk kuey teow dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan dan terus masukkan kuey teow dalam kuali, Kacau hingga rata. Tolak kuey teow ke tepi kuali dan masukkan telur. Biar telur kental, kacau dan gaul rata.
  3. Masukkan kicap lemak manis dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Masukkan taugeh dan kucai. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan kuey teow goreng dengan cili hijau jeruk....Selamat mencuba!!..


Thursday, May 28, 2015

IKAN TILAPIA TEMPOYAK MANGGA MUDA..

rsz_tilapia_mangga_muda
Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni atas pemintaan bonda che mat. Kita masak ikan tilapia tempoyak sama mangga muda. Che mat guna mangga muda baki dari bikin kerabu yang semalam tu. Mula2 nak teruk pucuk ubi, tapi bosan gileerr, asyik pucuk ubi, jadi kali ni gantikan dengan mengga muda. Mesti ada yang kata, sesuai ke masak tempoyak macam ni ditaruk mangga muda. Sapa kata tak sesuai, sapa kata tak boleh....kan kita yang buat dia, lain lah kalau nko masukkan buah ciku ke atau langsat...yang tu baru tak sesuai (tatau lah kalau ada yang imaginasi mereka agak 'wild' dan mencuba sesuatu yang pelik).Satu petua, mangga masukkan akhir, kalau masuk awal2, nanti dijadi lembik dan hancur. Ikan tilapia che mat goreng aje, malas nak panggang. Yelah kita pun baru saja nak ok dari demam, mood pun swing, kang silap bakar, terus jadi kayu arang. Resipi memang senang dan masakan ini pedas, che mat guna 1/2 cawan cili padi kampung...Ada berani?....jomm semak resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6-7 ekor ikan tilapia (banyak mana nak guna, ikut saiz ikan)
1 camca teh serbuk kunyit*
1 camca teh garam*
1 biji mangga muda saiz besar 
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1/2 cawan cili padi kampung
2 inci kunyit hidup
1 camca besar penuh tempoyak
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tilapis disiang, cuci bersih. Kemudian perap dengan jus limau nipis selama 15 minit, cuci kembali hingga bersih, toskan dan gaul dengan serbuk kunyit* dan garam*, perap 10 minit dan goreng hingga masak. Angkat dan ketepikan (kalau anda rajin, boleh juga dipanggang).
  2. Kisar cili padi, kunyit hidup dan tempoyak hingga halus (gunakan 1 cawan santan cair untuk mengisar). Tuangkan ke dalam periuk, masukkan asam gelugor dan serai. Kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan ikan tilapia dan pati santan. Kacau hingga rata dan masak dengan api sederhana. Masukkan daun kunyit dan mangga muda. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain..


Wednesday, May 27, 2015

KERABU MANGGA GAYA MAT GEBU..

rsz_mat_gebu_kerabu_mangga
Assalammualaikum, salam Rabu. Hari ni tak masak, tapi che mat bikin kerabu mangga. Semalam jiran kami kasi sebiji mangga muda, ni bukan sebarang mangga tapi jenis mangga gergasi. Sebiji mangga tu sama saiz dengan 4-5 biji buah mangga biasa. Sebab mangga tu masih agak muda dan rasa dia pun tak masam sangat, che mat plan nak bikin kerabu mangga. Lagi pun tekak baru baik demam agak meragam sikit. Kali ni kerabu mangga che mat buat ikut naluri sendiri. Mungkin ada gabungan antara thai dan melayu, tak kesah lah apa sekali pun, yang pasti ia memang sedap. Kalau anda guna buah mangga biasa, guna dalam 2 biji macam tu, che mat pun bukan habis sebiji besar buat kerabu, cuma guna kurang lebih 2 cawan isi mangga yang dihiris memanjang. Guna kaedah tradisonal, che mat takek2 halus mangga muda dan baru dihiris untuk mendapat racikan yang agak rustic. Buatnya amat mudah dan cepat. Jika ingin mencuba, jomm che mat kongsikan resipi mudah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan isi mangga muda yang diracik halus (kurang lebih)
10 biji tomato ceri, belah 4 memanjang setiap sebiji
1 biji bawang besar, hiris bulat nipis2 dan leraikan
1/2 biji limau nipis
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 5 minit
1 camca besar atau secukup rasa sos ikan
Sedikit hirisan halus cili padi merah dan hijau, untuk hiasan
1 genggam kacang tanah goreng, tumbuk kasar 

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 ulas bawang putih
Sebesar ibu jari belacan, dibakar
2 camca besar gula melaka
4 biji cili padi merah
4 biji cili padi hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang kering ditoskan, perah dan goreng tanpa minyak hingga wangi. Sejukkan dan tumbuk hancur. Ikan bilis ditoskan, perah dan goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Untuk bahan tumbuk halus, tumbuk bawang putih dan belacan hingga halus, masukkan gula melaka dan cili padi. Tumbuk hingga lumat dan sebati. 
  2. Alih bahan tumbuk halus ke dalam mangkuk besar. Masukkan mangga muda, tambah bawang besar hiris dan tomato ceri. Gaul hingga rata. Tambah udang tumbuk, kacang tumbuk (tinggalkan sedikit untuk hiasan), sos ikan dan sedikit jus limau nipis. Gaul hingga rata.
  3. Tambah ikan bilis goreng (tinggalkan sedikit untuk hiasan), gaul lagi dan rasa, jika kurang masam, boleh tambah sedikit lagi jus limau nipis. Alihkan kerabu mangga ke dalam bekas sesuai, tabur kacang tanah, ikan bilis goreng dan hirisan cili padi merah/hijau tadi. Hidangkan bersama nasi sebagai pembuka selera...Selamat mencuba!..


Tuesday, May 26, 2015

SKON KEJU CHEDDAR, SANTAPAN PETANG...

rsz_cheese_scone

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mengidam sangat nak makan skon keju cheddar. Resipi yang memang che mat pernah buat. Dan resipi asal dari Chef Wan dari buku masakan beliau 'Juadah Manisan Istimewa Chef Wan'. Pertama kali che mat cuba beberapa tahun dulu dan ia amat menepati citarasa kami. Tidak muak walaupun ia kaya dengan penggunaan keju. Skon @ scone, biasanya dihidangkan untuk minum petang atau 'hi-tea'. Kalau skon yang biasa, selalunya dihidangkan bersama jem dan mentega serta diiringi secawan teh panas. Petang tadi dengan cuaca mendung dan hujan renyai2, che mat menikmati skon keju cheddar (yang ini skon jenis 'savory'), bersama teh panas dan sedikit calitan mentega, habis 2 biji..jangan tak percaya. Nampak sangat mengidam nak makan skon. 

rsz_cheese_scone1

Kalau diperhatikan, skon gabungan antara pastri dan kek. Teksture skon bersarang, lembut dan gebu. Bahagian luaranya seperti pastri. Satu teknik yang anda harus titik beratkan bila membuat skon, mentega kena sejuk dan bila cecair dimasukkan ke dalam bahan kering, anda kena gaul pantas. Adunan skon biasanya lembik sedikit dan anda kena tabur tepung pada meja kerja dan adunan yang akan kita bentuk. Oven perlu dipanaskan terlebih dahulu kurang lebih 20 minit. Jangan bakar skon terlalu lama, ini akan menyebabkan skon kering dan keras. Untuk resipi ini akan menghasilkan 8 - 9 biji skon, ikut saiz acuan yang anda guna. Che mat guna acuan bentuk hati dan menghasilkan 9 biji skon....Teruja nak mencuba, jomm che mat kongsikan resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung gandum*
1 1/2 camca teh baking powder*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan diayak)
1 camca teh mustard powder (serbuk biji sawi)
2 camca besar parsley cincang
1 cawan parutan keju cheddar
125 gram mentega sejuk, didadu kecil
1 biji telur gred A
1/4 cawan susu segar (che mat guna susu rendah lemak)
1 kuning telur, untuk mengglis
Sedikit jintan putih untuk hiasan
Sedikit cincangan parsley, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 190C, tabur dulang pembakar dengan sedikit tepung. Ketepikan. Dalam satu mangkuk, masukkan bahan2 yang diayak bersama serbuk biji sawi dan cincangan parsley. Gaul rata bahan2 kering tadi. Masukkan mentega sejuk dan gaul ramas dengan hujung jadi sehingga mendapat adunan seperti serbuk roti. Ketepikan.
  2. Satukan susu segar dan telur, kacau dengan garfu hingga sebati. Tuang ke dalam mangkuk berisi bahan2 kering dan gaul pantas menggunakan senduk. Masukkan parutan keju cheddar dan gaul hingga rata (adunan lembut dan melekit2).
  3. Tabur tepung pada meja kerja. Alihkan adunan skon ke atas meja kerja, tabur sedikit tepung dan canai setebal 1 1/2 cm. Terap dengan acuan kegemaran anda dan alihkan ke dalam dulng pembakar. Buat hingga siap. 
  4. Glis permukaan skon dengan kuning telur dan tabur dengan jintan putih dan cincangan parsley. Bakar selama 20 - 25 minit atau hingga permukaan skon keperangan (bergantung pada oven masing2). Keluarkan skon dari oven dan sejukkan atas jaringan. Boleh dihidangkan suam atau pun sejuk....Selamat mencuba!..

Monday, May 25, 2015

SAMBAL HIJAU TOMATO MUDA..

rsz_sambal_hijau_tomato
Assalammualaikum, salam Isnin. Alhamdulillah demam dah ok, tinggal selsema dan batuk2 sikit. Tekak masih payau dan hanya nak makan benda yang pedas dan masam2 sikit. Sebab che mat ada stok tomato muda dalam peti sejuk, ku ambil 2 biji (saiz kecil) dan jadikan ia sambal hijau. Kalau bess guna cili padi sepenuhnya, tapi stok cili padi ada dalam 20 biji, kena lah tambah cili hijau. Cili hijau pulak kaler tak hijau gelap, jenis hijau muda. Sambal che mat pun tak nampak hijau betul, dah macam pucat aje. Buat dia senang dan boleh buat lebih. Ikan bilis che mat goreng garing dan anda boleh gaul dengan sambal bila nak makan, kalau gaul awal2, nanti lemau kurang enak. Kalau nak simpan, simpan sambal dia saja, ikan bilis toksah gaul dulu. Satu lagi ia juga sesuai untuk bulan Ramadan akan datang ini, untuk bersahur atau berbuka. Boleh dipelbagaikan, curah atas ikan goreng, ayam goreng atau pun atas terung yang telah disalai. Kalau nak mencuba che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/3 cawan cili padi hijau
5 batang cili hijau. kerat2
2 biji tomato muda, belah 4 setiap 1
1 biji bawang besar. potong kasar
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, dihiris
1 inci belacan, dibakar
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan bilis ditoskan, perah dan goreng hingga garing. Angkat, dan ketepikan. Cili padi, cili hijau, bawang besar dan tomato dikisar hancur, che mat guna food processor dan guna kaedah pulse, atau anda boleh tumbuk guna lesung batu. Sementara itu bawang putih, buah keras dan belacan dikisar halus guna blender. Ketepikan.
  2. Panaskan 1 cawan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk halus dan bahan2 yang dikisar hancur guna food processor tadi. Kacau rata dan masak hingga wangi. Tambah pes asam jawa dan terus memasak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap lagi. Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng, gaul rata dan matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ikan goreng dan telur dadar.....Selamat mencuba!..


Sunday, May 24, 2015

ASAM PEDAS AYAM GAYA BRUNEI...LAGI?..

rsz_brunei_asam_pedas
Assalammualaikum, salam semua. Sejak semalam che mat kurang sihat, demam + dengan urat2 semua rasa tegang, kat peha tu rasa macam keras aje. Nak masak pun rasa malas sangat. Tapi kena lah masak juga. Pagi tadi che mat masak mi maggi pedas berapi. Guna maggi kari, lepas tu tambah 10 biji cili padi dan topup lagi dengan serbuk lada hitam, tuu dia, lepas makan terus rasa macam sihat, sebab berpeluh sampai kat kepala. Puas juga fikir, nak masak apa. Jadi che mat ambik keputusan masak asam pedas ayam gaya Brunei. Pertama kali masak tu hari, ia mendapat sambutan (tu pasal che mat masak lagi..), dan bahan utama dia selain ayam, ialah rebung. Masakan ini menggunakan santan, dan che mat guna 1 cawan santan biasa, bukan santan pekat sangat. Kalau tak dapat santan segar, anda boleh guna santan kotak dalam 1/2 kotak atau 100 ml bancuh dengan air untuk mendapat sukatan 1 cawan. Masakan ini agak mudah dan bahan2 yang digunakan tak berapa banyak. Terima kasih pada teman Instagram che mat Tunku Zahara atas perkongsian resipi asam pedas ayam gaya Brunei ini....anda harus mencubanya...sedappp!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (kurang lebih 1+ kg), dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan
Rebung secukupnya (che mat guna rebung madu yang telah direbus)
3 batang serai, diketuk
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
2 1/2 senduk nasi cili kisar
3/4 camca besar pes asam jawa
1 cawan santan (sederhana cair)
1 camca teh rata serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
9 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai titik hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Masukkan serbuk kunyit, masak sekejap dan tambah cili kisar. Masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan  ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya dan masak hingga ayam 1/2 empuk, masukkan rebung dan kiub pati ayam (jika guna). Tambah air panas jika perlu. Terus memasak hingga ayam empuk.
  3. Tambah pes asam jawa dan santan. Kacau rata, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhana untuk 5 - 6 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...Wajib cuba yea!...
CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh guna ayam daging untuk masakkan lebih cepat. Dan jika guna ayam daging, anda boleh masukkan rebung ketika anda masukkan ayam. Jika guna ayam kampung atau ayam tua (ayam pencen), anda boleh rebus dulu guna periuk tekanan hingga ayam empuk atau terus masak asam pedas dalam periuk tekanan hingga ayam empuk (kurang lebih 20 minit), kemudian baru masukkan rebung dan santan....


Saturday, May 23, 2015

LEMAK TURI KACANG HIJAU, ATAS PERMINTAAN...

rsz_turi_kacang_hijau
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Baru ada kesempatana nak buka laptop dan jenguh blog. Menu yang anda nampak ni che mat masak Khamis lepas. Bukan panas dari dapur, tapi dah 2 hari punya. Sejak2 ni masa agak terbatas dan masak pun yang biasa2 saja. Macam semalam, che mat cuma bikin ikan bilis goreng curah kicap (gambar dia ada di Instagrm che mat @matgebu ). Lemak turi kacang hijau che mat pernah masak sebelum ni, kiranya ini kali ke dua mencuba. Dan ia menjadi kegemaran bonda che mat sebenarnya. Gandingkan dengan sambal belacan, ikan masin atau ikan goreng dan top telur dadar. Kalau dulu guna udang kering sebagai perencah, kali ni tukar guna ikan bilis pulak. Yang mana satu sedap?...pada che mat dua2 pun sedap samada guna udang kering mau pun ikan bilis. Guna daun turi muda agar tidak liat dan kacang hijau lebih sedikit pun bess, rasa lemak. Kalau ingin mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak daun turi muda
3/4 cawan kacang hijau, cuci dan rebus hingga empuk
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 biji bawang besar hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan daun turi dari tangkainya, cuci dan toskan. Masukkan santan cair ke dalam periuk bersama bawang besar hiris, bawang putih dan ikan bilis (toskan airnya). Kacau rata dan masak hingga mendidih, masukkan kiub ikan bilis (jika guna). Biar sekejap.
  2. Masukkan daun turi, kacau rata dan masak hingga daun turi lembut (tambah air jika perlu). Masukkan kacang hijau rebus dan tuang pati santan. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan, ikan goreng @ ikan masin dan telur dadar....Selamat mencuba!

Thursday, May 21, 2015

AYAM TEMPRA, MENU KLASIK ORANG PERANAKAN...

rsz_tempra_ciken
Assalammualaikum, salam semua. Memandangkan sejak2 ni masak che mat agak terhad dan masa untuk berblog juga tak sekencang dulu, jadi che mat hanya mampu masukkan entri2 mudah untuk anda cuba. Mungkin anda biasa tengok menu seperti dalam gambar. Dalam dunia orang peranakan, masakan tempra ada satu menu yang agak klasik. Dan sama macam masak kicap orang melayu.Ada pelbagai variasi masakan tempra, selain ayam, ikan, telur dan terung juga boleh dimasak tempra. Ini antara hidangan yang menjadi kegemaran ketika dimakan bersama bubur nasi. Anak2 juga sesuai menikmati juadah ini kerana tidak pedas. Ayam tempra antara menu yang che mat cadangkan untuk bulan Ramadan akan datang sebagai hidangan bersahur. Resipi memang senang, kalau anda nak mencuba petang ini pun boleh....resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam potong ikut suka, buang kulit dan cuci bersih, toskan*
1 camca teh serbuk kunyit*
1 camca teh serbuk lada sulah*
3/4 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap 10 minit)
2 biji bawang besar saiz sederhana, hiris bulat dan leraikan
1 biji cili merah, hiris serong
1 biji cili hijau, hiris serong
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 inci halia, hiris nipis
1 batang leek. kerat pendek dan rendam
1 camca besar cuka makan JALEN (boleh ganti dengan jus limau nipis)
2 camca besar kicap pekat JALEN
3 camca besar kicap lemak mansi JALEN
Garam dan gula secukup rasa (jika perlu)
1/2 camca teh serbuk lada sulah
1 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam digoreng hingga masak, tak perlu sampai garing. Angkat dan toskan. Tinggalkan kurang lebih 3 camca besar minyak masak. Tumis halia dan bawang putih hingga harum, masukkan kicap pekat, kicap lemak manis dan air. Kacau rata dan biar mendidih,
  2. Masukkan ayam, dan leek (toskan). kacau rata dan masak hingga pekat. Tambah sedikit gula (anggaran 1 camca teh, tak perlu banyak kerana kicap lemak manis dah rasa manis). Masukkan cuka makan, bawang besar, cili merah dan cili hijau. Kacau rata.
  3. Tambah serbuk lada sulah dan masak sekejap. Rasa dan jika perlu tambah garam, baru masukkan sedikit garam. Biar masak untuk 1 - 2 minit lagi dan boleh matikan api. Taburkan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi atau bubur..


Tuesday, May 19, 2015

IKAN TILAPIA SALAI LEMAK TEMPOYAK

rsz_talapia_tempoyak
Assalammualaikum, salam semua. Che mat kongsikan menu yang masak semalam. Hari ni bonda puasa dan che mat masak lewat sikit, mungkin lepas solat asar nanti. Ikan tilapia pemberian jiran che mat telah selamat ku masak lemak tempoyak, taruk cili padi dan campakkan pucuk ubi simpul sebagai bahan tambahannya. Ikan tilapia che mat salai dalam kuali ajaib saja, tak kuasa nak hidup2kan api. Kalau anda rajin, boleh lah salai kaedah tradisional, guna arang. Masakkan ini style Negeri Sembilan. Tiada bawang digunakan, hanya cili padi dan kunyit hidup. Serai lebih dan kalau suka boleh masukkan daun kunyit. Kalau  nak dapat kuah yang kehijauan, guna cili padi kampung jenis hijau. Kalau nak warna ke oren an, guna cili padi merah. Kunyit memainkan peranan yang amat penting dalam semua jenis masak lemak cili padi. Kalau anda tak makan ikan tilapia, boleh ganti ikan kembong dan sebagainya...resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan tilapia saiz sederhana (saiz lebar tapak tangan)
1 camca teh serbuk kunyit*
3/4 camca teh garam*
1 camca teh minyak masak*
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
15 tangki pucuk ubi, cuci dan toskan
1 liter santan cair
300 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan sedikit gula
Air jika perlu

BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi hijau, jenis kampung
1 1/2 inci kunyit hidup
1 camca besar penuh tempoyak
1  cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tilapia, disiang, kemudian cuci. Perap dengan jus limau nipis atau limau kasturi selama 15 minit. Cuci kembali hingga bersih dan toskan. Lumur ikan tadi dengan bahan2 bertanda (*) hingga rata. Kemudian salai hingga ikan masak pada kedua2 bahagian. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama serai, asam gelugor dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Sementara itu, pucuk ubi disimpul setiap satu dan masukkan ke dalam periuk. Tambah sedikit air jika perlu. Masak hingga pucuk ubi lembut. 
  3. Masukkan ikan dan tuang pati santan. Kacau perlahan dan tambah daun kunyit. Perasakan dengn garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan kacau perlahan2. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..


Monday, May 18, 2015

KUIH BINGKA UBI NYONYA

rsz_bingka_ubi_nyonya
Assalammualaikum, salam semua. Lama juga che mat tak bikin kuih2 untuk minum petang. Siang tadi masa tengah2 sibuk masak kat dapur, che mat teringat ada simpan ubi parut dalam freezer, cepat2 pi keluarkan dan biar sampai lembut. Ubi ni bonda che mat yang parut tempoh hari dan dibekukan untuk guna bila perlu. Biasanya suka bikin lempeng atau dibuat belebat atau lepat. Kalau anda ada stok ubi kayu, parut dan simpan dalam freezer. Boleh tahan dalam jangka masa yang lama. Bila kita nak guna cuma perlu keluarkan dan biar hingga hilang sejuknya. Bonda che mat lebih suka parut ubi guna mesin kelapa. Tapi anda boleh parut guna pemarut kelapa, ikut yang mana anda rasa selesa. 
rsz_bingka_ubi_nyonya1
Dalam pembikinan kuih bingka ubi atau belah2 utara dipanggil kuih bengkang, anda ada dua cara. Pertama toskan airnya atau perah dan kemudian biarkan air perahan tadi dalam 10 - 15 minit untuk mendapatkan sagu ubi yang mendak. Buang airnya dan ambil sagu tadi dan masukkan kembali ke dalam ubi parut, gaul rata. Kaedah lagi satu, anda tak perlu perah gaul sekali harung macam che mat buat ni. Resipi kuih bingka nyonya che mat dapat dari satu buku resipi orang peranakan. Dan pernah cuba buat sekali dulu. Serius sedap dan lembut, yang penting tunggu kuih betul2 sejuk baru potong. Cuma che mat rasa kalau ikut resipi asal, kuih agak manis dan che mat dah kurangkan sukatan gulanya. Bagi anda yang ingin mencuba, resipi ini amat berbaloi dan in sha Allah menepati selera anda....Jomm che mat kongsikan resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram parutan ubi kayu
225 gram gula halus (che mat taruk 180 gram saja)
1/2 camca teh garam
70 gram kelapa parut putih
250 ml santan pekat (boleh guna santan kotak dan tambah air untuk dapat 250 ml)
2 biji telur gred A
2 camca teh esen vanilla
2 camca besar penuh mentega, cair dan sejukkan
1/4 camca teh pewarna kuning makanan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 190C, lenser tin berukuran 8 inci X 8 inci x 3 inci dengan mentega, alas dengan aluminium foil dan biarkan berlebih pada bahagian kanan dan kiri tin (tujuannya nanti bila kuih masak, senang anda nak tanggalkan kuih dari tin). Lenser kan juga aluminium foil tadi. Ketepikan.
  2. Dalam satu bekas, masukkan kelapa parut, garam dan ubi parut, kacau hingga rata. Ketepikan. Sementara itu, dalam bekas lain, masukkan gula dan telur. Kacau dengan whisk hingga sebati dan berkrim. Tuang santan pekat dan kacau rata. Masukkan bancuhan ubi parut tadi, gaul hingga sebati.
  3. Masukkan pewarna kuning makanan, esen vanilla dan mentega cair. Gaul hingga rata dan sebati. Sementara itu masukkan tin kosong ke dalam oven dan biar selama 10 minit. Berhati2 keluarkan tin dari oven dan curah bancuhan kuih bingka ubi ke dalamnya. Ratakan dan masukkan kembali ke dalam oven.
  4. Bakar selama 55 minit hingga 1 kjam atau hingga permukaan kuih kelihatan kering keperangan. Uji dengan mencucuk lidi sate pada bahagian tengah kuih, jika keluarnya bersih, tanda kuih anda cukup masak. Untuk mendapat permukaan kuih yang keperangan, tukar fungi api oven pada 'grill' dan bakar untuk 7 - 8 minit lagi. Sejukkan kuih sebelum dipotong. Selamat mencuba!!..

Sunday, May 17, 2015

GULAI JANTUNG PISANG SAMA KUPANG..

rsz_jantung_kupang

Assalammualaikum, salam Ahad. Dah siap masak ke?...atau hari ni makan luar. Apa2 sekali pun tak kesah lah, janji anda dan keluarga berbahagia selalu. Hari ni nak berkongi satu resipi yang boleh dikategorikan sebagai masakan tradisional atau masakan kampung. Anda pernah makan jantung pisang? Kalau che mat benda2 macam ni agak biasa, nak2 dulu belakang rumah kami bukan main banyak pokok pisang, dan jantung nya selalu menjadi santapan samada direbus, dimasak gulai (seperti dalam gambar), digoreng atau pun bikin kerabu. Ada jantung pisang yang tak boleh dimakan dan berasa agak pahit. Tapi jantung pisang hutan antara tersedap jika dimasak. Jantung pisang nipah paling muai kerana saiznya yang agak besar.

rsz_jantung_kupang1
Kali ni che mat guna jantung pisang 'awak', ia sama saja dengan jantung pisang nipah. Sebab saiznya besar, guna 1 biji sudah memadai, kalau jantung pisang saiz kecil anda boleh guna 2 biji. Dan kupang sebagai rencah pilihan kali ini. Kalau takde kupang, boleh guna ikan bilis, udang kering atau udang basah, ikan masin pun bess juga. Tak perlu risau. Jantung pisang tak perlu dicelur dan satu lagi untuk mengelakkan ia lebam, jangan hiris jantung pisang terlalu awal. Hiris bila sampai masa anda nak masukkan ke dalam periuk. Kita masak dengan santan cair sampai jantung pisang lembut. Kalau nak mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji jantung pisang 'awak' atau pisang 'nipah'
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
Isi kupang segar secukupnya (yang ni ikut budget memasing lah yea)
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar, saiz sederhana
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
10 biji cili padi hijau
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan serai titik, asam gelugor, bahan2 kisar halus dan santan cair ke dalam periuk. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Sementara itu jantung pisang dibuang kulit luarnya hingga jumpa bahagian yang cerah dan lembut. Cuci, kemudian belah 4 dan hiris serong setiap belahan. Terus masukkan ke dalam periuk berisi kuah tadi. Kacau perlahan dan masak hingga jantung pisang empuk.
  2. Masukkan kupang dan kacau perlahan. Tambah sedikit air jika kuah kering. Masukkan santan pekat, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah daun kunyit, dan biar mendidih dengan api sederhana sambil dikacau selalu dan biar hingga jantung pisang empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan dan ikan goreng...

Saturday, May 16, 2015

PARU BERLADO, RINGKAS DAN SEDAP..

rsz_peparu_berlado (1)
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Entri hari ni rasanya macam dah pernah che mat buat dulu, paru berlado. Hidangan yang menjadi kegemaran che mat sejak dulu. Namun jika anda bukan penggemar paru, minta maaf lah yea. Atau anda boleh tukar dengan benda lain, ayam atau daging. Ikan pun boleh tak salah, kan kita yang buat dia. Che mat guna kurang lebih 1 kg paru lembut. Sambalnya agak mudah dan jika anda suka pedas, boleh masukkan beberapa biji cili padi. Tapi che mat guna 100% cili merah hidup. Kalau suka boleh juga tambah daun limau purut. Satu cara untuk mendapat paru berlado yang sedap, ialah bagaimana anda merebus paru itu, maksudnya bahan2 yang kita masukkan semasa merebus. Sedap dimakan bersama nasi atau ketupat. Jika makan lontong, bess juga ditambah paru berlado selain begedil....Nak mencuba?....resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg paru lembu. potong pada 4 bahagian, cuci dan toskan*
4 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu buang kulit)*
1 inci halia, hiris*
2 helai bay leaf*
1 batang serai, diketuk*
Air secukupnya*(*disatukan ke dalam periuk dan rebus hingga paru empuk, tos dan sejukkan)
1 camca teh penuh serbuk kunyit
1 camca teh rata garam
1/2 camca teh lada sulah
1 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
10 biji cili merah
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
4 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Paru rebus yang telah sejuk, dihiris nipis. Kemudian gaul dengan serbuk kunyit, serbuk lada sulah dan garam hingga rata. Goreng paru tadi hingga garing (dalam 5 - 6 minit, gunakan api sederhana dan balik2kan), angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum, masukkan pes asam jawa dan kacau rata. Masak hingga cili garing. Masukkan gula (anggaran 1 camca besar. atau secukup rasa), kacau dan tambah paru goreng tadi. Gaul rata.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya, kacau dan masak dengan api kecil hingga kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan paru berlado bersama nasi panas dan lauk2 lain. Sedap juga dimakan bersama nasi lemak atau lontong.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk merebus paru, che mat suka rebus dalam bentuk ketulan, bila dan empuk dan dah sejuk, baru dihiris nipis. Jika anda rebus guna periuk tekanan (pressure cooker), masa yang diambil hanya 15 minit. Untuk sambal jika anda kurang rajin nak menumbuk, boleh gunakan blender, tapi kena kisar buah keras dan bawang putih dahulu hingga hancur. Kemudian masukkan bawang merah dan cili, kisar hingga hancur, jangan sampai halus. Gunakan butang pulse pada blender....harap dapat membantu...Selamat mencuba!


Friday, May 15, 2015

SINGGANG IKAN CAMPUR BUDU?....

rsz_singgang_ikan_budu
Assalammualaikum, salam Jumaat. Hari ni che mat kurang sihat, jadi masak menu orang kurang sihat. Masak tetap kena buat, maklumlah tanggungjawab. Tak sehat kenapa lah tu agaknya. Entah dari semalam mata kiri ni asyik berair, kemudian melekat2. Tak gatal, tapi kurang selesa. Kalau bangun tidur, terus tak boleh bukak mata, macam kena gam. Terpaksa guna jadi untuk tolak kelopak mata sampau terbuka. Taruk eye mo pun dah, macam nak kena sakit mata pun ada ni. Mintak2 esok ok lah, rimas sebab rasa sepet dan sembab aje, huhu. Berbalik cerita menu hari ni, che mat betul2 tak mood nak masak, dan tekak pun payau sangat. Biasanya kalau tekak tak bess, menu singgang ikan menjadi pilihan. Taruk cili padi lebih sikit dan asam keping taruk 2 biar rasa masam. Tambah tomato ceri dab sedikit budu, yang ni optional, takmo tak yah letak..sedap hirup kuah dia panas2 yang ditambah nasi, kira macam nasi air gitu. Kalau suka makan singgang, jomm che mat kongsi resipi singgang ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan kembong saiz besar
1 batang serai, diketuk
1 inci halia, hiris
1 inci kunyit, hiris
2 keping asam gelugor (guna 1 kalau saiz besar)
5 biji cili padi merah, diketuk
5 biji cili padi hijau, diketuk
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
10  biji tomato ceri (optional)
1/2 kiub pati ikan bilis
2 camca besar budu (optional)
Garam secukup rasa
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tuang air dalam periuk (kurang lebih 4 cawan atau secukupnya). Masukkan bawang hiris, serai, bawang putih, halia, kunyit hidup, asam gelugor, serai dan kiub ikan bilis. Kacau dan masak hingga mendidih.
  2. Tambah ikan kembong dan cili padi merah/hijau. Kacau rata. Masukkan budu, kacau dan masak hingga ikan masak. Tambah garam secukup rasa dan akhir sekali masukkan tomato. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas..


Thursday, May 14, 2015

ASAM PEDAS AYAM GAYA BRUNEI..

rsz_asam_brunei
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat cuba satu resipi yang dikongsi oleh teman instagram yang tinggal di Brunei. Asam pedas ayam gaya Brunei menjadi kegemaran keluarga beliau dan merupakan makanan warisan dari belah ayahanda beliau. Sebelum ni che mat dah cuba acar timun versi Brunei di sini, dan memang sedap! Asam pedas ayam ini tak banyak beza dari asam pedas kita, cuma ia ditambah rebung dan juga santan. Che mat guna 1 cawan santan yang biasa, bukan jenis pekat sangat. Rebung menjadi bahan wajib dalam resipi asam pedas ini. Bagaimana pula rasanya?..Pada tekak che mat, rasa dia unik, dan kuah dia sedap. Rebung tu jadikan asam pedas ayam ini lebih menarik dan istimewa. Che mat guna seekor ayam kampung untuk resipi ini. Saiz ayam kampung bukan besar mana, agak2 dalam 1 kg macam tu lah. Sebelum che mat tuliskan resipi, terima kasih pada Tunku Zahara atas kesudian beliau berkongsi dengan che mat resipi warisan keluarga mereka ini......

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (kurang lebih 1 kg)
2 cawan rebung (che mat guna rebung madu)
3 batang serai, diketuk
1 camca teh rata serbuk kunyit
3/4 camca besar pes asam jawa
1 cawan santan
2 1/2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga harum. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan biar hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya dan masak hingga ayam empuk (jika kuah kering dan ayam belum empuk, tambah air panas secukupnya). Masukkan asam jawa, kacau rata dan tambah rebung. Masak hingga rebung lembut.
  3. Tuang santan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak sekejap lagi. Rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..
CATATAN MAT GEBU :- Resipi yang diberi menggunakan rebung dalam tin, tapi anda boleh guna rebung segar, rebus dahulu dalam air yang ditambah garam, toskan dan boleh gunakan dalam masakan. Anda boleh cedok keluar minyak yang terapung pada kuah asam pedas jika perlu....Selamat mencuba!!



Wednesday, May 13, 2015

UDANG LEMAK NENAS.

rsz_udang_lemak_nanas

Assalammualaikum, salam semua. Sekarang ni waktu siang masa che mat agak terhad dan aktiviti berblog kena kurangkan sedikit. Apa2 pun jika ada keizinan, in sha Allah akan cuba kemas kinikan blog yang semakin kurang entri (kalau ada pun entri masak2 yang biasa, che mat kurang baking2 sekarang ni, sebab tak sapa nak makan). Hari ni bonda masih dalam mood berpuasa. Sebenarnya sejak minggu lepas bonda dah berpuasa dari Isnin hingga Khamis. Dan minggu ini rutin itu berterusan. Che mat masak pun lewat sikit dalam jam 3 petang. Bagi yang tak puasa, makan sajalah apa yang ada. Petang tadi che mat bikin udang lemak nenas. Guna udang harimau dan yang menariknya, udang harimau kalau kita masak, warnanya kemerehan, cantik dan berseri. Kena pulak dengan nenas yang manis rasanya. Pada pendapat che mat lah, menu macam ni amat mudah disediakan. Jika suka pedas boleh guna cili padi, jika tidak guna cili merah saja. Che mat campurkan cili merah dan cili padi...

page
Di samping itu, che mat buat juga sambal belacan (kali ni mat gebu yang hempuk sendiri itu sambal sampai halus..bukan omek den!). Berulamkan daun pegaga dan ikan goreng (takde dalam gambar sebab che mat goreng lambat sikit, sekitar jam 6.45 petang tadi). Resipi senang dan menu seperti ini juga menjadi pilihan orang peranakan untuk dimasak pada hari kebesaran mereka. Kalau orang melayu kita memang makanan tradisi, jadi tak hairan sangat lah kan. Bagi yang nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji nenas madu saiz sederhana
10 - 12 ekor udang harimau
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
7 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, cuci dan toskan. Nenas dikupas, belah 4 dan buang empulurnya. Hiris sederhana tebal dan masukkan ke dalam periuk bersama serai titik dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak sekejap.
  2. Tuang santan cair dan masukkan asam gelugor. Kacau dan biar mendidih. tambah udang dan masak hingga udang berubah warna, Tuang pati santan dan  masukkan daun kunyit. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi hingga nenas empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, ikan goreng dan ulam2man....Selamat mencuba!!..


Monday, May 11, 2015

ASAM PEDAS IKAN PARI SAMA JERUK MANDAI.

rsz_1apipm
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Memandangkan bonda puasa, che mat masak agak lewat sikit dalam jam 3 petang macam tu. Pagi tadi che mat goreng mi hoon tauco, kalau nak resipi boleh ke instagram @matgebu , kat situ ada resipinya. Ingat tak che mat tu hari ada masak mandai kat sini? Kali ni test masukkan dalam masakan asam pedas pulak (kalau anda perasan dalam gambar ,'mandai yang kat tengah2 tu, yang che mat hias atasnya dengan daun limau purut). Sedap dan wangi kuah asam pedas. Ikan pari menjadi pilihan dan ini terpulang pada anda nak guna ikan apa. Teman2 che mat kasi tau, mandai ialah makanan tradisi orang Bajar dan diperbuat dari jerami cempedak yang dijeruk dalam air garam. Kira ni seakan2 sawi jeruk, tapi rasanya amat istimewa dan wangi dengan aroma cempedak. Resipi asam pedas seperti biasa yang anda penah lihat. Kalau ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 gram ikan pari
1 cawan jeruk mandai (jeruk jerami cempedak)
1 batang serai, diketuk
2 kuntum bunga kantan (kalau besar guna 1 kuntum)
1/2 camca besar pes asam jawa
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca teh lada hitam kisar
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang mera kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci  halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, cuci dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Mandai dicuci bawah air paip, kemudian perah dan ketepikan. Bunga kantan dibelah 2 setiap satu.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Tambah pes asam jawa dan kacau rata. 
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1.2 liter), kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan pari dan bunga kantan. Biar sekejap dan boleh masukkan mandai. Kacau dan biar mendidih dengan api sederhana. Masukkan lada hitam, kiub ikan bilis (jika guna) sedikit gula dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.


Sunday, May 10, 2015

SAMBAL IKAN KEMBONG..

rsz_ikan_sambel
Assalammualaikum, salam Ahad. Hari ni che mat masak menu paling senang dan semestinya menjadi santapan paling sesuai dibukan Ramadan akan datang nanti. Kalau dihidangkan bersama nasi lemak juga sesuai. Selain ikan kembong, che mat juga suka gunakan ikan selar kuning @ ikan cekik leher untuk bikin sambal tumis. Che mat suka makan sambal tumis dengan nasi panas dan berulamkan timun, amat2 simple. Kalau anda masak lemak putih, boleh hidangkan dengan sambal tumis ikan. Selain itu sesuai juga dicicah roti atau lempeng. Kalau nak cicah pulut kuning pun boleh. Che mat, kalau sambal macam ni tak habis, kita keluarkan isi ikan tu, gaul dengan sambal dan jadikan inti untuk sandwich. Satu lagi, masa masak, sambal biar berkuah dan taruk ikan dan masak sampai pekat. Dengan cara ini sambal akan meresap dalam ikan dan rasa isi ikan lebih sedap.....Resipi seperti berikut.

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ikan kembong saiz besar, siang, cuci bersi dan kelar2 sedikit*
3/4 camca te serbuk kunyit*
1/3 camca teh garam*(*disatukan dan gaul rata, perap sekejap)
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1/2 camca teh pes asam jawa
1 cawan air
1 1/2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Daun limau purut, dimayang halus untuk hiasan (optional)

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kembong digoreng hingga masak, tak perlu sampai garing, cukup ikan digoreng lembab2 saja. Kalau terlebih goreng nanti ikan jadi keras. Angkat dan toskan. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan), tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau rata. Masak dengan api kecil hingga garing dan naik minyak. 
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air. Biar mendidih, perasakan dengan sedikit garam dan masukkan ikan. Balik2kan ikan dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat. Masukkan bawang besar dan kacau peralahan.
  3. Masukkan sedikit gula dan kacau rata. Rasa dan jika kurang masin boleh tambah sedikit lagi garam atau secukup rasa. Masak sekejap lagi dan matikan api. Alihkan ke dalam bekas sesuai dan tabur hirisan daun limau purut, jika suka. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.


Friday, May 8, 2015

SELAMAT HARI LAHIR ANAKANDA ZAHRA...

( gambar dari www.benashaari.com )

Masih teringat kegembiraan jiran che mat, Ben Ashaari dan Azila (isteri beliau) menerima kehadiran seorang puteri sebagai pelengkap kehidupan mereka setelah lahir anak 'lanang' mereka sebelum itu (sorry Qhaliff, pak tua mat terlupa hari lahir Qhaliff tempoh hari ). Dan pada saat anda baca entri ini, cukup setahun sudah usia anakanda Zahra Nur Iman. Ini pertama kali pak tua mat tulis entri untuk Zahra. Pak tua mat doakan Zahra diberi kesihatan dan dipermudahkan untuk menjalani kehidupan hingga dewasa nanti. Menjadi anak perempuan, hebat dugaannya, tapi pak tua mat percaya, Zahra, in sha Allah dapat menempuhinya dengan penuh ketabahan dan kecekalan. Moga Allah swt beri keteguhan iman pada jiwa dan raga anakanda. Sebagai pesanan seorang pak tua pada Zahra, ingatlah, siapa pun kita, di mana pun kita berada dan apa pun kedudukan kita nanti....ibu dan ayah jangan sesekali kita belakangkan....Selamat hari lahir anakanda Zahra Nur Iman Bt Salbani..

~: Pak Tua Mat :~
12.00 a.m bersamaan 8hb Mei 2015 

Thursday, May 7, 2015

SWEET SOUR IKAN BERNENAS

rsz_sweet_sour_nanas
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni hari masak ringan2. Errr, bukan hari2 ke che mat masak ringan2. Ada masa kita nak masak menu yang mudah dan cepat. Contoh macam hari ni, che mat tadi dah masak sup petola sama tauhu telur, tapi sebab menu tu mudah sangat, che mat dah kongsikan di Instagram. Anda boleh lihat di instagram che mat di @matgebu . Lepas tu, goreng pulak ikan selar papan sekor. Ikan ni saiz dia agak besar juga, lepas goreng tu, nampak macam biasa2 sangat, macam togel aje. Dan dalam peti sejuk ada baki nenas semalam punya. Ok, jomm kita bikin sweet sour campur nenas. Resipi pun bukan susah sangat, lambakkan apa yang ada dalam kuali, masak dengan sos cili dan sos2 lain...ok siap dah. Nampak pun menarik, rasa dia...ehemm, tentulah sedap. Sesuai ni kalau anda ibu2 bekerja dan balik nak masak menu yang cepat, boleh cuba resipi che mat ni.....Jommm kita memasak!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan selar papan (atau anda boleh guna ikan bawal, siakap atau kerapu), siang dan cuci bersih
1 camca teh serbuk kunyit*
3/4 camca teh garam*
1/2 camca teh serbuk lada sulah*
1/4 bahagian trafficlight capsicum, didadu
1/3 cawan isi nenas yang didadu
1 camca besar cili kisar
1 camca besar sos plum LIFE
2 camca besar sos cili Thai LIFE
2 camca besar sos tomato JALEN
1 biji bawang besar saiz kecil, belah 4 dan leraikan
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 hirisan nipis halia, cincang halus
1/2 cawan air
1 biji limau kassturi
Sedikit sos ikan
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan disiang, kemudian cuci bersih. Buat beberapa kelaran  pada ikan tadi. Gaul dengan bahan2 bertanda (*) hingga rata. Kemudian goreng hingga masak kekuningan. Angkat, toskan minyaknya dan alihkan ke dalam pinggan sesuai. Ketepikan sementara kita bikin sosnya.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang putih dan halia hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos cili thai, sos plum dan sos tomato. Kacau rata dan tuang air. Biar mendidih.
  3. Masukan nenas dan bawang besar. Masak hingga nenas lembut dan masukkan trafficlight capsicum. Perasakan dengan sos ikan secukupnya. Akhir sekali tambah jus limau kasturi, kacau rata dan rasa (mesti ada rasa masam, manis dan masin), jika ok boleh matikan api. Tuang atas ikan goreng tadi, ratakan dan tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain... Selamat mencuba!!.


Wednesday, May 6, 2015

LEMAK CILI PADI...WARISAN ORANG REMBAU...

rsz_cili_perot_rebung
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat masukkan entri yang sepatutnya beberapa hari lepas punya. Tapi tak berkesempatan dan menu ini che mat masak Jumaat lepas. Lemak cili padi satu menu yang amat2 sinonim dengan negeri tanah adat, iaitu Negeri Sembilan. Pada pendapat che mat orang2 Negeri Sembilan amat2 pentingkan sedara mara atau 'waghih2' (waris2). Macam mana che mat tau, ehemm, datuk che mat (melayu) orang sana (Labu), dari suku biduanda dan uwan (Rembau) dari suku tiga nenek....errr, bertambah pelik kan sebab kat sana ada suku2..yang tu anda boleh google pasal negeri adat pepatih. Lemak cili padi babat sama rebung ni bahan2nya amat mudah dan betul2 mengikut gaya orang nismilan masak. Hanya gunakan cilipadi, kunyit, serai, santan, asam gelugor, garam dan secubit gula. Identiti masakan mereka, kuning, pekat dan pedas. Kalau teringin nak mencuba, che mat tuliskan resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 gram babat, cuci dan toskan*
1 inci halia, diketuk*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*(*direbus hingga babat lembut)
600 gram rebung (boleh guna yang jeruk atau yang segar)
4 batang serai, diketuk
1 keping asam gelugor
1 helai daun kunyit, disiat
2 liter santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
40 biji cili padi kampung
2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Toskan babat yang telah direbus tadi, biar sejuk. Kemudian potong kecil, masukkan ke dalam periuk bersama rebung (kalau rebung jeruk, cuci dan toskan. Kalau rebung segar, rebus 15 minit dalam air mendidih yang dicampur sedikit garam, kemudian toskan), serai dan bahan2 kisar halus. Kacau rata.
  2. Masak hingga mendidih, masukkan asam gelugor dan tuang santan. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga mendidih, masukkan daun kunyit. Kacau sentiasa dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda guna cili padi kampung warna hijau, anda akan dapat masak lemak cili padi yang kehijau2an, kalau guna cili padi masak (warna merah), kuah masakan anda seperti dalam gambar...Kalau tak tahan pedas boleh kurangkan...Selamat mencuba!!

Tuesday, May 5, 2015

MALAS MASAK?...KITA MAKAN KUEY TEOW GORENG.

rsz_ktg2
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat cuma nak makan kuey teow goreng saja, tapi bukan yang susah buat, nak yang senang dan cepat. Ok, che mat bikin sesenang boleh, tak guna sambal tumis, tapi guna cili kisar sahaja dan ditambah air rebusan tulang (sebenarnya kuey teow goreng ni sedikit berkuah dan basah). Kalau takde anda boleh guna air biasa saja atau masukkan sedikit kiub pati ayam. Selain tu che mat masukkan udang dan isi kerang, tapi isi kerang kiut sangat, sampai tak kelihatan, puas juga korek2 dan taruk kat atas tapi tetap kurang kelihatan, mungkin kalau anda lihat betul2 akan nampak terselit kat mana2, celah cili jeruk tu ada sekor. Ok lah sebab che mat dalam mood boring sangat, tak boleh nak bebel lama2. Jomm kita lihat resipi mudah ini...Hidangan untuk 2 orang...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram kuey teow
Taugeh secukupnya, dibersihkan, cuci dan toskan
7-8 tangkai pokok kucai, potong pendek
1 camca besar cili kisar
1 camca teh petis (otak udang)
1 biji telur, kacau sedikit
8 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1/4 cawan isi kerang
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca besar kicap pekat JALEN
Sos ikan secukup rasa
2 cawan air rebusan tulang lembu (atau boleh guna air biasa + sedikit kiub pati ayam)
Cili hijau jeruk, untuk dimakan bersama kuey teow goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah kicap lemak manis dan petis, kacau rata. Masukkan udang dan isi kering. Gaul rata dan masak sekejap.
  2. Tolak ke tepi kuali, masukkan telur dan bila telur kental, hancurkan dan gaul rata. Tuang air rebusan, kacau dan biar mendidih. Sederhanakan api, sementara itu, taruk kuey teow dalam tapis dan cuci bawah air paip. Toskan sekejap dan masukkan ke dalam kuali. Kacau rata.
  3. Masukkan kicap pekat dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Gaul rata. Tambah taugeh dan kucai, kacau hingga mesra, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan cili hijau jeruk. Sedap dimakan panas....Selamat mencuba!!.


Sunday, May 3, 2015

KERABU PERUT SAMA TAUGEH

rsz_kerabu_perot1
Assalammualaikum, salam Ahad. Jumaat dan Sabtu che mat tak berkesempatan nak mengadap laptop, sibuk dengan urusan lain. Dan hari Jumaat tu ada masak dan sempat juga ambil gambar, Esok in sha Allah che mat masukkan entri tu yea, walaupun dah basi. Hari ni kita lihat resipi yang mudah. Kerabu perut sama taugeh yang mudah dibuat dan cukup sedap dimakan bersama nasi panas dan topup ikan goreng sudah memadai. Katalah anda tak suka taugeh, boleh saja ganti dengan kacang panjang atau kacang botol. Tak pun ganti dengan daun selom. Menggunakan santan pekat sebagai salah satu bahan utama. Tips untuk mendapat kerabu yang sedap senang saja...ikut citarasa anda yang penting dalam setiap kerabu mesti ada rasa pedas, masin, manis dan masam yang seimbang. Dan aroma dari herba2 yang kita gunakan seperti serai, bunga kantan dan limau purut dan sebagainya memberi identiti kerabu. Nak mencuba?...jomm lihat resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram perut lembu (babat) cuci bersih*
1 inci halia*
3 ulas bawang putih*
3/4 camca teh garam*(*disatukan dan rebus hingga babat empuk)
2 genggam longgar taugeh, dibersihkan
1 biji bawang besar, hiris halus
1 kuntum bunga kantan, hiris halus
1 batang serai, ambil bahagian putih sahaja dan hiris halus
2 helai daun limau purut muda, hiris halus (jika saiz daun besar, guna 1)
5 biji cili padi hijau, hiris halus
5 biji cili padi merah, hiris halus
2 camca besar kerisik
3/4 cawan pati santan
3 biji limau kasturi
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji cili merah
1 biji bawang merah kecil
1/2 inci belacan,dibakar


CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan babat, biar sejuk kemudian hiris halus. Satukan bahan tumbuk halus dengan santan. Kacau rata dan masak sekejap, tak perlu sampai mendidih, masak hingga suam, perasakan dengan garam dan sedikit gula. Taugeh letak dalam tapis dan siram dengan air panas, tos dan biar sejuk.
  2. Dalam satu bekas, masukkan hirisan perut, taugeh, bawang besar, bunga kantan, daun limau purut, serai. cili padi dan kerisik. Gaul hingga rata. Masukkan santan yang dimasak tadi dan gaul lagi hingga mesra.
  3. Perahkan jus limau kasturi secukupnya (jangan perah semua anda perah 1-2 biji dulu ke dalam kerabu, gaul dan rasa, jika perlu baru tambah lagi). Rasa dan tambah apa yang perlu sama ada garam atau gula. Kemudian boleh dihidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.... Selamat mencuba!!..



Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.