BEN ASHAARI

Friday, February 27, 2015

BUTTERMILK PANCAKE YANG GEBU...

rsz_buttermilk_pancake (1)
Salam semua, mula2 nak taruk entri ini esok pagi, tapi bila fikir2 balik, taruk malam pun ok juga, sekurang2nya boleh beri idea pada pengunjung blog che mat. Bila kita berblog masak2, bukan nak tunjuk kita ni hebat, pandai segala2nya, tapi sekadar berkongsi dengan mereka yang rasa memerlukan (ayat 100 juta kali ulang dah tu). Memang kami blogger masakan tidak ada pendidik formal, kecuali kalau ada chef2 yang buka blog, itu mungkin dalam kategori profesional barangkali. Dan mereka ada sijil perakuan dan mereka memang memerlukan benda2 sebegitu untuk mendapat pekerjaan. Tapi mereka juga perlu melalui proses pendidikkan amali untuk memantapkan skill, bukan setakat baca nota dan cuba sikit, kemudian terus jadi profesional. Kalau kita yang memasak di rumah ini walaupun tidak 'setaraf' dengan mereka, tapi rasa che mat skill kita lebih mantap dari mereka, cuma mungkin tidak menepati standard antarabangsa lah kan. Satu lagi pasal buku masakan, kalau kita lihat yang tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang masakan masih boleh menghasilkan buku masakan yang jauh lebih laris dari chef2 yang ada nama, maaf bukan nak mengaitkan dengan siapa2, tapi ianya kenyataan, contohnya Kak Hanieliza dan blogger2 masakan lain....Che mat bila lagi?...part che mat tu tak perlu lah, kita ni masih tak layak untuk semua itu...Ok lah, kita tinggalkan cerita yang remah temeh tu, moh semak resipi pancake yang mungkin anda boleh bikin esok sebagai sarapan pagi....Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan + 1 camca besar penuh  tepung berserbuk penaik (self-raising flour)*
1/2 camca teh soda bicarbonate*
1/4 camca teh garam halus*(*gaul rata dan ayak)
1 biji telur gred A
1 camca besar penuh gula kastor
1 cawan + 4 camca besar susu segar
1 camca teh cuka makan JALEN
1/2 camca teh esen vanilla
2 camca besar mentega, cair dan sejukkan
Ais krim vanilla untuk dimakan bersama pancake
Sedikit madu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh susu segar dengan cuka makan, dan biarkan sekejap. Sementara itu,masukkan tepung yang telah diayak dalam satu bekas, masukkan gula kastor dan gaul rata. Tambah telur dan kacau. Perlahan2 tuang bancuhan susu dan cuka (buttermilk) sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk hingga sebati dan buttermilk habis.Tuang pula mentega cair dan esen vanilla, kacau rata hingga licin dan tidak berbintil2. Rehatkan 5 minit.
  2. Panaskan non-stick pan, lenser dengan sedikit minyak atau mentega, kemudian lap dengan tissue dapur bersih. Cedok 1/4 cawan adunan pancake, kemudian tuang perlahan di bahagian tengah pan tadi. Pastikan api kecil. Biar hingga permukaan pancake berlubang2 dan kering sedikit, kemudian terbalikkan. Masak untuk 1 minit lagi dan boleh angkat. Buat kaedah sama untuk baki adunan, pastikan anda lenser dengan sedikit minyak atau mentega sebelum menuang adunan pancake yang baru.
  3. Hidangkan bersama ais krim vanilla atau apa2 ais krim pilihan anda, dan jika suka drizzle dengan sedikit madu. Hidangkan sebagai sarapan pagi....Selamat mencuba!!...
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda tiada stok tepung berserbuk penaik atau self-raising flour, anda boleh guna tepung gandum biasa (sukatan sama seperti dalam resipi), kemudian campurkan 1 camca teh penuh baking powder bersama2 soda bicarbonate dan garam halus, gaul rata dan diayak.


SUP KENTANG BEBOLA IKAN

rsz_kentang_soup_bebola_ikan_salmon
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Cuaca panas dan kering, lepas tu tekak pulak dah perit semacam. Pagi tadi bangun tidur tiba2 suara tukar jadi itik serati, cute gileer, dengan rambut ala2 naga cap goh meh, haishh, serius..,boleh bayangkan tak naga suara itik?..Mengerikan sangat. Pagi tadi untuk sarapan che mat sempat bikin buttermilk pancake, tapi dalam masa sama ada permintaan mi hoon goreng. Sebab yang nak makan tu orang tengah pantang, jadi che mat gorengkan mi hoon sempoi sangat2. Takde udang, takde daging, cuma taruk telur. Tengah hari tadi masak sup kentang saja, lepas tu goreng telur dadar, goreng ikan masin untuk Bak dan che mat ulam bawang besar taruk kicap dan patah2 kan cili padi. Oh yea sup kentang tu mula2 macam togel aje, jadi che mat cempakkan bebola ikan, che mat guna bebola ikan salmon jenama 'mushroom'. Resipi memang senang, kira sesuai untuk cuaca panas macam sekarang ni. Ok jomm kita lihat resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji kentang saiz sederhana
8 kuntum cendawan butang dalam tin, ditoskan
8 biji bebola ikan salmon jenama 'mushroom'
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
1200 ml stok air rebusan tulang ayam
1/2 camca teh serbuk lada hitam (aji-shio)
Beberapa titik minyak bijan
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Garam secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, belah 4 setiap 1 dan rendam. Cendawan butang dibelah 2 setiap 1. Ketepikan. Panaskan 2 camca besar minyak dalam periuk, tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum, masukkan leek (toskan), dan kacau rata, Tambah kentang (toskan) dan kacau rata. Tuang stok air rebusan ayam dan biar mendidih.
  2. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan bebola ikan dan cendawan, kacau dan masak hingga kentang empuk. Tambah garam secukup rasa, serbuk lada hitam, minyak bijan dan soo hoon, masak sekejap hingga soo hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama nasi, ikan goreng dan sambal belacan. Sedap juga dimakan begitu sahaja....

Thursday, February 26, 2015

AYAM PONGTEH UNTUK SEKIAN KALINYA..

rsz_pongtehh_ciken

Assalammualaikum, salam Khamis. Tatau nak masak apa hari ni. Dah hari2 mengadap dapur sampai bosan pun ada. Bukan takde bahan2 mentah dalam freezer tapi kebanyakkannya kurang sesuai untuk dimasak bila ada yang berpantang. Nak masak udang nanti Bak tak boleh makan sebab gaot. Kalau ikutkan ayam pongteh ni pun tak boleh sebab ada tauco, tapi che mat buat juga lah sebab buntu dah nak masak apa. Selain tu che mat goreng kobis, campur ikan bilis dan soo hoon (nak ikutkan ikan bilis pun tak boleh juga...haish). Ayam pongteh ni sebenarnya apa?...Ia satu hidangan tradisi orang2 peranakan Baba Nyonya, dan dihidangkan dihari2 perayaan mereka. Ia seakan2 ayam macam kicap, tapi tak guna kicap banyak dalam kuantiti yang banyak. Kentang dan cendawan shiitake antara bahan penting. Ada yang masukkan rebung, tapi che mat lebih suka ayam pongteh yang macam ini.

rsz_pongtehh_ciken1

Ia satu masakan tidak pedas dan sesuai juga untuk anak2. Dan pada akhir masakan dimasukkan cili merah dan cili hijau yang dipatah2kan (che mat potong sederhana tebal). Ayam pongteh lenih enak kalau dibiarkan beberapa jam sebelum dihidangkan. Boleh dimakan sama nasi putih atau anda boleh cicah roti. Bila menghidangkan ayam pongteh, sambal belacan wajib ada, kira pendamping setia. Untuk resipi ini che mat guna 1/2 ekor ayam saiz sederhana. Bagi yang tak suka atau susah nak dapatkan cendawan shiitake (samada yang segar atau yang kering, kalau yang kering anda kena rendam dalam air panas hingga cendawan kembang), anda boleh ganti dengan cendawan butang dalam tin. Ok, joommm kita mula memasak...(terima kasih blogger ini sebab...ehemmm...cuba baca dulu...terharu ai)..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam saiz sederhana, dipotong kecil, cuci bersih dan toskan
3 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
10 kuntum cendawan shiitake segar, cuci dan toskan
2 camca besar tauco, dihancurkan sedikit
1 camca besar kicap pekat JALEN
2 camca besar kicap cair
2 camca besar gula perang
3 cawan air (atau secukupnya)
1 biji cili merah, dipotong kasar
1 biji cili merah, dipotong kasar
8 biji bawang merah kecil*
4 ulas bawang putih*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan 4 camca besar minyak dalam periuk. Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan taucu dan kacau rata. Masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan ayam dan kicap pekat. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air, kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan kentang dan masak dengan api sederhana hingga ayam 1/2 empuk. Masukkan cendawan shiitake dan kicap cair. Kacau dan terus memasak hingga ayam empuk. Tambah gula perang, kacau dan masak sekejap. Akhir sekali masukkan cili hijau dan merah, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan dan ulam2man...

Wednesday, February 25, 2015

PIZZA MUDAH DARI DAPUR CHE MAT...

rsz_pizzza

Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni kita makan pizza sudah lah. Malas nak masak2 sangat. Dan entah kenapa hari ni semua orang tekak tak selera nak makan nasi sangat. Pagi tadi dah goreng nasi, baki semalam yang tak habis. Tapi che mat masak nasi juga lah sikit, kot2 kalau Bak nak makan nanti idok leer susah nanti, tinggal masakkan lauk aje. Pizza yang che mat bikin ni memang mudah dan kalau anda yang biasa dengan blog ini, pasti anda perasan dah beberapa kali che mat masukkan entri pizza ni. Untuk roti atau base, che mat guna tepung gandum sahaja. Dan lembut sampai ke petang...err..tak sempat lembut dah licin...

rsz_pizzza1
Bahan-bahan, che mat guna amat yang ringkas dan mudah didapati, sosnya hanya guna sos tomato, tapi kalau anda nak campurkan sos cili pun boleh. Atau guna sos lada hitam. Inti ikut anda, che mat guna sosej AYAMS, anda boleh guna sosej daging, atau sosej yang dicampur lada hitam atau nak guna isi ayam pun boleh, tapi pastikan anda tumis dulu daging ayam tadi dengan sedikit bawang putih dan halia. Apa makna pizza tanpa keju mozarella yang bertali2 bila dimakan masa panas. Yang tu memang anda kena ada lah untuk mendapat rasa pizza sebenar. Bahan lain iut suka, boleh tambah apa saja, tapi jangan banyak sangat kang terlebih meriah sangat...Ok, kalau ingin nak mencuba, che mat kongsikan resipi yang mudah ini...Jommm..

BAHAN-BAHAN DOH PIZZA :-)
300 gram tepung gandum
6 gram instant yeast
20 gram mentega
10 gram gula halus
1 1/2 camca besar madu
1 camca teh bread improver
1/4 camca teh garam
175 ml air suam
Sedikit tepung gandum untuk ditabur pada papan pencanai

BAHAN-BAHAN TOPPING PIZZA :-)
1 1/2 cawan sos tomato JALEN
2 cawan parutan keju mozarella
1/4 bahagian traffic light capsicum, didadu kecil
1/2 cawan isi nenas, didadu kecil
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
4 batang sosej AYAMAS, celur sekejap, toskan dan hiris serong
10 biji black olive (optional)
10 biji green olive (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH PIZZA :- Dalam mangkuk kecik, masukkan instant yeast, 1 camca teh gula halus(guna gula halus dari dalam resipi yang 10 gram tu) dan 1/2 bahagian air suam (guna air suam yang 175ml tadi). Kacau rata dan biar sekejap hingga berbuih (tutup mangkuk tadi dan biarkan 5 minit). Sementara itu dalam mangkuk pengadun, masukkan tepung gandum, bread improver, mentega, baki gula, garam dan madu, gaul hingga rata dan sebati. 
  2. Tuang bancuhan yeast yang telah berbuih tadi dan kacau hingga sebati. Tuang baki air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga bancuhan menjadi doh yang tidak melekat dimangkuk adunan. Bulat2kan doh, letak dalam mangkuk besar dan bungkus mangkuk tadi dengan plastik bersih. Perap 1 jam hingga doh kembang.
  3. UNTUK MEMBUAT PIZZA :- Panaskan oven pada suhu 180C, lenser 2 loyang pizza bulat berukuran 9 inci dengan sedikit minyak zaitun. Taburkan sedikit tepung pada meja kerja, keluarkan doh dan tumbuk untuk membuang udara. bagi doh kepada 2 bahagian. Ambil 1 bahagian, canai bulat dan alihkan ke dalam loyang pizza. Tekan2 hingga memenuhi loyang tadi dan pastikan tepinya sedikit tebal.. (anda boleh rujuk di sini ). 
  4. Sapu dengan 1/2 bahagian sos tomato hingga rata. Tabur 1/2 bahagian hirisan nenas, 1/2 bahagian traffic light capsicum yang didadu, 1/2 bahagian bawang, 1/2 bahagian sosej yang dihiris, 5 biji black olive, 5 biji green olive dan 1/2 bahagian parutan keju mozarella hingga rata. Bakar 20 - 25 minit pada rak bawah hingga keju cair dan keperangan sedikit. Keluarkan pizza dari oven, biar sekejap dan boleh alihkan ke dalam pinggan lain. Potong dan hidangkan..
  5. Sementara anda bakar pizza pertama, lakukan baki doh dan baki bahan2 seperti anda buat pizza yang pertama tadi. Bila pizza pertama masak, keluarkan dan anda masukkan pizza yang kedua......mudah bukan....selamat mencuba!


Tuesday, February 24, 2015

BUBUR AYAM 'BUKAN' ALA MAC D...

rsz_ciken_bubur

Assalammualaikum, salam Selasa. Sekarang ni cuaca dah mula panas dan kering. Jadi che mat elakkan makan yang terlampau pedas, tapi bukan tak pedas langsungm dah tekak melayu ni kalau tak pedas mana ngam, tawar hebey aje jadinya. Hari ni kita masak bubur ayam dan ia satu hidangan ringkas dan sesuai kalau anda tak sihat badan. Bila sebut bubur ayam, ada yang kata 'bubur ayam style Mac D ke?...Kali ni takde der Mac D, tapi style che mat gebu. Bubur ayam satu hidangan yang amat mudah dibuat dan cara anda nak menyajikannya, boleh ikut kreativiti anda. Che mat elakkan bubur ditabur ikan bilis goreng kerana ini kan bubur ayam, kalau bubur makanan laut tu boleh lah guna ikan bilis goreng. Tapi tak salah anda nak letak...

rsz_ciken_bubur1

Selalunya beras wangi atau beras siam sesuai dibuat bubur kerana kandungan kanjinya agak tinggi. Tapi kan, beras Nasional tu pun sedap dibikin bubur, cuma anda perlu cuci banyak kali kerana banyak bendasing dalam nya. Kali ni che mat guna periuk tanah bersaiz comel, che mat masukkan bubur yang telah siap, panaskan dengan api kecil, bila nampak mendidik aje, pecahkan telur dan jangan dikacau, biar telur masak dengan sendiri. Anda boleh makan dengan kicap jika suka. Ok, kalau nak mencuba bubur ayam 'bukan' ala Mac D ini, che mat kongsikan resipinya dibawah ini....Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan beras (che mat guna beras cap rambutan)
2 liter air
1 helai daun pandan, disimpul
1 cawan mix vege (karot, jagung, kacang pis)
1 cawan kacang merah yang telah siap direbus (atau guna yang dalam tin)
1 batang serai, diketuk
1 inci halia, hiris nipis
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji bawang holland, didadu kecil
1 kuib pati ayam MAGGI (optional)
1 camca teh lada sulah
1/2 camca teh minyak bijan
2 camca besar minyak masak
1 keping dada ayam (sebesar tapak tangan dewasa), hiris nipis, cuci dan toskan
Garam secukup rasa
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Kacang tanah goreng, untuk hiasan
Sedikit serbuk lada hitam atau lada sulah
Telur ayam...

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Cuci beras dan toskan. Panaskan minyak dan minyak bijan. Tumis bawang besar, bawang putih, serai dan halia hingga harum. Masukkan ayam dan serbuk lada sulah, kacau rata dan masak hingga ayam berubah warna. Masukkan beras, kacau dan masak sekejap.
  2. Tuang air, masukkan daun pandan dan kiub pati ayam (jika guna). Biar mendidih dan beras kembang. Masukkan mix vege dan kacang merah. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga beras menjadi bubur (moi), kalau suka bubur cair, boleh tambah sedikit air panas. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan matikan api.
  3. UNTUK HIDANGAN :- Cedok bubur dalam periuk tanah saiz kecil. Masak dengan api kecil hingga bubur mendidih. Pecahlan sebiji telur dan biar telur masak (jangan dikacau). Matikan api. Tabur hirisan daun bawang, bawang goreng, kacang tanah goreng dan sedikit lada hitam kisar. Boleh hidangkan..... Selamat mencuba!.

Monday, February 23, 2015

PACERI BUAH KEDONDONG ATAU AMRA...

rsz_paceri_amra
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat masak awal. Tapi rasa liat sangat nak tulis entri blog. Nasib baik lah che mat blogger masakan, tak perlu nak stress sangat. Pernah makan paceri buah kedondong atau buah amra?..Che mat sendiri pun baru pertama kali cuba. Plan nak buat entah berapa kali, tapi bila pi petik buah amra, kupas, gaul sama asam boi, terus lupa nak bikin paceri. Tapi hari ni lain cerita. Awal2 pagi lagi kupas siap2 (buah che mat dah ambik petang semalam), dalam 15 biji macam tu. Sebab tak pernah buat, che mat google juga macam mana nak diperlakukan pada si amra tu sebelum dimasukkan ke dalam kuah paceri. Ada macam2 versi, direbus 1/2 empuk dan ada masukkan terus dan masak hingga amra empuk. Ok che mat pilih cara rebus 1/2 empuk, baru masuk dalam kuah paceri. Resipi untuk kuah paceri tu sama macam che mat biasa buat, cuma ada tambah bahan2 lain sikit. Tapi kali ni tak letak udang kering sebab Bak kan ada gaot, dan memang tengah berpantang makan benda2 macam tu...Kalau anda nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
15 biji buah amra/buah kedondong
2 bji cili hijau, belah 2 setiap 1 dan rendam
2 biji cili merah, belah 2 setiap 1 dan rendam
2 1/2 camca besar rempah kari daging (Baba's)
1 camca besar sebuk ketumbar
1/2 camca besar serbuk jintan manis
2 camca besar cili kisar
2 camca besar penuh kerisik
4 camca besar gula perang (atau secukup rasa)
1 cawan pati santan
3 cawan air
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Buah amra/kedondong dikupas, cuci. kemudian rebus hingga setengah empuk (che mat cucuk2 sikit buah amra dengan garfu sebelum direbus, berhati2!), toskan. Cili merah dan hijau dibelah 2 tapi tak putus setiap 1 dan di rendam (che mat guna cili akar, dan masukkan sebiji2). Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari, serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis, kacau rata dan tambah sedikit air jika perlu. Kacau hingga menjadi pes. Ketepikan
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1/2 cawan. Masukkan bahan2 tumis dan juga cili kisar. Masak hingga cili garing. Tambah pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan gula perang dan santan, kacau rata. Biar mendidih.
  3. Tuang air dan masukkan kerisik, kacau dan bila mendidih, masukkan buah amra tadi dan gaul rata. Masak hingga buah amra empuk. Perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan cili merah dan cili hijau. Masak hingga pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi berperisa atau nasi putih.... Selamat mencuba!.


Sunday, February 22, 2015

AYAM MADU RANGUP ALA KOREA...

rsz_ayam_madu_ala_korea
Assalammualaikum, salam Ahad. Errr..terakhir che mat up date blog Rabu lepas kan?...Maksudnya 3 hari cuti. Biasalah keadaan tak mengizinkan, sebab ada kerja sikit dan kebetulan tahun baru cina lepas che mat buat sesuatu untuk dibawa beraya. Macam tu lah blog masakan, kalau tak masak, takde leer entri. Che mat ni pulak bukan biasa dok makan2 kat luar. Tapi takpe lah, apa yang kita buat tidak mengganggu orang lain dan kita rasa bahagia, sudah lah. Pada che mat lah kan, bila kita dikenali ramai, dan akhirnya, kita didatangi dengan pelbagai masalah, kebencian dan bermusuhan, itu bukan satu pencapaian yang bagus. Itu pendapata che mat lah, mungkin orang lain tak sama...Ok tutup kesah tu, sekarang ni perhatikan entri pertama che mat selepas tahun baru cina. Semalam che mat menerima kunjungan teman blogger Sis Linn dan Suejoshua sekeluarga. Dan che mat ada lah masaka2 sikit, masak yang mudah2 aje. Nak taruk entri pun menu anda dah biasa lihat dalam blog. Tapi kan che mat ada cuba satu resipi Korea....Korea?...

rsz_sis_linn
Dan kebetulan tu hari Sis Linn ke Korea, makan angin, dibawanya buah tangan yang begitu comel, kiut dan misteri sekali untuk che mat. Cermin Hikmat, kalau tengok cermin ni, tiba2 muka jadi ala2 korean makan sambal belacan..haha. Tapi memang cun okeh, nak2 bahagian belakang cermin yang dihias cantik. Terima kasih atas tanda ingatan yea linn. Ok, atas permintaan, che mat tuliskan resipi ayam madu rangup ala Korea....Jommmm....

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 keping kepak ayam saiz besar
2 ulas bawang putih, tumbuk halus
1/2 inci halia, tumbuk halus
1 camca teh garam
Tepung kentang seckupnya (anggaran 1 - 1 1/4 cawan)
1/3 cawan kacang tanah goreng
1 camca besar bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi

BAHAN-BAHAN SOS :-)
1 cawan madu (boleh guna 'golden syrup)
3 ulas bawang putih, dicincang halus
3 tangkai cili kering, buang biji, dan hiris memanjang
1 camca besar gula perang
1 camca besar mustard
1 camca teh cuka makan 'JALEN'
1/2 camca teh garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepak ayam dicuci, kemudian potong 2 setiap 1, cuci dan toskan. Gaul dengan halia dan bawang putih yang ditumbuk halus serta garam. Gaul rata dan perap 30 minit. Kemudian salut setiap satu dengan tepung kentang (anda boleh beli dipasaraya, Tesco, MyDin, Aeon, Giant dan sebagainya atau di kedai2 baking). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Goreng ayam tadi selama 5 minit, balik2kan, kemudian angkat dan toskan minyaknya. Panaskan kembali minyak, gunakan api sederhana dan goreng sekali lagi hingga kuning keemasan, balik2kan ayam agar masak sekata. Angkat dan toskan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 3 camca besar. Tumis bawang putih yang dicincang halus dan juga cili kering, hingga harum. Masukkan madu (atau golden syrup), gula perang, cuka makan, mustard dan garam. Kacau rata dan masak hingga berbuih, guna api kecil.
  4. Masukkan ayam goreng tadi dan gaul hingga rata. Tambah kacang tanah dan bijan. Kacau rata2 dan boleh matikan api. Sedap dimakan begitu saja atau bersama nasi...Selamat mencuba!!

Wednesday, February 18, 2015

KEK PISANG LEMBAB BERKEJU...

rsz_banana_cheese_cake
Assalammualaikum, salm Rabu. Sebenarnya che matdah tulis sikit entri ni malam tadi, tapi mata pulak mengantuk sangat2 macam kena pukau aje. Jadi hari ni terpaksa ku delete yang malam tadi punya dan tulis semula, agar ia lebih relevan untuk hari baru. Kisahnya semalam, che mat agak bosan gak lah kat rumah. Terpandang pisang yang sedara che mat beri, dah cukup masak ranum. Nak bikin cekodok rasa malas sangat, jadi kita bikin kek pisang. Ini resipi mudah, dan sesuai bagi mereka2 yang tak makan mentega, sebab guna minyak jagung saja (kalau takde minyak jagung, ganti dengan minyak masak pun boleh, jangan guna minyak enjin sudah lah yea..kang terbaring di ward ICU, che mat tak bersalah ok!). Kalau anda nakkan kek yang lebih lemak, anda boleh gantikan minyak jagung dengan mentega cair, boleh letak 1/2 bahagian mentega cair dan 1/2 bahagian minyak jagung...

rsz_banana_cheese_cake1
Untuk mencari kelainan, che mat masukkan 1/2 cawan parutan keju cheddar. Bertambah2 lah kesedapannya...ehemm. Kalau anda simpan satu hari dan makan keesokkannya, bertambah lembut, lembab dan lunak. Pastikan simpan dalam bekas bertutup. Che mat guna acuan bundt-pan atau acuan bulat berlubang tengah. Acuan istimewa ini pemberian Kak Azlita Masam Manis dan amat2 cantik corak pokok bunga tulip. Anda boleh guna acuan bulat berukuran 9 inci. Dan jika anda guna acuan biasa, anda juga boleh taburkan parutan keju cheddar atas kek tadi. Sebab che mat guna acuan bundt-pan, jadi tak payah tabur. 

acuan kek pisang
Sebelum che mat tulis resipi, satu lagi nak pesan, kalau anda guna acuan seperti dalam gambar atau sebarang acuan bewarna hitam, sila turunkan suhu antara 10c - 15c dari suhu yang disyorkan dalam resipi (contohnya kalau suhu dalam resipi 180C, anda turun pada 170C atau 165C). Sebabnya, acuan warna hitam menyerap haba lebih tinggi dari acuan aluminium biasa dan ini akan menyebabkan kek anda cepat gelap tapi dalamnya masih tidak cukup masak. Ok, jika nak mencuba, che mat kongsikan resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram tepung gandum*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh garam halus*(*digaul rata dan diayak)
1/2 cawan parutan keju cheddar
5 biji telur gred A
120 gram gula perang (soft brown sugar)
15 gram ovallate (kurang lebih 1 camca besar rata)
225 gram pisang emas, 
3-4 titik perisa pisang (atau boleh guna esen vanilla)
225 ml minyak jagung (boleh guna mentega cair, jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C (sebab che mat guna acuan warna hitam, che mat guna suhu 160C). Lenser acuan dengan mentega hingga rata. Lecek pisang bersama perisa pisang atau esen vanilla hingga hancur. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk adunan, gaul perang dengan ovallate hingga sebati. Masukkan telur (kesemua sekali). kemudian putar hingga rata. Tukar pada kelajuan tinggi dan putar hingga adunan kembang dan pekat seperti adunan kuih bahulu. 
  3. Sederhanakan kelajuan, masukkan pisang lecek dan putar rata. Masukkan tepung yang diayak sedikit demi sedikit hingga habis. Tambah parutan keju dan putar rata. Akhir sekali tuang minyak jagung, gaul rata dengan spatula. 
  4. Tuang dalam acuan dan ratakan. Bakar selama 45 - 50 minit atau hingga masak. Uji dengan lidi sate bersih dan cucuk bahagian tengah kek. Jika keluar bersih, tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan dari acuan. Sejukkan sepenuhnya kek atas jaringan. Boleh hidangkan..

Tuesday, February 17, 2015

SAYUR KAILAN IKAN MASIN..

rsz_kailan_ikan_masin
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masak sayur kailan ikan masin. Lama juga tak menjamah menu ini, dan tu hari sedara che mat bagi sayur kailan. Sebabkan masa tu dah masak sayur lain, sayur kailan ni kami bungkus dengan surat khabar dan simpan dalam peti sejuk. Alhamdulillah masih segar sehingga hari ini (che mat dapat sayur ni pada hari Jumaat lepas). Seperti biasa, kalau kailan, paling sesuai ditumis sama ikan masin. Che mat pilih ikan masin tenggiri jeruk. Selain isinya lembut dan bau aroma ikan masin tenggiri jeruk ni kan..ehemm "seksi sangat"...haha..sebatu boleh bau dah. Tapi bila anda dah masak dengan sayur kailan, rasa dia...masya Allah, memang mengancam sangat. Ini satu menu ringkas yang semua orang boleh masak. Bahan2nya juga tak banyak dan paling penting garam anda kena jaga, rasa dulu sebelum anda tambah garam. Che mat gantikan garam dengan sos ikan...Nak mencuba?..Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak sayur kailan
1 camca besar penuh isi ikan tenggiri masin yang dipotong kecil
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji cili merah, hiris
2 camca besar sos tiram
1/2 cawan air
Sos ikan secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci sayur kailan, kemudian rendam dalam air yang dicampur 1 camca besar garam selama 10 minit. Toskan, asingkan batang dan daunnya. Potong daun sayur kailan dan ketepikan. Batang sayur kailan diketuk2 sedikit dengan pisau, kemudian hiris. Ketepikan
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Goreng ikan masin tenggiri hingga harum dan keemasan, guna api kecil. Tolak ke tepi kuali. Masukkan hirisan bawang besar, bawang putih dan cili merah. Kacau rata dengan ikan masin tadi dan masak hingga bawang layu.
  3. Tambah sos tiram, kacau dan tuang air. Masukkan batang sayur kailan dan masak hingga empuk. Masukkan pula daunnya, besarkan api, kacau dan masak hingga lembut. Rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit sos ikan atau secukup rasa. Gaul rata dan boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!.


Monday, February 16, 2015

ASAM PEDAS IKAN PARI LADA HITAM..

rsz_ikan_pari_asam_lada_hitam
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni masak asam pedas ikan pari lada hitam. Nama macam panjang, tapi resipi kurang lebih sama, cuma lebihkan lada hitam. Lada hitam mesti yang baru ditumbuk, kalau yang dah siap kisar tu pun boleh cuma kurang harum. Awal2 dah kasi tau kat FB, yang che mat akan masak asam pedas, kalau ada yang kata ok boleh buat entri, baru che mat jadikan ia entri, bukan apa dah terlalu kerap, sikit2 asam pedas, macam membosankan aje. Seperti biasa, ikan pari menjadi pilihan utama che mat. Anda tak makan ikan pari, boleh ganti dengan apa jenis ikan yang anda suka, ikan tenggiri, ikan kembong, ikan merah, atau ikan bawal pun boleh. Takde masalah. Sawi jeruk anda boleh ganti dengan terung, bendi dan sebagainya. Nak memasaknya memang mudah dan pada che mat asam pedas satu hidangan yang sedap dimakan setelah beberapa jam dimasak kerana rasanya lebih sebati dan mesra dengan segala rencah2 yang kita gunakan. Resipi seperti berikut dan terima kasih kerana masih memberi sokongan pada blog ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 gram ikan pari
3 kelopak sawi jeruk
1 batang serai
2 kuntum bunga kantan
1/2 camca besar pes asam jawa
1 camca besar lada hitam (boleh kurangkan), tumbuk halus
2 senduk nasi cili kisar
1 camca teh serbuk kunyit
1 kiub pati ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau kasturi selama 15 minit, cuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil, cuci dan rendam. Serai diketuk, bunga kantan dibelah 2 setiap 1 kuntum. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). tumis serai titik hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 6 cawan). Biar mendidih. Masukkan ikan pari dan kiub pati ikan bilis (jika guna). Biar masak sekejap. Tambah sawi jeruk dan bunga kantan.
  4. Tambah lada hitam, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga ikan masak dan sawi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangka bersama nasi, telur dadar dan ulam-ulaman..


Sunday, February 15, 2015

GULAI PISANG MUDA SAMA IKAN MASIN..

rsz_pisang_ikan_masin
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni kita menggulai pisang muda. Tempoh hari masa che mat ke Labu Negeri Sembilan menghadiri undangan majlis perkahwinan saudara terdekat kami, menu hidangan mereka ada terselit gulai pisang muda sama ikan masin. Bila balik bonda che mat pun asyik dok menyebut2 aje nak masak gulai pisang muda. Semalam semasa menziarah sedara che mat, dan dia memang ada kedai runcit, kebetulan ada pisang muda. Alhamdulillah, rezeki, dapat lah dalam 2 sisir macam tu pisang  kapas yang muda (kurang lebih 1 kg). Bukan tu  saja dapat juga kelapa...moga Allah murahkan rezeki beliau. Maka pagi tadi bermulakan operasi memasak gulai pisang muda sama ikan masin. Seperti biasa ikan masin pilihan che mat, ikan masin kurau (che mat guna 5 ketul tulang ikan masin yang masih ada isinya), tapi anda boleh guna ikan talang, ikan duri atau ikan sepat masin, terpulang. Kalau gulai di Negeri Sembilan dah tentu pedas dan berapi, tapi gulai che mat tidak pedas sebab Bak tak tahan pedas. Memasaknya agak mudah. che mat kongsikan resipinya dengan anda....Jommmm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg pisang muda (pisang kapas)
5 ketul tulang ikan kurau masin yang masih ada isi
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1500 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1 camca besar ikan bilis, rendam dan toskan
1 biji cili merah
10 biji cili padi (boleh tambah atau kurangkan)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang dicuci bersih, dan buang segala kekotoran yang ada pada kulit pisang. Kemudian belah 2 pisang muda tadi. Rendam. Ikan masin kurau terlebih dahulu dicuci, rendam sekurang2nya 1 jam untuk mengurangkan rasa masin terlampau. Ganti air rendaman dengan air baru setiap 20 minit. Kemudian toskan.
  2. Toskan pisang muda, masukkan ke dalam periuk bersama2, asam gelugor, serai titik dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih dan pisang 1/2 empuk. Masukkan tulang ikan masin kurau dan daun kunyit. Kacau dan masak sekejap. Jika kurang kuah, anda boleh tambah sedikit air.
  3. Tuang santan pekat, kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga pisang empuk, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, telur dadar dan ikan goreng.


Saturday, February 14, 2015

SUP KAMBING ALA MAMAK..

rsz_sop_kambeng
Assalammualaikum, salam semua...tak sempat nak update blog siang tadi. Maka malam ini che mat usahakan juga menulis satu entri resipi. Kadang2 material untuk entri memang dah ada, cuma idea menulis agak tumpul. yelah kita ni nak merepek meraban pun kena gak ada 'isi', bukan main harung begitu saja. Anda pernah makan sup kambing mamak?...Mesti ada yang pernah dan ada yang tidak. Dan che mat dengan konfidennya cuba membuat sup kambing ala mamak, siang tadi. Rasanya tak susah mana cuma dari sumber2 yang che mat baca di Internat, sup kambing mamak ni, kuahnya pekat, berempah, dan agak 'keras' dari segi aromanya. Dan ada pelbagai cara che mat baca untuk menjadikan kuahnya pekat, ada tu dicampur dengan kentang yang direbus kemudian dilecek dan ada yang menggunakan tepung kacang dhal. Tapi che mat tak taruk semua tu dan alhamdulillah kuah sup tetap pekat...

rsz_sop_kambeng1
Walaupun cara che mat masak mungkin tidak seasli masakan mamak (yelah dah kita ni pun bukannya 'mamak blood'. yea dak), tapi rasa dia in sha Allah sedap. Bagi yang tak makan kambing, anda boleh saja ganti dengan daging lembu, atau guna tulang lembu yang ada daging. Kaedah memasak sedikit beza dari biasa. Rempah ratus ditumis darat, kemudian baru dimasukkan ke dalam daging kambing yang telah direbus. Ada yang kata, di kedai mamak, mereka asingkan isi dengan kuahnya, dan jika ada pelanggan nak, baru mereka letakkan isi kambing yang telah direbus tadi dalam mangkuk dan dicurah kuah sup. Pada pendapat che mat, kalau mereka masukkan sekali daging kambing yang telah direbus dalam kuah, dan kuah pula sentiasa panas, sudah pasti daging kambing akan hancur lunyai, yelah dah berjam2 dalam kuah sup yang mendidih, logik kan?..Apa2 pun itu hanya dari kotak fikiran che mat saja, selebihnya 'rahsia' encik mamak yang bikin sup itu. Jika nak mencuba versi che mat, resipi seperti dibawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
700 gm daging kambing (che mat guna bahagian peha), dipotong
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
2 biji buah pelaga*
5 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
4 biji kentang saiz sederhana, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
1 batang lobak merah, dipotong berbaji, rendam
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 helai daun pandan, disimpul
2 batang serai, diketuk
1/2 camca besar lada hitam, tumbuk halus
1 1/2 camca besar rempah sup Adabi*
1 camca besar penuh rempah kurma Adabi*
1/2 cawan air*(*dibancuh hingga menjadi pes rempah)
5 biji bawang merah kecil. hiris
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
10 biji cili padi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul daging kambing dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata. Perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Masukkan ke dalam periuk bersama2 daun pandan, serai, rempah tumis, lada hitam tumbuk, daun sup yang dikerat kasar dan air secukupnya. Kacau dan masak hingga mendidih.
  2. Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Goreng bawang merah hiris hingga perang, pastikan jangan hangus. Kemudian masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata. Tambah pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Kemudian masukkan rempah yang ditumis tadi ke dalam periuk berisi daging kambing. Kacau rata dan terus merebus hingga daging kambing empuk. Masukkan kentang dan lobak merah, kacau dan jika perlu tambah sedikit air panas. Masak hingga kentang dan lobak merah empuk. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. Cedok sup kambing ala mamak ke dalam mangkuk sesuai, tabur hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Hidangkan bersama roti atau nasi. Kalau nak makan dengan ketupat pun boleh.....Selamat mencuba!!..

Friday, February 13, 2015

GULAI REBUNG MADU SAMA IKAN MASIN KURAU

rsz_rebung_ikan_masin
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Sebelum tu che mat ucapkan takziah pada kaum keluarga tokoh terbilang yang amat disegani, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang pulang ke rahmatullah malam semalam...Al-fatihah, takzia juga untuk rakyat Kelantan. Moga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya...aminnn. Anda masak apa hari? Che mat masak atas permintaan sebenarnya. Lama juga takde stok rebung madu, sejak2 musim panas ni pokok buluh madu tak galak mengelurakan rebung, kalau ada pun sekali sekala saja ia muncul. Mula2 che mat nak masak sama udang, tapi kenangkan bak tak boleh makan, jadi ganti dengan ikan masin kurau, che mat campur tulang dan isi ikan. Untuk kurangkan rasa masin, tulang dan isi perlu direndam lama sedikit, kurang lebih 1 jam atau lebih. Satu lagi jangan masukkan awal, nanti isi ikan akan hacur, masuk dipertengahan sebelum anda tuang santan pekat...pening eks?..takpe, kita cerita nanti yea..Jomm masak!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram rebung madu yang telah disiang dan direbus
5 ketul ikan masin kurau 
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji cili merah
10 biji cili padi
Secubit belacan 

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terlebih dahulu ikan masin dicuci, kemudian rendam selama 1 jam, dan setiap 20 minit gantikan air rendaman dengan air yang baru. Masukkan rebung ke dalam periuk bersama serai titik dan bahan2 kisar halus. Gaul rata.
  2. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan asam gelugor dan biar masak dengan api sederhana selama 10 minit atau rebung lembut. Tambah ikan masin (toskan) tadi dan tuang pati santan. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa.
  3. Masukkan daun kunyit. Perasakan dengan sedikit garam (atau secukupnya) dan gula (kurang lebih 1/2 camca teh). Kacau dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan, telur dadar dan ikan goreng...Selamat mencuba!!


Thursday, February 12, 2015

PENGAT LABU BIJI SAGO.

rsz_1pengat_lelabu

Assalammualaikum, salam Khamis...hari sibuk che mat. Pagi2 tadi dah memasak, lepas tu ada urusan lain pulak. Hampir jam 4 baru siap, siap makan dan ambik gambar. Bila dah ambik gambar, ada masalah pulak nak resize kan gambar, entah kena dengan laman web tu pun tatau lah. Beberapa kali cuba, masih tak ok, sampai angin dah ni..geramm dah ni, nak kata lupa baca bismillah, dah baca banyak kali....dan akhirnya setelah mencuba hampir 20 minit, ia berfungsi seperti sedia kala. Alhamdulillah, baru lah ada mood nak update blog. Sebabkan dah petang, che mat masukkan entri pengat labu saja lah yea. Eleehh...entri pengat je ke, kita pun tau buat...Yang mana tau buat tu dipersilakan duduk hujung dunia, ni untuk yang tatau atau kurang tau. Yelah nampak benda senang, tapi ada gak yang tak berapa nak reti buat. Kalau di Johor, hidangan pengat popular dibulan2 puasa. Ada pelbagai jenis pengat dan anda boleh juga satukan beberapa bahan untuk jadikan satu hidangan pengat yang muhibah, contohnya, pengat labu, anda boleh masukkan keledek, ubi dan bubur caca. Ikut apa yang anda suka, cuma jangan lah terlalu banyak jenis, nanti jadi caca merba sangat, bingung pulak nak makan. Bagi yang ingin mencuba pengat labu, resipi seperti di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 labu manis
2-3 camca besar biji sago rumbia (ikut suka)
1 helai daun pandan, disimpul
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1/2 camca teh garam
1 ketul gula melaka, potong kecil*
1/2 cawan gula pasir*
2 cawan air*(*dimasak hingga gula melaka dan gula pasir larut, tapis dan ketepikan)
Air jika perlu
Roti atau biskut untuk dimakan bersama pengat labu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas labu, kemudian dipotong dadu, cuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama2 daun pandan, biji sago dan santan cair. Masak hingga mendidih hingga biji sago kembang dan labu 1/2 empuk.
  2. Masukkan air gula dan garam. Kacau rata dan jika suka kuah lebih anda boleh tambah sedikit lagi air. Bila mendidih, masukkan santan pekat. Kacau perlahan dan masak hingga labu empuk. Rasa dan jika suka manis anda boleh tambah gula pasir secukup rasa. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama roti, biskut atau boleh dimakan begitu sahaja..

Wednesday, February 11, 2015

LEMAK CILI PADI IKAN KELI SALAI SAMA BELIMBING BULUH..

rsz_keli_salai1

Assalammualaikum, salam Rabu. Alhamdulillah gusi che mat dah ok, tapi tak boleh nak makan yang keras2 sangat, kena berhati2 juga sebab baru saja baik. Jadi nak makan kacang tanah goreng pun bimbang, buatnya terhentak kat gigi bahagian gusi yang sakit tu, mau terkucil kang, huhu. Hari ni che mat masak lemak cili padi ikan keli salai sama belimbing buluh, panjang giler nama, tak muat surat beranak kalau nama baby macam tu punya menjela. Ikan keli salai ni pemberian saudara che mat. Ahad lepas kan kita orang ada jemputan kawen ni Kampung Pulau di Labu, Negeri Sembilan, masa balik tu singgah rumah beliau. Dihidangkan lempeng kelapa cicah lemak cili padi ikan tilapia merah salai campur pucuk ubi...sedapp okeh, yelah orang Nismilan tulen yang masak, air tangan tu yang buat ia jadi sedapp. Masak balik, dibekalkan pulak ikan keli salai, tu yang che mat on kan projek memasak pagi tadi...ehemmm...

rsz_kelai_salai
Bahan2 untuk memasak lemak cili padi ini tak delah banyak sangat. Dan secara tradisinya orang Negeri Sembilan memasak tanpa bawang, tapi kunyit dan cili harus lebih. Santan kelapa memainkan peranan utama, kena pekat (tapi sekali2 ok lah kan, pekat sangat ni pun ngeri juga bab kolestrol!). Che mat suka gantikan asam gelugor dengan perahan jus limau kasturi. Tapi tengok juga lah, kalau masak cili padi yang ada tempoyak, jus limau kasturi kurang sesuai. Cili padi kampung lebih enak, walaupun anda guna yang warna hijau, ia tetap harum dan rasa sedap, berbanding cili padi thai, ada rasa maung. Ada yang tanya che mat di InstaGram, macam mana nak salai ikan keli. Biasanya ikan keli kita siang (kalau dapat keli sungai lagi sedap), kemudian cuci, gaul dengan tepung gandum dan perap sekejap. Cuci kembali dan perap sekali lagi dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci dan toskan. Lumur dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, kemudian salai atas bara api untuk mendapat aroma yang sedap, balik2kan ikan agar masak sekata. Kalau salai atas kuali atau oven pun boleh, tapi tak dapat bau seperti ikan salai sebenar. Ok...jomm kita mula memasak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan keli salai, saiz sederhana
2 batang serai, diketuk
12 biji belimbing buluh, dibelah 2 tapi tak putus
1 helai daun kunyit, disiat
2 biji limau kasturi, perah jusnya
1 liter santan cair
450 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
35 biji cili padi kampung, warna hijau (boleh kurangkan)
2 inci kunyit hidup
3 ulas bawang putih (kalau besar, guna 1 atau 2 ulas saja)

KELI SALAI

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk. Masukkan juga serai yang diketuk dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan ikan keli salai dan daun kunyit. Kacau perlahan dan masak sekejap.
  2. Tuang pati santan, kacau. Biar mendidih dengan api sederhana. Masukkan belimbing buluh. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan2 dan masak sekejap lagi. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau dan biar mendidih dengan api kecil. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain....Selamat mencuba!!

Tuesday, February 10, 2015

UBI REBUS GORENG...

rsz_ubi_rebus_goreng1
Salam semua, huhu, che mat sakit gusi, hadoi payah nak mengunyah, gigi ok, tak sakit, tapi gusi bengkak sikit. Tapi masa che mat tulis entri ni dah ok sikit, tak denyut2 dah cuma ada rasa sengal2 aje. Tapi kan, tak padan dengan sakit gusi, petang tadi boleh che mat goreng ubi dan bikin sambal tumis. Ubi tu rebus pagi tadi dan masa rebus tu, masukkan 3 ulas bawang putih, untuk dapat rasa ke bawangan dan aroma. Tapi tu optional, kalau tak suka tak payah letak. Kalau nak goreng terus boleh, tapi keras dan che mat pun tak boleh nak melanyak ubi goreng kalau ia keras, gusi sakit!. Bila dah direbus, kemudian digoreng, ubi akan jadi lebih lembut, lemak dan senang dimakan. Lawannya dah tentulah sambal tumis ikan bilis. Resipi sambal tumis ikan bilis tu kerap dah che mat letak, cuma kali ni che mat rendam sekejap ikan bilis tu dalam air panas supaya lebih lembut, faham2 aje lah yang nak makan siapa, yea dak. Tu saja lah nak cerita...jom kita lihat resipi

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ubi kayu 
2 camca besar penuh garam
3 ulas bawang putih, cuci dan diketuk (tak perlu buang kulit)
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN SAMBAL TUMIS :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
3 senduk nasi penuh cili kisar
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/2 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK UBI REBUS:- Kupas ubi, cuci dan kerat2 pada saiz sederhana. Masukkan ke dalam periuk bersama2 bawang putih, garam dan tuang air hingga ubi tenggelam. Rebus hingga ubi empuk (bila kelihatan ubi kembang dan pecah2 sedikit). Toskan airnya dan tenggekkan periuk berisi ubi rebus atas dapur dan hidupkan api, biar baki air rebusan kering (jangan tinggalkan dapur anda..nanti ubi rebus hangus!!). Tutup api dan biar ubi sejuk.
  2. UNTUK SAMBAL TUMIS:- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan sedikit air (anggaran 1/4 cawan air), kacau rata dan masak sekejap. Masukkan ikan bilis (tos dan perah) dan bawang besar hiris. Gaul dan masak hingga bawang lembut. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masak hingga sambal pekat dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK UBI REBUS GORENG :- Ubi rebus yang telah sejuk dibelah pada saiz sederhana (kurang lebih sebesar jari telunjuk), buat hingga siap. Kemudian goreng terendam ubi rebus tadi dalam minyak panas hingga kuning keemasan, guna api sederhana besar. Balik2kan agar ubi masak sekata. Angkat, toskan minyaknya dan letak atas paper towel agar minyak terserap. Hidangkan bersama sambal tumis ikan bilis dan jangan lupa kopi O....Selamat mencuba!!


DAGING KICAP HALIA...

rsz_daging_haliaa
Assalammualaikum, salam Selasa. Masak simple saja hari ni dan ini antara yang che mat masak selain singgang serani dan bubur nasi sup ayam. Sebenarnya sekarang ni tak boleh dah nak makan daging lembu sangat, sebab ada yang tekanan darah tak stabil dan gaot (che mat sendiri tengah sakit gusi nih...huhu...denyut2 okeh..,grrrr). Tapi che mat masak lah juga sebab daging ni dah lama tersimpan dalam freeze, daging raya Qurban tahun lepas. Adalah kurang lebih dalam 600 gram. Jadi che mat masak halia, tapi tambah sos lada hitam dan kicap pekat. Kalau dah nama masak halia, memang halia kena taruk lebih sikit. Biar angin dalam badan semua kena tendang keluar. Tambah pulak ada lada hitam dan bawang putih, hmmm, faham2 aje lah kan. Kalau anda tak makan daging lembu, boleh ganti dengan ayam. Resipi mudah, dan ada dua pilihan, samada nak guna daging batang pinang atau daging biasa. Kalau daging batang pinang, mudah dimasak dan cepat. Kalau daging biasa kenalah anda rebus sampai empuk. Tapi che mat sarankan guna daging batang pinang...mahal sikit takpe, sekali2 betul tak...Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram daging batang pinang, hiris nipis, cuci dan toskan*
1 inci halia, ditumbuk halus*
2 ulas bawang putih, tumbuk halus*
1 camca besar sos tiram*(*disatukan, gaul rata dan perap 1 jam)
1 inci halia, hiris nipis
2 ulas bawang putih, hiris nipis
2 camca besar sos lada hitam
1 camca besar kicap pekat JALEN
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
Sedikit hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia hiris hingga harum, masukkan daging yang diperap, kacau rata dan masak hingga berubah warna. Tambah sos tiram, kicap pekat dan kicap lemak manis. Tuang sedikit air dan kacau rata.
  2. Masak hingga daging lembut. Masukkan bawang besar dan masak hingga bawang layu. Rasa jika kurang masin anda boleh tambah sedikit garam atau kicap masin JALEN. Masak hingga pekat (atau boleh dibiarkan berkuah, ini tepulang pada anda). Matikan api dan tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan.

Monday, February 9, 2015

KEK CHIFFON PANDAN..

rsz_chiffon_pandan_gebu

Assalammualaikum, lambat che mat dapat bersiaran hari ni. Siang tadi kami menerima tetamu, saudara che mat. Dah terlanjur mereka datangm che mat bikinkan kek chiffon pandan ini untuk dimakan sebagai santapan selingan. Memandangkan isteri beliau tak makan kek yang ada mentega, che mat rasa kek chiffon paling sesuai, sebab hanya gunakan minyak jagung. Kek ini telah che mat oleh dengan mengurangkan gula untuk mendapat rasa yang kurang manis. Bersaiz agak besar dan sesuai dijamu pada tetamu (tau keluarga dan teman2). Kadang2 kita nampak cara membuat kek chiffon agak mudah, tapi ada kala meragam juga, che mat sendiri pernah hadapinya. Dan banyak juga resipi2 yang telah dicuba, ada yang amat2 menjadi dan ada yang kurang menjadi seperti lekuk ditengah, atau masa kita sejukkan kek chiffon dalam keadaan terbalik, keknya tidak melekat pada acuan dan terus melurut keluar...

rsz_chiffon_pandan_gebu1

Seperti anda tau, kek chiffon ialah sejenis kek span yang lembut dan gebu. Membuatnya menggunakan acuan yang khas untuk kek chiffon. Dan kek bila masak, kena dikeluarkan dari oven, kemudian terus diterbalikkan tinnya. Biar hingga dalam keadaan terbalik hingga kek sejuk. Nak cepat, anda boleh halakan kipas angin pada tin kek tadi. Satu lagi anda boleh guna pelbagai perisa yang anda suka. Pandan memang menjadi pilihan ramai, tapi anda boleh guna perisa keladi, blueberi, stoberi. mocha atau pun vanilla. Che mat letak sedikit santan dan sesuai jika anda guna perisa keladi atau pandan. Jika guna perisa lain, boleh ganti santan dengan susu segar. Untuk pandan anda ada 2 pilihan, samada nak guna perisa atau pun jus dari pandan segar yang dimesin dan ambil jusnya. Che mat guna perisa pandan saja...Resipi memang mudah dan in sha Allah jadi dengan sempurna kalau anda buat.....

BAHAN-BAHAN A :-)
6 kuning telur gred A
120 gram gula kastor
100 ml santan (atau susu segar)
70 ml air
100 ml minyak jagung
225 gram tepung gandum*
1 1/2 camca teh baking powder*(*disatukan, gaul rata dan ayak)
1 1/4 camca teh pes pandan
Secubit garam

BAHAN-BAHAN B :-)
6 putih telur gred A
100 gram gula kastor
1/2 camca teh cream of tartar

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 175C, sediakan acuan untuk kek chiffon bersaiz 26cm (jangan disapu dengan mentega, biar macam tu saja). Ketepikan. Dalam satu mangkuk besar, satukan kuning telur, gula dan garam. Kacau dengan whisk hingga semua sebati dan berkrim. Tambah pati santan, air dan pes padan. Kacau hingga sebati.
  2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata, adunan akan menjadi kental. Tuang minyak jagung, kacau hingga sebati dan adunan jadi licin. Ketepikan sebentar.
  3. Dalam mangkuk yang kering dan bersih. masukkan putih telur, putar hingga berbuih, masukkan cream of tartar dan terus putar. Masukkan gula sedikit demi sedikit dan terus putar hingga mendapat adunan yang kental (bila anda terbalikkan mangkuk, putih telur tak jatuh).
  4. Ambil 1/4 bahagian putih telur, kemudian gaul dengan adunan pandan hingga sebati, tambah lagi 1/4 bahagian putih telur dan gaul dengan adunan pandan hingga sebati, gunakan kaedah kaup balik untuk baki putih telur. Buat hingga siap dan gaul hingga adunan rata (adunan akan menjadi banyak dan ringan).
  5. Tuang dalam acuan, ratakan dan bakar selama 50 minit atau hingga kek masak. Bila masak (boleh juga diuji dengan mencucuk lidi sate yang bersih pada tengah2 kek, jika keluar bersih, tanda kek dah masak), keluarkan kek dari oven, kemudian terbalikkan acuan berisi kek atas jaring. Biarkan kek sejuk dalam keadaan tin terbalik.
  6. Kemudian sisip tepi dan tengah kek dengan pisau nipis, tanggalkan dari acuan dan sisip pula bahagian bawahnya. Keluarkan dan boleh dipotong. Hidangkan untuk minum petang...Selamat mencuba!!..

Sunday, February 8, 2015

KAMBING MASAK BRIYANI...

rsz_briyani_kambing_bp

Assalammualaikum, salam Ahad. ehemm, che mat sebenarnya cuti masak hari ni sebab ada jemputan kawen kaum kerabat di Labu, Negeri Sembilan. Jadi che mat masukkan entri kambing masak briyani yang che mat masak semalam. Kali ni agak istimewa kerana rempah briyani ini khas datangnya dari Batu Pahat. Rempah cedok yang dibancuh oleh orang2 yang pakar (in sha Allah lain kali che mat cerita pasal kedai rempah ni yea.....sebab tu hari abang che mat yang pi beli, che mat pulak ke kedai 'harta karun'..jadi tak ikut sama). Rempahnya bau harum dan dikatakan tauke nasi briyani Batu Pahat pun beli rempah kat situ. Che mat guna 600 gram daging kambing. Ada pelbagai cara memasaknya dan che mat masak versi ringkas sahaja. Tak guna santan, tapi guna susu sejat. Sedap dimakan bersama nasi minyak atau sebarang nasi berperisa. Nasi putih pun sedap, nak cicah roti, prata, lempeng atau apa saja lah yang anda rasa sesuai, semua boleh. Kalau anda tak makan kambing, boleh ganti dengan daging lembu atau ayam....Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 daging kambing yang dipotong
4 biji kentang, kupas, belah 4 setiap 1 dan rendam
1 biji bawang besar, belah 4
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 camca besar bawang goreng
1 pokok daun ketumbar
1/2 cawan susu sejat
1 biji limau nipis
1 biji bawang besar, hiris
2 camca besar penuh rempah briyani (sebarang jenama)
2 camca besar gula melaka
2 camca besar penuh kerisik
Garam secukup rasa
2 camca besar minyak sapi
Air secukupnya
Hirisan daun ketumbar, untuk hiasan
Sedikit bawang goreng untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 biji tomato yang masak ranum
3 biji cili hijau

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Daging kambing dicuci, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata dan perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Sementara itu bancuh rempah briyani dengan bahan2 kisar halus dan kacau hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dala periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar cair. Tumis bawang besar hiris hingga layu, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum. Tambah pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Masukkan daging kambing, daun ketumbar dan bawang goreng, gaul rata dan masak hingga daging kecut.
  3. Tuang air secukupnya hingga daging tenggelam. Kacau rata dan biar mendidih, kemudian sederhanakan api. Masak hingga daging kambing empuk, tambah air panas jika kuah kering dan daging masih belum empuk.
  4. Masukkan kentang, kerisik dan belahan bawang besar. Perah limau nipis dalam susu sejat, kacau rata masukkan ke dalam kurma, kacau dan masak hingga kentang empuk. Tambah gula melaka, perasakan dengan garam secukupnya dan akhir sekali tambah cili merah dan cili hijau. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hias dengan hirisan daun ketumbar dan bawang goreng. Boleh dihidangkan bersama nasi berperisa atau nasi putih..

Saturday, February 7, 2015

SIMPLE FRUIT CAKE....

rsz_simple_fruit_kek
Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat nak berkongsi dengan anda resipi kek buah2an atau fruit cake yang mudah dibuat dan jenis bakar (jangan tanya che mat yang ni boleh kukus ke tidak, sebab che mat tak boleh nak kasi jaminan resipi ini akan jadi kek yang sempurna jika dikukus). Ada yang masih agak terkeliru dengan maksud kek buah atau fruit cake. Dan bila kek mentega kosong kita letak perisa buah2an seperti oren, stoberi dan sebagainya, ada yang ingat itu kek buah. Kek buah atau fruit kek secara kebiasaannya kek yang dalamnya ada buah2an kering campuran atau mix dried fruit yang terdiri dari kismis (hitam dan kuning), halwa kulit oren, ceri merah dan ceri hijau. Dan kebiasaannya kek buah agak berat dan 'mewah'. Ada juga kek buah2an yang boleh disimpan lama, tapi ada tu ditambah minuman keras (dah semestinya tidak halal bagi umat islam), kena berhati2...

rsz_simple_fruit_kek1

Resipi asal che mat dapat dari FB, dan jika tuan punya resipi ini terbaca, che mat ucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi berkongsi resipi yang mudah. Rasa kek ini sedap sangat. Kalau tak, masa kan anak2 buah che mat asyik mengulang saja. Ada sedikit pertukaran bahan2 dari resipi asal. Contohnya resipi asal guna gula kastor, che mat ganti dengan gula perang (soft brown sugar) dan che mat kurangkan sedikit kuantiti gula. Disamping itu kulit oren che mat parut untuk mendapat aroma yang lebih harum. Parut bahagian bewarna oren saja, jangan sampai bahagian putih, nanti kek rasa pahit pulak....Kalau anda nak mencuba, che mat tuliskan resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
160 gram mentega
100 gram gula perang (soft brown sugar)
3 biji telur gred A
160 gram tepung gandum*
1 camca teh baking powder*
1/4 camca teh garam halus*(*gaul rata dan ayak)
1 camca teh pes oren
1 biji oren, parut kulitnya (bahagian warna oren sahaja) dan perah jusnya
200 gram buah2an campuran kering (mix dried fruit)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser tin berukuran 8 inci x 4 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi (resipi asal guna tin berukuran 6 inci x 6 inci x 3 inci). Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk, masukkan mix dried fruit (asingkan sedikit untuk hiasan).Masukkan jus oren (pastikan anda buang bijinya). Kacau dan perap sekejap. Sementara itu, putar mentega dan gula perang hingga gula larut dan sebati, masukkan telur satu persatu sambil diputar hingga kembang. Tambah parutan kulit oren dan pes oren. Putar sebati.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang seli dengan buah2an kering tadi, buat hingga siap. Matikan mixer, dan gaul sekejap dengan spatula agar semua rata. Tuang dalam tin kek dan tabur rata buah2an kering yang diasingkan untuk hiasan tadi. Bakar selama 1 jam, atau hingga kek masak, bergantung pada oven masing2.
  4. Jika kek belum masak tapi permukaannya kelihatan perang, tutup permukaan tin kek dengan tudung periuk atau aluminiu foil dan bakar sekejap lagi. Uji kek dengan mencucuk lidi sate atau cake tester dibahagian tengah kek. Kalau keluar bersih, tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari oven. Biarkan 5 minit, kemudian boleh dikeluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan sebelum dipotong. Hidangkan untuk minum petang....Selamat mencuba!!..

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.