UNGKEP AYAM HUTAN

rsz_uah
Assalammualaikum, salam Maulidur Rasul semua. Hari ni che mat masak agak lewat sikit. Pertama sebab pagi tadi che mat ke MyDin untuk belanja barang dapur dan sebab kedua, bonda berpuasa, jadi tak kuasa nak masak awal2. Untuk sarapan pagi tadi dah buat cekodok. Menu istimewa yang che mat masak tadi ialah ungkep ayam hutan, dan ayam hutan ini pemberian jiran che mat, terima kasih Makcik Watie. Ayam hutan seperti anda tau ialah ayam liar yang banyak tinggal di kawasan2 belukar, hutan dan kebun. Kata orang ayam hutan ni 'angker' atau ada 'pendampingnya'. Jadi mereka yang pakar saja bijak menjerat ayam hutan. Saiznya tak delah besar mana (kecil sikit dari ayam tua ). Resipi ungkep ini che mat pernah masak dulu dan jika anda nak cepat, boleh masak dalam periuk tekanan kemudian keringkan dalam kuali seperti rendang. Ungkep biasalah agak kering tapi tak salah jika anda suka ia berkuah.

rsz_1ungkep_ayam_hutan2
Bahan2 seperti anda lihat dalam gambar (ni gambar dalam entri lepas che mat guna balik, sebab resipi dia pun sama). Rasanya takde lah susah mana yang penting masak ungkep memang sesuai dengan ayam hutan, ayam kampung dan ayam tua @ ayam pencen (tapi kalau anda nak guna ayam daging pun boleh tak salah, ikut selera masing2, cuma kena pandai adjustkan bahan2 sebab saiz ayam daging lebih besar. Jangan terikat sangat dengan resipi sampai membebankan anda...), meh che mat kongsiakan resipi ungkep ayam hutan...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam hutan (boleh guna ayam kampung dan ayam pencen)
3 helai daun salam (boleh guna 'bay leaf)
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan manis*
1/2 camca teh jintan putih*
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 batang serai, dihiris
4 biji buah keras, dihiris
8 - 10 biji cili padi merah thai
1 biji cili hijau
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam hutan dipotong pada saiz sederhana (sebab ayam hutan saiz kecil, che mat potong 12 bahagian). Cuci dan toskan. Rempah2 bertanda (*) digoreng tanpa minyak hingga harum, kemudian tumbuk hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan rempah yang ditumbuk halus tadi, kacau rata. Masukkan ayam, gaul dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), masukkan sedikit garam dan tutup kuali tadi. Masak dengan api kecil hingga ayam empuk.
  3. Jika ayam masih keras, tuang sedikit air panas. Tambah daun salam, asam gelugor dan gula melaka. Kacau rata dan rasa, jika perlu baru tambah sedikit lagi garam atau secukup rasa. Masak hingga sedikit kering dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat..
CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh masak dalam periuk tekanan, caranya sama cuma tak perlu taruk air banyak sangat. Selepas 15 minit (bergantung pada periuk tekanan yang anda guna), alihkan ke dalam kuali dan keringkan. Pastikan jangan taruk garam banyak sangat, cukup 1/2 camca teh. Bila dan dikeringkan dalam kuali, anda rasa dan baru tambah garam secukup rasa. Selamat mencuba!!.

Post a Comment

2 Comments

  1. cantik gambar bahan bahan ungkep ayam hutan tu..

    ReplyDelete
  2. Favourite saya ni Che Mat.Selalu masak untuk perjumpaan keluarga atau pun potluck di sekolah.Cuma ungkep saya tak guna daun salam sebab.... sebab.... saya susah nak cari daun salam.Apa pun, orang Johor dan ungkep... berpisah tiada...

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.