RESIPI PACERI NANAS

rsz_pnj
Assalammualaikum, salam semua. Ini entri terakhir untuk tahun 2015, in sha Allah jika diizinkan tuhan esok kita bakal bertemu dengan tahun 2016. Blog akan berjalan seperti biasa cuma che mat tak boleh nak janji lah, sama ada boleh taruk entri sekerap mungkin. Siang tadi che mat bikin paceri nanas, ada yang panggil pajeri, tapi ia benda yang sama cuma ejaan berbeza. Paceri satu hidangan pelengkap untuk nasi minyak atau nasi briyani. Selain nanas, terung paling biasa dimasak paceri. Tapi ada juga yang jadikan kedondong dan mangga sebagai paceri. Ada pelbagai cara orang memasak paceri, che mat masak seperti apa yang che mat biasa tengok. Paceri yang kuahnya pekat menjadi pilihan keluarga kami. Ada yang suka pedas, tapi che mat lebih kepada yang kurang pedas sebab ada yang memang tak boleh makan pedas. Untuk perencah, sedikit udang kering dimasukkan, tapi bagi yang tak boleh makan atas faktor kesihatan, anda boleh abaikan. Resipi agak senang dibuat...Ingin mencuba?..Jomm kita lihat resipi...

BAHAN - BAHANNYA :-)
1 biji nenas madu saiz sederhana
1/2 camca teh serbuk kunyit
2 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
2 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
2 camca besar penuh rempah kari daging (baba's)
2 camca besar cuka makan JALEN (boleh ganti dengan 1 keping asam gelugor)
2 camca besar penuh kerisik
1 - 2 camca besar cili kisar (che mat taruk 1 camca besar)
1 cawan pati santan
1/2 camca besar minyak sapi (optional)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
3 biji buah keras, dihiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas nanas, belah empat dan buang empulurnya. Hiris sederhana tebal, kemudian masukkan ke dalam periuk dan tuang air hingga nanas tenggelam. Masukkan serbuk kunyit, kacau rata da rebus nenas tadi selama 6 -7 minit. Toskan. Sementara itu bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan) dan tambah minyak sapi. Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing, masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang sedikit air, masukkan cuka makan (@ asam gelugor). Biarkan mendidih, tambah santan, kerisik, sedikit garam dan gula (dalam 1 1/2 camca besar). Kacau dan masak hingga pekat sedikit. 
  4. Masukkan nanas, kacau rata dan perlahankan api. Masak sekejap dan masukkan belahan cili merah dan hijau. Gaul rata dan masak hingga pekat. Rasa dan jika perlu tambah garam atau gula agar seimbang rasa masam, manis dan masinnya. Biarkan sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi minyak atau nasi putih.

Post a Comment

1 Comments

  1. sedap nya nampak....biasa dapat makan kat kenduri kahwin ja ni

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.