KARI IKAN GAYA 'JOHOR'

rsz_kigj
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat masak kari ikan gaya Johor. Sengaja nak mencuba resipi 'lama' orang Johor dulu kala. Memandangkan ada baki ikan tenggiri dalam freezer, elok che mat habiskan, kalau simpan lama2 nanti tak sedap. Resipi kari ikan gaya Johor ini tidaklah susah hendak dimasak. Che mat jadikan buku masakan Nostalgia Medan Selera yang che mat beli tempoh hari sebagai rujukan. Cuma che mat sesuaikan sukatan bahan2 mengikut banyak ikan yang che mat guna. Che mat guna ikan dalam 600+ gram. Boleh guna apa saja jenis yang anda suka, tapi kebiasaannya ikan tenggiri paling sesuai dimasak kari. Seperti resipi kari ikan yang lain, anda boleh masukkan bendi, terung atau tomato sebagai bahan pendamping. Resipi ini kuahnya tidak terlalu pekat atau cair, pada che mat sedang2 elok saja. Tidak menggunakan rempah kari biasa, tapi ia diadun dari rempah2 berasingan. Che mat guna rempah2 yang telah dikisar halus, kemudian sukat mengikut resipi yang diberi.

rsz_medan_selera_jhr
Ini rupa keluaran terbaru buku Nostalgia Medan Selera. Cetakkan pertama diiterbitkan dalam tulisan jawi pada tahun 1958. Cetakkan pertama tulisan rumi pada tahun 1971 dan seterusnya cetakan rumi versi kedua pula telah diringkaskan dari cetakan rumi yang pertama. Terkini (seperti dalam gambar), diterbitkan pada Ogos 2012. Jika anda ingin mendapatkannya, boleh hubungi (wassap) Puan Halimah Ashari - 012 382 8951. Buku versi Bahasa Melayu berharga RM 65.00 dan Bahasa Inggeris RM 90.00 (kulit tebal). Pada che mat tak rugi membeli, ada nilai2 sejarah terutama bagi anak2 jati Johor. Buku ini amat ekslusif dan tidak dijual di kedai2 buku.. 

BAHAN-BAHANNYA :-) 
600 gram ikan tenggiri (atau sebarang ikan pilihan anda)
3 camca besar serbuk ketumbar*
1 camca teh serbuk jintan manis*
1 camca teh serbuk jintan putih*
1 camca besar serbuk kunyit*(*bahan2 rempah kari, disatukan dan gaul rata)
500 ml santan segar
12 biji bendi (che mat guna bendi jenis kontot, jadi tak dikerat)
2 biji tomato, dibelah 3 setiap 1
100 ml jus asam jawa
Garam dan gula secukup rasa (boleh guna serbuk perasa jika suka)
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
15 tangka cili kering, kerat pendek, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit, toskan
1 inci halia

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai daun kari
1 camca teh biji sawi
1 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan dipotong ikut suka, cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis atau jus limau kasturi selama 10 minit. Cuci kembali hingga bersih dan toskan. Satukan bahan2 kisar halus dengan bahan2 rempah kari (*) dan kacau rata hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan). Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi dan layu. Tambah pes rempah dan 1 camca teh garam. Kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang sedikit air (anggaran 1 1/2 cawan), kacau dan masak sekejap hingga mendidih. Masukkan ikan, air asam dan santan. Kacau perlahan, bila mendidih. tambah bendi dan masak hingga bendi lembut. Perasakan dengan garam secukupnya (rasa dulu sebab masa menumis rempah tadi kan dah masukkan sedikit garam). Tambahkan juga sedikit gula atau serbuk perasa.
  4. Akhir sekali masukkan belahan tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan kari ikan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman. Jika suka anda boleh masukkan belahan cili merah dan hijau, serta bawang besar yang dibelah 6....Selamat mencuba!!

Post a Comment

1 Comments

  1. terliur pulak....nak makan kari jugak la malam nanti. tapi dah tentu kari kedai mamak jer...

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.