IKAN AIR TAWAR MASAK LEMAK TEMPOYAK

rsz_tgt
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Ok, hari ni che mat kongsikan satu menu yang mungkin tidak menjadi pilihan bagi mereka yang tidak makan ikan air tawar. Dalam keluarga che mat, bukan semua yang makan ikan air tawar. Che mat dan bonda saja yang makan. Jadi cara macam mana nak masak, semua terpulang pada kami berdua. Biasanya di Sedenak, kalau musim hujan, akan ada penduduk2 di sini yang memasang jaring di tasek, tu jam banyak dapat ikan air tawar. Bonda che mat antara penggemar ikan terebul, sejenis ikan air tawar. Dan menu yang sering menjadi pilihan mestilah dimasak lemak cili padi campur tempoyak. Resipi amat mudah dah ia lebih kepada menu tradisi orang Negeri Sembilan. Ikan sungai perlu dicuci bersih, untuk menghilangkan bau hanyirnya. Biasanya sebelum disiang, ikan akan dilumur dengan asam jawa, untuk membuang lendirnya. Kemudian bila dah disiang, sekali lagi, ikan digaul dengan tepung gandum dan perahan jus limau nipis, perap sekejap dan cuci bersih. Gaulkan dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, perapkan sekejap. Ok boleh mula memasak...jommm!!.

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan terebul selebar tapak tangan orang dewasa (sejenis ikan air tawar)
4 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
350 ml pati santan
1200 ml santan cair
Garam secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung jenis hijau
2 inci kunyit hidup
2 camca besar penuh tempoyak

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan terebul dilumur dengan asam jawa untuk membuang lendirnya, kemudian buang sisik dan siang, cuci bersih dan kelar sedikit. Gaul dengan sedikit tepung gandum dan perahan jus limau nipis. Perap 10 minit, kemudian cuci bersih. Lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit hingga rata. Goreng ikan tadi hingga kuning keemasan, angkat dn ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar ke dalam periuk bersama santan cair, serai dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan ikan yang digoreng tadi dan sedikit air jika perlu. Kacau perlahan dan masak sekejap.
  3. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau dan biar mendidih dengan api perlahan sambil dikacau sekali sekala. Masa untuk 2 - 3 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan ulam2man.
CATATAN MAT GEBU :- Jika semasa anda menyiang ikan dan ada telur dalam perut ikan. Keluarkan berhati2, cuci bersih dan buang urat2nya. Gaulkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Kemudian bungkus telur ikan dengan daun kunyit dan masukkan ke dalam kuah masak lemak sebelum anda masukkan ikan. Kacau perlahan dan masak seperti biasa....Selamat mencuba!!

Post a Comment

1 Comments

  1. walaupun saya suka membaca resepi masakan tapi tetap tak pandai nak buat sebab tak pernah rajin nak mencuba. memang penyakit M takde sape pun boleh ubah melainkan diri sendiri

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.