BEN ASHAARI

Thursday, November 12, 2015

ENGLISH POUND CAKE...SEKALI LAGI..

rsz_bpc
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Kali terakhir che mat update blog bila yea...hurmmm Ahad lepas kalau tak silap. Sebenarnya ada beberapa sebab yang buatkan mood che mat agak merudum, pertama kesihatan sejak2 ni kurang memuaskan, demam, selsema, batuk, sakit tekak, kira pakej lengkap. Satu lagi internet punya lah perlahan, macam siput sakit lutut, nak edit gambar pun makan berjam, dan akhirnya semua terbantut. Hari ni che mat gagahkan diri untuk update serba ringkas. Resipi pun sebenarnya ulang tayang. Buat semalam untuk menjadi teman blogger masak2 Kak Azura Rahman yang sudi singgah ke pondok che mat. English pound cake ini amat mudah dibuat, che mat memang sarankan pada anak2 atau mereka yang baru nak cuba bikin kek mentega, anda boleh cuba resipi ini. Bahan2nya pun tidak banyak dan cara membuatnya tidak rumit.

rsz_bpc1
Kalau dalam entri sebelum ni che mat bakar dalam bundt pan, kali ni guna acuan berukuran 8 inci x 4 inci  3 inci dan ini baru kena dengan namanya 'pound cake'. Naiknya cantik dan ketinggiannya juga sesuai. Kek ini akan turun sedikit bila sejuk. Tapi ia amat lembap, lemak dan harum dengan bau mentega serta vanilla. Jika anda suka, boleh masukkan parutan kulit oren atau nak bikin kek marble juga boleh, cuma cedok keluar 4 - 5 camca besar adunan, dan campurkan serbuk koko yang dibancuh dengan sedikit air panas. Kemudian boleh anda marblekan ikut kreativiti masing2. Walaupun che mat pernah kongsi resipi kek ini dulu, takpe, che mat tuliskan sekali lagi...Selamat mencuba!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
185 gram mentega berkualiti tinggi (scs, anchor, emborg, golden churn dll)
150 gram tepung kek (boleh guna tepung gandum)
1 camca teh rata baking powder
130 gram gula kastor (resipi asam 150 gram)
Secubit garam halus
3 biji telur gred A*
3 camca besar susu segar*
1 1/2 camca teh esen vanilla*(*disatukan dan kacau hingga sebati)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser tin berukuran 8 inci x 4 inci x 3 inci dengan mentega. Alas dasar tin dengan kertas minyak dan lenser juga kertas tadi, Ketepikan. Ayak tepung, baking powder dan garam halus ke dalam mangkuk adunan. Gaul rata.
  2. Masukkan mentega, gula kastor dan 1/2 bahagian bancuhan telur, susu dan esen vanilla tadi. Gaul rata kemudian putar perlahan hingga semua sebati. Tinggikan kelajuan dan putar hingga kembang selama 3 minit.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan 1/2 bahagian bancuhan telur, susu dan esen vanila. Putar selama 30 saat. Kemudian masukkan baki bancuhan dan putar 30 saat lagi hingga semua sebati. Matikan mixer dan gaul rata adunan kek dengan spatula.
  4. Tuangkan ke dalam tin yang telah disediakan, ratakan adunan dan hentakkan tin kek 1- 2 kali, bertujuan untuk membuang gelombong udara. Bakar selama 50 - 55 minit pada rak bawah oven hingga masak. Uji kek dengan mencucuk lidi sate bersih di bahagian tengah kek, kalau keluarnya bersih tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan sebelum dihidangkan..


1 comment:

Sue Izza said...

lama tak buat kek ,...huhuuu napa la malas benau skrg huhuu

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.