NASI LEMAK HALBA...

rsz_nlh
Assalammualaikum, salam hujung minggu semua. Hari ni keadaan jerebu di kampung che mat dah kurang sikit. Tapi dengar cerita ditempat2 lain keadaan ada yang tak berubah, malah makin teruk. Kenalah kurangkan aktiviti luar dan kalau tak perlu sangat, tah payahlah keluar terutama anak2 kecil dan mereka yang punya masalah kesihatan seperti asthma dan sebagainya. Hari ni che mat masak nasi lemak. Ni kira merangkap sarapan dan makan tengah hari. Ada yang tanya, che mat dok sorang, masak nasi lemak tu sapa nak makan?..Ishh, dah tentulah aku, ingat kita ni ada bela 'saka' ke, nak ajak makan sama. Kalau dah duduk sorang, jangan lah dimasak sampai macam nak makan 10 orang, pandai2 lah budget. Kalau sambal tumis tu masak lebih takpe, boleh guna untuk lain. Soalan yang kerap che mat dapat ialah, kalau guna beras biasa ok ke masak nasi lemak?...Kalau ikutkan semua jenis beras boleh guna, janji anda bijak sukat cecair atau santannya. Kalau beras basmathi biasanya che mat guna 1 cawan beras : 1 1/2 cawan santan. Kalau beras biasa, mungkin anda boleh guna 1 cawan beras : 1 1/4 cawan santan. Tapi bergantung pada kualiti beras.

rsz_nlh2
Untuk resipi ni che mat guna 2 cawan beras basmathi dan 1/2 biji kelapa parut (sebab guna kelapa dari pokok sendiri). Biasanya che mat gandingkan dengan ayam berempah, tapi kali ni kasi tukar sama udang goreng kunyit. Satu lagi, nasi lemak yang ni dimasukkan sedikit halba untuk menambah aroma. Ada yang tak suka kerana akan menjadikan nasi lemak seakan2 nasi dagang, tapi pada che mat nasi lemak bertambah wangi bila ada halba. Apa2 pun ikut selera masing2, nak taruk boleh, tak nak taruk pun boleh, pilihan di tangan anda. Sambal sotong tu che mat guna sotong dalam tin. Satu tin besar, lebih boleh simpan dalam peti sejuk. Nak memasak nasi lemak memang mudah, dan bagi yang kurang mahir, che mat sarankan anda guna beras basmathi, agar mudah untuk menyukat santannya...alah nak makan, apa berkira pasal beras tu mahal, esok2 kalau kita mati, duit semua tak guna dah, jadi hak orang lain, jadi tak perlulah kemut sangat....Ok, jomm semak resipi...

NASI LEMAK HALBA....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan beras basmathi (che mat guna beras Faiza, Moghul)
3 cawan santan segar
1 batang serai, diketuk
1 biji bawang besar saiz kecil, belah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, hiris nipis
1 helai daun pandan, disimpul
3/4 camca teh garam
25 biji halba

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Sambal tumis
Hirisan timun
Udang goreng kunyit (atau ayam, ikut pilihan anda)
Ikan bilis goreng
Kacang tanah goreng
Telur rebus (atau telur mata, telur dadar, ikut selera masing2)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras basmathi dan rendam 25 minit, toskan dan masukkan ke dalam periuk nasi elektrik. Masukkan serai, bawang besar. bawang putih, daun pandan, halia dan halba. Gaul rata. Masukkan garam dalam santan, kacau hingga rata dan tuang santan ke dalam periuk berisi beras tadi. Kacau dan masak seperti biasa.
  2. Bila lampu pada periuk nasi elektrik bertukar dari 'cook' ke 'warm'. Biarkan sekejap dalam 10 minit. Matikan suis periuk nasi dan gemburkan nasi lemak halba tadi dengan chop stick. Jangan gembur banyak kali nanti nasi akan patah2. Boleh dihidangkan bersama sambal tumis dan bahan2 sampingan lain..(tujuan suis periuk dimatikan, ialah untuk mengelakkan nasi lemak jadi berkerak)


SAMBAL SOTONG TIN...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin besar sotong dalam tin (jenama REX)
1 1/2 cawan cili kisar
3/4 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan sotong, kemudian potong kecil. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan pes asam jawa dan sedikit air (anggaran 1/4 cawan), kacau dan tambah sotong tadi. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak.

UDANG GORENG KUNYIT....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 - 5 ekor udang saiz BESAR
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/4 camca teh serbuk lada sulah
1/2 camca teh garam
Secubit gula
1 ulas bawang putih mayang halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, kemudian gaul dengan serbuk kunyit, serbuk lada sulah, garam dan secubit gula hingga rata. Perap 15 minit. Panaskan minyak untuk menggoreng. Tumis bawang putih hingga harum dan kekuningan. Masukkan udang, kacau dan goreng hingga udang berubah warna kemerahan, terbalikkan dan masak sekejap lagi. Angkat (dengan bawang putih sekali), toskan dan boleh hidangkan bersama nasi lemak tadi...(jangan goreng lama sangat, nanti isi udang jadi liat)....

Post a Comment

4 Comments

  1. Sedap tu che mat...saya pun selalu guna sotong dlm tin jenama Rex...yg jenis kicap..tos kicapnya dulu bilas ans selalunya wat sambal tumis ...letak cili and bawang potong

    ReplyDelete
  2. sedapnya cikmattt lapar lah pulak dah la makan awal tadi hehe

    ReplyDelete
  3. Saya tak pernah masak yang dalam tin ni..bila chef dah guna, boleh try jugak nih:)

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.