MI KARI HOKKIEN

rsz_mkh

Assalammualaikum, salam Selasa. hari ini cuaca masih berjerebu, che mat sendiri tadi masa kemas2 kat bahagian luar rumah dah mula rasa tak selesa. Tergerak juga nak memerun daun2 kering, tapi rasanya tak patut pulakkan keadaan macam ni kalau kita buat bakaran terbuka. Jadi kita kensel nak memerun dan turun ke dapur. Dan che mat memang plan nak masak mi kari hari ni, tapi nak cuba resipi lain, resipi yang bukan biasa2. Tadi seorang teman FB che mat, Datin Asima Abdul Latif yang lebih mesra kami panggil 'mama', syorkan che mat cuba mi kari Hokkien dan mama bagi serba ringkas bahan2 yang digunakan. Menarik juga dan kebetulan bahan2 hampir semuanya ada, kecuali taugeh. Dan dengan bersemangatnya, che mat mulakan memasak. 

rsz_mkh1
Che mat guna 1 keping bahagian peha ayam bersaiz besar dan che mat potong2 kecil. Isi kerang dalam 1/3 cawan, tapi kalau nak taruk lebih pun takde masalah, ikut budget masing2. Che mat sebenarnya agak2 saja resipi sebab nak makan untuk seorang (dan kuah dia memang berlebih, boleh simpan dalam peti sejuk dan panaskan bila nak makan nanti). Kata mama, mi kari Hokkien ini disertakan dengan sambal kering dan che mat memang ada sambal tumis yang dibekukan dalam freezer, jadi bolehlah guna untuk makan bersama mi kari. Satu lagi kalau bikin mi kari, tauhu pok paling sesuai, kerana ia berongga dan boleh menyerap kuah dengan baik. Jika anda nak mencuba, che mat tuliskan resipi seperti di bawah. Terima kasih pada mama yang sudi memberi idea...

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 keping peha ayam bersaiz besar, potong kecil, cuci dan toskan
1/3 cawan isi kerang, cuci dan toskan
1 keping fishcake, hiris nipis
4 keping tauhu pok, celur dalam air panas, dan kerat 2 setiap 1
4 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai daun kari
1 cawan santan
1 biji kentang, kupas, cuci, rebus dan lecek halus
3 camca besar rempah kari daging (baba's)
1 camca besar cili kisar
1 genggam udang kering, rendam 10 minit, toskan dan kisar halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya (che mat guna air rebusan tulang ayam)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1 batang serai, dihiris
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci belacan

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya, dicelur dan toskan
Sawi bok choy, cuci dan celur sekejap, toskan
Taugeh, dibersikan (tak letak sebab takde)
Telur rebus secukupnya, belah 2 setiap 1
3 tangkai kacang buncis, kerat pendek, celur dan toskan
Hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
Hirisan cili merah dan cili hijau
Limau nipis @ limau kasturi
Sambal tumis (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI KARI HOKKIEN:-Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Sementara itu bancuh rempah kari dengan bahan2 kisar halus, kacau hingga menjadi pes rempah. Tumis bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam berubah warna. Tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Biarkan mendidih, tambah kentang lecek dan udang kering yang dikisar halus tadi. Kacau rata, masukkan santan, kacau dan biarkan menggelegak pada api sederhana. Kacau sekali sekala.
  3. Masukkan fish cake, isi kerang dan tauhu pok, tambah air jika kuah terlalu pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  4. UNTUK MI KARI HOKKIEN:-Masukkan mi secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah bersama isi2nya. Hias dengan sawi celur, kacang buncis celur, telur rebus, taugeh, hirisan cili merah dan cili hijau. Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Perahkan jus limau nipis atau limau kasturi sebelum dihidangkan. Jika suka, boleh tambah sambal tumis....Selamat mencuba!!..

Post a Comment

1 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.