SUP KENTANG BEBOLA IKAN

rsz_kentang_soup_bebola_ikan_salmon
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Cuaca panas dan kering, lepas tu tekak pulak dah perit semacam. Pagi tadi bangun tidur tiba2 suara tukar jadi itik serati, cute gileer, dengan rambut ala2 naga cap goh meh, haishh, serius..,boleh bayangkan tak naga suara itik?..Mengerikan sangat. Pagi tadi untuk sarapan che mat sempat bikin buttermilk pancake, tapi dalam masa sama ada permintaan mi hoon goreng. Sebab yang nak makan tu orang tengah pantang, jadi che mat gorengkan mi hoon sempoi sangat2. Takde udang, takde daging, cuma taruk telur. Tengah hari tadi masak sup kentang saja, lepas tu goreng telur dadar, goreng ikan masin untuk Bak dan che mat ulam bawang besar taruk kicap dan patah2 kan cili padi. Oh yea sup kentang tu mula2 macam togel aje, jadi che mat cempakkan bebola ikan, che mat guna bebola ikan salmon jenama 'mushroom'. Resipi memang senang, kira sesuai untuk cuaca panas macam sekarang ni. Ok jomm kita lihat resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji kentang saiz sederhana
8 kuntum cendawan butang dalam tin, ditoskan
8 biji bebola ikan salmon jenama 'mushroom'
1 batang leek, kerat pendek dan rendam
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
1200 ml stok air rebusan tulang ayam
1/2 camca teh serbuk lada hitam (aji-shio)
Beberapa titik minyak bijan
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Garam secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kentang dikupas, belah 4 setiap 1 dan rendam. Cendawan butang dibelah 2 setiap 1. Ketepikan. Panaskan 2 camca besar minyak dalam periuk, tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum, masukkan leek (toskan), dan kacau rata, Tambah kentang (toskan) dan kacau rata. Tuang stok air rebusan ayam dan biar mendidih.
  2. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan bebola ikan dan cendawan, kacau dan masak hingga kentang empuk. Tambah garam secukup rasa, serbuk lada hitam, minyak bijan dan soo hoon, masak sekejap hingga soo hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama nasi, ikan goreng dan sambal belacan. Sedap juga dimakan begitu sahaja....

Post a Comment

2 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.