BEN ASHAARI

Thursday, October 30, 2014

ASAM PEDAS IKAN SAMA REBUNG...

rsz_asam_pedas_rebung
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat menerima kunjungan blogger otai Broframestone bersama isteri dan anak beliau, Fisha. Tapi apa yang anda nampak ni bukan yang che mat masak hari ini, tapi masak semalam. Untuk jamu tetatmu tadi, che mat masak gulai rebung lada hitam, udang galah sweet sour, telur dadar, dan ulam2man. Menu yaang mudah2 saja. Kita sambung cerita pasal resipi asam pedas ikan sama rebung pulak. Mula2 che mat dengar dulu, macam janggal dan pelik sangat bila rebung dimasukkan ke dalam asam pedas. Tapi bila dah cuba, Allah hu akhbar, sedap kan main. Kuah asam pedas pun jadi bertambah sedap.... Sampai kering ok, tak bersisa...

rsz_asam_pedas_rebung1
Che mat guna ikan pari dan anda boleh guna apa2 ikan yang anda suka, tapi seelok2nya guna yang banyak isi. Kalau ganti dengan ayam juga sesuai. Seperti biasa che mat guna rebung madu yang memang ada kat rumah. Rebus rebung madu tadi hingga empuk dan masukkan sedikit garam semasa merebus. Ada komen yang che mat baca, cara merebus rebung tadi dilakukan 2 kali, lepas rebus pertama kali, airnya dibuang. Kemudian untuk rebusan kali ke 2, masukkan sedikit gula. Yang ni che mat tak pernah cuba lagi, dan jika anda suka, anda bole cuba. Anda juga boleh beli rebung madu yang telah siap direbus. Kebiasaannya banyak dijual di negeri2 utara Malaysia....Bagi yang ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ikan pari
500 gram rebung madu, yang telah siap direbus
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
2 senduk nasi penuh cili kisar
1 camca teh serbuk kunyit
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 camca teh lada hitam serbuk (che mat guan aji-shio)
1 camca besar pes asam jawa
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan pari dipotong ikut suka, perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris hingga harum dan perang. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga wangi. Tambah serbuk kunyit, kacau dan masak sekejap.
  2. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1500ml). Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan rebung dan bunga kantan. Masak 5 minit dan tambah ikan pari, kacau dan masukkan daun kesom, kiub ikan bilis (jika guna) dan serbuk lada hitam. Kacau perlahan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain..

Wednesday, October 29, 2014

CEKODOK TAPAI UBI SALTED CARAMEL..

rsz_cekodok_tapai_ubi
Pernah makan cekodok tapai ubi?...Ini che mat buat untuk sarapan pagi tadi atas permintaan Bak. Kebetulan abang che mat yang no. 2 balik hari Isnin lepas dan dia bawak sama tapai ubi. Jadi ada permintaan cekodok tapai ubi dari Bak. Che mat pun main buat saja sebenarnya, dan menjadi pulak tu. Untuk variasi che mat drizzle kan sedikit salted caramel atasnya. Bertambah2 sedap! Sekali imbas nampak macam cekodok pisang aje. Buat dia pun senang dan seperti biasa, bab menggoreng tu che mat lebih suka guna jari, maksudnya masa men 'cekodok' kan adunan ke dalam minyak panas. Tapi awas, bagi yang tak biasa, eloklah anda guna sudu. Kang tak pasal2 jari kena minyak panas, dah tak comel. Kalau anda nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tapai ubi
2 cawan tepung gandum
1 camca teh baking powder
2 camca besar gula
1/2 camca teh garam
1 biji telur, dipukul sedikit
1 cawan air (kurang lebih)
Minyak untuk goreng terendam
Salted caramel untuk dimakan bersama cekodok (resipi di sini)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tapai ubi dilecek halus bersama gula pasir dan garam. Masukkan telur dan gaul rata. Ayak tepung bersama baking powder dan masukkan ke dalam mangkuk berisi tapai tadi. Gaul perlahan sambil dituang air sedikit demi sedikit hingga habis. Kacau hingga rata. Ketepikan sebentar.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Sudukan atau jemputkan adunan tadi ke dalam minyak panas, buat 10 - 15 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali dan saiz cekodok anda. Goreng dengan api sederhana hingga perang keemasan pada keseluruhan cekodok. Angkat dan toskan. Buat hingga siap.
  3. Drizzle dengan salted caramel sebelum dihidangkan untuk sarapan pagi atau pun minum petang. Selamat mencuba!!..

IKAN BAKAR, TERUNG BAKAR, KANGKUNG CELUR...

rsz_sayur_celor
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masukkan entri mudah2 saja. Asam pedas ikan sama rebung esok yea che mat masukkan. Kadang2 ada yang pelik bila che mat senaraikan menu2 yang che mat masak. Contohnya hari ni che mat masak asam pedas ikan sama rebung, ikan bakar, terung bakar, kangkung celur, ais asam budu dan telur dadar. Nampak macam banyak beno, tapi hakikatnya tidak, benda tu cuma yang biasa2 saja. Che mat masak dalam kuantiti sedikit, bukan sampai 10 biji terung, sebakul kangkung atau 20 kg ikan....tu nak panggil orang kampung makan boleh lah. Air asam budu tu anda boleh ganti dengan air asam yang biasa anda buat. Resipi air asam budu nanti che mat share yea. Selain ikan, terung dan kangkung, boleh juga disertakan ulam2 mentah seperti daun selom, tenggek burung, pucuk gajus, ulam raja, pucuk bebuas dan sebagainya. Apa2 pun terima kasih atas kesudian anda singgah ke blog che mat....

BAHAN-BAHAN AIR ASAM BUDU :-)
10 biji cili padi Thai, warna merah
2 biji cili merah
5 biji tomato ceri
4 biji bawang merah, hiris kasar
1 camca besar pes asam jawa
1 camca besar penuh gula (atau secukup rasa)
1/2 inci belacan, dibakar
5 camca besar budu
5 biji limau kasturi, perah jusnya
1 cawan air mineral @ air masak

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
2 ekor ikan tongkol putih
3 biji terung ungu
1 cekak kangkung

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR ASAM BUDU :- Anda ada dua pilihan, samada nak tumbuk dengan lesung batu atau kisar dengan blender. Ok, che mat kasi yang guna blender yea. Masukkan cili merah (patah2kan), cili padi, belacan, gula, pes asam jawa dan air masak. Kisar hingga lumat. Masukkan bawang merah dan tomato ceri. Kisar hingga hancur, gunakan kaedah 'pulse' pada alat pengisar anda.
  2. Tuang dalam bekas, masukkan budu dan jus limau kasturi, kacau rata dan sesuaikan rasa, jika kurang masam boleh tambah jus limau kasturi atau jika kurang manis, anda boleh tambah sedikit lagi gula. Garam tak perlu sebab budu tu sendiri dah masin..
  3. UNTUK IKAN DAN ULAM-ULAMAN :- Ikan disiang, cuci bersih dan belah 2 setiap seekor (che mat guna ikan bersaiz sederhana, che mat kerat 2 setiap 1, kemudian baru dibelah). Lumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Bakar hingga masak, kurang lebih 4-5 minit setiap bahagian, bergantung pada saiz ikan yang anda guna..
  4. Untuk terung, anda belah dua setiap sebiji terung, kemudian kerat dua,  cuci dan toskan. Lumur dengan sedikit garam dan panggang hingga masak, kurang lebih 1-2 minit setiap bahagian. Untuk kangkung pula, anda siang dan cuci bersih. Dan celur dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam dan 1/2 camca teh minyak masak. Celur 30 saat sudah memadai, angkat dan toskan. Boleh hidang bersama air asam budu..


Tuesday, October 28, 2014

RAHSIA BEN ASHAARI YANG PATUT ANDA TAU!..

Salam semua....tiba2 macam dah lama tak tulis pasal Ben Ashaari, jiran che mat tu. Psstt...dia ni banyak rahsia tau...Nak tau, ok, sila baca entri ni sampai habis...jangan shortcut2, nanti tak faham, nak2 che mat yang tulis, sah2 boleh sesat barat gileerrr nanti. Che mat pun tatau ntah bila ben ni jadi blogger, tiba2 je muncul kat alam maya ni (yelah kita orang kan dari genre berbeza, jadi mana ada ambik port, wujud ke, tak ke...masing2 tak kesah...tak kenal). Dengan izin Allah swt, che mat kenal Ben dan sampai sekarang kita orang jadi kawan...nak kata baik tu tidak lah, tapi kami memang baik sangat, walaupun otak kita orang tak sama cara berfikir....faham tak ni?....takpe2...kita sambung cerita...

Bagi yang tertanya2 bila che mat kenal Ben?...Lama dah masuk 6 tahun, dari dia takde anak sampai dapat anak dua..pendek kata dia tua lebih dari che mat..walaupun aku ni pak tua pada anak2 dia. Dia ni ok ke?...Nampak macam eksyen aje...itu soalan yang kerap che mat dapat, mentang2 lah aku ni jiran dia..Secara jujur lah yea. dia memang ok...ok sangat, baik...dan satu yang paling disenangi, bila berkawan, dia amat2 menghormati persahabatan itu (tapi kadang2 che mat pun hangin gak dengan dia...rasa macam nak bungkus, ikat dengan batu dan tenggelamkan dalam laut jerr..haishh)...

Satu lagi kalau anda baca blog dia www.benashaari.com nampak meriahkan dengan cerita, tapi kalau jumpa, pendiam..cuma kalau kena topik aje dia ok..jadi rancak, maksudnya kena kasi warm-up. Masa mula2 Ben datang rumah che mat...sah2 aku ingat dia ni bisu...ish...ish..ish, rupanya idok, pandai pun cakap. Sekarang ok dah, rancak berborak. Dan sebagai seorang blogger, dia memang bekerja keras untuk sampai ke tahap sekarang, yang tu orang lain tak boleh nak temberang lah, che mat tau perit getirnya macam mana, dipergunakan, diberi janji2 kosong, difitnah dan macam2 lagi lah..Tapi Allah swt kan ada, berkat kesabaran, in sha Allah akan nampak hasilnya. Habis tu che mat macam mana pulak?...Errr macam mana apa? ai is ok jeerr...slow and steady..konon2 leerr...Pada che mat, setiap orang berhak mengecapi kejayaan dengan apa yang mereka usahakan dengan keras. Semua dengan izin Allah swt, yea bukan?...Terima kasih sudi membaca yea dan jika anda ingin tau lebih banyak 'rahsia'..boleh ke link2 seperti berikut...

WEB RASMI KBBA - www.kelabbloggerbenashaari.com

INSTAGRAM KBBA : http://instagram.com/kelabbloggerbenashaari

GROUP FB KBBA : https://www.facebook.com/groups/KELABBLOGGERBA


JERUK EPAL HIJAU ASAM BOI..

rsz_jeruk_epal_asam_boi
Kata orang rotan takde, akar pun berguna...samalah macam entri kali ni. Merata2 kat FB orang bikin jeruk mangga asam boi, tapi stok mangga takde, jadi che mat ganti dengan epal hijau. Asyik lalu aje kat timeline, mana boleh jadi yea tak. Buat dia memang ciken dodol sangat, senang gileerr. Tak ambik masa lama pun, tapi dengan syarat bahan2 kena lengkap. Ada yang sampai berniaga, dah satu nasihat che mat lah, kalau anda jual benda2 macam ni, ia kuran sesuai kalau nak dipos2 bagai, lebih elok, beli secara terus, kualiti pun terjamin, Kalau anda pos, silap haribulan jeruk yang sampai dah rosak. Ingat jeruk macam ni bukan macam jeruk kedai tu, ini cuma jeruk style orang kampung. Kalau jeruk kedai mereka guna bahan2 khas... Malas lah cerita banyak, jomm lah kita bikin jeruk epal asam boi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 biji epal hijau, cuci bersih dan toskan
15 biji asam boi @ asam kecut (jenis putih)
1/4 camca teh garam
1/3 cawan gula pasir
3 biji limau kasturi, belah 2 setiap 1
10 biji cili padi thai, potong kecil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sediakan botol kaca, cuci bersih dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan. Epal hijau dibelah 2 setiap satu, korek keluar bahagian tengahnya (empulur) kemudian hiris sederhana tebal (che mat hiris menjadi 6 keping untuk 1/2 bahagian epal). Buat kaedah sama untuk 1/2 bahagian epal lagi. Dan juga baki kesemua epal. 
  2. Masukkan semua epal2 hijau yang telah siap dipotong ke dalam bekas besar. Kemudian tambah gula pasir, garam, cili padi, asam boi dan limau kasturi. Gaul rata2 hingga semua mesra. rasa dan jika suka manis, anda boleh tambah sedikit lagi gula.
  3. Kemudian masukkan ke dalam botol tadi (mungkin anda kena guna 2 biji botol). Simpan dalam peti sejuk sekurang2nya 4-5 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih ampuh. Sedap dimakan sejuk...(nanti che mat nak try buat guna buah amra @ kedondong pulak.. )


GULAI LEMAK CILI PADI BABAT SAMA REBUNG..

rsz_gulaai_babats
Assalammualaikum, salam Selasa. Ahad lepas che mat ke Shah Alam untuk menghadiri perkahwinan anak sepupu. Hidangan simple tapi meriah. Takde nasi minyak (dan ada yang komen, apa makna kerja kawin tanpa nasi minyak) dan diganti dengan nasi putih beserta pelbagai jenis lauk pauk yang sedap. Ada juga kambing panggang, kuih muih tradisional, cendol dan sebagainya. Dan salah satu hidangan yang menjadi kegemaran bonda dan che mat juga, ialah gulai lemak cili padi babat sama rebung. Rebung che mat guna rebung madu, dan ini terpulang pada anda, samada nak guna rebung biasa pun boleh. Nak guna rebung jeruk pun tak salah, cuma kalau yang jeruk, bau dia tajam dan agak 'seksi'....sanggup ke?....

rsz_gulaai_babats1
Che mat guna 1 kg babat lembu atau ada yang panggil 'perut tuala' dan rebung tu tak de sukatan, main agak2 saja. mungkin dalam 600 gram atau lebih. Bila masak lemak cili padi, paling utama kesegaran santan untuk mendapat rasa yang sedap. Cilipadi che mat syorkan guna cili padi kampung. Cili padi Thai pun boleh, cuma rasanya sedikit maung, tak sama dengan cili padi kampung yang harum. Suka pedas boleh guna lebih, kalau tak tahan pedas boleh kurangkan. Satu lagi bila anda masak menu seperti ini, harus ada rasa 'masam' yang seimbang. Biasanya che mat guna 2 keping asam gelugor, bergantung pada saiz asam gelugor, kalau besar, guna sekeping, kalau sederhana, guna 2 macam che mat tu yea. Selain rasa seimbang, ikhlasan adalah kunci untuk mendapat masakan yang sedap dan diberkati, in sha Allah..Sebelum che mat lupa. bagi anda blogger (tak kesah apa genre blog anda sekali pun, asal bukan lucah) yang nak ping entri boleh lah join sini, dan ping entri anda yea..terima kasih...Jomm kita masak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg babat lembu @ perut tuala
600 gram rebung madu yang telah siap direbus
3 batang serai
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1/2 cawan cili padi kampung. yang hijau (boleh kurangkan)
1 1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
2 ulas bawang putih
6 biji bawang merah

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Rebus babat dengan halia dan bawang putih hingga babat lembut, toskan, biar sejuk dan babat dipotong kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama rebung. Serai diketuk dan masukkan ke dalam periuk. 
  2. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masak sekejap. Tuang santan cair dan masukkan asam gelugor. Masak hingga mendidih dan rebung lembut. Masukkan daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau rata dan biar mendidih dengan api kecil.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain. Masakan ini lebih sedap setelah dibiarkan beberapa jam....Selamat mencuba!!.

Sunday, October 26, 2014

SANDWICH SAMBAL TUMIS PETAI?...

rsz_petai_sambal

Assalammualaikum, salam Ahad. Hari ni che mat akan berada diluar kawasan. Dan entri ni seperti biasa, telah ku tulis malam tadi..ehemm...haippp, bukan entri kopipes orang lain yea, tolong lah ai bukan itu macam punya orang, tapi ni menu che mat bikin semalam ok. Kadang2 bila entri simple2 macam ni, sambutan dia kus semangat, menggalakkan sungguh. Kalau entri masakan yang rumit sedikit, orang setakat 'hmmm' aje, sebabnya ia nampak sukar dan bahan2 banyak. Tapi sebenarnya tidaklah susah mana. Sambal tumis petai susah tak?...Mesti tak kan, boleh masak kan?..ok, sini che mat nak kasi tau, anda kena gak tau tak sikit banyak hal2 dapur, terutama masakan yang mudah tapi sering mendapat sambutan, contohnya sambal tumis petai..

rsz_petai_sambal1

Manalah tau suami atau pak, mak mertua anda penggemar sambal tumis petai. Dan kebetulan anda boleh pulak masak, hadoii, bakal jadi isteri dan menantu kesayangan leeer jawabnya. Betul ni, bukan cakap borak2 yea. Jadi mana2 yang tak pernah bikin sambal tumis petai, boleh cuba nanti. Selain ikan bilis, anda boleh guna udang, sotong, kerang dan kupang. Ikut selera masing2. Dan sambal tumis petai kali ni che mat jadikan inti sandwich, alaaah nak pelik apa, kan kita yang buat dan kita yang makan, toksah nak hirau sangat dengan apa kata2 orang. Dia belom rasa, memang macam aneh aje, cuba test try, silap2 tak cukup satu...ok jomm kita bikin sambal tumis petai...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis yang telah dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
3 papan petai, ambik isinya
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
2 senduk nasi penuh cili kisar
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci hirisan halia
1 inci belacan

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Roti sandwich secukupnya
Hirisan timun secukupnya
Hirisan tomato secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa dan kacau rata.
  2. Tuang air, kacau dan masukkan petai, masak sekejap, tambah ikan bilis dan bawang besar. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (atau secukup rasa). Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SANDWICH SAMBAL PETAI :- Sediakan roti sandwich secukupnya, bakar sekejap hingga keperangan. Sudukan sambal secukupnya dan hias dengan hirisan timun dan hirisan tomato. Kemudian potong dia (bebentuk 3 segi). Hidangkan segera.

Saturday, October 25, 2014

TAUGEH KASAR TUMIS RAMPAI..

rsz_taugeeh_kasier
Walaupun ini menu orang bujang, tapi che mat tetap nak share juga. Mesti ada yang tertanya2, che mat ni penggemar taugeh kasar ke?..Sebab kerap juga entri taugeh kasar ada di blog ni. Yea memang betul, saya penggemar taugeh kasar. Walaupun ada yang kata kacang dia tu keras, tapi pada che mat bahagian kacang tu lah paling sedap, lemak2. Takde masalah kalau anda nak masak dulu kacang tu sampai lembut, denga syarat anda kena siang dan asingkan batang taugeh dan kacangnya. Masak dulu bahagian kacang tadi sampai lembut, kemudian baru masukkan batang taugeh. Selain tumis, boleh juga dimasak lemak atau di bening saja. Kenapa che mat masak menu2 ringkas?..Sebab itu yang lebih mendapat sambutan. Bagi yang nak mencuba che mat tuliskan resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram taugeh kasar (taugeh soya)
2 keping tauhu keras,
1 cekak kucai
1 biji bawang besar, hiris 
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
15 ekor udang, bersihkan, cuci dan toskan
1 camca besar sos tiram
Sos ikan secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan. Tauhu dipotong kiub, goreng sekejap hingga kekuningan, angkat dan toskan. Kucai dicuci, kemudian kerat pendek. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis hirisan bawang besar dan putih hingga harum. Masukkan sos tiram dan kacau rata. Tambah udang, gaul rata dan masak hingga udang berubah warna. Tuang sedikit air.
  3. Tambah tauhu goreng, cili merah dan cili hijau. Gaul rata dan masukkan taugeh kasar. Kacau dan masak hingga tauge lembut sedikit. Tambah sos ikan secukup rasa dan masukkan kucai. Gaul dan masak sekejap. Rasa dan jika ok bole matikan api. Hidangkan panas bersama nasi putih dan lauk2 lain..


PUCUK PAKU TUMIS SAMA UDANG...

rsz_pucuk_paku_tumis_udang
Assalammualaikum. Ada waktu dan ketika mood masak ke laut cina selatan sangat dalam erti kata lain, malas. Bila dah malas, masak ala kadar pun dah ok sangat. Contohnya macam entri yang ni, che mat cuma tumis pucuk paku hijau (atau pucuk paku perak) dengan udang. Lepas tu boleh makan sama nasi panas, dan sertakan sambal belacan, telur dadar dan ikan goreng. Kira ok sangat2 dah. Pucuk paku perak dalam 3 cekak, mungkin nampak banyak, tapi percayalah lepas anda masak, ada leerr semangkuk dan sesuai untuk makan 5 orang. Udang tu anda boleh ganti dengan sotong atau ikan bilis, bila dah ganti toksah pulak guna nama pucuk paku tumis sama udang, tukar lah dengan nama yang sesuai mengikut rencah yang anda guna. Mana yang tak reti atau ragu2 nak masak pucuk paku kasi sedap..meh sini che mat ajar...jomm ke dapur..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cekak pucuk paku perak @ pucuk paku hijau
10 ekor udang saiz besar (nak tambah lagi pun boleh)
1 camca besar sos tiram
Sos ikan secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
1/2 kiub pati ikan bilis

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Pucuk paku diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Udang dikupas kulit, cuci bersih dan toskan. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan sos tiran, kacau dan tambah udang. Masak hingga udang bertukar warna. Tambah air, dan biar sekejap. Masukkan pucuk paku dan gaul rata. Masak hingga pucuk paku lembut, tapi bukan sampai lembik. Tambah sos ikan secukup rasa, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar, sambal belacan dan ikan goreng..yumm....yummm..

Friday, October 24, 2014

SUP PETOLA BANTAL UDANG GALAH

rsz_petola_bantal_tumis_air
Salam Jumaat semua. Masa agak ketat sikit, jadi kita masak yang mana sempat saja lah kan. Bila masak yang ringkas, ia lebih menjadi pilihan. Kalau di kampung, cara memasak lebih mudah, ini kerana kebanyakkannya menanam sendiri sayur2an untuk dimakan. Contohnya, bonda che mat memang menjadi habit dia menanam sayur sejak remaja lagi, ini mungkin sebab bonda berdarah peranakan cina, maka sifat kerajinan bercucuk tanam itu memang ada (kan orang2 cina suka bercucuk tanam). Kali ni che mat masak sup petola bantal dengan udang galah, sup tu kalau istilah orang kampung, masak tumis air leer senang ceritanya. Resipi memang mudah, kanak2 pun in sha Allah suka. Tambah sedikit lada sulah untuk kasi seimbang, sebab petola ni dalam kategori sayur sejuk. Kalau anda nak masukkan cendawan tiram pun sedap...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji petola bantal saiz sederhana
5 ekor udang galah
1/2 cekak so hoon, kerat pendek, cuci dan toskan
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh serbuk lada sulah (che mat guna aji-shio)
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kupas petola bantal, cuci dan toskan. Belah 2 kemudian hiris serong sederhana tebal. Buat kaedah sama untuk yang satu lagi. Udang dibersihkan, sebab guna udang galah, tak perlu lah buang kulit dia, cuma kerat kaki2 kecil dia, kalau tak nak pun takpe...cuci bersih dan ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan udang, kacau rata dan masak hingga ia berubah warna. Tuang air seckupnya (anggaran 1 liter). Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan petola dan so hoon. Kacau rata dan tambah serbuk lada sulah. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak hingga petola dan so hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan..

Wednesday, October 22, 2014

GULAI KARI REBUNG MADU SAMA AYAM..

rsz_karie_ayam_rebung_madu

Assalammualaikum, salam Rabu. Cuaca mendung dan asal petang saja hujan. Di kampung che mat tidak lah selebat mana hujannya, tapi yang membimbangkan angin agak kuat. Hari ni cuti Deepavali kan?, mesti ada yang memasak di rumah untuk makan bersama keluarga. Che mat hari2 masak, dan hari ni dengan tidak disengajakan termasak gulai kari rebung madu sama ayam. Ada yang kasi cadangan, cuba che mat masak sama daging. Sebenarnya niat asal memang nak masak sama daging korban yang dapat tu hari, tapi Bak dia kan ada sakit gout, mana boleh makan daging, ada kang bengkak kaki dan tak boleh jalan. Siapa susah, dah tentulah Bak dan kami orang yang susah. Tu pasal che mat masak sama ayam...

rsz_karie_ayam_rebung_madu1

Bila nak masak kari, rebung madu kalau dihiris nipis kurang sesuai. Seperti yang che mat nampak dan pelajari dari kak ipar che mat yang berasal dari Kodiang, Kedah, rebung madu dipotong 1 inci lebih dan akan dikelar2 tidak putus pada satu bahagian dan kemudian dikelar2 lagi disatu bahagian, tapi dari arah berbeza. Kalau anda beli rebung madu yang telah siap direbus, dia memang dikerat2 kurang lebih  1 1/2 inci dan telah siap direbus (selalunya negeri2 dibelah utara seperti Kedah dan Perlis mereka jual macam tu). Kalau guna rebung madu segar, kenalah kerat sendiri. Dan anda kena rebus kurang lebih 2 jam atau hingga rebung lembut, jangan lupa tambah sedikit garam semasa merebus. Ok, kalau anda nak cuba che mat kongsikan resipi seperti di bawah ini....

rebung madus

Cara che mat hiris rebung madu yang dignakan dalam resipi ini.

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
500 gram rebung madu, dipotong seperti dalam gambar di atas
4 camca besar penuh rempah kari daging (baba's)
1/2 camca besar serbuk ketumbabr
1 camca teh serbuk jintan manis
3 camca besar cili kisar
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
1/2 camca besar minyak sapi
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/2 cawan) tambah minyak sapi. Sementara itu bancuh bahan kisar halus bersama rempah kari, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan kacau rata hingga menjadi pes. Bila minyak panas, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang perang. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga rempah garing dan naik minyak. Tambah ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Masukkan rebung, gaul rata dan masak sekejap. Tuang santan cair, tambah air jika perlu. Kacau dan biar mendidih.
  3. Masak hingga ayam empuk dan rebung lembut. Tambah asam gelugor. Tuang pati santan dan kacau perlahan. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhana sambil dikacau selalu. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan telur dadar..

Tuesday, October 21, 2014

UBI REBUS CICAH SAMBAL IKAN...

rsz_ubie_rebos (1)
Musim hujan sekarang ni, dan kalau hujan2 makan ubi rebus memang lah sedap, nikmat sangat2. Bayangkan ubi yang direbus empuk, melekit2 dan rasa yang lemak. Cicah pulak dengan sambal tumis ikan yang hangat....hmmm, tak lupa kopi panas. Allah hu akhbar, tak boleh nak cerita sedapnya. Kalau waktu hujan memang ngam kan makan ubi rebus. Selain sambal tumis, anda boleh makan sama ikan masin, kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam, sertakan gula melaka. Ubi juga boleh dimasak asam pedas, atau ditumis bersama rempah ketumbar jintan seperti membuat ungkep. Selain itu ubi rebus ditumbuk sama kelapa parut, sedikit gula dan dijadikan ubi getuk. Anda boleh bulat2kan ubi getuk tadi, celop tepung dan goreng seperti pisang goreng. Cicah sama sambal kicap. Pendek kata ubi anda boleh jadikan pelbagai kuih muih yang enak...Resipi ubi rebus?...tak perlu lah kan, tapi che mat kasi resipi sambal tumis ikan...boleh?....

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 ekor ikan selar kuning (boleh guna sebarang ikan yang anda suka)
2 senduk nasi cili kisar
3/4 camca besar pes asam jawa
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan selar kuning disiang, cuci bersih, gaul rata dengan 1 camca teh serbuk kunyit dan sedikit garam. Goreng hingga masak, tak perlu sampai garing sangat, nanti keras (boleh guna ikan kembong, kerisi, tongkol atau tenggiri. Banyak mana tu, ikut saiz ikan yang anda guna). Ketepikan.
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah pes asam jawa, kacau rata dan masak sekejap. Tuang air, kacau rata dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan, gaul rata dan tambah bawang besar. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula (kalau suka manis, tambah lebih sikit atau secukup rasa). Kacau perlahan dan masak sekejap hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ubi rebus tadi..


SAMBAL GORENG KICAP..

rsz_sambal_goreng_kicap
Kadang2 buntu juga kepala ni kalau dah hari2 masak. Tu pasal setiap hari sebelum tidur, che mat akan tanya bonda, esok plan nak masak apa, dengan cara ini akan buat kerja kita lebih cepat. Macam Bak, dia makan mudah, tapi agak cerewet. Ada yang che mat masak tak kena di tekak dia, contohnya kalau che mat masak singgang, bak takkan makan, sebab dia nya style, singgang amat2 simple, dan kena guna asam jawa, no halia, kaler pun tak boleh kuning sangat, kena lite2 kaler saja, Pedas tak boleh sebab arwah nenak (mak Bak) memang tak masak pedas, jadi dah tak biasa makan pedas. Bila kawen dengan mak che mat (yang dipelihara oleh tok/nenek yang berasal dari Negeri Sembilan), berlaku lah konflik citarasa. Macam tu lah serba sedikit ceritanya, tu pasal che mat masak2 pelbagai menu...boleh faham?. Entri kali ni che mat bikin sambal goreng kicap, cuma guna 5 bahan2 utama, tempe, kentang, tauhu, fucuk dan so hoon. Rencah ikut suka nak guna udang boleh, ikan bilis pun boleh, che mat guna ikan bilis. Dan untuk perisan sudah semestinya kicap lemak manis JALEN, pilihan utama che mat dalam setiap masakan yang perlukan kicap...ehemmm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping tempe berbungkus daun, didadu
2 keping tauhu keras, didadu 
20 gram fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut
2 biji kentang saiz sederhana, kupas, potong dadu dan rendam
1 cekak so hoon, kerat pendek dan rendam hingga lembut
1 genggam ikan bilis, rendam sekejap
2 camca besar cili kisar
1 camca teh pes asam jawa
4 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Goreng tauhu, tempe dan kentang hingga kekuningan, angkat dan toskan. Fucuk dipotong kecil dan rendam hingga lembut, toskan. So hoon dikerat pendek dan rendam hingga lembut, toskan. Ikan bilis ditumbuk hingga hancur, tak perlu lumat sangat, Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak, tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum dan perang. Masukkan ikan bilis dan masak sekejap. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak.
  3. Tambah sos tiram dan pes asam jawa. Kacau rata dan masukkan kicap. Biar mendidih dan masukkan fucuk, kacau rata dan masak sekejap. Tambah tauhu, tempe, kentang dan so hoon. Gaul rata dan masak hingga kering. Akhir sekali masukkan hirisan cili merah dan hijau. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api (kalau kurang masin, anda boleh tambah sedikit lagi kicap lemak manis). Hidangkan bersama nasi atau ketupat.

Monday, October 20, 2014

LAKSA LEMAK @ LAKSA NYONYA...

rsz_laksa_lemak_nyonya

Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat malas masak, tapi teringin sangat nak makan laksa lemak atau laksa nyonya. Bila dah teringin tu kena lah buat. Ok, langkah pertama kena tengok ada tak bahan2 untuk bikin laksa lemak. Korek sana, korek sini, alhamdulillah bahan2 hampir cukup walaupun kekurangan bunga kantan. Takpe lah, dah nak sangat, kita bikin saja, takde bunga kantan sudahlah, tapi kalau anda buat pastikan ada yea bunga kantan. Laksa tanpa bunga kantan seakan2 cacat aroma dan rasanya. Laksa lemak atau laksa nyonya kuahnya berperisa dan seakan2 kuah gulai, tapi lebih kaya. Che mat gunakan air rebusan tulang ayam, air rebusan kulit udang dan udang kering tak lupa belacan sebagai bahan perasanya. Dan lagi istimewa che mat tambah........

rsz_laksa_lemak_nyonya1

....udang galah ok dalam kuah laksa ni dalam 6 ekor macam tu. Selain udang galah, ada fishball dan tau pok. Tau pok atau tauhu yang telah siap digoreng amat sesuai untuk laksa lemak dan mi kari kerana ia berongga dan lebih menyerap kuah bila dimakan. Untuk resipi ini che mat guna 1 cawan pati santan. Kalau anda nak gantikan dengan susu cair boleh juga, tapi letak akhir dan kacau sentiasa. Jangan didihkan lama sangat, nanti ia berketul2. Laksa lemak sesuai anda hidangkan untuk jamuan rasmi atau santai. Untuk tetamu yang berkunjung juga anda boleh hidangkan. 

rsz_laksa_lemak_nyonya2rsz_laksa_lemak_nyonya5
Che mat guna mi laksa kering, anda boleh guna yang segar. Kalau takde, boleh ganti dengan mi hoon. Mi kuning pun boleh juga, tapi dahnanti serupa mi kari pulak, macam tak ngam aje. Kuah laksa lemak yang che mat bikin ni tidak lah terlalu pekat, sedang2 saja dan rasanya tidak pedas. Lagi pun nanti akan dihidangkan bersama sambal belacan tumis. Kali ini sambal dia che mat bikin agak ringkas dan tidak seperti sambal tumis biasa..yang tu nanti kita lihat resipi...dan tak lupa telur rebus...

rsz_laksa_lemak_nyonya3rsz_laksa_lemak_nyonya4
Kalau dah nama laksa, mesti ada ulam2man segar. Seperti biasa, timun yang dihiris halus, bawang besar. taugeh, hirisan daun kesom dan bunga kantan tidak boleh dielakkan jika kita menghidangkan laksa lemak. Rasa che mat takde apa nak cerita lagi, kita lihat resipi dan anda boleh cuba bila ada kelapangan waktu nanti...ok....Jommm...

BAHAN BAHAN KUAH LAKSA LEMAK :-)
1500 ml air rebusan tulang ayam
1500 ml air rebusan kulit udang
250 ml pati santan
10 biji fish ball
10 biji tau pok, potong 2 setiap 1
6 ekor udang galah saiz sederhana, dibersihkan
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
3 camca besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus
4 biji buah keras
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 inci belacan, dibakar
3 biji cili merah

BAHAN-BAHAN ULAM :-)
Timun, hiris nipis dan mayang halus
Bawang besar, dihiris nipis2 dan leraikan
Taugeh secukupnya, dibuang ekor, cuci dan toskan
1 genggam daun kesom, dimayang halus
Bunga kantan, dihiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rendam dan rebus hingga lembut, toskan dan cuci bawah air paip)
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Telur rebus, dibelah 2 setiap satu
Sambal belacan tumis secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA LEMAK :- Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/3 cawan atau lebih sedikit). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak dan bahan2 tadi garing. Tuang air rebusan kulit udang dan air rebusan tulang ayam. Kacau rata dan biar mendidih.
  2. Masukkan udang. bunga kantan dan daun kesom. Kacau dan biar udang masak. Tambah fishball, dan tuang pati santan. Kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Masukkan tau pok, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api..
  3. UNTUK SAMBAL BELACAN TUMIS :- Yang ni amat mudah, anda perlukan 1 cawan cili kisar, 1 inci belacan yang dibakar dan dihancurkan. Gula dan garam secukup rasa. Tumis cili dan masukkan belacan, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Tambah garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK LAKSA LEMAK@LAKSA NYONYA :- Masukkan secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa bersama isi2nya sekali (termasuk udang galah). Hias dengan ulam2man, 1/2 telur rebus, sambal belacan tumis dan perahkan jus limau kasturi sebelum anda nikmatinya....Selamat mencuba!!

Sunday, October 19, 2014

GULAI TEMPOYAK IKAN HARUAN

rsz_gulai_tempoyak_ikan_haruan
Assalammualaikum, salam Ahad semua. Hari ni che mat masak menu permintaan. Gulai tempoyak ikan haruan. Apa tu ikan haruan?..Ikan haruan sejenis ikan air tawar, dia bersifat agak pendiam tapi ganas. Kalau anda yang biasa dengan ikan air tawar, ada 3 jenis ikan yang seakan2 serupa dengan ikan haruan yang lebih dikenali dengan ikan toman dan ikan bujuk. Banyak khasiat ikan haruan ni, anda boleh google untuk tau khasiat dan kebaikkannya terutama untuk mereka2 yang menjalankan
rawatan pembedahan. Ia berupaya mempercepatkan penyembuhan luka terutama ibu2 yang melahirkan anak. Kalau tak silap che mat harga ikan haruan segar sekitar RM 40 sekilo...phewww!!..

rsz_gulai_tempoyak_ikan_haruan1
Ikan haruan yang che mat masak hari ni pemberian jiran, masa bagi tu ikan masih hidup lagi. Cepat2 simpan dalam freezer biar ikan 'tidur' nyenyak. Pagi tadi bonda tolong siangkan. Kali ni che mat masak style Negeri Sembilan dan bahan2 dia memang sikit saja. Kalau anda apa petai, boleh masukkan sekali untuk menambah kesedapan gulai. Selain masak gulai tempoyak, sedap juga dimasak singgang, taruk lada hitam lebih sikit, yang ni sesuai untuk mereka yang dalam pantang (pantang bersalin yea, bukan pantang nampak), atau nak lebih mudah anda goreng kunyit saja. Bagi yang nak mencuba, jomm che mat sharekan resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan haruan (kurang lebih 1 kg)
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor (kalau saiz besar, guna 1)
1 liter santan cair
500 ml pati santan
Garam secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
50 biji cili padi kampung
1 1/2 inci kunyit hidup
2 camca besar penuh tempoyak

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan haruan disiang, cuci dan gaul dengan tepung selama 10 minit, cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis, biar hingga ikan hendak digunakan. Masukkan bahan2 kisar ke dalam periuk bersama serai titik, asam gelugor dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Ikan dicuci hingga bersih, toskan dan masukkan ke dalam kuah yang tengah mendidih tadi. Kacau perlahan dan masak 5 - 6 minit. Tambah pati santan dan daun kunyit. Kacau perlahan, perasakan dengan garam secukupnya. Biar mendidih dengan api kecil sambil dikacau perlahan untuk 3 - 4 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Saturday, October 18, 2014

GULAI ASAM PEDAS AYAM..

rsz_gulai_ayam_pedas
Assalammualaikum, salam Sabtu semua. Plan masak apa hari ni?..Kadang2 pening juga bila nak masak, na2 kalau dalam satu rumah ada selera yang tak sama, maka kenalah masak beberapa jenis menu. Rumah che mat pun macam tu juga, tapi alhamdulillah semua tak cerwet, cuma jangan terlalu pedas untuk Bak, jangan ada petai dan tempoyak untuk abang long dan yang lain semua ok. Semalam che mat masak gulai asam pedas ayam. Teringat komen @Tunku Besar Zabedah Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Johor di InstaGram che mat dulu yang memaparkan asam pedas ikan pari. Kata YAM Tunku, kalau di Johor, asam pedas juga dipanggil gulai, tapi tak campur apa2, maksudnya takde lah taruk terung atau nenas. Terima kasih sangat2 pada YAM Tunku, kerana sudi memberi pandangan...

rsz_gulai_ayam_pedas1
Dan, che mat masak gulai asam pedas ayam tapi taruk tomato. Gulai asam pedas ayam boleh dikatakan agak terkenal di Johor, seperti Melaka, kan ada asam pedas tetel. Resipi agak simple dan sesuai dimakan bersama nasi putih berulamkan timun dan telur dadar. Che mat tambah sedikit lada hitam untuk kasi aroma dan rasa 'hangat' pada gulai asam pedas ayam. Kalau anda nak masukkan sayur2an pun tak salah, ikut kesukaan masing2, nak taruk bendi, terung, nenas atau sawi jeruk pun boleh. Pernah sekali dulu che mat masukkan kentang (yang tu idea Kak Jee @ Fauziah Abdul Samad). Memasak ni tak boleh stress, kalau tak hilang keseronokkannya....Kalau anda nak cuba, che mat kongsikan resipi mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ayam, potong ikut suka
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
2 batang serai, diketuk
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom, cuci dan toskan
1 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
1 camca besar pes asam jawa
2 senduk nasi penuh cili kisar
1 camca teh serbuk kunyit
1 kiub pati ayam (optinal)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai hingga wangi, masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga harum, tambah serbuk kunyit dan kacau rata. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan ayam dan daun kesom. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam). Kacau dan biar mendidih. Masukkan kiub pati ayam (jika guna), bunga kantan dan lada hitam tumbuk. 
  3. Bancuh pes asam jawa dengan 1/4 cawan air dan masukkan ke dalam periuk. Kacau rata. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga ayam empuk. Akhir sekali masukkan tomato belah. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ulam timun dan telur dadar..

Friday, October 17, 2014

ACAR DARAT REBUNG MADU...

rsz_acar_rebung_madu
Salam semua, rasa macam blurr pulak malam ni, ok takpe dari rasa tak tentu hala, moh leer kita meng update blog. Tapi menu biasa2 saja lah. Blog che mat kan jenis simple, no fussy2 punya resipi. In sha Allah menjadi kalau buat, cuma menepati selera anda atau tidak tu che mat tak boleh nak jamin, Apa2 resipi sekali pun hanya sebagai panduan, selebihnya ikut selera anda. Pernah makan acar rebung madu?. Sebelum ni che mat pernah makan tapi bukan rebung madu, rebung biasa. Tak plan sebenarnya nak bikin. Lepas che mat rebus rebung madu, baru teragak nak bikin acar. Dari style memotong rebung macam tak ngam aje untuk bikin acar. Seelok2nya hiris panjang2 macam acar timun. Acar rebung madu amat2 senang dan tak de beza dengan resipi acar timun. Acar rebung tidak berair macam acar timun, kalau anda nak berkuah sedikit, boleh tambah sedikit air. Tapi kalau acar che mat suka kering2 macam ni. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram rebung madu
10 biji bawang merah kecil, belah 2 setiap 1
6 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau, hiris serong memanjang
1 inci halia, hiris halus
1 camca teh serbuk kunyit
2 camca besar udang kering, rendam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
5 camca besar cuka makan JALEN
2 camca besar penuh gula (atau secukup rasa)
Garam secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 camca teh biji sawi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebung madu direbus dengan 1 camca teh garam selama 20 minit atau hingga lembut, toskan. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum, tambah udang kering dan goreng sekejap.
  2. Masukkan bawang putih dan serbuk kunyit, kacau rata. Tambah halia dan gula, kacau hingga gula larut, Tuang cuka makan, kacau dan biar mendidih. Masukkan bawang merah kecil, rebung dan air. Kacau rata.
  3. Tambah garam secukup rasa, masukkan hirisan cili merah dan hijau. Kacau dan masak sekejap. Rasa, jika ok boleh matikan api, Hidangkan bersama nasi putih atau sebarang nasi berperisa (nasi minyak, nasi briyani dan sebagainya)..

DALCA KAMBING KACANG KUDA

rsz_1dalca_kambeng
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Anda biasa masak dalca?...Che mat antara penggemar dalca, kerana dalca satu masakan yang amat2 versatile, kebiasaannya dimakan bersama nasi2 berperisa seperti nasi minyak, nasi beriani dan sebagainya. Selain itu enak juga dimakan bersama roti, lempeng, roti jala, capati dan roti canai. Biasanya che mat masak dalca biasa, tapi kali ni cuba masak dalca kambing pulak. Sedap ke dalca kambing?..Bagi mereka yang tak makan kambing, mesti kata kurang sedap, toksah risau, anda boleh gantikan dengan daging lembu. Kalau ada daging korban, lagi elok, gunakan. Kalau nak sedap gunakan daging yang ada lemak seperti daging tetel. Kalau nak guna tulang pun boleh, pastikan yang masih ada daging..

rsz_dalca_kambeng_1
Untuk dalca kambing ini che mat masukkan juga 1 tin kacang kuda, beli kacang kuda dalam tin jenama 'kimball' tu aje. Kalau anda rajin nak rebus sendiri pun boleh, rendam dalam 1 cawan kacang kuda semalaman, esoknya rebus dengan sedikit garam sampai empuk. Kacang dhal che mat masukkan juga, kalau tak kuranglah kenikmatan masakan bernama 'dalca'. Resipi macam ni, makin lama anda simpan makin sedap rasanya, tapi pastikan ia dipanaskan dan jangan rapatkan tudung periuk masa dalca tengah panas, ini boleh menyebabkan wap air yang terkumpul akan menitis balik ke dalam masakan dan dalca akan cepat basi. Boleh faham?...alhamdulillah, bukan susah mana, ok kalau nak cuba, resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram daging kambing, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, dihiris nipis*
3 ulas bawang putih, diketuk*
Air secukupnya*(*satukan dan rebus hingga daging kambing empuk)
1 liter santan cair
500 ml pati santan
3 camca besar cili kisar
6 camca besar penuh rempah kari daging (baba's)
1 cawan kacang dhal
1 tin kacang kuda dalam tin (che mat guna jenama kimball), toskan
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
Garam dan gula secukup rasa

UNTUK SAYUR-SAYURAN :-)
3 biji kentang, kupas dan potong 8 setiap 1, rendam
8 tangkai kacang panjang, potong pendek
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
1 batang lobak merah, potong berbaji
1 biji terung ungu saiz besar, dipotong dadu
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau, hiris serong memanjang

BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai, hiris
1/2 inci lengkuas

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
7 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 tangkai daun kari, dilurut

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari. Kacau rata hingga menjadi pes, dan tambah sedikit air jika perlu. Kacang dhal dicuci dan rebus hingga empuk, toskan dan simpan air rebusannya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan atau lebih sedikit), masuk bahan2 tumis dan masak hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Tamban pes rempah kari dan masak hingga rempah garing. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan kentang dan lobak merah. Gaul rata dan masak sekejap. Kemudian tuang air rebusan daging kambing, air rebusan kacang dhal dan santan cair. Kacau rata dan biar mendidih. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan daging kambing. Kacau dan biar mendidih.
  4. Masukkan asam gelugor, kacang dhal, kacang kuda serta sayur-sayuran seperti kacang panjang dan terung. Tuang pati santan, kacau dan biar mendidih dengan api kecil. Tambah gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali masukkan tomato dan hirisan cili merah dan hijau. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama nasi, roti dan sebagainya..

Thursday, October 16, 2014

SEKADAR MI HOON KASAR GORENG...

rsz_mie_hoon_kasar
Ini sebenarnya sarapan yang che mat bikin pagi Selasa tu hari, dan plan asal nak keluarkan malam semalam. Konfiden giler ingat dan jadikan autopost, rupanya tak tulis apa2 pun. Jadi che mat jadikan entri untuk petang ni, bolehlah kan. Perasan tak saiz mi hoon dalam gambar tu?...Besar2kan, seakan2 spaghetti angel hair. Mi hoon kasar ini diimport dari Vietnam dan che mat test goreng seperti mi hoon biasa dan hasilnya?...Ok lah secara jujur, che mat lebih suka mi hoon biasa tu. Dan yang jenis kasar macam ni lebih sesuai untuk mi yang berkuah seperti mi hoon sup. Tapikan bila dah goreng, takkan nak kata tak sedap, yea tak....

rsz_mie_hoon_kasar1
Mi hoon kasar ni, che mat hanya rendam hingga lembut, tapi makan masa sikit lah sebab saiznya lebih kasar dari mi hoon biasa. Kalau nak celur sekejap pun boleh. Dan seperti selalu. che mat guna sambal tumis untuk goreng mi. Ada yang tanya resipi sambal tumis tu nak buat macam mana?, Anda buat macam sambal tumis biasa saja, lepas tu simpan dalam peti sejuk, tapi pastikan anda tumis dengan minyak yang lebih dan masa simpan, pastikan sambal tenggelam dalam minyak. Bila nak guna anda cedok sambal dia saja, minyak tu tak perlu, atau boleh guna untuk tumis bawang. Pasti akan memberi rasa yang berlainan pada mi hoon goreng anda.....Jomm kita goreng mi hoon kasar!....

BAHAN-BAHANNYA :-)
Mi hoon kasar secukupnya (kurang lebih 200 gm)
150 gram taugeh, dibersihkan, cuci dan toskan
1 cekak kucai, potong pendek
Udang segar secukupnya (che mat guna udang saiz besar dan che mat potong kecil)
8 biji bebola ikan, belah 2 setiap 1
1 genggam isi kerang
2 camca besar sos cili JALEN
4 camca besar sambal tumis
4 biji bawang merah, hiris
3 ulas bawang putih, cincang halus
2 biji telur, dipukul sedikit
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Hirisan cili merah, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
Limau kasturi untuk dimakan bersama mi hoon goreng

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Rendam mi hoon hingga lembut, toskan. Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah dan putih hingga harum, masukkan sambal tumis dan sos cili. Kacau rata dan masak sekejap, guna api kecil dan kacau selalu (tak perlu masak lama sangat sebab sambal tumis tu memang dah masak).
  2. Masukkan udang, isi kerang dan bebola ikan. Kacau rata dan masak hingga udang berubah warna, tolak ke tepi kuali. Masukkan telur dan biar kental, kemudian kacau hancur. Gaul rata dan masukkan 1 camca besar sos ikan, 
  3. Masukkan mi hoon, gaul hingga mesra. Tambah taugeh dan kucai, gaul lagi hingga rata. Rasa dan jika perlu baru tambah lagi sos ikan secukup rasa. Masak sekejap dan boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang, hirisan cili merah dan bawang goreng. Perah jus limau kasturi sebelum dimakan, jika suka...

PETOLA BANTAL TUMIS SAMA UDANG.

rsz_petola_bantal_goreng
Assalammualaikum....salam semua. Anda plan masak apa hari ni?..Che mat masak yang mudah saja, tapi untuk entri ini che mat kongsi menu semalam. Anda pernah makan petola bantal?...Ia sama macam petola segi, tapi dari segi rasa, petola bantal lebih manis rasanya. Satu lagi kelebihan petola bantal, pokok dia sekali anda tanam, boleh tahan bertahun2. Serangga pun kurang minat dengan petola bantal. Kebiasaannya che mat akan masak tumis air atau masak lemak, tapi semalam kita cuba goreng dengan udang. Alhamdulillah, sedap you!...masak ni lepas tu anda goreng ikan, ada sambal belacan dan telur dadar...bessnya, makan sama nasi panas yang dimasak lembut sedikit. Kalau tak suka udang, boleh ganti dengan ikan bilis. Soo hoon tu optional, kalau tak suka, tak perlu letak....Resipi memang mudah dan bahan2nya tidak banyak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji petola bantal, saiz sederhana (contoh di sini)
1/2 cekak soo hoon
10 ekor udang bersaiz besar
1 camca besar sos tiram JALEN
Garam secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas petola, cuci dan belah 2. Hiris sederhana tebal untul setiap belahan. Soo hoon dipotong pendek dan rendam hingga lembut. Udang dikupas kulitnya, belah belakang dan buang urat, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum. Masukkan sos tiram dan kacau rata. Tambah udang, masak hingga udang berubag warna. Tuang air dan biar mendidih.
  3. Masukkan petola, kacau rata dan biar petola lembut sedikit. Masukkan soo hoon (toskan), gaul rata dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng, sambal belacan dan telur dadar..

Wednesday, October 15, 2014

ASAM TUMIS SULUR KELADI 'BANGLADESH'..

rsz_asam_tumis_sulur_keladi_bangla1

Assalammualaikum, salam semua, Hari ni che mat masak beberapa jenis menu, tapi untuk entri ini che mat kongsikan resipi tradisi orang2 melayu kita. Asam tumis sulur keladi, tapi bukan sebarang sulur keladi, che mat guna sulur keladi import punya. Bangladesh mari. Isnin lepas masa ke Batu Pahat, che mat singgah ke pasar. Satu pekara yang che mat suka bila ke pasar, kita akan jumpa benda2 baru dan ulam2man yang jarang anda nampak, terutama bagi yang diam di bandar. Sulur keladi bangla, pertama kali che mat tengok di rumah sepupu, bila dia beli sulur keladi yang begitu berbeza dari sulur keladi biasa. Kalau sulur keladi kita ada warna kemerahan2 sikit, tapi sulur keladi Bangladesh, kaler hijau muda dan in sha Allah tak gatal bila dimasak.

rsz_asam_tumis_sulur_keladi_bangla

Seperti biasa, di rumah che mat, sulur keladi akan dimasak asam tumis. Ada juga yang suka jadikan sambal, atau masak lemak. Kita ni masak ikut permintaan dan kalau asam tumis macam ni, ikan masin kurau menjadi pilihan dan campurkan dengan tulangnya sekali sebagai perencah. Isi dan tulang direndam beberapa jam untuk mengurangkan rasa masin terlampau dan masa memasak, anda masukkan tulangnya dahulu dan isi ikan kemudian, ini kerana isi ikan kan kita dah rendam lama, kalau masuk awal harus bersepai hancur. Jadi untuk mengekalkan bentuk isi ikan, anda letak lewat sikit. Satu lagi penggunaan garam harus dijaga, rasa dulu, dan letak garam bila perlu. Menu seperti ini sedap dimakan bersama nasi, sambal belacan dan telur dadar....Kalau nak mencuba che mat kongsikan resipi dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram (kurang lebih) sulur keladi Bangladesh
4-5 ketul tulang ikan masin kurau, rendam 2 jam
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
1/2 kiub pati ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup'
4 biji cili merah
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sulur keladi dibuang kulit luarnya. Kerat sepanjang 2 inci, buat hingga siap dan celur dalam air mendidih yang dimasukkan sekeping asam gelugor. Celur 10 minit dan toskan. 
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak, tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan asam gelugor dan masak hingga harum. Tuang air secukupnya (anggaran 1200ml), kacau dan biar mendidih. Masukkan tulang ikan masin dan sulur keladi tadi. Kacau rata dan masak hingga sulur keladi lembut.
  3. Masukkan daun kunyit dan kiub ikan bilis. Masak sekejap dan rasa, jika perlu tambah sedikit garam atau secukup rasa dan sedikit gula. Rasa dan jika ok boleh matikan api, Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan telur dadar..

Tuesday, October 14, 2014

ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG 2 DAERAH

rsz_asam_ikan_sembilang1
Assalammualaikum, salam semua. Rasa macam tak sempat nak update blog, tapi curi2 masak sikit sambil duduk minom kopi O. Hari ni atas permintaan che mat masak asam pedas ikan sembilang. Kalau tengok tajuk entri sikit punya misteri, siap ada 2 daerah lagi. Serius mencabar cari ikan sebilang ni, tu pun dapat seekor saja, alhamdulillah, lepas gak kempunan tuan yang mengidam ikan sembilang ni (siapa lagi kalau bukan Bak). Seawal pagi semalam kita orang dah keluar ke Rengit, tapi malangnya takde kelibat ikan sembilang. Selalunya kalau kat sana, che mat suka ikan sembilang yang masih hidup walaupun harga agak mahal. Satu lagi ikan sembilang tempatan tak sama harga dengan ikan sembilang import (Indonesia mari punya) dan isi ikan pun banyak beza. Yang tempatan lagi sedap dan harga mahal sikit.

rsz_asam_ikan_sembilang
Bila takde ikan sembilang di Rengit, kita orang terus ke Batu Pahat pulak, ke pasar dan kelibat ikan sembilang masih tak muncul, kata sorang makcik tu, sekarang ni tak musim ikan sembilang, tu yang payah nak jumpa. Kemudian terus ke satu tempat ni (ishh tak ingat pulak nama dia, tapi masih dalam daerah Batu Pahat, kira macam pangkalan tempat nelayan naik dan memang ada jual ikan segar). Che mat pun pi lah tengok kot2 ada ikan sembilang, bila tanya kat tauke ikan tu, dia kata betul2 ada seekor saja, tapi yang dapat malam tadi punya. Dari takde, che mat pun beli lah juga. Ok, terus ke Parit Jawa, Muar...ni antara pasar feberet che mat. Dan kot2 kalau ada, boleh tambah seekor lagi, tapi seperti dijangka, ikan sembilang merajuk hari tu...Apa2 pun syukur sangat2 sebab dapat juga seekor. Dan dengan rasminya ikan sembilang telah ku masak asam pedas ikan sembilang 2 daerah sempena pencariannya dari Daerah Batu Pahat hingga ke Daerah Muar....begitulah kesahnyaa...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sembilang (kurang lebih 400+ gram)
1/2 biji nenas madu
1 1/2 senduk nasi cili kisar
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
3/4 camca teh pes asam jawa
1/2 inci halia, diketuk
15 biji halba
1/2 kiub ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang dipotong pada 5 atau 6 bahagian, cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis selama 15 minit, cuci kembali dan toskan. Nenas dibelah 4 dan hiris serong sederhana tebal. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 6 camca besar). Tumis bahan2 kisar hingga harum, masukkan halba dan kacau rata. Tambah cili kisar dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata.
  3. Masukkan nenas dan daun kesom, gaul rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya (kurang lebih 800 ml). Kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan sembilang, bunga kantan dan kiub ikan bilis, kacau perlahan dan biar hingga ikan masak, tambah air jika perlu.
  4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain..

Monday, October 13, 2014

MI KARI UDANG SENJA KALA...

rsz_mi_kari_senja_kala
Assalammualaikum.  Salam semua, baru berkesempatan nak masukkan entri mi kari udang senja kala yang che mat bikin semalam. Sebenarnya che mat masak petang semalam untuk dijamu pada tetamu. Dan kuah mi kari siap dimasak betul2 waktu dah senja..misteri sangat kan..ehemm. Hari ni che mat tak masak. Makan apa yang ada saja. Pagi tadi kami ke Rengit, kemudian terus ke Batu Pahat dan langsung ke Parit Jawa, Muar. Tujuannya mencari ikan sembilang, entah kenapa Bak ada sebut2 nak makan ikan sembilang tapi kebanyakkan tempat dan pasar yang kita orang singgah, takde kelibat ikan sembilang. Ini kerana kata mereka, sekarang ni bukan musim ikan sembilang. Tapi alhamdulillah, rezeki Bak, che mat dapat beli seekor, jadi lah. Itu pun bukan ikan segar yang masih hidup, tapi yang ditangkap malam tadi. Takpe lah janji ada. Lagi pun che mat tak berapa gemar ikan sembilang sekarang ni, tatau lah kenapa, mungkin ikan tu terlebih comel sangat agaknya....esok2 bila dah masak, che mat kongsikan dalam blog yea..

rsz_mi_kari_senja_kala1
Berbalik cerita perihal mi kari udang ni, sebenarnya nak guna ayam, tap sebab ayam beku, che mat gantikan dengan udang. Dan rempah kari daging che mat gabungkan dengan rempah kari ikan. Guna dalam 500 gram udang bersaiz besar, tapi isi udang diambik dan dicelur, kulitnya kita rebus dan kisar. Tapis dan guna untuk masak kuah kari. Sebenarnya tiada resipi khusus, semuanya che mat buat ikut citarasa sahaja. Guna dalam 2 camca besar cili kisar, kalau nak pedas boleh tambah lagi. Mi kari sesuai untuk semua majlis samada rasmi atau majlis santai. Dihidangkan pada keluarga juga sesuai. Kalau anda tak suka mi kuning, boleh ganti dengan mi hoon...Ok, che mat kongsikan resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHAN KUAH KARI UDANG :-)
500 gram udang, asingkan kulit dan isinya. Cuci kulit udang dan toskan
1 ulas bawang putih, cincang halus
1 1/2 camca besar rempah kari daging (Baba's)
1 1/2 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar sos tomato JALEN
2 camca besar sos cili JALEN
1 cawan pati santan
2 liter air rebusan kulit udang
2 tangkai daun kari
2 batang serai, diketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci belacan

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi kuning secukupnya (anggaran 1 kg), celur sekejap dan toskan
Tauhu Pok secukupnya, belah 2 setiap satu, celur dalam air panas dan toskan
Taugeh secukupnya, dbersihkan dan siram dengan air panas, toskan
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Isi udang, dicelur sekejap, toskan
Isi kerang yang telah direbus secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang
Hirisan cili hijau/cili merah
Bawang goreng secukupnya
Kicap lemak manis JALEN (jika suka)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI KARI UDANG :- Kita buat air rebusan kulit udang dulu. Udang yang telah dibersihkan tadi, dicelur 10 saat dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. Angkat dan toskan. Ketepikan untuk kegunaan kemudian. Dalam periuk lain, panaskan 1 camca besar minyak dan tumis bawang putih hingga harum. Masukkan kulit udang yang telah dicuci tadi. Gaul rata dan masak hingga kulit udang bertukar warna, Masukkan air rebusan isi udang dan tambah lagi air (anggaran 1700ml). Rebus 20 minit, biarkan sejuk, Kemudian kisar kulit udang tadi bersama air rebusan dan tapis. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak dalam periuk. Masukan serai dan daun kari. Masak hingga harum. Tambah bahan2 kisar halus dan masak hingga naik minyak. Tambah cili kisar, sos cili dan sos tomato. Kacau rata. Sementara itu bancuh rempah kari ikan dan rempah kari daging dengan 1/2 cawan air hingga rata. Masukkan ke dalam peiuk. Kacau dan masak hingga rempah garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air rebusan udang tadi, kacau rata dan jika perlu boleh tambah sedikit air lagi. Masak hingga mendidih. Tuang pati santan, kacau rata dan biar masak 20 - 25 minit dengan api sederhana. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MI KARI UDANG SENJA KALA :- Masukkan mi kuning secukupnya dalam mangkuk sessuai. Tuang kuah hingga penuh. Hias dengan tauhu pok, telur rebus, taugeh, isi udang, isi kerang, hirisan daun sup/daun bawang, hirisan cili merah/cili hijau, bawang goreng dan perahkan limau kasturi sebelum dihidangkan....Kalau suka, renjiskan sedikit kicap lemak manis JALEN...ehemm ...Selamat mencuba!!


Sunday, October 12, 2014

IKAN KUAH LADA II

rsz_ikann_kuah_lada
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak ikan kuah lada. Sebelum ni pernah masak juga. Resipi yang ni che mat dapat dari satu buku masak nyonya, mungkin ini ikan kuah lada style pulau pinang sebab ada penggunaan sos ikan yang mana ia ada pengaruh negara2 ke utara seperti Thai, Burma, Combodia dan sebagainya. Che mat pernah masak dulu tapi amat berbeza dari segi warna dan rasa. Memang ada penggunaan lada sulah, tapi kuahnya tidak gunakan cili kering atau cili merah seperti yang che mat masak ni. Rasanya seakan2 asam pedas tapi tidak seperti asam pedas....errr...macam mana tu?...

rsz_ikann_kuah_lada1
Rasa masakan ikan kuah lada kurang pedas berbanding asam pedas, tapi hangat dengan penggunaan lada sulah. Boleh masukkan terung sebagai pelengkap. Resipi yang che mat ikut ni takde pulak tulis boleh ganti dengan bendi, tapi kalau nak letak boleh saja. Che mat masukkan bunga kantan. Ikan pari menjadi pilihan dan sememangnya ikan pari amat2 sesuai untuk resipi ini. Tetapi tak salah kalau anda nak guna ikan lain, seperti tenggiri, ikan merah atau ikan kembong. Kalau inginkan kelainan, boleh cuba ikan kuah lada ni yea....Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram ikan pari
1 biji terung ungu
1 biji tomato, belah 4
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
3/4 camca besar pes asam jawa
1 camca besar sos ikan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih (kalau saiz kecil, guna 3)
3 biji buah keras, hiris
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris
1/2 inci belacan, dibakar
3/4 camca besar lada sulah biji
1/2 inci lengkuas
3 biji cili merah, belah dan buang biji jika tak tahan pedas
8 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas selama 10 mint

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Terung dibelah 2 dan potong 3 untuk setiap belahan dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/3 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum dan naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan pari dan bunga kantan. Kacau dan biar hingga ikan masak. Masukkan terung (toskan), tomato dan sos ikan. Kacau perlahan dan masak hingga terung lembut. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.