BEN ASHAARI

Monday, September 29, 2014

RESIPI AYAM CENCALOK

rsz_cencalok_chiken

Assalammalaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat tiba2 mengidam nak makan ayam cencalok. Nasib baik ada beli dada ayam tu hari, jadi boleh lah masak ayam cencalok untuk lepas gian. Habis tu tak masin ke ayam cencalok ni?...Che mat selalunya tapis cencalok tadi dan perah sedikit airnya sebelum digunakan. Guna cencalok yang masih baru untuk mendapat hasil ayam cencalok yang sedap. Ini satu masakan olahan oleh kaum peranakan Baba Nyonya yang begitu unik.  Ia memberi satu rasa yang esotik dan kita sendiri tak terfikir cencalok yang biasanya hanya dimakan dengan mencampurkan hirisan bawang merah kecil, cil padi dan jus limau kasturi atau jus limau nipis sebagai pembuka selera, boleh dipelbagaikan sehingga menjadi hidangan beridentitikan kaum mereka...

rsz_cencalok_chiken1

Resipi ini che mat gunakan kurang lebih 500 gram isi ayam, atau kurang sedikit dari tu. Ia boleh dikategorikan masakan yang ringkas dan tidak pedas. Hanya guna hirisan cili merah dan hijau. Tapi tak salah jika anda masukkan cili padi untuk dapat rasa pedas. Che mat guna daging ayam tanpa tulang, yang ni terpulang, nak guna yang ada tulang pun boleh, tapi kenalah potong pada saiz kecil sedikit, kalau besar2 nampak tak molek, terjongkah saja bila cedok letak dalam bekas. Ayam cencalok paling sedap dimakan bersama nasi putih panas2, gandingkan dengan telur dadar dan sedikit ulam2man....Terima kasih che mat pada Chef Florenca Tan atas perkongsian resipi ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*(*dihiris halus)
600 g dada ayam, (che mat guna 500 gram) potong sederhana kecil
1/2 cawan cencalok, toskan airnya (che mat guna 1/3 cawan)
3 helai daun limua purut
1/2 cawan jus asam jawa
3 biji limau kasturi, ambil jusnya
2 camca besar gula (che mat letak 1 camca teh saja)
2 biji cili merah, hiris
2 biji cili hijau, hiris
8 biji bawang merah*
2 cm kunyit hidup*
3 batang serai, hiris halus*(*dikisar halus)
Garam (jika perlu)
1 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1 1/2 cawan), goreng hirisan bawang merah dan bawang putih hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Keluarkan minyak tadi dan tinggalkan lebih kurang 1/3 cawan. Tumis bahan2 kisar hingga harum dan pecah minyak, gunakan api sederhana.
  2. Masukkan ayam, cencalok dan daun limau purut, gaul rata. Masukkan air asam dan tambah air. Kacau dan biar mendidih. Masukkan sebahagian bawang merah/putih goreng tadi (tinggalan sedikit untuk hiasan) dan juga hirisan cili merah/hijau. Kacau rata2.
  3. Perlahankan api dan renih hingga ayam masak dan pekat. Akhir sekali masukkan gula dan jus limau kasturi, kacau dan rasa. Jika perlu , tambah garam (tapi rasa che mat tak perlu lah tambah garam, sebab cencalok pun dah masin). Matikan api, tabur baki bawang goreng tadi sebelum dihidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain....Selamat mencuba!!

Sunday, September 28, 2014

LAKSA 'KUALA' DARI DAPUR MAT GEBU..

rsz_laksxa_kuala

Assalammualaikum, salam Ahad. Hari ni pagi2 lagi che mat dah on projek laksa kuala. Resipi asal dari Bonda Kak Ida 1001 Resipi. Laksa Kuala boleh dikatakan amat mudah untuk dibuat dan tak banyak bahan2. Tapi kesedapan kuah laksa bergantung pada kesegaran ikan dan belacan yang anda guna. Kebetulan Khamis lepas che mat ikut abang long ke Endau, dan sempat juga lah beli ikan kembong segar yang baru naik. Tu jam juga terus termengidam laksa kuala. Laksa kuala ni sama saja macam laksa asam. Ia dalam kategori makanan sehat, sebab kuah dia hanya direbus saja, tak guna minyak. Dan dimasukkan bunga kantan, daun kesom untuk aroma. 

rsz_laksxa_kuala1

Bagi yang tekak kurang selera nak makan, laksa seperti ini in sha Allah sesuai untuk anda. Dengan rasa masam2 lemak kuahnya, bau aroma herba dan dimakan bersama mi laksa, serta ulam2 segar, telur rebus dan petis udang. Tabur sedikit hirisan cili padi bagi yang suka pedas. Kuah laksa ni guna cili kisar. Anda boleh adjust banyak mana nak letak. Kadang2 cili kering yang kita kisar ni ada yang pedas dan ada yang kurang, bergantung pada jenis cili. Che mat letak 1/3 cawan saja. Selain ikan kembong, ikan selayang @ ikan sardine dan ikan tenggiri pun ok juga dijadikan kuah laksa. Kalau nak mencuba, resipi seperti dibawah ini...

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA :-)
600 gram ikan sardine atau ikan selayang
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
4 - 5 keping asam gelugor
3/4 cawan cili kisar (che mat guna 1/3 cawan saja)
4 biji bawang besar*
1 1/2 inci belacan*(*dikisar halus)
1/4 camca teh serbuk perasa
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Timun, dihiris memanjang
Daun salad, dihiris
Cili padi, dihiris
Bawang besar, dimayang halus
Nenas, dipotong kecil

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi laksa secukupnya (samada yang basah atau yang kering, kalau yang kering anda rendam dulu dan rebus hingga lembut)
Telur rebus secukupnya, dibelah 2
Petis untuk dimakan bersama laksa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA :- Ikan disiang, cuci bersih dan rebus (letak ikan dalam periuk, tuang air hingga ikan tenggelam) hingga ikan masak. Keluarkan ikan, biar sejuk dan asingkan isi dan tulangnya. Tumbuk isi ikan hingga lumat. Tulang ikan dikisar halus dan tapis. Asingkan stoknya.
  2. Tapis air rebusan ikan dan masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, stok tulang ikan dan isi ikan yang ditumbuk. Tambah air lagi (che mat tambah lagi 1500ml air). Masukkan cili kisar dan asam gelugor. Kacau rata dan biar mendidih.
  3. Masukkan bunga kantan dan daun kesom. Masak dengan api sederhana hingga kuah pekat sedikit (dan hilang bau cili kisar). Perasakan dengan garam secukupnya dan serbuk perasa. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api...
  4. UNTUK LAKSA OPAH @ LAKSA KUALA :- Letak mi laksa secukupnya dalam mangkuk sesuai. Sendukkan kuah laksa (kacau dulu), kemudian tabur bahan2 ulam, yang ini ikut anda nak banyak atau sedikit. Letak telur rebus dan akhir sekali sudukan petis. Perah jus limau kasturi, gaul rata dan nikmatinya dengan penuh keenakkan.....hmmmm...2 mangkuk che mat makan laksa ni.

Saturday, September 27, 2014

SAMBAL TUMIS HIJAU BERPETAI..

rsz_sambal_tumis_hijau

Salam semua, entri kedua hari ni che mat share satu resipi yang mudah juga tapi ada sedikit kelainan...errr..lain ke?...macam sama aje. Mula2 nak buat sambal tumis biasa, tapi stok cili hijau dan cili padi banyak, jadi che mat tukar plan bikin sambal guna cili hijau campur dengan cili padi hijau. Ada petai pulak tu, bertambah2 kenikmatan dan keharumannya. Che mat guna ikan bilis tamban, anda boleh guna ikan bilis biasa. Sambal hijau ni kalau dapat anda tumbuk guna lesung batu lagi bagus, teksture dia kasar2 sikit, takde lah hancur lumat. Sebab che mat kesuntukan masak, ku kisar saja, tapi kisar berperingkat2. Bukan lebur sekali harung.

rsz_sambal_tumis_hijau1

Nampak kan petai tu seksi kan?...Tapi bau dia, kus semangat, harum. Cuma kalau dah jadi sambal macam ni, bau dia ok sikit dah, tak seharum petai mentah. Sambal hijau yang ni agak pedas sebab che mat masukkan kurang lebih 30 biji cili padi kampung dan 3 biji cili hijau besar. Kalau tak tahan pedas, anda boleh guna cili hijau saja, tak perlu cili padi, tapi kena lebihkan 1 atau 2 biji cili hijau. Sedap dimakan bersama nasi panas, roti atau ubi rebus. Kalau cicah apam tepung gandum pun bess juga. Nak cuba?..che mat tuliskan resipinya seperti di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis tamban yang telah dibuang tulang dan dibersihkan, rendam 10 minit
4 papan petai, kupas dan ambil isinya
1 biji bawang besar hiris kasar
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN KISAR HANCUR :-)
4 biji cili hijau
30 biji cili padi kampung, hijau
1/2 inci belacan
3 biji buah keras, hiris
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Masukkan buah keras, bawang putih dan belacan ke dalam alat pengisar @ blender, tuang sedikit air dan kisar hingga lumat. Masukkan bawang merah, cili padi dan cili hijau (patah2kan) dan kisar sekejap hingga semua hancur tapi tidak terlalu halus (guna kaedah 'pulse').
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). tumis bahan2 kisar tadi hingga harum dan naik minyak. Masukkan pes asam jawa dan sedikit air. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah ikan bilis tamban (toskan) dan petai. Kacau rata.
  3. Bila petai empuk, masukkan bawang besar. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap hingga bawang layu. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.

PUCUK PAKU MASAK LEMAK SAMA KELEDEK...

rsz_lemak_pucuk_paku

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni entri pertama che mat ialah pucuk paku masak lemak sama keledek. Guna pucuk paku hijau atau pucuk paku perak atau ada yang panggil pucuk midin. Percaya tak kalau che mat kata, pucuk paku ni beli hari Rabu lepas dan masih elok sehingga hari ia dimasak (semalam). Petuanya mudah saja, Bila anda beli pucuk paku atau sebarang sayur berdaun. Pastikan ia segar dan tidak basah. Bila balik kerumah, siang sayur tadi, dan terus simpan dalam bekas plastik bertutup (macam bonda che mat dia guna bekas plasti bulat bersaiz besar, yang selalu orang jual kuih baulu gunakan untuk isi kuih tu...mesti anda tau kan..) Lepas tu simpan dalam peti sejuk, in sha Allah boleh tahan 4 - 5 hari. Dan sayur masih segar...

rsz_lemak_pucuk_paku1

Mula che mat ingat nak goreng belacan saja, tapi berubah fikiran selepas nampak keledek. Memang sedap pucuk paku dimasak lemak sama keledek, nak2 keledek oren yang manis rasanya. Che mat guna udang kering sebagai perencah. Boleh juga guna ikan bilis. Kalau nak guna udang segar pun bess juga, cuma part rempah dia tu anda kena lah tukar sedikit. Kalau macam dalam gambar, resipi sama seperti masak lemak putih, cuma che mat tambah sedikit serbuk kunyit dan juga lada hitam. Hidangkan sama ikan masin atau ikan goreng dan wajib ada sambal belacan. Apa lah makna masak lemak tanpa sambal belacan...Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram pucuk paku perak @ pucuk paku hijau
3 biji keledek oren saiz sederhana
1 genggam udang kering, rendam 10 minit, tos dan tumbuk hancur
1/2 kiub ikan bilis (optional)
2 batang serai, diketuk
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris
3/4 camca teh lada hitam kisar
1200 ml santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Pucuk paku diasingkan daun dari batangnya, cuci dan toskan. Keledek dikupas, kemudian potong berbaji atau potong kiub. Cuci dan masukkan ke dalam periuk, bersama2 hirisan bawang besar, bawang putih, serai titik, udang kering tumbuk dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan masak hingga keledek hampir empuk. Masukkan pucuk paku, gaul rata dan tuang pati santan. Masak dengan api sederhana hingga mendidih dan pucuk paku lembut, kacau perlahan2.
  3. Masukkan hirisan cili merah. Perasakan dengan garam secukupnya, lada hitam dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan, ikan masin @ ikan goreng dan nasi putih panas...

Friday, September 26, 2014

SUP KEPAH HIDANGAN HARI INI..

rsz_sup_kepah

Assalammualaikum, salam semua. Sekarang ni, nak update entri blog ikut masa yang selalu che mat tentukan pun tak dapat dah. Masa cepat sangat, tau2 dah petang, kerja masih melambak belum buat. Pening lah kadang2. Semalam che mat ikut abang che mat ke Endau-Rompin, dan terlanjur tu, kita carilah ikan segar. Seronok lah tengok ikan2 segar di pasar Endau. Che mat kan memang suka tempat2 macam tu, walaupun ada yang kurang suka sebab keadaan pasar yang basah, lecak dan berbau. Tapi dah nama pun pasar, lain lah pasaraya. Harga dalam kategori murah lah juga. Ikan pun banyak pilihan. Che mat seperti biasa kalau dah pergi wajib beli tak sikit banyak, rugi dah datang jauh2 lepas tu tak beli apa2. Dan antara yang che mat beli ialah kepah, pertama kali beli dan pertama kali masak. Harga RM 2 sekilo, 1 bungkus 3 kg = RM 6...murah juga kan...ke memang harga dia macam tu?..

rsz_sup_kepah1

Sebab che mat tak pernah masak kepah, che mat pun up kat status di FB, bertanyakan kepah ni sedap masak apa?..Ramai yang beri komen dan idea untuk kepah ini. Ok, sebab banyak, che mat bagi 2 bahagian. Sebahagian masak sup dan satu lagi masak.....hehe, yang tu nanti lah che mat kasi tau. Rasa kepa ni macam mana?...Setelah che mat masak, kepah ni rasa dia manis2 semulajadi. Kuah sup pun sedap. Cuma ia sedikit berpasir, terutamanya kuah sup, jadi bila cedok kuah dia, jangan sampai ke dasar. Isi kepah tidak lah besar sangat. Satu yang menarik bila melihat kepah, kebersihan kulit dia, cukup2 licin dan takde cacat cela. Nak masak pun rasa bess, idok leer berkerak macam kulit kerang atau kupang. Resipi simple banget...jomm che mat kongsi dan terima kasih teman2 FB atas kesudian berkongsi idea...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ kg kepah, cuci bersih dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
10 biji cili padi, diketuk
6 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawan putih, hiris
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 2 camca besar). Tumis bawang merah, bawang putih dan serai hingga harum, masukkan kepah. Gaul rata dan masak 2-3 minit. Tuang air secukupnya ( hingga tenggelam kepah tadi) dan biar mendidih.
  2. Masukkan cili padi dan daun kunyit. Masak dengan api sederhana hingga kepah masak (bila anda nampak cengkerang kepah terbuka). Perasakan dengan garam secukup rasa dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur bawang goreng sebelum dihidangkan.

Wednesday, September 24, 2014

SINGGANG IKAN BILIS BASAH..

rsz_singgang_ikan_bilis
Assalammualaikum. salam semua, Hari ni che mat tak masak, tapi masak juga sebenarnya. Kalau menu simple, atau menu cempak2, selalunya che mat anggap tak masak sangat. Contoh macam singgang ikan bilis basah. Satu menu yang mudah, sesuai untuk mereka yang berdiet, tanpa minyak, semua main masak macam tu saja. Bak antara penggemar singgang seperti ini. Pagi tadi che mat ke pasar dan beli ikan bilis basah (abang long che mat yang beli), ikan dia saiz agak kecil, selalunya besar sikit. Bonda che mat memang rajin mengerjakan ikan2 kecik macam ni. Selain dibuat singgang, ikan bilis basah sedap kalau diuat jemput2 atau digoreng celop tepung. Tapi pastikan anda belah dan buang tulang tengahnya terlebih dahulu. Nampak biasa2kan, tapi ia luar biasa bagi yang menggemarinya...ehemm termasuk che mat...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram ikan bilis segar, disiang, buang kepalanya dan cuci bersih
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
1/2 inci halia, diketuk
5 biji cili akar @ 2 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh pes asam jawa
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Bawang goreng untuk hiasan
Sedikit daun ketumbar, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan air ke dalam periuk (kurang lebih 700 ml atau secukupnya). Masukkan juga bawang besar, bawang putih, halia, serbuk kunyit dan asam jawa. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan ikan bilis. Masak dengan api sederhana hingga ikan masak. Masukkan cili hijau, perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan kacau perlahan2. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur bawang goreng dan hias dengan daun ketumbar sebelum dihidangkan.


Tuesday, September 23, 2014

IKAN KEMBONG MASAK CUKA.

rsz_kembong_masak_cuka
Assalammualaikum, lewat sikit dapat bersiaran hari ni. Dan che mat cuma sempat sharekan resipi mudah, senang dan ringkas saja. Dan sudah pasti ia menjadi kesukaan che mat dan anda juga. Mesti pernah dengar ikan masak cuka, yea tak?...Ia sama seperti kita masak acar, tapi lebih ringkas. Che mat guna ikan kembong, selain ikan kembong, ikan tenggiri, ikan merah, ikan bawal pun sedap dimasak macam ni. Kalau berani anda boleh cuba guna udang. Selalunya ikan digoreng hingga masak tapi jangan terlalu garing. Sedap dimakan bersama nasi panas, Bagi anda yang tak makan daging atau ayam, ikan masak cuka juga sesuai untuk dimakan bersama nasi berperisa seperti nasi beriani, nasi minyak dan sebagainya. Resipi ini tergolong dalam resipi mudah dibuat dan anda boleh cuba masak untuk hidangan tetamu atau keluarga...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ikan kembong saiz besar, siang, cuci dan kelar sedikit*
1 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*lumur rata2 pada ikan dan perap sekejap)
1 biji bawang besar, belah 6 dan leraikan
3 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1/2 inci halia, hiris nipis
1 biji cili merah, hiris serong memanjang
1 biji cili hijau, hiris serong memanjang
2 camca besar cuka makan JALEN
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 1/2 camca besar gula atau secukup rasa
Garam secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 camca teh biji sawi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kembong digoreng, tapi tak perlu sampai garing, goreng sampai masak dan kekuningan sudah memadai. Angkat dan toskan. Panaskan 3 camca besar minyak masak dalam kuali, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga wangi. Tambah bawang putih dan halia, kacau rata dan masak sekejap. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Tambah serbuk kunyit dan gula. Kacau rata dan masukkan cuka makan dan air. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan bawang besar, cili merah, cili hijau dan ikan. Balik2kan ikan hingga rata dengan bahan2 lain.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya. Sesuaikan rasa, dan jika suka manis, boleh tambah sedikit lagi gula. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

Monday, September 22, 2014

LEMAK PUTIH PUCUK UBI PULUT...

rsz_pucuk_ubi_pulot
Assalammualaikum, salam semua...Menu apa hari ni?, ok untuk entri ini che mat berkongsi satu lagi masakan kampung yang begitu sinonim dengan masyarakat melayu kita. Kali ni guna pucuk ubi pulut. Tau daun pucuk ubi pulut macam mana?..Pucuk ubi pulut daunnya kecil2 dan runcing, berbeza dari pucuk ubi biasa yang daunnya lebar. Mula2 che mat nak masukkan tulang ikan masin kurau, tapi kena tambah cili, sebab bak tak makan pedas, elok kita ubah jadikan masak lemak putih. Kata orang lama, pucuk ubi pulut rasanya lebih manis (hmmm, ntah kah, che mat rasa macam biasa aje, mungkin ada sikit lain, dan pucuk ubi pulut jenis sedikit liat, tu pasal kena guna pucuk dan daun yang muda). 

rsz_pucuk_ubi_pulot1
Kebiasaannya che mat akan guna udang kering atau ikan bilis untuk perencah masak lemak putih macam ni. Ini satu menu yang amat2 mudah untuk dimasak. Pucuk ubi direbus dulu hingga empuk, tos, biar sejuk dan perah, kemudian potong. Ada juga yang tak rebus, tapi diramas sampai lembut. Cuma che mat lebih suka direbus dulu (kecuali kalau anda buat masak lemak pucuk ubi simpul, yang tu tak perlu rebus dan hanya guna bahagian pucuk ubi sahaja). Bila ada menu macam ni, jangan lupa sambal belacan dan ikan goreng atau ikan masin....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi pulut yang muda (atau pucuk ubi biasa)
2 batang serai
1 genggam udang kering, rendam 10 minit
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1000 ml santan cair
400 ml pati santan
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili merah, hiris
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, cuci dan rebus hingga empuk. Toskdan, tekan2 dengan belakang senduk untuk keringkan air rebusan. Kemudian kerat2 pucuk ubi rebus tadi pada beberapa bahagian. Serai diketuk. Udang kering ditoskan dan tumbuk hancur.
  2. Dalam periuk, masukkan pucuk ubi, serai, udang kering tumbuk, hirisan bawang besar dan bawang putih Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan cili merah, masak sekejap. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga mendidih dengan api kecil dan kacau sentiasa. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan, ikan goreng atau ikan masin..

Sunday, September 21, 2014

TOMYAM DAGING KIJANG...

rsz_tomhayam_kijang

Salam semua, hari ni Ahad, mesti ramai yang bercuti dan keluar merehatkan diri. Tapi di Johor, Ahad ialah hari bekerja. Hari ni che mat plan nak masak tomyam daging kijang. Ingat resipi kijang yang che mat masak tempoh hari di sini?...Baki dia memang ada sikit lagi dalam 1 kati atau kurang lebih 600+ gram macam tu. Rasa macam dah tak boleh nak masuk benda2 yang bersantan (kalau ada pun che mat masak atas permintaan Bak). Tomyam kali ini che mat buah sendiri pes dia, tapi tambah juga seketul kiub tomyam. Pes tu che mat buat sebab nak dapatkan kuah yang agak pekat sedikit...

rsz_tomhayam_kijang1
Untuk sayur pun che mat cuma masukkan apa yang ada. Kebetulan ada baki 2 kuntum cendawan yang bersaiz besar, jadi che mat hiris2kan dan cempak masuk dalam tomyam ni, kan kita buat dia, betul tak? Satu lagi, kalau tomyam, che mat suka rasa yang sedikit masam. Tapi anda boleh tambah jus limau nipis atau limau kasturi kemudian, jadi masa masak tu tak perlu lah masukkan banyak jus limau. Selain dimakan macam tu saja, sedap juga kalau digandingkan sama mi hoon dan sebagainya, ataupun pasta. Dengan nasi pun sedap, ala2 nasi air. Kalau nak mencuba, resipi seperti berikut.

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram daging kijang, potong, cuci dan toskan
2 batang serai, diketuk
2 helai daun limau purut
1/2 inci lengkuas, diketuk
10 biji cili padi merah Thai, diketuk
1 biji bawang besar, belah 4
1 pokok daun ketumbar, cuci bersih dengan akar2nya sekali
1 kiub pati tomyam (MAGGI)
1 camca besar sos ikan
2 biji limau nipis, perah jusnya
Pes tomya secukupnya *(*resipi di bawah)
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN SAYURAN:-)
Bunga kobis sebesar 2 penumbuk, potong kecil
10 kuntum cendawan butang, belah 2 setiap 1
1 biji tomato, potong 4 atau 6
1 batang kecil lobak merah, hiris serong
1 batang saleri, potong kecil

BAHAN-BAHAN PES TOMYAM :-)
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan*
7 biji bawang merah kecil*
3 helai daun limau purut*
1 batang serai, hiris*
1/2 inci lengkuas*
1/2 inci belacan*(*dikisar halus)
1 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK PES TOMYAM :- Panaskan 1/3 cawan minyak. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan pes asam jawa dan kacau. Masak hingga pekat dan naik minyak. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa, masak sekejap dan boleh matikan api. Ketepikan untuk kegunaan kemudian...
  2. Didihkan 2 liter air, masukkan pes tomyam, kiub pati tomyan, daging kijang, serai, lengkuas, daun limau purut, bawang besar dan daun ketumbar bersama akar2nya. Kacau dan masak hingga daging kijang empuk (tambah air jika perlu)..
  3. Masukkan cili padi thai, lobak merah dan saleri, masak hingga lobak merah empuk. Tambah bunga kobis dan cendawan butang. Biar masak sekejap, perasakan dengan sos ikan dan jus limau nipis (letak sedikit dulu jus limau nipis, dan rasa, kalau cukup masam pada tekak anda, tak perlu tambah). Tambah juga garam secukup rasa (jika perlu).
  4. Akhir sekali masukkan tomato yang telah dibelah. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun ketumbar sebelum dihidangkan panas.

Saturday, September 20, 2014

ASAM PEDAS IKAN KEMBONG

rsz_assam_ikan_kembong

Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat masak asam pedas ikan kembong. Mesti ada yang boring sebab asam pedas manjang, takde lain selain asam pedas. Tapi che mat suka asam pedas. Pada che mat untuk mendapat asam pedas yang sedap, kena guna cili yang baru dikisar, senang cerita kisar sendiri. Asam perlu terasa, tapi bukan lah sampai masam sangat. Ikan yang segar. Kalau  suka, masukkan sedikit lada hitam, kuah asam pedas menjadi lebih wangi dan beraroma. Rasanya sedikit berangin dan hangat. Daun kesom dan bunga kantan sebagai pelengkap rasa untuk masakan asam pedas. Tapi kalau takde boleh saya tak letak, cuma kalau boleh tu biar lah ada.

rsz_assam_ikan_kembong1

Che mat guna 3 ekor ikan kembong saiz besar. Ada yang tanya ikan kembong dengan mabong sama ke?..Sekali tengok memang nampak sama, tapi apa yang che mat tau. Ikan mabong badannya lebar sedikit dan kebong besar panjang. Kata bonda, isi ikan mabong lagi sedap dari kembong. Selalu che mat beli ikan kembong rebus, mereka guna ikan mabong, tapi tetap tulis 'kembong' rebus. Asam pedas kali ini guna bendi dan tomato ceri sebagai bahan tambahan. Bila anda masak asam pedas, sertakan dengan telur dadar bersama nasi putih, ulam pulak dengan petai....mak mertua lalu pun tak perasan, tu pun kalau ada mak mertua lah kan...Kalau nak cuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 - 4 ekor ikan kembong saiz besar
10 batang bendi, cuci dan toskan
15 biji tomato ceri
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom, cuci dant toskan
1 1/2 senduk nasi cili kisar
3/4 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 kiub pati ikan bilis
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 keping hirisan halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan
2 biji cili merah, dibuang biji

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan disiang, cuci bersih dan toskan (terpulang pada anda sama ada nak kerat dua ikan tadi atau tidak, che mat biarkan saja seko2). Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), tums hirisan bawang merah dan putih hingga wangi dan perang.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau rata dan biar mendidih. Tambah kiub ikan bilis (hancurkan), lada hitam tumbuk, bendi dan bunga kantan. Masak sekejap dan masukkan ikan. Kacau perlahan, masukkan daun kesom. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikt gula. Akhir sekali masukkan tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan telur dadar.

Thursday, September 18, 2014

LEMAK CILI PADI DAGING KIJANG..

rsz_gulais_kijang

Assalammualaikum, salam semua...pernah makan daging kijang?...Mesti ada yang pernah makan. Che mat pertama kali rasa, sedap dan sedap..hehe. Ini pemberian saudara kami, dia pun dapat hasil dari berburu. Haiwan yang seakan2 kijang ialah napuh dan pelanduk. Kalau pelanduk, kami pernah pelihara dulu, tu jam che mat masa kecik lagi. Dan Bak pasang jerat pelanduk di ladang getah kami. Bila dapat, kami pelihara kat dalam reban. Nak sembelih kesian rasa tak sampai hati, sampai satu ketika pelanduk yang kami pelihara beranak pinak. comel gileer anak dia. Makanan pun bukan sebarangan,sejenis daun dari pokok 'ludai' yang banyak tumbuh di ladang dan hutan2 menjadi diet mereka....begitu lah kesah pelanduk, sepupu si kijang dan anak sedara pada si napoh...

rsz_gulais_kijang1
Disebabkan che mat sendiri tak pernah makan, jadi menu atas pilihan bonda. Masak lemak cili padi sama kentang (dan che mat ada asingkan daging kijang untuk masak tomyam,,,hehe, kalau jadi lah). Kalau sekali pandang tak ubah seperti daging kambing, tapi tak de bau. Ada juga che mat up status di FB tanya pendapat teman2, resipi yang sesuai untuk daging kijang, ramai yang respon, masak lemak cili padi, ada juga yang syorkan bikin rendang, kari, dan goreng kunyit sahaja, terima kasih pada semua yang memberi idea.,,,resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg daging kijang (kurang lebih)
4 biji kentang
4 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor (kalau saiz kecil, guna 2 keping)
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
40 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Daging kijang dipotong pada saiz sederhana, gaul dengan tepung gandum dan biarkan 10 minit, cuci bersih dan toskan. Kentang dikupas, belah 4 setiap 1 dan rendam. Masukkan daging kijang ke dalam periuk bersama serai titik dan bahan2 kisar halus. Masak hingga mendidih dan daging kecut.
  2. Tuang santan cair dan kacau. Masak hingga daging empuk (tambah air panas jika perlu). Masukkan kentang dan asam gelugor. Masa hingga kentang empuk, tuang santan, masukkan daun kunyit, kacau dan biar mendidih dengan api kecil. Kacau selalu.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa dan secubit gula. Masak sekejap dan rasa. Jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....

Wednesday, September 17, 2014

CHAR KUEY TEOW 'CINCAI'...

rsz_mi_malas

Petang tadi seperti biasa, proses mengemas khazah2 dalam peti sejuk dan freezer pun berlaku. Boring ok nak buat tu semua, huhu, tapi apa nak buat, dah salah sendiri, tanggung aje lah. Maka dalam freezer tu ada kuey teow yang dah beku tapi masih ok, masih elok. Jadi dari membazir, moh kita ke dapur. Stok udang dengan kerang  pun ada. Sambal tumis pun ada, che mat memang ready aje stok sambal tumis dalam peti sejuk. Senang kalau nak guna, untuk goreng nasi ke, goreng mi ke atau apa2 lah resipi yang perlukan 'sambal', Satu lagi bila anda ada stok sambal, ia lebih memudahkan kerja anda memasak, contoh kalau ada tetamu datang, setakat nak goreng mi hoon atau mi kuning takde masalah....

rsz_mi_malas1

Nampak sedap kan?...ehem, mesti ada yang kata, che mat saya suka yang basah, yang ada kuah sikit. Ok, itu semua terpulang pada anda. Kalau nak berkuah, tak susah, tambah air rebusan ayam, takde pun curah saja air. Che mat suka kuey teow yang kering2 lembap dan bukan lah kering kontang sangat, alaa macam kuey teow jual kat pasar malam tu, yang digoreng dalam kuali leper tu, kan nampak kering, tapi lembap, bukan basah berkuah..pernah tengok tak?...Jangan kata tak pernah pi pasar malam pulak. Style che mat goreng mudah saja, yang penting kena siapkan semua bahan2 kat tepi dapur dan mudah dicapai. Char kuey teow 'cincai' ni kena makan dengan cili jeruk, hmmm,  baru lah terangkat!!....Jomm kita masak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 genggam kuey teow (yang ni anda agak2 lah yea), cuci dan toskan
6 ekor udang saiz sederhana, kupas kulit dan bersihkan
1 genggam isi kerang
10 tangkai kucai, potong pendek
1 genggam taugeh, cuci dan toskan
1 camca besar sambal tumis
1 biji telur, dipukul sedikit
2 ulas bawang putih, cincang halus
3 biji bawang merah, hiris
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca teh kicap pekat JALEN
Sedikit air
Sos ikan secukup rasa
Cili hijau jeruk, untuk dimakan bersama kuey teow

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan 2 camca besar minyak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukka sambal tumis dan kacau rata. Tambah udang dan kerang, masak hingga udang berubah warna.
  2. Tambah kicap pekat, kicap lemak manis dan sedikit air (anggaran 2 camca besar), kacau. Masukkan kuey teow dan kacau rata. Buat lubang ditengah2 kuey teow, tuang sedikit minyak dan masukkan telur. Biar telur kental dan kacau hancur. Gaul rata dengan kuey teow tadi, guna api besar.
  3. Tambah sos ikan secukup rasa, masukkan taugeh dan kucai. Gaul pantas hingga rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama cili hijau jeruk. Sedap dimakan panas...ehemmm..

IKAN BAKAR GAYA PORTUGIS...

rsz_ikanns_bakar_portugis

Assalammualaikum, salam Rabu... Ok, entri pertama che mat untuk hari ini, satu menu ringkas dan mudah dibuat, dah lah tu sedap pulak. Ikan bakar gaya Portugis che mat pernah buat dulu, kiranya lama juga lah tak buat. Tapi tu hari Kak Yatie Memories, telah mengembalikan ingatan che mat pada ikan bakar ini. Terbayang2 rasanyanya enak, masam manis, rasa lemak2 dan harum dengan isi ikan yang lembut, lembab dan dibakar sempurna. Masa nak makan tu perah pula dengan jus limau kasturi, Allah hu akhbar, tak makan nasi pun takpe...tapi kalau makan dengan nasi lagi besss...betul, tak tipu nihh!..

rsz_ikanns_bakar_portugis1

Nampak sedap kan, meleleh tak air liur?....eceh...ceh, kononn kata tak..Yang ni che mat guna ikan pari, baki dari yang masak kari tu. Selain ikan pari, anda boleh guna apa saja ikan yang anda suka, kalau boleh biar lah yang banyak isi. Resipi ikan bakar gaya portugis yang ni telah che mat ubah sedikit, mengikut bahan2 yang ada di rumah. Dan nasib baik ada sekuntum bunga kantan, kalau tak sah2 kurang 'kick' dah ikan bakar ni. Che mat guna 3 keping potongan ikan pari, kurang lebih 1 jengkal panjangnya setiap potongan. Kalau anda suka pedas, boleh tambah cili padi. Ok, toksah berceloteh lagi, jomm lihat resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping ikan pari, setiap satu panjang kurang lebih 1 jengkal
4 helai daun limau purut
1 kuntum bunga kantan, hiris halus
3 camca besar minyak bawang putih (4 ulas bawang putih, cincang halus dan goreng dengan 1/3 cawan minyak masak hingga bawang putih harum dan perang. Tapis dan sejukkan)
3/4 camca besar pes asam jawa
Daun pisang secukupnya (layur atas api hingga lembut, agar mudah digunakan)
Limau kasturi secukupnya
Hirisan cili padi untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HANCUR :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 batang serai, hiris
1 kuntum bunga kantan, hiris
3 biji buah keras
3 keping hirisan lengkuas
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali, Tumis bahan2 kisar hancur tadi hingga harum, masukkan pes asam jawa dan kacau rata. Masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Tambah garam dan gula dan masak hingga sambal pekat. Masukkan 2 helai daun limau purut (2 helai lagi dimayang halus), masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Biar sambal sejuk sebelum digunakan.
  2. Ikan pari dibersihkan dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Untuk bakar ikan che mat guna 2 helai daun pisang yang telah dipotng 4 persegi. Pastikan saiz potongan lebih besar dari panjang ikan tadi...Kita mula membungkus..
  3. Ambil 2 helai daun pisang dan lapiskan. Ceduk 1/6 bahagian sambal dan ratakan atas daun pisang. Letak sekeping ikan pari, tuang sedikit minyak bawang putih dan ratakan. Cedok lagi sambal dan lumur atas ikan tadi. Tabur dengan hirisan bunga kantan dan hirisan daun limau purut. Bungkus ikan tadi dan kemaskan. Buat kaedah sama untuk baki ikan dan bahan2 lain hingga siap.
  4. Panaskan oven atau che mat guna kuali pemanggang ajaib. Bakar ikan tadi selama 7- 10 minit untuk setiap bahagian, atau hingga masak. Tabur hirisan cili padi dan hidangkan bersama belahan limau kasturi....
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda bakar atas api bara, balut bungkusan daun pisang yang berisi ikan dengan aluminium foil untuk mengelakkan ia hangus. Boleh juga ditukar dengan ayam jika anda suka dan pastikan anda bahagi sambal tadi kepada 3 bahagian untuk memudahkan kerja anda....Selamat mencuba!!....

Tuesday, September 16, 2014

'KELAB BLOGGER BEN ASHAARI' YANG ANDA HARUS TAU!

Salam semua, Ben Ashaari, pasti anda kenal...jiran blog che mat ni sejak 6 tahun dulu. Nak cerita sikit perihal Kelab Blogger Ben Ashaari atau KBBA yang Ben tubuhkan sejak 2009 lagi, satu group terbuka untuk semua blogger2  ping entri mereka (tapi sekarang anda kena dapat approve dari admin, baru boleh join). Dan ia semakin bertambah dari hari ke sehari sehingga mencecah ahli sebanyak 23K +....Che mat pernah buat entri pasal KBBA dulu sekitar tahun 2010, di sini.... 

....dan sampai satu masa, wajah Ben (seperti gambar pertama di atas sekali) telah ditukar pada lambang seperti seperti dalam gambar atas. Ini bagi menambah ketrampilan KBBA agar lebih matang, berdaya saing dan kelihatan lebih profesional. Dan ia kekal digunakan hingga sekarang...Lambang itu juga turut dicetak pada baju T dan baju koprat KBBA....

..terbaru, Google Play telah berkolaborasi dengan KBBA mewujudkan satu aplikasi untuk pemilik telefon pintar, terutama blogger. Agar mudah mereka ping entri, membaca blog2 pilihan. Ia juga sesuai bagi semua, tak kira anda seorang blogger atau yang suka membaca entri2 terkini dari blog2 yang anda gemari. Untuk download anda boleh tulis 'edisi blog' pada "play store" di telefon pintar android dan akan keluar seperti di atas, download, kemudian ikut langkah2 seterusnya...cuba ok, memang bess...blog tiffinbiru pun ada!!...

...terkini, dengan rasminya telah dilancarkan laman web rasmi KBBA, di sini, dan in sha Allah  ini menjadi titik tolak KBBA lebih ke hadapan dalam masa2 mendatang....Ia ditubuhkan bagi mengisi segala aktiviti KBBA dan mengeratkan hubungan sesama blogger. Tahniah dari Che Mat untuk Ben dan team KBBA.....moga anda semua diberkati Allah swt dan dimurahkan rezeki....Jika belom join KBBA di FB, apa tunggu lagi...

Sekian terima kasih - Che Mat Gebu....


KARI IKAN PARI CICAH ROTI?...

rsz_curry_ikan_pari

Salam semua, lama juga che mat tak masak kari ikan pari, semalam ntah macam mana tergerak hati nak bikin menu ni dan kebetulan siap saja masak dan ambil gambar, datang saudara kita orang 6 beranak. Langkah kanan sungguh. Che mat pulak masa masak tu tak pasal2 lebihkan sedikit ikan pari. Itu semua gerak hati dari Allah swt. Alhamdulillah.....Sekarang ni harga ikan pari boleh dikatakan agak mahal, dari ikan jenis kelas rendah yang kurang dapat perhatian tapi sekarang ia setaraf dengan ikan2 lain. Harga tidak menentu, ada yang che mat tengok RM 18+ sekilo, ada yang RM 16, mungkin ikut jenis ikan pari. Berhati2 juga masa membeli, ada kala ikan pari kurang elok, keras dan bila anda masak, ikan jadi liat gileer seperti selipar jepun, Satu lagi ikan pari ada yang bau kurang enak (berbau hancing), tu pasal che mat akan hidu ikan tadi sebelum beli, kalau bau seperti amonia atau hancing, kensel beli....

rsz_curry_ikan_pari1
Untuk resipi ini che mat beli ikan pari daun. Sebenarnya ikan ini bersaiz besar (kurang lebih 2 kg seekor) dan telah dipotong dua, dibuang bahagian kepala, perut dan ekor.Kiranya che mat masak 1/2 ekor ikan pari, kurang lebih 1 kg, ini terpulang pada anda nak masak banyak mana, ikut keadaan lah yea. Asam pedas dah kerap sangat, jadi kita tukar masak kari. Campur terung dan tomato ceri. Kari ini mudah dan hanya guna 3/4 cawan pati santan (boleh juga kalau anda nak guna santan kotak atau tak payah letak santan, terpulang pada masing2). Che mat makan sama roti, tiba2 jemu pulak nak makan dengan nasi. Kalau kuah berbaki, boleh lah anda cicah lempeng pekak..Jomm masak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ikan pari (kurang lebih)
15 biji tomato ceri @ 2 biji tomato biasa
1 biji terung ungu saiz besar
2 biji cili merah dan cili hijau, belah dua tapi tak putus, rendam
3/4 cawan pati santan
3/4 camca besar pes asam jawa
3 camca besar rempah kari ikan (baba's)
1 camca besar sos cili JALEN
1 camca besar cili kisar (kalau suka pedas boleh tambah)
5 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci kunyit hidup*(*ditumbuk halus)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS ;-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/2 camca teh jintan halus
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh biji sawi
1/4 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Terung dibelah 2 kemudian potong serong, biar besar2 sedikit, rendam. Jika guna tomato saiz besar, belah 4 setiap 1 tomato tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum, tambah cili kisar, sos cili dan bahan2 tumbuk halus, kacau rata2 dan masak hingga garing. Sementara itu bancuh rempah kari dengan air hingga menjadi pes dan masukkan ke dalam periuk. Kacau dan masak rempah tadi hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tambah pes asam jawa, dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Kacau dan biar mendidih. Masukkan kiub ikan bilis (hancurkan), ikan pari dan terung. Bila terung lembut sedikit. tuang santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api sederhana. Akhir sekali tambah tomato dan cili merah/hijau. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau roti..


SAMBL TUMIS KERANG...

rsz_samball_tumis_kerang
Sambal kerang kalau makan dengan nasi lemak pun sedap gak kan. Tapi yang ni che mat buat saja suka2. Ada juga di FB yang tanya samada sambal kerang ni guna isi kerang segar atau isi kerang yang telah direbus?..Che mat guna isi kerang segar. Isinya agak besar dan tak perlu dimasak lama sangat, nanti liat. Kalau ganti kerang dengan isi kupang pun sedap juga. Sambal macam ni boleh juga anda buat lebih dan simpan dalam peti sejuk. Cuma pada pandangan che mat bila anda panaskan dalam microwave, jangan lama2 sangat dan letak suhu pada medium, sebab kalau lama sangat dan suhu high, kerang akan jadi liat dan keras, begitu juga dengan sotong. Apa2 pun sambal kerang memang sedap dan salah sorang penggemar sambal tumis kerang ialah ini orang...Oh yea, bagi anda blogger dan punya blog. Ada satu application untuk memudahkan anda 'ping' entri atau membaca blog di telefon pintar anda. Anda boleh download application tersebut di google play store dengan menaip "Edisi Blog" ...che mat dah guna dan memang mudah...jomm lah cuba!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan isi kerang (samada yang segar atau yang telah siap direbus)
1 3/4 senduk nasi cili kisar
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/2 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
2 keping hirisan halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa dan kacau rata.
  2. Bila pekat, masukkan kerang dan hirisan bawang besar. Kacau rata dan masak hingga bawang lembut. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak atau nasi putih...

Monday, September 15, 2014

MI HOON SUP AYAM...

rsz_bihon_sop
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni baru che mat berkesempatan update blog. Itu pun tergendala juga, kalau ikutkan tengah hari tadi entri ni keluar, tapi ada tetamu datang dan terpaksa che mat tangguhkan sekejap. Tiga hari blog tak dikemas kini, terima kasih mereka2 yang sudi bertanya. Sebenarnya dalam masa 3 hari tu, che mat menerima kunjungan tetamu dan juga memenuhi jemputan perkahwinan. Jadi masak pun ala kadar. Mi hoon sup ini masak semalam, seawal pagi che mat dah bangun, plan memang nak masak dari malam sebelumnya. Sebab tengah hari nanti kita orang akan keluar. Menjadi kebiasaan kalau ke mana2 che mat akan masak terlebih dahulu, apa tah lagi jika Bak dan Bonda tinggal di rumah....(tapi kan akhirnya lepas kita orang balik baru mereka makan sekali...huhu).

rsz_bihon_sop1
Kenapa che mat suka sup ayam?...sebab ia satu masakan yang amat2 versatile, boleh dimakan dengan macam2 benda, dengan segala jenis mi dan pasta, cicah denga roti, atau dihirup begitu saja. Sup harus anda nikmati panas, baru terasa kesegarannya. Kalau anda demam, ini antara hidangan yang boleh menghangatkan badan. Di Johor seperti anda tau, hidangan sup tidak lengkap tanpa sambal kicap. Kalau nak lebih sempurna, anda boleh buat begedil. Kalau dimakan bersama nasi impit atau ketupat, anda boleh tambah kacang tanah goreng dan soo hoon goreng sebagai salah satu bahan tambahan yang akan menjadikan hidangan anda begitu Johor...Resipi mudah saja, walaupun nampak banyak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam pencen @ ayam tua
4 biji kentang
1 kiub pati ayam (optional)
1 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 camca besar bawang goreng
1 sup bunjut tulang Adabi
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi hoon, dicelur hingga lembut, toskan
Hirisan daun sup/daun bawang
Tauhu, goreng dan hiris
Bawang goreng
Taugeh dibuang ekor, cuci dan toskan
Sambal kicap

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ayam pencen dipotong keci, atau ikut suka. Cuci bersih dan toskan (che mat gaul ayam tadi dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata dan perap 10 minit. Kemudian cuci hingga bersih dan toskan). Kentang dikupas, belah 4 setiap 1 dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 camca besar). Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum. Tambah bahan kisar halus dan masak hingga naik minyak. Masukkan lada hitam tumbuk dan ayam tadi. Gaul rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan pati kiub ayam, 1 camca besar bawang goreng dan daun sup yang dipotong kasar. Kacau dan terus memasak hingga ayam empuk (tambah air panas jika perlu). Bila ayam empuk, masukkan kentang (toskan) dan masak hingga kentang empuk. Perasakan dengan garam secukup rasa, masak sekejap dan rasa. Jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MI HOON SUP AYAM :- Masukkkan secukupnya mi hoon ke dalam mangkuk sesuai. Letak tauge kemudian curan kuah sup bersama isi2nya atas mi hoon tadi. Tabur daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Hias dengan hirisan tauhu dan hidangkan bersama sambla kicap. Sedap dimakan panas.....Selamat mencuba!

Thursday, September 11, 2014

SAMBAL TUMIS SOTONG PETAI

rsz_sambal_sotong_petai (1)
Sambal sotong sedap dimakan dengan nasi lemak, nasi putih atau dicicah ubi rebus, lempeng, roti jala dan sebagainya. Ada yang boleh makan, dan ada yang tidak atas faktor kesihatan (che mat sendiri tak berapa boleh makan, nanti jadi 'seksi' atau bahasa biasa 'gatal'...tapi ubat ada, dan kita pun makan sekali sekala saja... ye ke sekali sekala?...hmmm). Tambah enak bila dimasukkan petai yang rasanya lemak2 pahit dan bau dia....ehemm, bucuk2 sedap. Bagi yang tak makan petai, toksah khuatir, tak perlu letak petai. Nampak kecik nau sotong tu?..Ha ah, guna sotong jenis kecil atau sotong comet, nak guna sotong saiz biasa pun boleh tak salah. Ganti dengan udang, ikan bilis, kerang, kupang semua boleh....ikut selera masing2...ok...Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram sotong saiz kecil (kurang lebih)
2 papan petai
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/2 camca besar pes asam jawa
2 senduk nasi penuh cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 keping hirisan nipis halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sotong dibersihkan, buang bahagian dalam sotong, cuci dan toskan, tak perlu kerat (kalau anda guna sotong besar, perlu dikerat pada saiz sederhana). Petai diambik isinya dan belah dua setiap satu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa, kacau dan masukkan petai. Tuang air dan masak hingga petai empuk.
  3. Masukkan sotong, kacau dan tambah hirisan bawang besar. Perasakan dengan garam secukup rasa dan gula secukup rasa. Kacau dan masak hingga pekat dan bawang lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak, nasi putih atau sebagai bahan pencicah.

GULAI KETAM SAMA REBUNG MADU...

rsz_gulaii_ketam
Assalammualaikum, salam Khamis semua. Hari ni che mat masak gulai ketam sama rebung madu. Cuaca lembab dan hujan2 macam sekarang ni menggalakkan pokok buluh madu mengeluarkan rebung, tu yang ada saja stok rebung kat rumah. Ketam pulak che mat beli tu hari, dalam 5 ekor dan saiz sederhana. Bila masak ketam, che mat selalu ikut selera orang lain yang nak makan. Macam Bak memang suka masak gulai atau masak lemak macam ni. Dari semalam masa bercerita2 pasal ketam, Bak kata masak lemak campur rebung. Jadi tak de dah nko nak tukar resipi. Teringin gak nak masak kari sama nenas, tapi lain kali lah kan..Utamakan orang tua kita dulu, betul tak?...

rsz_gulaii_ketam1
Ada juga yang tanya che mat, kenapa selalu, kalau masak lemak, che mat selalu asingkan santan pekat dengan santan cair. Tak boleh ke leburkan sekali harung?...Di Johor, biasanya kami kalau masak lemak, memang style macam tu, letak santan cair dulu dan santan pekat kemudian. Sebab, bila anda tuang santan pekat kemudian, masak lemak atau gulai anda akan kelihatan pekat dan lebih menarik. Dan bila dah tuang santan pekat, kena masak dengan api kecil hingga mendidih. Perlu dikacau sentiasa untuk elakkan pecah santan (santan jadi berketul2 atas permukaan kuah)....Kalau mana yang tak pernah cuba, boleh test nanti yea..

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 ekor ketam saiz sederhana (kurang lebih 800 gram)
400 gram rebung madu
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA

  1. Ketam dibersihkan, ketuk2 sedikit penyepit ketam agar mudah untuk mengeluarkan isinya bila masak nanti. Cuci bersih dan toskan. Rebung madu dihiris nipis. Celur dalam air mendidih yang dicampur sedikit garam hingga rebung lembut sedikit. Toskan.
  2. Masukkan ketam dan rebung ke dalam periuk bersama serai titik dan asam gelugor. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau perlahan dan biar mendidih. Masukkan daun kunyit dan kiub ikan bilis (jika guna). 
  3. Tuang santan pekat, kacau perlahan dan masak sampai mendidih dan rebung lembut dengan api kecil. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan sambal belacan..

Wednesday, September 10, 2014

SAMBAL GORENG PARU...

rsz_sambal_goreng_paru
Assalammualaikum, salam Rabu.....phewww che mat cuti masak ni hari, konon2nya lah. Jadi moh leer kita update blog. Dua hari lepas che mat masak sambal goreng paru. Mula2 nak masukkan petai, tapi tak jadi sebab kat rumah che mat ada yang tak makan petai. Sebenarnya sambal goreng tiada pantang larang, dari pelbagai jenis sayur, hingga hanya menggunakan bahan2 asas untuk sambal goreng seperti, tempe, tauhu, kacang panjang, soo hoon dan tauhu kering. Ada juga yang tambah kobis, kincam dan macam2 lagi. Che mat sendiri suka masukkan pedal dan hati ayam jika ada. 

rsz_sambal_goreng_paru1
Sambal goreng kebiasaannya dihidangkan waktu hari raya dan juga bersama nasi ambeng. Satu yang che mat suka pasal sambal goreng, bahan2 dia tak perlu banyak tapi pelbagai. Kalau kacang panjang 4 -5 tangkai sudah memadai, nanti bila dah campur dengan bahan2 lain, dahh jadi banyak. Che mat guna 400 gram paru yang telah direbus, hiris nipis dan digoreng. Kalau suka pedas boleh tambah cili padi yang dikisar. Kali ni bahan perasa che mat guna kicap lemak manis JALEN dan kicap masin JALEN.....resipi sepeeti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram paru, rebus hingga empuk dan hiris kecil*
1/2 camca teh garam*
3/4 camca teh serbuk kunyit*(*disatukan gaul rata dan goreng hingga perang, toskan)
2 keping tauhu, potong kiub, goreng hingga kuning dan angkat
2 keping tempe berbungkus daun, potong kiub, goreng hingga kuning dan angkat
5 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam hingga lembut
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili meraj, hiris
1 biji cili hijau, hiris
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
1 camca besar kicap masin JALEN (atau secukup rasa)
2 camca besar cili kisar
1 camca teh pes asam jawa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan 3 camca besar minyak, tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukkan sos tiram, pes asam jawa dan kicap lemak manis. Kacau rata.
  2. Tambah paru, tempe, tauhu dan fucuk (toskan). Gaul rata dan tuang sedikit air (anggaran 1/4 cawan). Masak hingga fucuk lembut. Masukkan kacang panjang dan masak hingga kacang panjang lembut.
  3. Tambah soo hoon, hirisn cili merah, hirisan cili hijau dan kicap masin. Gaul rata dan masak hingga kering. Rasa dan jika kurang masin, tambah sedikit lagi kicap masin. Masak hingga kering. Rasa lagi dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat.

Tuesday, September 9, 2014

TUNA ROLL - SIGNATURE MAT GEBU?...

rsz_tunaa_roll

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bersiaran lewat sikit. Siang tadi menerima kunjungan 2 orang blogger dan juga pasangan suami/isteri, Ady Budika dan Sunnah. Terima kasih lah sebab tak lupa datang singgah Sedenak. Dan che mat hanya masak biasa2 saja. Nasi ayam dan dalam masa yang sama buat juga tuna roll yang menjadi signature mat gebu....ehemm. Banyak kali dah buat dan banyak kali juga che mat hidangkan pada tetamu dan bekalkan mereka untuk dibawa pulang. Tatau kenapa ia menjadi kegemaran anak2, walaupun dalam bahan2nya ada yang anak2 tak suka terutama bawang. Mungkin disebabkan mayonnaise dan tuna menjadikan roti ini sedap di tekak mereka...
rsz_tunaa_roll1

Kali ini che mat buat dalam bekas kecil2 sedikit. Selalunya resipi ini akan menghasilkan 10 biji tuna roll bersaiz kurang lebih 4 inci (sebab che mat guna paper cup bersaiz 4 inci), Kali ni che mat guna bekas aluminum bersaiz 2 inci dan dapat 18 biji. Sesuai dihidangkan untuk jamuan rasmi mau pun santai. Untuk majlis hari lahir anak2 juga sesuai dihidangkan. Selain tuna, kalau anda nak guna sardine juga ok, cuma che mat rasa macam kurang sesuai pulak ikan sardine digandingkan dengan mayonnaise, kalau sardine mungkin anda boleh buat seperti inti sandwich. Satu lagi, kalau anda suka cinnamon roll, anda boleh guna resipi ini. Cuma ganti inti tuna dengan gula perang yang digaul dengan serbuk kayu manis....semuanya bergantung pada kreatif anda.... Kalau dah bersedia, kita semak resipi...

BAHAN DOH :-)
250 gram tepung berprotein tinggi
50 gram gula halus @ gula kastor
1/2 camca teh garam halus
10 g susu tepung (mat guna susu "everyday")
1/4 camca teh bread improver
1/4 camca teh bread softerner
30 g telur (pecahkan 1 biji, kacau sedikit dan timbang)
6 gram instant yeast
20 gram mentega
125 ml air suam (kalau guna Breadmaker guna air biasa)

BAHAN INTI TUNA :-)
2 camca besar mentega, dicairkan
1 tin tuna, ditoskan biar kering, lecek hancur
2 1/2 camca besar Mayonnaise
1 biji bawang besar, dadu kecil
1 pokok daun bawang (atau daun kuchai), hiris halus, asingkan sedikit untuk hiasan
1 biji limau kasturi, perah jusnya (optional)
1/2 camca teh lada hitam yang baru dikisar, asingkan sedikit untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH :- Larutkan yis dalam air suam, biar berbuih. Satukan semua bahan lain kecuali mentega, masukkan bancuhan yis dan gaul rata hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus menguli hingga mendapat doh yang kenyal dan anjal (kurang lebih 20 minit). Bulat2kan doh, letak dalam bekas dan balut dengan plastik bersih, biarkan 45 minit hingga naik. KAEDAH LAIN :- Satukan semua bahan2 untuk doh dalam breadmaker, pilih setting untuk "DOH" dan tekan "ON", tunggu hingga siap (selalunya BM mengambil masa 30 minit menguli dan 1 jam memerap, ikut jenis BM masing2).
  2. UNTUK ROLL TUNA SANDWICH :- Satukan semua bahan untuk inti tuna kecuali mentega, kacau rata. Ketepikan. Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, tabur sedikit tepung pada meja kerja, dan canai menjadi 4 persegi. Sapu permukaan doh tadi dengan mentega cair rata2. Tuang inti tuna dan ratakan. Tinggalkan sedikit ruang di hujung doh. Gulung seperti swissroll dan ketatkan. Kemas kan bahagian kiri dan kanan gulungan doh dan kerat kepada 10 bahagian sama besar.
  3. Susun dalam paper cup jenis bersaiz 4inci, sedikit biar rata. Buat hingga siap. Perap 45 minit hingga kembang. Sapu telur (baki dari 30 g tadi), tabur baki hirisan daun bawang (mat guna daun kuchai) dan lada hitam. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 minit atau hingga perang keemasan. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya.. (untuk cara2 menggunlung tuna roll bun, anda boleh rujuk di sini)

Monday, September 8, 2014

PARU GORENG BERLADO

rsz_peparu_berlado
Paru goreng berlado antara hidangan yang che mat suka (ke bukan che mat tu suka semua jenis hidangan yang dia masak?....pelik nihh...hmmm). Masak seperti ini popular di kalangan orang Minangkabau. Buatnya amat mudah dan untuk sambal pun ringkas sahaja. Cuma che mat kehabisan cili hidup, maka terpaksa ku guna cili kisar. Kalau anda buat, jangan lupa guna cili hidup (dalam resipi che mat akan tulis cili hidup). Che mat guna kurang lebih 600 gram paru untuk resipi ini. Kalau anda tak suka paru, boleh juga diganti dengan daging, pastikan daging dihiris nipis lebar2 dan rebus jika perlu. Kalau nak bess, anda ketuk daging tadi hingga nipis dan goreng sekejap, jangan garing sangat nanti keras. Lepas tu boleh masak seperti biasa...Boleh?...pasti boleh, resipi che mat kan senang2 dan mudah2, kalau tak, takkan dia ni pun dah boleh memasak!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram paru lembu, potong 2, cuci dan toskan*
3 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu buang kulit)*
1 inci halia, diketuk*
1 batang serai, diketuk*
Air secukupnya*(*disatukan dan rebus hingga paru lembut)
1 camca teh serbuk kunyit
1 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN TUMBUK LUMAT :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
5 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tos dan sejukkan paru yang telah direbus. Kemudian hiris lebar, gaul dengan serbuk kunyit dan sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh). Kemudian goreng hingga perang. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk lumat hingga harum dan garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tambah garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap.
  3. Tambah paru goreng dan gaul rata. Masak hingga kering dan cili bersalut dengan paru goreng tadi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas.

UMBUT KELAPA MASAK LEMAK PUTIH

rsz_santapan
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Entri hari ni menu yang che mat masak tu hari...errr, hari Sabtu lepas. Jumaat sebelum tu che mat ke pasar lambak pagi di Simpang Renggam dan ternampak sorang akak ni jual umbut kelapa. Sebab Bak suka makan umbut, che mat pun beli. Besar juga saiznya, kurang lebih 1.5 kg beratnya. Umbut kelapa kalau dapat masak secepat mungkin untuk mengelakkan ia berubah warna. Che mat masak habis semua, kemudian bagi pada anak2 buah. Biasanya kalau umbut kelapa, kami akan masak lemak puith saja, sebab bak memang suka masak gaya macam ni. Ada dua kaedah, satu dicelur sekejap, toskan dan dimasak atau anda boleh rebus umbut tadi dengan santan kemancar atau santan cair hingga lembut. Maksudnya tak payah celur2, terus masak saja. Tapi sebab che mat nak cepat, maka ku pilih kaedah pertama, iaitu celur sekejap dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. 

rsz_santapan1rsz_santapan3rsz_santapan2
Bila masak lemak putih macam ni, ada 2 lagi yang wajib ada sebagai pelengkap hidangan. Memang regu masak lemak, sambal belacan dan ikan masin atau ikan goreng. Sambal belacan tu bonda che mat yang hempukkan dalam lesung batu hingga halus. Kalau selalunya che mat goreng ikan masin tenggiri jeruk, kali ni Bak tukar selera, suruh goreng ikan sepat masin pulak. Baekk boss, apa2 saja, asal tekak Bak selera makan. Menu macam ni boleh dikategorikan sebagai hidangan tradisi orang Melayu. Makan dengan nasi putih panas, duduk pulak di pangkin...aduhhh, silap2 habis nasi seperiuk!!...Resipi dibawah ini untuk umbut seberat 1+ kg...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ kg umbut kelapa
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 kiub ikan bilis (optional)
1.5 liter santan cair
600 ml pati santan
1 1/2 camca besar udang kering, renda 10 minit, tos dan tumbuk kasar
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Umbut kelapa dihiris nipis, celur dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam, selama 2 minit dan toskan. Masukkan umbut tadi ke dalam periuk bersama udang kering, bawang besar, bawang putih dan serai ketuk. Gaul rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih, kalau selalu.
  2. Tambah daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil, kacau selalu. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan masin goreng/ikan goreng. Kalau anda nak tambah lada hitam kisar juga boleh..

Sunday, September 7, 2014

TAUGEH SOYA TUMIS SAMA UDANG..

rsz_taugeh_kasar_tumis_udang
Taugeh soya atau taugeh kasar memang menjadi kegemaran che mat. Boleh dimasak lemak, bening atau pun ditumis sama udang, sotong, kupang dan juga ikan bilis. Kalau suka boleh masukkan tauhu yang dipotong kiub. Bagi mereka yang kurang gigi (ehemm....che mat kurang sikit saja yeaa), anda boleh siang berasingan kacang dan tangkai taugeh, dan masa memasak, anda masak dulu kacangnya sampai lembut, kemudian baru masukkan batang taugeh. Kalau anda masak sekali gus, macam che mat, kacang dia kurang empuk. Kalau masak lama sangat nanti taugeh jadi lembik dan tak rangup. Jika suka pedas boleh ganti cili merah dengan cili padi. Ini satu resipi yang amat mudah dan sedap dimakan bersama nasi panas beserta ikan goreng...ehemm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram taugeh soya @ taugeh kasar, dibuang ekor, cuci dan toskan
15 ekor udang bersaiz sederhana, dibersihkan
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram
Garam secukup rasa
Beberapa titik minyak bijan (optional)
1 pokok daun bawang, hiris
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu dan harum, masukkan cili merah, cili hijau dan sos tiram, kacau rata dan masak sekejap. Guna api kecil. Masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna. Tuang sedikit air (angaran 4 camca besar). Kacau rata
  2. Tambah taugeh, besarkan api dan kacau rata. Masak hingga taugeh lembut dan bahagian kacangnya lembut sedikit. Tambah garam secukup rasa, masukkan hirisan daun bawang dan minyak bijan jika guna. Kacau rata, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng..

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.