BEN ASHAARI

Monday, November 3, 2014

GULAI KARI AYAM SAMA NANGKA MUDA...

rsz_gulai_kari_nangka_muda

Assalammualaikum, salam Isnin dan hari ini bersamaan 10 Muharam dan pasti ramai yang berpuasa sunat asyura. Hari ini bonda dan abang long che mat turut berpuasa. Dan perancangan nak masak gulai kari ayam sama nangka ini memang telah dibuat beberapa hari lepas. Hari ini che mat masak dan menu ini juga merangkap sebagai juadah berbuka puasa nanti. Mesti ada yang hairan, kalau menu gulai atau asam pedas che mat suka masak awal, apa sebabnya?. Ini kerana masakan2 seperti ini memerlukan masa beberapa jam untuk menjadikan ia lebih mesra dan sedap. Che mat guna seekor ayam kampung untuk resipi ini dan nangka muda dalam 1 kg. Agak banyakkan, dan menu seperti ini kalau dimakan keesokkan harinya, lagi sedap berganda!....

rsz_gulai_kari_nangka_muda1

Gulai kari ini agak pekat, dan bonda memang suka gulai seperti ini. Kerisik juga dimasukkan untuk memberi rasa yang lebih enak. Selain rempah kari, che mat masukkan juga ketumbar serbuk dan jintan manis serbuk. Ia tidak terlalu pedas dan anda boleh tambah cili kisar atau cili padi jika suka gulai yang agak pedas. Sedap dimakan bersama nasi putih (tapi Bak makan sama mi hoon). Boleh juga dicicah lempeng pekak, roti canai atau pun roti biasa. Bahan2 nampak banyak, tapi cara memasaknya mudah dan tidak rumit. Kalau anda guna ayam kampung yang agak tua, pastikan anda rebus dulu hingga empuk sebelum dimasak, atau boleh masak terus dalam periuk tekanan...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (atau ayam daging)
1 kg nangka muda yang telah disiang dan dipotong, celur 1/2 empuk dan toskan
2 keping asam gelugor
1.5 liter santan cair
600 ml pati santan
2 camca besar kerisik
1/2 camca besar gula melaka
1 kiub pati ayam (optional)
4 camca besar rempah kari daging (baba's)
1 camca besar ketumbar serbuk (baba's)
1/2 camca besar jintan manis serbuk (baba's)
3-4 camca besar cili kisar
Garam secukup rasa
Air panas jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, hiris halus

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk bersama2 bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1 cawan atau lebih sedikit). Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga bawang layu dan perang. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, kacau selalu.
  2. Masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah ayam, gaul rata dan biar hingga ayam kecut. Tuang santan cair, kacau rata dan biar mendidih. Masak hingga ayam empuk (jika ayam masih belum empuk tapi kuah kering, tambah air panas secukupnya).
  3. Masukkan nangka muda, kiub pati ayam dan kerisik. Kacau dan masak hingga nangka empuk. Tuang pati santan dan masukkan asam gelugor. Kacau rata dan biar mendidih dengan api kecil. Masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan, telur dadar dan ulam2man..

6 comments:

Norma NML said...

sedapnya..boleh la try nanti..thx for sharing..

Hamidi SP said...

Sup nangka muda + ayam kampung pun terbaik juga, sedappp.. :)

Mommy Nia said...

uih tak pernah buat. kena try ni. tq en mat gebu :)

HASRUL HASSAN said...

Aku ni mencari idea nak masak esok ni .. hmm nangka dah abis, ayam pun dah abis .. hmm nak selongkar lagi lah

Eny Abdullah said...

nak pi cari nangka pula heheheh

Aku Penghibur said...

kari my fav.. ada nangka lagi.. satu kelainan

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.