SAMBAL GORENG JAWA DAN SAMBAL BELACAN BUAH KUINI..

rsz_sambal_jawa_goreng
Assalammualaikum, salam Sabtu. Anda masak apa ni hari?...Che mat masak dah, tapi yang cincai2 saja. Menu sambal goreng jawa yang anda lihat ini bukan che mat tadi, tapi hari Khamis lepas, dua hari dah. Semalam nak masukkan tapi lebih baik entri mi rebus dari sambal goreng sebab dah malam. Jadi hari ni baru kasi masuk entri sambal goreng. Menu sambal goreng begitu sinonim dengan masyarakat jawa, dan menjadi pelengkap hidangan nasi ambeng. Kalau raya tak sah hidangan tanpa sambal goreng, terutama di Johor amnya dan masyarakat jawa khusunya. Tapi sekarang ia sudah menjadi hidangan semua bangsa. Ada beberapa versi, yang kemerahan, yang biasa dan yang gelap (ada campuran kicap). Mana satu pilihan anda ia tetap enak dimakan bersama nasi putih atau ketupat. Nampak tak sambal goreng che mat tu ada petai...ehem, memang betul, atas permintaan Bak, maka ku tambah petai...

rsz_sambals_belacans_kuinis
Samping itu che mat bikin juga sambal belacan buah kuini. Macam tengah musim saja sekarang ni, nampak kat mana2 ada orang jual. Yang ni mak sedara che mat kasi. Macam2 boleh buat dengan buah kuini, tapi che mat lebih suka jadikan sambal belacan buah kuini. Selain tu anda boleh buat kerabu, jelatah dan minuman 'laksamana mengamuk', tu kira orang2 lama di Johor, tau lah nak buat. Ada sambal macam ni, dengan nasi panas dan ikan goreng, hmmm, cukup sangat dah. Kalau suka pedas boleh guna cili padi sepenuhnya, kalau tak suka boleh guna cili merah dan kalau suka sederhana pedas, kasi campur cili merah dan cili padi, pastikan cili padi dalam kuantiti sedikit....Ok, jommm che mat share resipi...

SAMBAL GORENG JAWA....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, hiris serong, cuci dan toskan
1/4 bahagian kobis bulat saiz kecil, hiris, cuci dan toskan
2 papan petai, ambil isinya dan hiris
2 keping tempe, didadu dan goreng, toskan
2 keping tauhu, didadu dan goreng, toskan
1/4 cawan isi udang bersaiz kecil, cuci dan toskan
2 keping fucuk selebar tapak tangan, potong kecil dan rendam
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
2 camca besar cili kisar
3/4 camca teh pes asam jawa
1 camca besar kicap cair
1 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 4 camca besar. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan lengkuas dan serai serta cili kisar. Kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan isi udang. Kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan tempe, tauhu, petai dan kacang panjang. Gaul rata dan masak hingga kacang lembut, boleh tambah sedikit air jika perlu. Masukkan fucuk (toskan), kacau dan tambah kobis, gaul rata. Tambah kicap cair dan soo hoon (toskan). Kacau dan masak hingga kering.
  3. Masukkan hirisan cili merah, cili hijau, sedikit gula dan kicap cair. Gaul rata dan rasa, jika perlu baru masukkan garam secukup rasa. Masak dengan api sederhana hingga sambal goreng kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau ketupat..

SAMBAL BELACAN BUAH KUINI....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji buah kuini yang masak (nak guna yang mengkal pun boleh, ikut suka hati memasing)
1 biji cili merah
15 biji cili padi merah
1 inci belacan, dibakar
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Buah kuini dicuci, kemudian, lap kering dan kupas. Hiris isinya dan ketepikan. Tumbuk cili merah dan cili padi hingga hancur, masukkan belacan bakar dan secubit garam Terus menumbuk hingga lumat. Tambah isi buah kuini tadi dan tumbuk sedikit, tak perlu sampai lumat. Gaul rata dan rasa, jika ok, boleh hidangkan bersama nasi putih dan ikan goreng.....Selamat mencuba!!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.