BEN ASHAARI

Tuesday, April 1, 2014

MI SIAM BERKUAH @ MI SIAM SINGAPURA..

rsz_mi_siam_singapura

Assalammualaikum, salam Selasa semua. Masa che mat tulis entri ni, hujan tengah turun dengan lebatnya, sujud syukur atas nikmat yang Allah bagi. Kali terakhir hujan beberapa hari lepas, kemudian panas terik kembali (selalunya langat gelap tapi hujan tak jadi atau cuma turun beberapa titik sahaja, lepas tu berhenti). Hari ni che mat tak masak....errrr, maksud tak masak tu, ialah che mat tak masak nasi dan lauk pauk. Di sebabkan semalam ada beli nasi beriani Batu Pahat dan berlebih. Maka, telah dipanaskan untuk santapan makan tengah hari. Tapi che mat berbeza selera pulak, ntah macam mana tiba2 teringin nak makan mi siam berkuah atau mi siam Singapura. Jangan salah pulak dengan mi hoon Singapura, kalau mi hoon Singapura, ia digoreng putih dan ada yang campurkan sedikit lada hitam dalamnya....
rsz_mi_siam_singapura2

Mi siam berkuah ini agak unik, dan ia juga menjadi kegemaran kaum peranakan baba nyonya. Buatnya mudah dan che mat perhatikan di laman2 web, ada pelbagai versi membuat mi siam berkuah atau mi siam Singapura ini. Itu ikut selera masing2 lah kan, tak boleh nak kata resipi si polan tersedap sangat. Dan che mat nak kasi tau, jika anda makan di luar dan rasanya amat sedap, sila berhati2, ini mungkin penggunaan serbuk perasa atau MSG yang berlebihan. Bukan nak buruk2kan kesedapan masakan mereka, tapi ini kenyataan. Minta maaf bagi yang terasa yea. Maka ada baiknya anda masak di rumah, kalau letak serbuk perasa pun sudah pasti hanya secubit, tidak lah sampai 1 camca teh, yea tak?..Apa2 terpulang pada anda...

rsz_mi_siam_singapura1

Ia seperti mi hoon goreng biasa tapi dihidangkan bersama kuah yang dicampur taucho, air asam jawa dan kacang tanah tumbuk untuk memberi rasa lemak, tak lupa sedikit santan juga dimasukkan sekali. Kebiasaan kuahnya tidak terlalu pekat, tapi disebabkan ada campur kacang tanah, lama kelamaan, ia akan pekat secara semulajadi. Rasa manis, masam, lemak dan sedikit masin perlu ada. Satu che mat nak pesan, masa memasak kuah, garam anda harus jaga, rasa dulu baru letak itu pun kalau perlu, sebab taucho sudah masin. Masa bila pulak nak tuang kuah dia?...Bila anda nak makan, tuangkan kuah serta hiaskan dengan bahan2 sampingan. Mi siam macam ni 'pantang' kalau takde limau kasturi, kurang menendang rasanya nanti...Sebelum tu, che mat tertarik dengan satu entri di sini, tanda pengorbanan seorang ayah...Dah baca?..Ok kita lihat  resipi pulak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 - 200 gram mi hoon, rendam hingga lembut
2 genggam taugeh (atau secukupnya)
1 cekak kucai, dikerat2 dalam 1 inci
1 camca besar sos tomato
1 senduk nasi penuh cili kisar
150 gram udang saiz kecil, kupas kulitnya, cuci dan rebus kulit udang tadi, ambil air rebusannya
1 biji bawang besar saiz sederhana*
5 biji bawang merah kecil*
3 ulas bawang putih*
1 genggam udang kering, cuci dan rendam 10 minit, toskan*
Secubit belacan, dibakar*(*dikisar halus)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1/2 bahagian perencah untuk menggoreng mi siam
3/4 camca besar tauco, lecek hingga hancur
3/4 camca teh pes asam jawa
1 batang serai, diketuk
2 keping hirisan lengkuas, diketuk
1 liter air rebusan kulit udang
2 camca besar kacang tanah tumbuk
1/4 cawan santan (kalau guna santan kotak, 2 camca besar dah ok)
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Telur, direbus dan belah 2
Tauhu goreng, dihiris
Hirisan daun bawang
Timun, dihiris memanjang
Limau kasturi, dibelah 2
Sambal tumis, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK MI SIAM :- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/2 cawan), tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Kemudian keluarkan 1/2 bahagian untuk digunakan sebagai perencah dalam kuah. Tambah sos tomato dalam kuali yang ada baki perencah tadi. Masukkan udang dan kacau rata. 
  2. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau dan tambah mi hoon dan gaul hingga rata, masak hingga mi hoon lembut, guna api sederhana. Tambah taugeh dan kucai, gaul rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  3. UNTUK KUAH MI SIAM :- Masukkan 1/2 bahagian perencah yang diasingkan tadi ke dalam periuk, bersama2 dengan taucho, serai titik, lengkuas dan pes asam jawa. Kacau rata dan masak sekejap. Tuang air rebusan kulit udang (jika perlu boleh tambah sedikit air). Kacau dan biar mendidih. Masukkan santan, perasakan dengan garam (anda rasa dulu, kalau perlu baru tambah garam) dan gula secukup rasa, biasanya kuah sedikit manis. Akhir sekali tambah kacang tanah tumbuk. Masak hingga mendidih, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MI SIAM BERKUAH @ MI SIAM SINGAPURA :- Cedok secukupnya mi siam goreng ke dalam pinggan sesuai. Tuang kuah secukupnya. Hias dengan telur rebus, tauhu goreng, hirisan daun bawang, timun dan perah jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Kalau suka pedas anda boleh tambah sambal tumis...Selamat mencuba!!!.

3 comments:

musa nora said...

salam che mat..1st time dgr ni..insyaAlh akn d cuba..n sya xpernh hmpa dgn resepi dr che mat..hnya Allah yg dpt blas ilmu yg che mat kongsikan..smoga dberkati..amin..

rapheydhillo said...

Thanks cmg sbb share recipe.

Syreena Jamil said...

mee siam.. memang kegemaran keluarga saya sejak saya kecil lagi.. mee ni popular di singapura dulu.. tapi jika ibu saya masak, dia tak hancurkan taucu tu masa jadikan kuah. dia suka jika nmpak taucu di bihun. Dan x guna bahan perisa msg. Suka cara asal. Selalunya org yg asal singapura saja tahu berkenaan mee siam ni.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.