BEN ASHAARI

Tuesday, March 18, 2014

KARI IKAN PARI ENCHE BERAHIM...

rsz_kari_ikan_pari_pak_berahim
Assalammualaikum, salam selasa. Untuk entri tengah hari ini che mat berkongsi resipi kari mudah. Kenapa ada nama 'Enche Berahim" pulak?..Yang tu sebenarnya nama Bak atau ayah che mat. Style kari yang Bak selalu makan tak sama dengan apa yang che mat selalu masak. Resipi kari untuk Bak lebih ringkas dan simple, ikut style arwah nenek (mak pada Bak) masak. Karinya agak mudah, hanya guna rempah kari yang dibancuh dengan air. Tiada penggunaan bahan2 kisar, kecuali sedikit cili kisar dan halia yang che mat tumbuk lumat. Penggunaan santan pun agak minima, kurang lebih 1/3 cawan. Kalau tak nak, anda tak perlu letak pun takpe. Selain ikan pari, anda boleh guna ikan merah, senangin, sembilang, ikan duri dan apa2 jua jenis ikan yang banyak isi, ikan kembong besar pun sedap dimasak kari seperti ini. Bila ada kari, boleh lah buat lempeng pekak, memang sesuai dengan kari ikan macam ni, cicah kuah dia....hmmm, tak membazir langsung...Ok resipi kari ikan pari Enche Berahim seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 gram ikan pari
12 batang bendi muda
2 biji tomato
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1/2 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis Maggi (optional)
4 camca besar rempah kari ikan (Baba's)*
1 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar cili kisar
1 inci halia, tumbuk halus
1 batang serai, diketuk
1/3 cawan pati santan
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh jintan halus
1/2 camca teh biji sawi
20 biji halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong ikut suka, cuci dan perap dengan jus limau nipis selama 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Bendi dicuci dan toskan. Tomato dibelah 3 setiap satu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, tambah rempah kari yang telah dibancuh tadi. Kacau dan masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan pari, dan kiub ikan bilis (jika guna). Masak hingga ikan pari bertukar warna, tambah bendi dan masak hingga bendi lembut.
  4. Masukkan pati santan. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah tomato dan cili merah/cili hijau, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..


No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.