BEN ASHAARI

Thursday, February 13, 2014

TERUNG PIPIT LEMAK CILI PADI...

rsz_terung_pipit_masak_lemak_cilipadi
Salam....entri yang ni bukan che mat baru masak, tapi dah 2-3 hari lepas. Tu lah kan sebab banyak sangat benda nak kena buat, sampai lupa ada menu yang  che mat tak masukkan lagi dalam blog sebagai entri. Ini menu permintaan sebenarnya, che mat pun makan juga lah sikit. Bak suka masak macam ni dan tambah ikan kembong masin atau ikan kembong rebus. Guna ikan bilis tamban atau kembong pun bess juga, tapi kena beli yang saiz besar sikit, jangan guna yang terlampau kecil, kurang menyerlah. Terung pipit atau ada yang panggil terung rimbang kalau kat kampung che mat, ia tumbuh meliar di kawasan2 kebun dan belukar. Pokoknya tumbuh pada paras sederhana, batangnya berduri dan daunnya bebulu seperti baldu. Ken petik yang muda, maksudnya buah terung yang hijau muda, kalau yang warna hijau pekat agak tua dan keras. Che mat rebus hingga 1/2 empuk sebelum dimasak lemak...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan terung pipit, cuci dan rebus hingga 1/2 empuk, toskan
2 ekor ikan kembong masin saiz besar, cuci dan kerat 2 setiap 1
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
25 biji cili padi kampung (boleh tambah atau kurangkan)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 camca besar ikan bilis, dibersihkan, rendam sekejap dan toskan
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan terung pipit ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus dan serai titik. Kacau rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih, kacau sekali sekala dan bila terung pipit empuk, masukkan asam gelugor dan ikan masin. Kacau perlahan.
  2. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya (jangan letak banyak sangat, rasa dulu baru letak sebab dah guna ikan masin) dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhan dan kacau selalu untuk mengelakkan pecah santan. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.


2 comments:

Ummi said...

Assalamualaikum Mat, apa kabor?? Ya Allah, lamanya akak x ke dapur ko...rindu nak jenguk geng2 masak...tp tu laa, x buka komputer pun, duk pegang mobile jer...tenat la sikit line...huhu

Sedapnya lauk kampung camni..terung pipit xda kat rumah akak, pokok terung telunjuk ada laaa....dah 2x berbuah...ko lastik sikit terung pipit tu ke Ktn, leh buat benih...hehe

Mat Gebu said...

@Ummi - w'salam kak ummi, tu lah lamanya kita tak borak2..saya nak call pun selalu aje ter miss waktu free..grrr...hmm akak tak berblog lagi ke?...kalau ada masa tu update lah sikit2...

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.