BEN ASHAARI

Thursday, October 31, 2013

KENAPA CHE MAT SUKA KUE TEOW...SEBAB DIA BESSSTTT!!...

rsz_kue_teow_kerang_udang
Salam semua, errr..tak bosan ke che mat makan kue teow, kejap kue teow...kang tak lama lepas tu kue teow lagi...Senang cerita memang che mat suka kue teow, macam tajuk entri atas tu. Biasanya che mat beli 1 kg kue teow, dan kat rumah che mat bukan semua suka makan kue teow, maka che mat akan masak dalam kuantiti untuk 1-2 orang makan sahaja. Selebihnya simpan dalam freezer (bila nak guna panaskan dalam microwave dan boleh gunakan). Jadi kalau masa che mat rasa nak masak kue teow, che mat 'on' aje lahh nak2 kalau ada udang atau kerang, cuma kalau takde kucai, kurang kick, tapi takpe, taugeh ada pun dah ok. Kuantiti kue teow yang che mat guna ni kurang lebih 300 gram. Resipi ikut suka hati sebenarnya dan macam yang resipi sebelum ni, che mat guna sedikit petis atau otak udang..sedap ke guna petis dalam kue teow goreng tuuu?...hmmm, cuba lah dulu, baru tauuu....Ok jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram kue teow
1 genggam taugeh
1 genggam isi kerang
10 ekor udang saiz sederhana, dibersihkan
1 biji telur, dipukul sedikit
3 biji bawang merah, hiris
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh petis @ otak udang
2 camca besar sambal tumis
1 camca teh kicap pekat
Sos ikan secukup rasa
Cili hijau jeruk secukupnya
Sedikit hirisan daun bawang

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar), tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan sambal tumis dan petis, kacau rata. Tambah kerang dan udang, masak hingga udang berubah warna.
  2. Tambah kicap pekat dan masukkan kue teow, gaul hingga rata. Tolak kue teow ke tepi kuali, masukkan sedikit minyak dan tuang telur, biar hingga telur kental, kacau hancur dan gaul rata dengan kue teow tadi.
  3. Perasakan dengan sos ikan secukupnya, masukkan taugeh, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan hidangkan bersama cili hijau jeruk... Sedap dimakan panas2.

URAP BUNGA BETIK JANTAN....

rsz_urap_bungabetik_jantan
Assalammualaikum, salam Khamis....entri hari ni che mat share satu resipi tradisi orang2 kampung. Tapi mungkin ada yang belum pernah makan. Sedia maklum pokok betik ada yang jenis jantan dan betina, kalau pokok betina akan menghasilkan buah kalau pokok jantan, harapkan berbunga saja dan bunga dia pun agak berbeza dengan pokok betik betina. Tapi bunga betik jantan sedap dibuat urap, cuma che mat tak pastilah samada anda pernah rasa atau tidak. Rasanya lemak2 pahit, dan rasa pahit pun bukan lah sampai anda boleh pengsan, cuma pahit2 sedikit sahaja. Che mat pernah buat sekali dan ini kali ke-2 che mat buat. Kalau tekak kurang enak, sesuai makan urap bunga betik jantan ni. Jika suka pedas boleh tambah cili padi, tapi kebiasaannya urap memang satu hidangan tidak pedas dan menjadi salah satu lauk-pauk wajib untuk nasi ambeng....hmmmm, rasa nak bikin nasi ambeng pulak...bila eks?..

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram bunga betik jantan, asingkan dari tangkainya (contoh di sini )
4 helai daun cekur, hiris halus (che mat tak letak)
3/4 cawan kelapa parut putih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK LUMAT :-)
1 biji cili merah (anda boleh guna cili padi)
1/2 inci kunyit hidup)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 inci ubi cekur
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bunga betik jantan dicuci dan toskan. Didihkan air, letak sekeping asam gelugor dan sedikit garam. Kemudian masukkan bunga betik tadi dan celur 30 saat. Angkat dan toskan. Biar sejuk.
  2. Dalam bekas lain masukkan kelapa parut putih, bahan tumbuk lumat dan gaul rata. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan bunga betik dan hirisan daun cekur (kalau guna) gaul hingga semua rata.
  3. Panaskan kuali, kemudian goreng tanpa minyak urap tadi hingga urap terasa panas. Matikan api, rasa dan jika ok boleh hidangkan bersama nasi panas..


Wednesday, October 30, 2013

JEMPUT-JEMPUT UDANG....JEMPUT SEMUAA....

rsz_jemputs_udangs
Hmmmm...time2 hujan ni mulalah kan nak menyelongkar dapur manjang. Kadang2 bukan nak makan benda2 yang aneh sangat, cukup ada roti, biskut dan sebagainya. Kalau nak 'kampung' sikit, kena ada ubi rebus, sambal tumis dan kopi...Kalau nak tak berapa kampung, kita buat jemput atau cekodok atau cucur...alaaa semua tu sama aje sebenarnya, cuma nama aje lain2 sikit. Entri yang anda nampak ni, che mat bikin semalam untuk sarapan, tapi tak sempat nak masukkan ke blog. Dan malam ni baru sempat memandangkan ia juga boleh dijadikan idea menu untuk bersarapan esok. Jemput2 ni biasa aje tapi kenapa che mat nak juga jadikan ia sebagai entri?...Kerana, che mat perhatikan resipi2 ringkas dan nampak "cincai" ni lah yang menjadi pilihan ramai orang baik muda atau pun tua....ehh tua pulak....sori...mereka yang berusia..haaa.. baru sedap sikit bunyinya yea tak. Ok che mat tulis resipi mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 camca teh penuh baking powder
1 genggam isi udang
1 biji telur
1 1/4 cawan air (atau secukupnya)
1 biji bawang holland, hiris (guna bawang besar biasa pun boleh)
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
20 tangkai kucai, kerat kecil
1 genggam taugeh, diramas (kasi patah2 saja)
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN SOS CILI :-)
4 - 5 biji cili merah (bergantung pada saiz cili anda guna)
2 ulas bawang putih
1/4 cawan cuka makan JALEN
1/4 camca teh garam
3/4 camca besar tepung jagung*
4 camca besar air*(*dilarutkan)
Gula secukup rasa (kurang lebih 5 camca besar)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas, masukkan semua bahan untuk jemput2 kecuali garam dan air. Gaul rata2 dan masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga semua sebati dan air habis. Tambah garam secukup rasa, kacau rata2 dan ketepikan sekejap.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam, cedok satu camca besar penuh dan masukkan ke dalam minyak panas (che mat jemput guna tangan aje, tapi kena berhati2 lah yea). Buat 10 - 12 biji jemput2 sekali goreng, bergantung pada kuali atau pan yang anda guna.
  3. Balik2kan jemput2 tadi agar masak sekata. Goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan minyaknya. Letak atas kitchen paper towel dan biar minyak terserap. Ulang proses menggoreng hingga selesai. Hidangkan cekodok bersama sos cili..
  4. UNTUK SOS CILI :- Kisar cili merah dan bawang putih hingga halus, masukkan ke dalam periuk, tambah gula dan garam (terpulang pada anda nak manis atau kurang manis). Masak mendidih dan gula larut, kacau selalu. Tuang cuka makan dan biar mendidih perlahan 5 - 7 minit. Masukkan bancuhan tepung jagung, kacau rata dan masak lagi untuk 3 minit lagi hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama jemput2 udang..

KARI IKAN TENGGIRI SOS TOMATO

rsz_kari_ikan_tenggiri (1)
Assalammualaikum, salam Rabu...baru sempat nak update entri blog. Blog masakan ni ambil masa tau kalau nak update, kena buat pemilihan gambar, edit mana yang patut, lepas tu kena cerita sikit dan baru boleh mula tulis entri. Kadang2 tu nak cerita pun pening..tatau dah macam mana nak mula. Hari ni che mat masak kari ikan tenggiri tapi saja lah che mat tumiskan dengan sos tomato. Bila dah guna sos tomato, anda boleh kurangkan penggunaan asam jawa (atau ada yang guna asam gelugor) dalam kuah kari tadi. Dan che mat cuma letak tomato, kalau ada terung atau bendi..hmm lagi bess. Untuk resipi ini che mat guna 1 cawan santan. Selain ikan tenggiri, anda boleh guna ikan merah, ikan bawal, ikan kembong, ikan senangin atau pun ikan tongkol..semua boleh tapi setiap jenis ikan akan memberi rasa lain pada hidangan kari anda..Ok resipi seperti berikut...ishh terbayang pulak lempeng pekak cicah sama kuah kari ni....errrrr...ni yang malas nih....huh..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tenggiri papan, saiz sederhana
3 biji tomato saiz sederhana
1 camca teh pes asam jawa
2 camca besar cili kisar
2 camca besar sos tomato (che mat guna sos JALEN)
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
3 camca besar rempah kari ikan (che mat guna Baba's)
1 cawan santan
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/4 camca teh biji sawi
1/4 camca teh halba
1/3 camca teh jintan kasar
1/3 camca teh jintan halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dikerat pada saiz sederhana, buang kotoran dan insang ikan, cuci bersih2 dan toskan. Tomato dibelah 2 setiap 1, cili merah dan cili hijau dibelah 2 tapi tak putus setiap 1. Bancuh bahan kisar halus dengan rempah hari dan kacau hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan sos tomato dan pes asam jawa. Kacau rata dan masak sekejap. 
  3. Masukkan pes rempah kari, kacau rata dan masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Tuang air secukupnya (anggaran 800ml) dan kacau. Masukkan ikan, kacau perlahan dan biar mendidih. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan bila mendidih, tambah tomato dan cili merah/hijau. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api..Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..


Tuesday, October 29, 2013

PAVLOVA....EHEMMM.....

rsz_pavlova_mini
Pavlova....manis bersari dan sungguh misteri, namun bagi anda yang tidak suka manis atau punya kadar gula yang agak tinggi, ini tidak sesuai untuk anda. Che mat sendiri pun agak ngeri nak makan. Tapi resipi ini che mat dah kurangkan gula, lagi pun kan gula dah mahal sekarang ni. Pavlova ni che mat buat dalam saiz comel2..guna paper cup leper saiz 4 inci. Che mat buat awal sehari, maksudnya malam sebelum tu che mat buat dan hidangan ini salah satu yang che mat sajikan untuk tetamu tempoh hari. Resipi guna yang sedia ada diblog dan menghasilkan kurang lebih 10 biji pavlova. Untuk buah2an tu anda boleh letak apa jua jenis yang anda suka, tapi kebiasannya, stoberi, kiwi, peach dan anggur menjadi pilihan. Disebabkan pavola agak manis, che mat drizzle kan dengan isi buah markisar (tapi yang lain tak, takut ada yang tak suka)...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 putih telur (dai telur gred A)
1 cawan gula kastor (che mat guna 3/4 cawan)
2 camca besar tepung jagung
2 camca teh cuka makan (che mat guna cuka JALEN)
1/2 camca teh serbuk vanillin (boleh ganti dengan esen vanilla)
Non-dairy whipping cream yang telah diputar kental secukupnya
Buah2 pilihan anda seperti stroberi, kiwi, peach, anggur dan markisa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C, sediakan 10 bekas paper cup jenis keras bersaiz 4 inci. Ketepikan. Dalam mangkuk pengadun yang bersih dan kering, masukkan putih telur, putar hingga berbuih dan masukkan gula kastor sedikit demi sedikit hingga habis. Putar hingga kental.
  2. Masukkan cuka makan dan putar sebati. Ayak tepung jagung dan gaul dengan spatula hingga rata. Masukkan adunan ke dalam piping beg yang dipasang nozel bentuk bintang saiz besar. Paipkan bentuk bulatan dalam paper cup tadi. Buat hingga semua siap.
  3. Masukkan dalam oven dan turunkan suhu pada 130C, bakar selama 1 jam 25 minit. Kemudian matikan suis oven. Renggangkan sedikit pintu oven dan biarkan povlova sejuk secara semulajadi. 
  4. Bila sejuk, paipkan dengan krim dan tabur buah2an atasnya, boleh hidangkan atau simpan dalam peti sejuk sementara waktu hidangan....

TUMIS PEDAS CENDAWAN KUKUR @ KULAT SISIR..

Assalammualaikum, salam Selasa. Menu apa tengah hari tadi? Che mat kurang masak hari ni, tapi masak juga...masak nasi, masak air dan masak 'sesuatu'. Pagi tadi bonda plan nak tumis pedas cendawan terkukur yang kami kutip tempoh hari (che mat dan abang long che mat). Dan bonda kata biar dia yang masak (wahhh....bess....saya suka...saya suka..hehe). Cendawan terkukur agak payah nak jumpa sekarang ni dan banyak tumbuh dipokok2 getah tumbang itu pun nasib2, kalau pokok getah tumbang yang dah lama sangat, cendawan taknak tumbuh, aga cerewet juga. Selain dipokok getah ada juga tumbuh di batang pokok kelapa tapi yang dipokok getan rasanya lebih sedap dan baunya lagi harum bila dimasak. Untuk resipi ini bonda che mat guna kurang lebih 2 cawan cendawan terkukur yang telah dikeringkan. Kemudian direndam hingga kembang dan dibersihkan. Selain masak seperti ini, ia juga amat2 sedap dimasak lemak cili padi sama pisang muda dan tulang ikan masih....meleleh air liur guaaa...grrrr...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan cendawan terkukur @ kulat sisir yang kering, direndam hingga kembang
15 - 20 biji cili padi hijau, hiris halus
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 genggam ikan bilis kembong, dibersihkan dan direndam
1 inci belacan, dilarutkan dengan 1/4 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Secubit serbuk perasa

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Cendawan dicuci kemudian perah hingga kering. Tumbuk sedikit tapi jangan sampai hancur, hanya dimemar2kan sahaja (atau tumbuk2 manja....errrr....tau tumbuk2 manja tu macam mana?..tumbuk selow2 leerrr....grrrrrr)...Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi hijau yang dihiris hingga harum dan bawang layu. Masukkan ikan bilis kembong (toskan airnya), kacau dan tambah bancuhan belacan. Kacau rata dan masak sekejap. 
  3. Masukkan cendawan terkukur dan gaul rata. Tuang sedikit air dan masak hingga cendawan da ikan bilis kembong lembut. Tambah garam secukup rasa, sedikit gula dan serbuk perasa (jika suka). Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi dan ikan goreng.....boleh pengsannn!!!...
CATATAN MAT GEBU :- Cili padi anda boleh ganti dengan cili hijau biasa atau boleh gabungkan cilu padi dengan cili hijau. Banyak mana cili yang anda guna bergantung pada tahap kepedasan, boleh dikurang atau dilebihkan. Kalau masukkan sebatang serai dalam masakan ini pun boleh, ketuk2 sedikit dan masukkan masa anda menumis bawang tadi.... Selamat mencuba..

Monday, October 28, 2013

BILA BLOGGER 'MUDA' BERTEMU CHE MAT GEBU..

Assalammualaikum...entri penghargaan ini che mat tulis sebagai ucapan terima kasih pada blogger2 muda yang sudi datang ke pondok che mat di Sedenak semalam. Ada yang che mat pernah jumpa (mereka pernah datang) dan ada yang pertama kali che mat jumpa secara 'hidup' walaupun sebelum ini kerap kali bertegur sapa di FB atau pun IG. Gambar atas tu sebagai lokasi wajib blogger bergambar dan antara mereka ialah Shawn Razaleigh (budak kaca mata), Mawardi Yunus (klasiknyaa namaa!!), Syahir (tauke besar nih)..dan yang duduk, Mieza (tudung hitam), Qaseh (yang pegang tiffinbiru) dan Iffah (pose nampak gigi..terasa che mat)...mereka ni blogger2 muda yang banyak idea...errrrr...apa eks idea tuu?...hadoi tak ingat dahh...

Dan...bila dah datang dari jauh2 tu takkan lah takde sesi makan2 yea tak. Che mat masak yang biasa2 aje, dan serius cakap ni, che mat bukan lah pandai sangat masak, setakat masak biasa2 insha Allah lah, kalau nak sama macam hotel, memang takde lah, sebab che mat dok kampung aje..pendalaman pulak tuu. Hidangan yang amat2 simple..Gulai ikan tongkol, sambal sotong tin, ayam masak semur, sayur campur goreng sama daging..lepas tu ada lah kek coklat kukus lapis cheese yang dimakan bersama ais krim vanilla (seperti entri sebelum ni), popia dan pavlova (yang tu esok eks entri dia)...simple2 saja...

Ohh yea dalam masa sama yang menjadi bahan untuk bergambar dah tentu "diri" tuan punya blog tiffinbiru itu sendiri...ehh bukan che mat yea..tapi tu ha yang Mieza dan Qaseh pegang tu, habis ter'noda' dah..haha. Pada mereka2 semua che mat ucapkan terima kasih amat sangat. Bersusah payah datang dari jauh...errr..dari Putrajaya kan?...Maklumlah dah tua, tak berapa nak ingat...Jika ada terkasar bahasa atau terlanjur kata. pcm mintak maaf.....ada yang datang meninggalkan jejak...ada yang datang bertanya khabar dan ada yang datang meninggalkan kenangan.....Terima kasih....

KEK COKLAT KUKUS LAPIS CHEESE SAMA AIS KRIM...

rsz_kek_coklat_seksi
Salam semua....kadang kek biasa akan nampak luar biasa bila diberi sedikit sentuhan dan kemudian dipotretkan dalam foto. Itu lumrah dalam dunia blog masak2, lihat saja blog2 masakan sekitar dunia cyber, semua punya gaya dan style fotografi masing2 yang meletakkan indentiti mereka dari cara mereka mengambil gambar. Ok, entri kali ni che mat letak entri kek coklat kukus lapis cheese yang kerap che mat buat. Selain mudah dan cepat disediakan, ia juga sedap dan bila dimakan bersama ais krim vanilla, kesedapannya jadi berganda. Kek ini che mat bikin untuk menjamu tetamu2 blogger muda yang datang ke pondok che mat semalam. Pertama kali che mat makan dulu bila Kak Yatie Memories bawak datang ke rumah che mat...dan memang sedap rasanya. Buat pun mudah...Rasa che mat tak yah nak bercerita banyak pasal kek ni sebab dah ramai yang pernah buat dan rasa.  Bagi yang ingin mencuba che mat tulis resipi dia sekali lagi...

BAHAN-BAHAN KEK COKLAT :-)
2 biji telur gred A
1 cawan gula halus
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam
1/2 cawan air panas
1/2 cawan susu cair (che mat guna susu IDEAL)
1/2 cawan minyak jagung
1 cawan tepung gandum*
3 camca besar serbuk koko*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan di ayak)

BAHAN-BAHAN LAPIS CHEESE :-)
250 gram krim cheese
60 gram gula halus
1 biji telur gred A
1 camca besar air
1 camca besar tepung gandum

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyal. lenser juga kertas tadi. Ketepikan..
  2. UNTUK KEK COKLAT :- Putar telur dan gula hingga kembang dan pekat, masukkan esen vanilla dan garam, putar rata. Tambah susu cair, minyak jagung dan air panas, putar sebati dengan kelajuan sederhana. Masukkan bahan2 yang diayak sedikit demi sedikit hingga habis, putra rata dan matikan mixer. Bagi kepada 2 bahagian sama banyak. Ketepikan.
  3. UNTUK LAPISAN KEJU :- Putar krim cheese dan gula hingga sebati dan licin. Masukkan telur dan putar hingga kembang. Tambah tepung dan air, putar hingga semua sebati dan tidak berbintil2.
  4. UNTUK KEK COKLAT KUKUS LAPIS CHEESE :- Tuang satu bahagian kek coklat. Ratakan dan tutup permukaan tin dengan aluminium foil. Kukus selama 20 minit, guna api sederhana. Kemudian tuang pula adunan krim cheese, ratakan dan sambung kukus 20 minit lagi. Tuang baki bahagian kek coklat ratakan dan sambung kukus selama 45 minit atau hingga masak (bila anda cucuk dengan lidi sate atau cake tester di bahagian tengah kek dan keluarnya bersih, tanda kek dah masak).
  5. Sejukkan kek sekejap, kemudian boleh keluarkan dari tin. Biar kek sejuk sepenuhnya atas jaringan dan boleh dipotong untuk dihidangkan bersama air krim vanilla.....ehemmm...

NASI GORENG TELUR ASIN...

rsz_nsi_goreng_telo_asin
Beberapa hari lepas che mat goreng nasi, dan seperti biasa gambarnya telah che mat upkan di InstaGram terlebih dahulu memandangkan nasi goreng satu resipi yang amat mudah dan popular di Malaysia maka hari ni che mat letakkan ia sebagai entri blog pulak. Sebenarnya ia bukan satu resipi yang sukar disediakankan. Semua orang boleh buat dan anda tidak terikat dengan bahan2..Nak letak udang, daging, sotong dan sebagainya, semua boleh. Dan kalau anda malas nak masak tengah hari, tak salah bikin nasi goreng. Senang dan ada masa lebih menyelerakan. Boleh ikut citarasa sendiri, suka pedas boleh tambah cili atau guna cili padi kalau tak suka pedas bila kurangkan cili. Jadi kalau tengah hari ni anda blurr...boring nak masak lauk pauk yang beraneka dan sebagainya..apa kata kita goreng saja nasi...errrr...nampak malas sangat eks...hehe takpe sekali sekala...yea tak surirumah bukan robot yang sentiasa diberi arahan, mereka manusia biasa juga...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan nasi sejuk, dileraikan 
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
1 biji telur asin, dicincang halus
1 biji bawang besar, hiris
1 pokok kecil sawi putih, disiang berasingan daun dan tangkainya
2 biji cili merah*
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan*
2 ulas bawang putih*(*ditumbuk halus)
1 biji telur, dipukul sedikit
Sos ikan secukup rasa (jika perlu)
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
Hirisan cili merah untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, goreng ikan bilis hingga garing, ketepikan. Masukkan bahan tumbuk halus dan tumis hingga harum. Masukkan bawang besar, kacau rata dan gaul dengan ikan bilis goreng. 
  2. Masukkan telur asin yang dicincang halus dan batang sawi, gaul ata dan tambah nasi sejuk, kacau dan masak sekejap. Tolak nasi ke tepi kuali, masukkan telur, jika perlu masukkan sedikit minyak. Bila telur kental, kacau dan gaul rata dengan nasi.
  3. Tambah daun sawi, gaul dan masak sekejap, rasa jika kurang masin boleh tambah sedikit sos ikan secukup rasa (che mat tak letak). Tabur hirisan daun bawang, bawang goreng dan hirisan cili merah sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas sama petai jeruk...ehemm...

Friday, October 25, 2013

PACERI TERUNG GAYA PERANAKAN

rsz_paceri_terung__ala_nyonya
Assalammualaikum, salam Jumaat yang mulia. Alhamdulillah, sejak2 sihat ni rasa macam ketat aje..hahaha. haipp jangan korner...ketat di sini che mat masukkan, ialah jadual waktu...errr...jadual waktu bikin sendiri bukan orang kasi bikin kan. Semalam memang che mat plan nak masak paceri terung tapi sebab awal pagi dah ke JB (errr..kalau tak sebab abang che mat nak singgah kedai baking...takdenya nak ngikut...grrrrr). Jadi kenalah postpone plan nak masak paceri terung ke hari ini. Che mat masak cepat memandangkan ni hari kan Jumaat. Paceri kali ni ada sedikit pengaruh peranakan baba nyonya. Dan tak pedas...errr paceri memang tak pedas kan?...Bak memang suka makan paceri terung, maklumlah orang Johor, dah lah Johor, Pontian mari pulak...Masaknya tidak lah susah mana cuma perlu sedikit perhatian agak terung yang anda masak tidak terlalu lembut atau keras (tapi kan terung zaman sekarang ni tak sama macam dulu punya tau, ada tu sudah masak lama pun tetap keras jelatu atau ganyut...hmmm). Jenis terung ikut suka anda, che mat guna terung pepel, kalau anda nak guna terung bulat atau terung bujur pun boleh....Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 - 6 biji terung ungu saiz sederhana (ikut saiz terung yang anda guna)
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
1 camca besar penuh kerisik
100 ml pati santan (che mat guna santan kotak)
2 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Secubit belacan
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
2 keping hirisan lengkuas

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun kari, dilurut

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dibelah 2 setiap 1, kemudian kerat 2 setiap belahan dan dibelah lagi tapi tak putus (bergantung pada jenis, saiz dan bentuk terung yang anda gunakan). Rendam dalam air. Cili hijau dan merah dibelah 2 tapi tak putus setiap 1, rendam dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3/4 cawan), masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Satukan bahan2 kisar halus sama rempah kari, kacau dan rata dan masukkan ke dalam kuali, kacau dan masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tuang air dan masukkan pati santan. Tambah asam gelugor, kerisik, gula melaka dan sedikit garam. Kacau dan masak hingga kuah pekat sedikit. Masukkan terung dan cili hijau/merah (toskan), gaul rata dan masak hingga pekat dan kering sedikit, guna api kecil dan kacau perlahan.
  4. Rasa dan jika perlu tambah gula dan garam secukupnya (kebiasaan paceri agak manis, tapi ini terpulang pada citarasa anda). Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau nasi2 berperisa...Selamat mencuba!!


Thursday, October 24, 2013

OLD - FASHIONED PANCAKE...

rsz_old_fashion_pancake (1)
Assalammualaikum, apa khabar anda2 semua...che mat doakan agar anda sihat sejahtera. Dan alhamdulillah che mat dah ok, dah baik demam, dah boleh ganas2....GRRRRR...haa tuu dia teruihh jadi garang. Pagi tadi tak sempat nak masukkan entri pancake sebab ada urusan yang harus dibereskan...errr..duduk rumah ala2 suri rumah tangga pun ada urusan keeeew?....Soalan2 pelik yang orang selalu tanya. Habis tu ingat dok rumah tak boleh nak ada urusan lah yea, macam dia ni dok rumah tau, tapi urusan, padat...nko mampu?...Sila betulkan corak pemikiran anda agar lebih terbuka yea..Ok, cerita pancake pulak. Pancake ni che mat buat setelah melihat Kak Ida 1001 Resipi post gambar pancake di InstaGram dia...tergoda okehh!!. Seperti biasa che mat buat pancake yang mudah aje, yang tak perlu banyak bahan tapi yang pasti bukan pancake instat kotak mari punya (tapi apa salahnya kalau anda nak guna instant punya....tak dosa punn). Resipi che mat pernah tulis dalam entri lepas di blog ini. Tapi takpe, sebab che mat dah sehat, dah rajin dan dah garangg....grrr...maka che mat akan tulis sekali lagi....Dan sedia?..Ok jommm....((psttt InstaGram che mat di sini..))

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung gandum*
2 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
1 biji telur gred A
1 cawan susu segar (che mat guna susu rendah lemak)
2 camca besar gula kastor
2 camca besar penuh mentega, cair dan sejukkan
1/4 camca teh garam
1/2 camca teh esen vanilla
Jam Strawberry, mentega dan madu untuk dimakan bersama pancake

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder, gula halus dan garam. Kacau rata. Buat lubang di tengah2 tepung dan masukkan telur, kacau perlahan dengan whisk, kemudian tuang susu segar sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga susu habis dan adunan sebati. Tuang mentega cair dan esen vanilla. Kacau rata hingga licin dan tidak berbintil2. Rehatkan 10 minit.
  2. Panaskan non-stick pan, lenser dengan sedikit minyak (che mat celop kitchen paper towel bersih ke dalam sedikit minyak jagung, kemudian lenser atas non-stick pan). Cedok 1/4 cawan adunan pancake dan tuang di tengah2 pan tadi. Biar adunan merebak sendiri. Masak dengan api kecil hingga permukaan pancake berlubang2 dan kelihatan pucat. Terbalikkan dan masak sekejap lagi dan angkat. Buat kaedah sama untuk baki adunan tadi...
  3. Hidangkan bersama mentega, strawberry jam atau madu. Untuk resipi ini akan menghasilkan kurang lebih 8 keping pancake bersaiz comel....Selamat mencuba!!..


Wednesday, October 23, 2013

PENYELAMAT DI WAKTU DEMAM.....

rsz_megi1
Salam semua, hari ni che mat tak boleh nak makan nasi, rasa tak boleh nak masuk, nampak nasi tu satu objek yang amat2 tak sedap...grrrrr...ni semua gara2 demam yang melanda che mat malam semalam. Dan pagi tadi kena juga masak dalam keadaan terpaksa, tapi kan satu benda pun tak boleh nak diterima tekak, tak sedap, rasa payau. Petang tadi korek2 dalam pantry ada megi kari..hmmm kalau megi insha Allah sedap kot. Dan che mat nak buat masam2 sikit. Alhamdulillah bess, sebab rasa masam tu yang buat tekak ni ok, takde rasa nak terkeluar balik....errrr dah macam pembawak budak pulak si mat tu. Mula2 che mat malas nak letak entri megi ni, maklumlah mi segera dijadikan entri blog masak2, macam tak 'kelas' aje. Tapi takpe, blog masak2 pun kira macam blog aktiviti harian dan apa yang che mat masak, che mat akan share kat sini waima telur mata kerbau curah kicap sekali pun. Bukan syok sendiri, tapi atas permintaan...takpe lah kan..selagi ada permintaan yang simple pun ok aje sebagai pengisian blog, yang penting ia hasil dari tangan sendiri dan bukan ambik dari mana2 blog orang lain....sekian terima kasih...perghh...berpinau mata nak ngabiskan tulisan ni....Ok, che mat masak macam ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 bungkus maggi perisan kari (asingkan perencahnya)
1 camca besar sambal tumis
1 biji telur
1 ekor udang saiz besar
1 keping fishcake, hiris
2 pelepah sawi putih, hiris berasingan
2 kuntu cendawan butang, hiris
2 camca besar santan
2 biji limau kasturi, perah jusnya
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, cincang halus
3 cawan air (atau secukupnya)
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Celur mi maggi hingga lembut, kemudian masukkan ke dalam mangkuk sesuai. Ketepikan. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 1 camca besar), tumis bawang merah dan putih hingga harum, masukkan sambal tumis dan perencah kari, kacau rata dan tuang air. Kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan telur dan perlahankan api, biar hingga telur mengeras. Masukkan batang sawi, fishcake dan udang. Biar masak sekejap. Masukkan santan dan jus limau kasturi. Kacau rata dan tambah daun sawi (kalau kurang kuah, boleh tambah sedikit air panas). Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. Tuang kuah tadi dalam mangkuk berisi mi. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng. Kalau suka boleh juga tabur hirisan cili merah. Hidangkan segera, sedap dimakan panas.


Tuesday, October 22, 2013

DAGING RAWON UNTUK KALI KE DUA....

rsz_rawon_daging
Assalammualaikum, salam Selasa....entri pertama che mat hari ni ialah....ialah...daging rawon. Apa tu daging rawon?...Kalau anda pembaca setia blog DTS, pasti anda ingat che mat pernah masak sekali daging rawon di sini. Memandangkan raya korban lepas che mat ada dapat daging korban, maka hari ni che mat lagi sekali telah me rawon kan daging tadi menjadi hidangan daging rawon macam dala gambar di atas. Bila masak rawon, anda disarankan guna daging yang sedikit berlemak. Tapi ini terpulang, macam che mat sendiri guna daging pejal. Buah keluak bahan wajib ada kalau tidak, bukan rawon namanya. Buah keluak perlu dicuci dan rendam, kemudian diketuk dan korek isinya keluar. Isi buah keluak bewarna coklat kehitaman, bau seakan2 bau tempe dan rasanya lemak..

rsz_rawon_daging1
Masakan yang berasal dari Indonesia ini agak popular di Singapura dan Johor Bahru, namun bukan semua biasa makan memandangkan buah keluak itu sendiri bukan ada jual di banyak tempat. Di Johor Bahru pun baru2 ni saja ada jual di pasar yang biasa che mat pergi (Kipt Mart), kalau tak dulu, sebut nama buah keluak pun mereka agak pelik dan tatau apa kejadahnya buah keluak tu. Biasalah benda kurang permintaan, siapa nak jual yea tak...Rasa masakan rawon ini agak unik dan sedap pada tekak che mat. Makan dengan nasi panas yang dimasak lembut sedikit, paling ngam sekali, dengan bau haruman daun limau purut, serai dan daun salam. Sekali imbas rupa masakan rawon ni macam masak semur atau masak kicap...

rsz_rawon_daging3rsz_rawon_daging2
...kebiasaan yang che mat nampak, bila hidangkan masakan rawon, sambal belacan antara yang wajib ada selain tempe dan tauhu yang digoreng. Mungkin anda juga boleh hidangkan sekali dengan ulam timun dan sebagainya. Kadang2 kita ragu2 nak mencuba sesuatu yang baru terutama resipi yang nampak aneh dan pelik. Che mat pun macam tu juga, tapi bila dah cuba alhamdulillah ia boleh masuk dalam citarasa kami...insha Allah kalau anda buat, anda juga akan rasa keunikkan masakan rawon ini yang pasti buat anda terkenang2......Dan sebelum kita lihat resipi, singgah dulu sini untuk menambah idea memasak anda (resipi sama macam dulu juga)....Jommmm!!!

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 gram daging (guna yang sedikit berlemak)
3 batang serai, dititik
4 biji bawang merah, hiris
2 helai daun salam (cm ganti dengan 'bay leaf')
5 helai daun limau purut
1/3 cawan santan (opional)
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji cili merah
1 camca teh lada hitam biji
6 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
3/4 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1 camca teh pes asam jawa
Isi dari 5 biji buah keluak (rendam dengan 1/2 cawan air panas)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah dan serai hingga harum, masukkan bahan kisar halus dan tumis hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan daging, gaul rata dan masak hingga daging kecut.
  2. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Tambah daun limau purut dan daun salam. Kacau dan renihkan hingga daging empuk, tambah air panas jika perlu. Bila daging empuk, masukkan santan. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan..
CATATAN MAT GEBU :- Ada pelbagai cara memasaknya, ada yang rebus dulu daging hingga lembut, kemudian baru dimasak rawon, cm masak guna periuk tekanan dan mengambil masak kurang lebih 25 minit. Kuah rawon memang hitam, hasil dari isi buah keluak yang dikisar bersama bahan2 rempah ratus. Buah keluak cm cuci dan rendam semalaman. Kemudian ketuk dan korek keluar isinya....Selamat mencuba!!..

Monday, October 21, 2013

SANDWICH SARDINE AJE...ANDA PULAK?...

rsz_sandwich_sardine
Kadang2 mood masak ke laut....kadang2 ke bukit. Kalau masa ke bukit, toksah cerita, rajin melampau sangat sampai lupa diri. Haha..jangan caya lah che mat memain aje. Petang tadi mula lah dah malas nak buat apa, dan tadi tengah hari che mat ada masak sardine, alah masak biasa2 aje, selain asam pedas yang dalam entri sebelum ni, maka ku buat sandwich sudah lah...senang cerita. Kali ni che mat guna roti yang nampak menarik, dari Gardenia..alaa lupa pulak apa ntah nama roti tu, dia seakan2 loaf bread tapi ada bijan putih dan hitan serta biji bunga matahari, makan macam tu pun ok, sedap..kalau dijadikan roti sandwich..lagi sedap!...Sandwich satu makanan yang boleh dikatakan seimbang sebab ada sayur2 dan sebagainya. Che mat letak keju dan tak letak apa2 sos lagi, cuma sardine tu saja...ehh tapi roti tu che mat oles dengan sedikit majerin sebelum disusun bahan2 isiannya. Ringkas, cepat dan mudah...dan yang paling utama, sedap...errr sedap?...Iyea, nanti anda cuba buat sendiri ok....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping roti sandwich (atau apa2 roti pilihan anda)
2 keping keju chessedale
Secukupnya ikan sardine yang dilecek hancur
Hirisan timun secukupnya
Hirisan tomato secukupnya
Hirisan bawang besar secukupnya
Daun salad secukupnya
Sedikit majerin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sapu sedikit majerin pada satu bahagian roti, susun daun salad, letak sekeping keju dan sudukan sardine yang telah dihancurkan tadi, ratakan. Susun hirisan timun secukupnya (bergantung pada bentuk roti, kalau roti sandwich biasa tu dalam 4 keping), kemudian sedikit hirisan bawang besar dan tomato. Ambil sekeping lagi roti, sapu majerin dan tepekkan atas sandwich tadi. Kemaskan.
  2. Buat kaedah sama untuk baki bahan2. Boleh hidangkan, yang ini terpulang samada anda nak kerat dua atau tidak dan satu lagi kalau anda nak paipkan mayonnaise atau apa2 sos kegemaran andam jua boleh.. Sesuai dihidangkan untuk sarapan atau bila2 masa yang sesuai...
CATATAN MAT GEBU :- Untuk sardin tu che mat goreng seperti biasa, tumis hirisan bawang putih, bawang besar, halia, hirisan cili merah dan hijau hingga layu. Masukkan sardine dan sosnya sekali. Tambah garam secukup rasa dan perah jus limau kasturi. Masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api....Senang aje, semua orang boleh buat...selamat mencuba!!

BILA CHE MAT RINDU ASAM PEDAS

rsz_asam_pedas_sama_belimbing
Assalammualaikum, salam Isnin...hari ni che mat masak asam pedas, menu yang begitu sinonim dengan blog ini. Entah kenapa sejak 3 hari lepas che mat rindu dengan masakan asam pedas. Dan hari ini che mat masak asam pedas ikan sagai. Dan sebab belimbing sedang galak berbuah, che mat masukkan sekali dalam asam pedas kurang lebih 20 biji. Belimbing yang che mat guna ini jenis belimbing buluh hijau. Seperti anda sedia maklum, belimbing buluh ada 2 jenis satu yang hijau dan satu yang kuning. Che mat lebih suka guna yang hijau. Belimbing buluh dibelah 2 tapi tak putus, dengan cara ini belimbing akan kurang rasa masamnya. Kalau takde belimbing boleh letak, terung, kacang bendi, tomato atau terung, ikut selera anda. Satu lagi kan che mat perhatikan asam pedas lebih enak jika kita guna cili yang baru dikisar berbanding cili yang dah kisar 1 atau 2 hari lebih awal. Ini antara satu masakan 'asas' yang anda perlu tau masak...tapi tidaklah paksa, cuma pendapat che mat saja. Ok, kita semak resipi pulak..dah bersedia?... Resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping potongan ikan sagai (atau apa2 ikan pilihan anda)
20 biji belimbing buluh
2 batang serai, dititik
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1/2 camca besar pes asam jawa
1 1/2 senduk nasi cili kisar
1 camca teh ada hitam kisar
1 kiub pati ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dicuci bersih dan ditoskan. Belimbing buluh dicuci, kemudian belah 2 tapi tak putus untuk setiap 1. Ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis serai hingga harum, masukkan bahan kisar halus dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 800ml). Kacau dan bila mendidih, masukkan kiub ikan bilis (jika guna), bunga kantan dan ikan. Kacau perlahan dan biar hingga ikan masak..(kalau kurang kuah, tambah sedikit lagi air).
  3. Masukkan belimbing buluh. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masukkan juga lada hitam kisar. Kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain...

Sunday, October 20, 2013

GULAI DAGING SALAI SAMA BELIMBING BULUH...

rsz_gulai_daging_salai1
Salam Ahad semua, assalammualaikum. Dah makan tengah hari?...Mesti masak yang bess, betul tak?...Nak2 masa hujung minggu macam ni. Tapi ada juga yang ambil peluang keluar besantai bersama keluarga, makan2 atau menziarah teman2. Tak kesahlah asal ia mendatangkan kebahagian pada anda sekeluarga. Hari ni che mat share satu resipi mudah tapi sedap...ehemm. Menu ini boleh dikatakan agak tradisi dan menjadi kegemaran bonda. Daging salai yang che mat guna atas pemberian sedara che mat. Tapi kalau anda nak buat sendiri pun boleh, kan kita baru saja merayaka hari raya korban dan pasti anda dapat daging fresh. Daging tadi anda boleh salai dan kalau dapat guna daging batang pinang. Ada yang che mat dengar cara menyalai daging ia tidak perlu dicuci, cukup dibersihkan. Tapi kalau che mat, hmmm cuci dulu dan lumur dengan sedikit sebuk kunyit dan garam, baru disalai. Dan untuk mendapat rasa asli, anda kena salai guna bara api baru aromanya lebih terasa. Pelbagai kaedah memasak daging salai, dan paling biasa ialah dimasak lemak cili padi sama rebung, belimbing, buah bacang muda dan pelbagai lagi. Ok, che mat tulis resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram daging yang telah siap disalai, hiris nipis
15 - 20 biji belimbing buluh, belah 2 tapi tak putus setiap 1
3 batang serai dititik
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung warna hijau
1 inci kunyit hidup
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan daging salai yang telah dihiris ke dalam periuk bersama serai titik dan bahan kisar halus. Gaul rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih dan daging lembut. Masukkan asam geluor dan masak sekejap.
  2. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan tambah belimbing buluh. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matika api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..

Friday, October 18, 2013

ASYIK...ASYIK KUE TEOW GORENG....

rsz_kue_teow_pening
Asyik2 kue teow goreng, boring juga kan...tapi che mat tak boring punnnn... Kan che mat tak masak hari ni sebab pagi tadi kakak sedara che mat dengan murah hatinya bawakkan nasi ambeng serta apam dan karipap...Alhamdulillah...cuti masak sekejap pagi tadi. Dan petang pulak, mulalah macam terlapar, oleh sebab kat rumah che mat ada yang suka makan kue teow (che mat lerr tuu), ada yang tak suka, ada yang tak boleh makan udang, kerang dan ada yang boleh (che mat juga), maka che mat goreng untuk sorang makan aje. Agak cepat dimasak dan tak perlu terlampau banyak bahan. Tapikan kali ni che mat campur 1 camca teh petis dan hasilnya...ohh heaven you!!...sedap!!..(errr...terpuji pulokk..hehe jangan marah atau sakit hati okeh). Benda senang macam ni semua orang boleh buat. Dan sukatan kue teow tu che mat agak2 aje, kurang lebih sekali cekut dengan tangan. Kalau suka pedas boleh lebihkan cili (atau che mat guna sambal tumis). Amacam, rasa boleh buat kan?...Senang ajee...meh sini che mat kasi resipi, nanti boleh cuba...ini hidangan untuk seorang....Untuk blogger dan bukan blogger sila baca entri ini....hmmmm

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 mangkuk kue teow (mangkuk berisipadu 500 ml)
1 genggam taugeh, cuci dan toskan
15 tangkai kucai, kerat pendek
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 genggam isi kerang
7-8 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1 biji telur, kacau sedikit
1 camca teh petis (otak udang)
1 camca teh kicap pekat (JALEN)
1 1/2 camca besar sambal tumis
Sos ikan secukup rasa
Cili hijau jeruk, untuk dimakan bersama kue teow

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang putih hingga harum, masukkan samba tumis dan petis, kacau rata, masak guna api kecil. Tambah udang dan kerang, kacau rata dan masukkan kicap pekat. Gaul rata.
  2. Masukkan kue teow, gaul hingga semua rata. Tolak kue teow ke tepi kuali. Masukkan telur dan kacau sedikit hingga kental. Kemudian gaul dengan kue teow tadi. Perasakan dengan sos ikan secukup rasa.
  3. Masukkan taugeh dan kucai, gaul rata dan masak dengan api besar. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama cili hijau jeruk.....Selamat menjamu selera...


RENDANG DAGING KLASIK BUAH KELUAK...

rsz_rendang_klasik_buah_keluak
Assalammualaikum, salam semua. Macam mana raya korban anda...ada bagus?.. Alhamdulillah moga semuanya diberkati Allah swt. Ok, che mat nak share satu entri rendang yang agak klasik. Che mat masak malam raya haji lepas. Rendang daging ni che mat sediakan agak ringkas dan masa penyediaannya che mat short cut kan, kira ni rendang express...macam mana tu?..Hmm che mat masak guna periuk tekanan atau pressure cooker dalam bahaga henggerisnya. Tak lama, kurang lebih 20 minit dah empuk dan anda alihkan ke dalam kuali, keringkan seperti rendang biasa...dahh siap. Tapi kalau anda guna daging batang pinang, tak perlulah guna periuk tekanan. Ok, berbalik dengan resipi rendang yang agak unik ini, che mat pernah lihat resipi rendang klasik di satu saluran TV Singapura dan antara bahan2nya 'buah keluak'....macam bes aje dan maka sempena Aidil Adha tu hari, che mat melakukan eksperimentasi (sebab resipi che mat tak salin ) dan hasilnya...sedap dan rendang jadi agak gelap sikit, tapi tetap berseri bila dimakan bersama ketupat. Ini salah satu variasi rendang yang che mat rasa agak unik. Kalau anda tak de buah keluak, takpe, tak perlu letak, jangan susah hati.....dan che mat nak anda baca entri ini...dan apa pendapat anda?....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.5 kg daging lembu, dipotong kiub pada saiz sederhana, cuci dan toskan
4 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit hiris halus
2 keping asam gelugor
1/2 senduk nasi, cili kisar
2 liter santan pekat
2 camca besar kerisik
1 camca besar gula melaka
3 camca besar rempah kari Baba's
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras
25 biji cili padi (boleh kurangkan)
4 biji buah keluak, ambil isinya

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh bahan kisar halus dan juga rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes (warnanya sedikit gelap kerana ada buah keluak). Panaskan minyak dalam kuali, masukkan 1 cawan minyak. Masukkan bahan tumisan dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukkan pes rempah dan kacau rata. Masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan daging, gaul rata dan biar hingga daging kecut. Tuang santan, kacau dan masak hingga pekat. Tambah garam secukupnya, masukkan daun limau purut, kerisik dan asam gelugor. Kacau rata dan jika daging belum empuk, boleh tambah sedikit air panas.
  3. Tambah gula melaka dan hirisan daun kunyit. Kacau dan masak hingga rendang kering tapi masih lembap. Rasa dan jika ok boleh matika api. Simpan dalam bekas bersih dan pastikan bila rendang dah betul2 sejuk baru tutup bekas tadi....Sedap dimakan bersama ketupat, lemang dan sebagainya....

Thursday, October 17, 2013

PAU SAMBAL MENGIMBAU KENANGAN...

rsz_pau_sambal
Assalammualaikum, salam semua. Che mat frust lah hari ni, ada projek yang gagal...fail!!...grrrr, huhu macam tu lah adat resam bila melakukan R n D, ada masa berjaya, ada masa lingkup. Redha aje lah, dan atas sebab kekecewaan tu che mat buat pau sambal atau burger Malaysia atau kuih batu belah. Bila che mat buat pau sambal ni, ada banyak kenangan...tak sangka dengan resipi pau sambal boleh menjalinkan hubungan persahabatan yang boleh dikatakan agak akrab....memang betul kata cerdik pandai, makanan pengerat kasih sayang, mengembalikan kenangan dan nostalgia. Che mat masih guna resipi yang sama dan dengan resipi ini juga anda boleh buat donat. Satu adunan menghasilkan 10 biji pau sambal bersaiz sederhana, tidak terlampau kecil atau besar. Tapi kalau anda berhajat nak buat yang comel2 dan kecil2, boleh bagi lagi doh tadi ke beberapa bahagian. Pau sambal che mat kali ni nampak mewah, selain ada salad, timun dan sambal tumis, che mat selitkan juga potongan keju chessdale, ini semua terpulang pada anda samada nak letak atau tidak. Ianya memang mudah disediakan dan sesuai untuk sarapan atau pun minum petang...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 camca besar gula halus
2 camca besar susu tepung
1 1/2 camca besar lemak sayur (shortening)
1/4 camca teh garam halus
1 1/4 camca teh instant yeast (mauripan)
120 ml air suam
Sambal tumis secukupnya
Hirisan timun secukupnya (10 keping)
Kepingan keju (che mat guna cisdale sekeping potong 4)
Sedikit daun salad (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh instat yeast bersama 50 ml air suam dan 1/2 camca besar gula halus (dari resipi yang sama). Kacau rata dan ketepikan sekejap hingga bancuahn berbuih2. Sementara itu masukkan tepung baki gula, susu tepung, lemak sayur dan garam ke dalam mangkuk adunan. Kacau rata.
  2. Tuang bancuhan yeast dan gaul hingga sebati. Tuang baki air sedikit demi sedikit sambil terus menguli hingga menjadi doh yang tidak melekat dimangkuk adunan, tak perlukan habiskan air jika doh telah ok.
  3. Kemudian bahagi kepada 10 bahagian sama besar, bulat2kan dan susun dalam loyang yang telah ditabur sedikit tepung, tekan biar leper sedikit. Perap 35 - 45 minit atau hingga kembang.
  4. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan pada seluruh bahagian pau, angkat dan toskan. Biar sejuk, belah 2 dan sapu dengan sedikit sambal tumis, letak sekeping hirisan timun, sekeping potongan keju dan selitkan sedikit daun salad, jika suka. Hidangkan untuk sarapan atau minum petang....

Wednesday, October 16, 2013

PELIK KERRR LELAKI JADI SURI RUMAH?...

Salam, nak story sikit lah, pada pendapat anda...pelik sangat ke orang lelaki jadi suri rumah?....Suri rumah kat sini bukan lah che mat maksudkan yang duduk goyang kaki atau goyang segala benda yang boleh digoyang. Tapi yang punya hasil sendiri. Tau tak, lelaki yang jadi suri rumah ni kira satu pengorbanan juga...dan dalam masa yang sama mereka boleh merasai apa yang suri rumah "tulen" rasai, walaupun tidak lah 100%... Pstt yang che mat sibuk2 tu pesal, dah blog masak2 buat aje lah blog masak2, ni tak...Bukan macam tu, che mat pun mana ada kerja luar, ada juga yang pelik dan bertanya dengan soalan2 yang seksi dan mengiurkan sangat sampai segan ai nak jawab terutama dari segi kewangan. 

Contohnya macam jiran che mat tu, dia bukan lah suri rumah yang 'suri rumah' tapi dia punya pendapatan sendiri.. Namun tetap ada yang heran dan pelik. Tapi tak boleh nak kata apa lah kan, anggapan orang sekeliling memang kita tak boleh nak pertikaikan.....biasalah dah jadi amalan turun menurun masyarakat Malaysia, bila orang nampak releks, tanya...nampak susah, tanya...nampak kaya, tanya....nampak macam2 pun tanya juga.....sampai dah takde benda nak tanya lagi...baru lah tutup mulut...

Tidak dinafikan ada juga suami yang menjadi suri rumah jenis tak bertanggungjawab, takde hasil, lepas tu mencekik hasil isteri, bila suruh kerja..alasan macam2, termasuk lah kata 'tulang dah reput'. Yang tu memang tidak digalakkan lah. Benda2 macam ni perlukan penjelasan agar orang lain faham dan tidak memandang serong pada lelaki yang bergelar suri rumah walaupun pada hakikatnya mereka bijak mendatangkan hasil sampingan. Pada che mat apa2 yang kita lakukan biarlah dengan rasa ikhlas, gembira dan berlapang dada, baru seronok. Apa guna wang banyak jika hati sering rasa gusar dan jiwa rasa tertekan.....bersederhanalah dalam apa2 pekara sekali pun.. Moga Allah swt melimpahkan rezeki untuk anda semua...sampai jumpa...

LONTONG HAJI.....BUKAN DARI MAKKAH....

rsz_lontong_haji
Salam 11 Zulhijjah, assalammualaikum. Semalam che mat plan nak masukkan resipi rendang, tapi sebab che mat sakit gusi dan demam, maka tak leh nak ngadam tenet lama2, berpinau mata lepas tu denyut2 gusi tu sampai kat kepala. Rasa macam kena debik aje pipi belah kiri. Ok untuk entri pertama hari ni, che mat letak resipi biasa2 aje..Menu semalam antara yang che mat buat, standard lah kan orang kita. Che mat pun bikin atas permintaan, kalau che mat, pizza atau sandwich pun dah ok. Kalau sebut lontong, ia satu menu yang popular di Johor dan semperna raya haji, che mat kasi nama lontong 'haji'. Dan kalau secara tradisinya, lontong itu sendiri ialah nasi yang berbentuk silinder yang berbalut daun pisang, direbus seakan2 ketupat. Tapi untuk lebih mudah, ketupat biasa digunakan sebagai ganti. Sayur lodeh memainkan peranan utama, ada pelbagai jenis dan cara memasak, yang itu ikut selera anda, samada suka kuah lodeh yang dimasak lemak seperti biasa atau ditumis bahan2 rencahnya. Telur rebus, serunding dan sambal tumis sebagai bahan pelengkap wajib, ada juga yang sajikan dengan begedil dan kuah kacang..Ok, kita lihat resipi pulak...Jommm...

BAHAN-BAHAN KUAH LODEH :-)
1/2 biji kobis bulat saiz kecil. potong kecil cuci dan toskan
10 tangkai kacang panjang, hiris serong
1 biji sengkuang saiz kecil, potong jejari
1 batang lobak merah, potong jejari
1 biji terung unggu, potong kiub
70 gram fucuk @ tauhu kering, potong kecil dan rendam hingga lembut
3 keping tauhu, potong kiub (ikut saiz tauhu)
3 - 4 keping tempe, potong kiub (che mat tak letak, stok habis)
1 cekak soo hoon, kerat pendek
1 batang serai, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
1 kiub ikan bilis (optional)
2 liter santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3/4 inci kinyit hidup

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Ketupat, nasi impit atau lontong
Telur rebus, dbelah 2 setiap 1
Serunding
Sambal tumis @ kuah kacang

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LODEH :- Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 4 camca besar). Tumis serai dan lengkuas, kemudian masukkan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak. Kacau selalu dan guna api kecil. Masukkan lobak merah, sengkuang, fucuk (toskan) dan tempe (kalau guna). Gaul rata dan tuang santan cair. Biar mendidih.
  2. Bila lobak lembut sedikit, masukkan kiub ikan bilis (jika guna), tambah kacang panjang, terung dan kobis. Gaul rata dan masak sekejap. Tuang pati santan, kacau dan perasakan dengan garam secukupnya. 
  3. Masukkan soo hoon, masak dengan api kecil dan kacau selalu. Soo hoon tak payah rendam, cuma lalukan di bawah air paip sahaja. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK LONTONG :- Masukkan  secukupnya ketupat dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah lodeh bersama isi2nya. Letak telur rebus, serunding dan sambal tumis. Hidangkan, sedap dimakan ketika kuah masih hangat..


WW : BRO FRAMESTONE - SEDENAK...


Bro Framestone - 31 October 2012..



Bro  Framestone - 14 October 2013....

Monday, October 14, 2013

UNGKEP AYAM PEDAS SESUAI UNTUK AIDIL ADHA....

rsz_ungkep_ayam_pedas
Salam Isnin, insya Allah esok kalau diizinkan Allah swt umat Islam akan merayakan hari raya korban atau hari raya aidil adha. Jadi entri hari ini che mat share satu resipi yang ringkas tapi sesuai untuk hidangan hari raya, tak kesah lah hari raya haji, raya puasa, hari2 biasa atau hari2 mau...erkk..hehe. Ungkep ayam berasal dari Indonesia dan terkenal di Malaysia, mungkin dibawa masuk oleg orang2 Jawa yang berhijrah ke tanah melayu pada zaman dulu kala. Sedap dimakan bersama nasi putih, ketupat atau pun lemang. Kalau nak makan sama lontong juga sedap. Kebiasaannya resipi ungkep menggunakan ayam kampung atau ayam hutan. Kalau takde, ayam pencen pun ok. Oleh sebab che mat nak masak cepat, che mat guna ayam daging saja dalam 1/2 ekor. Tidak menggunakan santan dan ini membolehkan ungkep bertahan lebih lama dari rendang (kebiasaannya idok leer tahan lama kalau dah dihadap ramai, sekelip mata aje licin...)...Ok resipi seperti berikut dan che mat buat pedas sikit, ini terpulang pada anda samada nak pedas atau tidak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1 batang serai, dititik
1 keping asam gelugor
2 helai daun salam @ 3 helai bay leaf
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3/4 inci kunyit hidup
1 batang serai, dihiris halus
3 biji buah keras, hiris
1 biji cili hijau
20 biji cili padi
1 camca besar ketumbar
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh jintan halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan), tumis serai titik hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan tumis sekejap hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan ayam, gaul rata dan biar ayam kecut sedikit.
  2. Tuang air secukupnya (jika anda guna ayam daging yang cepat empuk, guna 1 1/2 cawan air). Kacau rata. Masukkan daun salam @ bay leaf, asam gelugor dan sedikit garam. Kacau dan dan biar mendidih perlahan.
  3. Masak hingga pekat, tambah gula melaka, kacau dan masak lagi hingga kering seperti rendang. Kacau sekali sekala. Rasa dan jika perlu tambah sedikit lagi garam. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, ketupat dan sebagainya.

Sunday, October 13, 2013

MENU RINGKAS UNTUK AIDIL ADHA...

rsz_acar_darat_johor
Salam semua, insha Allah Selasa nanti kita akan merayakan hari raya aidil adha, anda dah plan nak masak apa?Walaupun cuma hari raya haji, tapi kena juga masak untuk merai tetamu. Kalau bukan tetamu pun, ahli kelurga kita. Tak perlu masak yang extravangaza sangat, asal masakan itu memenuhi selera anda dan keluarga sudah memadai. Kadang2 menu biasa itu lebih sedap. Kebiasaan kalau raya, ketupat antara wajib ada, dan bila ada ketupat maka berderet2 lah makanan pelengkap si ketupat tadi contohnya rendang daging/ayam, sayur lodeh, kuah kacang, sambal tumis, serunding, sambal goreng dan lain2 lagi, kalau diletakkan dalam pinggan hampir tak muat dan sampai bingung nak makan. Ada juga yang menyediakan nasi berperisa seperti nasi minyak, nasi beriani, nasi tomato dan sebagainya. Bila ada nasi2 berperisa seperti itu, hidangan sampingannya juga harus ada, dan seperti biasa acar antara yang wajib, selain ayam dimasak merah, kurma daging atau kambing, dalca dan pencuk...Resipi acar darat seperti gambar atas, akan che mat tulis di bawah nanti....

Untuk Aidil Adha ini apa kata anda cuba resipi nasi tomato berlauk. Nampak biasa tapi ada keistimewaannya. Ia satu menu yang ringkas dan pada che mat anda tak perlu masak banyak lauk sampingan memandangkan dalam nasi sudah ada ayam. Kalau anda nak gantikan ayam dengan daging juga boleh, nak power, ganti dengan daging kambing....sah2 pengsann!!...Bila anda masak macam ni, ada dalca dan acar timun atau acar buah sudah memadai. Tak salah kalau anda nak lebihkan hidangan sampingan....Untuk resipi anda boleh rujuk di sini..... 

Bagi penggemar burung puyuh, tahun ini apa kata cuba ubah selera dengan menu ringkas burung puyuh masak semur. Ia unik dan punya rasa tersendiri. Che mat masak ini pada mulanya atas permintaan Bak, yang gemar burung puyuh. Selalu asyik goreng berempah, bukan che mat aje jemu, Bak pun ikut jemu juga maka atas permintaan Bak, che mat masakkan semur. Semur kurang lebih macam masak kicap saja tapi lenih istimewa. Sedap dimakan bersama ketupat atau nasi putih...Resipi ada di sini, dan kalau anda tidak suka burung puyuh, ayam atau daging boleh digunakan sebagai ganti...Tiada masalah...tepuk dada tanya selera...yea tak?...hehe...

Ada yang tak makan ayam?...daging?...ooo tak makan juga, takpe jangan risau, kita masak ikan pulak. Kebiasaan ikan lebih sedap dimasak ala2 sweet sour. Resipi sebegini juga anda boleh makan bersama nasi minyak. Tak salah pun. Tapi lebih afdal dengan nasi putih lah. Che mat guna ikan siakap tapi anda boleh ganti dengan ikan bawal, kerapu atau pun ikan merah saiz sederhana. Jangan pulak ikan merah yang besar gedabak tu, nampak tak comey, tak molek...Resipi ini che mat gunakan produk JALEN yang anda tau ia bermutu dan amat menitik beratkan kebersihan dalam penyediaan bahan2 makanan. Harga juga berpatutan berbanding produk makanan keluara tempatan yang berjenama....Jika anda hendak mencuba, resipi ada di sini....dann lupa pulak nak kabo, ikan tu anda nak ganti degan ayam pun bolehh..tak kesah...Selamat memasak untuk semuaa!!!..

ACAR DARAT JOHOR....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji timun, kerat 2 inch, buang empulur dan potong macam anak mancis*
3/4 camca teh garam*
1 camca teh serbuk kunyit*(*digaul rata)
1 biji lobak merah (che mat tak letak sebab tak de) kerat 2 inci dan potong macam anak mancis
2 biji cili merah, kerat 3, buang biji dan potong macam anak mancis
1 biji bawang besar, belah 5
5 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1/2 inci halia, hiris halus
4-5 camca besar cuka makan JALEN
Gula secukup rasa (dalam 2 - 3 camca besar)
Garam jika perlu
2 camca besar udang kering, rendam sekejap, tos dan tumbuk kasar
1 camca teh biji sawi
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar). Tumis kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, biji sawi dan buah pelaga hingga harum. Masukkan udang kering, bawang putih dan halia, kacau rata. Tambah cuka makan dan juga gula. Kacau rata2 dan masak hingga pekat. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan lobak merah (jika guna) dan masak hingga lobak lembut. Tambah cili merah, bawang besar dan timun (pastikan anda tos timun tadi dan perah sedikit). Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika perlu baru tambah sedikit garam. Jika anda suka manis, boleh tambah sedikit lagi gula. Masak sekejap, matikan api dan boleh hidangkan.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.