BEN ASHAARI

Monday, September 30, 2013

CEKODOK @ JEMPUT-JEMPUT UDANG....

rsz_cekodok_udang
Salam semua, petang tadi che mat buat cekodok udang. Dah lama juga tak buat cekodok tapi tu hari kat Instagram, sorang geng blogger che mat, Datin Adish Shida, telah menayang cekodok yang beliau buat. Nampak sedap aje, maka hari ini giliran che mat pulak mencekodok. Ini kira satu hidangan biasa bagi orang2 Malaysia. Dan lazimnya ia dihidangkan sebagai sarapan pagi atau pun untuk minum petang. Ada pelbagai  variasi cekodok, samada yang manis atau yang savory. Satu lagi anda boleh pelbagaikan bahan2 dalamnya, nak campur udang, ikan bilis atau apa saja yang anda rasa boleh, termasuk isi ikan, sosej atau crab stick (jejari ketam). Boleh juga ditambah bawang besar, cili merah/hijau, daun sup/daun bawang, taugeh dan sebagainya. Cekodok sedap dimakan panas2 bersama cili sos atau apa saja sos kegemaran anda. Anda boleh guna tangan atau sudu untuk menjemput adunan cekodok ke dalam kuali, kalau guna tangan berhati2 jangan sampai jari2 mulus anda ikut tergoreng....hehe...Jemput makan semuaa...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam isi udang (atau ikut budget anda)
1 biji bawang besar, didadu
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 cekak kucai, kerat pendek
1 biji telur
3/4 camca teh baking powder
2 1/2 cawan tepung gandum
2 1/4 cawan air (atau secukupnya)
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas, masukkan semua bahan2 diatas kecuali air dan garam, gaul rata, tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair atau pekat. Tambah garam secukup rasa, kacau rata2 dan rehatkan 10 minit.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Jemputkan adunan cekodok samada guna tangan atau sudu ke dalam minyak sederhana panas. Jangan buat banyak sangat bergantung pada saiz kuali yang anda guna. Balik2kan hingga cekodok masak sekata dan perang keemasan.
  3. Angkat dan toskan, kemudian letak atas kitchen paper towel. Buat kaedah sama untuk baki adunan. Hidangkan cekodok panas bersama sos pilihan anda, jangan lupa kopi atau teh O panas sebagai pelengkap..


AYAM GORENG KUNYIT BUNGA KUCAI.

rsz_ayam_goreng_kuyit_bunga_kucai
Salam Isnin semua....Monday blues eks?...Itu bagi mereka2 yang bekerja di pejabat, kalau macam che mat yang 'biasa2' aje ni tiada istilah Isnin biru segala...Kami dari Isnin sampai Ahad hijau saja....kenapa hijau?..Sila tegok traffic light, apa makna hijau tu?...jadi faham2 lah kan. Hari ni che mat tak berapa nak masak, cuma masak nasi dan juga goreng ayam kunyit seperti anda nampak dalam gambar di atas. Masakan ini amat ringkas dan sedap, nak2 kalau makan selagi hangat. Bagi anda yang agak sibuk, senang cerita ibu2 bekerja atau ayahanda2 yang bekerja dirumah sepertii dia ni, amat2 sesuai resipi yang che mat buat untuk anda cuba. Kalau orang bujang lagi sesuai, masak yang ni, tanak nasi, lepas tu kalau nak meriah sikit, buat telur dadar dan disulami dengan kicap JALEN....memang pengsaannn....tak caya jugak..ok..esok cuba masak, pasti anak2 anda pun suka...Resipi?..senang sangat, meh sini che mat kasi tulis....jangan lupa mencuba...dan entri blog pilihan che mat di sini dan amat2 menarik untuk anda baca terutama kaum wanita....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping dada ayam, dihiris pada saiz sederhana besar
1 cekak bunga kucai, potong pendek (contoh di sini)
1 biji bawang besar hiris berangkai
3 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
Garam secukup rasa
3/4 camca besar serbuk kunyit

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul daging ayam dengan serbuk kunyit dan sedikit garam. Perap 20 minit, kemudian goreng hingga masak, jangan sampai garing sangat. Angkat dan toskan.
  2. Dalam kuali yang sama, keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan kurang lebih 2 camca besar minyak. Tumis bawang besar, bawang putih, cili hijau dan cili merah. Kacau rata dan masak hingga layu sedikit.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan tambah  bunga kucai, gaul dan tambah garam secukup rasa (rasa dulu sebelum diletakkan garam). Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi hangat...


Sunday, September 29, 2013

KURMA KAMBING...MMBEEKKKK!!!....

rsz_kambing_masak_kurma
Assalammualaikum, salam hujung minggu. Che mat cuti ke dapur kejap hari ni dan entri yang anda nampak ni sebenarnya che mat masak semalam dan sebab hari ini dijangkakan che mat cuti masak. Bila sebut kambing, che mat memang tolak bulat2.....dulu lah, tapi ntah macam mana sejak2 ni dah boleh terima dah daging kambing cuma tak boleh makan sangat, kang darah naik. Abang sulung che mat suka makan kambing jadi che mat kasi masakkan untuk beliau. Kambing sebenarnya sedap cuma ada yang tak tahan dengan baunya yang agak ke 'kambing' an itu. Tapi kalau takde bau, bukan lah kambing namanya. Kali ni che mat masak kurma, dan sedap dimakan bersama nasi beriani, nasi putih mau pun ketupat. Nak cicah lempeng atau roti pun sesuai. Tak pedas dan anak2 juga boleh makan. Kalau anda nak tukar dengan daging lembu atau ayam juga boleh tapi pada che mat guna daging kambing lagi sedap dimasak kurma....Resipi agak mudah dan kalau anda makan keesokkan hari ni, lagii sedapppp!!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 daging kambing
2 batang serai, dititik
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
2 camca besar kerisik
1 cawan pati santan
2 biji cili merah, belah 2 tak putus setiap 1
2 biji cili hijau, belah 2 tak putus setiap 1
6 biji kentang, kupas dan belah 2 setiap satu, rendam
1 biji tomato, cincang halus
5 camca besar rempah kurma (che mat guna Babas)
3 camca besar minyak sapi
1/2 cawan minyak masak
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1 camca teh lada hitam biji

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar hiris
2 tangkai daun kari
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing digaul dengan 2 camca besar tepung gandum, gaul rata dan perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Kentang ditoskan, rebus hingga 3 suku empuk, tos dan goreng hingga kuning keemasan, angkat dan tos. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biar cair dan panas. Masukkan bahan2 tumis, serai titik dan tumis hingga harum, masukkan tomato cincang dan kacau rata. Tambah pes rempah (bahan kisar + rempah kurma, kacau rata) dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tambah daging kambing. Gaul rata dan masak hingga dagin kecut. Tuang air secukupnya, kacau dan masak dengan api sederhana hingga daging lembut. Tambah kerisik, asam gelugor dan pati santan. Kacau dan masak hingga kuah pekat.
  4. Masukkan belahan gula melaka, cili hijau, cili merah dan kentang goreng. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau makanan kegemaran anda..

Saturday, September 28, 2013

SOTO INDONESIA...SATU KELAINAN...

rsz_soto_indon

Assalammualaikum, salam Sabtu. Anda masak apa hari ini, dah cuba resipi minum petang yang che mat buat di sini?..Kalau ada masa boleh lah mencuba. Ok, hari ni che mat laksanakan resipi tertunda yang dah begitu lama nak buat tapi tak buat2. Resipi dah hampir 2 bulan che mat salin, yelah kan kita nak buat sesuatu ni pun kena ada mood, kalau mood tak sungguh2, buat pun ala kadar, dan rasa pun ala2 juga sebab belum ada nafsu serakah nak makan benda yang kita buat tu. Takpe, janji buat walaupun agak lewat. Anda perna dengar soto Indonesia?...Sedikit masa dulu che mat google lah makanan Indonesia dan cari2 juga kat Youtube dan sampai che mat jumpa soto, mula2 tengok tu macam biasa aje,tapi bila perhati betul2, ada banyak bezanya. Soto style Indonesia agak ringkas dan kurang muak, buatnya mudah dan rasanya.....hmmm...sedappppp!!!

rsz_soto_indon1

Ia agak unik dan banyak beza dari soto kita di Malaysa ni. Kalau di Malaysia kita makan soto sama soo hoon yang digoreng dan lain2, tapi yang ni dimakan bersama soo hoon yang dilembutkan. Takde sambal kicap tapi dimakan bersama sambal seakan2 cili sos yang pedas dan kicap pekat manis. Taugeh sebagai ulam, tak lupa kobis yang dihiris halus. Satu lagi yang amat berbeza ialah ia dihidangkan dengan perahan limau nipis sebelum dimakan (tapi che mat takde limau nipis, aku ganti dengan limau kasturi, kalau anda nak bikin, guna limau nipis..ok). Selain dimakan bersama ketupat, nasi impit dan nasi putih biasa, ia sedap dimakan begitu sahaja. Nak2 dengan cuaca mendung, redup dan berangin di petang hari...hidangkan bersama kopi atau teh.. Resipi yang che mat tulis ni kurang lebih untuk 4 - 5 orang bergantung pada saiz badan atau tahap kelaparan anda masa makan soto Indonesia ini...Ok...

BAHAN-BAHAN KUAH SOTO :-)
600 gram ayam (che mat guna 1/2 ekor ayam yang dikerat 2), cuci bersih dan toskan
3 liter air
1 kiub ayam (optional)
3 batang serai, dititik
5 helai daun limau purut
Garam secukup rasa
7 biji bawang  merah*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
3/4 inci lengkuas*
4 biji buah keras*
1/2 inci kunyit hidup*(*dikisar halus)
1 camca besar ketumbar biji, ditumbuk halus
1 camca teh lada sulah biji, ditumbuk halus

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Nasi impit, ketupat atau nasi putih
Soo hoon secukupnya direndam hingga lembut (che mat rendam dalam air suam), toskan
Telur rebus secukupnya, belah 2 setiap 1
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Bawang putih goreng
Limau nipis, belah 2
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kobis bulat, hiris halus
Kicap pekat manis
Sambal *(*resipi dibawah)

BAHAN-BAHAN SAMBAL :-)
20 biji cili padi siam jenis merah
2 biji cili merah
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris
2 1/2 camca besar minyak masak
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Dalam periuk, didihkan air. Masukkan ayam dan biarkan. Sementara itu, panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan dan che mat guna non-stick pan). Tumis serai titik dan bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan daun limau purut dan terus memasak hingga menjadi pes yang pekat dan kelihatan kuning keemasan. Tambah ketumbar dan lada sulah yang ditumbuk halus tadi, gaul rata dan matikan api.
  2. Tuang rempah tadi ke dalam periuk berisi ayam.Tambah kiub pati ayam (jika guna) dan masak dengan api sederhana hingga ayam lembut dan kuah pekat sedikit. Tambah garam secukup rasa (kalau anda nak guna serbuk perasa pun boleh). Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SAMBAL :- Kisar cili merah, cili padi thai, buah keras dengan sedikit air hingga halus. Masukkan ke dalam kuali (che mat guna non-stick pan), masak dengan api kecil, kacau selalu hingga sambal pekat. Tambah garam dan gula secukup rasa, kacau dan masukkan minyak masak. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api (sambal agak pedas, jadi berhati2)..
  4. UNTUK SOTO INDONESIA :- Asingkan ayam dari kuah soto, kemudian ayam diambil isinya dan carik2kan. Masukkan kembali tulang ayam ke dalam kuah soto. Dalam mangkuk sesuai, letak nasi impit secukupnya, tambah taugeh, hirisan kobis, sedikit soo hoon, telur rebus dan tuang kuah soto..
  5. Tabur dengan hirisan daun bawang, bawang goreng, bawang putih goreng, isi ayam dan sambal. Perahkan jus limau nipis sebelum dimakan. Kalau suka boleh juga tambah sedikit kicap pekat manis. Hidangkan segera......Pengsannnnn...

Thursday, September 26, 2013

SANDWICH TELUR HANCUR...

rsz_scramble_egg_sandwich
Salam....ini sarapan pagi tadi sebenarnya, cuma tak sempat nak masukkan waktu pagi. Maka che mat masukkan malam...errr malam pun boleh juga, untuk idea sarapan esok hari. Benda2 simple selalu menjadi pilihan anak2 muda yang baru nak berjinak2 ke dapur, bukan paksa suruh ikut cuma berkongsi idea. Dan che mat sendiri pun bukan lah jenis yang pakar memasak, setakat 'boleh' memasak. Kalau nak jamu2 orang makan sikit2 tu boleh lah. Selalunya bila sebut 'masak', orang akan anggap benda tu remeh, leceh dan membosankan. Sebenarnya memasak perlukan kesabaran dan keikhlasan.Che mat sendiri pun ada masa bosan gilerrrrrrrrrrrrrr memasak, tapi fikir2 balik, bertuah juga pandai masak dan itu anugerah Allah sebenarnya dan setiap apa yang Allah anugerahkan pada kita adalah tanggungjawab. Jadi kalau anda mula nak berjinak2 memasak, mulakan dengan yang mudah dulu...paling senang sandwich macam kat atas ni...err...yang ni anda memang kena masak, masak telur hancur atau omputeh panggil scrambled egg...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur gred A
1/4 cawan susu rendah lemak
Secubit garam
1 camca besar mentega
4 keping roti sandwich 
Daun salad secukupnya (che mat guna salad 'butterhead')
Hirisan tomato (8 keping)
Hirisan tomato (8 keping)
2 biji jeruk gherkin, hiris nipis
Hirisan bawang hollad (optional)
Sos cili secukupnya
Mayonnaise secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan telur, susu rendah lemak dan garam. Kacau rata dengan garfu. Panaskan mentega dalam kuali (che mat guna non-stick pan). Masukkan telur dan kacau perlahan dengan sudip hingga hancur dan telur bergumpal2, masak sekejaplagi hingga telur sedikit kering tapi bukan garing. Matikan api dan ketepikan.
  2. Ambil sekeping roti (kalau suka anda boleh sapu sedikit mentega), susuh daun salad, timun, tomato, hirisan bawang (jika guna) dan hirisan jeruk gherkin. Kemudian sudukan 1/2 bahagian telur hancur, ratakan..
  3. Paipkan mayonnaise atas telur hancur tadi, kemudian paipkan pula sos cili (buat secara bersilang). Letak sekeping lagi roti atasnya dan boleh hidangkan. Buat kaedah sama untuk baki bahan2...
CATATAN MAT GEBU :- Untuk sandwich ini che mat guna roti pound  Tesco, lepas tu che mat hiris sedikit tebal. Mungkin kalau anda guna roti sandwich biasa macam 'gardenia' ke, anda boleh dapat 3 set sandwich....Selamat mencuba!...


IKAN PARANG GORENG TAUCO...

rsz_ikan_parang_goreng_tauco
Salam Khamis...dah dua hari cuaca mendung dan sekejap2 hujan di sini. Semalam che mat bikin laksa opah @ laksa kuala, alhamdulillah kebetulan malam ada tetamu, jadi dapatlah mereka rasa. Hari ini che mat masa yang ringkas dan senang. Ikan parang goreng tauco satu hidangan mudah disediakan dan amat sedap dimakan bersama nasi panas. Cuma ikan parang tidak sesuai untuk anak2 dan juga mereka yang kurang sabar. Anda boleh ganti dengan ikan lain, tenggiri, tongkol, kembong, kerisi dan sebagainya asalkan ikan banyak isi. Kebiasaannya, ikan akan digoreng dahulu kemudian baru dimasak bersama tauco. Kalau anda suka masakan yang berkuah, boleh tambah air. Che mat masak agak kering sedikit tapi masih ada kuah  yang pekat. Untuk petang ini anda dah plan nak masak apa, kalau belum, apa kata cuba resipi che mat yang ini....sesuai untuk minum petang nanti..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping ikan parang (sebab ikan parang agak tebal. che mat belah 2 setiap 1)
1 batang leek, potong pendek dan rendam
3 biji cili hijau, hiris
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
1 1/2 camca besar tauco
1/2 inci belacan + 3 camca besar air = dilarutkan
Garam jika perlu
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan parang dilumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam rata2. Kemudian digoreng hingga masak, tak perlu sampai garing. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar), tumis bawang besar, bawang putih dan cili hijau hingga harum, masukkan leek (toskan), dan kacau rata. Tambah belacan, kacau dan masak sekejap. Masukkan tauco dan sedikit air, kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan, gaul rata dan biar sekejap. Jika suka berkuah, boleh tambah sedikit air. Rasa dan jika perlu baru anda tambah sedikit garam. Boleh matikan api dan angkat. Hidangkan bersama nasi panas dan luak2 lain.


Wednesday, September 25, 2013

LAKSA OPAH @ LAKSA KUALA YANG SEDAP SANGAT!!...

rsz_laksa_kuala

Assalammualaikum, salam Rabu...Dah makan?...Hari ni pagi2 che mat dah 'on' projek...Projek apa lah tu kan..dah tentu lah projek masak2. Kebetulan pagi ni cuaca mendung dan berangin, jadi nak buat kerja pun rasa bess aje, rasa rajin semacam. Untuk hari ini che mat bikin laksa. Laksa yang begitu sedap dan istimewa. Sebenarnya ini godaan dari Kak Ida 1001resipi. Che mat nampak gambar laksa di Instagram Kak Ida....dan tak pasal2 che mat tergoda...Kalau che mat tergoda, keadaan akan jadi parah sikit lah, teringat siang malam, cuma pantang che mat, kalau nak buat satu2 tu mesti cukup lengkap bahan2, kalau tak lengkap 100% pun, sekurang2nya 99% mesti cukup. Baru mood nak memasak ada. Laksa kuala ini laksa orang Perak dan bonda Kak Ida pakar menyediakan laksa kuala. Sebab itu che mat letak dua nama pada tajuk entri, laksa kuala @ laksa opah....

rsz_laksa_kuala2

Buatnya agak mudah dan seperti anda sedia maklum, untuk mendapat laksa yang sedap dan enak, ikan harus yang segar. Mesti ada yang tanya, laksa ni rasa dia macam mana, ok dari tekak che mat lah kan, laksa ni seakan2 laksa Penang, nak2 bila disudukan petis sebagai bahan penambah perisa sebelum dimakan. Pesan Kak Ida, untuk kuah laksa kuala anda tak perlu letak gula dan che mat memang tak letak gula, tapi che mat letak sedikit serbuk perasa. Boleh dikatakan laksa kuala ini hidangan yang sihat, takde minyak dan banyak ulam2man. Kira seimbang lah kan. Kalau anda jemu makan makanan bersantan, berempah dan sebagainya, che mat cadangkan anda cuba buat laksa kuala @ laksa opah ni, pasti anda akan teringat2 selepas itu....Sedappp!!...tak tipu punya. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA :-)
600 gram ikan sardine atau ikan selayang
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
4 - 5 keping asam gelugor
3/4 cawan cili kisar
4 biji bawang besar*
1 1/2 inci belacan*(*dikisar halus)
1/4 camca teh serbuk perasa
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Timun, dihiris memanjang
Daun salad, dihiris
Cili padi, dihiris
Bawang besar, dimayang halus
Nenas, dipotong kecil

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi laksa secukupnya (samada yang basah atau yang kering, kalau yang kering anda rendam dulu dan rebus hingga lembut)
Telur rebus secukupnya, dibelah 2
Petis untuk dimakan bersama laksa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA :- Ikan disiang, cuci bersih dan rebus (letak ikan dalam periuk, tuang air hingga ikan tenggelam) hingga ikan masak. Keluarkan ikan, biar sejuk dan asingkan isi dan tulangnya. Tumbuk isi ikan hingga lumat. Tulang ikan dikisar halus dan tapis. Asingkan stoknya.
  2. Tapis air rebusan ikan dan masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, stok tulang ikan dan isi ikan yang ditumbuk. Tambah air lagi (che mat tambah lagi 1500ml air). Masukkan cili kisar dan asam gelugor. Kacau rata dan biar mendidih.
  3. Masukkan bunga kantan dan daun kesom. Masak dengan api sederhana hingga kuah pekat sedikit (dan hilang bau cili kisar). Perasakan dengan garam secukupnya dan serbuk perasa. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api...
  4. UNTUK LAKSA OPAH @ LAKSA KUALA :- Letak mi laksa secukupnya dalam mangkuk sesuai. Sendukkan kuah laksa (kacau dulu), kemudian tabur bahan2 ulam, yang ini ikut anda nak banyak atau sedikit. Letak telur rebus dan akhir sekali sudukan petis. Perah jus limau kasturi, gaul rata dan nikmatinya dengan penuh keenakkan.....hmmmm...2 mangkuk che mat makan laksa ni.

Tuesday, September 24, 2013

SPICY BANANA CHUTNEY - OLEH "MUNA FADAAQ".

rsz_banana_cutney
Salam semua, kenal "Muna Fadaaq?"...orangnya lawaa, manis dan sweet...hidung tak payah kata laa, mancung boleh sangkut hanger!..haha, dan suami beliau pun cool aje, sweet talker gitu, anak dara dia pulak..meletop okeh, sopan dan rupa ala2 hindustan pun ada...Itu lah keluarga Muna Fadaaq yang che mat kenal, hanya melalui blog, masa tu beliau menetap di Holland, dan sikit masa dulu masa dia pulang ke Malaysia, Che Puan Muna dengan sudinya singgah ke rumah che mat di Sedenak...terharu sangat (masa tu beliau dah pindah ke Aberdeen, UK)...kesah beliau datang Sedenak ada di sini.. Dan siang tadi, che mat cuba satu resipi chutney dari blog beliau di sini. Apa chutney tu?.. Chutney kurang lebih macam acar tapi agak hancur,  dan yang uniknya chutney yang che mat buat, guna pisang. Mula2 macam tak yakin sangat, tapi kan bila dah buat dan rasa.. Woww!!, sedap you!..rasa masam2 manis, pedas sedikit, berempah dan ada rasa lemak2. Kata Che Puan Muna, chutney pisang ni sedap dimakan bersama nasi pilaf dan kari kambing...kena buat gak ni nanti. Sebab ini pertama kali che mat buat, maka che mat buat 1/2 dari resipi asal dan che mat guna 5 biji pisang montel. Chutney boleh disimpan lama dan lebih lama lagi jika dalam peti sejuk. Apa yang penting, bekas yang anda guna untuk mengisi chutney harus kering dan bersih. Resipi dibawah ialah resipi asal dari blog Che Puan Muna....

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 biji pisang yang masak
1 biji cili hijau, buang biji dan potong kecil
1 genggam kismis
1 biji bawang besar, didadu
1 biji bawang putih, cincang halus
1 camca teh rempah kari (che mat guna rempah kari Baba's)
1/2 camca teh serbuk kunyit
2 cawan cuka epal (cider vinegar)
4 kuntum bunga cengkih
1 tangkai daun kari
1 cawan madu
Garam secukup rasa (anggaran 1 camca teh)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam periuk (che mat sarankan anda guna periuk stainless steel untuk ini), masukkan semua bahan2 di atas kecuali madu. Masak hingga mendidih kemudian kecilkan api dan masak hingga pisang lembut dan mula hancur (kurang lebih 1 jam), kacau sekali sekala.
  2. Kemudian masukkan madu, kacau rata dan masak lagi hingga pekat. Kacau selalu untuk mengelakkan chutney hangus. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biar sejuk dan boleh simpan dalam botol yang bersih dan kering (botol tu anda cuci dan rebus dalam air panas sekejap, toskan dan biar kering, boleh guna)
CATATAN MAT GEBU :- Cuka epal atau cider vinegar anda boleh beli dipasaraya2 besar. Pastikan anda guna sudu yang bersih dan kering untuk mencedok chutney bagi mengelakkan ianya cepat rosak...selamat mencuba!!...

TUMIS AIR PETOLA BANTAL...

rsz_sup_petola_bantal
Assalammualaikum. Hari ni che mat masak yang ringkas2 dan tidak membebankan tekak...errr tapi kalau yang ringkas pun sedap, macam mana lah tekak tak terbeban. Pagi tadi kami ke pasar ikan di Benut, saja aje nak tengok2. Dan plan asal che mat nak bikin laksa tapi sebab balik dah hampir jam 11, maka che mat postpone ke esok hari. Masa dalam perjalanan balik tadi, lalu satu tempat ni dan bonda che mat perasan ada pokok petola bantal tumbuh meliar di kawasan kebun kelapa sawit dan berbuah agak banyak. Maka abang che mat berhenti dan dia ambik beberapa biji. Petola bantal sedap dimasak sup atau tumis air dengan udang. Satu lagi petola bantal lebih manis dari petola biasa. Kalau nak masak, pilih yang muda dan kalau dah tua, bersabut dan tak sedap. Tau tak anda, petola bantal ini kalau dibiarkan sampai tua, ia akan bersabut dan berserat, che mat perasan ada orang jual serat petola bantal ini dan digunakan sebagai span pencuci pinggan mangkuk dan mungkin juga boleh guna untuk menyental badan..

Bagi yang tak pasti rupa petola bantal, anda boleh lihat gambar di atas ni, che mat pinjam gambar dari blog ini, terima kasih. Satu petua yang che mat selalu dengar, kalau masak petola samada jenis ini atau yang biasa, letak sedikit lada hitam sebagai pemanas sebab petola sejenis sayuran berunsur 'sejuk' dan lada hitam dapat menyeimbangkan unsur ini. Sebelum kita lihat resipi, anda dah lihat resipi ke dua che mat di blog JALEN?...jangan lupa singgah dan lihat...pasti terliur...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji petola manis saiz sederhana (yang muda)
1/3 cawan isi udang, cuci dan toskan
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
1 camca teh serbuk lada hitam 'aji-shio'
5 biji bawang merah, hiris halus
3 ulas bawang putih, diketuk
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas petola bantal (guna pengupas kentang), cuci dan potong sederhana tebal. Ketepikan. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 2 camca besar), tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum. Masukkan udang dan kacau rata. Masak hingga udang berubah warna. Tuang air secukupnya (anggaran 4 cawan). Kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan petola dan soo hoon (toskan), kacau, tambah serbuk lada hitam dan garam secukup rasa. Masak sekejap hingga petola lembut sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Jika suka, anda boleh taburkan sedikit lagi serbuk lada hitam..

Monday, September 23, 2013

PERIA KAMBAS GORENG TAUCO...

rsz_peria_kambas_goreng_tauco
Salam semua, hari ni che mat tak masak apa sangat. Tatau lah tekak mula nak meragam. Semalam che mat masak asam pedas ikan merah dan masih berbaki, jadi hari ini tak perlu masak benda yang berat2 sangat. Ada peria kambas, ok kita goreng sama udang dan tauco, lepas tu ada juga sebiji betik mengkal, che mat buat bening. Bening betik bukan semua orang suka, tapi che mat suka, guna betik mengkal yang kemerahan tapi masih keras dan letak rencah ikan bilis, bawang hiris, bawang putih, daun kunyit dan garam secukup rasa. Rebus sampai lembut. Peria kambas pulak che mat belah 2, buang bahagian dalamnya dan belah 2 lagi dan hiris. Rendam dalam air garam. Selain masak macam ni, che mat juga suka kalau digoreng sama telur. Rasa peria kambas yang pahit2 lemak cukup menyelerakan, nak2 kalau anda masak pedas sedikit. Resipi kalau che mat tak tulis pun anda pasti dah biasa masak. Tapi mungkin tak sama yea tak...Ok resipi amat2 mudah, seperti berikut...anda dah lihat resipi pertama che mat di sini?...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji peria kambas saiz sederhana
1/4 cawan isi udang
1 camca besar tauco (cm guna tauco JALEN)
1 camca besar sos tiram
Sedikit air
Garam jika perlu (che mat tak letak garam)

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
Secubit belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Belah dua peria kambas, buang bahagian tengahnya, belah dua lagi dan hiris serong sederhana tebal. Cuci dan rendam dalam air bergaram. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan tauco dan sos tiram. Kacau rata dan masak hingga harum. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan udang, kacau dan masak hingga udang berubah warna.
  3. Masuk peris kambas (toskan), kacau rata dan tuang sedikit air. Masak hingga peria lembut. Rasa dan jika perlu baru masukkan sedikit garam. Masak sekejap dan boleh matikan api. Angkat dan hidangkan...

Sunday, September 22, 2013

KUE TEOW PUN BOLEH LAAA......

rsz_kue_teow_goreng_malam
Salam semua, perasan tak gambar atas ni, macam malap aje, serupa orang mengantuk...huhu apa nak buat tangkap waktu malam dan che mat tak biasa ambik gambar guna lighting bagai, selalau guna cahaya semulajadi saja. Tu pun nasib baik lah kamera ok. Entri kue teow ini bukan lah baru, tapi che mat dah masak beberapa hari lepas. Masak pun ala kadar sahaja, ikut apa yang ada dalam peti sejuk (tapi kan dalam peti sejuk che mat, macam2 ada okeh...tak caya?....takpe tak suruh caya pungg!!)..dan malam tu ada tetamu jadi che mat hidangkan juga pada mereka. Cuma ada kekurangan yang kerata sangat dalam kue teow ni, kucai takde dan kalau goreng kue teow, kucai takde macam tak berapa nak bess, apa nak buat, tu pun nasib baik ada sawi, jadi lah ibarat kata bidalan, tiada rotan akar pun berguna. Apa2 pun alhamdulillah, licin gak kue teow ni (termasuk che mat sekali lah makan sama2 dengan dia orang..). Resipi mudah dan anda boleh masak bila2 masa anda suka....

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram kue teow
3/4 cawan isi kerang
5 biji bawang merah, hiris
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 pokok sawi, siang berasingan batang dan daun, cuci dan toskan
2 genggam taugeh, cuci dan toskan
2 biji telur, kacau sedikit
4 camca besar sambal tumis
3 camca besar kicap lemak JALEN
1 camca besar kicap manis JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
Sos ikan jika perlu
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan sambal tumis dan sos tiram. Kacau rata dan masak sekejap. Tambah kerang, kicap manis dan kicap lemak. Gaul rata.
  2. Masukkan batang sawi dan sedikit air. Masak hingga bawang sawi lembut. Tambah kue teow dan gaul rata2. Tolak ke tepi kuali, masukkan telur, biar telur sedikit mengeras, kacau dan gaul dengan kue teow tadi.
  3. Masukkan daun sawi dan taugeh. Kacau raya dan rasa, jika kurang masin baru renjiskan sos ikan secukup rasa. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama cili hijau jeruk atau sos cili dan telur mata kerbau (optional)..

Saturday, September 21, 2013

SUP AYAM PUN BOLEH LAHH....

rsz_sup_ayam_org_malas
Salam semua, dah malam baru che mat sempat update blog. Siang tadi ada sedikit urusan. Hari ni mood memasak biasa2 saja, tapi ntah macam mana, nak sangat makan sup ayam. Takmo makan sama nasi, mi hoon dan sebagainya, tapi cuma nak makan macam tu saja. Sebab takde ayam pencen atau pun ayam kampung, che mat guna saja ayam daging dalam 1/2 ekor. Selain kentang dan lobak merah, che mat masukkan juga baki cendawan butang yang tak habis che mat guna. Sup ayam yang che mat buat ini amat mudah dan hanya guna sup bunjut Adabi sup tulang. Kalau ada sup, kenalah ada sambal kicap, baru lah terangkat dan seperti biasa, sambal kicap che mat jenis versatile, selain boleh makan sama sup, mi hoon sup, anda juga boleh cicah pisang goreng dan sebagainya. Dan untuk mendapat rasa sambal kicap yang lebih enak, kicap JALEN pilihan che mat sejak dulu lagi....kalau tak percaya, anda boleh cuba..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong pada saiz sederhana, cuci bersih dan toskan
3 biji kentang, kupas dan potong 4 setiap 1, rendam
6 - 8 biji cendawan butang dalam tin, cuci dan toskan
1 batang lobak merah saiz sederhana, potong berbaji, rendam
1 kiub pati ayam
1 bunjut sup 'tulang' Adabi
1 pokok daun sup, potong kasar
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
3 biji buah pelaga*
5 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Taugeh secukupnya, buang ekor, cuci dan siram dengan air panas
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng
Sambal kicap (cili padi + bawang putih + gula secukup rasa = ditumbuk halus + kicap lemak JALEN secukupnya, kacau rata dan boleh guna).

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Masukkan rempah tumis (*), kacau rata dan tambah bahan tumbuk halus. Masak hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan ayam dan kentang(toskan), kacau rata dan tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam). Kacau rata.
  2. Masukkan sup bunjut dan kiub pati ayam. Kacau rata dan tambah lada hitam tumbuk dan daun sup yang dikerat kasar. Biar mendidih, kemudian masukkan lobak merah dan cendawan. Masak hingga kentang. lobak merah dan ayam empuk.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang, daun sup, bawang goreng dan taugeh sebelum dihidangkan. Tambah sedikit sambal kicap sebelum dimakan..


Thursday, September 19, 2013

KETAM LEMAK CILI PADI...

rsz_1gulai_ketam1
Selamat petang semua, entri ketam pulak, tapi menu ini che mat masak 2 hari lepas...Errr..tak gatal makan ketam? Tak lah, cuma lepas makan, menyepit aje....hehe, kalau gatal makan lah ubat. Walaupun che mat macam tak boleh nak makan sangat tapi sebab godaan melampau si ketam yang bergaya seksi berbikini kat pasar, maka che mat terbeli. Bila dah beli kena lah masak dengan kadar segera, yea tak, kang simpan lama2, tanggal semua anggota badan si ketam, dah nampak tak cun, rasa pun dah tak sweet2 17 lagi dah..tapi jadi tawar hebeyyy. Dan hari ini cm masak lemak cili padi. Cm gandingkan dengan kacang buncis, ini optinal, selain kacang buncis, anda boleh letak nenas, belimbing buluh atau pun timun. Ketam yang cm guna ni dalam 6 ekor bersaiz agar besar. Petua orang tua2, kalau nak beli ketam pastikan bulan gelap dan pilih ketam yang berat. Dipercayai semasa bulan gelap isi ketam jadi penuh dan padat...wallahuala. Tapi kan ada benarnya juga. Kalau lihat resipi che mat semua mudah2 aje, yang biasa2 kita masak kat rumah....memang itu lah tujuan che mat berblog, letak resipi mudah yang menjadi masakan harian.....Anda dah cuba resipi ini?...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 ekor ketam bunga saiz besar (sepit biru)
15 tangkai kacang buncis, kerat 4 setiap 1
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit
1 liter santan cair
450 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
25 biji cili padi kampung (warna hijau)
1 inci kunyit hidup
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibersihkan, kerat hujung2 kaki kecil ketam, dan ketuk sedikit penyepitnya supaya mudah untuk mengeluarkan isinya nanti. Kerat 2 setiap seekor. Cuci bersih, tos dan masukkan ke dalam periuk.
  2. Masukkan serai titik dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau perlahan. Biar mendidih dan ketam berubag warna. Masukkan asam gelugor dan kacang buncis. 
  3. Tuang pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api sederana. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..

NASI GORENG KAMPUNG YANG MENGGODA...

rsz_nasi_goreng_kampung (1)
Salam semua, ini menu pagi tadi, buat untuk sarapan. Blurr sebenarnya, plan asal nak sarapan biskut cicah teh O sahaja, namun segalanya berubah bila cm nampak di timeline FB, nasi goreng kampung yang dimasak oleh kawan FB che mat. Aduhh, tergoda sungguh. Teringat dalam peti sejuk ada kangkung yang hampir layu tapi masih hijau lagi. Dan dari gambar yang cm nampak memang ada kangkung dalam nasi goreng kampung, Ini sudah bagus, jadi kita ON pojek nasi goreng kampung. Bukan lah susah mana dan ikutlah apa yang anda nak letak dalam tu. Che mat campur daging ayam sebab tu saja yang ada. Dan untuk rencahnya che mat tumbuk ikan bilis, bawang merah, cili padi dan secubit belacan. Nasi goreng kampung selalunya pedas sedikit. Kalau ikutkan di Malaysia dan negara2 jiran, nasi goreng bukan terhad untuk sarapan pagi sahaja, tapi sesuai untuk setiap waktu samada tengah hari, petang atau pun malam. Che mat gandingkan dengan telur mata kerbau dan jeruk petai....ehemmm.

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan nasi sejuk, dileraikan
1/2 cekak kangkung, siang dan cuci bersih, toskan
5 tangkai kacang panjang, potong kecil
1 keping dada ayam. hiris kecil, cuci dan toskan
1 biji telur, dipukul sedikit
1 biji bawang besar, hiris

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi merah Thai
1 camca besar ikan bilis, cuci dan rendam sekejap
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk halus hingga harum, masukkan isi ayam dan kacau rata. Masak hingga isi ayam berubah warna. Masukkan kacang panjang dan bawang besar, kacau dan masak sekejap. Tolak ke tepi kuali. Tuang telur, masak sekejap dan kacau hingga menjadi telur hancur. Gaul rata.
  2. Tambah garam secukup rasa dan masukkan nasi, Gaul rata dan masukkan kangkung. Gaul lagi dan masak hingga kangkung layu seidikit. Rasa dan jika ok boleh sajikan bersama telu mata kerau atau ulam petai.


Wednesday, September 18, 2013

AYAM GORENG REMPAH BERSERAI...

rsz_ayam_goeng_rempah
Salam semua, entri kali ni che mat share ayam berempah yang che mat buat untuk disajikan bersama nasi lemak dalam entri sebelum ni. Che mat tak guna seekor ayam, tapi campur kepak ayam 12 keping dan 1 keping bahagian peha saiz besar yang che mat potong pada 4 bahagian. Resipi tak susah, tapi nak sedap anda kena perap semalaman atau sekurang2nya 8 jam. Cucuk2 dahulu bahagian ayam tadi sebelum anda lumur dengan bahan2 pemerap. Takde yang istimewa, sekadar penggunaan rempah2 biasa sahaja. Tapi sebelum goreng che mat gaulkan dengan tepung beras untuk kasi rempah2 dia lekat. Sedap dimakan panas bersama nasi lemak atau nasi ayam pun ok. Nak makan macam tu sahaja pun boleh, cicah sos cili. Kalau anda perap lebih pun boleh, dan bekukan dalam freezer, dan lebih mudah kalau nak goreng di masa akan datang.. Satu lagi kalau anda nak guna ayam goreng ini sebagai ganti ikan dalam resipi ini, pun boleh...takde masalah...Untuk resipi di bawah che mat tulis kepak ayam, anda boleh guna mana2 bahagian ayam yang anda suka...

BAHAN-BAHANNYA :-)
12 - 14 kepak ayam, cuci bersih dan toskan
1 kiub ayam Maggi
1 camca besar serbuk kunyit
3 - 4 camca besar tepung beras (cm guna cap TERATAI)
2 biji limau kastui, perah jusnya
Garam secukup rasa
4 ulas bawang putih*
2 batang serai, hiris halus*
2 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan kasar*
1 camca teh jintan halus*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cucuk2 kepak ayam tadi dengan garfu dan masukkan ke dalam satu bekas. Masukan bahan2 tumbuk halus, kiub ayam (hancurkan), serbuk kunyit, jus limau kasturi. Gaul rata dan tambah garam secukup rasa. Gaul lagi dan perap dalam peti sejuk semalaman atau sekurang2nya 8 jam.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Taburkan tepung beras ke dalam ayam yang diperap tadi. Gaul rata2 hingga teung dan bahan2 pemerap melekat pada kepak ayam. Kemudian goreng hingga masak. Guna api sederhana dan balikkan sekali sekala. Bila cukup masak dan kuning keemasan, boleh angkat dan toskan. Hidang bersama nasi lemak atau boleh dimakan bergitu sahaja..

NASI LEMAK UNTUK TETAMU CHE MAT...

rsz_nasi_lemk

Assalammualaikum, salam Rabu....Hari ni che mat terima tetamu, dah sebab mereka datang pagi, maka che mat hidangan sarapan pagi. Nasi lemak dan suku sakatnya menjadi hidangan dan cm sempat juga buat kek yang simple2. Dengan cuaca pagi yang agak dingin dan lembap, hidangan nasi lemak che mat sajikan....errr mereka sampai jam 7+ pagi okeh...nasib baik che mat tak berkemban, kalau tak, mau kiamat donia..masuk HM lagi...pengsann. Dengan hidangkan nasi lemak panas2 dah tentu ia amat menyelerakan. Seperti anda sedia maklum, kalau buat nasi lemak che mat lebih suka guna beras basmathi dan kali ni che mat guna beras basmathi biasa sahaja. Selain rasa nasi lemak lebih terpelihara, nak sukat cecair juga agak mudah. Ratio nya 1 : 1.5 atau 1 bahagian beras + 1 1/2 bahagian cecair...

rsz_nasi_lemk1
Kalau ada nasi lemak, sambal tumis tak boleh dipisahkan, tiada makna nasi lemak tanpa sambal tumis. Dan che mat buat sambal tumis udang, lepas tu  ada kacang goreng, ikan bilis goreng, telur rebus dan tak lupa ayam goreng berempah, ayam goreng berempah tu nanti che mat share resipi dalam entri lain. Jika anda lihat era kini nasi lemak semakin meriah, dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk pauk tambahan sehingga dah serupa nasi putih, mana tak nya, dengn rendang, kangkung goreng dan macam2 lagi...Akhirnya nasi lemak dah takde rupa nasi lemak...dah macam nasi campur. Tapi ini semua terpulang pada masing2, anda yang buat pilihan dan yang nak makan pun anda juga. Baik lah che mat tulis resipi serba ringkas.... Terima kasih Soleh Ahmad @ Ady Budika, Sunah dan Azila Aji, kerna sudi datang.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan beras Basmathi, cuci dan rendam 30 minit
6 cawan santan segar
2 batang serai, dititik
1 helai daun pandan
1 biji bawang besar, belah 4
3 ulas bawang putih, diketuk
1 1/2 inci halia, diketuk
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Timun
Ikan bilis goreng
Kacang tanah goreng
Telur rebus / telur dadar
Sambal tumis
Ayam goreng (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan beras basmathi dan masukkan ke dalam periuk nasi elektrik atau rice cooker. Tuang santan dan masukkan semua bahan2 lain, kecuali garam. Kacau dan masukkan garam secukup rasa (jangan sampai masin, kasi rasa lemak2 sudah memadai). Gaul rata dan masak seperti biasa. Bila nasi kering, biarkan sebenatar. Kareh atau gemburkan nasi, gunakan chopstick dan tutup suis periuk nasi.
  2. Senduk nasi ke dalam pinggan dan hidangkan nasi lemak bersama sambal tumis dan bahan2 sampingan yang lain. Kalau rajin, anda boleh juga bungkus nasi lemak tadi dalam daun pisang untuk mendapat aroma yang lebih wangi. Selamat mencuba..


JALEN BUKAN SEKADAR PRODUK MAKANAN BIASA....

Salam semua...dah bersarapan?...Ada yang makan mi goreng pagi ini atau telur separuh masak?..Dan semestinya kicap menjadi peneman setia anda, terutama anak2. Anda pernah cuba kicap Jalen?..Mesti pernah betul tak?...Dan che mat sendiri adalah pengguna setia kicap Jalen sejak dulu lagi. Dan yang memperkenalkan kicap Jalen dalam keluarga kami dah tentu abang sulong che mat yang masa tu bekerja di MARDI dan beliau serta kaki tangan MARDI pernah melakukan lawatan ke kilang JALEN....Bila che mat rasa sekali terus jatuh cinta, dan ia kekal hingga ke hari ini...JALEN punya sejarah sendiri dalam pembuatan kicap (anda boleh baca di sini...) dan sejajar dengan perkembangan semasa pihak JALEN telah menambah produk mereka selain kicap ada juga tauco dan kordial minuman dalam pelbagai perisa. Dan dalam masa akan datang akan ada lagi produk2 terbaru dari mereka...

Buat masa kini terdapat 17 produk dari JALEN yang terdiri daripada :-

  1. Kicap Manis
  2. Kicap Masin
  3. Kicap Lemak
  4. Kicap Pekat
  5. Kicap Lemak Manis
  6. Sos Cili
  7. Sos Tomato
  8. Sos Tiram
  9. Cuka (feberet che mat nihh)
  10. Tauco
  11. Kordial Sirap
  12. Kordial oren
  13. Kordial Sarsi
  14. Kordial Barli
  15. Kordial Laici
  16. Kordial Anggur
  17. Kordial Mangga
JALEN bukan saja mementingkan kualiti, tapi juga dari segi rasa dan penghasilan. Malah mereka turutkan memastikan bahan2 yang diguna halal. Produk JALEN mudah didapati di semua pasaraya2 besar dan juga kedai2 runcit berhampiran anda. Mungkin juga ada sesetengah tempat produk JALEN masih belum sampai, insha Allah jika ada permintaan dari anda, akan ada lah produk JALEN di sana nanti...

Bagi anda yang ingin ketahui lebih lanjut pasal JALEN boleh singgah di laman web JALEN di sini..
Untuk mengetahui perkembangan JALEN, samada promosi, tawaran hebat atau anda  hendak komen apa2 pasal JALEN boleh LIKE  facebook JALEN di sini..

Yang ni menarik, anda ingin tau kepelabagaian produk JALEN yang boleh anda guna dalam masakan?, Anda boleh singgah di sini...dan che mat sebagai pengisi ruang resipi untuk blog JALEN (terima kasih JALEN)...jangan lupa follow juga...Sokonglah produk tempatan kita dan gunakan dengan yakin dan tanpa ragu2....Akhir kata memasak dengan ikhlas dan penuh kasih sayang, insha Allah orang akan ingat pada kita sampai bila2....

Tuesday, September 17, 2013

UBI REBUS CICAH SAMBAL TUMIS UDANG PETAI.....PENGGSANNN!!...

rsz_ubi_rebus_sambal_petai
Salam semua, petang2 macam ni enak juga kan kalau dapat makan ubi rebus cicah sambal tumis petai, kena pulak dengan kopi panas...pendek kata ular lalu pun tak perasan, ular pun heran sebab orang tak perasan kan dia..haha. Kampung che mat bila petang aje mula mendung, redup dan hujan sekali sekala. Ada masa lebat, dan masa macam ni lah ada permintaan pelik2, ada yang nak ubi rebus, cekodok atau lempeng. Sebab che mat ada bikin sambal tumis udang sama petai, maka memang ngam sangat jika dicicah dengan ubi rebus. Dah memang rezeki, kenalan keluarga che mat hantar ubi, maka dengan rasa amat rajin, ku rebus ubi tadi. Kena pulak dengan cuaca mendung, berangin dan hujan renyai2....nikmatnya, bancuh kopi panas dan santap sambil bergosip hal negara, terutama pasal kenaikkan harga barang yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi...apa nak buat 20 sen ajeee...huhu. Satu lagi kalau rebus ubi, cm suka rebus hingga betul2 kembang dan berkanji, baru bess dimakan bersama sambal tumis atau kelapa parut dan ikan masin.....che mat share serba sedikit resipi sambal tumis...tang rebus ubi tu rasanya budak2 pun boleh buat, cuma kerat ubi pendek2, kupas kulitnya dan cuci, kemudia rebus dan tambah garam secukupnya, masak hingga ubi empuk, toskan dan masak sekejap lagi atas api hingga ubi kering. Boleh hidangkan... Ok che mat share resipi sambal tumis udang petai yea.. pstt dab tengok resipi istimewa cm di sini?...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan isi udang, cuci dan toskan
5 papan petai, ambil isinya
1 biji bawang besar, hiris kasar
3/4 camca besar pes asam jawa
2 1/2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (biar lebih sedikit), tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan  pes asam jawa dan kacau rata. Tambah petai dan tuang sedikit air. Masak hingga petai lembut.
  2. Masukkan udang dan bawang besar, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula (yang ni kalau suka sambal manis sedikit, boleh tambah). Kacau rata dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ubi rebus dan jangan lupa kopi panas....penggsann!!

Monday, September 16, 2013

SAYUR BATANG KELADI....

rsz_asam_batang_keladi_daun_selasih
Lama tak makan sayur batang keladi, tu kata bonda, jadi semalam cm masak....errrr dan bonda yang siapkan proses menyiang batang keladi, cm masakkan ajee...hehe. Batang keladi tu ambik kat belakang rumah. Sekarang ni senang nak cari batang keladi yang siap bersiang, ada jual dipasar2 tani, pasar malam atau pasar basah. Cuma satu aje lah, kalau nasib tak baik batang keladi tadi gatal, walaupun dah celur sama asam keping atau petua2 lain. Ada yang kata masa celur tu jangan guna senduk besi, pantang...tapi piuk yang kita guna tu dari sumber besi juga....ke kena pakai piuk kaca tahan panas atau piuk tanah baru batang keladi tu ok agaknya kan. Untuk resipi ini cm guna daun selasih pulak, boring pulak guna daun kunyit. Dan seperti biasa cm akan guna ikan masin kurau sebagai rencah. Resipi tak susah sangat dan dah banyak kali juga cm kongsi dalam blog ni.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 - 4 pelepah keladi sayur
1 biji keladi saiz kecil, kupas dan potong kiub, rendam
5 - 6 ketul ikan masin kurau, cuci dan rendam
1 genggam daun selasih
2 keping asam gelugor
1 kiub ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
1 genggam ikan bilis, cuci dan rendam sekejap, toskan
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Batang keladi dibuang kulit luarnya, kerat pendek dan rendam. Keladi dikupas, potong kiub besar2 dan cuci. Rebus keladi hingga 1/2 empuk, angkat dan toskan. Dalam air yang sama, masukkan asam gelugor dan celur batang keladi sekejap (anggaran 2 minit), tos dan ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan masukkan kiub ikan bilis jika guna. Bila mendidih, masukkan keladi dan asam gelugor. Masak hingga keladi empuk, tambah ikan masin (toskan) dan batang keladi. Kacau dan biar mendidih.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan daun selasih, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain...


Sunday, September 15, 2013

GULAI PISANG MUDA SAMA KULAT SISIR...

rsz_gulai_pisang_sama_kulat_sisir
Salam Ahad semua, cuaca mendung dan hujan sekejap2...eh dah macam penyampai ramalan cuaca pulak..ish tak sesuaii.. Ok hari ni nak berkongsi dengan anda satu menu yang memang menjadi kegemaran ramai orang dan kalau yang tak suka pun hanya segelintir, dan itu mungkin bersebab, samada tak biasa makan atau 'pantang'. Gulai pisang sama kulat sisir atau ada yang panggil cendawan terkukur. Tempoh hari masa cm ke Telok Intan, singgah disatu gerai menjual petai, masa tu cm nampak cendawan terkukur turut dijual. Apa lagi beli selagi ada, maklumlah kat Johor ni amat payah nak jumpa, pokok getah semua takde dah ganti dengan pokok kelapa sawit. Kalau dulu mudah nak dapat.Untuk rencah, cm guna ikan masin kurau, cm guna isi kalau dapat guna tulang lagi sedap dan berperisa. Cm guna pisang emas yang muda dalam satu sisir. Masakan ini lebih sedap dimakan setelah dibiarkan sehari. Sekali rasa boleh terkenang2, apa yang pasti anda harus rendam dan cuci cendawan tadi bersih2 dan jika ada kulit2 kayu dibahagian pangkal cendawan, pastikan dibuang...resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sisir pisang muda (cm guna pisang emas muda)
2 cawan kulat sisir yang kering, rendam hingga kembang
2 batang serai, dititik
1 keping asam gelugor
6 - 7 ketul tulang ikan masin kurau, cuci dan rendam
1200 ml santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan
1 genggam ikan bilis, cuci dan rendam
2 biji cili merah
15 biji cili padi kampung (warna hijau)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dikupas sedikit kulitnya, kemudian hiris sederhana tebal dan rendam dalam air yang dicampur dengan asam gelugor. Cendawan terkukur dibersihkan, tos dan perah. Kemudian tumbuk sedikit, pastikan tidak hancur, cuma memar2kan sahaja. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama2 serai titik dan pisang (toskan). Gaul rata dan tuang santan cair. Kacau dan biar mendidih. Masak hingga pisang 1/2 empuk. Tambah cendawan dan asm gelugor. Kacau dan biar mendidih.
  3. Tuang pati santan. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula (kalau anda nak guna serbuk perasa pun boleh). Kacau dan biar masak dengan api kecil hingga pisang empuk, kacau selalu. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan dan lauk2 lain....

Saturday, September 14, 2013

TAUHU, TAUGEH DAN KUCAI MASAK KICAP...

rsz_tauhu_dan_taugeh_masak_kicap
Yang biasa2 selalunya lebih menjadi pilihan. Yang luar biasa bukan tak menjadi pilihan cuma hendak menyediakan agak rumit dan memakan masa. Contoh macam entri malam ini, kalau sekal tengok..alaaaa che mat, benda macam ni pun nak buat entri...Tapi serius ini antara menu yang menjadi kegemaran ramai untuk disediakan, terutama di hujung2 bulan dan sebagainya. Tauhu, taugeh dan kucai masak kicap menjadi menu cm hari ni selain ada satu lagi (yang itu esok yea cm share..tak larat dah nak mengadap laptop lama2..). Masak pun mudah dan tak perlu bahan2 yang banyak. Cm guna kicap manis dan kicap lemak jenama JALEN, yang menjadi pilihan cm sejak dulu lagi. Dan cm tambahkan juga sedikit minyak bijan sebagai pembangkit aroma. Tak lupa sos tiram sebagai perisa tambahana, juga dari JALEN. Sedap dimakan panas bersama nasi. Kalau anda suka pedas boleh titikkan beberapa biji cili padi sebagai ganti cili merah yang cm gunakan....bersedia untuk resipi?..ok jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 keping tauhu
2 genggam taugeh, cuci dan toskan
1 cekak kucai, kerat pendek
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
1 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
3 camca besar kicap manis (cm guna kicap JALEN)
1 1/2 camc besar kicap lemak (JALEN)
1 camca besar sos tiram (JALEN)
1/2 camca teh minyak bijan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tauhu dipotong 4 setiap 1, kemudian digoreng hingga keemasan, angkat dan ketepikan. Taugeh dibersihkan, cuci dan tos hingga kering. Kucai dicuci dan tos hingga kering, kerat pendek dan ketepikan..
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), tumis bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili hijau hingga harum dan layu, masukkan sos tiram, kacau rata dan tambah kicap manis dan kicap lemak. Gaul rata.
  3. Tambah tauhu, kacau dan masukkan taugeh dan kucai, kacau hingga semua rata guna api sederana. Masukkan minyak bijan, gaul dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matika api. Hidangkan panas bersama nasi..


CHICKEN SPAGHETTI OLIO....

rsz_spaghetti_olio
Salam semua, apa yang ada nampak ni bukan baru cm masak, tapi dua hari lepas cm buat untuk sarapan. Ada masa jadi buntu juga nak masak. Bila kita masak ikut apa yang kita hendak, tak mungkin orang lain akan suka. Spaghetti olio macam cm masak, cm sorang yang suka, Bak jangan harap lah, memang tak boleh masuk, kecuali laksa Johor. Yang lain2 tu masih ok cuma kalau makan pun ala2 terpaksa, rupa pun macam seksa aje nak menelannya. Biasalah spaghetti olio ni kan satu menu yang paling ringkas dan 'asli'. Bahan2 pun tak banyak, tak macam mi goreng mamak atau mi siam singapore yang siap berkuah bagai. Tapi cm memang suka spaghetti olio, selain cepat dimasak, rasa dia agak ringan dan tidak membebankan tekak menghurai cetusan2 rasa yang pelbagai ragam. Untuk resipi ini cm tambah isi ayam dan buah zaitun hitam. Apa rasa buah zaitun tu?..Rasa dia lemak dan cm suka..Kalau anda tak suka dan tak biasa, tak perlu letak pun takpe...Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
70 gram spaghetti, rebus hingga lembut, toskan (ikut arahan pada paket)
1/3 cawan isi ayam, hiris (atau lebih, ikut budget)
1/4 bahagian trafficlight capsicum, didadu
10 biji buah zaitun hitam (black olive)
10 biji jeruk capers, cincang halus
1 biji bawang holland saiz sederhana, dicincang
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh chili flakes
1/2 camca teh herba oregano kering
1/2 kiub pati ayam, hancurkan
Garam secukup rasa
Minyak zaitun untuk memasak

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak zaitun dalam kuali (cm guna non-stick frying pan). Tumis bawang holland dan bawang putih hingga layu. Masukkan chili flakes dan masak sekejap. Tambah isi ayam, kacau rata dan masak hingga isi ayam berubah warna.
  2. Masukkan kiub pati ayam dan gaul rata. Tambah jeruk capers dan buah zaitun. Masukkan trafficlight capsicum dan kacau. Masuk spaghetti, kacau rata. Masak sekejap dan perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali masukkan herba oregano kering, kacau rata. Biar sebentar, rasa dan jika ok boleh angkat dan hidangkan.

Friday, September 13, 2013

CROISSANT PICKLE TUNA SANDWICH.

Assalammualaikum, laparrrr tapi malas nak masak dan yang ter rajin cm boleh buat ialah sandwich. Boleh aje lah kan. Buat pun untuk cm sorang yang lain makan lah apa2 yang ada. Tadi siang cm singgah Tesco dan sempat beli roti croissant (mahal lah roti croissant sekarang ni, 4 biji = rm 6+..nak buat sendiri tak pandai, lecehh..huhu). Memang plan nak buat sandwich tapi bukan hari ni, cm plan untuk sarapan esok. Bahana kan dah tak menahan, ku buat juga tadi. Kali ni cm guna jeruk gherkins dan bawang jeruk dicampur dalam ikan tuna, cm tambah lagi bawang besar dan jeruk capers serta mayonnaise. Gaul rata dan guna sebagai inti sandwich. Nak tambah kaya lagi cm lapiskan dengan sekeping keju chessedale dan paipkan sedikit sos seribu pulau atasnya. Senang cakap macam anda nampak dalam gambar diatas tu. Sedap?...opkos sedap, nak2 makan masa lapar....err...betul kan, tak salah, kalau masa kenyang sah2 tak berapa nak lalu dah. Nak buat pun senang, yang penting bahan2 cukup, ok boleh ON....resipi dibawah ni untuk 2 biji sandwich (kurang lebih)..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji roti croissant (roti tanduk)
4 helai daun salad (cm guna salad 'butterhead')
8 -10 keping hirisan timun (cm guna timun jepun)
8 keping hirisan tomato
2 keping keju cheesedale, kerat 4 setiap sekeping
Sos thousandisland secukupnya

BAHAN-BAHAN INTI TUNA :-)
1 tin tuna cap ayam (tuna in water atau in oil)
2 camca besar mayonnaise
1 biji jeruk gherkin, didadu
1 biji bawang holland, saiz sederhana didadu
3 biji jeruk bawang, didadu (optional)
6 biji jeruk capers, dicincang
1 biji limau kasturi, perah jusnya
1 biji bawang putih, cincang halus

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan tuna dalam tin ditoskan, kemudian hancurkan dan alih ke dalam mangkuk. Tambah semua bahan2 untuk inti dan gaul rata2. Rasa dan jika ok, boleh ketepikan.
  2. Ambil 1 biji roti croissant, belah 2. Ambil bahagian bawah belahan dan susun dengan 2 helai daun salad. Diikuti dengan sekeping keju (4 bahagian), hirisan tomato dan hirisan timun. Sudukan kurang lebih 3 camca besar inti tuna atasnya dan kemaskan. Paipkan zig zag atas inti tuna dengan sos thousand islan. Tutup dengan bahagian atas roti dan boleh hidangkan. 
  3. Buat kaedah sama untuk baki roti croissant. Simpan dalam peti sejuk jika inti tuna tidah habis digunakan....Selamat mencuba untuk semua.

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.