BEN ASHAARI

Wednesday, August 28, 2013

GULAI TUMIS NANGKA MUDA...

rsz_gulai_tumis_nangka_muda
Assalammualaikum, baru berkesempatan untuk mengemaskini blog. Entri yang cm letak ni pun bukan lah baru cm masak, tapi dah beberapa hari lepas. Sekarang ni masa untuk berblog agak terbatas. Dan cm sendiri macam kurang masa untuk memasak, huhu.... Gulai nangka untuk resipi ini cm guna kurang lebih 600 gram nangka muda yang telah siap disiang (boleh beli di pasar tani atau pasar2 basah). Cm guna tulang ikan kurau masin, kalau anda nak ganti dengan ikan sepat atau ikan talang masin, pun boleh, tapi pastikan anda rendam dahulu untuk mengelakkan rasa masin terlampau. Satu lagi bila guna tulang atau isi ikan masin, garam harus berhati2. Kata orang biar masakan tawar dari termasin, sebab tawar boleh tambah garam, kalau masin memang boleh tambah air, cuma keadaan masakan nampak kurang pekat, cair. Resipi agak mudah disediakan....seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram nangka muda yang telah siap dibersihkan dan dipotong kiub
6 keping tulang ikan masin kurau yang masih berdaging, cuci dan rendam 30 minit
2 -3 keping tempe, dipotong kiub
1 keping asam gelugor
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
4 biji cili merah
2/3 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Celur nangka hingga 1/2 empuk, toskan. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/4 cawan) tumis serai titik hingga harum, masukkan bahan kisar halus dan masak hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan nangka dan gaul rata. Tuang santan cair, kacau dan biar mendidih. Tambah asam gelugor, tempe dan tulang ikan masin kurau (toskan). Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air. Kacau dan tuang pati santan. Masak dengan api kecil dan kacau selalu.
  3. Tambah daun kunyit, perasakan sedikit garam (rasa dahulu) dan sedikit gula. Masak sekejap hingga nangka empuk, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan.

Monday, August 26, 2013

PULUT KUNING SAMA SAMBAL UDANG...

rsz_pulut_raya
Assalammualaikum....Entri pertama hari ini Isnin ini cm letak pulut kuning sebagai pembukaan. Menjadi tradisi orang2 melayu, kalau ada majlis2 penting umpamanya hari lahir, majlis perkahwinan, khatam Quran dan sebagainya, maka akan dibuat pulut kuning sebagai 'tanda' kesyukuran, ini bukan wajib hanya tradisi. Kalau nak makan, tak perlu tunggu ada majlis2 tertentu pun anda boleh buat. Kebetulan semalam Ady datang dan  cm tau dia ni gemar makan kuih atau makanan yang berasaskan pulut. Maka cm buat pulut kuning versi cepat, tapi kalau dah nama pulut kuning kena lah rendam semalaman dengan serbuk kunyit, kalau tak idok leer kuning namanya. Sesuai dimakan sama rendang serunding dan sebagainya termasuklah sambal tumis udang macam cm tulis tu. Resipi mudah seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram beras pulut
3/4 camca teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
1 cawan santan cair*
3/4 camca teh garam*(*disatukan dan kacau rata)
2 helai daun pandan
100 ml pati santan (santan pekat)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras pulut, kemudian rendam dan masukkan serbuk kunyit dan asam gelugor. Biarkan semalaman atau sekurang2nya 8 jam. Kemudian tos dan masukkan ke dalam loyang (cm guna loyang saiz 9 inci).
  2. Tuang santan cair, dan masukkan daun pandan. Kukus atas air mendidih selama 15 minit. Kareh atau gaulkan pulut tadi. Tuang pati santan, gaul lagi dan sambung kukus 15 minit atau hingga pulut masak. Keluarkan daun pandan dan boleh dihidangkan bersama sambal tumis, rendang, kari atau serunding..

Sunday, August 25, 2013

KEK COKLAT KUKUS LAPIS CHEESE...MUDAH DAN SEDAP!..

rsz_kek_sedap
Assalammualaikum, sibuk sikit sejak2 raya ni, tak dapat nak update blog kerap sangat. Nak ambik gambar pun rasa tak selesa, terkejar2 dan tak boleh nak kasi konsentrasi. Hari ni cm rajinkan juga diri untuk update blog. Sebab hari ni cm terima tetamu, jadi boleh lah baking kek2 yang mudah untuk disajikan sebagai pemanis mulut. Salah satu pilihan cm dah tentu kek coklat lapis cheese yang senang dibuat, sedap dan menjadi kegemaran kanak2 dan yang tak berapa kanak2. Kerap juga cm buat dan pertama kali yang bawak kek ni datang ke rumah cm ialah Kak Yati Memories. Ramai yang puji sedap dan bila cm rasa, memang sedap. Cuma kek ni kalau anda makan banyak sangat, rasa muak, tapi adatlah, mana ada orang hadap kek sebiji dan makan sampai habis. Apa2 pun kalau anda bercadang nak buat rumah terbuka dan masak sendiri, cm sarankan anda cuba kek ini....Resipi walaupun ada dah dalam blog, tapi cm kasi tulis juga untuk memudahkan anda...

BAHAN-BAHAN KEK COKLAT :-)
2 biji telur gred A
1 cawan gula halus
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam
1/2 cawan air panas
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan minyak jagung
1 cawan tepung gandum*
3 camca besar serbuk koko*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan di ayak)

BAHAN-BAHAN LAPIS CHEESE :-)
250 gram krim cheese
60 gram gula halus
1 biji telur gred A
1 camca besar air
1 camca besar tepung gandum

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyal. lenser juga kertas tadi. Ketepikan..
  2. UNTUK KEK COKLAT :- Putar telur dan gula hingga kembang dan pekat, masukkan esen vanilla dan garam, putar rata. Tambah susu cair, minyak jagung dan air panas, putar sebati dengan kelajuan sederhana. Masukkan bahan2 yang diayak sedikit demi sedikit hingga habis, putra rata dan matikan mixer. Bagi kepada 2 bahagian sama banyak. Ketepikan.
  3. UNTUK LAPISAN KEJU :- Putar krim cheese dan gula hingga sebati dan licin. Masukkan telur dan putar hingga kembang. Tambah tepung dan air, putar hingga semua sebati dan tidak berbintil2.
  4. UNTUK KEK COKLAT KUKUS LAPIS CHEESE :- Tuang satu bahagian kek coklat. Ratakan dan tutup permukaan tin dengan aluminium foil. Kukus selama 20 minit, guna api sederhana. Kemudian tuang pula adunan krim cheese, ratakan dan sambung kukus 20 minit lagi. Tuang baki bahagian kek coklat ratakan dan sambung kukus selama 45 minit atau hingga masak (bila anda cucuk dengan lidi sate atau cake tester di bahagian tengah kek dan keluarnya bersih, tanda kek dah masak).
  5. Sejukkan kek sekejap, kemudian boleh keluarkan dari tin. Biar kek sejuk sepenuhnya atas jaringan dan boleh dipotong untuk dihidangkan.....


Wednesday, August 21, 2013

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS SAMA PETAI....

rsz_sambal_tumis_petai_ikan_bilis
Assalammualaikum, salam 14 Syawal. Cm tak berapa sempat nak kemaskini blog, bahan ada tapi tu lah, bila duduk mengadap blog, ada je hal2 lain yang perlu diuruskan, maka terus terbantut nak masukkan entri. Contohnya sambal tumis ikan bilis sama petai ni, dah buat 2 hari lepas, tapi hari ni baru dapat masukkan ke blog. Dah lama juga ngidam sambal tumis petai. Bila dah buat, maka selesailah sudah hajat tekak. Kalau anda nak guna udang pun boleh, lagi sedap. Untuk sambal petai cm guna kurang lebih 4 papan petai. Selain dimakan bersama nasi, sedap juga dicicah lempeng pekak, roti canai atau roti biasa (macam dalam gambar atas tu...errr, yang tu bukan roti biasa, tapi roti sekam) dan cm ulamkan dengan timun serta daun salad (dan cm lagi suka salad jenis butterhead, rasa dia sedap dan lemak)....ok resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
2 1/2 senduk nasi cili kisar
4 papan petai, ambil isinya
1 biji bawang besar, hiris kasar
3/4 camca besar pes asam jawa
Secubit camca teh serbuk perasa (optional)
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (guna lebih sikit dan anda boleh keluarkan lebihan minyak bila sambal siap nanti). Tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan terbit minyak. Guna api kecil dam kacau selalu.
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tambah petai dan bawang besar hiris. Gaul, masukkan sedikit air dan masak sekejap. Masuk ikan bilis (toskan dan perah), kacau rata. Tambah serbuk perasa (jika guna), garam dan gula secukup rasa. Masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, lempeng, roti canai atau roti biasa..


Sunday, August 18, 2013

SPAGHETTI BEBOLA AYAM, IKUT APA YANG ADA...

rsz_spaghetti_bebola_daging_ayam
Petang semua, assalammualaikum..masih mood beraya, yang tu sudah pasti, syukur alhamdulillah kita masih diberi keamanan dan dalam diam tidak mustahil keamanan juga boleh terjejas dengan tindakan manusia yang tidak berhati perot dan punya agenda sendiri. Moga Allah memberi kekuatan pada umat2 Islam seluruh dunia. Hari ni cuaca mendung dan hujan, dan siang tadi cm menerima kunjungan teman blogger Sunah dan sahabat beliau Azila Aji, terima kasih sudi singgah jengok pcm dan bertanya khabar. Entri yang cm masukkan ini bukan lah cm masak hari ini, tapi cm masak semalam, dan sejak petang Jumaat lepas ada masalah dengan line streaymix di kawasan kampung cm, maka tidak lah dapat nak ber on-line, terbantut nak update blog. Hari ni alhamdulillah, line internet dah ok. Spaghetti bebola ayam ini cm buat ala kadar sahaja, ikut bahan2 yang ada di rumah. Cm guna daging ayam kisar jenama 'ramly' dan guna juga sos spaghetti prego tomato, selasih dan bawang putih....resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin sos spaghetti 'prego' tomato, selasih dan bawang putih
1 biji bawang holland, dicincang
2 ulas bawang putih, cincang halus
3/4 camca teh herba oregano
1 camca teh lada hitam yang baru dikisar
1 kiub ayam
1 helai bay leaf
10 biji buah zaitun hitam
10 biji jeruk capers
Sedikit gula
1 cawan air
200 gram daging ayam kisar (cm guna jenama 'ramly)*
1/2 camca teh pes perapan halia (jenama LIFE)*
1/2 camca teh lada hitam kisar*
1 camca besar tepung jagung*
Spaghetti secukupnya, rebus ikut arahan pada bungkusan
Minyak zaitun secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK BEBOLA DAGING :- Dalam satu bekas, masukkan semua bahan2 bertanda (*), kemudian gaul rata. Kemudian kacau pada satu arah selama 4 - 5 minit hingga adunan kelihatan anjal dan licin. Rehatkan sebenatar. Ambil 1/2 camca besar dan bulat2kan menjadi bebola, buat hingga siap dan ketepikan.
  2. UNTUK SOS BEBOLA DAGING :- Panaskan 3 camca besar minyak zaitun dalam frying pan (cm guna non-stick pan), tumis bawang holland, bawang putih dan bay leaf hingga harum dan bawang layu. Masukkan sos spaghetti 'pergo' kacau rata dan tambah air. Bila mendidih, kecilkan api dan masukkan bebola daging dan masak hingga bebola daging masak.
  3. Tambah kiub ayam (hancurkan), lada hitam kisar dan herba oregano, kacau perlahan. Tambah buah zaitun dan jeruk capers, kacau dan masukkan sedikit gula. Masak hingga pekat, boleh matikan api. Jangan lupa rasa garamnya.
  4. UNTUK SPAGHETTI BEBOLA AYAM :- Letak secukupnya spaghetti dalam pinggan sesuai. Sendukkan sos bersama beberapa biji bebola ayam dan buah zaitun. Hias dengan daun selasih @ basil, dan jika suka drizzle dengan sedikit minyak zaitun dan hidangkan segera...


Wednesday, August 14, 2013

MAGGI LAGI SEDAP...KAN...KAN...KAN.....

rsz_megi_aje_lah
Assalammualaikum, mood beraya lagi kan...mana2 yang dah mula bekerja, selamat bekerja, mana2 yang masih bercuti, selamat bercuti dan berhati2 di jalan raya. Hari ni seperti biasa, cm masak maggi kari yang tersenang dan tersedap sangat. Sejak2 makan lauk pauk hari raya aje, mula dah tekak ni rasa jemu dan cerewet. Hari ni ke pasar basah, topup apa yang patut, manalah tau kalau ada tetamu datang, sekurang2nya adalah benda yang nak dimasak. Seawal hari raya tu baru hari ni cm keluar rumah...jangan tak caya. Takpe lah, ibarat kata jiran cm, Ben, baru rasa hari raya....haha sabar je lahh aku. Ok lah resipi megi seperti berikut, kalau yang tak tau nak masak maggi, sila rujuk di bawah ni yea...hamboii ada yang gelak yeaa.....hehe..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 bungkus mi maggi kari, asingkan perencahnya
4 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1 batang sosej Ayamas, kerat pendek dan potong seperti dalam gambar
2 pelepah sawi putih, siang berasingan
1 biji telur
3 cawan air
2 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 1/2 cawan air
Sedikit hirisan daun sup, untuk hiasan
Hirisan cili merah/hijau, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1 camca besar minyak masak, tumis bawang merah dan putih hingga harum, masukkan air, kacau dan tambah perencah kari. Kacau dan biar mendidih. Masukkan telur dan masak dengan api kecil hingga telur mengeras.
  2. Masukkan udang dan sosej, tambah batang sawi, masak sekejap. Masukkan mi maggi dan biar mi lembut. Akhir sekali masukkan daun sawi, masak sekejap lagi dan jika suka kuah lebih boleh tambah sedikit air. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup, cili merah dan hijau sebelum dihidangkan....Sedap dimakan panas..


Tuesday, August 13, 2013

CUTI MASAK....TAPI MASAK JUGA...

rsz_sup_ayam_nasi_impit
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni cuaca mendung dan awal pagi dah hujan. Lepas subuh cm sambung tidur dan plan asal nak cuti masak aje hari ni atau masak lewat petang sikit memandangkan bonda dan abang cm puasa enam. Tapi kan, tengah hari tadi tiba2 nak makan sup ayam, sebenarnya dah rasa jemu makan kari atau lauk2 yang terlalu berempah, tu pasal cm nak makan sup ayam dan bonda cadangkan cm rebus ketupat segera untuk dimakan bersama. Tapi pada cm masakan menu macam ni tak susah, malah antara tersenang dan termudah. Cm guna ayam pencen dan dimasak dalam periuk tekanan. Ketupat segera tu cm rebus awal, sekitar jam 12 tengah hari, rebus selama 2 jam, tambah daun pandan dan sedikit garam untuk kasi lebih wangi dan sedap. Lada kicap pulak cm kisar dalam blender aje, malas nak tumbuk dalam lesung batu, tapi kalau sambal belacan wajib guna lesung batu, no blender2 ok, hilang ke seksi annya nanti...Ok resipi amat2 mudah dan jika anda guna ayam daging, tak perlulah guna periuk tekanan.....

BAHAN-BAHAN SUP AYAM :-)
1 ekor ayam, potong kecil (atau ikut suka)
5 biji kentang, kupas potong 4 setiap 1 dan rendam
1 sup bunjut sup tulang ADABI
1 kiub ayam (optional)
2 camca teh serbuk lada hitam 'aji-shio'
3 liter air
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
2 inci halia
4 ulas bawang putih
1/2 cm kunyit hidup

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Ketupat, Nasi impit, mi hoon atau mi kuning
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Taugeh, buah ekor, cuci dan toskan
Sambal kicap (25 biji cili padi + 3 ulas bawang putih + 3 camca besar gula + 1/3 cawan kicap lemak JALEN = dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 3 camca besar). Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum, tambah bahan kisar halus dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya dan masukkan lada hitam serbuk dan sup bunjut. Kacau dan biar mendidih. Tambah kentang (toskan) dan kiub ayam. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga kentang empuk.
  3. Tambah garam secukup rasa, masak sekejap dan rasa. Jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi impit atau mi, tabur taugeh, hirisan daun bawang, daun sup, bawang goreng dan juga sambal kicap...apa lagi mohh lerr makan!!....hmmm...


Sunday, August 11, 2013

DAN AKHIRNYA INI YANG LEBIH SEDAP!!....

rsz_sardine_tomyam
Assalammualaikum, salam 4 Syawal. Masih tak terlewat cm nak ucapkan Selamat Hari Lebaran buat semua umat Islam. Minta maaf sejak beberapa hari sebelum akhir Ramadan hingga hari ini cm agak sibuk. Dan masa untuk berblog amat2 terbatas. Menu hari raya tak banyak beza. Sebabkan cm rasa jemu sangat dah dengan benda yang sama maka ku masak sardine, goreng telur dadar (tambah cencalok lagik!) dan debik sambal belacan....hmmm sedapppp!..Maka ini lah yang tersedap dari rendang dan sebagainya. Esok2 nak masak megi kari pulak. Anda masak apa hari ini?. Sardine ni cm masak lain sikit, cm tambah pes tomyam dalam dia, rasanya dah kerap kali buat dan masukkan entri dalam blog. Cm guna sardine cap ayam tin besar. Anda boleh guna apa2 jenama sardine yang anda suka tapi mungkin rasa dia agak berlainan sikit. Resipi amat2 mudah dan cepat dimasak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin besar sardine (cm guna cap ayam)
1 camca besar cili kisar
1 batang serai, dititik
2 helai daun limau purut
2 inci halia, hiris
2 keping nipis lengkuas, diketuk
8 biji cili padi siam, dibelah 2 setiap 1
1 biji bawang besar, hiris kasar
3 ulas bawang putih, diketuk
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar pes tomyam (sebarang jenama)
Sedikit sos ikan dan gula

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (dalam 2 1/2 camca besar), tumis serai, bawang putih, halia, lengkuas dan cili kisar hingga garing. Masukkan pes tomyam dan cili padi, kacau rata. Masak sekejap. Masuk sardine dan kacau perlahan.
  2. Tambah daun limau purut, jus limau kasturi dan bawang besar, kacau dan masak hingga bawang lembut, perasakan dengan sos ikan secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi hangat......Penggsannn!!.

Monday, August 5, 2013

AYAM CENCALOK UNTUK 27 RAMADAN...

rsz_ayam_cencalok
Ayam cencalok untuk che mat berbuka hari ini. Memang ringkas dan cepat dimasak. Cm kena masak yang ringkas sebab masa agak ketat. Kena buat persiapan awal untuk menerima kedatangan tetamu nanti, Sebab cm kena handle sorang2, kenalah diatur dengan sebaik mungkin. Ayam cencalok satu masakan unik orang peranakan, tapi ada juga orang peranakan yang komen kata tiada resipi seperti ini dalam keluarga mereka. Orang peranakan juga punya resipi keluarga mereka sendiri, ini menyebabkan ada yang tak biasa melihat resipi seperti ini. Apa2 pun ini idea mereka dalam memperkayakan hasil makanan unik dalam negara yang punya masyarakat majmuk. Kalau anda ada masa dan ada stok cencalok kat rumah, apa kata cuba buat dan rasa. Makan dengan nasi panas yang dimasak lembut....hmm memang sedap...terangkat!!!...Resipi asal dari Chef Florance Tan..

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 biji bawang merah, hiris halus
3 ulas bawang putih, hiris halus
600 gram dada ayam, dipotong kiub
1/2 cawan cencalok, toskan
3 helai daun limau purut
2 camca besar gula (cm letak 1 camca besar)
1/2 cawan jus asam jawa 
3 biji limau kasturi, perah jusny
2 biji cili merah, hiris
2 biji cili hijau, hiris
8 biji bawang merah*
2 cm kunyit hidup*
3 batang serai, hiris halus*(*dikisar halus)
Sedikit garam, jika perlu
1 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1 1/2 cawan), goreng hirisan bawang merah dan bawang putih hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Keluarkan minyak tadi dan tinggalkan lebih kurang 1/2 cawan. Tumis bahan2 kisar hingga harum dan pecah minyak, gunakan api sederhana.
  2. Masukkan ayam, cencalok dan daun limau purut, gaul rata. Masukkan air asam dan tambah gula dan juga air. Kacau dan biar mendidih. Masukkan sebahagian bawang merah/putih goreng tadi dan juga hirisan cili merah/hijau. Kacau rata2.
  3. Perlahankan api dan renih hingga ayam masak dan pekat. Akhir sekali masukkan jus limau kasturi, kacau dan rasa. Jika perlu tambah garam (tapi rasa mat tak perlu lah tambah garam, sebab cencalok pun dah masin). Hidangkan segera bersama nasi hangat.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau nak pedas cili hijau/merah tu tadi boleh ditukar dengan hirisan cili padi. Guna udang pun sedap juga, campur dengan petai....Sesuaikan rasa ikut citarasa individu, kalau tak nak masam, tak payah letak jus limau kasturi (tapi kurang "kick")....Selamat mencuba!

Sunday, August 4, 2013

TERUNG BERLADO

rsz_terung_berlado (1)
Salam semua, dah nak hujung2 Ramadan ni, cm masak lagi simple dan ringkas. Semalam cm masa terung berlado. Selain tu ada juga asam pedas ibu kerisi dan urap pucuk ubi. Terung yang cm guna ni jenis organik, jadi saiznya pun tidak lah besar gedabak, comel2 aje. Sebab comel cm guna 5 biji. Satu lagi kalau anda nak senang, sambalnya anda boleh buat awal dan buat lebih2. Simpan dalam peti sejuk dan bila nak guna tinggal panaskan dalam ketuhar mikro. Selain terung, anda boleh guna guna ikan, sayur kacang panjang dan bendi (kalau bendi anda rebus dulu, kemdian toskan dan baru dikerat dua, kalau saiznya besar) dan letak sambal. Sedap dimakan bersama nasi panas.....Jadi kalau petang ni rasa2 macam nak makan sesuatu yang ringkas dan cepat dimasak, anda boleh cuba terung berlado ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5  biji terung ungu (cm guna terung 'pearl sakura')
Sedikit hirisan daun bawang untuk hiasan
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
5 biji cili merah
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dibelah dua setiap satu, kemudian kerat 2 setiap belahan, rendam dalam air garam 10 minit, toskan dan lap dengan paper towel hingga kering. Panaskan sedikit minyak dalam non-stick pan. Masukkan terung dan goreng dengan api sederhana hingga terung lembut (tapi tidak lembik). Angkat dan letak atas paper towel. Kemudian susun dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar atau lebih). Tumis bahan tumbuk lumat hingga harum dan garing, masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau rata dan bila sambal betul2 kering, tambah jus limau kasturi, gaul dan matikan api. Tuang atas terung dan ratakan. Tabur sedikit hirisan daun bawang untuk hiasan. Hidangkan segera..

BISKUT RANGUP NESTUM BLUEBERRY...

rsz_blueberry_nestum_crunchy
Assalammualaikum, salam semua, dah 26 Ramdan saja hari ni, tinggal beberapa hari nak menyambut Syawal. Entri pertama hari ni cm letak entri biskut raya je lah..dan dengan rasminya hari ini cm dah tak buat biskut lagi, semalam last (termasuk malam semalam, cm buat biskut semperit). Rasa macam tak larat dah nak buat2 biskut ni, dah tua agaknya, nak kasi tumpuan sepenuhnya pun tak boleh sebab otak berfikira macam2 benda nak kena buat. Pada yang inbox mintak resipi biskut ni, cm minta maaf sebab terlewat letak, keadaan tak mengizinkan. Resipi asal cm ambik dari Majalah Saji, tapi ada bahan2 yang cm tak letak, sebab takde. Rasa dia sedap dan ada kelainan sedikit. Perasan tak macam coklat chip yang cm guna utk hias biskut tu, yang tu sebenarnya 'blueberry bites', cm beli kat kedai baking. Cara anda hias ikut lah kreativiti anda dan ikut juga corak acuan yang anda guna. Ok resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
225 gram mentega (cm guna jenama SCS)
100 gram gula aising (cm letak 80 gram), diayak
1 camca teh paste blueberry
345 gram tepung gandum*
45 gram tepung jagung*
45 gram suji @ semolina*
70 gram nestum, kisar halus*
3 camca besar susu tepung*(*disatukan dan gaul rata)
Kuning telur untuk disapu
Gula manik dan blueberry bites untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, masukkan pes blueberry, putar rata. Perlahankan kelajuann, masukkan bahan yang disatukan tadi sedikit demi sedikit hingga habis, gaul rata hingga menjadi bancuhan yang tak melekat di mangkuk adunan. Keluarkan dan biar sekejap.
  2. Bahagi dok pada 3 bahagian, ambik satu bahagian (tutup baki doh dengan kitchen towel lembap), canai setebal 0.5 cm antara dua lapisan plastik bersih. Terap dengan acuan pilihan anda, alih ke dalam dulang pembakar. Buat hingga siap. 
  3. Sapu dengan kuning telur, hias dengan bluberry bites ditengah2nya dan tabur sedikit gula manik. Buat kaedah sama untuk baki biskut tadi. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 20 - 25 minit. Lepas 10 minit, pusing2kan dulang pembakar agar biskut masak sekata. Sejukkan biskut atas jaringan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara..Menghasilkan kurang lebih 120 keping (bergantung pada acuan yang anda guna)....


Saturday, August 3, 2013

BISKUT KACANG GAJUS...

rsz_biskut_kacang_gajus
Assalammualaikum, salam 25 Ramadan, dah buat biskut raya?..Cm rasanya macam dah cukup lah buat, yang lain2 tu cm tak boleh nak janji lah takut tak sempat nak ambik gambar. Macam biskut kacang gajus ni cm ambik gambar pun seringkas yang boleh. Lepas siap, susun2 atas redai @ jaring, cm ambik gambar. Dan satu lagi, cm amat2 tak rajin nak men drizzle coklat atasnya, jadi kalau anda buat dan rajin (sila jangan tiru che mat ok), sila lah drizzle coklat atasnya yang pasti menjadikan biskut anda lebih berketrampilan dan menawan. Dari segi rasa, insha Allah sedap, sebab tadi masa cm buat, anak buah cm yang kecil sekali dalam usia 2 tahun lebih, makan sampai 3 keping...errrr, ke dia lapar eks, tapi dia dok ulang nak lagi, jadi tu tandanya sedap lah kan...boleh macam tu?. Jadi kalau anda teringin nak mencuba boleh buat. Banyak mana anda dapat tu ikut saiz acuan yang anda guna. Macam cm buat ini dapat dalam 140 - 150 keping...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram mentega (cm guna jenama SCS)
120 gram gula aising, diayak
2 kuning telur gred A
1 camca teh esen vanilla
450 gram tepung gandum
60 gram gajus, disangai sekejap hingga wangi dan kisar halus
2 camca teh emplex (penggaring biskut)
Kuning telur, untuk disapu
Gajus, untuk hiasan
Coklat cair untuk hiasan (cm tak letak)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan tepung dan emplex, gaul rata dan ayak. Masukkan gajus kisar dan gaul rata. Ketepikan. Putar mentega dan gula aising hingga sebati. Masukkan kuning telur dan putar hingga rata. Tak perlu putar sampai kembang.
  2. Perlahankan kelajuan, masukkan esen vanilla dan tepung + emplex + gajus kisar tadi sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang tak melekat dimangkuk adunan (kalau agak lembik, tambah 1 camca besar tepung gandum). Rehatkan 10 minit.
  3. Panaskan oven pada suhu 170C, doh dibahagi kepada 3 bahagian, ambil satu bahagian, canai setebal 0.5 cm antara dua keping plastik bersih. Cetak dengan acuan kegemaran anda dan alihkan ke dulang pembakar. Buat hingga siap.
  4. Sapu kuning telur dan hias dengan 1/2 biji kacang gajus (sebiji kacang gajus, anda belah dua). Bakar selama 25 minit dan lepas 10 minit, pusingkan dulang pembakar agar biskut masak sekata. Sejukkan atas jaringan dan bila sejuk boleh lah hias dengan coklat cair. Biar coklat keras dan simpan dalam bekas kedap udara..


Thursday, August 1, 2013

IKAN KERISI BERLADO....RINGKAS TAPI SEDAP!!..

rsz_ikan_kerisi_berlado
Berbuka ringkas itu lebih sedap, bukan tak boleh nak meriah atau penuh semeja, tapi bila berbuka, banyak mana sangat lah yang anda boleh makan. Kalau terlebih nanti, mulalah nak solat pun rasa lemau. Cm masak yang mudah2 saja, tapi ada juga yang tegur kata cm masak banyak jenis. Bukan macam tu, kat rumah cm bukan semua orang makan benda yang sama. Kalau masakan ada petai, abang cm tak makan, kalau ada tempoyak bak dan abang cm tak makan juga. Jadi cm pun masaklah menu ringkas untuk mereka. Bak pulak tak boleh makan pedas tapi yang lain memang suka pedas. Kalau anda dalam situasi cm macam mana?.....Tu pasal nampak macam masak banyak jenis tapi dalam kuantiti yang sederhana. Apa2 sekali pun memasaklah dengan ikhlas hati. Kadang2 kita mengharapkan imbuhan pahala, tapi pada cm biarlah itu Allah swt yang tentukan...kita buat seikhlas mungkin....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan kerisi saiz besar, siang dan kelar, cuci bersih*
Sedikit garam dan serbuk kunyit*(*dilumur pada seluruh ikan termasuk bahagian dalam, perap 10 minit)
2 biji limau kasturi, diperah jusnya
Gula dan garan secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
5 biji cili merah
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah kerasm hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Goreng ikan tadi hingga masak, tak perlu sampai terlalu garing, angkat, toskan dan alih ke dalam pinggang yang sesuai. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum dan garing, guna api kecil dan kacau selalu. Tambah garam dan gula secukup rasa, akhir sekali masukkan jus limau kasturi, gaul dan masak sekejap.
  3. Ceduk sambal tadi dan letak atas ikan kerisi goreng, ratakan dan boleh dihidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....Selamat mencuba..

MENGIDAM APAM KAMPUNG DI BULAN RAMADAN...

rsz_apam_kampung (1)
Assalammualaikum semua, salam Khamis, entri pertama hari ini cm letak satu benda yang cm nak makan sejak awal Ramadan lagi, tapi bahanakan asyik mengulit kerja lain, maka terlepas pandang. Bila sampai masa berbuka baru teringat nak makan. Kebetulan Bak juga mula bersuara dua hari lepas teringin nak makan apam kampung, maka semalam lepas projek buat biskut raya, dan lepas cm berehat sebentar (konon2nya melelapkan mata, tapi cuma 30 minit aje), cm ON kan projek mengapam pulak. Sebenarnya dalam simpanan resipi cm, ada beberapa resipi yang cm salin. Kali ni cm guna satu resipi yang agak mudah dan apam yang dihasilkan juga sedap, tidak melekit dan bersaiz agak besar. Cm kukus dalam loyang 10 inci x 10 inci x 3 1/2 inci dan cm guna kukus elektrik. Kalau anda nak cuba buat dan takut banyak, buat 1/2 adunan. Resipi seperti berikut.

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan gula merah (gula timbang)*
2 camca besar gula pasir*
2 1/4 cawan air*
1 helai daun pandan, disimpul*(*masak hingga gula larut, tapis dan sejukkan)
3 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1/4 camca teh garam
10 gram instant yeast (mauripan)
1/4 cawan air suam
Secubit gula
Kelapa parut putih secukupnya*
Sedikit garam*(*disatukan dan kukus sekejap)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam satu bekas, satukan instant yeast dan air suam, masukkan secubit gula. Kacau hingga larut dan biar hingga bancuhan yeast berbuih (kurang lebih 10 minit). Sementara itu satukan tepung gandum, tepung beras dan garam, gaul rata.
  2. Masukkan bancuhan yeast yang telah berbuih ke dalam tepung (buat lubang ditengah2 tepung tadi), kacau rata dan tuang air gula merah sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga mendapat bancuhan yang licin dan tidak berbintil2, habiskan air gula merah tadi. Ketepikan sebentar.
  3. Sapu tin berukuran 10inci x 10inci x 3inci dengan sedikit minyak (cm guna majerin), tuang bancuhan apam, dan tutup permukaan tin dengan plastik cling, perap 1 jam. Kemudian kukus atas air mendidih selama 40 minit. Sejukkan apam dan hidangkan bersama kelapa parut...
CATATAN MAT GEBU :-) Kalau guna kukus biasa, sila bungkus penutup kukus degan kitchen towel yang bersih dan boleh juga tutup permukaan tin sebelum dikukus. Bertujuan untuk mengelakkan air menitis dibahagian tengah apam dan membuatkan apam jadi lekuk.....Selamat mencuba!!!..





Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.