BEN ASHAARI

Saturday, June 29, 2013

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU.... LAGI....

rsz_sambal_tempoyak_daun_kayu (1)
Cuma boleh kata penat..tu je, tapi semua pekerjaan ada penatnya. Hari ni ada permintaan menu yang agak cerewet sikit tapi seronok membuatnya. Walaupun hanya ada penambahan pucuk labu, namun tetap memerlukan ketelitian. Sebenarnya cm ada beli petai tu hari, jadi memang plan nak bikin sambal tempoyak daun kayu. Pucuk ubi kutip kat tepi rumah dan cara cm ambik pucuk ubi hanya tiga tingkat dari atas (maksudnya pucuk, daun kedua dan ketiga sahaja). Dan ada yang kata bahagian pucuk sekali dibuang, tujuan untuk mengelakkan pening kepala, wallahhualam, cm tak buang pun, habis aku hempok sekali jalan dalam sambal tempoyak. Seperti biasa, kalau sebut sambal daun kayu, pasti dengan berbelas malah puluhan jenis daun2nan yang digunakan. Tapi cm guna daun kunyit, pucuk ubi, petai dan pucuk labu sahaja. Kali ni agak pedas sebab guna 3/4 cawan cili padi. Tempoyak cm guna dalam 5 camca besar penuh dan santan dari sebiji kelapa...hehe..seram ke?...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi
1 cekak pucuk labu
6 helai daun kunyit muda
4 papan petai
1 keping asam gelugor
5 camca besar penuh tempoyak
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
1200 ml santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
3/4 cawan cili padi kampung (cm campur hijau dan merah)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi dan pucuk labu diasingkan dari tangkainya, cuci dan toskan. Daun kunyit cuci dan tos, buang bahagian tengahnya. Hiris halus seperti bunga rampai pucuk ubi, pucuk labu dan daun kunyit tadi. Petai diambil isinya, cuci dan kerat dua setiap satu. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan kisar halus ke dalam kuali bersama tempoyak. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan, kacau dan masukkan ikan bilis. Masak dengan api kecil hingga sedikit pekat. Tambah petai, masak sekejap dan masukkan semua jenis daun dan asam gelugor. Gaul rata2.
  3. Masak dengan api sederhana hingga pekat dan kacau selalu, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula, masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi. Jika tidak habis, simpan dalam peti sejuk...Selamat mencuba!!.


Friday, June 28, 2013

PUCUK LABU GENTEL MASAK LEMAK.

rsz_1gulai_pucuk_labu
Assalammualaikum, pernah masak pucuk labu?...Entri hari ni satu masakan yang begitu nostalgia terutama dikampung2. Kebiasaannya kalau di kampung, biji2 labu akan dibuang atau ditabur di kawasan tanah lapang di belakang rumah. Kalau ada rezeki dapat lah merasa labunya, kalau tidak pucuk dannya juga boleh dijadikan hidangan. Selain dimasak lemak seperti dalam gambar, pucuk labu juga digunakan dalam satu lagi masakan tradisi orang Negeri Sembilan, sambal daun kayu. Kalau tengok tajuk entri siap ada perkataan 'gentel'...kenapa?...Hmm, ntah sebab cm nampak bonda kalau siang pucuk labu, mesti dia gentel2 guna dua telapak tangan. Tadi cm cuba tanya, pesal kena gentel, kata bonda nak kasi lembut sikit sebab pucuk labu kan ada bulu2 halus....Ooooo ok, jadi misteri yang sangat misteri tu bukan lah menyeramkan sangat hingga terpaksa digentel...Apa2 pun pucuk labu masak lemak putih macam ni, memang sedap...ada sambal belacan dan ikan masin atau ikan goreng...hmmm, tak pandang lain dah....sebelum tu kita singgah sini dulu....terima kasih...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cekak pucuk labu, asingkan daun dan batangnya yang lembut.
1 genggam ikan bilis, bersihkan dan rendam
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Batang pucuk labu dibuang sedikit kulit luarnya, daun digentel dengan kedua2 tapak tangan, kalau ada putih kecil labu atau bunga labu yang belum kembang, anda boleh ambik. Cuci dan toskan.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan ikan bilis (toskan) ke dalam periuk, tuang santan cair dan kacau rata. Masak hingga mendidih. Tambah kiub ikan bilis, jika guna. Kacau dan masak sekejap.
  3. Masukkan batang pucuk labu, biar sekejap dan tambah daunnya. Gaul dan jika kurang kuah, tuang sedikit air. Masak hingga pucuk labu lembut. Tuang pati santan, masukkan hirisan cili merah. Kacau dan biar mendidih. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan dan ikan goreng @ ikan masin.

Thursday, June 27, 2013

DAGING MASAK RAWON...MENU INDONESIA..

rsz_rawon
Salam Khamis, alhamdulillah, jerebu beransur pulih, tiada lagi bau hangit. Hari ini cm laksanakan satu resipi yang memang menjadi keinginan cm nak mencuba sejak dulu lagi. Sebenarnya masakan yang anda lihat ini satu menu dari Indonesia yang berasal dari Surabaya (wikipedia). Kalau anda lihat rupa masakan rawon saling tak tumpah macam masak kicap, tapi tiada kicap digunakan dalamnya...Jadi apakah rahsia yang menjadikan masakan rawon kehitaman?..Yang tu nanti kita cerita. Bagi orang Singapura, mereka sudah biasa dengan masakan ini termasuk sebahagian orang2 Johor yang menetap di Johor Baharu dan mereka2 yang berketurunan Jawa. Cm sendiri sudah lama tau kewujudan masakan rawon tapi pada masa itu agak kekurangan sumber rujukan (sekitar tahun 90-an). Dan ada bahan2 yang agak sukar didapati terutamanya.....

rsz_rawon2rsz_rawon1
...buah keluak, seperti gambar atas ini. Mungkin kurang permintaan, maka agak kurang penjual yang menjualnya. Tapi sekarang ada jual di pasar Kipt Mart, Tampoi di Johor Baharu. Petua memilih buah keluak yang cm baca dari buku Chef Florence, pilih buah keluar yang agak berat (walaupun sebenarnya ia ringan) dan goncang, jika berbunyi, tanda buah keluak kurang bagus. Cm pilih buah keluak yang bulat2 sedikit, kalau leper agak kurang isinya. Harga di tempat cm beli, sekitar RM 25 sekilo. Masakan rawon dihidangkan bersama sambal terasi atau sambal belacan dan bahan2 sampingan seperti tauhu goreng dan tempe goreng. Ada juga yang dihidangkan bersama keropok dan telur asin. Serius cm jatuh cinta dengan masakan rawon, sedap dan amat2 'sesuatu', walaupun rupanya hitam tapi rasanya, penuh dengan kenikmatan......Berani cuba?....ok cm tulis resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram daging (guna yang sedikit berlemak)
2 batang serai, dititik
4 biji bawang merah, hiris
2 helai daun salam (cm ganti dengan 'bay leaf')
5 helai daun limau purut
1/3 cawan santan (opional)
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji cili merah
1 camca teh lada hitam biji
6 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
3/4 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1 camca teh pes asam jawa
Isi dari 5 biji buah keluak (rendam dengan 1/2 cawan air panas)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah dan serai hingga harum, masukkan bahan kisar halus dan tumis hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan daging, gaul rata dan masak hingga daging kecut.
  2. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Tambah daun limau purut dan daun salam. Kacau dan renihkan hingga daging empuk, tambah air panas jika perlu. Bila daging empuk, masukkan santan. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan..
CATATAN MAT GEBU :- Ada pelbagai cara memasaknya, ada yang rebus dulu daging hingga lembut, kemudian baru dimasak rawon, cm masak guna periuk tekanan dan mengambil masak kurang lebih 25 minit. Kuah rawon memang hitam, hasil dari isi buah keluak yang dikisar bersama bahan2 rempah ratus.  Buah keluak cm cuci dan rendam semalaman. Kemudian ketuk dan korek keluar isinya....Selamat mencuba!!..

Wednesday, June 26, 2013

MI KARI KETAM...SILA MAKAN DENGAN SOPAN...

rsz_mi_kari_ketam
Salam semua, nak masukkan entri pun rasa ketat sangat dahh..huhu. Malam ni entri mi kari ketam, tapi bukan mi kari yang jenis kuah yang cair mair tu, ni jenis pekat ala2 mi rebus, errr, macam aneh ke?..Takpe, keanehan itu satu keunikkan, jangan lepas makan, terbongkang kat hospital sudah lah, tu baru betul2 aneh. Sebenarnya niat cm memang nak masak mi kari biasa tu, tapi tah macam mana, dekat kawasan cm siap2kan bahan mentah, boleh tergolek sebiji kentang, dengan pantas, kupas, potong kecik2, cuci dan rebus sampai empuk, dan dilecek halus. Lepas tu, cm masukkan dalam kuah, dah jadi pekat dan bertambah sedap (sendiri lah puji....kalau tak siapa lagi..) Cuma tak berapa cun lah bila nak ambik gambar, nampak macam merana aje, melempeng, tak nampak mengiurkan sangat. Takpe yang penting 'ketam' ada sebagai mercu tanda. Satu lagi mi dia pun susah nak interframe, kena bertarung dengan bahan2 lain. Sepatutnya kalau mi yang kuahnya pekat macam ni, kita guna tauhu yang kertas dan digoreng dan hiris nipis, sebab takde, cm guna tauhu pok. Apa2 pun kalau anda buat, sila makan dengan sopan....Resipi campak2 seperti berikut...dan bila santap, sila makan dengan sopan....resipi ini untuk hidangan 2 orang....

BAHAN-BAHAN KUAH :-)
1 1/2 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
1 biji kentang, saiz sederhana, kupas, rebus hingga empuk dan lecek halus
1 pokok sawi boh choi, tanggalkan sehelai2, cuci dan toskan
2 ekor ketam bunga (sepit biru) dibersihkan
1 tangkai kacang panjang, potong pendek
4 biji tauhu pok, kerat 2 setiap 1
1 kiub pati ikan bilis
150 ml santan
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 biji tomato

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya, cuci, celur dan toskan
Taugeh secukupnya, buang ekor, cuci dan toskan
Hirisan cili merah
Hirisan cili hijau
Hirisan daun bawang/daun sup
Limau kastur, dibelah 2
Bawang goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh rempah kari dengan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes. Panaskn minyak dalam periuk, tumis pes rempah hingga harum dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.  Tuang air secukupnya (anggaran 1500 ml), kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan kentang lecek dan santan. Kacau dan biar mendidih perlahan. Tambah ketam, dan masak sekejap. Tambah tauhu pok dan kiub ikan bilis. Biar mendidih dan kacau sekali sekala. Masukkan sawi bok choy dan kacang panjang, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api (kalau kuah terlalu pekat, boleh tambah sedikit air panas).
  3. Masukkan secukupnya mi kuning dalam mangkuk sesuai, cedok seekor ketam dan letakkan atas mi, tuang kuah bersama isi2nya. Tabur hirisan cili hijau, cili merah, daun bawang, daun sup, taugeh dan bawang goreng. Hidangkan dengan perahan jus limau kasturi. Sedap dimakan panas...


IKAN KERAPU MASAK ASAM SAMA NENAS...

rsz_ikan_kerapu_masak_asam_nenas
Assalammualaikum, salam Rabu. Entri pertama untuk hari ni cm letak resipi ikan kerapu masak asam sama nenas. Nama macam lain, tapi sebenarnya asam pedas saja. Ini kali petama cm masak asam ikan kerapu. Kebetulan masa pergi ke pasar di Simpang Renggam semalam, cm nampak ada jual ikan kerapa yang telah dipotong2. Jadi cm beli 1/4 bahagian kepala dan 3 keping potongan isinya. Balik tu cm masak asam, campur dengan nenas, cm guna nenas Sarawak yang anda sedia maklum memang manis bersari sangat2. Tak letak banyak, dalam 1/2 biji, sebab saiz nenas tu agak besar. Boleh saja nak guna nenas madu atau morris, tapi pastikan yang manis, kalau tidak masak asam anda agak kurang sedap. Resipi tetap sama walaupun ada sedikit perbezaan dari bahan2nya dan anda boleh juga buat INI untuk digandingkan dengan ikan kerapu masak asam...mesti ngam!!.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
Ikan kerapu secukupnya (cm guna 1/2 bahagian kepala dan 3 keping isi ikan kerapu)
1/2 biji nenas Sarawak, hiris kasar
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
2 senduk nasi cili kisar
1 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
2 keping hirisan nipis lengkuas
1/2 inci belacan
1 camca teh lada hitam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya.
  2. Bila mendidih, masukkan nenas dan bunga kantan. Kacau rata, tambah kepala dan isi ikan kerapu, jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna), biar mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga nenas lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain...


Tuesday, June 25, 2013

AYAM KAMPUNG MASAK KURMA...

rsz_kurna_ayam
Salam semua, apa khabar? Hari ni cm letak entri lewat, tapi takpe lah, asalkan ada entri, yea tak?...Kata orang rezeki jangan ditolak. Macam tu lah yang terjadi pagi semalam. Jiran cm, bagi ayam kampung. Plan asal cm nak masak ikan saja, tapi bila dapat ayam kampung yang sudah siap di bersihkan, tinggal dikera2 saja, terus cm tukar plan. Nak masak kari rasa macam tak bess dah. Teringat Bak suka ayam masak kurma, ok, jomm masak kurma ayam. Tapi kurma ayam yang cm masak tidak lah ikut law sangat dan mungkin banyak beza dari kurma ayam yang anda masak. Satu yang bes masakan macam ni, anda boleh makan dengan nasi putih, nasi minyak, beriani dan semua jenis nasi berperisa (kecuali nasi lemak). Dan boleh dicicah dengan segala jenis roti kosong, capati, roti canai dan segala jenis suku sakat roti. Kurma pada asasnya tidak lah pedas dan rasanya kurang 'keras' dari rasa masakan kari. Cm masukkan kentang dan juga trafficlight capsicum. Trafficlight capsicum tu sebab cm nak habiskan stok. Kebiasaannya cm guna cili merah dan hijau. Resipi seperti berikut.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (kurang lebih 1kg), potong ikut suka, cuci dan toskan
4 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
1/2 biji trafficlight capsicum (merah, hijau, kuning), dipotong kiub besar2
1 helai daun pandan, disimpul
1 cawan pati santan
1 biji tomato merah, cincang halus
2 camca besar kerisik
1 camca besar bawang goreng
1 camca besar gula Melaka
3 camca besar rempah kurma (Baba's)
Garam secukup rasa
2 camca besar minyak sapi
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji cili hijau
1 inci halia
3 biji buah keras, hiris
1 camca teh lada hitam biji

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih hiris
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus
2 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan kisar halus dengan rempah kurma, kacau rata hingga menjadi pes. Panaskan minyak sapi. Masukkan bahan2 tumis dan daun pandan. Masak hingga semua layu. Tambah tomato dan kacau rata, biar tomato lembut. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga rempah harum dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu..
  2. Tambah ayam dan bawang goreng gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya. Kacau dan biar mendidih perlahan hingga ayam 3/4 empuk (kalau kuah kering, tambah air panas). Masukkan kentang (toskan), kerisik dan pati santan. Kacau rata.
  3. Masak hingga kentang empuk. Tambah trafficlight capsicum, gula melaka dan garam secukup rasa. Kacau perlahan dan biar kuah pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, nasi berperisa, roti dan sebagainya.
CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh ganti trafficlight capsicum dengan belahan cili hijau dan merah, boleh juga masukkan bawang besar yang dibelah 4, kalau nak tambah tomato pun boleh. Jika tak nak guna santan, boleh ganti dengan susu cair......selamat mencuba!!

Monday, June 24, 2013

PAJERI TERUNG KE PACERI TERUNG?....

rsz_pajeri_terung
Assalammualaikum, lama cm tak bikin pajeri terung...errr..ke paceri terung eks?..Konpius kadang2, siap ada yang tanya cm, yang mana satu betul, pajeri ke paceri?..Hmm, payah gak nak jawab sebab ada setengah2 tempat panggil pajeri, dan ada pulak tempat lain panggil paceri..Tapi ia benda yang sama, jadi tak payah lah nak konpius sangat, bukan masuk dalam soalan peperiksaan pun. Yang ni cm masak semalam. Plan asal nak bikin terung berlado macam tu hari, tapi asyik benda yang sama je. Teringat kat Bak, dia memang suka pajeri terung, ok cm kasi masak pajeri lah. Bukan susah mana, simple sangat. Satu je pajeri yang ni cm tak de campur udang kering, sebab Bak kan masih pantang, elok2 dia ok, sebab nak sedap ada gaot kembali nanti. Apa2 pun ia tetap masih sedap dan. Cm guna 5 biji terung organik "sakura pearl" dan setiap satu cm belah dua sahaja. Dan seperti anda sedia maklum, pajeri selalunya agak manis, yang ni anda pandai2 lah yea ikut citarasa masing2...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji terung ungu, belah 2 setiap 1 dan rendam
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
1 keping asam gelugor
2 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
2 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 camca besar kerisik
1 camca besar cili kisar
100 ml santan pekat (cm guna santan kotak)
Sedikit air
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
2 keping hirisan lengkuas
3 biji buah keras, hiris

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan rempah kari ikan dengan bahan kisar halus, kacau hingga menjadi pes. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Masuk pes rempah dan masak hingga garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan asam gelugor dan santan pekat serta sedikit air (anggaran 3/4 cawan). Kacau rata. Tambah kerisik dan biar mendidih. Masukkan gula secukup rasa. dan sedikit garam. Masukkan terung (toskan) dan cili merah/hijau, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga pekat dan terung lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Sunday, June 23, 2013

MASAK YANG PALING MUDAH....MI HAILAM...

rsz_mi_hailam (1)
Letih betul nak masak, bila bukak pintu, udara pun tak segar, hangit semacam, namun tidak lah seteruk tempat lain, kemungkinan kawasan Sedenak ni agak tinggi sikit. Dan sebab tu cm mula dah malas nak masak. Makan apa yang ada saja. Petang tadi selemey peti sejuk, nampak ada baki2 sayur yang masih ok, ada traffic light capsicum, putik jagung, lobak merah dan ada pulak dada ayam sekeping. Lepas tu ada pulak mi kuning...hmmm, nak bikin mi goreng rasanya tak sesuai sangat, ok jomm kita bikin mi hailam.. Alaa bukan susah mana, lagi pun panas2 ni elok lah mi yang berkuah. Mi hailam paling senang disediakan, tapi cm nya mi hailam ada campur sos lada hitam dan sedikit kicap pekat untuk kasi kaler pada kuah. Kalau nak sedap guna air rebusan tulang, atau air rebusan kulit udang. Sebab Bak tak boleh makan benda2 tu, cm cuma guna ayam saja....Jomm tengok resipi orang tak berapa rajin....hehe cm leerr tuu...sebelum tu singgah dulu di sini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping dada ayam, potong kiub*
1/2 inci halia, tumbuk halus*
2 ulas bawang putih, tumbuk halus*
Sedikit garam dan serbuk lada sulah*(*disatukan dan perap 10 minit)
1 kiub pati ayam
1/4 bahagian trafficlight capsicum, didadu
4 batang putik jagung, hiris serong
1/2 batang lobak merah, hiris
3 camca besar sos tiram
2 camca besar sos lada hitam
1/2 camca besar kicap pekat
1500 ml air
1 camca besar tepung jagung + 1/4 cawan air, kacau rata
1 camca teh lada sulah serbuk
3 ulas bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/4 camca teh minyak bijan (optional)

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya, cuci dan celur sekejap, toskan
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Hirisan daun sup untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos tiram dan sos lada hitam, kacau rata dan tambah isi ayam yang diperap tadi, gaul rata dan masak dengan api kecil hingga isi ayam berubah warna. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan lobak merah, putik jagung, kicap pekat dan kiub ayam. Kacau rata dan masak hingga lobak lembut. Tambah trafficlight capsicum dan bancuhan tepung jagung. Kacau dan masak hingga pekat. Tambah serbuk lada sulah, minyak bijan (jika guna) dan garam, jika perlu.
  3. Akhir sekali masukkan mi kuning secukupnya, gaul rata, rasa dan jika ok boleh matika api. Tuang dalam bekas sesuai, tabur hirisan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Hidangakn segera, sedap dimakan panas...


GULAI IKAN TONGKOL

rsz_gulai_ikan_tongkol
Assalammualaikum, salam Ahad....anda dah makan?.. Entri pertama hari ini cm letak gulai ikan tongkol yang cm masak semalam. Mula2 plan nak bikin nasi dagang, tapi rasa tak berapa nak rajin pulak. Walaupun tanpa nasi dagang, gulai ikan tongkol ini tetap sedap dimakan bersama nasi putih. Seperti biasa cm gunakan 3 jenis rempah dalam gulai ni, rempah kari ikan Baba's, serbuk ketumbar dan rempah gulai cap ros (yang ni banyak ada di negeri2 pantai timur). Perihal rempah gulai cap ros tu kalau susah nak dapat anda boleh ganti dengan rempah kurma (tapi rasa ada beza lah yea). Ada pelbagai cara orang memasak ikan tongkol, yang rebus dulu dengan asam keping dan sebagainya. Tapi cm tak buat tu semua, cm masak terus dan renihkan dalam kuah gulai selama 1 jam. Apa2 pun style anda masak, tepulang pada diri anda sendiri, jika suka nak rebus dulu, boleh saja....macam selalu cm kata, akhirnya yang makan pun anda dan mereka2 yang anda akan jamu....Ok kita semak resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan tongkol putih, saiz sederhana
2 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
2 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
2 keping asam gelugor
2 batang serai, dititik
1 1/2 camca besar kerisik
1 1/2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
1 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar rempah gulai cap ros
2 camca besar cili kisar
400 ml santan pekat
1 liter santan cair
Air secukupnya
1 camca besar gula Melaka
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 inci halia, hiris
1/2 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol disiang, kemudian kerat 4 untuk setiap seekor (ikut saiz ikan yang anda guna), cuci bersih dan toskan. Satukan bahan kisar halus dengan rempah kari ikan, ketumbar serbuk dan rempah gulai ros. Kacau rata hingga menjadi pes (tambah sedikit air jika perlu). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan tumis dan serai titik. Tumis hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tambah pes rempah. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga terbit minyak. Kacau selalu.
  3. Tuang santan cair, kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan dan tambah sedikit air jika perlu. Masak hingga mendidih dan kecilkan api. Masukkan kerisik, gula melaka dan asam gelugor. Kacau perlahan dan biar mendidih sekejap. Tuang pati santan, kacau dan renihkan selama 1 jam. 
  4. Perasakan dengan garam secukupnya. Masukkan cili hijau dan merah, masak sekejap lagi hingga cili layu dan kuah pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau nasi dagang...

Saturday, June 22, 2013

SERAWA PULUT DURIAN...KEGEMARAN 'BAK'..

rsz_serawa_durian
Assalammualaikum, punya lah selow siput sedut cm nak update entri hari ni. Dah makin ok cuma tekak perit sikit. Walaupun jerebu di kampung cm makin pulih, tapi bahangnya masih ada. Pagi2 buka saja pintu, dah terbau aroma hangit, mata hari walaupun bercahaya cerah tetap kemerahan. Mudah2an hujan akan turun dan tak banyak sikit dapat mengurangkan keadaan jerebu. Pagi tadi cm masak serawa pulut durian. Sebenarnya Bak suka serawa, dan cm memang berniat nak masak serawa hari ini. Bila fikir2 balik bukan susah mana pun nak buat serawa pulut ni, nak2 zaman sekarang ni, kelapa pun diparut guna mesin, bukan zaman nenek kita anak dara dulu, kelapa kena kukur. Memasak pun guna gas bukan kena hidupkan dapur kayu. Masalah tatau masak pun pada pendapat cm bukan alasan yang kuat sangat zaman sekarang ni, memandangkan pada era IT, semua maklumat dihujung jari. Klik je dah muncul apa yang kita nak. Apa2 pun kita buat biarlah dengan keikhlasan hati agak masakan jadi sempurna (dan cm agak kecewa dengan satu projek hari ni...kurang memuaskan...huhu)....Oh yea, ada tips khas untuk anda blogger2 masakan di sini.... resipi cm copypaste dari resipi terdahulu je lah, sebab sama...

BAHAN KUAH SERAWA :-)
1 biji durian, keluarkan isinya (kalau durian kecik, guna 2 atau lebih)
700 ml santan kelapa segar
500 ml air (atau secukupnya)
1 ketul gula melaka, potong kecil*
1/2 cawan gula pasir*
1 helai daun pandan, disimpul*
1 cawan air*(*satukan masak hingga gula larut dan tapis)
1 helai daun pandan, disimpul
1 1/2 camca besar tepung gandum
3 camca besar air
Secubit garam
Gula, jika perlu

BAHAN PULUT :-)
1 kg pulut, cuci dan rendam 1 jam, toskan
700 ml santan cair
1 camca teh garam (atau secukup rasa)
1 camca teh minyak masak (mat guna minyak kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PULUT :- Panaskan kukus, sediakan loyang berukuran 9 inci. Letak pulut dalam loyang, satukan minyak masak, garam dan santan, kacau rata kemudian tuang ke dalam loyang berisi pulut, ratakan. Letak daun pandan dan kukus selama 20 minit dengan api besar, kemudian kareh (gemburkan) dan sambung kukus lagi 10 minit atau hingga pulut betul2 masak. Ketepikan.
  2. UNTUK KUAH SERAWA :- Satukan air gula merah, santan, air, isi durian dan daun pandan ke dalam periuk. Masak hingga mendidih. Kacau selalu. Tambah sedikit garam dan jika kurang manis tambah gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung gandum. Kacau rata dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SERAWA PULUT DURIAN :- Senduk pulut secukupnya dalam bekas sesuai. Tuang kuah serawa dan hidangkan. Atau anda boleh hidangkan berasingan kuah serawa dan pulut tadi...Selamat mencuba!

Friday, June 21, 2013

TIBA-TIBA 'TER'GORENG KUE TEOW.....

rsz_kue_teow_goreng
Assalammualaikum, salam malam semua. Hari ni memang malas nak masak, pagi tadi sebenarnya cm masak, tapi hanya tumis air pucuk manis untuk bak. Lepas tu dalam jam 10+ pagi, cm temankan abang long cm ke Bandar Penawar. Serius rasa tak selesa dengan keadaan jerebu yang agak teruk (tapi teruk lagi semalam), kalau buka tingkap, hidu je bau hangit, hidung perit, mata pulak mudah berair. Muka pun rupa tak comey dah. Balik petang tadi, memang takmo masak, rasa letih. Tapi ntah macam mana, petang tadi cm TERmasak!!...Huhu, tu lah yang malas kalau kemas2 peti sejuk, mesti nampak benda2 yang boleh dimasak. Tapi apa yang cm masak ni betul2 ringkas. Guna sambal tumis yang cm bekukan, lepas tu letak kerang dalam segenggam (juga yang cm dingin bekukan), kucai dan taugeh..tiba2 ada pulak sekeping tauhu tersesat, cm masukkan juga. Lepas beberapa ketika, jadilah macam anda nampak dalam gambar diatas...Hidangan untuk dua orang, tapi kalau lapar sangat sangat, nak makan sorang2 pun boleh....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 genggam longgar kue teow (atau secukupnya)
1 genggam kerang
1 genggam longgar taugeh
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 cekak kucai, kerat pendek
1 keping tauhu, dipotong kiub
1 camca besar sos tiram
1 camca besar kicap manis
3 camca besar sambal tumis
1 biji telur, dipukul sedikit
Sos ikan jika perlu
Limau kasturi untuk hiasan
Hirisan timun untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum, masukkan sambal tumis, sos tiram dan kicap manis. Kacau rata dan masukkan kerang dan tauhu, kacau dan masak sekejap dengan api kecil dan kacau sekali sekala.
  2. Masukkan kue teow, gaul rata dan tolak ke tepi kuali. Masukkan telur, biar telur sedikit mengeras dan gaul rata dengan kue teow tadi. Tambah taugeh dan kucai, kacau dan rasa, jika kurang masin, baru renjiskan sedikit sos ikan. Masak sekejap, dan matikan api. Hidangkan dengan hirisan timun dan belahan limau kasturi....sedap dimakan panas.


Thursday, June 20, 2013

SAYUR CAMPUR KACANG GAJUS...

rsz_cashew_nut_mix_vege1
Assalammualaikum, malam semua. Jerebu makin teruk kat Johor ni, tempat anda macam mana?Siang tadi cm keluar atas urusan peribadi, keadaan jerebu amat tebal, macam asap orang bakar sampah. Masa balik singgah Tesco dan dalam tesco pun jerebu jugak. Hidung pun perit dan mata berair. Rasa tak selesa pun yea juga. Hmmm, tapi macam tu lah kan, jerebu ni macam satu musim di setiap tahun..Mudah2an semua beransur elok, moga hujan turun dalam sehari dua ni. Berbalik pada entri kali ini, cm cuma letak satu menu ringkas sayur2ran saja. Bila keadaan malas masak datang, cm akan masak benda yang mudah, ringkas dah yang tak perlu banyak kerja. Ok lah takde apa nak cerita sangat, cuma cm pesan kurangkan aktiviti luar terutama kanak2 dalam keadaan jerebu sekarang ni....Jomm resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan bunga kobis yang telah dipotong sekuntum2
1 genggam kacang gajus, goreng hingga perang, angkat dan toskan
1 batang lobak merah saiz sederhana, hiris
1/4 bahagian trafficlight capsicum, dipotong kiub
4 batang putik jagung, hiris serong
10 tangkai sweet pea, kerat 2 setiap 1
1 keping dada ayam, dipotong kiub
1 kiub pati ayam
1 biji bawang besar, hiris kasar
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram
Garam secukup rasa
1/4 camca teh minyak bijan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos tiram, minyak bijan dan kacau. Tambah ayam, kacau dan masak dengan api kecil hingga daging ayam berubah warna.
  2. Masukkan kiub ayam (hancurkan), lobak merah dan bunga kobis. Gaul rata dan jika perlu tambah sedikit air. Masukkan sweet pea, putik jagung dan trafficlight capsicum. Masak hingga semua lembut tapi masih rangup.
  3. Tambah garam secukup rasa, masukkan gajus, gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain.

BLACK PEPPER GRILL CHICKEN WRAPS.

rsz_black_pepper_grill_chicken_wraps
Salam petang semua, malas 'day' kembali melanda che mat gebu...huhu, tatau lah kenapa, ada kah sebab cuaca berjerebu?..atau tekak cm yang mula sakit?....atau memang sedia kala malas?. Sebenarnya cm agak lambat masukkan entri yang ni, plan asal nak letak semalam, tapi ada urusan lain pulak. Kadang2 bila malas nak masak, mulalah mencari alternatif lain atau mencuba satu2 yang baru....errr tak berapa baru sangat sebenarnya..hehe . Benda ni cm pun pernah buat sedikit masa dahulu. Kebiasaannya untuk Wraps ni cm guna brand 'Mission", yang ada dijual di pasaraya2 terdekat anda  (seperti Mydin, Giant dan lain2). Ada pelbagai jenis dan cm guna jenis whole wheat atau tepung yang bersekam. Ia seakan2 capati dan anda boleh pelbagaikan penggunaanya. Ia memang cepat dibuat dan mengenyangkan bila dimakan. Cm tulis serba ringkas resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 keping daging ayam (bahagian dada), cuci bersih, lap kering dan cucuk2 dengan garfu*
2 camca besar sos lada hitam*
1 camca besar sos tiram*
1/4 camca teh minyak bijan*
Sedikit kicap pekat*(*disatukan gaul rata dan perap sejam dalam peti sejuk)
2 keping wraps brand "Mission"
6 hirisan jejari capsicum merah dan hijau
4 hirisan jejari timun
1 keping keju, hiris memanjang
Sedikit hirisan tomato (buang biji dan hiris memanjang)
Daun salad secukupnya (4-5 helai)
Sos thousand island atau sos kegemaran anda

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panggang ayam tadi dalam non-stick pan dengan api kecil, sapu lebihan bahan perap pada daging ayam semasa memanggang. Kalau nak cepat, tutup pan masa memanggang. (cm guna kuali ajaib, jadi cepat masak). Bila ayam masak, ketepikan dan biar suam.
  2. Hiris memanjang ayam tadi, tapi jangan tebal sangat, biar dalam ketebalan sederhana. Ambil sekeping wraps, letak 2-3 helai daun salad, susun beberapa hirisan capsicum, timun, tomato, keju dan daging ayam. Paipkan sos thousand island atasnya. Gulung kemas2 dan balut dengan aluminium foil jika suka (seperti dalam gambar). Kerat dua sebelum menghidang....sedap dimakan sejurus dibuat.....Selamat mencuba!!...

Wednesday, June 19, 2013

TERUNG BERLADO ALA PADANG...

rsz_terung_berlado_ala_padang
Assalammualaikum, salam Rabu. Entri mudah dan ringkas untuk tengah hari ini. Cm ada juga masak asam pedas ikan terubuk untuk Bak, tapi tak perlu lah buat entri, dah selalu sangat. Ada cerita sebalik terung berlado ni. Mula2 cm plan nak masukkan terung dalam gulai asam pedas, tiba2 Bak buat lawatan mengejut di dapur, dan dia kata campur nenas dalam asam pedas, bahanakan nenas tu memang ada cm beli, maka cm ganti lah terung dengan nenas. Dan terung tadi cm tambah lagi sebiji, ku buat  terung berlado ala Padang....Padang tu di Indonesia, bukan padang bola. Masakkan macam ni sedap dimakan bersama nasi panas. Sambal untuk terung berlado, secara tradisinya memang ditumbuk kasar dan tak perlu halus sangat. Kalau anda nak tabur sedikit ikan bilis goreng pun boleh sebagai hiasan..Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4-5 biji terung ungu saiz kecil (cm guna terung 'sakura pearl')
5 biji cili merah*
4 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
2 biji buah keras, hiris*
1 biji tomato merah, buang biji*(*ditumbuk hingga hancur, tak perlu halus sangat)
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dibelah dua, kerat dua setiap belahan. Rendam dalam air garam. Panaskan non-stick pan, dengan sedikit minyak. Toskan terung, kemudian goreng hingga layu. Angkat dan susun dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk hancur hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu. Tambah jus limau kasturi, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tuang atas terung tadi dan tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan....Sedap dimakan panas..


Tuesday, June 18, 2013

SINGGANG SERANI IKAN TONGKOL

rsz_singgang_serani (1)
Malam semua, seperti cm kasi tau dalam entri sebelum ni, cm ada juga memasak, tapi yang mudah2 dan ringkas, salah satunya singgang serani ikan tongkol. Ini ikan tongkol segar yang abang cm beli di Endau. Apa2 ikan sekali pun, kalau yang segar tetap sedap, tak kesah lah anda buat singgang ke, goreng atau bakar. Singgang serani antara menu ringkas yang cm suka. Tapi bukan semua orang suka, sebab ia agak pedas dan berangin. Aroma herba membuat singgang serani segar dan harum. Kalau rasa kurang enak badan, selsema atau tekak payau, cm akan masak singgang macam ni. Terpulang nak guna ikan apa, asalkan ianya banyak isi. Ikan tenggiri, kembong atau ikan merah juga sesuai. Singgang serani memang ditumis sedikit bagi menaikkan bau bahan2. Dan kalau singgang cm suka masamnya terasa, tapi ini terpulang pada anda, kalau nak kurang rasa masam, jangan letak asam gelugor banyak sangat...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol saiz sederhana, kerat 4 - 5 bahagian, cuci dan toskan
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
2 batang serai, dititik
2 keping asam gelugor
1 kiub pati ikan bilis
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN TUMBUK LUMAT :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
1 camca teh lada hitam biji
10 biji cili padi kampung (cm campur hijau dan merah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 3 camca besar), tumis serai dan bahan tumbuk lumat hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu. Tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan). Kacau rata dan biar mendidih.
  2. Masukkan kiub ikan bilis dan asam gelugor. Kacau dan masukkan ikan. Biar mendidih hingga ikan masak. Tambah garam secukup rasa dan masukkan tomato. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas bersama nasi putih..


KACANG POOL...MAKANAN ORANG JOHOR...

rsz_kacang_phool
Assalammualaikum, salam petang Selasa semua. Cuaca panas sekarang ni, tambah pulak dengan keadaan jerebu. Cm sendiri dah mula batuk2. Mana yang ada anak kecil, elok kurangkan aktiviti luar rumah, bukan untuk anak kecil saja, untuk anda juga kecuali keadaan memaksa. Hari ni cm agak lewat masak sikit dan masak pun yang mudah2 saja. Selain masak yang mudah, cm buat juga kacang pool, tu pun setelah cm jumpa kacang pool dalam tin di MyDin semalam (jumpa di rak MyDin, bukan yang tercicir punya yea...ehemmm). Kacang pool boleh dikatakan popular di Johor dan Singapura, dan asal2nya makanan yang dibawa masuk oleh orang2 Arab, lama ke lamaan telah menjadi satu makanan kebiasaan bagi penduduk setempat. Buatnya tidak lah susah dan daging kisar antara bahan terpenting selain kacang pool itu sendiri. Anda boleh pilih samada nak guna daging lembu atau daging kambing (dan daging ayam juga...sapa kesah anda sendiri yang nak makan, betul tak?..Tapi cm sarankan daging lembu atau kambing lagi sedap!!)..

rsz_kacang_phool1
Kacang pool satu hidangan pencicah yang begitu sesuai dengan capati, roti canai, roti kosong waimah lempeng pun sedap. Cara hidangan seperti anda lihat dalam gambar, disajikan bersama telur mata kerbau yang bahagian kuningnya dibiarkan lembut sedikit, bawang besar yang didadu, tomato yang didadu, hirisan cili merah dan hijau serta dicurah sedikit minyak sapi cair sebelum dihidangkan (yang ni optional, tak nak pun takpe) dan perahkan limau kasturi sebelum menghidang. Sekali sekala apa kata anda cuba buat untuk hidangan keluarga. Cm rasa sesuai juga untuk bulan puasa nanti, buat lebih dan simpan dalam peti sejuk. Boleh dimakan ketika sahur bersama roti...Idea yang bagus juga kan....Ok, resipi seperti dibawah....

rsz_kacanh_phool
Yang kurang pasti rupa kacang pool dalam tin yang cm guna, cm beli di MyDin...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin kacang pool, toskan dan ramas hingga hancur
1 tin kecil baked beans (cm guna cap ayam)
200 gram daging lembu kisar
10 biji bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*(*dikisar halus)
1 1/2 camca besar rempah kari daging (baba's)
1 camca besar ketumbar serbuk
1 kiub daging (optional)
2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
2 camca besar minyak sapi

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Roti paun atau roti perancis, potong, sapu sedikit majerin dan panggang sekejap
Telur, digoreng mata kerbau secukupnya
Bawang besar, didadu
Cili hijau, dihiris
Cili merah, dihiris
Tomato, dididadu
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua
Minyak sapi cair

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan kisar halus bersama rempah kari dan ketumbar serbuk, kacau rata, kalau pekat tambah sedikit air. Kacau hingga menjadi pes. Ketepikan. Panaskan minyak sapi, tumis pes rempah tadi hingga harum dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan daging kisar, kacau rata dan masak hingga daging berubah warna. Masukkan air dan kiub daging (jika guna). Bila mendidih, masukkan kacang pool dan baked beans. Kacau rata.
  3. Masak hingga pekat sedikit, tambah garam dan gula secukup rasa, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api (bila sejuk kacang pool akan jadi pekat, jadi anda boleh tambah sedikit air panas jika nak sedikit cair). 
  4. Untuk menghidang, cedok secukupnya kacang pool ke dalam mangkuk sesuai, letak sekeping telur mata kerbau, tabur bawang besar, tomato, hirisan cili merah/hijau dan curahkan sedikit minyak sapi cair atasnya. Perah jus limau kasturi sebelum dihidangkan bersama roti bakar....Sedap dimakan suam..


Monday, June 17, 2013

BEN ASHAARI DALAM MAJALAH HARMONI...

rsz_harmoni2rsz_harmoni
Salam semua, siang tadi cm keluar atas urusan tidak rasmi dan sambil2 tu riki2 bahan2 baking untuk projek Raya nanti. Masa singgah di Tesco Kulai untuk beli barang dapur, sempat juga cm intai2 di kedai buku (tapi lebih pada buku2 biasa dan majalah). Tercari2 juga majalah Harmoni yang terbit 2 kali sebulan. Sebelum ni memang tak ambik kesah sangat pasal majalah Harmoni...tapi untuk keluaran kedua bulan Jun ini, cm harus beli, walau pun secara jujur cm tak perasan sebenarnya ada majalah Harmoni dalam pasaran Malaysia, minta maaf yea...Kenapa cm harus beli?... Sebabnya anda sendiri pun tau dah kan. Kerana Ben Ashaari..yep, sebab Ben muncul sempena keluaran untuk hari bapa. Tahniah Ben...sebaris dengan orang2 yang ada nama dah...Alhamdulillah....Moga bertambah rezeki lepas ni, insha Allah, kami semua doakan...

rsz_harmoni1
Lagi satu sebab...kerana ada nya Muhammad Qhaliff Iman, ini memang penyeri sangat2 (dan salah satu sebab cm beli Harmoni). Suka Pak Tua Mat tengok Qhaliff, makin besar, sehat, cergas dan hansem. Kalau anda nak tau apa cerita Ben dalam Harmoni, anda boleh dapatkan dipasaran. Segala susah payah berblog, kenangan pahit manis, cita2 dan harapan semuanya ada tertulis...Jangan lupa, Harmoni keluaran 15 Jun  2013....sampai jumpa...

RENDANG LOKAN CILI PADI...

rsz_rendang_lokan
Salam semua. Sepatutnya entri ini cm letak jam 1.30 siang tadi, tapi atas sebab2 urusan peribadi, terpaksa cm letak sebagai entri malam ini. Rendang lokan satu resipi yang memang menjadi pujaan hati Bak (walaupun tak boleh makan banyak), Bak memang suka lokan dimasak rendang, tapi cm letak cili padi sikit, dalam 15 biji macam tu. Kasi rasa sedikit kecilipadian....errr ada tak perkataan tu dalam kamus dewan?... Secara kebetulan semalam anak jiran cm kasi lokan, cm rebus dan keluarkan isinya dapat lah dalam 300 gram, saiz ada yang besar dan kecil, yang besar cm potong dua. Plan asal nak masak sambal tumis tapi Bak suka lokan dimasak rendang. Kalau diperhatikan saiz lokan agak besar, tapi isinya tidak lah besar mana. Rasa isi lokan manis dan kenyal2. Untuk rendang ini cm guna 1 paket kecil rendang mix Baba's (25 gram) kurang lebih macam rempah rendang jugak lah....err memang rempah rendang pun. Ok resipi seperti berikut, tapi sebelum tu kita lihat dulu entri nasi ayam istimewa sangat-sangat...di sini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram isi lokan
1 paket kecil rempah rendang Baba's (25 gram)
1 keping asam gelugor
150 ml pati santan
1/2 camca besar gula melaka
2 camca besar kerisik
2 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit, mayang halus
Garam secukup rasa
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
15 biji cili padi kampung
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 batang serai, hiris halus
2 biji buah keras
1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh bahan kisar halus dan rempah rendang, kacau rata hingga menjadi pes (tambah sedikit air jika perlu). Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hiris hingga harum. Masukkan pes rempah dan tumis hingga terbit minyak dan rempah garing. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan santan, kerisik, guna melaka dan asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga pekat. Tambah lokan dan daun limau purut. Gaul dan masak dengan api kecil hingga sedikit kering. Tambah garam secukup rasa dan masukkan daun kunyit. Gaul dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, ketupat atau pulut kuning..

MOCHA MOUSSE 'SEXY' CAKE....

rsz_mocha_mousse_cake
Salam petang semua, entri petang ni cm letak "KEK"....kalau sebut kek, ia memang menarik dan semua orang akan teruja. Kek ibarat hasil seni halus yang bermutu, contohnya macam kek2 yang dihasilkan oleh teman blog masakan Puan Azlita di sini, penuh kesabaran, ketelitian dan kejituan yang amat sangat untuk mendapat hasil yang sungguh memuaskan. Entri petang ni bukan lah 'fresh from oven', tapi kek yang cm buat Khamis lepas untuk menjamu rakan blogger Ady Budika dan Ryo Azhar. Kek ini agak menarik dan telah cm oleh dari resipi terdahulu. Sedap ke, jangan harap rupa je nampak lawa....soalan tu pasti terdetik dalam setiap hati orang yang melihatnya. Tapi bukan cm nak puji diri sendiri, kek ini dalam kategori sedap, Ady dan Ryo sendiri mengakuinya....dan buatnya tidak lah susah sangat, cuma perlu sedikit kesabaran....

rsz_mocha_mousse_cake1
Untuk menghias kek ini terpulang pada kreativiti anda. Sebab mousse cake ini bahagian tepinya tidak lah kemas sangat, maka cm hias dengan jaringan coklat. Pertama kali cm buat jaringan coklat tu. Kalau ikut buku, mereka guna plastik khas, tapi cm takde, maka ku guna kertas minyak, tu pasal jaring coklat tu tidak berkilat dan nampak kasar..huhu, takpelah percubaan pertama dan kira menjadilah juga. Satu lagi kek macam ni anda kena simpan dalam peti sejuk. Bila makan rasa seakan2 kek aiskrim, dengan rasa kek mocha yang lembut dan coklat mousse yang ringan....dan rasa 'seksi' juga...hehe.. Nak resipi?.. Ok cm tulis...

BAHAN-BAHAN KEK :-)
125 gram mentega
2 camca besar penuh serbuk koko
1/2 cawan susu segar
1 camca teh mocha flavour
2 biji telur gred A
3/4 cawan gula halus (cm kurangkan 2 camca besar)
1/2 camca besar ovallate
1 cawan tepung gandum*
1/2 camca teh baking poweder*(*disatukan dan diayak)

BAHAN-BAHAN UNTUK MOUSSE :-)
140 gram coklat masakan
1 camca besar halal gelatin
100 ml air suam
2 putih telur
200 gram whipping cream (simpan dalam peti sejuk)
40 gram gula halus

BAHAN UNTUK HIASAN :-)
Buah strawberry segar secukupnya
Sedikit piping jelly
Parutan coklat secukupnya
Parutan coklat putih secukupnya
Serbuk koko secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KEK :- Panaskan oven pada suhu 180C, lenser tin bulat 8 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Ketepikan. Satukan mentega, susu segar dan sebuk koko dalam periuk. Masak dengan api kecil sambil dikacau hingga mentega cair dan kesemua bahan larut. Tak perlu mendidih. Matikan api, masukkan perisa mocha, kacau rata dan biar sejuk..
  2. Putar gula dan ovallate hingga rata, masukkan telur dan putar pada kelajuan tinggi hingga adunan  naik dan pekat seperti adunan kuih baulu. Perlahankan kelajuan, masukkan bancuhan koko dan tepung secara berselang seli hingga habis, gaul rata. Tuang dalam tin dan bakar selama 40 minit atau hingga masak. Keluarkan kek dan biar sejuk atas jaringan...
  3. UNTUK MOUSSE :- Satukan gelatin halal dengan air suam, kacau rata dan biarkan sekejap. Cairkan coklat secara double boiler, kacau rata dan masukkan bancuhan gelatin. Gaul hingga sebati, ketepikan dan biar sejuk. Putar putih telur hingga berbuih, masukkan gula kastor dan telur memutar hingga kental. Asingkan. Kemudian putar pulak whipping cream sejuk hingga kental, jangan terlebih putar nanti whipping cream akan bertukar menjadi cecair.
  4. Satukan whipping cream dengan coklat tadi, gaul dengan kaedah kaup balik hingga sebati. Masukkan pula putih telur dan gaul hingga sebati dan rata. Bahagi kepada 2 bahagian sama banyak. Ketepikan..
  5. UNTUK MOCHA MOUSSE 'SEXY' CAKE :- Kek dipotong kepada 2 kepingan. Sediakan cake ring berukuran 8 inci (cm guna adjustable cakeing, atau anda boleh guna spingform pan berukuran 8 inci). Letak atas cake board. Ambil sekeping cake dan alas ke dasar acuan, tuang 1 bahagian mousse atasnya, ratakan. Berhati2 lapiskan dengan sekeping lagi kek dan tuang baki mousse tadi. Ratakan dan simpan dalam peti sejuk sekurang2nya 4 jam.
  6. Panaskan pisau nipis, kemudian sisipkan pada sekeliling kek, berhati2 tanggalkan cake ring tadi. Tabur sebuk koko rata. Kemudian hias dengan paruta coklat dan coklat putih. Hias dengan stoberi segar yang terlebih dahulu disapu pipping jelly untuk mendapat kesan berkilat dan segar. Simpan kembali dalam peti sejuk sehingga sampai masa menghidang...Sedapp okehh, tak cakap bohong punyaa!!!...

Sunday, June 16, 2013

LONTONG JOHOR UNTUK HUJUNG MINGGU...

rsz_lontong_johor (1)
Assalammualaikum, salam Ahad. Cm cuti masak hari ni..TAPI cm masak lontong Johor...ehh tu kira masak jugak kan. Errr, bila sebut lontong Johor bukan lah cm lebih bersifat kenegerian, tapi sebab cm dok Johor panggail leer lontong Johor, kalau anda dok KL, letak je nama Lontong KL, boleh?. Sebenarnya bonda yang berhajat nak makan lontong, tapi bonda tidak lah menyuruh cuma dia ada sebut2. Apa lah sangat setakat buatkan lontong kalau nak dibandingkan jasa2 orang tua kita. Awal pagi cm masak hari ni, lepas subuh dah mula. Petama cm buat serunding dulu, sebab tak sempat nak buat semalam, maka pagi2 cm buat. Lepas tu bikin sambal tumis ikan bilis lepas tu baru masak kuah lontong atau sayur lodeh. Cm dah rebus awal2 ketupat NONA . Kalau anda nak buat nasi impit pun boleh, ikut yang mana anda suka. Di Johor selain dimakan bersama serunding, telur rebus dan sambal tumis, ada juga yang disajikan bersama sambal kacang dan cm dengar di Singapura begedil juga turut dihidangkan bersama lontong....mewahnyaa!!!

rsz_lontong_johor1

Bila cm masak lontong untuk sarapan pagi, terus dijadikan makanan untuk tengah hari, senang cerita, sekali jalan jeeerr. Anda boleh pelbagaikan jenis2 sayuran dalam kuah lontong atau lodeh. Tapi antara benda2 wajib yang harus ada, tempe, tauhu, kacang panjang, fucuk, sengkuang, kobis dan lobak merah. Boleh juga kalau nak tambah terung, kentang, bunga kobis dan putik jagung. Satu lagi ada pelbagai gaya masakan lodeh, ada yang dimasak seperti masak lemak biasa, ada yang ditumis. Untuk kali ini cm guna versi tumis pulak. Cm akan tulis tiga resipi, kuah lodeh, serunding ikan bilis dan sambal tumis ikan bilis...Dah bersedia?..Jommm.....

KUAH LODEH......

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 tangkai kacang panjang, hiris serong
2 keping tauhu, dipotong kiub (nak goreng sedikit pun boleh, tapi cm tak goreng)
50 gram fucuk @ tauhu kering, potong kecil dan rendam hingga lembut
1 batang lobak merah saiz sederhana, dipotong seperti anak mancis
1 biji sengkuang saiz kecil, dipotong seperti anak mancis
3 keping tempe, dipotong kiub
1/4 bahagian kobis bulat, dihiris kecil
1 biji kentang saiz besar, kupas dan potong seperti anak mancis
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
1 cekak soo hoon, kerat pendek
2 batang serai, dititik
1/2 inci lengkuas, diketuk
1 kiub pati ikan bilis
3/4 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
4 biji bawang putih
3 ulas bawang putih
2 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan

BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Nasi impit @ ketupat
Serunding
Sambal tumis @ sambal kacang
Telur rebus, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan), tumis serai titik dan lengkuas hingga harum. Masukkan bahan kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan lobak merah, sengkuang dan kentang. Kacau rata dan tuang santan cair. Biar mendidih. Masukkan kiub ikan bilis, tempe dan fucuk (toskan). Masak hingga semua lembut. Masukkan kacang panjang, tauhu dan kobis. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit air. Biar mendidih.
  3. Tuang pati santan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan soo hoon, kacau dan masak dengan api sederhana hingga soo hoon lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan bersama ketupat/nasi impit, serunding, sambal tumis dan telur rebus....
CATATAN MAT GEBU :- Soo hoon tak perlu direndam, anda cuma perlu lalukan dibawah air paip sebelum anda masukkan ke dalam sayur lodeh. Masak dengan api sederhana hingga soo hoon kembang, tips ini akan membuat sayur lodeh anda lebih pekat....


SERUNDING IKAN BILIS.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
3 cawan kelapa parut (pilih kelapa yang muda sikit)*
1/2 camca teh serbuk kunyit*(*gaul rata)
2 camca teh jus asam jawa
3 helai daun limau purut
2 camca besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
4 batang serai, hiris halus
1 1/2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan kasar
1 camca teh jintan halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Goreng tanpa minyak kelapa tadi hingga suam, angkat dan sejukkan. Ikan bilis ditoskan, perah dan tumbuk halus. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, tumis cili hingga garing, masukkan bahan kisar halus dan masak hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan jus asam jawa, sedikit garam dan gula secukup rasa (selalunya serunding sedikit manis). Kacau rata dan bila pekat, masukkan kelapa tadi. Tambah daun limau purut, kacau rata dan masak dengan api kecil hingga serunding berderai (tapi tidak terlalu kering). Rasa dan jika ok boleh matikan api. Biar sejuk sebelum disimpan..

SAMBAL IKAN BILIS.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
1 biji bawang besar, hiris kasar
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
  2. Tambah gula dan garam secukup rasa, masukkan hirisan bawang besar. Toskan ikan bilis, perah dan masukkan ke dalam sambal, tambah sedikit air. Gaul rata dan masak dengan api kecil hingga sambal pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api..

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.