NASI AYAM UNTUK BERBUKA....MANA SUP NYA?...

rsz_nasi_ayam
Assalammualaikum, salam semua. Dah masuk 20 Ramadan, dah tinggal 10 hari kurang lebih Syawal menyusul dengan izin Allah swt. Cm pun agak sibuk sikit, masa untuk berblog pun terbatas. Nak masukkan entri berbuka puasa memang tak sempat dah. Resipi biskut raya rasa cm kalau tak letak pun takpe, sebab biskut sama aje macam tahun lepas dan kalau ada yang baru, cm masukkan kat blog, insha Allah. Hari ni cm bikin tart nenas dan dalam masa yang sama termengidam nak makan nasi ayam. Ok benda senang, lepas cm siap2kan bahan2 untuk buat tart nenas, cm keluarkan ayam (sebenarnya cuma ada 6 ketul kepal ayam dan 6 kaki ayam untuk stok). Lepas siap buat tart nenas, ayam dan lembut dan boleh diperap. Kali ini cm tambah sedikit minyak bijan dalam nasi ayam tadi, selain bau harum, rasanya juga lebih sedap. Seperti biasa cm guna beras Basmathi Moghul, satu sebab kenapa cm suka guna beras basmathi kerana nak menyukat airnya mudah. Tapi kalau anda nak guna beras siam, beras biasa atau beras wangi pun boleh, pandai2 lah eks adjust cecairnya nanti....

rsz_nasi_ayam1rsz_nasi_ayam2
Untuk ayam tu takde lah susah mana, cm perap agak lama, dalam 5 jam (dari jam 1 - 6 petang). Dan cm bakar guna kuali ajaib aje, senang, tak kuasa nak hidup2 oven. Kalau anda nak goreng pun boleh, tapi berminyak dan sah2 minyak gorengan bertukar jadi hitam dengan cepat memandangan bahan2 perap ayam tu ada kicap dan madu. Ok, lepas tu buat pulak sos dia, cm punya sos cili nasi ayam mudah dan tak de perlu bahan banyak. Dari segi rasa anda adjust sendiri sama ada nak manis atau kurang dan sebagainya. Supnya mana?...Errrr...sup dia habis sudah, huhu, gambar ini cm ambik jam 10 malam tadi, maka habislah sudah itu sup....takpe lah kita lihat apa yang ada je lah kan...Resipi mudah sangat, seperti berikut....

NASI AYAM.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan beras Basmathi, cuci dan rendam 45 minit dan toskan
5 1/2 cawan air rebusan ayam
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/4 camca teh minyak bijan
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, diketuk
1 camca besar penuh majerin (planta)
Garam secukup rasa
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
Daun salad
Hirisan timun dan tomato secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan marjerin dalam kuali, masukkan minyak bijan. Tumis halia, bawang putih, daun pandan, kayu manis dan bunga lawang hingga harum, masukkan beras basmathi, gaul rata dan goreng 1 minit, guna api sederhana dan kacau selalu. Matikan api.
  2. Pindahkan beras ke dalam periuk nasi elektrik, tuang air rebusan ayam, masukkan garam secukup rasa dan kacau rata. Masak hingga nasi masak. Gemburkan dan off suis periuk nasi. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama daun salad, hirisan tomato, timun, sup ayam, sos dan ayam bakar madu...
SUP UNTUK NASI AYAM....

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 - 8 kaki ayam
2 inci halia, dititik*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 batang serai, dititik*
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*
1 kiub pati ayam (optional)*
1 camca teh lada hitam kisar
4 liter air (atau secukupnya)
1 sup bunjut Adabi
1 biji kentang, kupas dan potong kiub
1 batang lobak merah saiz sederhana, potong berbaji
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kaki ayam dicuci bersih dan kerat. Masukkan ke dalam periuk bersama air dan bahan2 bertanda (*), kacau dan masak hingga menggelegak, kemudian sederhanakan api dan terus merenih selama 45 minit (kalau kurang kuah, tambah air lagi) jika ada seakan2 buih timbuk dipemukaan sup, keluarkan. Asingkan 5 1/2 cawan air rebusan untuk memasak nasi. 
  2. Kemudian masukkan sup bunjut, lada hitam kisar kentang dan lobak merah. Masak lagi hingga kentang dan lobak merah empuk. Perasakan dengan garam secukupnya. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan...
AYAM BAKAR BERMADU....

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 kepingan kepak ayam bersaiz besar
1 inci halia, tumbuk halus
4 ulas bawang putih, tumbuk halus
2 camca besar kicap pekat
3 camca besar madu
Garam secukup rasa
Sedikit majerin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci bersih kepak ayam, kemudian cucuk2 dengan garfu pada semua bahagian. Masukkan dalam satu bekas. tambah semua bahan2 diatas kecuali garam dan majerin. Gaul rata pada semua bahagian kepak ayam, tambah garam secukup rasa dan perap 5 - 6 jam dalam peti sejuk....
  2. Panaskan kuali ajaib dengan sedikit majerin, kemudian susun kepak ayam tadi dan ketepikan jus yang terhasil dari bahan perap tadi. Kecilkan api dan tutup kuali. Masak 10 minit. Sementara itu, jus perapan dimasak hingga pekat sedikit. Gunakannya untuk menglis ayam semasa proses membakar. Ayam akan masak kurang lebih 25 minit...Boleh hidangkan bersama nasi ayam tadi..
SOS UNTUK NASI AYAM...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji cili merah
3 ulas bawang putih
1 biji tomato merah saiz sederhana, potong kecik
1/2 kiub pati ayam, hancurkan
2 cawan air
3 camca besar gula (atau secukup rasa)
Sedikit garam
3/4 camca teh tepung jagung + 3 camca besar air, kacau rata
1/4 cawan cuka makan (cm guna cuka JALEN).


CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kisar cili, bawang putih dan tomato dengan 2 cawan air hingga halus. Tuang ke dalam periuk, masukkan gula, kacau dan masak hingga mendidih, guna api sederhana dan kacau selalau.
  2. Masukkan kiub ayam dan cuka makan. Tambah sedikit garam, kacau dan masak sekejap. Perlahankan api, tuang bancuhan tepung jagung (kacau sebelum dituang) dan kacau hingga sebati dan terus memasak hingga pekat. Matilan api dan biar sejuk. Boleh hidangkan bersama nasi ayam.

Post a Comment

3 Comments

  1. ''Ayam dah sedap, nasik dah elok, sos dah pekat, likat, melekat. Tapi sup, sup ni takda habis putus selera.''

    -AR Tompel, Filem Ahmad Albab 1968.

    ReplyDelete
  2. Sedapnya! Will definitely give this a try :) Thank you..

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.