BEN ASHAARI

Monday, December 31, 2012

2012 PENUH KENANGAN, 2013 DENGAN HARAPAN..

Assalammualaikum, selamat tahun baru Masehi 2013 buat semua, syukur alhamdulilah diberi usia untuk menempuh tahun baru. Masa bergerak pantas, 2012 yang berlalu penuh dengan kenangan manis dan pahit...errr...yang pahit tu biarlah menjadi rahsia mat dan anggap yang pahit  sebagai ujian Allah swt untuk memperbetulkan salah khilaf yang pernah mat lakukan....

2012 - Tahun 2012 merupakan sejarah bagi mat, kerana sepanjang 2012, mat menerima paling banyak kunjungan blogger ke pondok mat gebu. Kebanyakkan teman2 blog yang biasa dan ada juga mereka2 yang pertama kali datang. Terima kasih. Pada 2012 juga berita yang amat gembira bila jiran mat, Ben Ashaari mendapat cahayamata pertama beliau, seorang putera di sini. Tak lupa mat ucapkan terima kasih pada mereka2 yang memandang hormat pada blog DTS yang amat2 biasa ini. Selain media, pihak produk makanan sedia hidang dingin beku, MyChef turut memberi penghormatan pada mat dan blog DTS, dan tak lupa pada Kak Ida 1001 Resipi, terima kasih atas jasa2 akak... Pada pengunjung2 setia, followers, silent readers, teman2 FB, mat ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan anda..Doakan kesihatan Che Mat....Ok..

2013 - Harapan mat tahun ini agar semua dimurahkan rezeki, moga ikatan persahabatan antara blogger2 makin kukuh, elakkan rasa iri hati dan hasad dengki. Kita berada dalam satu ruang yang sama, tiada beza, darjat dunia hanya ciptaan manusia. Satu lagi mat berharap sangat tahun 2013 ini, tiada lagi kes2 plagiat hasil blogger. Akhir kata mat ucapkan selamat tahun baru pada semua sahabat2ku. Moga anda semua diberkati Allah swt, dirahmati dan dipermudahkan segala urusan sepanjang tahun 2013.....aminnnn...

ASAM REBUS UBI KAYU 'TOK HASSAN'..

rsz_asam_rebus_ubi_kayu
Salam semua, resipi sebelum berakhir 2012, mat nak letak satu resipi yang penuh kenangan dan nostalgia. Pernah makan ubi kayu yang dimasak asam rebus bersama ikan masin?. Teringat arwah datuk che mat, Tok Hassan (al-fatihah). Arwah bila takde benda nak dimasak lauk, maka berusahalah beliau dengan apa2 bahan yang ada sekitar kawasan rumah, asal menjadi hidangan pelengkap untuk nasi. Asam rebus ubi kayu antara yang menjadi pilihan. Kalau dapat pilih ubi yang berkanji dan melekit sikit, lagi sedap. Macam mat guna ni jenis ubi kurang kanji, tapi empuk. Kebiasaannya guna ikan bilis, tapi mat ganti dengan tulang ikan masin kurau. Kalau suka pedas boleh tambah 5-6 biji cili padi. Resipi amat2 mudah main lebur saja, tak banyak hal punya...bersedia?.. Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
Ubi kayu secukupnya (kurang lebih 500 gram)
5 - 6 ketul tulang ikan masin kurau yang masih berdaging, rendam
1 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
1 kiub ikan bilis (optional)

BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
7 biji cili padi
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ubi kayu dibuang kulitnya, cuci bersih dan dipotong berbagi (atau ditokek2 untuk nampak lebih asli), kemudian rebus hingga empuk, letak secubit garam. Keluarkan ubi rebus dan air rebusan dibiarkan dalam periuk, tak perlu dibuang.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus, tulang ikan masin kurau (toskan) dan asam gelugor ke dalam periuk berisi air rebusan ubi tadi. Jika perlu tambah sedikit air. Masak hingga mendidih dengan api sederhana. Kemudian masukkan ubi dan daun kunyit. Kacau rata.
  3. Tambah garam jika perlu dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain....


AYAM PONG TEH DARI DAPUR CHE MAT..

rsz_ayam_pongteh (1)

Rindu nak makan ayam pong teh. Tu hari lupa pulak nak rembat ayam pong teh MyChef, masa kat Tesco. Tapi tak mengapa, bahan2 pun ada cuma, ayam tu mat guna ayam pencen dan disebabkan nama pun ayam pencen, kenalah dimasak dalam periuk tekanan atau pressure cooker. Ayam pong teh satu masakan  orang peranakan baba nyonya. Seperti biasa yang ini mat guna resipi dari Chef Florence Tan. Ayam pong teh ialah ayam yang dimasak bersama pes tauco. Bahan2 agak mudah dan serius anda takkan sangka dengan bahan2 tersebut menghasilkan satu masakan yang ada ummphhh!!. Seakan2 masak kicap sedikit tapi ada beza, dan mat rasa, anak2 mesti suka. Satu lagi rasa dia tak pedas..

rsz_ayam_pongteh1 (1)
Sedap dimakan bersama nasi dan menurut kata Chef Florece Tan dalam buku masakan "Rahsia Masakan Nyonya"...Ayam pong teh wajib dihidangkan bersama sambal belacan dan masa nak makan, cili hijau kasi patah2 kan dalam masakan tadi. Selain dimakan bersama nasi, pada pendapat mat, makan dengan bubur nasi juga sesuai, dicicah roti juga sedap. Kentang dan cendawan shitakee antara bahan pelengkap untuk resipi ini.....Tapi kalau anda tak berani nak masak dan was2 rasanya macam mana, takpe, anda boleh cuba dapatkan Ayam Pong Teh produk dari MyChef dan resipi dari Chef Florence Tan juga. Contoh anda boleh lihat di sini...

KERIS PUSAKA SAMPIR SUASA,
HULUNYA DARI TANDUK RUSA,
AYAM PONG TEH TAK KALAH RASA,
SESUAI HIDANGAN SEPANJANG MASA.


BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, kerat 7 - 8 bahagian, cuci bersih dan toskan
10 biji bawang merah*
6 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
1/3 cawan pes taucho (mat guna tauco biji2 dan mat lumatkan sedikit)
8 kuntum cendawan shittake segar, rendam
2 biji kentang, kupas, potong 4 setiap 1, rendam
1 camca besar kicap pekat
1 camca besar kicap cair atau secukup rasa
Gula secukup rasa
Cili merah dan hijau, dipatah2
Hirisan daun sup, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan taucho, kacau dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan ayam, gaul hingga mesra dan biar ayam kecut. Tuang air secukupnya dan biar mendidih.
  2. Masukkan kentang (toskan), tambah kicap pekat dan kicap cair (sedikit dahulu). Kacau dan biar mendidih dengan api sederhana hingga kentang 1/2 empuk. Tambah cendawan shittake (tos dan perah). Masak lagi hingga kentang empuk.
  3. Tambah sedikit gula dan masak hingga kuah pekat sedikit. Rasa dan jika kurang masin, boleh tambah lagi kicap cair. Masak sekejap dan boleh matikan api. Tabur hirisan daun sup dan cili merah dan hijau yang dipatah2kan. Hidang bersama nasi hangat dan sambal belacan..

Sunday, December 30, 2012

LAKSA JOHOR....TAK SUDAH..SUDAH!!..

rsz_johor_laksa

Ketagih Laksa Johor?..Hahaha, takde lah, cuma mat rasa ia satu hidangan 'pusaka' orang2 Johor dan sewajarnya dipelihara. Mat buat untuk merai tetamu yang datang, geng2 PML. Pada mat resipi tradisi dilupa jangan, walaupun dari segi bahan2 ia agak berprofile tinggi dan "membunuh", tapi masih tetap menjadi pilihan. Apa2 benda dalam dunia ni pun waimah benda yang menyihatkan kalau dimakan terover the limit, tetap mendatangkan masalah. Kenapa laksa Johor saja sejak2 ni?... Ntah, yang pasti 'seruan' yang datang ialah laksa Johor, jadi mat hanya melaksanakannya. Kalau yang belum pernah rasa, cuba test makan, atau kalau rajin, anda boleh buat...Insha Allah pasti anda jatuh cinta lepas tu....

rsz_johor_laksa1

Satu petua menu2 tradisi ni, anda tak boleh lokek bahan kalau nak dapat hasil yang sedap, dan paling utama kena guna bahan2 yang segar. Laksa Johor seperti yang mat pernah tulis dalam entri lepas, ia menggunakan isi ikan kembong (kalau ori punya, guna ikan parang), udang segar, udang kering dan isi ikan kurau masin, empat bahan ini yang menjadikan laksa Johor amat2 istimewa. Dimakan bersama spaghetti dan ulam2man, tak lupa 'ibu' dia, sambal belacan. Cara hirisan bahan2 juga harus berhalus. Rasa mat resipi macam tak perlu, sebab mat tetap guna resipi yang sama. Ada juga yang tanya, kalau takde ikan kembong, boleh ganti dengan ikan apa?.. Ikan selayang juga sedap, kalau dah darurat sangat, guna ikan tongkol pun boleh.....Ehh...nak resipi juga ke?....Kejap yeaa mat kopipes (tapi gambar baru punya....)


BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA :-)
1 kg ikan kembong (kalau guna ikan parang lagi sedap)
4 - 5 camca besar udang kering, rendam
300 gram isi udang
Isi ikan kurau masin (2 inci x 2 inci), rendam
4 keping asam gelugor
1/2 inci lengkuas, dititik
1200 ml santan kelapa
1 1/2 camca besar kerisik
2 - 3 camca besar cili kisar
3 kuntum bunga kantan, belah dua
1 genggam daun kesom
1 genggam daun selasih
2 1/2 camca besar rempah kari ikan
1 camca besar serbuk ketumbar
1 camca besar serbuk jintan manis
Garam dan gula secukup rasa (mat guna gula melaka)

BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Spaghetti secukupnya, direbus, tos dan gaul dengan sedikit minyak
Hirisan halus timun
Hirisan bawang besar
Hirisan daun kesom, daun selasih dan bunga kantan
Hirisan kacang panjang @ kacang buncis
Taugeh secukupnya
Sambal belacan
Belahan limau kasturi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA :- Ikan kembong, direbus, asingkan isi dan tulang, tumbuk isi ikan tadi, tulang2 ikan dikisar dan tapis. Udang dikupas kulitnya, celur dan kisar isi udang hingga halus, udang kering dikisar halus bersama isi ikan kurau masin tadi. Bancuh rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk bersama bahan kisar halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis cili kisar hingga harum, masukkan bancuhan rempah dan bahan kisar tadi dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tuang air rebusan ikan, stok tulang ikan dan juga air rebusan udang tadi. Kacau rata dan bila mendidih, masukkan isi ikan kembong, udang, udang kering + ikan kurau dan asam gelugor. Kacau rata.
  3. Tuang santan dan masak hingga mendidih. Tambah kerisik, bunga kantan, daun kesom dan daun selasih, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak dengan api kecil hingga kuah laksa pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK LAKSA JOHORE :- Letakkan spaghetti secukupnya dalam pinggan sesuai, tuang kuah laksa atasnya (lebih sikit baru sedap). Tambah bahan2 lain secukupnya dan sudukan sambal belacan, letak belahan limau kasturi dan hidangkan.....Jangan lupa tambah ok kalau tak cukup..
CATATAN MAT GEBU :- Kebiasaannya, orang Johor akan "chap" atau gulung spaghetti tadi membentuk seakan2 sanggul. Untuk sambal belacan tu mat guna cili merah + cili padi + belacan bakar + secubit garam dan gula....Selamat mencuba semua..

Saturday, December 29, 2012

KEK NANGKA MADU....ERRRR 'MADU'?....

rsz_kek_nangka
Salam semua, mood baru nak mari, tadi mat menerima tetamu, geng2 kolektor PML (pinggan mangkuk lama). Anda pun tau kan, mat bukan ada hubungan sulit dengan blogger masak dan personal saja, tapi dengan blogger PML pun mat buat skandal gak...anda ada berani?... Ok entri pertama ni hari, nak share dengan anda kek yang mat buat semalam, kek nangka madu, resipi kalau tak silap mat dapat dari satu majalah, errrrr...alah tak berapa nak pasti majalah mana, kalau tak silap mat, majalah Kelurga. Kebetulan jiran belakang rumah bagi nangka madu...errr yea kot nangka madu sebab manis dan wangi. Jadi terus mat teringat satu resipi yang mat pernah salin. Terus lah "ON" projek.....lagi pun gian dah nak baking2 nih...

rsz_kek_nangka1
Mat buat 1/2 dari resipi asal, tapi ada sedikit yang mat ubah, terutama sukatan gula dia mat kurangkan. Satu lagi mat guna tepung berserbuk penaik  sebagai ganti tepung gandum biasa. Tau tak, gula negara kita lebih manis berbanding gula di negara barat, ini betul, sebab Che Puan Muna yang bagi tau mat, masa beliau datang Sedenak awal tahun dulu. Tu pasal kalau kita tengok resipi2 dari buku masakan omputeh, sukatan gula mereka agak 'ganas' dan kalau kita buat ikut sukatan sama, sah2 leerrr manis gilerrrrr jadinya. Oleh itu pandai2 lah anda kurangkan sukatannya. Ok kita lihat resipi mudah ini...Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
125 gram mentega
120 gram gula kastor
1 biji telur gred A
125 gram tepung berserbuk penaik (self raising flour)
1/4 camca teh esen nangka @ esen vanilla
125 ml susu segar
3 - 4 ulas nangka madu, ambik isinya dan hiris kasar (asingkan sedikit untuk hiasan)
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser acuan loaf bersaiz 6inci x 3inci x 2.5inci dengan mentega, alas dasarnya dengan kertas dan lenser kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga putih dan gula larut. Masukkan telur dan putar hingga kembang. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang seli dengan susu segar hingga habis, putar rata.
  3. Masukkan esen vanilla @ esen nangka dan nangka hiris, gaul rata, tuang dalam tin tadi dan tabur atasnya dengan hirisan nangka yang diasingkan sebagai hiasan. Bakar 50 - 55 minit atau hingga kek masak. Biar sejuk sekejap dan boleh keluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas redai. Boleh hidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda nak potongan yang lawa, lepas kek sejuk, anda boleh bungkus kek tadi dan simpan dalam peti sejuk untuk 2 - 3 jam, kemudian anda potong dengan pisau tajam, insha Allah anda akan dapat potongan kek yang elok....Selamat mencuba!!..

Friday, December 28, 2012

ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG..

rsz_asam_pedas_ikan_sembilang
Assalammualaikum, salam Jumaat. Entri seperti biasa. Asam pedas lagi, yang memang tanpa jemu punya lah. Kali ini asam pedas ikan sembilang yang segar. Masa mat beli ia masih hidup lagi (beli semalam), harga agak tinggi juga, mungkin sebab ia hidup, sekilo RM 24.. tapi yang mat beli ni dalam Rm 14 macam tu. Ikan segar dah semestinya hasil masakan kita lebih sedap dan nyaman. Pada mat apa lah sangat, bukan nak beli hari2, dan kemungkinan nak jumpa yang segar dan masih hidup pun tak selalu, kecuali anda kaki pancing. Kebiasaan, kalau masak ikan sembilang daun kesom antara herba yang wajib dicampurkan sekali, selain mengenakkan kuah, menambah aroma, ia juga tak sikit banyak dapat menghilangkan bau ke 'ikan' nan si sembilang tadi. Kalau orang tanya, che mat tak jemu ke asyik2 asam pedas je?..Of coz tidak, kalau jemu takkan ku masak kerap menu asam pedas...Bersedia untuk resipi, ok jommm!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sembilang segar (kurang lebih 1 kati atau 600 gram)
2 biji terung
1 genggam daun kesom
1 3/4 senduk nasi cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
1/4 camca teh halba
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang dikerat kepada beberapa bahagian kemudiab cuci bersih dan perap dengan limau nipis dan sedikit garam selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Terung dibelah dua, kemudian kerat 2 setiap belahan dan direndam. Ketepikan..
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan halba dan cili kisar, tumis hingga cili garing. Guna api sederhana dan kacau sentiasa. Tambah pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan). Biar mendidih.
  3. Masukkan ikan dan daun kesom, tambah juga garam secukup rasa dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhana, masukkan terung dan masak hingga terung lembut dan ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain.


Thursday, December 27, 2012

BILA "JELITAWAN - JELITAWAN' KE PONDOK MAT GEBU..

Ingatkan tadi entri terakhir, sekali ada lagi. Walaupun dah beberapa hari kesah ini berlaku, tapi baru mat sempat masukkan entri. Rasa berbesar hati menerima kunjungan Puan Melur Jelita ke pondok Che Mat pada 24hb lepas, hari Isnin. Sebenarnya awal lagi MJ dah khabarkan pada mat, yang beliau teringin ke Sedenak. Perancangan awal pada 23hb, tapi atas ketentuan Allah swt, ia telah tertunda sehari. Jadi tanggal 24hb, MJ selamat menjejakkan kaki ke bumi Sedenak yang pasti begitu asing bagi beliau. Kalau anda tak pasti siapa MJ ini, beliau ialah penulis novel ASST (Awak Suka Saya Tak?) yang telah diulang cetak sebanyak 10 kali!!...dan novel terbaru beliau ILUS (I Love You, Stupid) yang baru dikeluarkan sedikit masa dahulu juga mendapat sambutan diluar jangkaan, khabarnya dah masuk ulangcetak kali ke-4!!..Tahniah MJ....adakah lepas ini akan muncul ASST II atau ILUS II?....semuanya tidak mustahil jika Allah swt mengizinkan..

Dan turut serta Sue Joshua sekeluarga, Sis Linn dan anak2 beliau serta Cikgu Linda, isteri pada En Azman Ahmad. Atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan MJ lewat sikit sampai, tapi alhamdulillah sempat juga mereka bertemu (seperti dalam gambar, kredit pada Sis Linn). Terima kasih pada mereka2 yang hadir, mat minta maaf jika ada terkasar bahasa dan apa yang kurang minta dihalalkan yea...Tu saja entri ringkas untuk kali ini....Assalammualaikumm...

LINGUINE WITH BUTTER SCALLOP..

rsz_1linguine_wif_butter_scallop
Salam semua, entri akhir malam ni nak letak satu hidangan ala2 fusion, sepatutnya guna spaghetti, tapi takde pulak, jadi mat belasah guna pasta linguine, dia macam spaghetti tapi leper dan kecik sikit dari pasta fettuccine. Sebenarnya mat plan nak buat semalam, tapi silap keluar bahan2. Nak keluarkan scallop tapi terkeluar udang...grrrr..tu lah kan, konon2 macam terror lah sangat, main cekut lepas tu letak dalam sinki, konfiden habis benda tu scallop, sekali time nak buat, tengok2 udang...huhu, tu yang mat masak mi maggi derhaka semalam. Resipi ini amat mudah dan katalah anda takde scallop, boleh saja ganti dengan udang, cuma mat memang niat nak guna scallop. Ok resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
100 gram pasta linguine, rebus hingga lembut (ikut arahan pada paket)
80 gram isi scallop atau kekapis
1/4 bahagian trafficlight capsicum, didadu
3 ulas bawang putih, cincang halus
Sedikit herba basil segar, cincang
Sedikit parsley, cincang
2 biji cili padi merah thai, cincang halus
2 camca teh jus lemon
1 camca besar mentega
1 camca besar minyak zaitun
Garam secukup rasa
Sedikit air rebusan pasta
Herba basil sebagai hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak zaitun, masukkan mentega dan biar mentega cair. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili padi cincang dan scallop. Kacau rata dan masak hingga scallop menjadi pucat. Guna api sederhan.
  2. Tambah trafficlight capsicum, kacau rata. Tambah pasta linguine, kacau rata dan tambah sedikit air rebusan pasta. Masukkan herba basil dan parsley, gaul rata dan perasakan dengan garam secukupnya.
  3. Akhir sekali masukkan jus lemon, kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan herba basil segar dan boleh dihidangkan..


GULAI SIPUT SEDUT DENGAN BATANG KELADI.

rsz_siput_sedut_masak_lemak
Hari ni untuk entri pertama, mat letak menu gulai siput sedut yang dimasak dengan batang keladi. Sebenarnya ini bukan lah mat masak hari ni, tapi mat masak semalam. Cuma semalam mat letak dulu entri2 tertangguh. Siput sedut antara makanan orang melayu yang popular. Dan paling koman sekali, ia dimasak lemak macam mat buat ni. Selain tu boleh juga dimasak asam pedas. Seperti macam mat tulis dulu, siput sedut kalau kita nak 'suci' kan, kenalah ditabur dengan hampas kelapa dan biar semalaman, tujuan siput akan memakan hampas kelapa dan secara semulajadi dia akan menyah kotoran dalamannya. Jadi tidak lah berapa nak segan bila kita makan nanti. Sebab dah bersih. Selain batang keladi, anda boleh campur dengan pucuk ubi macam mat pernah masak dulu di sini..resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok keladi sayur (atau beli yang dah siap disiang)
1 keping asam gelugor
2 batang serai, dititik
1 helai daun kunyit, disiat
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
10 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Siput yang telah disucikan, dicuci bersih dan dikerat bahagian hujungnya, kurang lebih 3 ruas dari atas. Buat hingga siap, cuci lagi dan tos. Sementara itu celur batang keladi dengan asam gelugor, jangan celur lama2, bila batang keladi lembut sikit, sudah memadai, tos. Ketepikan.
  2. Masukkan siput ke dalam periuk bersama bahan kisar halus dan serai titik. Masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau dan biar mendidih. Tambah asam gelugor dan daun kunyit, tuang santan pekat, kacau rata.
  3. Masukkan batang keladi, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhana sambil dikacau selalu. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ikan goreng.

Wednesday, December 26, 2012

LAKSA KARI MAGGI ALA NYONYA...

rsz_laksa_kari_maggi_ala_nyonya
Kita hanya merancang Allah swt jua yang menentukan. Plan asal nak masak spaghetti wif butter scallop, tapi ku silap keluarkan bahan mentah dari freezer, bukan scallop tapi udang!!...Grrrr, terus kensel dan cari dalam magic box, ada pulak maggi kari....settt...maggi pun maggi lah, janji che mat boleh kasi dehaka. Seperti biasa, bila perancangan berubah. Bahan2 mentah juga serta merta kena guna yang lain, walaupun ia hanya untuk menderhakakan Mi Maggi. Ok, kalau sebut laksa, benda2 asas seperti bunga kantan dan daun kesom wajib ada. Sambal belacan pun kena ada gak kan....errrr, yang ni takde letak, sebab takde dan malas mo bikin. Ulam2 pun kenalah ada kalau nak nampak ia laksa yang authentic. Jangan risau kalau nampak bahan2 tu banyak sangat, sebab benda2 mudah nak dapat. Ok, kita lihat resipi, walaupun ia hanya mi segera yang telah diderhakakan....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 paket maggi perisa kari, asingkan perencahnya
1 kuntum bunga kantan sai kecil, belah 2 (1/2 bahagian dihiris halus)
10 helai daun kesom
4 biji tomato ceri, cincang halus
1 camca teh cili kisar
2 biji bawang merah, hiris halus
1 ulas bawang putih, cincang halus
2 ekor udang bersaiz besar, dibersihkan
1 keping fishcake, hiris
2 camca besar pati santan
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Hirisan halus timun
Hirisan halus bawang besar
Hirisan halus daun kesom
1 biji limau kasturi, belah 2
2 cawan air atau secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah tomato ceri yang dicincang, masak sekejap.
  2. Tambah perencah kari (yang disertakan sekali dalam pek mi maggi), kacau rata dan tuang air dan biar mendidih. Masukkan daun kesom, bunga kantan, udang dan kek ikan. Biar masak sekejap.
  3. Tambah mi maggi dan masak hingga mi lembut. Jika kurang kuah anda boleh tambah. Akhir sekali masukkan santan dan jus limau kasturi, kacau rata, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur dengan hirisan timun, bawang besar, bunga kantan, daun kesom, taugeh dan perah jus limau kasturi jika anda suka lebih masam. Hidangkan panas....


PAVLOVA MANIS BAK 'MADU'...

rsz_pavlova
Oh..pavlova, manis namun sungguh seksi, mengerikan tapi menjadi igauan, ibarat madu, walaupun berkhasiat, di sebalik nama 'madu' itu sendiri ada racunnya. Macam pavlova ni, nama cukup indah, rupa pun....errr.....xceli kan rupa pavlova ni tidak lah secantik mana kalau tak letak cream dan buah2an tu, rupa macam topi kena lenyek jee, tapi bila dah di make-up bagai, terus nampak menawan. Rasa manis dah sesungguhnya tak sesuai untuk mereka yang punya kadar gula agak tinggi dalam darah (che mat pun takutt wooo, jadi kena hati2). Cuma untuk pavlova memang kena hias dengan buah2an masam sebab ia akan mengimbangkan rasa manis pavlova dan rasa lemak cream tadi. Macam mat buat tu, semua buah kasi lambak atas dia cuma stoberi je takde, huhu. Apa2 pun ia memang sesuai untuk majlis rasmi dan sebagainya. Kali ni mat buat dalam saiz 9 inci dan guna 6 putih telur...Jomm kita lihat resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 putih telur
1 1/2 cawan gula kastor
1 1/2 camca besar tepung jagung
1 1/2 camca teh cuka makan
1 camca teh esen vanilla
Non-dairy whipping cream secukupnya (anggaran 1 1/3 cawan)
Buah2an segar pilihan anda (stroberi, raspberry, bluberry, kiwi, buah mangga, anggur hitam/merah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C, lukis bulatan 9 inci pada kertas minyak, kemudian terbalikkan kertas tadi dan alas pada loyang pembakar (guna pada bahagian yang nampak 'bayang2' garisan bulat). Ketepikan.
  2. Putar putih telur pada kelajuan sederhana hingga berbuih, kemudian tukar pada kelajuan tinggi. Masukkan gula kastor sedikit demi sedikit hingga habis dan putih telur mula kental menjadi meringue. 
  3. Masukkan cuka makan dan esen vanilla, gaul rata guna spatula, kacau pada satu arah sahaja. Ayak tepung jagung ke dalam adunan dan kacau guna kaedah kaup balik hingga rata. Tuang atas kertas minyak tadi dan bentukkan bulat, biar ia meninggi sedikit
  4. Masukkan dalam oven, turunkan suhu pada 150C dan bakar selama 1 jam 25 minit atau hingga bila disentuh dia keras (mat guna api atas dan bawah, dan bakar pada rak no.2 dari bawah). Matikan api dan renggangkan sedikit pintu oven sehingga pavlova sejuk. Boleh alih ke dalam bekas yang sesuai.
  5. Putar non-dairy whipping cream hingga kembang. Ratakan krim tadi atas pavlova, tabur buah2an segar pilihan anda atasnya dan boleh hidangkan. Simpan dalam peti sejuk jika tidak habis dimakan...

SAMBAL HIJAU IKAN BILIS TAMBAN

rsz_sambal_hijau_pedas
Salam semua, entri pertama hari ni mat mulakan dengan satu resipi mudah namun sangat sedap bila dimakan bersama nasi hangat yang dimasak lembut dan ikan masin atau ikan goreng. Sambal hijau ikan bilis tamban ini asalnya sambal padang, tapi mat masak kali ni ikut citarasa sendiri. Pada mat resipi asal sebagai panduan, selebihnya ikut citarasa kita dan ahli keluarga yang lain. Selera orang tak sama dengan selera kita. Contoh macam sambal hijau ni, mat tambah belacan dan mat tak letak tomato, ikan bilis mat ganti dengan ikan bilis tamban. Masa mat masak kali pertama dulu, Bak dia tak berapa nak suka sangat, ok takpe meh sini che mat oter kasi buat ikut style aku pulak dan alhamdulillah, jadi sedap pulak...errk, masuk bakul angkat sendiri?...haha, biarlah...puji masakan sendiri tak mengapa, dari orang lain puji tapi kat belakang, kutuk sikit punya baik....Resipi mudah seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6-7 biji cili hijau, potong kecil
1/2 cawan cili padi hijau
1/2 inci belacan
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 biji buah keras, hiris
1 camca teh pes pekat asam jawa
1 genggam ikan bilis tamban, dibersihkan dan direndam
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kisar bawang merah, bawang putih, buah keras dan belacan hingga lumat. Masukkan cili padi dan cili hijau, kemudian kisar tapi jangan sampai halus sangat, kasi dia lumat saja. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis no.1 tadi dengan api kecil, kacau sentiasa hingga terbit minyak. Masukkan pes asam jawa, kacau rata. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masukkan ikan bilis tamban (toskan), gaul rata dan masak hingga sambal pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat.

Tuesday, December 25, 2012

KEK MENTEGA SUJI MARBLE...

rsz_kek_sujee_marble
Kek mentega yang begitu klasik, dan bertambah klasik bila dicampur dengan sugee atau semolina. Mat pernah buat kek ni dulu. Dan kali ni mat buat lagi. Cuma oter sikit je, kekonon nak kasi marble, tapi ntah jadi macam dakwat tumpah pulak, tapi rasa dia kan...kan..kan...uhhhh, mengancam dan seksi okehh. Tak caya tanya Sue Joshua, dia ada rasa semalam. Untuk kek ni mat bakar dalam acuan comel2. Sesuai untuk minum petang dan sebagainya. Kek ini lembap dan kalau nak rasa ke mentega annya, mat syorkan anda guna mentega berkualiti tinggi. Tapi kalau takde belasah buttercup pun boleh. Anda boleh bakar dalam apa2 acuan pilihan anda, tapi pastikan dilenser dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas minyak, kecuali kalau anda guna bunt-pan atau acuan berlubang tengah. Anda kalau nak buat sikit, bahagian, sila bagi dua resipi di bawah ini. Ok resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram mentega berkualiti tinggi
170 gram tepung gandum*
1 camca teh baking powder*(*disatukan, gaul dan diayak)
150 gram gula kastor
100 gram suji @ semolina
1 camca teh esen vanilla
4 biji telur gred A
100 ml susu segar
Sedikit chocolate emulco

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskn oven pada suhu 175C, lenser acuan yang ingin anda gunakan, alas dasarnya dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi. Kalau guna acuan bunt-pan, lepas disapu dengan mentega tabur sedikit tepung rata2, kemudian terbalikkan acuan dan ketuk keluar lebihannya. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga sebati, masukkan telur satu persatu dan putar hingga kembang. Sementara itu gaul suji dengan tepung yang telah diayak tadi hingga rata. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang seli dengan susu segar, hingga habis, diikuti esen vanilla. Putar sebati.
  3. Cedok kurang lebih 6 camca besar adunan tadi dan campur dengan chocolate emulco, kacau rata. Tuang adunan kosong dalam tin, kemudian sudukan adunan coklat atasnya, ambil pisau atau chopstick, lorek untuk menjadi corak marble. Bakar 40 - 45 minit atau hingga masak. Keluarkan kek, sejukkan atas jaringan. Boleh hidangkan...
CATATAN MAT GEBU :- Mat bakar guna api atas bawah dan guna rak no 2 dari bawah. Jika anda guna tin bewarna hitam, turunkan suhu 15C, contohnya macam suhu yang disyorkan 175C (jika bakar guna tin aluminium), kalau guna tin hitam bakar pada suhu 160C. Jika suka anda boleh juga tabur badam cincang atasnya..


GULAI REBUNG DENGAN BABAT..

rsz_gulai_rebung
Assalammualaikum, anda sehat?.Sekarang ni dah musim hujan dan ada juga negeri2 yang dilanda banjir, apa2 pun paling penting anak2 jangan dibiar main banjir, kalau boleh biar kita bekeras demi keselamatan mereka. Jadi berwaspada ok. Hari ni mat share dengan anda resipi gulai rebung dengan babat. Ini antara menu yang mat hidangkan untuk tetamu semalam, yang tu nanti kita cerita dalam entri lain. Rebung ini sebenarnya sudah berjeruk tapi bukan sampai tahap bau kurang enak, cuma dijeruk kurang lebih 2 minggu macam tu. Rasa dia masih sedap. Dan seperti biasa mat masak dengan babat atau perut tuala. Kalau tak makan babat, anda boleh guna daging, udan atau pun tulang ikan masin kurau. Mat guna 100% cili padi kampung jenis hjjau untuk resipi ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg rebung yang telah siap dihiris, celur sekejap dan toskan
700 gram babat (perut tuala) yang telah siap dibersihkan
4 batang serai, dititik
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN KISAR HALUS :-)
1/2 cawan cili padi kampung hijau (atau ikut pedas)
1 inci kunyit hidup
1inci halia
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Babat dipotong pada saiz kecil, rebus sekejap dalam 20 minit dan toskan. Masuk rebung dalam periuk (kalau guna rebung jeruk tak perlu celur, kasi cuci bawah air paip, toskan). Tambah babat. serai tititk dan bahan kisar halis. Gaul rata dan masak hingga mendidih.
  2. Tuang santa cair, kacau dan masak hingga mendidih, kalau kurang kuah boleh tambah sedikit air. Masuk asam gelugor dan masak hingga babat lembut. Tambah pati santan, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau rata.
  3. Masak dengan api sederhana hingga mendidih, sambil dikacau selalu. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matika api. Boleh hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain. Gulai akan lebih sedap setelah 2 - 3 jam..


Sunday, December 23, 2012

HANYA ENTRI MI HOON GORENG...

rsz_mi_hoon_bodo2
Assalammualaikum, petang semua...Sibuk sikit hari ni dan mat masak yang cincai2 saja. Sebab takde yang bess, mat letak entri mi hoon goreng dobo2 je. Dah beberapa hari juga mat rasa macam nak makan mi hoon goreng, tapi malas sangat nak goreng. Dan hari ni memandangkan bahan2 yang mudah semua dah ada, termasuk baki sambal tumis yang mat bekukan dalam freezer. Jadi kerja ku bertambah2 mudah, cuma guna sambal tumis tadi sebagai salah satu bahan rencah. Tak payah nak kisar bahan2 lain. Bila goreng mi hoon, Bak lebih suka guna udang bersaiz kecil, lebih manis katanya. Kalau ada sotong, boleh juga letak, tapi nanti gatal pulak. Mi anda rendam hingga lembut atau kalau nak ekspress, anda boleh rebus sekejap mi hoon tadi, tapi pastikan letak mi hoon dalam periuk, tuang air sejuk dan panaskan atas api, jangan bila air dah mendidih, baru masukkan mi hoon, nanti dia jadi melemping dan melekat2. Jangan rebus lama sangat, bila anda rasa mi tadi agak lembut, ok boleh matikan api dan toskan. 

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram mi hoon, rendam hingga lembut (kurang lebih 30 minit)
Taugeh secukupnya 
1 cekak kucai, kerat pendek
1/2 cawan isi udang
2 biji telur, dibuat telur hancur
1 camca besar sos cili
3 camca besar sambal tumis*(*resipi dibawah)
2 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji bawang merah, hiris halus
Sedikit air
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Hirisan cili merah untuk hiasan

BAHAN SAMBAL TUMIS :-)
2 cawan cili kisar
1 genggam ikan bilis, rendam dan toskan, tumbuk lumat
1 genggam udang kering, rendam dan toskan, tumbuk lumat
2 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
3 biji buah keras, hiris*(*kisar halus)
1 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum, masukkan sambal tumis dan sos cili, kacau rata. Tambah udang dan masak hingga udang bertukar warna. Masuk telur hancur, kacau rata dan tuang sedikit air.
  2. Masukkan mi hoon, kacau rata dan masak hingga mi hoon lembut. Tambah kucai, gaul dan masukkan taugeh. Kacau hingga semua rata. Tambah sos ikan secukup rasa. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan hirisan cili merah sebelum dihidangkan.
  3. UNTUK SAMBAL TUMIS :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga garing. Tambah udang kering dan ikan bilis. Kacau rata, tambah pes asam jawa. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak hingga pekat, rasa dan jika ok boleh matikan api. Biar sambal sejuk dan simpan dalam botol untuk kegunaan kemudian (untuk tahan lebih lama, simpan dalam peti sejuk)..

Saturday, December 22, 2012

BUBUR NASI TOMYAM..

rsz_bubur_nasi_tomyam
Musim orang demam sekarang ni, Bonda pun masih belum ok, walaupun dah semakin pulih. Hari ni mat masak bubur nasi. Tapi saja kasi ubah selera sikit, nak kasi bubur nasi lebih berperisa dan beraroma, tapi takmo aroma rempah ratus, cuma nak aroma herba. Jadi pilihan mat dah tentulah 'tomyam'. Senang saja buat dia. Ada 2 cara, pertama adan rebus beras tadi dalam air yang dicampur bahan2 tomyam, atau boleh tambah kemudian setelah nasi menjadi bubur. Tapi pada mat, lagi bess kalau kita renihkan bubur tadi bersama2 bahan tomyam. Anda boleh tambah apa yang anda suka, macam mat hanya guna fishcake dan kemudian mat letak lebihan otak2 yang dihiris nipis. Kalau suka masam, boleh perah jus limau kasturi, tapi jangan banyak sangat, sikit saja, kasi rasa. Resipi mudah seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan beras siam
12 cawan air
2 camca besar pes tomyam
1 kiub ayam
 1 inci halia, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
2 batang serai, dititik
2 batang fish cake, hiris (atau boleh guna ayam, daging, udang, sotong dan sebagainya)
2 helai daun limau purut
7 - 8 biji cili padi, diketuk
2 ulas bawang putih, diketuk
1 biji bawang besar, belah 6
Sedikit lada hitam kisar
Sos ikan secukup rasa
Hirisan daun bawang/daun ketumbar, untuk hiasan
2 batang otak2 yang siap dibakar, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci beras (kalau beras siam, cuci sekali saja), masukkan dalam periuk bersama2 air, serai titik, halia, lengkuas, bawang putih dan juga daun limau purut. Masak hingga mendidih dan beras kembang. Tambah kiub ayam dan pes tomyam, kacau rata dan sambung memasak hingga menjadi bubur. 
  2. Masukkan fishcake (kalau anda guna daging atau ayam, masukkan awal), bawang besar dan cili padi. Masak sekejap. Tambah sos ikan secukup rasa. Kalau suka cair boleh tambah sedikit lagi air. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. Cedok bubur dalam bekas sesuai, tabur hirisan daun bawang/daun ketumbar. lada hitam kisar dan otak2 yang dihiris. Kalau kurang masin, anda boleh tambah sedikit lagi sos ikan. Hidangkan panas....sah berpeluh punya...

ASAM PEDAS AYAM PULAK!!....

rsz_asam_pedas_ayam
Dah macam musim asam pedas pulak. Tu hari asam pedas ikan kembong, ni hari asam pedas ayam pulak. Tatau lah, tekak ni nak makan yang macam tu, satu menu yang masam, beraroma, sedikit pedas dab berangin serta tak berapa berat sangat. Kali ni mat letak kentang. Ingat nak letak daun limau purut, tapi dah ada daun kesom, jadi tak perlu. Cuma mat tambah sekuntum bunga kantan. Mat guna ayam pencen dalam 1/2 ekor. Kalau guna ayam kampung lagi bess. Kali ni masak tak banyak, sebab ada yang tak nak. Jadi mat gebu dan mereka2 yang nak saja akan membelasahnya. Sebab ini ayam pencen, mat masak guna periuk tekanan atau pressure cooker bagi menjimatkan masa. Kalau anda nak cepat boleh guna ayam daging, tak salah cuma ayam daging tu cepat lembut, kalau ayam pencen isinya seakan2 ayam kampung. Ok, dah cukup lah bebel, moh lihat resipi pulak...terima kasih yea sebab tak jemu singgah sini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka (mat potong 8 bahagian), cuci dan toskan
3 biji kentang saiz sederhana, belah 4 setiap satu, rendam
1 batang serai, dititik
1 genggam daun kesom
2 senduk nasi cili kisar
1/2 kiub ayam (optional)
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1 camca teh lada hitam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus dan serai titik hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, guna api sederhana dan kacau selalu. Masukkan ayam dan gaul rata, biar hingga ayam kecut.
  2. Tuang air secukupnya dan biar mendidih. Kemudian sederhanakan api dan masak hingga ayam lembut. Masukkan kentang dan daun kesom, biar hingga kentang empuk dan ayam empuk, tambah pes asam jawa, kiub ayam (jika guna) dan kacau rata2.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Friday, December 21, 2012

KUIH BINGKA PANDAN DURIAN

rsz_bingka_pandan_durian

Assalammualaikum, apa2 pun mat minta maaf dulu, sebab hari ni agak sibuk sikit, dan bonda kurang sihat, dia demam...huhu. Pagi tadi mat dah masak sebenarnya, dan dah ambik gambar untuk entri blog, tapi masa tak mengizinkan sungguh. Tau saja lah, blog masak2, nak kena crop gambar, letak watermark dan sebagainya. Sekarang ni kalau tak letak watermark betul2, orang yang tidak bertanggungjawab suka hati mak pak dia saja sapu hak kita. Nak bising2 pun dah penat, buat naik darah tinggi siaa. Jadi hari ni satu ni jelah entri yang mat sempat masukkan. Tapi insha Allah esok entri2 tertangguh akan menyusul...Err....lawa ke set 'vintage' atau set lama yang mat guna tu, hi-value dah barang2 macam ni..payah nak dapat... eh, tiba2 pulak cerita set vintage...ok ok kita sambung pasal entri hari ini.....

rsz_bingka_pandan_durian1
Kuih bingka atau kuih bakar pandan durian ini mat dapat dari satu group di FB, yang post resipi  ini ialah Puan Isma Zira. Yang menariknya resipi beliau bukan dibakar dalam oven, tapi bakar dalam kuali ajaib yang tengah femes sekarang, orang guna merata2 dah. Bagi anda yang tak pasti apa itu kuali ajaib, boleh rujuk entri ini. Satu yang besnya, selain senang, anda boleh kawal samada nak keraknya tebal atau pun nipis. Kuih agak cepat masak, kurang lebih 40 - 45 minit saja, dan guna api paling minima untuk membakar. Mat bakar 20 minit kemudian terbalikkan dan bakar lagi 20 minit atau hingga masak. Lepas tu anda baru bukak kuali tadi perlana2 dan boleh periksa samada kuih dah masak atau belum. Kuih bingka pandan durian juga sesuai kalau anda nak bakar dalam oven....Resipi seperti dibawah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
2 cawan santan
1 cawan air*
6 helai daun pandan, potong kecil*(*kisar dan tapis jusnya)
2 biji telur gred A
Sedikit garam
3 - 4 ulas durian, ambil isinya
2 camca besar mentega, cair dan sejukkan (yang ni mat tambah)
Sedikit pewarna makanan hijau epal

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan telur dengan gula, kacau hingga gula hancur. Masukkan santan dan jus pandan, kacau rata. Tambah tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati. Masukkan sedikit garam dan pewarna hijau. Gaul rata dan tapis adunan tadi.
  2. Isi durian dilecek hingga halus, masukkan ke dalam bancuhan bersama mentega cair. Kacau rata dan tuang dalam kuali ajaib yang telah dipanaskan atas dapur menggunakan api kecil (panaskan dalam 5 minit). Kemudian tutup kuali tadi.
  3. Bakar dengan api kecil selama 40 - 45 minit, bergantung pada anda, jika suka kerak lebih tebal, boleh lamakan sikit waktu membakar. Selepas 20 minit, terbalikkan kuali dan bakar lagi. Bila kuih masak, keluarkan dari kuali dan sejukkan sebelum dipotong...
  4. KAEDAH LAIN :- Anda boleh bakar dalam tin 8 inci x 8 inci yang dialas dengan aluminium foil dan disapu sedikit mentega. Panaskan tin dalam oven 5 minit, kemudian tuang adunan kuih dan bakar selamat 50 minit hingga 1 jam atau hingga masak degan suhu 200C, kalau suka boleh tabur bijan atasnya. Untuk mendapat permukaan kuih yang perang, tukar setting oven anda pada fungsi "GRILL" dan bakar hingga permukaan kuih perang.....
CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh kisar bahan2 untuk kuih bingka ini, kecuali isi durian. Mat kisar semua bahan2 kecuali isi durian, kemudian tapis dan mat ambik 1 cawan adunan yang bertapis tadi dan kisar sekali lagi dengan isi durian, kemudian gaul kembali dengan adunan asal. Tujuannya, untuk mendapat kuih bingka yang lebih halus dan cantik bila dipotong....Selamat mencuba!..


Thursday, December 20, 2012

CORNFLAKES SIRA PEDAS..

rsz_cornflakes_sira_pedas
Salam semua, entri terakhir malam ni mat nak kongsi dengan anda satu resipi yang amat2 mudah dan ringkas. Rasanya mat pernah buat sekali dulu. Kebetulan ada lebihan cornflakes yang mat simpan, baki masa buat kuih raya lepas. Tak banyak, kurang lebih dalam 3 cawan, jadi tadi petang saja2lah buat resipi ni untuk habiskan stok. Selain cornflakes, mat tambah kepingan badam, ikan bilis yang digoreng garing dan bijan. Yang ni mat buat macam kurang cili kisar, takut pedas sebab Bak kan tak boleh makan pedas. Kalau lebih sikit cili kisar, lagi nampak menawan. Ikan bilis, mat guna jenis halus2 atau orang gelar ikan bilis nasi. Rendam dulu, kemudian perah dan goreng garing. Badam dan bijan anda sangai dulu atau boleh bakar sekejap dalam oven. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan cornflakes
1/2 cawan kepingan badam 
1 camca besar bijan
1 genggam ikan bilis jenis kecil, dibersihkan, rendam 10 minit dan toskan
2 senduk nasi penuh cili kisar
4 camca besar gula
2 camca besar cuka makan
3 ulas bawang putih, tumbuk halus
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepingan badam dan bijan disangrai atau goreng tanpa minyak dalam kuali dengan api sederhana hingga wangi dan keemasan. Kacau selalu, angkat dan sejukkan. Ikan bilis ditos dan diperah. Goreng hingga garing, angkat dan toskan
  2. Panaskan sedikit mintak dalam kuali, tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga garing, masukkan gula, cuka dan garam secukup rasa. Kacau rata dan masak hingga berbuih dan pekat.
  3. Masukkan cornflakes, badam, bijan dan ikan bilis, gaul rata dan masak hingga kering dan cornflakes bersalut dengan cili. Biarkan sejuk dan boleh simpan dalam bekas kedap udara...


KERABU BUAH KUINI..

rsz_kerabu_buah_kuini
Resipi ulang tayang juga....hehe, takpe lah kan. Tapi yang ni buat baru, bukan guna gambar lama lepas tu re-post balik. Kebetulan sedara mat dari Pontian singgah dan bawakkan 4 biji buah kuini. Kerabu macam ini menjadi kegemaran bonda sejak dulu. Kata bonda sejak kecil dulu masa di Rembau, bonda sudah menikmati kerabu sebegini. Boleh dikatakan ini resipi warisan lah kan. Buah kuini baunya hampir sama dengan bacang, tapi buah bacang agak berserat. Selain dibuat kerabu, sedap juga dibuat sambal belacan (yang ni feberet mat gebu). Buatnya amat mudah. Santan kalau dapat guna yang segar untuk mendapat rasa yang lebih sedap dan kalau anda perah dari kelapa yang diparut, pastikan guna air masak. Lada hitam anda boleh tambah atau kurangkan, belacan pula harus dibakar hingga harum. Lagi sedap dihidangkan setelah anda simpan 1 - 2 jam. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji buah kuini yang masak ranum
1 biji bawang besar
1 3/4 cawan santan segar
1 camca besar lada hitam yang kualiti (mat guna lada hitam Sarawak)
1 inci belacan, dibakar hingga harum
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci buah kuini, kemudian kupas kulitnya, hiris lebar2 kemudia potong memanjang nipis2. Bawang besar dimayang halus. Satukan bersama hirisan buah kuini tadi dan gaul rata. Ketepikan.
  2. Tumbuk lada hitam hingga lumat, masukkan belacan bakar dan tumbuk lagi hingga rata. Alihkan ke dalam satu bekas. Tuang santan dan kacau rata hingga semua mesra. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau.
  3. Tuang bancuhan santan tadi ke dalam bekas berisi buah kuini dan bawang besar, gaul rata. Rasa dan jika ok boleh hidangkan. Kalau tak habis simpan dalam peti sejuk. Selamat mencuba...


ASAM PEDAS IKAN KEMBONG..

rsz_asam_pedas_ikan_kembong
Salam Khamis semua, hari ni mat masak awal. Tapi macam biasalah, masakan ulang tayang yang tah berapa puluh kali, sampai ada yang jemu. Tadi di wall FB, mat ada upkan status mengenai menu hari ini yang senpoi dan samada harus tak mat jadikannya entri di blog DTS. Majoriti kata harus, jadi mat letak lah asam pedas ikan kembong. Mat masak guna 2 ekor ikan kembong atau mabong yang bersaiz agak besar. Campor juga terung dan tomato sebagai sampingan. Ada juga yang tanya, apa rahsia untuk mendapat rasa asam pedas yang sedap...Hmmm, mat tatau lah nak kata, ia bergantung pada tekak anda juga, tapi 'asam' itu penting, kena rasa seimbang, cuma ada yang suka rasa asam lebih dan ada yang suka rasa asam agak kurang. Seelok2nya guna cili yang dikisar sendiri. Pada mat, jenis ikan dan kesegarannya juga memainkan peranan besar untuk mendapat rasa asam pedas yang enak. Apa2 pun masak lah dengan hati yang ikhlas dan pesan arwah mak long che mat, berselawat semasa menumis bahan2 masakan tak kira apa jenis masakan anda, insha Allah selain mendapat keberkatan, ianya akan menjadi lebih sedap!!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 - 3 ekor ikan kembong @ mabong, bersaiz besar
1 biji terung biru, kerat 2 dan belah 4 setiap keratan
1 biji tomato, belah 4
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
1 1/2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
2 biji buah keras, hiris
3/4 camca teh lada hitam biji
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis cili hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan). Biar mendidih.
  2. Masukkan bunga kantan, daun kesom dan ikan, masak dengan api sederhana. Tambah terung (toskan) dan biar terung lembut sedikit. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan tomato, masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.


Wednesday, December 19, 2012

MAGGI ASAM LAKSA DENGAN OTAK-OTAK..

rsz_assam_laksa_wif_otak2
Malam semua, kali ni hasil dari pengaruh iklan maggi di TV lagi. Tapi yang ni lain sikit. Kali ni mat tak guna maggi perisa kari, tapi guna maggi asam laksa pulak, ia nya satu gabungan yang agak unik, saja lah mat campur otak2 untuk sedikit kelainan. Anda mesti perasan yang blog DTS ni kerap menyelitkan entri2 masakan harian. Pada mat blog masakan biarlah yang agak mesra pengguna dan agak mudah diikuti. Selain untuk rujukan sendiri, ia juga berguna untuk mereka2 yang baru nak berjinak2 ke dapur. Masakan harian menjadi tunggak utama blog ini, tapi bukan bermakna tiada hidangan kek dan sebagainya, ada, cuma taklah kerap sangat. Kalau anda perhatikan majoriti pengunjung akan lebih mencari resipi2 harian dan resipi masakan harian ini juga agak popular dibulan Ramadan. Satu lagi mat nak sangat blog DTS ini bersifat sederhana dan memberi manfaat pada semua tak kira peringkat umur. Moga ia dapat membantu anda tak sikit banyak, kita sama2 belajar.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 paket mi maggi asam laksa, asingkan perencahnya
1 camca besar sambal tumis (takkesah samada anda buat sendiri atau beli)
1 keping kek ikan, hiris
2 batang jejari ketam, kerat pendek
1 batang otak2 yang siap dibakar, potong 3 atau 4 bahagian
1 ulas bawang putih, cincang
2 biji bawang merah, hiris
1 hirisan nipis halia, cincang
7 - 8 helai daun kesom
1 camca besar hirisan bunga kantan, tinggalkan sedikit untuk hiasan
3 cawan air
Taugeh secukupnya
Sedikit hirisan halus timun
Sedikit hirisan halus bawang besar
Sedikit hirisan halus daun kesom

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga harum, masukkan sambal tumis dan kacau rata. Tuang air, dan biar mendidih. Masukkan perencah asam laksa dan daun kesom (yang disertakan sekali dalam pek mi maggi). Kacau rata.
  2. Masukkan fish cake dan jejari ketam, biar masak sekejap. Tambah mi maggi, masak hingga mi lembut. Akhir sekali masukkan otak2. Kacau rata, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang dalam mangkuk sesuai. Tabur taugeh, hirisan timun, hirisan bawang besar, hirisan bunga kantan dan sedikit hirisan daun kesom. Hidangkan panas......Seriusss tak toleh kiri kanan punya!!.


IKAN GERANG ASSAM 'FLORENCE TAN' OLEH 'MYCHEF'

rsz_gerang_assam3

Assalammualaikum, ok ini produk terakhir dari MyChef yang akan mat review. Keluaran baru MyChef nanti2 bila mat dah ada stok, baru mat review. Kali ini mat entrikan satu lagi masakan orang2 peranakan yang sungguh klasik. Kalau lihat nama dia, nampak macam biasa2 je kan. Ikan gerang assam ini kurang lebih macam asam pedas tapi berbeza sedikit. Satu yang mat perhatikan, produk MyChef ini amat praktikal selain cara pembungkusannya menarik, kemas dan bersih. Ia sesuai juga dibawa sebagai buah tangan untuk kenalan2 jika anda bertandang ke rumah mereka. Sebenarnya apa yang pihak MyChef buat. harus dipuji, selain berniaga produk makanan sedia hidang dingin beku, secara tak langsung mereka memperkenalkan makanan warisan orang2 kita. Contohnya macam masakan orang peranakan Baba Nyonya, berapa kerat sangat lah generasi muda yang tau. Jadi dengan adanya produk2 macam ni, sekurang2nya mereka nampak, bau dan rasa. Bukan hanya dengar nama dan melihat gambar semata2...

rsz_gerang_asam1

Mat sebenarnya cukup rasa bangga, terutama bila MyChef mengambil inisiatif memperkenalkan resipi2 orang Baba Nyonya dalam produk keluaran mereka. Ikan Gerang Assam, bila anda panaskan dalam microwave, bau dia saja cukup harum, dari segi rasa ia memang sesuai dengan nama, selain itu anda boleh kukus atau panaskan dalam kuali dengan api kecil. Asamnya terasa, bau haruman daun kesom dan bunga kantan sungguh memikat. Kuahnya rasa sedikit lemak sebab menggunakan buah keras. Ikan pulak dari jenis tenggiri batang dan sudah semestinya ikan segar. Rasa isi ikan sedap dan terpelihara. Produk ini dalam kategori yang sehat, jadi garamnya agak kurang, yang tu anda boleh tambah jika suka. Selain sedap dimakan bersama nasi panas, boleh juga dicicah roti atau pun lempeng. Kalau anda nak komen apa2 pasal produk MyChef  dan ingin mengetahui rangka promosi mereka, boleh ke PAGE mereka di sini dan klik LIKE....Untuk mengenali produk MyChef dengan lebih terperinci, anda boleh singgah di laman web rasmi mereka di sini.. Cuba dan nikmatinya dengan rasa yakin tanpa ragu2...Makanan pengerat kasih sayang...

GULAI UDANG DENGAN REBUNG..

rsz_gulai_udang_dgn_rebung
Rebung, satu makanan esotik yang begitu mendapat tempat dikalangan orang2 kita. Kalau dibelah2 selatan, rebung buluh betong lebih terkenal dari rebung madu. Boleh dijeruk atau dimasamkan. Selalunya dikalangan kita orang2 melayu, rebung dimasak lemak sama udang, atau lemak putih. Boleh juga dibuat acar atau dimasak kari dengan ayam (rebung madu). Rebung jeruk pulak dimasak lemak cili padi bersama daging salai atau babat lembu. Rebung yang sedap bila tumbuhnya dari dalam tanah, kalau tumbuk agak tertenggek, kemungkinan besar rasanya sedikit pahit. Tu yang mat selalu dengar dari mulut orang2 tua...errr, aku pun tua gak, sejak jadi "pak tua" pada Qhaliff. Dan yang ini bukan mat masak hari ini, tapi pada Ahad lepas, masa Ben datang rumah Che Mat...Macam biasalah resipi seperti dibawah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg rebung (mat guna rebong buluh betong) dihiris nipis, rendam
1/2 kg udang bersaiz besar (mat guna udang jenis kaki merah atau udang pengantin)
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
4 biji cili merah
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 camca besar udang kering, rendam sekejap dan toskan
1/2 inci belacan
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Celur rebung dalam air yang telah diletak sedikit garam, hingga lembut sedikit, toskan. Udang dibuang kaki2 kecilnya, dan buang juga kotoran yang berada dibahagian kepala udang, cuci bersih, tos dan ketepikan.
  2. Masukkan rebung dalam periuk bersama udang, bahan2 kisar halus, serai titik dan asam gelugor. Gaul rata dan masak sekejap hingga udang berubah warna. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. 
  3. Bila rebung lembut, tuang pati santan, masukkan daun kunyit dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api sederhana. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam2man....

Tuesday, December 18, 2012

SERAWA PULUT DURIAN....

rsz_serawa_pulut_durian1

Musim durian datang lagi. Ehh, rasanya dah lama musim durian ni ada kan?, huhu, ketinggalan betul si mat tu. Takpelah, pada mat zaman sekarang ni musim buah2an dah tak macam dulu. ibarat bermusim sepanjang tahun. Durian pun macam tu juga. Semalam masa ke rumah bonda saudara di JB, masa balik tu kami singgah ke Kiptmart, bonda pesan beli durian untuk dibuat tempoyak. Jadi mat beli, cari yang bagus sikit, durian yang bagus akan menghasilkan tempoyak yang sedap. Tapi bukan lah durian semahal raja musang, yang ni dalam RM4 - RM5 per kg macam tu. Oleh sebab Bak ada juga sebut nak makan serawa pulut durian, pagi tadi mat ambik sebiji dan buatkan kuah serawa. Benda senang bukan nya sampai nak masuk hutan bagai cari bahan2, semua dah ada, jadi ini lah hasilnya....anda puas hati?...mat gebu opkos puas hati, yelah sendiri buat.....

rsz_serawa_pulut_durian

Kuah serawa durian ni boleh dimakan bersama roti, lempeng, roti jala dan serabai...hmmm, rasa macam nak buat serabai pulak. Sebenarnyakan tiada resipi yang khusus untuk serawa durian ni, semua ikut citarasa anda sendiri. Tapi paling penting, mestilah ada isi durian, lepas tu santan dan bahan2 lain. Kalau isi durian banyak, lagi sedap tapi jangan terlampau banyak sangat. Agak2lah. Untuk pulut tu mat kukus dalam talam, nak tanak macam masak nasi biasa pun ok, gunakan santan cair yang dicampur sedikit garam dan minyak masak. Seriuss senang sangat2, jadi kalau nak pikat hati suami atau pak/mak mertua anda, boleh lah cuba buat resipi tradisi macam ni dan hidangkan pada mereka....


BAHAN KUAH SERAWA :-)
1 biji durian, keluarkan isinya (kalau durian kecik, guna 2 atau lebih)
700 ml santan kelapa segar
500 ml air (atau secukupnya)
1 ketul gula melaka, potong kecil*
1/2 cawan gula pasir*
1 helai daun pandan, disimpul*
1 cawan air*(*satukan masak hingga gula larut dan tapis)
1 helai daun pandan, disimpul
1 1/2 camca besar tepung gandum
3 camca besar air
Secubit garam
Gula, jika perlu

BAHAN PULUT :-)
1 kg pulut, cuci dan rendam 1 jam, toskan
700 ml santan cair
1 camca teh garam (atau secukup rasa)
1 camca teh minyak masak (mat guna minyak kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PULUT :- Panaskan kukus, sediakan loyang berukuran 9 inci. Letak pulut dalam loyang, satukan minyak masak, garam dan santan, kacau rata kemudian tuang ke dalam loyang berisi pulut, ratakan. Letak daun pandan dan kukus selama 20 minit dengan api besar, kemudian kareh (gemburkan) dan sambung kukus lagi 10 minit atau hingga pulut betul2 masak. Ketepikan.
  2. UNTUK KUAH SERAWA :- Satukan air gula merah, santan, air, isi durian dan daun pandan ke dalam periuk. Masak hingga mendidih. Kacau selalu. Tambah sedikit garam dan jika kurang manis tambah gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung gandum. Kacau rata dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SERAWA PULUT DURIAN :- Senduk pulut secukupnya dalam bekas sesuai. Tuang kuah serawa dan hidangkan. Atau anda boleh hidangkan berasingan kuah serawa dan pulut tadi...Selamat mencuba!

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.