BEN ASHAARI

Wednesday, October 31, 2012

TERIMA KASIH PADA BAKAL RAJA SEHARI INI...

rsz_bro_framestone
Bakal raja sehari singgah ke pondok mat gebu siang tadi, siapa?...kalau blogger2 personal mesti kenal nya. Blogger masakkan yang kurang kenal, meh sini Che Mat kasi kenal. Broframestone bukan calang2 blogger. Otai ni, dan mat kenal sejak 2007, tapi tak pernah bersua muka, hanya bertegur sapa di blog, FB dan dunia burung....errr yang tu pun kaddang...kaddang. Hari ni dengan rasminya bro menjejakkan kaki ke pondok mat gebu di Sedenak. Datang berdua bersama tunang beliau. 

Borak bersama mereka berdua amat lah menyeronokkan, dan seperti biasa, mat gebu memang femes mempelewatkan masa...haha, dari sejam berganjak ke dua jam dan seterusnya. Apa2 pun terima kasih sangat pada Bro dan futurewife tu...err...tak lama lagi 11 hb November ni saja. Apa yang kurang che mat minta maaf, hidangan pun ala kadar saja. Dalam masa yang sama, che mat doakan agar majlis bro nanti berjalan dengan lancar, tanpa ada halangan, insya Allah....Terima kasih sekali lagi..

Blog Bro Framestone di sini....

SAMBAL IKAN PARI DENGAN NENAS..

rsz_sambal_tumis_ikan_pari_bernenas
Salam semua, sebenarnya takde apa sangat nak tulis ni hari, mat masak pun yang biasa2 saja. Tapi hari ni agak bersejarah juga...kenapa?..yang tu nanti mat tulis dalam entri lain. Pernah makan sambal ikan pari yang dicampur dengan nenas? Mat masak siang tadi untuk digandingkan dengan kari ikan, ayam goreng kunyit dan tumis sawi putih dengan udang. Yang lain2 tu mat rasa tak perlu dibuat entri, sebab dah biasa sangat. Untuk resipi sambal tumis ini mat guna kurang lebih 350 gram ikan pari yang mat potong kiub. Mat campurkan juga dengan 1 tin nenas, kalau anda nak guna nenas segar juga boleh, tapi mat takde, jadi ku guna nenas dalam tin, sedap juga. Kalau anda nak guna ikan pari masin juga boleh, tapi kena rendam dulu kasi rasa masin dia kurang, dan goreng lembap2. Boleh dimasak sambal seperti gambar di atas. Ok kita lihat resipi pulak....

BAHAN-BAHANNYA :-)
350 gram ikan pari, dipotong kiub besar2, cuci dan toskan
1 tin nenas berkaleng (yang dipotong kiub), toskan
1 biji bawang besar, hiris kasar
2 senduk nasi penuh cili kisar
3/4 camca besar pes asam jawa (mat guna Adabi)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 biji buah keras, hiris halus
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul ikan pari tadi dengan sedikit serbuk kunyit dan garam, kemudian goreng hingga masak, tak perlu sampai garing. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing dan terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tambah ikan pari tadi. Perasakan dengan garam secukup rasa dan gula. Tambah hirisan bawang besar dan nenas, gaul rata dan masak hingga bawang lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..


RABU KURANG KATA2...."MAJALAH JELITA"

rsz_jelita

~: JELITA NOVEMBER 2012 :~

rsz_jelita1

~ : ADA RESIPI DARI BLOG YANG ANDA SEDANG BACA INI....TERIMA KASIH "JELITA" :~

rsz_jelita2
~ : TAHNIAH JUGA UNTUK MEREKA INI, INI DAN INI.....SUDI2LAH SINGGAH :~
TU SAJA...SALAM SAYANG (^____^)..

Tuesday, October 30, 2012

TALAM GULA MELAKA "FLORENCE TAN"..

rsz_talam_gula_melaka

Kenapa mat rasa macam tersibuk hari ni, walhal masak hanya yang sempoi2, lepas tu yang mat rasa bersalah bila terlepas pandang sms dari teman2, call dari Mamafami dan Ben Ashaari...grrrr..tak suka lah macam tu, mungkin dah tua agaknya. Kita lupakan pasal tu dan entri kali ni mat nak share satu resipi talam gula melaka, dari buku masakan Chef Florence Tan, bukan dari buku baru, tapi dari buku sebelum ni "Rahsia Masakan Nyonya". Ada banyak resipi yang boleh dikatakan sesuai dengan selera orang2 Melayu kita. Bagi anda yang kurang pasti perihal orang2 Baba Nyonya ni, mereka orang cina dan kebanyakkan suku Hokkien. Percantuman budaya cina dan melayu bila kaum lelaki cina berkawin dengan wanita2 tempatan sejak beratus tahun dahulu telah menghasilkan satu kaum yang unik. Orangnya cina, berpakaian, bertutur, cara makan, masakan dan pantang larang seperti orang melayu, gaya hidup seakan sama, tapi mereka lebih gah dengan gabungan  budaya orang2 British. Yang wanita dipanggil Nyonya dan lelaki pula Baba. Agama mereka sahaja yang masih kekal dan bukan muslim..

rsz_talam_gula_melaka2
Kesenian memasak mereka tidak boleh disangkal, kebijaksanaan dalam mengolah rasa dan mencipta satu2 kuih itu agar menjadi identiti mereka. Paling biasa yang kita tau, kuih2 nyonya ada tu berwarna terang, dan bewarna biru hasil dari jus bunga telang. Macam kuih yang mat buat ni, agak mudah cuma kena berhati2 dan beri tumpuan masa membuat, jangan macam mat tadi, errr....sebab buat 2-3 kerja sekali gus, sampai kepala kuih ku terlebih pekat masa dipanaskan dan jadi tak rata..huhu, kalau anak dara, bikin kuih tak senonoh, sah2 lambatlah luu kena pinang..tu anak2 dara orang nyonya dulu kala. Kalau sekarang tidak macam tu dah...Ok, kita semak resipi...

BAHAN LAPIS BAWAH :-)
150 gram gula melaka, hiris kecil
1/4 camca besar gula perang
7 camca besar air 
3 helai daun pandan, siat dan simpul
65 gram tepung beras
1 camca teh tepung gandum
300 ml santan segar

BAHAN LAPISAN ATAS :-)
55 gram tepung gandum
300 ml santan segar
1/2 camca teh garam
1/4 camca teh jus bunga telang yang pekat

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan, alas plastik bersih dalam acuan bulat 9 inci, sapu sedikit minyak. Sementara itu untuk menyediakan jus bunga telang, 2 genggam bunga telang dimasak bersama 90 ml air dan 1/4 camca teh cuka makan atau jus limau nipis. Masak hingga pekat, tapi dan perah untuk mendapatkan jus bunga telang.. contoh bunga telang di sini. Ketepikan...
  2. UNTUK LAPISAN BAWAH :- Masak gula melaka, gula perang, daun pandan dan air hingga gula larut, tapis dan sejukkan. Satukan dengan semua bahan untuk lapisan bawah, kacau rata dan tapis dalam periuk, masak dengan api kecil hingga bancuhan panas dan nampak sedikit pekat. Kacau selalu. Padam kan api dan tuang dalam loyang tadi. Tutup permukaan loyang dengan aluminium foil dan kukus 20 minit dengan api sederhana. 
  3. UNTUK LAPISAN ATAS :- Satukan semua bahan untuk lapisan atas kecuali jus bunga telang. Kacau rata dan masak sekejap hingga panas dan nampak sedikit pekat. Sementara itu, cakar2 sedikit permukaan lapisan bawah yang telah masak tadi dengan garfu. Tuang lapisan atas, tutup kembali dengan aluminum foil dan kukus 15 minit. 
  4. Buka aluminum foil dan percik2kan jus bunga telang atasnya. Tutup kembali dengan aluminium foil dan sambung kukus 5 minit lagi. Bila kuih masak, biar betul2 sejuk baru dipotong dengan pisau plastik untuk mendapat potongan yang licin (lepas kuih sejuk, mat simpan dalam peti sejuk 1 jam sebelum dipotong)... Hidangkan..


IKAN PARI MASAK ASAM..

rsz_asam_ikan_pari
Salam Selasa semua, hari ni entri pertama menu ikan pari masak asam. Alaa, nama je macam lain tapi sebenarnya asam pedas..hahhaa...boring kan...tu lah, mat pun segan nak masukkan dalam entri, tapi sebab dah masak tu, jadi masukkan saja lah. Kalau mana2 yang sudi baca, terima kasih, yang tak sudi pun terima kasih juga sebab singgah ke DTS...muahh!!, sayang anda semua. Ikan pari antara ikan kegemaran mat, tapi ada masa ikan pari juga mendatangkan masalah. Ikan keras, atau ikan berbau amonia (dalam bahasa kasar, bau hancing). Kalau Bak, dia lagi suka makan ikan pari kecil atau tuka. Tapi mat lebih suka ikan pari yang besar sedikit. Selalunya pari daun jenis ikan pari yang lembut, satu lagi kan, mat akan cium bau daging ikan pari tadi, kalau bau dia hancing dan menyengat, mat tak beli. Selain asam pedas ikan pari juga sedap dibuat pecal, kari, dipanggang dan masak lemak cili padi. Ok, kita lihat resipi dia pulak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ketulan daging ikan pari
1 biji terung biru
10 biji tomato ceri 
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1 1/2 senduk makan cili kisar
3/4 camca besar pes asam jawa (mat guna pes Adabi)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 inci halia, hiris
3 biji buah keras, hiris
1 inci kunyit hidup, hiris
1/2 inci belacan
1 camca teh lada hitam biji

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dikerat pada saiz sederhana, cuci dan perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Terung dikerat 2 kemdian belah 4 untuk setiap keratan, rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan gaul rata. Tuang air secukupnya (anggaran 2 cawan). Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan pari, kacau dan biar masak sekejap. Tambah terung dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kalau kurang kuah, anda boleh tambah sedikit lagi air. Masak hingga ikan masak. Akhir sekali masukkan tomato ceri, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat..

Monday, October 29, 2012

PENGAT CAMPUR - CAMPUR..

rsz_pengat_campur
Malam semua, tiba2 selsema sudah mari, letihh lahh macam ni, huhu. Kali ni mat nak letak juga satu entri pencuci mulut yang begitu sinonim dengan orang2 Johor. Pengat sejenis manisan bersantan yang selalunya dihidangkan sejuk. Menjadi trend sekarang ni ia disajikan di majlis2 perkahwinan. Pengat boleh dipelbagaikan isiannya, samada penggunaan bahan2 dari ubi, buah atau juga tepung. Hari ni mat puan pengat campur, gandingan antara ubi keledek, ubi keladi, ubi kayu, bubur cha-cha dan juga biji sago. Kalau ada labu pun boleh juga dimasukkan sekali. Bonda suka manisan seperti ini, mungkin sebab sudah terbiasa sejak dari arwah datuk kami dulu yang menggemari manisan pengat dan bubur sebagai juadah berbuka puasa atau pencuci mulut. Buatnya agak mudah dan tidak banyak sangat karenah. Untuk tiga jenis ubi ini, mat rebus setiap satu hingga empuk tapi tidak lembik. Sirap gula melaka juga mat masak terlebih dahulu kemudian ditapis untuk mengasingkan kotoran dari gula melaka tadi. Dah bersedia...Jomm lihat resipi....(mat agak2 saya ok, bahan2nya, anda pepandai adjust sendiri.)

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan ubi keledek yang didadu
1 cawan ubi keladi yang didadu
1 cawan ubi kayu yang didadu
1/3 cawan bubur cha-cha, rebus hingga lembut dan toskan
2 camca besar biji sagoo
1 helai daun pandan, disimpul
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Air jika perlu
1/2 cawan gula pasir*
150 gram gula melaka, potong kecil*
1 cawan air*(*disatukan dan masak hingga larut, tapis)
1/2 camca teh garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus hingga empuk tapi bukan sampai lembik setiap jenis ubi tadi, toskan. Dalam periuk, masukkan santan cair, sirap gula melaka dan daun pandan. Masak hingga mendidih. Masukkan biji sago dan biar mendidih.
  2. Tambah semua jenis ubi tadi dan juga bubur cha-cha. Jika kurang kuah, tambah sedikit air. Kemudian tuang pati santan dan masukkan garam. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga mendidih. Rasa dan jika suka manis boleh tambah sedikit lagi gula. Hidangkan sejuk....

SUP AYAM 'ABANG PEDAS"....BERPELUH!..

rsz_sup_ayam_abg_pedas
"Abang Pedas?".....pelik kan nama resipi hari ni, jangan risau, hanya nama saja, kalau wanita2 anggun makan, tetap kekal wanita, takkan jadi tomboy atau tertukar jantina memasing. Errr...lupa pulak nak beri salam, assalammualaikum, selamat petang. Hari ni takdelah sibuk mana, cuma ai very the malas sikit. Sekarang ni rajin dah, jadi mat update blog. Hari ni bonda dan abang sulung mat berpuasa, jadi ku masak lewat sikit. Sup ayam saja, sebagai juadah berbuka dan ada sedikit yang lain2, tu kita cerita dalam entri2 lain pulak. Ini hanya sup ayam biasa dan mat oleh sikit dengan menambah cili padi yang dikisar dalam kuahnya. Ia agak pedas berangin dan sesuai lah dengan nama sup ayam 'abang pedas'. Soalannya kenapa 'abang pedas?'...Tiada kene mengena dengan masakan tu, tetapi kepedasan sup ini sama dengan ayat pedas "abang pedas" dalam novel ILUS (I Love You, Stupid) tulisan Melur Jelita...cuba anda beli dan baca...baru tau sengatannya. (*_____^)

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam pencen (atau ayam biasa), siang dan cuci bersih, toskan
4 biji kentang, kupas dan belah 4 setiap 1, rendam
2 batang serai, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
1 biji tomato belah 4
1 kiub pati ayam (optional)
1 sup bunjut sup tulang Adabi*
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
3 biji buah pelaga*
5 kuntum bunga cengkih*
1 pokok daun sup, kerat kasar*
1 camca besar bawang goreng*
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Hirisan daun bawang/daun sup untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
12 biji cili padi merah thai
1 camca teh lada hitam biji
1 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan ayan tadi ke dalam periuk, tambah bahan kisar halus, serai titik, lengkuas, hirisan kasar daun sup, bawang goreng dan juga bahan2 bertanda (*). Gaul rata dan tuang air secukupnya atau hingga ayam tenggelam. Masak hingga menggelegak. Kecilkan api dan renihkan.
  2. Bila ayam empuk, masukkan kentang, kiub ayam (jika guna) dan masak hingga kentang empuk, tambah tomato dan garam secukup rasa. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan menabur hirisan daun sup dan bawang goreng. Sedap dihidangkan panas atau dimakan bersama mi, nasi impit atau pasta...


Sunday, October 28, 2012

MALAS MASAK?.."MY CHEF" KAN ADA!!,,,,

rsz_my_chef
Memasak mudah tapi ada masa ia agak memjemukan. Lagi2 masakan yang perlu bahan2 yang agak rumit, cara penyediaan yang agak cerewet. Tapi sekarang tidak lagi. Anda pernah dengar nama produk makanan "MY CHEF?". Ia satu produk makanan dingin beku cepat disediakan dan masih mengekalkan rasa ke asliannya. Hari ni mat test satu signature dish dari Chef Ismail atau selalu kita dengar orang2 panggil Chef Mail. Resipi beliau Semur Daging Betawi (seperti gambar dibawah). Begitu cepat disediakan, apa yang anda pelu buat cuma keluarkan bekas berisi semur daging betawi dari kotak. Masukkan ke dalam Microwave dan letak pada setting "high", masak selama 4 minit untuk microwave 800 watt dan 3 minit untuk yang 1200 watt, tak perlu ditebuk bekas tadi. Lepas 4  atau 3 minit, keluarkan, buka plastik atasnya, kacau rata dan masak lagi 1 minit dalam microwave pada setting "high". Lepas tu boleh hidangkan. Nak menarik, anda tabur lah sedikit hirisan cili merah dan hijau serta sedikit hirisan daun bawang. Sedap semur daging betawi ni, rasa segar dan seimbang dari segi rempah ratusnya. Daging pun lembut dan empuk. Kalau dimakan dengan nasi minyak atau bubur nasi juga sesuai....

rsz_dsc_2675
Selain Signature dish Chef Mail, ada juga dari Chef Florence (chef feberet Che Mat), Chef Liza Zainol, Chef Zam dan Chef Ezani (juara Masterchef). Anda boleh singgah web My Chef di sini, dan juga Page MyChef di sini. Nanti bila mat dah cuba yang lain2, mat share kat blog. Kalau anda kreatif dan bijak, produk ini juga boleh dipelbagaikan, atau istilah mat gebu, diderhakakan, seperti mereka2 buat di sini....dan Kak Ida 1001 Resipi juga bijak mengolah produk2 MyChef, salah satunya resipi yang ini. Pada ibu2 yang bekerja, pilihan MyChef adalah terbaik. Apa2 pun anda beli dulu 1 - 2 produk yang anda suka, cuba rasa. Jangan ingat makanan dingin beku macam ini tidak sedap dan setakat "boleh" saja...Kena rasa baru tau.... (*____^)...salam sayang dari DTS-MAT GEBU..

TUMIS AIR RAMPAI PETOLA MANIS..

rsz_sup_sayur
Kalau tadi mat letak entri masal lemak putih umbut kelapa, kali ni share mat gebu punya feberet pulak, yang senang dan mudah, campak2 lebih kurang, chochey-chochey dalam piuk, lepas beberapa minit, jadilah masakan macam atas tu. Petola manis antara sayuran kegemaran mat, walaupun ia sejenis sayuran berunsur sejuk, namun ia sungguh sedap dimasak tumis air, masak lemak (erkk...lemak lagi!), goreng dengan udang juga sedap. Hari ni mat masukkan cendawan tiram dan fucuk ke dalam tumis air ni, kasi meriah. Beberapa ekor udang mat gunakan sebagai pemanis kuah dan rencahnya. Soo hoon dan lada hitam dilupa jangan yea. Baru lah terangkat bila makan. Sedap dihirup2 begitu sahaja, atau makan bersama nasi. Cuaca panas macam sekarang, menu sup2 lebih sesuai. Ok mat cara mat masak seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji petola manis
200 gram cendawan tiram
50 gram fucuk, kerat kecil dan rendam hingga lembut
1/2 cekak soo hoon, kerat pendek dan rendam
12 ekor udang bersaiz sederhana, dibersihkan
4 biji bawang merah, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 kiub pati ikan bilis
Garam secukup rasa
Serbuk lada hitam secukupnya (mat guna Aji-Shio)
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petola dikupas kulitnya, cuci dan toskan. Kemudian hiris serong sederhana tebal. Cendawan tiram jika besar, dikerat dia, cuci dan tos, ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna. Tuang air secukupnya (anggaran 2 cawan). Masukkan kiub ikan bilis (jika guna), kacau dan biar mendidih,
  3. Masuk fucuk dan masak hingga fucuk lembut, Tambah petola manis, cendawan tiram dan soo hoon tadi (toskan), Kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukupnya. Tambah serbuk lada hitam dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api, Tabir hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan..


LEMAK PUTIH UMBUT KELAPA..

rsz_gulai_umbut_kelapa
Salam Ahad semua, dah siap masak?.. Hari ni mat masak satu menu kampung yang begitu authentic, pernah makan umbut kelapa?. Kebiasaannya di kampung2 kalau ada pokok kelapa yang ditebang, maka umbutnya menjadi pilihan untuk dimasak lemak putih macam mat masak tu. Selain masak lemak, boleh juga dibuat acar dan kerabu. Umbut kelapa yang ni datang dari pokok depan rumah kami...errr rumah sebelah sebenarnya, kalau rumah yang mat duduk sekarang ni, depan dia takde pokok kelapa, kelapa sawit adalah di seberang jalan sana. Umbut kelapa hanya diambil bahagian lembut sahaja, rasanya manis dan tidak perlu dicelur bila dimasak. Kalau anda nak masak lemak pedas juga boleh, dicampur udang dan sebagainya. Tapi pada mat masak lemak putih lagi kena, tambah sedikit lada hitam. Daun kunyit dan serai sebagai perasa tambahan dan aroma. Sambal belacan, ikan goreng atau ikan masin wajib ada..Jommm resipi....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 kg umbut kelapa yang telah di hiris nipis, cuci dan toskan
2 batang serai, dititik
1 helai daun kunyit, disiat
2 kuntum bunga kunyit (optional), belah 2 setiap 1 dan rendam
1 liter santan cair
400 ml pati santan
1 camca besar penuh udang kering, rendam sekejap, tos dan tumbuk kasar
Air jika perlu
1/2 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 biji bawang besar, hiris halus
4 ulas bawang putih, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan umbut kelapa ke dalam periuk, tambah hirisan bawang besar, bawang putih, udang kering tumbuk, serai dan santan cair. Masak atas api hingga mendidih. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit air.
  2. Masukkan pati santan, daun dan bunga kunyit. Kacau dan biar mendidih perlahan dengan api sederhana. Masukkan garam secukup rasa dan secubit gula. Masak sekejap hingga umbut lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan ikan masin/ikan goreng.


Saturday, October 27, 2012

CROISSANT TUNA SANDWICH..

rsz_croissant_tuna_sandwich
Malam ni kita makan tuna sandwich, tapi bukan guna roti sandwich, mat guna croissant. Hmm, nampak bess dah sedap lah. Erkk..cuma mat tak puas hati sebab timun habis dan tomato pulak tinggal yang hujung2, tak berapa nak comey dah. Perasan dalam gambar tu, tomato macam sememeh je..huhu, serius tak suka sangat. Tapi tak kesah lah dah tu je yang ada. Benda2 macam ni takde apa sangat nak diceritakan, yelah setakat sandwich biasa, budak2 sekolah rendah pun boleh buat. Roti tu pulak mat buat sendiri yea...hehe, tak lah mat tipu...yang betulnya mat beli kat Tesco. Tu jelah untuk malam ini, resipi serba ringkas seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji roti 'croissant', dibelah 2 setiap 1
1 tin tuna, toskan minyaknya*
2 camca besar mayonnaise*
2 biji limau kasturi, perah jusnya*
Sedikit serbuk lada hitam*
6 biji jeruk capers, cincang*(*disatukan dan gaul rata)
Daun salad secukupnya
Hirisan tomato, secukupnya
Hirisan jeruk gherkin, secukupnya
Hirisan bawang besar secukupnya (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ambil satu bahagian potongan roti croissant (bahagian bawah), susun daun salad secukupnya, kemudian letak pulak bancuhan tuna tadi, ratakan. Susun hirisan bawang, gherkins, tomati dan tutup dengan bahagian atas croissant. 
  2. Buat kaedah sama untuk baki roti croissant. Cucuk dengan lidi sate satu untuk menstabilkan kedudukannya. Hidangkan untuk sarapan atau minum petang. Buang lidi sate sebelun anda makan.

RENDANG DAGING KLASIK..

rsz_rendang_klasik
Jomm kita merendang pulak. Dah selalu mat buat rendang dan ada masak resipi hampir2 sama tapi tetap ada perbezaannya. Kenapa mat kata ini rendang daging klasik, pertama sebab guna daging korban, kedua mat guna hirisan bunga kunyit dalam dia walaupun ada guna daun kunyit. Rendang amat sinonim dengan orang2 Melayu dan juga kaum Peranakan. Sedap dimakan bersama ketupat, lemang atau nasi. Satu lagi kalau rendang anda tidak habis, masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan dalam freezer, bila nak makan, keluarkan dan masukkam ke dalam ketuhar mikro. Dan jika berbaki dan tidak habis juga, apa kata lebihan rendang kita jadikan isi pada pizza dan tabur dengan keju atasnya, satu kelainan. Betul lah kan, nanti mat nak cuba. Bagi yang nak belajar2 masak rendang bolehlah buat. Pada mat ini masakan warisan bangsa kita, jadi kena juga reti masak...Ok jommm kita merendang pulak... (*___^)

BAHAN-BAHANNYANY :-)
2 kg daging lembu pejal, dipotong kiub, cuci dan toskan
2 kuntum bunga kunyit, hiris halus'
2 helai daun kunyit, hiris halus
5 helai daun limau purut
2 liter santan (dari 3 biji kelapa)
Air panas secukupnya
5 camca besar penuh kerisik
4 camca besar rempah kari daging Baba's
1 senduk nasi cili kisar
3 keping asam gelugor
2 camca besar hirisan gula melaka
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar, saiz sederhana
18 biji bawang merah
7 ulas bawang putih
10 biji buah keras
1/2 inci belacan
2 inci kunyit hidup
30 biji cili padi
12 batang serai, hiris halus

BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
8 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
5 biji bawang merah, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan bahan kisar halus bersama rempah kari, kacau rata hingga sebati. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukan rempah kari + bahan kisar halus tadi dan masak hingga terbit minyak dan rempah garing, guna api sederhana dan kacau selalu.
  2. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga daging kecut. Tuang santan, kacau dan biar mendidih hingga pekat. Masukkan garam (sedikit dahulu), kerisik,  asam gelugor dan daun limau purut. Kacau rata dan terus memasak hingga sedikit kering. Kalau masa ini daging masih agak keras, tuang sedikit air panas dan sambung masak, guna api kecil.
  3. Masukkan gula melaka dan sedikit lagi garam. Kacau rata dan masak hingga rendang kering tapi masih lembap. Masuk hirisan bunga dan daun kunyit, gaul rata dan masak lagi.  Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ketupat, lemang, nasi dan sebagainya..
CATATAN MAT GEBU :- Jangan letak garam banyak2, dikhuatiri daging akan lambat empuk dan rendang anda akan jadi masin bila ia kering nanti. Satu lagi tips yang mat selalu buat, untuk memastikan rendang anda tahan lama, bekas yang anda guna untuk menyimpan rendang harus kering, bersih dan jika menggunakan periuk, panaskan sekejap periuk tadi, kemudian masukkan rendang. JANGAN tutup rapat periuk berisi rendang panas, biarkan ia renggang sedikit, ini untuk mengelakkan wap air yang terkumpul akan masuk kembali dalam rendang anda dan menyebabkan ia cepat basi. Senduk yang anda guna pun harus kering dan bersih...ok tu saja, sekian terima kasih..

LONTONG AIDIL ADHA...

rsz_lontong_aidil_adha
Selamat hari raya Aidil Adha, errr....dah 2 hari raya punn.. macam mana semua ok?... Mat ok ok saja, entri pertama hari ni, nak masukkan lontong aidil adha, ia cuma masakkan biasa cuma dibuat dihari raya aidil adha, dan guna ketupat daun kelapa, dimakan bersama telur rebus, sambal tumis sotong dan serunding ayam (beli punya). Perasan tak kalau ada perhatikan, ada pelbagai versi masak lodeh untuk dimakan bersama ketupat dan sebagainya. Ada yang ditumis, ditambah sedikit cili kisar, ada yang dicampur dengan udang hidup dan ada yang dimasak seperti masak lemak biasa. Kalau lodeh versi mat, dah tentu yang mudah2 saja. Udang kering sebagai perencah, serai dan lengkuas titik sebagai penambah aroma, santan pula perlu diasingkan pekat dan cair. Soo hoon tak perlu direndam, cukup sekadar melalukannya dibawah air paip sebelum dimasukkan ke dalam masak lodeh. Ini akan memekatkan kuah secara tidak langsung. Satu lagi sayur anda boleh tambah ikut pilihan anda, nak letak kentang, bunga kobis, putih jagung dan sebagainya. Mat punya agak ringkas sahaja... Ok resipi mudah seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 biji kobis bulat bersaiz sederhana, hiris tapi jangan halus sangat, cuci dan toskan
10 tangkai kacang panjang, kerat pendek
1 biji terung biru, didadu besar
1 batang lobak merah, dipotong jejari
2 keping tauhu, didadu besar
2 keping tempe, didadu (tak letak, takde stok)
1/2 biji sengkuang bersaiz sederhana, dipotong jejari
70 gram fucuk, kerat pendek dan rendam hingga lembut
1 genggam udang kering, rendam sekejap, tos dan tumbuk kasar
1 biji bawang besar, hiris halus
4 ulas bawang putih, diketuk
1 cekak soo hoon, potong pendek
2 batang serai, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
1500 ml santan cair
500 ml pati santan
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Ketupat nasi secukupnya
Telur rebus, dibelah dua
Sambal tumis pilihan anda (samada nak sambal ikan bilis, sotong atau udang)
Serunding kelapa (mat guna serunding ayam, beli punya)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan santan cair ke dalam periuk bersama hirisan bawang besar, bawang putih, serai dan lengkuas yang dititik, udang kering tumbuk dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan sengkuang, lobak merah, fucuk (toskan) dan masak hingga lembut sedikit.
  2. Tambah tempe, kacang panjang dan kobis. Kacau rata dan jika kurang kuah boleh tambah sedikit air. Masukkan serbuk kunyit dan juga terung. Tuang pati santan. Kacau rata dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  3. Bila mendidih, masukkan soo hoon (lalukan soo hoon bawah air paip). Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga soo hoon kembang. Rasa dan jika ok boleh matikan api. 
  4. UNTUK LONTONG AIDIL ADHA :- Isikan secukupnya ketupat dalam mangkuk, tuang kuah lodeh bersama isi2nya, letak telur rebus, sambal tumis dan serunding. Hidangkan segera.

Thursday, October 25, 2012

KUIH BOM DI REMANG SENJA AIDIL ADHA...

rsz_kuih_bom

Assalammualaikum, malam semua. Anda sibuk hari ni?..Mat sibuk sikit, dah nama pun nak menyambut hari raya, waima raya korban atau raya haji sekali pun. Hari ni bonda berpuasa, sambil2 mat masak, sempat juga mat buatkan kuih BOM... Anda tau atau ingat kuih bom?. Ia kurang lebih macam cekodok pisang tapi saiznya agak besar, lebih besar dari bola ping-pong. Kuih ini agak nostalgia dan boleh dikatakan femes, mungkin sebab saiznya yang besar, bulat2 dan teksture kuih yang rupa macam cekodok pisang, tapi dalamnya seakan2 kek atau apam. Mat buat takdelah besar sangat, kalau betul2 besar kang, ada bonda pengsan pulak, tapi pada mat dah cukup besar, gebu dan montel....erkk...hehe...

rsz_kuih_bom1
Nampak bahagian dalam kuih bom tu, kan seakan2 kek atau kuih apam. Kalau kita perap lama sikit, lagi lah gebu. Yang ni mat nak cepat cuma perap 20 minit saja. Lepas siap goreng, remang2 senja mula kelihatan dan cepat2 mat ambik gambar, tu pasal nampak kelam sikit, tapi agak misteri..wahhh dah ala2 cerita seramm pulak. Tapi kuih bom ni memang bess. Mat tulis resipi yang mat buat, kalau anda ada resipi kuih bom yang lagi meledak punya, jangan segan2 share dengan CM..okeh... Akhir kata salam Aidil Adha, berhati2 di jalan raya. Tenang dan bersabar dalam apa jua tindakan yang anda buat....yang penting anda selamat sampai dan kembali....

BAHAN-BAHANNYA :-)
650 gram pisang emas atau apa2 pisang pilihan anda
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh baking powder*
1 camca besar gula*(*dilecek hingga halus dan sebati)
1 1/2 cawan tepung gandum
Secubit garam

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan pisang yang dilecek tadi dengan tepung gandum dan garam. Gaul rata2 dan perap sejam. Ketepikan
  2. Panaskan minyal untuk goreng terendam. Cedok 1 camca besar penuh adunan tadi dan jatuhkan dalam minyak panas berhati2 atau anda jemputkan adunan tadi seperti membuat cekodok (biar banyak sikit). Buat 8 - 10 biji sekali goreng, bergantung pada saiz kuali atau pan anda.
  3. Goreng dengan api sederhana, balik2kan sekali agar kuih bom masak sekata. Biar hingga perang keemasan, angkat dan toskan. Boleh hidangkan untuk sarapan atau minum petang...

Wednesday, October 24, 2012

PASTA FETTUCCINE WIF PESTO..

rsz_pasta_wif_pesto

Pernah makan pasta yang digaul dengan pes pesto?...Satu lagi mesti ada yang tanya, pesto tu menda?.. Mat pun memang dulu tatau pesto tu menda, tapi sekarang tau dah. Ada juga dijual siap guna, tapi harga dia mahal dan selalunya jenama luar negara. Hari ni mat saja2 lah buat, memandangkan petang tadi punya lah bosan terlampau, dah lah elektrik takde, nasib baik cuma beberapa jam. Bercerita pasal pesto dan mengikut wikipedia, pesto berasal dari Itali, dan ia campuran dari bawang putih, herba basil, keju parmesan, pine nut, minyak zaitun dan sedikit garam. Semua bahan2 tadi dikisar hingga halus. Selain dimakan bersama pasta, ia juga boleh dimakan bersama pizza, kentang rebus dan daging panggang. Cuma pada mat mungkin ada sesetengah orang kita tak berasa sesuai sangat di tekak mereka. Kalau tanya mat?...Ok saja...sedappp....i likeee!!!..

rsz_pesto
Macam atas tu lah rupa pesto, setelah dikisar dengan minyak zaitun (mat guna extra virgin olive oil @ EVOO). Herba Basil segar anda boleh beli di Tesco. Kalau nak cuba guna daun selasih ok juga kot, rasa dia pun sama je, cuma pada mat herba Basil rasa dia kurang kuat sedikit berbanding daun selasih walaupun mereka adik beradik kembar. Kalau anda nak kelainan boleh lah mencuba, tapi mat nak bagitau awal2. Resipi macam ini bukan boleh kena dengan semua jenis tekak.....tu saja nak kata...Jommm kita lihat resipi...

BAHAN-BAHAN UNTUK PESTO :-)
2 genggam herba Basil segar, cuci dan toskan
4 ulas bawang putih, potong kecil
1/4 cawan pine nut, disangrai hingga perang, sejukkan (contoh pine nut, di sini)
1/2 cawan parutan keju parmesan
3/4 cawan extra virgin olive oil
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN LAIN :-)
100 gram pasta 'fettuccine', rebus dalam air bergaram hingga lembut dan toskan
3 - 4 biji tomato ceri jenis "plum", cuci dan belah 2 setiap 1
1 batang sosej ayam, celur dan kerat pendek
Sedikit pine nut, untuk hiasan
Sedikit herba Basil segar, untuk hiasan (mat guna daun selasih jee)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan herba bawang putih dan pine nut ke dalam blender atau food processor, tuang sedikit mintak zaitun dan kisar halus. Tambah herba basil, keju parmesan dan sedikit garam. Kisar dan perlahan2 tuang baki minyak zaitun tadi hingga habis. Kisar halus. Rasa dan jika perlu tambah garam secukup rasa. Simpan dalam botol bersih dan ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Masukkan pasta ke dalam bekas. Masukkan 2 1/2 camca besar pesto, tomato dan sosej, gaul hingga rata. Rasa dan jika ok boleh alihkan ke dalam pinggan. Tabur pine nut dan hias dengan herba basil segar. Hidangkan segera.


AGAR-AGAR LAPIS MILO.

rsz_agar2_milo1
Lama juga tak buat agar2, mat tengok geng2 blog masak buat macam2 jenis agar2. Lawa2 belaka, berlapis dan bewarna-warni, meriah. Jadi mat pun tergerak gak nak buat tapi bukan lah yang kalerful nya, cuma yang biasa2 saja. Agar2 milo yang mudah dan senang ni mat rasa ramai yang dah cuba. Mat pernah buat dulu kat DTS ni, tapi mat tak belang2kan, cuma kasi 2 lapis saja, bawah lapis susu dan atas milo, dan Ady Budika juga pernah buat agar2 milo di sini, menjadi dengan cantiknya, ingat nak cabar dia buat macam ni pulak, soalnya..dia mampu keeee?. Kali ni apa kata kita lapiskan dia seakan2 kuih lapis. Nampak menarik dan takdelah boring sangat. Anda teringin mencuba?..Ok jomm....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 paket (10 gram) agar2 serbuk cap "Swallow" (cap burung layang2)
400 ml susu sejat IDEAL
800 ml air
1 helai daun pandan, disimpul
3/4 cawan gula pasir (nak manis, sila tambah lagi)
3 camca besar milo
Secubit garam (secubit jeee)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan serbuk agar2 dan gula pasir, kacau rata. Tuang susu sejat dan air. Masukkan daun pandan, masak hingga mendidih, guna api sederhana dan kacau selalu hingga agar2 larut dan keluarkan daun pandan.
  2. Bagi dua agar2 tadi (kurang lebih 600 ml). Satu bahagian ditambah dengan milo, dan satu lagi masukkan secubit garam. Kacau rata dan tuang dalam periuk berasingan dan biar atas api kecil.
  3. Ambil 200 ml adunan susu, tuang dalam loyang 8 inci x 8 inci x 1inci. Biar beku sedikit, kemudian tuang 200 ml adunan milo. Biar beku sedikit dan ulang lagi hingga habis (3 lapisan susu dan 3 lapisan milo).
  4. Simpan dalam peti sejuk hingga betul2 keras. Potong dan boleh hidangkan. Sedap dimakan sejuk sebagai pencuci mulut. 

CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh juga mencakar sedikit permukaan setiap lapisan yang beku sebelum menuang lapisan yang baru jika anda takut ia tidak melekat. Mat tapis setiap kali sebelum menuang lapisan baru. Loyang yang mat guna, mat letak atas tuala dapur yang telah dibasahkan untuk mempercepatkan proses membeku dan didekatkan dengan kipas angin. Nak mudah boleh simpan sekejap dalam peti sejuk... Selamat mencuba!!

ASAM REBUS NENAS...MENCUCI TEKAK..

rsz_asam_rebus_nenas
Asam rebus nenas....hmmm serius membuka selera, dengan rasa nenas yang masam2 manis, pedas yang tak berapa sangat, harum bau daun kunyit dan amat2 sesuai untuk tekak yang kurang selera. Asam rebus nenas ni semacam cleansing agent untuk tekak yang kerap disumbat dengan masakan berempah, bersantan dan berminyak. Resipi dalam kategori sihat ni cukup sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan. Tak perlu minyak dan hanya direbus sahaja. Tapi pada mat, asam rebus nenas yang sedap, perlu nenas yang ada rasa manis, bukan nenas yang masam. Dalam resipi ini mat guna ikan tongkok, tapi kalau nak sedap lagi guna tulang ikan kurau, cuma perlu direndam dulu sebelum digunakan. Kalau anda suka nak letak serai yang dititik atau bunga kantan, waima daun kesom juga boleh. Dah bersedia untuk merasa keseksian asam rebus nenas?.... JOmmmm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol saiz sederhana, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1/2 biji nenas madu (atau nenas Sarawak), kupas dan hiris kasar
1/2 inci halia, dititik (optional)
1 helai daun kunyit
1 keping asam gelugor
1 kiub ikan bilis (optional)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji cili merah
1/2 inci kunyit hidup
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan bahan kisar halus ke dalam periuk bersama asam gelugor dan halia titik (jika guna). Masak hingga mendidih dan tambah nenas, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Maukkan ikan tongkol, kiub ikan bilis dan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga nenas lembut dan ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, sambal belacan dan ulam-ulam.


Tuesday, October 23, 2012

KETUPAT GORENG PEDAS BERSAYUR

rsz_dsc_2388

Ingat tak entri semalam 'sup ayam kampung' tu?. Kan mat guna ketupat sebagai bahan sampingan untuk dimakan bersama sup. Masih berbaki, dan mat ambik 6 biji ketupat segera NONA tu dan mat goreng dengan sayur2 yang ada dalam peti sejuk. Jadilah seperti anda nampak diatasnya. Pada mat ia satu hidangan ringkas dan berkhasiat. Mudah disediakan dan tidak memerlukan bahan2 yang banyak. Mat guna daging ayam yang didadu, kalau anda nak guna daging, udang atau sotong, semua boleh, ikut citarasa anda. Tang sayur tu yang tak suka tak perlu lah letak. Satu lagi bagi yang tak suka pedas, tak perlu lah letak cili banyak sangat, mat siap tambah cili padi lagi, saja nak kasi pedas, panas dan berasap. Lagi pun mood geram kalau kena dengan pedas, lagi bess....cepat terbako!..Ok resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 biji ketupat NONA saiz kecil, potong 4 setiap satu
1 pokok sawi bok choy, siang berasingan daun dan batang
1 genggam taugeh, cuci dan toskan
1/2 cekak kucai, kerat pendek
1 keping dada ayan, didadu besar*
1 camca teh serbuk lada hitam*(*satukan dan perap)
1 kiub pati ayam, dihancurkan
1 biji telur, dipukul sedikit
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
4 biji cili padi, cincang halus
1 camca besar cili kisar
1 camca besar sos cili
1/2 camca besar sos tiram
Kicap cair secukupnya
Hirisan daun sup untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar, cili padi cincang dan sos cili, tumis hingga cili garing. Tambah daging ayam tadi dan gaul rata, masak hingga daging ayam berubah warna. Masukkan sos tiram dan kiub pati ayam. Gaul rata.
  2. Masuk batang sawi dan masak hingga lembut. Guna api kecil. Tambah ketupat dan gaul rata. Tolak ketepi kuali, tambah telur dan masak sekejap. Bila telur sedikit mengeras, gaul dengan ketupat tadi.
  3. Masuk daun sawi, taugeh dan kucai, gaul rata. Tambah kicap cair secukup rasa, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan.


SOTONG GORENG SOS HOISIN...

rsz_sotong_hoisin
Assalammualaikum, salam Selasa semua. Hari ni lewat sikit mat bersiaran. Pagi ada kerja2 yang perlu dibereskan. Anda masak apa hari ni? Atau makan apa?..Hari ni mat masak benda2 mudah. Menu yang anda lihat tu mat buatkan untuk Bak. Nak juga makan, tapi takut gatal, jadi cuit2 sikit kuah dia dan rasa...hmm sedap, huhu, takpelah dulu pun dah puas makan sotong. Sebabkan sotong mat guna ni saiz kecil, jadi tak perlu dikerat, cuma perlu dibersihkan dan dibuang dakwatnya, kecuali kalau anda nak masak sotong masak hitam. Sos Hoisin antara bahan penting mat gunakan, tu sebab nama resipi pun sotong goreng sos hoisin. Tak perlu dimasak lama sangat, sekejap sudah memadai. Amat sesuai untuk mereka2 yang bekerja dan ingin memasak resipi yang ringkas. Tapi pastikan sotong anda telah cuci terlebih dahulu, toskan dan simpan dalam peti sejuk, ini untuk memudahkan anda memasak dengan lebih cepat..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram sotong bersaiz kecil, cuci bersih dan toskan
1 biji bawang besar, hiris berangkai
2 ulas bawang putih, hiris halus
1/2 inci halia, hiris halus
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 camca besar sos tiram
1 camca besar sos hoisin (mat guna jenama LIFE)
Garam, jika perlu
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang putih dan halia hingga harum dan betukar garing seperti bawang goreng, kemudian masukkan sotong dan gaul rata hingga sotong mengecut, Tambah sos hoisin dan sos tiram, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Masukkan hirisan bawang besar, cili merah dan cili hijau. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Rasa dulu dan jika kurang masin, tambah sedikit garam. Masak sekejap, boleh matikan api dan hidangka bersama nasi hangat dan lauk2 lain..

Monday, October 22, 2012

" B . K . D " UNTUK HARI INI...

rsz_bubur_kacang_hijau1
Masak B . K . D atau bubur kacang durian siang tadi. Durian yang didingin beku dalam freezer mat gunakan untuk resipi ini. Masih sedap, harum dan tak berubah rasanya. Anda juga boleh kalau nak simpan durian, apa yang perlu, masa keluarkan isi durian, terus masukkan dalam bekas kedap udara, dan bungkus bekas tadi dengan plastik, ikat dan simpan dalam freezer. Bila2 nak guna, keluarkan dan biar hilang sejuk. Boleh gunakan. Selain bubur kacang hijau, durian dicampur dalam bubur pulut hitam juga amat sedap. Mat buat sebab bonda berpuasa, boleh juga bonda makan masa berbuka nanti. Bubur kacang hijau amat mudah membuatnya. Mat guna periuk tekanan untuk merebus kacang, hanya makan masa 5 minit. Kalau anda takde periuk tekanan, rendam dulu kacang hijau awal2 dan rebus hingga lembut. Satu lagi, kalau guna gula melaka macam mat buat ni, masak dulu gula melaka tadi kemudian tapis dan baru guna. Ini mengelakkan kotoran gula melaka termasuk sekali dalam bubur kacang. Sedap dimakan bersama biskut atau roti....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan kacang hijau, cuci dan rendam 4 - 5 jam (kalau guna pressure cooker tak perlu rendam)
1/2 ketul gula melaka, potong kecil*
3/4 cawan gula pasir*
2 cawan air*(*disatukan dan masak hingga larut, tapis)
1 helai daun pandan, disimpul
1 biji durian, ambil isinya
1/2 camca teh garam
1 liter santan
Gula (jika kurang manis)
Air jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus kacang hijau hingga empuk dan kembang. Masukkan air gula dan daun pandan. Masak hingga mendidih. Tuang santan dan kacau rata. Tamba durian dan biar mendidih. Masukkan garam dan jika kurang manis tambah sedikit lagi gula. Dan jika suka bubur kacang cair, tambah air secukupnya. Masak sekejap.
  2. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama roti atau biskut tawar (mat hidang dengan biskut OSBONE). Sedap juga dimakan sejuk. Kalau tak habis, boleh dijadikan aiskrim malaysia.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda gunakan pressure cooker atau periuk tekanan, masa yang diambil untuk merebus kacang hijau sekitar 6 - 7 minit dan tak perlu direndam dahulu...


SUP AYAM KAMPUNG.....

rsz_sup_ayam_kampung
Petang semua, sup ayam kampung kita petang ni. Pagi tadi mat goreng nasi, sebab bonda berpuasa hari ni, jadi mat masakkan sup ayam kampung untuk berbuka nanti. Dan mat rebus juga ketupat segera untuk dimakan bersama sup ayam. Selain tu boleh makan dengan mi kuning, mi hoon, kue teow,  pasta, roti, dan juga dimakan begitu sahaja. Mat masak sup yang mudah saja. Kali ni ayam kampung mat tak buang kulit, saja nak bagi sup tu sedikit berminyak, memandangkan mat tak tumis, cuma rebus sahaja bahan2 rencahnya. Ini antara sup ayam termudah dan mat pasti anda boleh buat, terutama mereka2 yang baru berjinak2 ke dapur. Sebagai penambah perisa, mat masukkan 1 kiub pati ayam Maggi, tapi yang tu optional, tak paksa guna. Satu lagi, sambal kicap jangan lupa, wajib ada sebagai pemantap rasa sup ayam tadi...Bersedia, jommm resipi pulak....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung muda (kurang lebih 1.3kg), disiang cuci bersih dan toskan
5 biji kentang, kupas, belah 4 setiap satu dan rendam
1 sup bunjut "sup tulang" Adabi
1 pokok kecil daun sup, kerat kasar
1 camca besar bawang goreng
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
4 biji buah pelaga*
6 kuntum bunga cengkih*
Air secukupnya
1 kiub pati ayam (optional)
Garam secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1 camca besar lada hitam biji

BAHAN SAMPINGAN :-)
Nasi impit, mi kuning, mi hoon, pasta atau apa yang anda suka 
Hirisan daun sup/daun bawang
Bawang goreng 
Tauhu, goreng dan hiris
Sambal kicap secukupnya
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan ayam ke dalam periuk, bersama sup bunjit, bahan2 bertanda (*) dan air secukupnya. Kacau dan masak hingga mendidih. Tambah daun sup yang dikerat kasar, bawang goreng dan kiub pati ayam. Masak hingga ayam 1/2 empuk.
  2. Masukkan kentang dan masa hingga kentang dan ayam empuk. Tambah garam secukup rasa dan jika anda rasa kurang hangat, boleh tambah lada hitam lagi (kisar halus). Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. Hidangkan bersama nasi impit, atau sebarang jenis mi atau pasta yang anda suka. Tambah taugeh, tauhu, hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng dan sambal kicap. Sedap dimakan panas...


NASI GORENG KAMPUNG JEE PAGI NI..

rsz_nasi_goreng_kampung
Selamat pagi...err..jam 10.30 am, tu pagi kan?.. Bukan apa bila time macam ni mat ucapkan selamat pagi, ada yang kata.. Che Mat! dah nak dekat tengah hari....erkk..heran juga kan, negeri aku Johor masih dalam suasana pagi lagi. Apa2 pun lantak lah situ, janji masing2 bahagia dan aman damai sudah lah. Ok, pagi ni mat goreng nasi, nasi goreng kampung jeee. Benda2 mudah dan cepat. Bonda berpuasa hari ni, jadi menu lain untuk bonda akan menyusul nanti. Jadi yang tak puasa, makan nasi goreng sudah lah. Kalau lapar lagi, makan biskut kering. Sebenarnya masak2 ni mudah sangat, janji menepati citarasa kita dan orang2 yang makan, itu dah ok. Kalau masak bukan main mengancam, nampak meletop sangat, tapi setakat orang puji je, tapi mereka macam "segan" nak makan. Masalah juga kan...Ok, jemput makan semua..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan nasi sejuk, dileraikan
5-6 tangkai kangkung, dikerat, cuci dan toskan
2 biji telur, dipukul sedikit
Sos ikan atau kicap cair
10 ekor udang bersaiz sederhana
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam, tos dan tumbuk kasar
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Sedikit hirisan halus telur dadar (optional)

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
8 biji cili padi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk halus hingga harum, masukkan ikan bilis yang ditumbuk kasar dan masak sekejap. Tambah udang dan masak hingga udang berubah warna. Tambah nasi dan gaul rata2.
  2. Tolak nasi ke tepi kuali, masukkan telur dan biar telur mengeras sedikit, kacau hancur dan gaul dengan nasi tadi. Tambah sos ikan secukup rasa, masukkan kangkung dan kacau. Masak hingga kangkung lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan telur dadar sebelum dihidangkan..


Sunday, October 21, 2012

FLORENCE TAN'S BEST NYONYA RECIPES..

rsz_florence_tan
Assalammualaikum. Entri kali ni nak bercerita sikit pasal sorang Chef Nyonya yang begitu komitted memelihara budaya bangsa peranakan baba nyonya, terutama masakan. Sebut Florence Tan, pasti semua orang kenal. Pada mat sebelum muncul chef2 selebriti era kini, Florence Tan terlebih dahulu muncul dalam dunia masakan. Semalam mat menerima kehadiran En. Azam dari My Chef atas urusan peribadi. Dan dalam masa yang sama En Azam sampaikan senaskah buku terbaru dari Florence Tan (terima kasih), pemberian dari pihak My Chef (terima kasih En. Fairuz..). Teruja juga nak mencuba. Sebelum ni mat juga memiliki satu buku tulisan Florence Tan (di sini). Alhamdulillah, boleh dikatakan resipi2 tulisan beliau dalam buku yang lepas, menjadi dan rasanya juga menepati selera orang2 Malaysia..terutama orang Melayu kita, walaupun ia resipi penyatuan beberapa budaya yang begitu unik dan klasik...

rsz_florence_tan1rsz_florence_tan2
Buku kali ini agak menarik, penampilannya lebih modern tapi suntikan tradisi tetap ada. Gambar yang terang dan susunan ayat yang mudah difahami (walaupun dalam bahasa Inggeris). Satu lagi yang mat suka, hiasan tepi buku termasuk setiap helaian muka surat menerapkan corak tile antik yang sering kita lihat di dinding rumah orang2 peranakan dan juga di tangga2 batu rumah melayu Melaka (seperti gambar kanan), menarik sangat. Dan bagi mereka2 yang baru, dan kurang arif pasal bahan2, bahagian glossary bergambar boleh membantu anda mengenali bahan2 tersebut dengan lebih dekat. Insya Allah akan mat cuba resipi2 ini dan kita lihat hasilnya di DTS...okeh!...Jadi kalau ke kedai2 buku, boleh lah dapatkan satu....

NASI LEMAK, GODAAN KAK IDA...

rsz_nasi_lemak

Salam Ahad semua. Sebelum tu minta maaf yea Kak Ida dari 1001resepi, sebab mat tulis tajuk entri macam tu. Sebenarnya memang plan nak masak nasi lemak hari ni, cuma belum buat keputusan. Tapi malam tadi mat jalan ke blog Kak Ida di sini, dan ternampak nasi lemak...aduhhh godaan yang begitu menggetarkan jiwa raga. Kita ni nak makan nasi lemak tu pun tak boleh, tapi ada masa rasa berdosa pulak, maklumlah mat gebu tu kan gebu, kang  over dose naya kolestrol aku jadi kaler merah!!..Tapikan, pujian harus diberi pada orang2 dulu kala, mengilhamkan nasi lemak yang dimakan bersama sambal tumis, ulam timun dan telur rebus/telur goreng (tu kira yang asas), kerana ia menjadi identiti Malaysia. Siapa tak kenal nasi lemak, waima orang luar bila kita tanya antara masakan Malaysia yang mereka suka...spontan mereka kata 'nasi lemak'....

rsz_nasi_lemak1

Seperti biasa, mat kalau buat nasi lemak dah tentu beras basmathi menjadi pilihan. Selain agak senang nak menyukat cecair, hasil nasinya juga cantik dan panjang2. Satu lagi beras basmathi ni kan jenis takde rasa sangat, jadi rasa lemak santan lebih terasa. Namun begitu, setiap jenis beras basmathi mungkin berlainan sukatan cecairnya. Macam yang mat guna ni Jasmine Basmathi King, perlu kurang sedikit air, kalau 1 bahagian beras, perlu cecair kurang lebih 1.3 bahagian. Kalau beras Basmathi Moghul, nisbah dia 1 : 1.5 atau 1 bahagian beras, 1.5 bahagian cecai. Dan beras perlu direndam 25 - 30 minit. Santan segar juga memberi rasa pada nasi lemak dan yang paling wajib, daun pandan, yang ni kalau takde bukan nasi lemak namanya...kann....


BAHAN-BAHANNYA :-)
3 cawan beras basmathi (Basmathi King, Jasmine), rendam 30 minit dan toskan
4 cawan santan (guna santan segar)
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang serai, dititik
1/3 camca teh halba
1 biji bawang besar saiz sederhana, belah 4
1 inci halia tua, kerat 3 dan dititik
3 ulas bawang putih, dititik
Garam secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN :-)
Sambal tumis secukupnya
Hirisan timun
Kacang tanah goreng
Ikan bilis goreng (tak letak)
Telur rebus, dibelah dua
Ayam @ ikan goreng (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan beras dalam periuk nasi elektrik atau rice cooker, masukkan serai, daun pandan, halba, bawang besar, halia dan bawang putih. Tuang santan dan tambah garam secukup rasa. Kacau perlahan. Tutup periuk nasi dan masak seperti biasa hingga nasi tanak. Biar hingga nasi betul2 masak. 
  2. Gemburkan nasi lemak dengan chopstick, tapi pastikan anda jangan kareh nasi tadi berulang2 kali, ini akan mematahkan  beras basmathi, cukup dengan mengaul 3 - 4 kali sahaja. Terus off kan suis rice cooker dan biar sekejap.Hidangkan nasi lemak bersama bahan2 sampingan. Boleh hidangkan untuk sarapan pagi atau bila2 masa yang sesuai..

Saturday, October 20, 2012

RAHSIA "BUAH KERAS" DALAM MASAKAN..

rsz_buah_keras
Kali ni mat nak sentuh sikit pasal 'buah keras' yang sering mat gunakan dalam penyediaan resipi  masakan seharian, terutama dalam sambal, gulai dan sebagainya. Kerap juga yang tinggalkan komen di blog dan FB bertanya, "kenapa guna buah keras?".."apa fungsinya?"...."boleh ganti dengan apa selain buah keras?". Sebelum kita bercerita lebih lanjut, kasi buah keras memperkenalakn diri dulu. Buah keras atau dalam bahasa inggeris dipanggail candlenut, begitu sinonim dengan masyarakat Nusantara terutama di Indonesia dan di sana, buah keras dipanggil 'kemiri'. Di Malaysia penggunaan meluas buah keras banyak dipelopori oleh orang2 melayu dan peranakan baba nyonya, terutama dalam masakan mereka. 

Buah keras mengandungi kandungan minyak yang tinggi, ini menyebabkan penggunaannya dalam masakan memberi rasa lemak, berkrim dan secara tidak langsung memekatkan kuah. Selain buah keras, anda boleh menggantikannya dengan kacang 'macadamia', tapi pada mat harga kacang tu agak mahal di Malaysia berbanding buah keras. Pokok buah keras boleh meninggi sehingga 15 - 25 meter. Dengan dahan2nya merambak. Daunnya berbentuk bujur telur tetapi berbucu 3 atau 5. Buah keras disaluti tempurung yang keras. Buah keras yang matang perlu dipecahkan untuk mendapat isinya.

Buah keras tak perlu guna banyak dalam satu2 resipi, namun ia bergantung pada kuantiti masakan anda. 2 - 3 biji sudah memadai untuk sambal tumis yang menggunakan kurang lebih 1 1/2 cawan cili kisar. Begitu juga untuk gulai atau asam pedas, buah keras dikisar bersama bahan2 rencah sebelum ditumis hingga harum. Untuk lebih mengetahui kegunaan buah keras selain dalam masakan, anda boleh lah google....moga entri ringkas ini menjawab serba sedikit soalan perihal buah keras dalam masakan...terima kasih atas masa anda.....salam sayang dari DTS - MAT GEBU.....

KERABU TELUR YANG BIASA2..

rsz_kerabu_telur
Kerabu telur, lama juga tak buat. Jadi hari ni mat buat sebagai gandingan dengan kari ikan tenggiri. Selain tu mat ada juga goreng kobis dengan udang, letak kucai. Tapi yang tu tak payah buat entri, sebab mudah dan masak cempak2. Kerabu telur ni pun senang juga, main hiris2, gaul2 dan kasi seimbang rasa...dahh siap. Sebenarnya mat menerima kunjungan tetamu siang tadi. Jadi disamping masak untuk kami, mat jamu juga menu2 ni pada tetamu yang datang. Mat guna 3 biji telur yang didadar nipis dalam non-stick pan bersaiz 10 inci. Kemudian digulung dan mayang halus2. Anda boleh tambah hirisan cili padi jika suka lebih pedas, macam yang ni ada juga cili padi, tapi sikit dalam 5 biji. Kalau perhatikan ia ada pengaruh peranakan, sebab menggunakan bunga kantan, daum kesom dan serai sebagai bahan2 perencah. 

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur
1 biji bawang besar, hiris halus
2 biji tomato, buang biji dan hiris halus
1 batang serai, bahagian putih sahaja, dihiris halus
1 kuntum bunga kantan, hiris halus
1 genggam pucuk kesom, hiris halus
5-6 biji cili padi merah siam, hiris
Jus limau kasturi secukupnya
Gula secukup rasa
Sos ikan secukupnya
2 biji cili merah*
5 biji cili padi merah thai*
1 ulas bawang putih, dibakar*
1 inci belacan, dibakar*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Setiap satu telur tadi dibuat dadar nipis. Kemudian gulung dan hiris halus2, masukkan dalam satu bekas. Satukan dengan semua bahan2 diatas kecuali jus limau, sos ikan dan gula. Gaul rata.
  2. Tambah sedikit gula, jus limau kasturi dan sos ikan secukup rasa. Gaul dan biar sekejap. Sesuaikan rasa, mesti ada rasa masam, manis, pedas dan sedikit lemak2 masin. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain..


Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.